Pages

Friday, January 09, 2015

Menunggu maut

Oleh Jong Chian Lai

BERIBU-ribu kelelawar menerpa ke arah mulut gua. Di hujung bibir, dia melaung `terbangkan aku bersama'.

Walaupun dicubanya menghirup seteguk air hasil tadahan beberapa hari dari bumbung gua yang retak, mengunyah sarang yang telah berunyas, dia tidak berbuat apa-apa kecuali menunggu dengan harapan. Dia perlu menyahut cabaran ini. Selepas mengunyah sarang itu semacam ada kekuatan lain yang berjuang bersama untuk menafikan dia akan mati.

Di sini dia kelaparan. Kerana kebuluranlah dia mati nanti.

Saranggg... Unggun api Saranggg... Unggun apiii...

Dia bagai memuja.

Batu sial menggugat segala-galanya. Ini jerat jembalang gua.

Bikbikbik .....

Kaumaha agung mengurniakan akal kepadaku. Akal sahaja belum mencukupi. Belummm! Kudrat sahaja yang dapat menyelamatkan aku.

Antara mahu maut terpendam harapan untuk kesinambungan hidup.

Deruan angin melanda setiap halangan dari mulut gua, bunyinya seperti seruling, menghembus semakin kencang apabila kian ke dalam dan mengejutkan unggun api. Unggun api galak menepis. Ada api tertinggal baranya. Tetapi hidup kembali apabila api berdekatan menyambar bara itu. Seperti merancang mempercepatkan kematiannya. Bila unggun api padam, kegelapan membalut gua, unggun api mengalah, kedinginan mengilukan dan amat tajam mengakibatkan nyawanya kesemputan.

Sialku belum pasti.

Aku selamat kalau unggun api tidak padam. Tanpa unggun api segala-galanya unggun apiii...., unggun apiii ... ?!

Beruang: Menyiat dagingnya - aduh menyakitkan!

Ular: Membelit hingga tulang-temulangnya patah - begitu rapuh sekali.

Lipan: Menusuk racunnya - bisa sekali. Tentu kala jengking dan lipan berjuang mendapatkan aku.

Kalau senapang itu di sampingnya, nyawanya tidak begitu terancam. Tidak ada akal munasabah dapat membawa senjata itu ke arahnya.

Siapa yang tidak mati, Tadai?.

Kakiku tersepit antara batu sial ini.

Aku mahu pulanggg!

"Kenapa orang tidak datang!" Begitu bingar suaranya melaung, seperti angin menghembus keluar dari mulut gua. Tapi rasanya suara itu masih di dalam.

Bikbikbikbikbik .... bikbikbikbik

Punah harapannya untuk menampung kekurangan keluarganya. Janjinya mahu mengalungkan rantai di leher itu, menggelengkan emas di tangan itu, menyarung cincin di jari manis - sebelum ini belum ada. Lesap impian Tadai. Begitu kukuh niatnya untuk menyekolahkan Lawai tahun hadapan, luluh bagai jasai layunya. Sebulan lagi Lawai akan ke sekolah.

Sebelum ke gua, dia mengingatkannya tentang pakaian sekolah, kasut, sarung kaki, buku, pensil, alat pemadam, pengasah pensil, pembaris dan bekas air. Kata-kata anaknya menumpah segunung harapan. Gunung harapan itu lebur menjadi titisan air mata Tadai, Panchi, Lawai, Ludan, Gumang, Ladong dan zuriat dalam kandung empat bulan.

Kewibawaanku kecundang!!

Dia menggutik kulit mukanya. Kulit muka kasar itu tidak merasa pedih digetil. Dia kebingungan. Kehangatan di tapak tangan dan mukanya ditawan kedinginan. Seluruh kulitnya menjadi lali.

Mustahilll! Aku tak kesal. Aku tahu, matiku memang di sini. Aku tak takut Tadai. Ya, antara batu ini ... tersepit ... mati.

Aku tak takut mati. Ya antara batu besar ini .... aku takut mati di sini. Di siniiiii! Jangan tinggalkan aku tersepit begini. Mati merengkuk begini amat payah. Dapatkan aku Tadaiii!

Ulat menggerogot tubuh hingga reput. Kemudian semut pula akan menggonggong daging serpihan ke sarang. Beribu-ribu ulat, beribu-ribu semut berjuang menelanjangi tubuh ini sehingga ke tulang.

Jangan tinggalkan aku, Tadai!

Setiap desiran angin yang menyusup dari rekahan, lubang gua membawakan bersama talian suara Tadai memanggil-manggilnya, hilang timbul, lenyap, muncul kembali sehingga dia cukup pasti ia bukan geseran angin tetapi ternyata suara itu sudah amat serasi pada pendengarannya sejak sepuluh tahun lalu.

Anak-anaknya kurus belaka. Bahagian berotot begitu kempis dan yang lainnya hanya kulit. Urat ketara menonjol dari sebalik kulit nipis. Tulang ula-ula seperti barisan bisul dari tengkuk ke punggung. Tulang cenak tinggal kulit sahaja di bahu. Tulang pipi begitu rapi membentuk permukaan wajah mereka. Kadang-kadang bila tertampar tulang cenonot, palma tangannya terasa pedih.

Perasaannya tertekan oleh desakan itu. Sebagai seorang lelaki, menjadi suami pula, kejantannya dicabar kalau kemiskinan keluarga benar-benar mencengkam kehidupan mereka. Dan di sini, terhimpit antara batu basar dan dinding gua, kebimbangan Tadai pun benar-benar terjadi ke atasnya. Dia sungguh-sungguh tidak menghargai keresahan seorang perempuan.

"Usahlah risau sangat kalau kepulanganku terbunda. Mungkin sarang itu begitu banyak hingga terasa kerugian kalau tidak dikutip sepuas-puasnya," pesannya kepada Tadai.

Atas ubun-ubunnya beberapa ekor burung hinggap. Rambutnya dipatuk-patuk. Kemudian disentap berkali-kali. Terasa kehangatan meresap ke kulit kepala. Tahi! Unggun api meliar diusik angin dari mulut gua mengejutkan burung itu. Burung mencip-cip keras. Melaung-laungkan rasa kemerdekaan dari ancamannya.

Kecantikan Tadai terserlah dari kebiasaan. Orang serumah baru menyedari lalu bisik-membisik sehingga ke cuping Tadai dan dia tersengih panjang. Tidak tercemar rasa gundah di wajah berseri itu. Dia menjadi orang lain. Rantai emas bersinar garang mengalung leher jinjangnya. Gelang tersusun tapi di kedua-dua belah tangan hingga sendat di siku. Rasa kepuasaan tergambar dalam setiap senyuman yang terlimpah dari bibir merah itu. Sekali-sekala terpercik amaran dari anting-anting di telinga. Tiada jari yang tidak disarungkan cincin. Pergelangan kakinya dikalungkan perak. Bajunya serba merah, bercorak bunga benang emas. Di kakinya kain pandak, terkatung-katung syiling perak, gemercing bunyinya. Di dadanya rantai perak berbagai corak. Di rambutnya, sugu perak diukir begitu rapi melambangkan hari bahagianya. Pasangan itu bertambah cantik dengan adanya kain tenunan bali mensunga melatari mahligai sehari itu.

Tadaiiii!

Sarang burung lembut itu basah, dikunyahnya selambat mungkin kerana mulutnya kaku dan rapuh. Dia takut mulutnya mudah pecah seperti tanah kontang yang bercerai apabila disentuh. Antara rongga kerongkongnya semacam ada batu-batu kerikil, amat kesat dirasakan. Dia mampu membasahi sarang dalam sintong itu. Dan sambil menadah dia menghitung titisan itu. Kiraannya hanya dua ratus empat puluh tiga titisan air. Harapannya biar titisan itu berlanjutan hingga beribu-ribu titis.

Ngelindur tadi bukan terbit dari kekacauan fikirannya. Kebenarannya pun tidak menyemarakkan kemarahannya. Dia akan mati. Dan tidak salah Tadai mempersuamikan orang lain. Kalau dia sempat pulang, dia benarkan juga Tadai kahwin. Tadai masih muda walaupun bakal melahirkan baka keenamnya. Tentu duda kampung akan merisik. Dua puluh tiga tahun usia Tadai. Perkahwinannya dengan dia. Tadai seperti pucuk merudang dan janggal diperakukan sebagai bini. Anak setahun seorang gagal melunturkan kejelitaannya. Dia tidak terkilan Tadai kahwin semula. Dia akan duduk seharian melepaskan usia selanjutnya dalam keadaan lumpuh. Sebulan dua mungkin dia akan mati.

Pemergiannya yang lama dari jangkaan itu mungkin Tadai telah membisikkan kepada tuai rumah. Mungkin orang yang paling diharapkan itu dapat membantu mencarinya di gua jahanam ini. Tentu tual rumah akan mengumpul anak buahnya lalu dibawa berandau halnya di ruai. Dan dia pasti semua yang pernah ke gua akan memberi alasan kukuh, sekaligus melegakan dan melenyapkan rasa gundah Tadai. Sokongan ramai mengenai sesuatu pendapat dalam berandau menyimpul masalah itu. Kalau sepakat mereka kata perlu menanti dua hari, tiga hari atau seminggu, Tadai tak terdaya bersama anak dalam kandungan mendaki bukit Klingkan. Tadai tak mampu!

"Amat payah menunggu maut," Dari kelopak menjalari lurah hidung menyimpang ke mulut lalu terpesong sedikit ke bibir, mengalir turun ke dagunya, terkatung air mata di situ untuk kesementaraan sahaja. Kemudian gugur di atas batu besar itu. Mengharapkan air matanya dapat menghancurkan batu itu. Seperti mentara mencairkan salji.

Aku belum mati!

Mereka menangis di samping mayatnya. Dia ditidurkan atas papan. Kepalanya diletakkan menuju ke mentari tenggelam.

Tadaiii!

Tukang sabak mengalunkan lagu-laguan mengingatkan jasa-jasanya, kebaikan-kebaikannya, keperibadiannya kepada pendatang dari tujuh buah rumah panjang yang dijemput.

Carilah akuuuu!

Dia dimandikan. Alu diletakkan di kedua hujung rumah panjang. Sekurang-kurangnya alu dapat menyelamatkan rohnya daripada dirampas hantu jahat.

Aku enggan mati di sini, Tadaiii!

Dia dipakaikan dengan baju yang paling kemas. Baju paling bagus adalah baju hadiah daripada mertuanya.

Bawalah aku pulang! Bawalah mayat aku pulang! Biarpun hanya tulang-temulang. Biarpun tengkorak sahaja.

Pua tenunan nanak dijadikan adangan sementara di ruai itu. Pua merahap mayatnya. Kecuali mukanya bagi orang menatap wajahnya untuk kali terakhir.

Jangan biarkan kucing melangkah aku!

Bising burung mungkin ribuan itu terkejut mendengar jeritannya yang lantung-melantung di dalam dan menghilang begitu sahaja.

Ulattt!

Bergerunyut tubuhnya. Seperti hujan dingin membasahi tubuhnya. Dan bulu tengkuknya menegak.

Eeeeeeulat!

Bukan! Mungkin semut, mungkin ular, mungkin lelabah, mungkin kala jengking, mungkin lipan.

Kaki aku berulattt! Terasa di kaki lukanya. Bergeronyot seperti ulat mengorek daging.

Tadaiiii!

Ulat nanti mengunggis sedikit demi sedikit kulit, daging, menghisap darahnya, merebak ke betisnya, peha melarat punggung, menebuk perut, menggorek hati, limpa dan jantung. Ulat itu mulanya puluhan, bertambah ratusan, membiak ribuan meratahnya. Ulat sebesar jarum, membesar sebesar ibu jari. Yang rebah di atas batu besar itu nanti adalah tulang-temulangnya.

Bikbikbikbikbikbik

Beberapa ekor burung sengaja menjatuhkan diri dari bumbung melayah dekat unggun api. Menyentuh lidah api dengan sayapuya. Api pun terkernyit. Buyangannya yang tumpah di kiri kekagetah.

Cussssss! Bikbikbikbik! Cusssss!

Bilangannya bertambah, melayah dan mengerubungi unggun api. Serasa hampir sepenghuni burung bersarang dalam gua itu menyerang kerdipan api itu.

Matanya redup dan pudar sinarnya. Pandangannya menjadi mamang.

Cusssssss! Cusssiss! Bikbikbikbik!

Jangan padamkan apii!

Kamu mendendami akuu!

Bikbikbikbikbik!

Langkah demi langkah dihayunkan dalam perjalanan yang paling panjang. Degupan begitu meresahkannya. Apakah dia harus menyerah segela-galanya kepada takdir? Dia tersungkur atas padang pasir. Hanya kawah pasir, bukit pasir, gunung pasir, tidak ada lain kecuali dia dan gurun pasir. Angin kencang dan panas. Debu pasir semacam hujan yang amat lebat. Dan pasir pun terhimpun menanam separuh tubuhnya. Bunyi angin menghantar pesanan dalam bahasa angin yang lembut, `mauuuuuutt" matahari dikunyah awan tebal dan langit merah kekuningan mengikis sepahnya dari mewarnakan dunia itu. Dia harus terus merangkak. Kerana tekaknya dihakis hebat oleh angin kering.

Walaupun mamang, tertangkap juga olehnya bayangan bahaya dan besar. Seperti menunggu pokok tua ini yang daunnya ranggas, rantingnya rapuh dan banir menjadi goyah. Bayang-bayang besar begitu kuat kesabarannya menantinya untuk kecundang. Kemudian melanggahkan mulut, menyambarnya. Dirasakannya harapan untuk hidup mulai pudar. Tidak kesampaian menggapai harapan itu.

Tadaiii!

Burung layang-layang menyerang.

Ulat-ulat mengunggis kaki.

Bayangan besar itu pasti melawar daging.

Jangan kuburkan mayatku dalam perutmu!

Kelopaknya semakin picik. Sinar matanya mamang. Unggun api mengecil, sekali-sekala lidah api terlepas dari baranya. Bayang-bayang besar semakin sabar menanti. Ada angin lembut menghembuskan suara-suara dari luar gua, mungkin suara manusia mungkin suara hatinya. Dia terus menggunyah sarang burung itu.

Apai Lawaiiii! Memanjang laungan itu seperti suara hatinya mungkin suara manusia atau hembusan angin yang membohonginya.

Tetapi terjadi keributan kerana pertembungan antara burung layang-layang dengan beribu-ribu kelelawar di mulut gua.

No comments: