Pages

Tuesday, January 13, 2015

Melepas niat

Oleh Ismail Supandi

SAKIT ibu yang sudah bertahun-tahun nampaknya beransur pulih. Ibu sudah nampak jauh perbezaannya kalau dibandingkan ibu yang dulu. Dulu ibu kurus. Dada ibu kempis. Dua tebing pipi ibu yang cembung menurut Nenek Pah, waktu ibu masih muda, nampak cengkung benar. Mata ibu jauh ke dalam. Rambut ibu tidak pernah terurus. Makan minum dan pakaian ibu tidak diendahkan.

Kini sudah hampir lima belas tahun, malah mungkin lebih, usia ibu dihabiskan dengan derita seksa yang pernah ditanggungnya. Untung juga ibu berkahwin dengan ayah. Ayah penyabar orangnya. Ayah memang tidak banyak bercakap soal-soal yang karut-marut. Sakit dan derita yang ditanggung oleh ibu, ayah tidak pernah mengungkit apa-apa. Ayah cukup penyabar orangnya. Kalau mahu dibandingkan dengan Paman Wan jauh benar sikap dan perangai ayah.

Menurut cerita yang pernah kudengar daripada Tok Wan ayah kahwin dengan ibu atas dasar pilihan orang tua. Ayah tidak pernah kenal ibu. Ibu tidak pernah kenal ayah. Tetapi waktu kecil-kecil mereka pernah mengaji dan bermain bersama-sama. Memang siapa pun tidak menyangka betapa ayah akhirnya berkahwin dengan ibu.

Bila datuk mencadangkan pilihan datuk supaya ayah berkahwin dengan Muslihah, nama ibu yang sebenarnya, ayah akur. Ayah diam. Ayah setuju dan tidak membantah. Itulah rahsia kekuatan dan kemuliaan yang dimiliki oleh datuk malah ayah juga.

Lima tahun ibu berkahwin dengan ayah mereka tidak lagi dikurniakan anak. Dasar masyarakat kampung cerita mengenai kisah rumahtangga orang lain sering meniti antara satu bibir ke satu bibir. Usia lima tahun ayah berkahwin dengan ibu tidak memperolehi anak menjadi bahan `kontroversi'. Ada-ada saja cerita yang aneh atau sengaja direka timbul dan meniti dari bibir ke bibir penduduk kampung.

Waktu itu ayah memang tidak banyak bertindak. Cerita yang karut-marut sehingga ada ketikanya mencabar kelakian ayah terdengar juga di telinga ayah. Tetapi ayah diamkan diri, tidak mahu ambil pusing itu semua.

"Tiang kekuatan kita sebagai manusia yang lemah adalah sabar. Sabar itu sendiri sebahagian daripada kesempurnaan keimanan kita. Hidup dalam kelompok masyarakat, sebaik-baiknya jangan sesekali memulakan angkara. Biar tinggi mana ilmu dan ketangkasan kita, jangan sekali membuat angkara," tegas Pendekar Muluk.

Kata-kata hikmat dan pendinding yang ditegaskan oleh Pendekar Muluk membenak utuh di ruang kepala ayah. Sampai bila-bila ayah berpegang pada kata-kata itu. Kalau mahu diikutkan nafsu dan rasa radangnya mendengar berbagai cemuhan malah sindiran mungkin sejak dahulu lagi sudah ada tiga orang penduduk yang tumbang di tangan ayah. Tetapi itu semua ayah sisihkan. Ayah anak jati Kampung Kederap. Datuk sendiri orang yang dihormati di kampung. Mustahil ayah mahu bertindak melulu.

Kesabaran ayah dalam menanti saat-saat bertambahnya ahli keluarga akhirnya terlaksana apabila ibu ada tanda-tanda mengandung. Ibu mengandungkan anak sulung dalam keluarga. Tetapi nasib tidak menyebelahi ayah dan ibu. Bayi dalam kandungan keguguran sesudah ibu mengandung masuk bulan kelima. Kehampaan bertaut di jiwa ibu dan ayah sendiri, namun ayah tetap sabar.

Derita dan seksa ayah serta ibu mendapat simpati daripada penduduk kampung. Sekalipun ibu keguguran ramai penduduk kampung yang datang melawat ibu. Waktu itu perasaan sayu melanda di jiwa ayah. Ibu apatah lagi.

Selang setahun ibu gagal melahirkan anak sekali lagi dengan kudrat Tuhan ibu mengandung. Namun entah malang apa, nasib tidak menyebelahi ibu. Ibu keguguran buat kali kedua sesudah kandungannya masuk bulan keenam. Jauh rasa kecewa dan hampa bertaut di jiwa ayah. Dan yang paling menyedihkan sesudah peristiwa itu keadaan dan kesihatan ibu terganggu.

Tubuh itu yang berisi beransur susut. Fikiran ibu menjadi terganggu betul kemudiannya. Ibu juga sering meracau. Kata-kata ibu mengikut apa saja yang terluah. Adakalanya perbuatan ibu bukan saja boleh mengaibkan malah membahayakan diri ibu, juga orang lain.

Dalam keadaan yang demikian ayah cuba menghadapi segala-galanya dengan penuh kesabaran. Sekalipun ayah amat mengerti akan seksa dan derita yang ditanggung oleh ibu namun ayah tidak pernah rasa putus asa atau menyesali dengan apa yang terjadi itu.

Ikhtiar ayah tidak setakat di kampung malah ayah sanggup ke seberang juga ke luar daerah demi mencari penawar untuk penyakit ibu. Itulah ayah yang pernah kudengari akan ketabahannya.

Satu pagi ibu berlari meninggalkan rumah ketika ayah tiada. Ayah ke kebun. Malu ayah bukan kepalang. Ibu keluar dalam keadaan yang mengaibkan. Ibu menyinsing baju dan kainnya hingga membuatkan semua mata tertumpu pada ibu. Ketika itulah kalau mahu disamakan malu ayah, ibarat selonggok daging babi menghempap muka ayah. Tetapi ayah tetap sabar.

Sebaik mendengar berita ibu yang demikian ayah pergi mendapatkan ibu yang sudah berada di kuburan. Ketika ayah tiba, ibu sedang duduk di atas kuburan. Batu nisan yang terpacak dicabut oleh ibu dan didodoikan ibarat mendodoikan anak tidur.

Ayah memerhatikan segala tingkahlaku ibu. Melihat ibu yang demikian perasaan sayu dan simpati serta kesedihan yang tidak terhingga meresapi segenap jiwa ayah. Air mata entah daripada mana hadirnya terasa merembas di sudut mata ayah. Tetapi segala-galanya ayah cuba hadapi dengan kekuatan sendiri.

Ayah pujuk ibu. Ayah pegang tangan ibu. Ayah pandang ibu kemudian ayah capai batu nisan dan ayah pacakkan kembali pada tanah di kuburan. Lama ayah dan ibu bertenung-tenungan, seperti menganyam kasih di atas kuburan yang sunyi sepi itu. Ketika itu juga terasa benar angin pagi yang berhembus amat dingin, seolah-olah membawa khabar yang terang bahawa ada bayi yang sudah bersemadi di dalamnya.

"Kamu harus berbuat sesuatu Zukri," suara itu seperti mengingatkan. Ketika itu ayah sedang duduk menyandarkan badannya di anjung rumah.

Ayah diam. Nenek Pah memandang ayah. Setelah lama berdiri di tepi anak tangga. Nenek Pah membasuh kakinya lalu naik dan duduk di anjung bersama ayah.

"Muslihah rindukan anak." Tambah Nenek Pah. Ayah masih membisu. Sebilah parang pendek yang dipegangnya diasahnya tajam.

"Perasaan orang perempuan tak sama dengan perasaan orang lelaki. Kamu ni serupa ayah kamu," leter Nenek Pah sesudah ayah tidak berkata apa-apa lagi.

Sanggupkah kamu melayani keadaan Muslihah yang terus-terusan begitu? Peristiwa pagi tadi sahaja sudah cukup memalukan kita. Kamu juga yang susah dan malu," rungut Nenek Pah lagi. Tatkala itu juga ayah memandang Nenek Pah. Ayah membetulkan duduknya. Parang pendek yang sudah terasah dimasukkan kembali ke dalam sarungnya.

"Mak tahu Muslihah tak sihat. Mustahil kami boleh berbuat sesuatu dalam keadaan Muslihah yang begitu." Balas ayah. Ada sesuatu yang mahu ayah hamburkan supaya Nenek Pah tahu benar apa yang sedang dideritai oleh ayah.

"Mustahil macam mana? Kamu ikhtiarlah dahulu," tingkah Nenek Pah untuk menjawab kata-kata ayah. Ayah masih tidak mengerti apa sebenarnya maksud Nenek Pah.

"Mustahil mak. Muslihah tidak boleh mengandung apalagi melahirkan anak dalam keadaan tidak ketahuan fikiran. Kalau kita dapat melihat dia sembuh dan sedar seperti sedia kala saja sudah lebih daripada mencukupi," ayah menyuarakan perasaan hati dan harapannya.

"Muslihah tu rindukan anak Zukri. Kamu harus faham. Bukankah masih boleh kamu ikhtiarkan. Emak boleh uruskan kalau kamu sendiri sanggup."

"Apa maksud emak?"

"Ambil anak angkat."

"Ambil anak angkat kata emak?"

"Ya, itu sahaja yang boleh mengubati penyakitnya."

"Rumit kerjanya emak."

"Menjaga anak sendiri pun rumit. Siapa yang tak rumit menjaga anak. Saya saja," potong Nenek Pah. Ayah terdiam. Suara ayah menyengkang. Nenek Pah cuma mengharapkan ayah saja menyuarakan rasa persetujuannya.

Suasana jadi sepi. Angin yang sesekali berhembus lembut serasa memberi keselesaan duduk berehat di anjung rumah.

Tatkala ayah cuba menyatakan sesuatu pada Nenek Pah tiba-tiba saja ketenangan ayah tergugah. Rasa sedih pilu ayah menyelinap bagai mata parang yang tajam membenam ke dalam daging lembut.

Dari arah dalam rumah kedengaran suara ibu melaung kuat. Ibu menjerit-jerit. Ibu merasuk tidak ketentuan. Keadaan menjadi tidak terkawal. Suasana yang amat gamat seakan mahu meranapkan segala ketenangan pada petang itu.

Ibu meraung-raung, suaranya sudah tidak terkawal lagi. Dan yang paling menghairankan ibu seperti orang ketakutan. Ibu menyebut nama Muin berkali-kali.

Muin keparat!

Muin laknat!

Muin jahanam!

Malah beberapa patah perkataan yang terhambur dari mulut ibu menyatakan rasa benci yang amat sangat kepada Muin. Ibu seakan hilang kawalan diri. Keganjilan yang terlihat di wajah dan perbuatan ibu cukup membuatkan ayah dijeruk derita.

Ayah cuba mengawal keadaan. Dengan suara membujuk ayah mendekati ibu. Nenek Pah cuba membantu. Ketika ayah cuba memaut badan ibu, ibu menjadi begitu agresif. Ibu cuba mengilas kepala ayah dengan sebatang beluti yang kebetulan tersandar di dinding. Ayah cuba mengelak. Keadaan sungguh meluluhkan kekuatan dan memilukan perasaan ayah. Ayah menerkam dan menjatuhkan ibu. Ibu tersungkur. Kepala ibu berdarah sedikit kerana terhentak pangkal tiang di ruang dapur.

Semalaman ayah tidak lelap tidur. Rasa kasihannya terhadap ibu menjadi-jadi. Dan kasih sayangnya kepada ibu masih tidak luntur. Sewaktu memikir-mikirkan nasib itu, ayah terkenang juga apa kaitan rasukan ibu dengan ibu dengan nama Muin yang disebutkan oleh emak ketika dia sedang meracau-racau itu. Puas dia memikirkan puncanya. Setiap kali ayah hampir menemukan jawapan, ayah cuba menyisihkan apa yang difikirkannya. Rasa takut ayah datang menerpa. Dia benar-benar takut apa yang mungkin telah terjadi.

"Tidak! Tidak! Aku kenal siapa Muslihah. Aku kenal siapa Lebai Ajis. Lebai Ajis mertua aku. Lebai Ajis prihatin dan tahu menjaga maruah anak-anaknya. Tidak! Tidakkkkk!!!!!!" Lolongan ayah, sengaja dihamburkan keluar semahu-mahunya. Tetapi adakalanya suara itu membungkam di batang tengkoroknya.

Malam itu ayah tidak lena tidur juga. Dua tiga kali ayah terjaga sesudah matanya terlelap. Sehinggalah jam tiga pagi sebaik ayah terbangun dari tidur, ayah cuba membersihkan dirinya. Ayah mengambil air sembahyang, kemudian ayah mendirikan solat tahajud dan solat hajat. Tangan ayah diangkat tinggi. Walau dengan suara perlahan terdengar jelas ayah meminta sesuatu daripada Tuhan seru sekelian alam. Darjat ketinggian dan keagungan Allah dengan segala sifat dan kebesarannya, dipuji oleb ayah berkali-kali.

Malam yang hening dengan hembusan angin terasa menyapa tubuh membentuk rasa kedamaian yang amat nyata. Ketika itu jugalah ayah memohon petunjuk semoga mendapat panduan dan ditunjukkan ke jalan kebenaran.

Malam itu ayah tertidur di atas sejadah.

Pagi itu ada satu berita gempar berlaku di Kampung Kederap. Berita Muin merasuk seperti orang kena isim menghairankan seluruh penduduk kampung. Muin yang baru dilantik menjadi bilal bagi penduduk di sebelah baruh, menggantikan Lebai Dollah yang baru sahaja pulang ke Rahmatullah, menimbulkan banyak tanda tanya.

Ayah yang baru saja menyambut kedatangan pagi, setelah tertidur di atas sejadahnya, selepas menunaikan sembahyang subuh, mendengar saja berita yang dibualkan itu. Apa puncanya, ayah juga tidak tahu. Yang ayah tahu Muin tiba-tiba saja hilang akal dan dia sekarang mengalami seperti mana yang sedang dialami oleh emak.

Ketika ayah mendongak di pundak langit tampak seakan ada jaluran putih mewarnai lapisan langit pagi itu.

Ketika itu juga ayah seakan mengingati kembali segala peristiwa sewaktu pernah seperguruan bersama Muin di Bukit Sepayung ketika masih remaja Muin yang pernah kecewa sesudah gagal untuk memiliki Muslihah kiranya telah menggunakan ilmu yang salah untuk merosakkan jiwa insan yang tidak berdosa itu.

"Bumi tidak menerima manusia seperti kamu yang melanggari amanat Pendekar Muluk, Muin! Aku lebih yakin segala kekuasaan itu terletak di tangan Allah."

Ketika ayah menyatakan apa yang mungkin dan masih basah dalam ingatannya, tangan kanan ayah memegang bahuku. Cengkaman tangan ayah kukuh.

Lama ayah memandang diriku. Pandangan ayah tajam sekali. Tangan ayah kasar dan kemas. Ketika itu juga aku merasa amat bangga betapa ayah yang amat pendiam, penyabar rupanya adalah seorang pendekar, anak perguruan kepada Pendekar Muluk, seorang pendekar terbilang di daerahku. Bila ayah memandangku, seakan nampak ada sesuatu yang mahu ayah katakan. Aku sendiri jadi tergamam dan seakan terkancing mulutku. Dalam umurku yang sebegini sebenarnya aku tidak pernah bertanya siapalah aku yang sebenarnya. Siapalah aku dalam keluarga ayah dan ibu.

"Kamu menyesali hidup kau Amin?" Tanya ayah. Aku diam. Kemudian aku menggelengkan kepalaku. Wajah ayah nampak ceria dan bersinar.

"Kamu adalah cucu kepada Pendekar Muluk. Sesudah ibu dan ayah kandungmu meninggal dalam tragedi sampan karam, ayah berusaha membela dan membesarkan kamu." Sebut ayah sambil memandang tepat ke mukaku. Kemudian ayah menundukkan kepalanya sedikit. Suara ayah agak terketar-ketar. Aku cuba mendamaikan jiwa ayah dengan melorekkan senyumku kepadanya.

Dengan tiba-tiba ibu keluar membawa minuman untuk kami. Suasana senyap sepi seketika, namun saat ini apa yang jelas segala-galanya berlaku di atas kekuasaan Allah jua. Kami mengalaminya dengan penuh tabah dan berserah.

No comments: