Pages

Friday, January 23, 2015

Kenangan lama

Oleh Muhd Nasruddin Dasuki

BEGITULAH kehendak-Nya. Segala-galanya bukan bermula dari kesenangan. Ia terbentuk daripada kepayahan sebenarnya. Kepayahan itu jugalah yang menjala segenap kegelisahan yang lama terukir di birai hidup.

Percaya atau tidak, tidak harus dipersoalkan kerana hidup ini pun sebenarnya banyak persoalan yang mati begitu saja tanpa jawapan.

Hidup sebenarnya perlu membentuk harga diri tanpa mengizinkan diri dari terus dieksploitasikan dan dimangsakan keadaan. Begitu aku berfikir. Soalnya harga diri yang terbentuk selama ini seperti unsur alam, berubah daripada keadaan sebenar.

Segala-galanya bertukar mengikut musim. Alangkah sedihnya. Menjaring perubahan memang tidak wajar untuk dihalang. Ketentuan Tuhan sememangnya begitu, tiada yang kekal di dunia melainkan-Nya. Setiap yang wujud akan mengalami perubahan seperti juga helaian rambut hitam di kepala, satu saat ia akan bertukar warna. Seterusnya begitu aku melanjutkan fikiran.

Memang, dalam suasana tertentu harus menjaga kepentingan orang lain, melupakan diri untuk sebentar. Dalam waktu yang lain harus pula mengutamakan diri dan tidak memperdulikan orang lain. Begitu aku menekankan perasaan pada satu subuh yang dingin tatkala terjaga daripada mimpi.

Realitinya, hidup lebih banyak menuntut kenyataan dan kebenaran. Memalsukan perasaan bermakna melukakan hati sendiri, membahagiakan orang lain. Sesiapa pun memang tiada yang sanggup melakukan. Lainlah jika hukum alam, ketentuan Tuhan di tangan-Nya.

Aku merenung ke langit. Mata awan dan mata angin seolah-olah merenung aku kembali. Apakah ini sebenarnya satu kehairanan atau satu kejutan? Alam seperti sudah memahami apa sebenarnya yang hendak aku perkatakan. Simpatikah?

Apa yang hendak disimpatikan. Malah semua orang tidak simpati. Di mana-mana saja dirosakkan. Dicabul dan tidak suci bagai dahulu. Apa yang ada kepada engkau? Tentulah tidak lain sekadar penghuni yang tidak memberi makna apa-apa.

Mata aku lontar ke segenap alam. Di langit masih biru. Ada sedikit tompok-tompok awam putih melangkah. Di depan, mata tidak ada lagi kehijauan. Segala-galanya telah kering layu. Suara angin pun seperti masih dapat didengar walaupun berbisik perlahan. Tetapi sekarang?

Tanah yang dipijak berhampiran sebuah anak sungai jelas sudah diparasit pelbagai jenis bahan kimia. Ada warna-warna yang menandakan ia sudah tidak asli. Tidak subur.

"Sepuluh tahun aku tinggalkan engkau. Dengan harapan engkau akan dewasa dimakan hari tetapi adakah engkau dewasa sebagai mana yang aku sangkakan?"

Itu yang aku ucapkan kepadanya, seorang gadis yang ditinggalkan ketika berusia lima belas tahun.

"Aku tidak faham apa yang engkau maksudkan?" Dia berkata lembut, tenang, tidak menghamilkan kesangsian.

Sesudah sepuluh tahun aku tinggalkan, aku harap engkau akan faham tetapi sehingga ke saat ini engkau masih juga tidak faham. Bagaimana hendak aku katakan lagi supaya engkau faham, Ladia?" Aku merenung anak matanya yang bulat. Wajahnya yang bujur sirih. Memang banyak berubah jika dibandingkan dengan sepuluh tahun dulu.

Tetapi aku percaya kedewasaannya sama dengan kedewasaan hutan-hutan di hujung kampung yang aku tinggalkan. Dulu dialah gadis teman bermain. Aku puji kerana manis wajahnya. Apabila dewasa nanti akan menjadi gadis yang cantik. Benarlah kini dia sudah menjadi gadis yang cantik seperti hutan itu sepuluh tahun dulu, segar dan menghijau.

Tetapi engkau kini? Masih gadis, sudah jadi tunangan orang atau sudah jadi ibu atau entah apa-apa lagi? Cuma yang pasti hutan-hutan di depan mata telah tiada. Ke mana hilangnya? Hatiku berkata-kata sendiri?

"Sepuluh tahun engkau hilang dari kampung kemudian pulang tiba-tiba, mengharapkan orang faham. Apa ni?" Dia sudah mulai diselimuti kehairanan. Tentunya kejutan akibat pertanyaan itu.

"Aku belajar di kampus hijau. Kemudian aku ke luar negara. Tiga tahun kemudian pulang dan bekerja." Aku jelaskan kedudukan sebenarnya mengapa aku menyepi sejak sepuluh tahun dahulu.

"Ada juga manusia yang masih ingat kampung! Setahu aku kalau kita renung bintang di langit, rumput di bumi hanya jadi tempat berpijak. Rupanya tidak." Aku sedar, Ladia menyindir. Aku harus memperbetulkannya. Hidup jangan izinkan diri jadi mangsa keadaan. Aku selalu ingat itu.

"Engkau sindir aku. Tak apa. Aku terangkan. Aku sudah tidak ada orang tua di sini. Engkau tahu bukan, bapaku meninggal dunia dihempap pokok ketika meneroka hutan. Ibu aku jadi mangsa penyakit taun, puncanya mungkin sungai itu. Aku menuding ke arah sungai yang tidak jauh dari situ. Hendak pulang ke kampung, siapa yang ada? Saudara mara? Jika aku kaya raya, bolehlah. Aku miskin, siapa mahu mengaku aku saudara?"

Aku pandang wajah Ladia. Rambutnya yang panjang disebakkan angin petang. Wajahnya yang tadi dilitupi rambut jelas nampak lesung pipit apabila tersenyum. Sedikit pun aku tidak tergoda. Milik siapakah gadis ini nanti? Aku sengaja bertanya dalam hati. Buat menenangkan hati.

"Aku faham. Engkau pulang ke sini setelah sepuluh tahun tentu ada tujuan?" Jelas di hati gadis itu sudah ada kesangsian. Aku duduk pada satu tunggul kayu mati. Akar-akarnya sudah terbenam. Batangnya hitam, barangkali bekas terbakar.

Aku masih ingat, di sini dulu tempat aku bermain-main. Selonggok batu sebesar pemeluk tempat aku tuliskan nama aku sendiri masih ada, tulisannya mungkin sudah hhilang dijilat masa. Ladia masih berdiri bersetentang mata.

"Selalunya begitu. Kecurigaan kerap ditafsirkan apabila sesuatu itu berlainan dengan keadaan sebenar. Aku tidak salahkan engkau dan dan aku rasa engkau wajar menangkap kecurigaan itu." Dari jauh kira-kira 15 meter aku merenung air sungai yang mengalir lesu. Selain ibu entah berapa ramai yang mati kerana kuman taun di sungai itu. Aku tidak tahu apa yang terjadi kerana selepas itu aku tinggal di asrama dan tidak pulang-pulang lagi. Ibu pergi selepas setahun bapa kemalangan.

Kembali aku merenung wajah Ladia. Seperti apa yang berlaku di depan mata, perubahan itu semunya kehendak Tuhan.

"Engkau jangan mentafsir yang lain Hardee. Engkau muncul di sini memang menimbulkan banyak tanda tanya. Pasti ada sesuatu yang engkau cari?" Kata-kata Ladia itu jelas seperti mendesak secara tidak langsung supaya aku berterus terang. Aku faham dia mahu mengetahui apa sebenarnya yang aku cari.

"Aku tidak mencari apa-apa dan sesiapa sekadar mahu mengunjungi kampung halaman yang sudah sepuluh tahun aku tinggalkan. Aku rindu kepadanya?"

"Yang lain?"

"Engkau!" Aku tergelak, bukan bermaksud mencemuh. Sejak sepuluh tahun berpisah, aku tidak tahu kisah hidupnya.

Langit petang sudah menebar warna perang. Cepatnya masa berlalu. Angin pun sudah tidak bertiup. Barangkali mahu berehat. Rasanya baru sebentar tadi aku sampai ke kampung hari sudah mahu senja.

Sama ada orang mahu kenal dengan aku lagi atau tidak. Itu bukan soalnya Sewaktu turun dari teksi dan singgah di kedai kopi untuk meneguk air kotak, masih ada yang tidak lupa nama Hardee. Jelas mereka terkejut. Ke mana anak muda itu menghilang, tiba-tiba saja muncul. Begitu agaknya sejumlah pertanyaan di fikiran mereka.

Aku sekadar senyum. Dari kedai kopi aku berjalan ke hujung kampung. Jauhnya kira-kira dua kilometer saja. Sampai di situ aku terpaku. Memang segala-galanya sudah berubah. Tiba-tiba saja muncul Ladia, entah dari mana dan sebab apa kerana petang-petang begitu sepatutnya dia tidak berada di situ. Satu tempat yang sunyi meskipun keadaan sudah terang benderang tidak ditumbuhi pokok-pokok seperti sepuluh tahun dulu. Ada banyak hijau yang memberi sepenuh erti kepada sebuah kampung.

Terpandang saja, dia sudah tergamam seperti tidak percaya. Rupa-rupanya dia masih ingat aku. Tidak sangka dia masih tinggal di kampung tidak seperti sesetengah gadis desa yang suka mengejar kesenangan di bandar.

"Sejauh mana seluang melaut, akhirnya ke kuala juga." Ladia menyilangkan tangan. Berpeluk tubuh. Kepalanya disengetkan sedikit. Pandangannya terasa lain.

Untuk pertama kali menjejakkan kaki ke kampung sudah kena sindir. Manisnya sindiran itu. Aku senyum. Aneh, kenapa bukan khabar yang ditanya walaupun aku sebenarnya tidak mengharapkan apa-apa daripadanya.

"Sudah adat. Hujan pun tidak pernah jatuh ke langit. Ke tanah juga tumpahnya. Nak salahkan siapa?" Entah macam mana aku boleh meluahkan kata-kata itu, yang jelas ia bukan peribahasa tetapi kalimat yang tercipta spontan.

"Cakaplah apa yang engkau cari?" Aku terkejut dari lamunan indah sebentar tadi. Belum pun sempat mengingati pertemuan manis itu, sudah dikejutkan dengan suara yang agak keras.

"Kita sekarang hidup dalam keadaan bahaya. Sumber galian, tenaga dan biologi semakin berkurang dan musnah sekelip mata. Ramai sainstis dunia semakin ragu adakah dunia ini akan kekal." Ladia terkejut dengan kata-kata itu.

"Apa kena mengena dengan engkau?" Ladia memotong kata-kata sebelum aku sempat meneruskannya.

Aku teringat buku `The Twenty Nineth Day' tulisan Lester Brown dari Institut Worldwatch mengenai pengekploitasian sumber alam sehingga semuanya musnah semata-mata kerana mahu mengaut keuntungan.

Penulis itu juga menyebut, jika unsur-unsur semulajadi diganggu atau dimusnahkan, sistem ekologi yang membantu manusia akan semakin berkurangan dan akhirnya musnah sama sekali. Ia menjadi satu krisis menakutkan.

Lester Brown membuat kesimpulan, musnah sistem biologi bukan hanya isu yang perlu difikirkan oleh ahli alam sekitar. Sistem ekonomi kita sebenarnya bergantung kepada sumber alam. Apa saja yang mengancam sumber alam secara langsung mengancam ekonomi dunia. Sebarang ancaman terhadap sistem ini mengancam juga prospek kemanusiaan.

Ternyata benar apa yang dikatakan di dalam buku itu. Kampungku sendiri menjadi mangsanya. Penduduknya?

"Aku bukannya ahli sains tetapi amat mencintai alam sekitar. Wajar untuk aku mengetahui krisis alam sekitar yang berlaku di kampung kita. Sungai di kampung kita ni, adalah di antara 42 buah sungai yang teruk dicemari. Entah berapa banyak hidupan air yang mati, entah berapa ramai yang keracunan, berpenyakit!"

Aku lihat wajah Ladia berlainan benar. Dalam hatinya tentu ada banyak pertanyaan yang timbul. Dahulu aku tidak pernah terlintas memikirkan soal itu tetapi kini masalah itu seperti sudah menjadi tugas besar dalam kepalaku.

"Engkau tidak percaya bahawa tidak semua yang ada dalam dunia tidak akan kekal dalam bentuk asalnya?" Ladia aku renung dari hujung kaki ke hujung rambut.

Dia merenung juga tubuh aku yang kurus dengan misai nipis. Pakaian tidak kemas, dengan berbaju `T' dan seluar jean. Tentu saja tidak menarik minatnya. Aku bukan lelaki kacak. Tapi bukan itu soalnya. Yang penting ilmu. Orang tidak nampak ilmu di kepala tetapi kebodohan orang kadang kala tidak perlu dilahirkan dengan kata-kata. Tingkah laku boleh jadi buktinya.

"Aku percaya. Soalnya perubahan itu seharusnya tidak merugikan sesiapa." Aku bangun. Genggaman tangan kanan dan kiri aku masukan dalam poket seluar.

"Siapa yang rugi?"

"Kita. Hidup kita sudah tidak selamat lagi. Sungai-sungai mengandung racun. Kita tidak akan dapat rasa kesegaran waktu pagi dengan melihat daun-daun dibasahi embun. Yang kita hirup cuma debu-debu kotor. Lihat saja di kampung ni. Asap hitam kilang getah di kampung kita ni?"

"Kilang getah tu banyak memberi pekerjaan kepada anak-anak kampung. Sekurang-kurangnya menghalang mereka berhijrah ke bandar." Ladia mahu mempertahankan sedangkan dia tidak memikirkan apa-apa.

"Itu dari sudut lain. Dari segi kesihatan. Udara di kampung ni sudah dinodai. Tidak suci. Lihat bukit batu sebelah sana tu. Batu-batu dipecahkan. Debu-debunnya berterbangan ke kampung ni. Tidak hairanlah kalau klinik di kampung ni selalu sangat terima pesakit batuk kering."

"Mana engkau tahu semua ini?"

"Aku belajar."

"Engkau doktor?"

Geleng.

"Pengkaji alam sekitar?"

Aku diam. Bertahun-tahun membuat kajian di merata-rata tempat mengenai pencemaran alam sekitar tetapi kampung sendiri? Aku seperti menyalahkan diri. Tapi kini aku pulang mahu membetulkan kesilapan itu.

"Aku sebenarnya mahu melihat keadaan kampung halamanku yang hijau, bersih dan segar tetapi ternyata sudah banyak berubah sehingga aku lupa di mana tempat aku bermain dulu. Kolam-kolam di belakang rumah pun tiada lagi. Pelita ayam, tempayan besar depan tangga, entah ke mana. Rata-rata. Semua itu sudah tiada.

"Aku bangga dengan perubahan itu. Kemajuan namanya dan aku rasa engkau pun macam kampung kita ni juga, tidak seperti dahulu." Aku sengaja mahu mengusik.

"Apa makaud engkau?"

"Sudah berapa anak?"

"Merepek!" Ladia terus beredar. Aku tergelak. Biarlah. Pergilah.

Ladia melangkah meninggalkan pinggiran hutan di hujung kampung. Aku menghantarnya dengan satu pandangan yang lain. Siapalah suaminya ingin aku mengenalinya.

"Hardee...!" Aku terkejut dan menoleh.

"Eh! Pak Agus!" Kami bersalaman.

"Apa yang pakcik bayangkan selalu tidak meleset. Satu hari engkau akan pulang juga ke sini." Wajah Pak Agus sudah banyak berubah. Rambut putih sudah penuh di kepala. Dia mengesat peluh di dahi.

"Dari mana?" Pak Agus rakan baik ayah sama-sama meneroka tanah hutan tentunya sudah menyangka aku akan bertanya soalan itu.

"Pakcik lihat engkau ke sini tadi. Sengaja pakcik ekori sambil singgah sekejap di kebun sana tu." Pakcik Agus menuding ke satu arah yang tidak kelihatan pun kehijauannya.

"Ada kebun di sini?"

"Ya. Tanah hutan yang pakcik terokai bersama-sama aruah ayah kau dulu. Tapi tak menjadi."

"Di mana hutan-hutan di hujung kampung kita ni?" Sengaja aku bertanya.

"Sudah habis kena tebang. Kayu-kayunya habis kena curi. Nasib baik tak ada kaum Penan di sini. Kalau tak, kecoh juga."

Pak Agus menancapkan parang ke tanah.

Aku melihat perbukitan yang sudah gondol. Yang tinggal hanya tunggul-tunggul kayu.

"Pakcik tahu engkau sedih melihat perubahan ini. Tapi apa nak buat? Kita harus akui hakikat tiada yang kekal di dunia ini."

"Saya terkilan. Hutan kita pupus. Kampung kita dicemari debu, air sungai kotor. Tiada kesucian lagi pada sumber alam di kampung kita."

"Itulah perubahan sebenarnya."

"Ladia anak Haji Zahar tu?"

"Kau mahu bezakan dia dengan hutan itu? Dia sudah jadi janda sekarang. Kahwin tiga kali cerai sejak usianya sembilan belas tahun. Dia juga macam hutan-hutan itu, dinodai manusia tanpa belas. Setiap petang dia ke sini. Barangkali teringatkan satu-satu anaknya yang mati lemas di sungki itu.

"Wajah kedut Pak Agus jelas mengandungi seribu cerita. Tidak sanggup aku mendengarnya lagi.

Aku masih ingat di sini juga dulu setiap petang aku menunggu ayah pulang dari menebas hutan bersama Pak Agus.

"Pak Agus tentu masih ingat tempat ini?".

Dia angguk. Tunduk agak lama. Air mata tiba-tiba jatuh di pipinya. Ladia sudah tidak kelihatan. Rupa-rupanya dia juga seperti hutan itu.

No comments: