Pages

Sunday, September 07, 2014

Migrasi

Oleh Nazri Hussein

AKHIRNYA inilah keputusan yang telah dibuatnya. Keputusan nekad yang tidak dipengaruhi oleh sesiapa. Dia akur, dia harus memilih jalan yang terbaik demi kepentingan masa depannya.

Meskipun dia sedar keputusan ini akan melukakan, mengecewakan dan membuatkan dia terasing daripada keluarga, saudara-mara dan teman-teman di pedalaman kecil itu, dia tidak berganjak lagi. Sesungguhnya tidak terniat di hati kecilnya untuk mengingkari kehendak dan harapan kedua-dua orang tuanya.

Dia sedar bahawa kedua-dua orang tuanyalah yang bersusah payah membesar dan menyara hidupnya sejak kecil, sehinggalah mengenal keindahan alam yang mempesonakan ini.

Tetapi penentuan hidup masa depannya terletak di tangannya sendiri. Tidak ada sesiapa pun yang mampu mengubah keputusan yang telah dibuatnya. Ini adalah peluang terbaik. Dia tidak harus mensia-siakan peluang yang datang.

Malah, dia sedar peluang ini hanya datang sekali seumur hidup. Melepaskan peluang keemasan ini bermakna dia sengaja memadamkan kandil yang menerangi obor masa hadapannya.

"Kau mahu pergi juga?"

"Ya mak, demi masa depan saya dan masa depan keluarga dan bangsa kita, saya tetap akan terima keputusan ini..." Wajah ibunya yang dikasihi tiba-tiba muncul di hadapannya.

"Kau hendak meninggalkan ayah yang uzur dan mak yang dah tua ini?" Suara ibunya bagaikan mendesak.

Dalam keadaan seperti ini dia harus memilih kata-kata yang lembut dan bersopan. Dia tidak mahu hati ibunya terluka. Malahan, lebih daripada itu, dia tidak mahu dianggap sebagai anak derhaka.

"Mak..." Dia kembali bersuara setelah agak lama mendiamkan diri.

"Saya sangat mencintai ayah dan ibu kerana ayah dan ibu yang membesarkan saya. Tetapi saya juga mempunyai cita-cita yang terpendam sejak lama. Cita-cita saya ini sudah hampir tercapai. Saya ingin mengubah kehidupan keluarga kita dan suku-sakat bangsa kita," dia berhenti seketika.

"Saya tidak mahu melihat suku bangsa kita masih terkongkong dengan adat dan budaya hidup yang ketinggalan ini sedangkan bangsa-bangsa lain sudah lama maju tetapi kita masih dengan cara lama," dia menyambung semula.

"Mak...dunia sekarang sudah maju dan anak bangsa kita memerlukan ilmu dan pendidikan. Saya ingin melihat generasi bangsa kita mempunyai pelajaran dan dapat mencapai kemajuan yang sama dengan bangsa-bangsa lain." Dia menarik nafasnya, bangga.

Perlahan-lahan dia meneruskan bicaranya: "Sebab itulah sama ada mak dan ayah setuju atau tidak saya akan tetap menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti ini."

Ibunya terdiam seketika mendengar hujahnya yang panjang itu. Dia dapat merasakan jalur-jalur kemenangan sudah berada di pihaknya dan berharap ibunya akan akur dengan impian dan harapannya. Dia harus meyakinkan kedua-dua orang tuanya yang masih terbelenggu dengan fikiran lama dan tradisi yang kolot itu.

Dia ingin mengangkat taraf kehidupan suku bangsanya yang masih dianggap tidak bertamadun dan terikat dengan cara hidup yang primitif. Memang dia sedar, bangsanya masih jauh ketinggalan dari semua aspek kehidupan dalam bidang pendidikan, koporat dan teknikal.

Tetapi dia yakin dengan segala kemudahan yang disediakan oleh pihak pemerintah dan perhatian yang mula diberikan kepada suku bangsanya sesuatu perubahan akan berlaku. Cuma dia perlu menanamkan kesedaran yang tinggi kepada suku bangsanya untuk lebih berusaha mengubah cara hidup dan pemikiran mereka.

Dia berbangga kerana di kalangan masyarakat sukunya yang mendiami kawasan di pinggir hutan dan menjalani cara hidup yang lama di daerah pedalaman itu, dia merupakan orang yang pertama mendapat pendidikan yang sempurna.

Malah, kejayaannya dalam peperiksaan dan tawaran memasuki universiti seharusnya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Segulung ijazah yang menjadi idamannya sejak mula menjejakkan kaki ke sekolah menengah lapan tahun yang lalu hampir menjadi kenyataan.

Dia tidak pasti bagaimana segalanya boleh bermula. Tidak diketahuinya bagaimana dia boleh terlepas dari tradisi sukunya yang tidak mementingkan pendidikan.

Seingatnya tidak ada seorang pun rakan sebayanya yang mengenal alam persekolahan. Apatah lagi untuk sampai ke sekolah yang terdekat dari perkampungannya pun sudah memakan masa berjam-jam.

Dia seperti anak-anak kecil lain di perkampungan kecil itu dibesarkan dalam suasana kehidupan di pinggir hutan. Dia dilatih untuk menjadi pemburu yang cekap dan mahir dalam selok-belok hutan rimba itu. Dia dididik sejak kecil untuk menjadi seorang penyumpit yang pintar, menghalakan sumpitannya ke arah penghuni rimba yang menjadi musuhnya.

Tetapi pada suatu hari, dia yang sedang berburu di hutan tebal itu telah tersesat hingga tidak menemui jalan pulang. Puas dia meredah hutan untuk menjejak jalan pulang ke perkampungannya tetapi gagal. Semakin jauh dia melangkah semakin jauhlah dia menyusuri rimba itu.

Akhirnya setelah begitu jauh meredah rimba dia telah tiba di satu kawasan lapang. Dia nampak sebuah bangunan kecil yang usang tersergam di pinggirnya. Dilihatnya beberapa orang kanak-kanak yang seusia dengannya begitu tekun melakukan sesuatu.

Keinginannya mendesak dan dia begitu tertarik untuk bersama-sama kanak-kanak itu. Ketika dia terhendap-hendap di luar bilik bangunan itu dia ditangkap oleh seorang lelaki dewasa yang berwajah garang.

Dia ketakutan dan cuba lari tetapi pegangan lelaki itu begitu kuat menyebabkan dia tidak dapat bergerak. Dia dibawa kepada seorang lelaki di dalam sebuah bilik.

"Saya Encik Balung, Guru Besar di sekolah ini." Lelaki itu memperkenalkan diri. Wajahnya yang mudah tersenyum itu melapangkan hatinya.

"Kamu siapa?"

"Ridu..." seingatnya itulah nama yang selalu dipanggil oleh ibu dan ayahnya.

"Ridu. Oh. Bagus sekali nama itu. Air muka kamu membayangkan kamu juga ingin belajar di sini. Kamu mahu bersama pelajar lain belajar di sini?"

Dia mengangguk-angguk kecil tanda faham. Harapannya mula meluap-luap.

"Baiklah, saya akan membawa kamu pulang ke perkampungan semula untuk meminta kebenaran kedua-dua ibu bapa kamu supaya kamu belajar di sini. Di sini kamu boleh tinggal di asrama bersama-sama pelajar lain."

Pada esok harinya dia dibawa pulang ke kampungnya bersama-sama Encik Balung menaiki Landrover yang dipandu oleh orang yang tidak dikenalinya. Perjalanan melalui jalan tanah merah yang berselut dan berlumpur.

Perjalanan itu amat menyeksakan. Beberapa kali dia hampir tersembam ke hadapan apabila kenderaan itu terbabas di tepi jalan. Hampir senja baru mereka sampai di kampungnya yang bertentang dengan rimba hijau yang tebal itu.

Ibunya menjerit gembira melihat dia pulang. Ayah hanya mengalirkan air mata, tanda kegembiraan, kerana dia selamat. Menurut ayahnya, sudah hampir segenap hutan itu dimasukinya untuk mencarinya. Mereka sudah hampir putus asa.

Ayahnya tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada Encik Balung kerana sudi menghantar anaknya pulang.

"Ada sesuatu yang ingin saya katakan. Saya harap bapa Ridu akan bersetuju." Encik Balung memulakan perbualan.

"Katakan apa yang tuan maksudkan..."

"Begini. Anak encik sudah selayaknya disekolahkan. Saya berhajat untuk menyekolahkannya di sekolah kami. Saya harap encik setuju."

"Tetapi, Ridu satu-satunya anak kami yang lelaki. Saya ingin menjadikan dia pemburu yang mahir di hutan ini."

"Encik harus faham. Pelajaran itu sangat penting untuk masa depan anak encik. Encik harus beri dia peluang..." Encik Balung mempertahankan hasratnya.

Wajah ayahnya mula berkerut. Orang tua itu segera memandangnya.

"Kamu ingin bersekolah Ridu..."

"Ya, ayah..." Ridu mengangguk kecil.

"Kamu tidak mahu lagi menjadi pemburu yang cekap seperti ayah? Kamu sudah tidak suka lagi tinggal di pinggir hutan ini?"

Mata mereka bertembung. Sesekali dengus nafas ayahnya berbaur antara deru angin yang berpusar.

Akhirnya, ayahnya terpaksa beralah dengan keinginannya.

Ayah Ridu membenarkan Encik Balung membawa anaknya ke Long Bayuh untuk disekolahkan. Encik Balung juga berjanji akan menghantarnya pulang ke perkampungan itu setiap kali cuti sekolah.

Hari pertama dia berada di sekolah, hampir semua rakan sekelasnya ketawa dan geli hati apabila dia tidak mampu menyebut huruf-huruf yang diajar. Bagaimanapun lama-kelamaan dia mula dapat memahami dan menyebut ayat-ayat yang begitu asing dalam hidupnya.

Setelah beberapa bulan belajar di situ dia mula dapat menguasai pelajaran. Dia sudah mampu membaca dan menulis.

Perkembangan ini begitu menggembirakan Encik Balung. Sejak itu dia diberi perhatian yang lebih dalam pelajaran jika dibandingkan dengan rakan-rakan sekelasnya yang lain.

Encik Balung sedar Ridu mempunyai potensi yang besar untuk mencapai peringkat pendidikan yang lebih tinggi.

Selepas beberapa tahun berada di sekolah rendah dia pun berpindah ke sekolah menengah di daerah lain. Semua perbelanjaan persekolahannya ditanggung oleh Encik Balung.

Prestasi pelajarannya yang sentiasa meningkat membuatkan Encik Balung tidak teragak-agak untuk membiayai pelajarannya di sekolah menengah.

Setiap kali cuti persekolahan dia akan kembali ke kampungnya di pinggir belantara itu. Sesekali apabila bersama ayahnya dia merasakan ingin meluah perasaan yang terbuku di lubuk hati kecilnya.

Dia ingin menyatakan rasa kesalnya dengan sikap dan pemikiran sesetengah orang kampung yang tidak berminat menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan pelajaran meskipun pihak kerajaan telah menyediakan sebuah sekolah yang tidak berapa jauh dari kampung itu.

Ridu ingin menyaksikan generasi sukunya sama-sama menikmati pembangunan yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Barangkali setengah-setengah golongan ibu bapa termasuk ayah dan ibunya masih lagi dibelenggu dengan pemikiran yang kolot dan tradisi lama yang kian lapuk.

Barangkali juga ayahnya masih belum memahami makna kemajuan, kerana bagi ayahnya, kemajuan itu tidak lebih daripada mencari makan, mengusahakan tanaman di ladang, atau sekali-sekala menerima subsidi makanan dan pakaian daripada kerajaan.

Dalam diam-diam dia telah merancang sesuatu. Selepas keluar dari universiti nanti dia akan kembali untuk berkhidmat kepada penduduk kampungnya. Dia ingin memberikan pendidikan yang lebih sempurna kepada anak-anak generasinya yang masih lagi tertinggal jauh di belakang.

Ridu mahu anak sukunya samasama memberi sumbangan untuk pembangunan dan kemajuan tanah air.

Dia yakin, dalam jangka masa dua puluh tujuh tahun dari sekarang sebahagian daripada bangsanya akan menceburi pelbagai bidang profesional seperti perundangan, pendidikan, koporat, sains, politik dan kejuruteraan.

Tentulah pada ketika itu tidak mustahil tanah airnya diiktiraf sebagai sebuah negara perindustrian, dan sesetengah anak sukunya pula menjadi tokoh perniagaan, ahli politik, cendekiawan dan tokoh koporat yang bermotivasi tinggi.

Barangkali pada ketika itu, tanah airnya akan menjadi lambang kemakmuran dan perpaduan, dan anak sukunya sudah mampu meneroka teknologi yang canggih-canggih.

Malah, mereka tentu sudah mampu memiliki kondominium mewah, vila, apartmen dan banglo yang tersergam indah di tengah-tengah kota metropolitan.

Tentulah waktu itu, tidak akan ada lagi anak sukunya yang masih mendiami pinggir hutan belantara dan mengamalkan cara hidup yang lama itu.

Segala-galanya bergumpal di kepalanya dengan seribu harapan. Terbayang dalam impiannya, wajah anak-anaknya berlari-lari riang di kawasan perumahan mewah, di pinggir kota metropolitan bersama-sama anak jiran Melayu dan lain-lain.

Cuma yang penting sekarang dia perlu menanamkan kesedaran di kalangan anak sukunya. Mereka perlu bersedia untuk menimba ilmu pengetahuan dan mendapat pendidikan yang tertinggi bagi meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi mereka.

Harapannya itu atas kesedaran melihat anak sukunya yang minoriti di tanah air, tetapi mampu bergerak ke arah kemajuan yang dicita-citakan selama ini.

Pasti ketika itu para pemimpin negara akan mengukir senyuman puas kerana misi gagasan dan wawasan yang dicanangkan kepada seluruh rakyat dua puluh tujuh tahun yang lalu sudah menjadi satu kenyataan, dan berhasil mencapai matlamat yang dikehendaki. Negara akan mampu membina teknologinya sendiri daripada kepakaran tenaga anak bangsa.

"Maaf encik, kita akan mendarat sebentar lagi. Sila pasangkan tali keledar." Pramugari yang cantik itu tersenyum melihatnya.

Lamunannya terputus.

Dia segera memasangkan tali keledar seperti dipinta. Dari tingkap, dia dapat melihat kehijauan hutan rimba dan bangunan-bangunan tinggi yang mencakar langit tidak ubah seperti kotak kecil yang bersusun.

Beberapa minit kemudian, kapal terbang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.

Dia melangkah turun bersama-sama penumpang lain. Ketika keluar dari ruang ketibaan, setelah mendapatkan begnya, seorang lelaki menyungsungnya.

"Saudara pelajar baru..."

"Selamat datang ke Kuala Lumpur. Kita akan langsung ke universiti. Saya percaya saudara tentulah gembira. Kita ke sana, bas universiti ada menunggu."

No comments: