Pages

Sunday, January 11, 2015

Seorang seniman

Oleh Omar Mamat

KEHADIRANNYA agak aneh. Dia muncul secara tiba-tiba. Ketika persiapan terakhir untuk berangkat, dia menawarkan diri untuk ikut serta. Dasar terbuka kelab, menerimanya tanpa banyak bicara. Dia didaftarkan sebagai ahli yang ke-101.

"Rahimah," suaranya lembut dan lunak. Bola matanya yang jernih dan galak itu seolah-olah menyatakan bahawa, dia merelakan dirinya untuk ikut sama dalam Kelab Penulis Negara ini.

"Imah, mengetahuinya melalui akhbar harian," dia menjelaskan kesungguhan minatnya. Kulitnya putih kuning dengan rambut yang kemerahan membayangkan gadis kota yang sesuai dengan peredaran zaman. Tambah pula dengan pakaiannya yang berseluar jeans dan memakal T-shirt itu jelas bahawa dia gadis kota masih muda remaja.

"Karya Imah belum pernah tersiar di akhbar," secara jujur dia menjelaskan tentang dirinya yang begitu berminat dengan sastera.

"Pernah menulis?" Sany, Ketua I kelab yang memandu dengan tenang cuba mencungkil lebih lanjut. Hanya mereka bertiga sahaja di dalam kereta itu. Kebanyakan ahli menaiki bas. Hanya Rahimah secara tiba-tiba juga menyatakan yang dia ingin ikut kereta ke Bukit Fraser itu.

"Sepanjang perjalanan nanti, dapatlah, Imah, tahu lebih dekat tentang kelab ini," dia seolah-olah merayu agar dia ditumpangkan ke salah sebuah kereta yang ikut serta dalam rombongan itu.

"Saya pernah menulis, tetapi untuk simpanan sendiri," satu pengakuan yang ditemui oleh siapa pun bila berhadapan dengan penulis-penulis baru.

"Sepatutnya orang macam Imah, tentu banyak yang boleh ditulis?" Usik Zulfakar yang tersandar di belakang kereta itu.

"Kenapa kata begitu?" Tanyanya seolah-olah dia merasakan soalan itu cuba memerangkapnya.

"Orang kota, tentu banyak benda yang boleh ditulis," jelas Sany dengan tenang. Tergamam

Rahimah tersengih, membariskan gigi-gigi yang halus tersusun namun agak kekuningan seperti seorang perokok.

"Orang selalu salah anggap, kononnya orang kota banyak pengalaman, banyak benda yang boleh dtulis," dia berhenti seketika merenung ke arah jalan yang semakin berliku-liku. Sekali-kali terdengar decitan tayar apabila menempuh selekoh yang agak tajam.

Kesenggangan waktu itu dicuri oleh Zulfakar.

"Orang kota, utamanya gadis kota, selalunya lebih cepat kelihatan matang, apa komen Imah?" Zul kembali bersandar. Bola matanya tepat memerhati ke arah Rahimah yang tergamam seketika.

"Matang bukan bererti banyak pengalaman, mungkin kematangan fizikal atau pengaruh setempat menjadikan dia kelihatan demikian," tegas dan lancar dia menerangkan setiap patah perkataannya seolah-olah seorang guru bahasa yang sedang menerangkan sesuatu kepada pelajarnya.

Sany memandu dengan tenang. Keadaan jalan yang mendaki serta berli-liku memerlukan perhatian yang sepenuhnya. Sekali-sekali matanya menjeling ke arah Rahimah yang kelihatan gelisah. Sekejap mendengus dengan kuat seolah-olah melepas geram dan tiba-tiba moyok seperti ayam kalah bersabung.

"Orang kampung, orang desa sebenarnya yang banyak idea, banyak disokong oleh alamnya untuk menjadikan dia seorang penulis yang baik." Sabungnya setelah berhenti seketika.

Dua hari pertemuan ahli diadakan dengan penuh mesra dan berjalan dalam suasana yang sungguh berkesan. Tiga penceramah yang mahir dalam bidang masing-masing menyampaikan kertas kerja dengan begitu berkesan. Hingga peserta seramai empat puluh orang seolah-olah tidak mahu melepaskan peluang untuk bertanya itu ini. Rata-rata mereka penulis baru.

"Kalau kami hantar karya kami, tentu tak laku, apa lagi kami belum ada nama," hujah salah seorang ahli yang secara jujur mengaku telah beberapa kali menghantar hasil karyanya tetapi belum pernah tersiar.

Beberapa orang ahli angguk, setuju dan seolah-olah merasakan pengalamannya hampir sama.

Penceramah yang memang biasa dengan soalan serta pengalaman penulis-penulis baru hanya tersenyum. Sedikit pun tidak membayangkan kegusarannya untuk menjawab soalan tersebut.

"Saya, pernah mengalami perkara yang sama. Semasa menulis mahupun selepas bertahun-tahun menjadi penulis," dia merenung ke arah para peserta dengan wajah selamba.

"Pernah karya saya tersiar selepas hampir setahun setengah diperam oleh pihak akhbar!" Suaranya agak tinggi untuk menegaskan pengalaman yang pernah dilaluinya itu.

"Lagi lama diperam, lagi baguslah mutunya," celah salah seorang peserta disambut dengan gelak ketawa beberapa orang penulis muda serta peserta yang ada.

Malam itu, selepas majlis penutup, Rahimah termangu sendirian di satu sudut menghala ke arah bukit yang tersergam diselubungi kegelapan malam. Wajahnya tidak seperti sebentar tadi, ketika semua peserta mengambil bahagian, dia begitu riang, mesra dan menyampaikan sebuah syair dengan gaya yang tersendiri.

"Aku ingin mencuba," suaranya perlahan. Sany yang berdiri di hadapannya menatap dengan penuh tandatanya.

"Tentang hidup, Imah," suaranya semakin jelas seperti ingin menarik perhatian Sany.

"Tentang kehidupan kota?"

"Ah! lagi tentang topik itu, sudah basi!"

Suaranya keras. Dia muak dengan tajuk yang hampir sama seperti yang dibuatkan di dalam perjalan kelmarin.

"Aku mahu orang membacanya untuk kali yang terakhir tentang diri aku," dia seperti bercakap sendirian. Melahirkan sesuatu yang mungkin sudah sekian lama terperam di sudut hatinya.

"Selepas itu?" Sany terus mengusik.

Rahimah tersenyum. Bibirnya yang sentiasa basah merkah itu menguntum senyum bagaikan sekuntum bunga yang baru mekar.

"Kau, dan mungkin semua akan tahu nanti!" Suaranya bagaikan berbisik.

Desis angin malam yang semakin dingin menusuk ke seluruh tubuh Sany. Dia merasakan kesejukan yang amat sangat. Rahimah seperti biasa sahaja.

"Aku kesejukan..." Suara itu tenggelam seketeka. Dia merenung ke arah alam yang pekat hanya diterangi bayangan lampu. Dia merenung ke arah deretan bangunan terletak di atas bukit di hadapannya.

"Aku kesejukan," dia pasti, Rahimah akan mendengarnya.

"Kau belum biasa dengan alam begini?" Pertanyaan itu menarik perhatian Sany.

"Maksudmu?"

Rahimah tersenyum. Dia sudah turut berdiri dan sekali-sekala menyapu mukanya dengan telapak tangan.

"Barangkali aku lebih banyak mengalami perubahan alam. Ia mengajar aku jadi lebih berani, lebih dewasa," dan dia mendekap mesra badannya seolah-olah menahan kesejukan.

"Aku semakin tidak mengerti!" Satu pengakuan ikhlas dari Sany.

Beberapa orang ahli lain sudah meninggalkan dewan minum dan ada yang bersiar-siar menyedut udara malam yang menyegarkan.

"Barangkali lubuk rahsia dalam dirimu terlalu dalam," Sany cuba menduga teka-teki yang masih bermain di lubuk hatinya sejak dari pertemuan pertamanya dengan Rahimah ini.

"Kita beredar ke sana," pelawa Imah sambil melangkah ke arah sebuah pub yang sedang mengumandangkan lagu-lagu rancak. Sany mengekori dan kini bergandingan.

Berselang seli dengan keriuhan suara rancak beberapa orang anak muda yang riang menyanyi, Imah banyak menceritakan tentang dirinya. Dia amat berterus terang dalam beberapa hal walaupun ia dicungkil oleh Sany.

"Aku merasakan hidup ini adalah sebuah pentas yang indah," dia meluahkan perasaan hatinya tentang erti kehidupan yang sedang dilaluinya kini.

Angin malam di puncak bukit itu begitu menyegarkan. Sedikit pun tidak terasa masa berlalu. Setiap kerusi masih dipenuhi pengunjung biar pun malam telah larut.

"Keindahan itulah yang membawa beberapa warna dalam kehidupan," sambungnya dengan nada yang bersahaja. Jari-jari halusnya sekali-sekala mengirai rambutnya yang ditiup angin malam.

"Kau seperti menyembunyikan sesuatu?" Sany mula tertarik dengan kata-kata Imah.

Imah tersenyum. Menampakkan barisan giginya yang putih bersih.

"Seni banyak mencorakkan hidup ini supaya lebih indah!" Sany berharap agar Imah akan terus menyambung dengan kata-katanya tadi.

"Seni jugalah yang telah menghancurkan sebahagian dari kebahagiaan hidup ini," suaranya perlahan tetapi penuh makna. Sany merenung tajam ke arah matanya. Imah tunduk memandang jauh ke hadapan.

"Aku semakin tidak faham," rungut Sany.

Imah membuang pandangannya keluar pula.

Sany cuba mendengar butir-butir dengan penuh minat. Sungguh dia tidak menduga Imah akan berterus terang hingga menyingkap sebahagian daripada kehidupannya.

"Kerana senilah aku mengakhiri zaman remajaku," dia berhenti seketika. Di kelopak matanya tergenang air jernih yang bersinar di bawah panahan cahaya lampu berkerlipan.

"Seni jugalah yang menutupnya," sambungnya lagi dengan suara yang tertahan-tahan.

Kini Sany menjadi penonton sebuah drama yang terbuka. Primadonanya hanya seorang wanita yang telah melakonkan riwayat hidupnya.

"Aku mahu, biarlah sejarah hidupku juga ditutup dengan seni." Suaranya tugas dan mengharap.

Tiba-tiba sahaja dada Sany jadi berombak. Paluannya amat kencang. Pentas dunia terasakan bagaikan sebuah kapal di tengah lautan bergelora.

"Apakah kedatangannya ke sini untuk membuka tirai penutup hidupnya?" Pertanyaan itu tersumbat di dalam halkum dan bersimpul-simpul lalu mengetuk-ngetuk gegendang otaknya.

"Maksudmu?"

"Aku akan menghasilkan sesuatu sebelum aku menutup mataku nanti." Berterus terang dan penuh makna.

Sebelum mereka beredar ke tempat menginap, segalanya Imah ceritakan. Lelaki yang menjadi pilihan hidupnya adalah seorang penulis yang aktif.

Namanya terkenal di mana-mana. Hasil karyanya tersiar di mana-mana. Dan setiap kali hasil karyanya tersiar, Imah akan membacanya berkali-kali. Lalu mereka berkenalan.

"Kami berkenalan seketika sahaja, kebetulan kami tinggal sepekan," ceritanya dengan jujur.

Rumahtangga mereka amat bahagia. Cinta mereka bagaikan sebuah gunung yang tak mungkin runtuh. Ima terasa bahagia mendapat seorang suami yang amat perasa, penyayang dan begitu mesra.

Nama suaminya sebagai seorang penulis semakin meningkat. Apa sahaja yang ditulis bagaikan pancaran cahaya di hujung jari yang menyuluh setiap liku kehidupan.

Imah turut bahagia kerana suaminya dikagumi, seorang penulis berbakat besar dan istimewa.

Imahlah yang mencadangkan supaya suaminya keluar dari dunia sekitar untuk meneropong kehidupan yang lebih bermakna.

Kata Imah, penulis yang baik ialah penulis yang menulis seluruh kehidupan alam maya ini. Biarpun dia tidak pernah menulis. Tidak malu kalau dia mengaku dia hanya peminat dan tidak tahu menulis.

"Imah percaya, bukan semua orang boleh menghasilkan sesuatu yang indah, hanya manusia istimewa sahaja yang mampu," katanya dengan suara yang hampir tenggelam dalam kesejukan yang semakin menyerang sekeliling.

Lalu sang suami sebagai seorang penulis yang menyahut cabaran masa, melangkah membuka rahsia dunia yang penuh dengan rimba misteri ini.

Kepulangannya disambut dengan penuh kasih sayang dan belaian seorang isteri yang sering mengiringi pemergian suaminya dengan doa kejayaan.

Imah tidak pernah bertanya ke mana dia akan melangkah. Atau berapa lama dia akan mengembara mencari rahsia dunia. Pergilah sejauh mana, selama mana, Imah tetap sabar menanti.

"Tuhan maha adil dan bijaksana," Imah mengesat linangan air jernih yang mengalir bagaikan embun gugur.

Semasa ketiadaan suaminya, Imah diserang sejenis penyakit yang hanya menanti saatnya untuk mati.

Sekali lagi dada Sany diserang gelombang. Sekali ini dengan penuh simpati. Namun menurut kata Imah, biar penyakit itu menjadi rahsianya. Lalu rahsia itu diceritakan kepada suami yang pulang dengan pengharapan. Perjalanan

"Barangkali berita itu menakutkannya. Atau akan membunuh kolam kata yang terpancar di lubuk hatinya," suaranya diserang dengan isak tangis yang amat perlahan.

Setelah seminggu dia tidak ke mana-mana, resah gelisah seorang seniman mendesaknya untuk keluar lagi. Suatu pagi yang hening, dia secara senyap-senyap meninggalkan rumah ketika Imah masih diselimuti kedinginan pagi. Hanya secoret tulisan yang meruntuhkan sebuah mahligai yang dibina selama ini.

"Imah menerimanya dengan pasrah. Itukah seniman?" Sany tidak menjawabnya.

Hatinya berkecamuk. Malam itu Sany benar-benar gelisah. Siapakah seniman itu. Kiranya dia akan jadi seniman ternama suatu hari nanti, dia juga akan melakukan seperti yang telah berlaku ke atas Imah.

Kolam rahsia Imah terkunci rapat. Sebelum memejamkan matanya, dia berdoa agar usia Imah panjang.

Janjinya tidak membuka rahsia yang diluahkan semalam, membuatkan perjalanan pulang itu lebih banyak membisu.

Zul lebih banyak bercerita tentang rancangannya untuk terus sahaja meninggalkan lapangan kewartawanan dan akan kembali menulis karya kreatif.

Begitu juga dengan Imah. Dan dia benar-benar berharap agar, melalui Kelab ini, hasil karyanya akan tersiar nanti.

"Biar pun sebait sajak," katanya dengan penuh harap.

"Hasil daripada bengkel ini nampaknya berjaya. Tentu akan lahir beberapa orang seniman ternama nanti," usik Zul sambil menjeling ke arah Imah yang tersandar kejap di bahagian belakang.

"Barangkali, A Samad Said akan melancarkan mogoknya lagi, Othman Puteh akan menjual komputernya. Shahnon Ahmad akan kembali ke Banggol Derdapnya," sambung Sany pula disambut dengan gelak kecil mereka bertiga.

"Seorang seniman bukannya lahir dari bengkel sahaja. Mana tahu, seorang ibu kampung yang sering mendodoikan anaknya juga boleh menjadi seorang penulis lirik lagu yang amat berharga." Imah serius kini. Mereka bertiga senyap tiba-tiba. Sany memandu dengan tenang.

Sebelum berpisah, mereka berjanji akan bertemu lagi. Imah benar-benar mendesak agar Sany dan Zul menuliskan alamat untuknya.

Katanya, dia akan menulis sebuah cerpen percubaan dan akan menghantarnya kepada penerbit.

Sany benar-benar mengenali gambar yang tersiar disisi sebuah cerpen yang berjudul `Seorang Seniman'. Dia tidak salah lagi. Sany merasa bangga kerana ia dihasilkan oleh seorang penulis baru.

"Imah!"

Ceritanya amat menarik. Dan Sany merasakan kandungan cerita itu hampir sama dengan apa yang pernah diceritakan kepadanya.

Sany cuba menghubungi melalui telefon. Tidak ada siapa pun yang menjawab. Melalui alamat yang diberikan kepadanya, dia cuba mencari.

Setidak-tidaknya dia mahu supaya dialah orang pertama yang mengucapkan tahniah kepada Imah. Tentu Imah akan tersenyum lebar.

Rumah teres setingkat itu berkunci rapat. Sany cuba meninjau ke sana sini. Muncul seorang lelaki separuh umur lalu menyapanya.

"Maaf encik, penyewa rumah ini telah meninggal!" Suara lelaki itu seolah-olah masih turut bersimpati dengan apa yang telah berlaku.

"Mati?'

Lelaki itu menggangguk.

"Dia ni, dah lama menghidap barah, tiga hari lalu dia ke hospital, semalam meninggal, jenazahnya dibawa balik ke kampung." Terang lelaki itu.

"Jadi,?" Sany tergaman.

"Perempuan ini baik orangnya, bekas suami dia dulu zalim," lelaki itu tahu benar tentang kehidupan Imah. Dan, sebelum sempat Sany bertanya sesuatu, lelaki itu berlalu dengan membawa tanda-tanda sugul di wajahnya.

Sany terpaku seketika. Wajah Imah terpampang di ruang matanya. Bola matanya meleret ke arah akhbar yang terdedah di dalam keretanya.

Selepas menghadiahkan fatihah kepada arwah yang baru pergi, Sany meninggalkan perkarangan rumah itu dengan seribu kesalan.

"Kaulah seorang seniman tulen," bisik hati kecilnya yang dibaluti teka-teki.

No comments: