Pages

Thursday, January 29, 2015

Dia yang turut pergi

Oleh Rusman Shariff

DENAI ke perkuburan itu agak semak. Aneka flora yang menumbuhi kiri kanan, menambah sukar perjalanan. Tanpa menghirau semua itu, kakiku laju sahaja meredahnya. Dari atas bukit, di kawasan perkuburan yang agak terpencil itu, kedengaran bunyi cangkul menghentak tanah. Mungkin kerja penggalian sedang dijalankan. Belukar jantan yang mengitari keliling, agak meremangkan bulu roma. Sesekali kedengaran ciapan bebarau berebutkan buah. Senduduk atau kuncorkah yang menjadi rebutannya.

Bola mentari agak terlindung dibalik mendung. Namun tiada tanda hujan akan turun. Yang pasti cahayanya yang tajam kadang-kadang menembusi mendung yang tipis, ketika ia beredar sedikit apabila ditiup angin.

"Assalamualaikum Wak!" Aku menyalami seseorang yang tampak sedang tekun menggali. Masih baru benar. Atau mungkin juga tanah yang sarat dengan pohon-pohon hutan yang agak besar itu sukar untuk ditembusi.

"Wualaikum salam. Ooo, engkau Det!" Wak tersengeh.

"Seorang sahaja Wak?"

"Aha! Paiman, Cedempo, Kusin dan yang lain, entah ke mana. Sejak tadi tak nampak batang hidung!"

Aku melabuh punggung di sebatang banir rebah. Wak terus bekerja. Kehadiranku seolah tidak diacuhkan. Tampak urat-urat simpul seribu yang berselirat di lengan Wak, tegang apabila Wak mengangkat cangkul itu tinggi melepasi kepala. Daging lengan Wak berolak turun naik. Memang kerja menggali liang itu agak sukar. Tanah liat yang seperti batu, dicampur dengan kerja seorang diri, tanpa kawan yang berjanji hendak membantu, kerja seperti itu boleh menimbulkan ketegangan.

"Biar saya ganti Wak!"

"Silakan!"

Aku dan Wak bertukar tempat. Ketika cangkul kuhayun, Wak melabuh punggung di banir yang baru kutinggalkan untuknya. Wak capai bekas rokok berisi tembakau Jawa dan mengulungnya sebatang. Dari atas sebatang pokok lenggadai, kedengaran kereh seekor anak siamang. Mentari yang tadinya terlindung dek mendung, kembali menjenguk wajah dengan jelas. Meski terhalang dek rimbunan pokok-pokok yang mengitari keliling, bahang panasnya tetap terasa dan tajam bagai jarum. Bajuku mulai basah.

"Wak tidak jenguk jenazah Mat tadi?"

"Aaa sudah. Malah saat akhirnya pun, Wak ada di sisinya!"

"Apa sakitnya arwah Mat itu?"

"Entahlah. Ajal maut di tangan Tuhan. Kalau dan sampai saatnya, di mana-mana pun boleh mati. Siapalah yanag dapat lari!"

Aku terus bekerja. Liang yang kugali baru memanjat setakat anak lutut.

Bajuku telah basah lencun dek peluh. Mentari begitu murah menyimbah sinarnya. Kereh anak siamang sesekali melayut ke anak telinga. Orang-orang yang sepatutnya datang membantu, masih tak nampak batang hidung. Aku jeling Wak dengan anak mata. Wak nampak bersahaja. Tiada tanda-tanda ada gusar berbunga di wajahnya.

"Lebih dari itu. Kami sekabupaten. Sama-sama membawa diri ke Semenanjung. Takdir menentukan Mat pergi mendahului Wak!"

Aku tercengang. Cerita Wak sesuatu yang baharu buatku. Wajah Wak kupandang dengan sejuta tandatanya. Tampak bunga-bunga kesedihan berbunga di wajah Wak. Mata Wak seakan menahan bendungan air yang akan turun lebat jika dilepaskan. Aku serba salah. Mungkinkah pertanyaanku tadi, telah melukakan hatinya. Atau ia mengingatkan Wak pada himbauan kenangan silamnya yang bertimbun-timbun, dan panjang seperti sejarah yang telah dilaluinya sehingga tersadai di kampung ini. Kenangan itu tentu membuatkan Wak dicengkam kesayuan.

Wak pandang wajahku. Wak seakan tahu, apa yang bermain di hatiku kini. Wak senyum padaku. Senyum yang melegakan, sekaligus menaikkan semangatku untuk kembali bekerja. Aku hayun cangkul kuat-kuat. Bunyi cangkul berlaga dengan tanah. Terasa bergegar kepalaku. Telinga bengang akibat hayunan yang kuat itu.

Ketika itu mentari kembali terlindung di balik awan. Dari kejauhan, dari balik gunung yang melindung daerahku dengan pinggir laut, kedengaran tagar berbunyi mendayu. Sesekali dari belukar yang mengitari keliling, kedengaran ciapan mergastua bersiponggang sesama sendiri. Liang yang kugali, baru setakat lutut. Tubuhku sudah basah kuyup. Peluh betul-betul mencurah dihamburkan oleh kudratku menghayun dan menghentakkan cangkul itu ke tanah, juga panas mentari yang tidak henti-hentinya bersinar. Basah kuyup dek peluh.

"Tukar Det!"

"Aha!"

Aku melompat naik. Wak bangkit dan kibas punggung tipus untuk membuang debu dan anak daun yang melekat. Ketika aku melabuhkan punggung di banir rebah itu, Wak hayun cangkul meneruskan kerja penggali. Aku buka baju. Tampak tubuhku, dengan bulu dada yang agak lebat, kuyup dek peluh. Warna merah terpancar akibat otot-otot itu terlalu banyak digunakan.

Memang beza antara aku dengan Wak, bagai bumi dengan langit. Tubuhku tegap sasa. Sedangkan Wak, bagai pokok getah tua yang menanti saat tumbang.

"Aku dan Mat berhijrah setelah kabupaten hilang ditelan merapi. Kami jadi tidak ketahuan, kerana kami tidak ada saudara mara di luar daerah. Hari Khamis, setelah sehari kabupaten hilang, saudara mara dan adik kakak kami turut hilang. Memang hanya Wak dan Mat yang terselamat." Begitu Wak memulakan kisah sedihnya.

"Mulanya kami ke Tulung Agung, mencari seorang kenalan yang pernah mengungsi kabupaten. Niat kami hanya mahu menumpang rumahnya buat sementara. Malangnya kami disangka bajingan, lalu diusir. Jadi kami terpaksa berjalan lagi mengikut kaki," tambahnya dengan muka selamba.

"Malam itu kami terpaksa bermalam di sebuah jirat Cina. Yang malangnya, hujan turun semalaman. Soal takut tidak terfikir kerana perut berkeroncongan minta diisi. Ketika tengah malam, tampak cahaya api menghampiri jirat itu. Mat ajak Wak lari, kerana kemungkinan api itu ialah hantu penunggu jirat itu. Tapi Wak berkeras supaya menghadapi segala kemungkinannya. Kan mati lebih baik daripada hidup tanpa ketentuan. Ternyata tidak ada apa-apa yang terjadi kerana api itu ialah jamung yang dibawa oleh orang yang ini melakukan kerja menurun di jirat itu. Sebaik kami menghampiri, orang itu, ada tiga semuanya, lintang pukang lari. Mungkin kerana menyangka kami penunggu jirat itu," Wak menghabiskan ceritanya setakat itu dengan senyum panjang.

"Tiba-tiba sahaja malam itu kami dapat rezeki. Ayam golek seekor, pisang sesikat, dua tiga jenis buah dan rokok sekotak besar." Wak bercerita lagi sambil tergelak.

Aku menahan gelak. Cerita Wak ada lucunya, walaupun mengandungi sedih. Wak mengangkat kembali cangkulnya. Tangannya yang kasar dengan urat-urat yang timbul di sana sini, menghentakkan cangkul itu ke tanah. Bunyi hentakan itu bergema di telingaku. Dan di belukar berhampiran, siponggang mergastua kian bersahutan. Mungkin menyambut petang atau mungkin juga terperanjat mendengar gegar tanah dihentak oleh cangkul Wak. Tapi di perkuburan sunyi sepi itu hanya aku dan Wak sahaja yang mengungsi.

"Bagaimana Wak boleh sampai ke sini?" Tiba-tiba timbul sahaja keinginanku untuk bertanya.

"Kami berjalan terus tanpa tujuan tertentu. Oleh kerana terlalu buntu Wak ajak Mat ke Tanjung Periuk. Kami dapat menumpang sebuah lori. Di Tanjung Periuk, kami ketemu seorang kenalan yang kemudian mengajak bekerja kapal. Wak dan Mat tidak sanggup menolak pelawaan itu."

Wak terus dengan ceritanya yang kadang-kadang berjaya meruntun perasaanku.

Dari Tanjung Periuk kapal itu menuju Tanjung Pinang. Setelah menurun dan menaikkan dagangan, kami belayar lagi hingga sampai di Singapura. Di Singapura, Wak ajak Mat turun. Kerana kapal itu berlabuh agak lama, ada seminggu, kami dapat melawati sebahagian besar Singapura. Setelah selesai menaik dan menurunkan dagangan, kami belayar lagi. Kali ini ke Muar. Di Muar kami cuba turun dan meninggalkan terus kapal itu. Malangnya kaptan tidak mengizinkan kerana kapal kekurangan pekerja. Kami belayar lagi menuju Pulau Pinang. Di situ, Wak dan Mat sepakat untuk melarikan diri. Malangnya kami ditangkap dan dibawa mengadap kaptan. Di luar jangkaan kami, kaptan kapal itu menyuruh kami menemui seorang kenalannya.

Melalui kenalan kaptan itu, kami diberi kerja menoreh getah dengan imbalan lapan puluh sen seorang sehari! Itulah mulanya kami sampai di Sungai Layar. Ini terjadi betul-betul sebelum perang meletus. Apabila Jepun menyerang Semenanjung, kami berhenti kerja dan membawa diri. Di sebuah kampung kami berjumpa dengan seorang lebai. Beliau membawa kami ke kampungnya ...!

Aku terkasima. Cerita Wak benar-benar menarik minatku. Segala pancaindera, segala tumpuan, kuhalakan pada Wak. Keasyikkanku, membuat aku melupai puluhan ekor nyamuk yang mengerumuni betisku. Melahap darahku rakus.

"Tanpa sedar Wak dan Mat, rupanya lebai berkenaan, yang kemudiannya kami kenali sebagai Ubai Senapi, mempunyai seorang anak gadis. Kembangnya bagai sekuntum seroja di padang lalang. Anak lebai itulah yang membawakan kami makanan setiap hari. Dari situ, kuntum-kuntum kasih berputik. Tapi bagai sejunjung sirih dua seginya ...!"

"Mengapa Wak?"

"Saadiah ibarat sekuntum bunga. Sedangkan yang ingin menyerinya ada dua!"

"Jadi ya, bagaimana. Kata putus diambil. Salah seorang mesti beralah. Kami sekabupaten, seperantuan. Adalah tidak mungkin, hanya kerana seorang gadis, kami bermusuhan. Jadi suatu hari, Wak dan Mat berbincang mencari kata putus. Ternyata kami buntu. Ketika itu kami teringatkan kisah dua putera Nabi Adam, berbalah kerana merebutkan seorang perempuan.

Jadi suatu hari, kami pergilah ke pinggir kampung, sekadar jauh dari pandangan orang. Setelah berteguh janji, akan tetap bersaudara tanpa mengira siapa yang menang atau kalah, Wak dan Mat pun beradu.

"Siapa yang menang Wak?"

"Ternyata Mat lebih handal. Malangnya, pinangan Mat ditolak, sebaliknya kami diusir ...!"

Wak getap bibir. Bunga-bunga mendung di wajah Wak nampak begitu memberat. Namun Wak tetap gigih menghayun cangkul timbunan tanah di tepi liang telah membusut jantan. Melihat itu, aku bangkit. Kusiahkan sedikit tanah itu dengan penyodok. Kutolak ke tapi agar ia tidak kembali menimbuni liang. Petang yang kian beransur, membuat mergastua belukar kian galak bersiponggang.

Cerita Wak tak habis di situ sahaja. Dia meneruskan.

Tidak lama setelah Jepun kalah, kami berhijrah ke Padang Rengas. Di situ kami menoreh getah di sebuah estet. Di samping itu, kami berguru agama dengan seorang ulama di kampung berhampiran, akhirnya kami berhijrah ke kampung itu. Mujur jua, ada orang bermurah hati mengizinkan kami menumpang ditanahnya. Di kampung itu juga, satu peristiwa hingga menyebabkan kami terbuang juah ke sini! "Mengapa Wak?"

"Masalahnya sama. Sebab seorang gadis!"

Aku menahan gelak. Pun untuk ketawa aku takut. Takut kalau-kalau mengecilkan hati Wak. Dan bila Wak memandangku, seolah-olah mengisyaratkan bertukar tempat, aku akur. Aku melompat turun dan Wak naik.

Mentari tambah condong, menunjukkan Asar kian mendekat. Liang itu mesti disiapkan sebelum jenazah Mat sampai. Mujur jua, tanah dibelah bawah, agak lembut daripada yang di atas.

Sesekali aku memandang ke denai menuju perkuburan itu. Mengharap semuga ada seorang dua datang membantu. Tapi yang nampak hanya nisan berceracakan. Si ponggong mergastua belukar, kian galak. Liang yang kugali, telah separas pusat. Tubuhku kembali disimbah peluh.

"Kerana Saurah, Wak dan Mat sampai ke sini ...!" Wak tidak memandang wajahku. Wak lontar pandangannya jauh ke belukar yang mengitari keliling. Wak seakan mencari sesuatu di celah pokok-pokok kayu yang sombong menjulang langit.

"Kalau semasa di Sungai Layar, pinangan Mat ditolak dan kami diusir, keadaan seperti itu juga yang kami hadapai semasa di Padang Rengas. Saurah sebenarnya anak orang terpandang, tentu sahaja keluarganya mahukan dia dijodohkan dengan orang yang berpadu juga. Kerana itu pinangan Wak ditolak dan Wak digunjingi sebagai dagang tak sedar diri. Kerana tak tahan ditohmahi orang, Wak dan Mat berjalan lagi. Sepanjang perjalanan, kami bekerja di mana dapat. Akhirnya dengan takdir Allah, kami dipertemukan dengan kepada kampung ini, yang asal usulnya memang dari Indonesia juga."

"Dengan jasa baiknya, kami ditempatkan di sebidang tanah miliknya. Kerana telah jemu diusir Wak dan Mat berteguh janji agar tidak bercinta lagi. Meski ramai yang sudi bermenantukan kami, tapi kerana telah serik, kami akhirnya mengutuskan untuk terus membujang ...!"

Wak termengah. Mungkin penat atau kehabisan suara. Aku hanya mendengar. Hatiku berbaur. Aku tidak tahu sama ada mahu mempercayai cerita Wak atau tidak. Tapi kesungguhan tetap berbayang. Ceritanya lojik: meninggalkan kampung kerana bencana, merantau hingga tersadai didaerahku ini. Hanya kesah cintanya yang tidak dapat kupastikan. Benar-benar terjadi atau rekaan Wak.

Petang terus beransur. Menteri kian menghampiri Zuhur. Langit kian dibungai mendung. Siponggang mergastua rimba, kian membingit. Sesekali kedengaran bunyi Deraman. Wak masih tekun mengali. Liang telah separas pinggang. Mungkin sebentar lagi, anak liang akan dibuat. Timbunan tanah di tepi liang, tambah tinggi. Aku bangkit. Dengan sebatang penyodok, tanah itu kusiahkan jauh.

"Bagaiman setelah itu, Wak?"

"Bagaimana apanya?"

"Tak inginkah Wak bercinta lagi. Atau tak kepining ke untuk beristeri. Kan kahwin itu satu sunah Rasulullah!"

Bibir Wak mengukir senyum.

"Siapa yang tidak mahu beristeri!"

"Jadi ...!"

"Kalau buat orang, patah tumbuh hilang berganti ...!" Tapi tidak buat Wak. Cinta Wak hanya untuk Saurah.

Wak kesat airmata yang tumpah membasahi pipi kedutnya. Aku tidak tahu sama ada mahu ketawa atau tersenyum. Untuk ketawa, aku takut menyinggung hati Wak. Untuk mengongsi kesedihannya, ceritanya terlalu menggeletek hatiku. Untuk tidak ketara pada Wak, kulempar pandangan jauh ke belukar.

"Ayoh Det. Gali liangnya!"

"Aha!"

Aku tidak membantah. Wak kutarik naik. Dan aku melompat turun. Berada dalam liang paras dada itu, agak menyeramkan. Terbayang olehku bagaimana si mati akan menghadapi alam barzakh nanti.

Sebelum menggali, kupandang lagi ke hujung denai. Yang nampak hanya nisan dan lalang yang berombak dipuput angin petang. Aku pandang muka Wak mencari sesuatu. Wak tetap bersahaja.

Tiba-tiba nafas Wak tercungap. Wak baringkan diri ke tanah bertilamkan dedaun kering. Aku melompat naik. Tubuh Wak kuterpa.

"Mengapa Wak?"

"Tak ada apa ...!"

Aku cemas. Bagaimana kalau sesuatu yang tidak diingini berlaku. Aku tinjau lagi ke hujung denai. Tiada kelibat manusia. Hari kian petang.

"Teruskan kerjamu, Det. Wak tak apa-apa. Letih sahaja!"

Aku akur pada kata Wak. Aku terjun ke dalam liang dan kembali hayun cangkul. Anak liang yang kugali, telah hampir siap. Cuma tinggal membuang sisa tanah. Sesekali kujenguk ke atas. Wak masih terbaring dengan nafasnya pantas.

Aku bimbang. Sungguh. Diperkuburan itu hanya aku dengan Wak. Hari pula kian petang. Liang yang kugali hampir siap.

Tiba-tiba Wak berbatuk lagi. Nafas Wak mencungap. Aku melompat naik. Cangkul dengan sedikit sisa tanah yang belum selesai kukerjakan, kutinggalkan. Tubuh Wak kuterpa. Aku cemas, cemas sungguh. Nafas Wak kian termengah. Biji mata Wak beransur kelabu.

"Wak ... Wak ... Wak ...!"

Tubuh Wak kugoncang kuat. Namun Wak tetap longlai.

"Wak ... Wak ... Wak ...!"

Airmataku bersemburan. Aku cuba mendengar degup jantung Wak. Tiada. Aku cuba merasai nadi Wak. Tiada. Biji mata Wak beransur kelabu dan pelan-pelan tertutup rapat.

"Laaillaillah ...!"

Kudengar suara kecil menangkap anak telingaku.

"Wak ... Wak .. Wak ...!"

Suaraku bergema disekitar perkuburan itu. Pun tiada siapa yang datang membantu. Yang ada hanya siponggang mergastua dari belukar yang mengitari keliling. Yang ada hanya nisan dan lalang yang berombak dipuput angin petang. Mentari kian sinar dibalik gunung. Mendung tambah menebal. Tagar yang tadinya bersabung di balik gunung, kini kian mendekat.

Dari hujung denai, kedengaran bunyi tapak kaki puluhan orang menuju perkuburan itu. Aku memandang kosong. Tubuh Wak yang kaku, kuriba. Sebaik sampai di liang yang kugali bersama Wak, semua sekadar berpandangan. Di hadapan mereka ada dua mayat yang mahu diuruskan.

Senja pun menebar wajahnya. Aku tersedu.

No comments: