Pages

Monday, January 05, 2015

Sembang Timur

Oleh Amelia Hashim

MALAM masih remaja. Sekitar teras sepi. Nyanyian malam jelas berirama. Cengkerik jantan berlagu memanggil cengkerik betina. Lampu gasolin yang tergantung di alang tengah rumah mampu menebarkan cahaya ke segenap penjuru. Sehingga terbias keluar menerusi setiap lubang yang ada. Pintu masih terbuka. Sepetak cahaya tercampak keluar depan tangga itu. Ini membolehkan Lebai Dolah yang bersandar dekat pintu mengenali sesiapa saja yang baru sampai.

"Sila! Sila!" Seru Lebai Dolah berlagak seperti tuan rumah bila melihat Dahaman yang sedang menonyoh kepala jamung di perdu kelapa condong. Mata rabun Lebai Dolah juga sempat melihat kelibat Joyah isteri Dahaman menarik tangan anak perempuannya menyusup ke bawah rumah menuju ke tangga dapur. Joyah mungkin orang terakhir yang naik menerusi tangga dapur.

Joyah menjirus kaki anaknya sebelum mencuci kakinya sendiri dengan air yang tersedia dalam guri di rusuk anak tangga terbawah. Dia mengesat kakinya dengan kain buruk yang terlonggok depan pintu. Anaknya Leha yang berusia lima tahun itu terus berlari mendapatkan kawan-kawan sebaya yang sedang mengelilingi pelita sambil bermain ram-ram pisang.

Ruang dapur yang selalunya menjadi tempat makan keluarga itu kini dipenuhi dengan para isteri, anak-anak gadis dan kanak-kanak. Joyah nampak Timah, isteri tuan rumah sedang bersembang dengan sekumpulan wanita dengan wajah yang diterangi cahaya pelita. Hampir pelita itu terletak tepak sirih. Joyah bertimpuh katak dan menguit belakang Timah.

"Baru sampai?"  Tegur Timah. Semua yang ada menoleh.

"Makan nasi dulu. Lepas sembahyang Isyak baru ayahnya mahu datang."

"Buat apa susah-susah tanak nasi di rumah? Makan saja di sini. Bukankah senang!" Sampuk Nek Uteh sambil menjuehkan bibirnya sehingga ternampak sungil cerut. Joyah tersenyum melihat kelakuan ibu mertua Timah. Kemudian mata Joyah beralih melihat ke arah dapur. Asap dari atas dapur berkepul naik bercampur dengan asap pelita.

"Siang tadi Isa asyik menangis!" Cerita Timah.

"Mengapa menangis pula? Bukankah saya dah beritahu nak balik sekejap sahaja. Malam datang semula. Budak tak faham bahasa!" leter Joyah sambil menjolok kayu api di bawah tungku atas dapur.

"Bukan menangis kerana kaubalik. Tapi nak minum air. Satu cawan tak cukup!" Terang Timah.

"Senyap sebaik Ubai Dolah tengking. Nanti bengkak macam buah kekabu!" Celah Nek Uteh. Pecah ketawa berderai.

"Oh! Kalau nak ketawa! Ketawalah! Tapi kopi untuk orang depan hulurkanlah!" Seman menampakkan separuh muka dari balik tirai yang memisahkan ruang rumah ibu dengan ruang dapur.

"Tak boleh tunggukah! Air belum mendidih!" Balas Nek Uteh.

"Nak mendidih apa bendanya kayu api habis!" Teriak Mak Limah. Semua melihat ke arah bawah dapur yang tinggal cuma habuk dan debu-debu sabut.

"Senah! Turun ambil kayu api di bawah rumah!" Perintah Mak Siti kepada anak gadisnya yang berusia enam belas tahun.

"Ambil tempurung dengan sabut sekali." Senah tidak berganjak dari tempat duduknya.

"Yam temankan Senah. Seorang pegang pelita. Seorang cempong kayu api." Kedua gadis yang berkawan rapat berpandangan. Perlahan-lahan bangun mencapai pelita.

"Kak Yam jangan ambil pelita kami!" Rengek Salmah anak tuan rumah yang sedang bermain dengan Leha.

"Salmah! Mari sini!. Jangan main pelita. Kak Yam dengan Kak Senah nak turun ambil kayu api." Nek Uteh memerintah cucunya.

"Nak ikut!"

"Jangan! Takut ular," Nek Utih menghulurkan tangan untuk menarik Salmah. Tapi Salmah melarikan diri ke arah Leha.

"Salmah ajak Leha. Pergi duduk di luar dekat ayah. Sekejap lagi Cikgu Mail datang." Joyah pula mengeluarkan perintah.

"Cikgu Mail nak datang?" Serentak Mak Limah dan Mak Cah bertanya.

"Begitulah yang dikatakan oleh ayahnya tadi!" Joyah memberi penjelasan. Kegembiraan terbayang di wajah masing-masing.

Senah menghempaskan seberkas kayu di muka pintu. Para isteri dan nenek yang ada di dapur sudah tidak memperdulikan kedua gadis ini lagi. Mereka semua duduk berhimpit-himpit depan pintu mengarah ke tiang tengah. Mengintai orang lelaki yang berada di luar. Naik dari arah pintu kelihatan seseorang yang berpakaian kemas dan bersih. Inilah yang membezakannnya dengan orang kampung yang lain.

"Itu Cikgu Mail!" Suara Tipah isteri Lebai Dolah mendesis di cuping telinga Nek Utih.

"Tak payah cakap. Aku kenal. Itu kitab hijau di bawah ketiaknya yang dulu dibaca di rumah Imam Samad!"

"Bila!"

"Aku tak berapa ingat. Lepas mengerat atau tidak! Tapi masa tu sawah kemarau anak!" Nek Utih merenung sejenak muka Tipah. Kemudian menghulurkan kepalanya di celahan leher menantunya Timah.

Kelihatan Cikgu Mail terbongkok-bongkok bersalaman dengan sesiapa yang sempat. Sukar juga untuk mencari tempat duduk sekiranya tidak menyalami semua yang ada. Terhanggau-hanggau Tuk Yub Tua yang bersandar di dinding agak terkebelakang.

Jusuh mengelak memberi tempat duduk untuk Cikgu Mail. Dua tiga orang berhimpitan. Jusuh juga merenggangkan duduk. Cikgu Mail tidak memilih sudut lain lagi. Terus bersila mantap. Buku hijau yang tersepit di bawah ketika dikeluarkan diletakkan di depan silanya. Jusuh menyapu kulit buku yang telah kelabu warna hijaunya. Tetapi tidak berani menyelak helaiannya. Bukan kerana apa. Segan sikit. Dia boleh juga membaca jawi sikit-sikit. Tapi kepandaian yang sedikit itu tidak diberi perhatian.

Mata Cikgu Man berlari membilang sebelas kanak-kanak yang terbaring atas tilam bertudung kain pelikat digantung terangkat.

"Ha...apa macam sekarang?" Semua yang ada tergelak. Sebelas kanak-kanak yang dimaksudkan oleh Cikgu Mail tersenyum-senyum segan. Malu mungkin. Husin yang terbaring di hujung sekali kelihatan lesu tapi celek mata luas sebaik Cikgu Mail datang.

"Awang! Mana kopiah?" Empat lima orang tersenyum dengan soalan Cikgu Mail sambil memandang ke arah Awang yang berkepala licin. Awang anak ketujuh Pak Bakar yang sebelum ini tidak pernah lekang kopiah dari atas kepala. Rambutnya tidak pernah ada. Akan dicukur oleh Pak Bakar sebaik tumbuh.

Semua yang ada berhenti bercakap. Seolah-olah bila Cikgu Mail sampai orang lama tidak boleh membuka cerita lagi. Malam semakin larut. Anak-anak kecil sudah tertidur. Buaian kain batik terhayun-hayun. Di beberapa sudut dapur juga di dalam bilik. Yam dengan Leha yang tertidur di ruang depan sudah dicempung masuk ke dalam bilik. Sesekali angin timur menolak daun-daun pisang di belakang rumah. Kedinginan menggigit kulit yang tidak berbaju. Lebai Dolah menanggalkan serban lalu disebai di atas bahu menutup dada daripada kesejukan.

Satu tangan dari arah pintu dapur menolak sebuah talam yang berceretet dengan cawan kopi panas.

"Minum kopi dulu Cikgu!" Lebai Dolah bersuara dari arah pintu depan yang sudah terkatup rapat.

"Terima kasih! Marilah kita minum sama-sama. Eh! Mana Budin? Tak nampakpun!" Cikgu Mail tercangak-cangak mencari orang yang dimaksudkan.

"Budin ke mana lagi musim haiwan galak ni. Ke bukit dengan Saleh menjerat kijang."

Cikgu Mail menghirup kopinya. Talam bulat itu sudah kosong dan ditolak kembali masuk ke pintu dapur. Sudah hampir lima tahun dia mengajar di Kampung Sematang ini. Sedikit sebanyak dia faham kegemaran penduduk kampung ini.

"Cikgu nak makan burung ruak-ruakkah?" Tanya seorang yang jauh di sudut jendela. Cikgu Mail menoleh.

"Adakah?" Dalam hati tentu ingin. Tapi masakan hendak diminta. "Esok saya hantarkan!" Suara yang bertanya tadi menjawab bangga. Siapa tak bangga dapat perlihatkan kebaikan kepada orang seperti Cikgu Mail. Yang disegani dan dihormati seluruh kampung. Bukan di Kampung Sematang saja malah sampai ke Kuala orang mengenal Cikgu Mail.

"Di sekolah cuma tinggal sepuluh saja murid-murid yang datang.

"Kenapa?" Entah siapa yang bertanya. Bodohnya. Cikgu Mail berfikir di dalam hati. Tidakkah orang yang mengemukakan soalan itu berfikir terlebih dulu sebelum bertanya!

"Di sini saja sebelas orang murid-murid saya yang masuk jawi. Tiga hari yang lepas di Kuala lima belas orang. Lebih dari separuh semuanya!" Semua yang mendengar tercengang. Aziz murid yang selalu kena rotan di sekolah sudah menguap lima kali. Tapi terus membuka mata melihat ke arah kitab berkulit hijau yang terletak di depan sila Cikgu Mail.

Kitab itu diletak menggeletak di situ sebaik dia duduk tadi. Tidak ada tangan yang berani menyentuhnya. Jusuh yang berani mengusap. Itupun sekejap. Orang lain cuma layak memandang.

"Cikgu! Ali ini macam mana di sekolah. Tadi siang. Masa semua mandi-mandi dia masih berdiam diri. Tapi sebaik sampai gilirannya dia berlari macam ribut. Entah macam mana dia meredah masuk ke dalam rumpun mengkuang yang penuh duri. Lima enam orang pergi hendak menangkapnya. Tak boleh menyusup masuk kerana terkait duri mengkuang."

Semua yang mendengar cerita itu gelak-gelak. Ali yang matanya masih segar menyembunyikan kepala di bawah kain pelikat sehingga kakinya terjulur keluar.

"Habis macam mana boleh potong juga Si Ali?"

"Apa lagi bawa parang tetak mengkuang. Sepuluh orang berjaga keliling pokok mengkuang! Kerat juga walau apapun terjadi. Nak tunggu bila lagi?

Semua yang masih berjaga ketawa lagi. Orang-orang perempuan di dapur menahan suara. Ada yang mencekup mulut bimbang kedengaran oleh orang lelaki di luar. Tapi lima enam orang sudah menjeling ke arah tirai yang bergerak-gerak.

"Pagi tadi Tuan Stewart datang!" Cikgu Mail membuka cerita. Berhenti sejenak untuk menghabiskan sisa kopi yang telah dingin. Semua yang ada tidak bersuara. Mungkin gerun mendengar nama Tuan Stewart.

"Garangkah?" Soal Romli. Seorang pemuda kampung itu.

"Kalau tak kena gaya garang juga!" Balas Cikgu Mail selamba.

"Dia datang buat apa?" soal Romli lagi

"Tugas dia. Melawat sekolah-sekolah. Tapi pagi tadi dia tercengang bila melihat sekolah lengang. Cuma ada sepuluh murid saja!"

Cikgu Mail sengaja berhenti menarik panjang. Seisi rumah tidak berdetak. Menunggu Cikgu Mail menyambung cerita tentang Tuan Stewart. Orang-orang di dapur memasang telinga. Nama Tuan Stewart sesuatu yang baru dan aneh bagi mereka.

"Tuan Stewart tanya saya. Mana pergi semua murid. Dulu ramai! Kenapa sekarang tinggal sepuluh orang saja!."

Cikgu Mail bercakap telor orang putih. Kebanyakan yang mendengar tersengih.

"Mereka bersunat tuan!" Saya jawab. Romli yang sudah bergerak dua punggung menghampiri Cikgu Mail merenung wajah Cikgu Mail dari jarak dekat.

"Tuan Stewart tak marahkah bila Cikgu beritau budak-budak tak datang sekolah kerana masuk jawi?' Lebai Dolah yang tadi cuma mendengar bertanya dengan rasa bimbang.

Senyuman Cikgu Mail tersungging di bibir yang telah bergaris-garis. Di dalam hati tersimpan jawapan yang diharapkan dapat membuat semua yang ada ketawa. Dia tak faham. Dia tanya saya. Apa itu masuk jawi?"

"Sungguhlah. Orang putih mana tahu itu semua!" Jelas Abang Mohsen. Semua pandangan mata beraleh kepada Abang Mohsen. Hati Abang Mohsen kembang seperti bunga kerana dia juga sedikit sebanyak tahu tentang adat orang putih. Sebab itu dia boleh bercakap bagi pihak Cikgu Mail.

"Lepas tu Cikgu?" Romli tidak sabar. Perhatian beralih semula kepada Cikgu Mail. "Saya jawab. Masuk jawi itu sama dengan bersunat." Cikgu Mail menelan air liornya sedeguk.

"Tuan Stewart tanya saya lain. Bersunat itu apa?" Pecah ketawa lagi.

"Eh! Bodohnya orang putih tu! Terdengar suara dari balik tirai. Dua tiga orang menoleh lagi ke arah tirai. Nek Utih yang menyampuk mencekup mulutnya kerana malu.

"Bila Tuan Stewart tidak faham juga. Sayapun beritahu bersunat tu sama dengan potong. Saya ceritalah sedikit bahagian mana yang patut dipotong!" Semua yang ada ketawa lagi.

Sebelum meneruskan cerita mata Cikgu Mail merayap ke arah kanak-kanak yang terlantar kerana bersunat. Semuanya sudah terlena. Malam semakin tua. Di luar angin kering menyesah dedaun. Berderai jatuh daun nangka di halaman rumah.

Di dapur dua tiga orang suri rumah yang sudah tidak dapat menahan mata telah mula merebahkan badan di sisi anak-anak mereka di merata sudut dapur. Walaupun hajat mata hendak lena tapi telinga masih dapat menangkap sebutir-sebutir buah percakapan Cikgu Mail.

"Tuan Stewart bukan mahu memahami adat kita. Dia tanya saya balik. Dia kata Tuhan sudah jadikan begitu. Kenapa pula dipotong?"

"Hah!" Lebai Doleh tersandar di pintu.

"Habis apa Cikgu jawab?' Soal Lebai Dolah penuh minat. Yang lain cuma mendengar dengan mulut terganga.

"Saya tanya dia balik. Tuan pernah makan pisang? Yes! Jawabnya! Jadi kenapa Tuan buangkan kulit. Kenapa tuan tidak makan sekali dengan kulit-kulitnya? Tuan Stewart terdiam!" Semua yang mendengar ketawa lagi.

"Padan muka." Jusuh menepuk lantai.

Tiba-tiba Si Ali mengangkat kakinya hendak beralih tidur.

"Hoi! Hoi! Tidur baik-baik!" Pak Mamat yang kebetulan duduk hampir dengan Ali menyergah sambil menarik badan Ali supaya tidur menelentang.

"Kopi! Kopi!" suara dari balik tirai. Talam yang penuh dengan cawan dihulur ke luar. Diikuti dengan beberapa piring berisi baulu dan pulut kacang.

"Sila! Sila!" Abang Jalil mengedarkan cawan yang berisi kopi panas. Sementara Romli mengatur piring kuih dan pulut kacau empat lima orang mengadap dua piring.

Abang Jalal meletak cawan kopi untuk Cikgu Mail. Bila melihat kopi yang masih panas barulah Cikgu Mail memegang kitab yang menjadi tontonan sejak tadi.

"Agaknya boleh kita mulakan sekarang?" Tangan Cikgu Mail membuka lembar pertama sedangkan matanya meminta persetujuan semua.

"Eloklah tu! Tapi sebelum tu silalah Cikgu minum kopi yang masih panas. Rasalah pulut kacau dan baulu tu!" Pak Bakar yang sejak tadi berdiam mula bersuara.

"Cikgu! Saya nak tanya sikit!"

Cikgu Mail merenung abang Jalal sambil jarinya mencubit pulut kacau.

"Dengarnya orang Kuala tak berani membaca kitab ini lagi?"

Sebelum menjawab Cikgu Mail tergelak.

"Betul tu abang Jalal. Tahun sudah entah siapa yang baca di rumah Lebai Mahmud. Datang ribut. Sebenarnya mereka tak tau cara. Ada petuanya membaca kitab ini!" Dua tiga orang tua mengangguk kepala tanda setuju dengan keyakinan yang diberikan Cikgu Mail. Yang lain tetap memberi perhatian tiap patah perkataan yang terkeluar dari celahan bibir Cikgu Mail.

"Ada tempat-tempat yang tak boleh dibaca!" Sambungnya dengan sedikit rasa bangga.

"Kenapa Cikgu."

"Eh! Budak Romli ni celupar sangat mulutnya. Dengar saja. Jangan bertanya!" Jerkah Lebai Dolah.

"Saya ni Cikgu dekat sepuluh kali dengar orang baca kitab ni! Tak jemu-jemu. Dengan Cikgu saja sudah tiga kali masuk yang ini!" Pintas Jusuh. Cikgu Mail memandang wajah Jusuh dengan senyuman melebar.

Jusuh telah menumbangkan seekor kerbau teruna kenduri kesyukuran di samping melangsungkan majlis berkhatan anaknya. Seisi kampung dijemput. Ismail satu-satu anak lelakinya yang ada. Lima lagi semuanya perempuan. Bila berpakat berbahagi kerja terdapat jiran-jiran yang ingin tumpangkan anak mereka ikut sama berkhatan. Sehingga menjadi sebelas orang semuanya. Sesiapa yang tidak ada hal lain bolehlah datang berjaga siang dan malam. Para isteri yang anak mereka ikut terlibat tidak ketinggalan menyumbangkan tenaga. Anak-anak kecil dibawa sekali. Tidur dan makan di situ.

Jusuh dan isterinya Timah tidak kisah lagi. Buatlah seperti rumah sendiri. Makanlah apa yang ada. Lakukanlah mana yang patut.

Jusuh dan Timah sepasang suami isteri yang patut dipuji. Sentiasa mendengar nasihat orang tua. Kata putus di mulut orang lama kampung itu. Kata mereka balk dibuat kenduri selepas menuai. Ketika tunggul jerami memenuhi sawah. Sambut angin timur. Selepas banjir surut ikan mudik. Gelenggang mula berbunga. Jangan menanti tiba kemarau timur. Kering kontang di mana-mana. Telaga kehabisan air. Akan menyukarkan segala kerja.

Jusuh sendiri dengan Lebai Dolah yang pergi menjemput Cikgu Mail. Bukan sekadar menjemput makan kenduri, tetapi membawa hajat orang-orang kampung supaya Cikgu Mail datang membaca kitab itu. Sambil berjaga sambil mendengar cerita di dalam hikayat itu.

Cawan-cawan yang telah diedar tadi telah dikumpul kembali ke dalam talam. Masing-masing berkisar tempat duduk. Mencari ruang yang lebih selesa. Cikgu Mail telah menolak cawan yang kosong ke sisi. Kemudian mengambil kitab berkulit hijau dan menyelak helaiannya. Lalu salah satu lembar dilipat. Kemudian Cikgu Mail berdehem sekali. Berdehem lagi sambil menelan air liurnya.

Dari jauh kedengaran sayup sahutan suara menyeru burung ruak-ruak di langit bintang-bintang bertaburan. Angin timur berhembus. Kedinginan menyelinap masuk ke dalam rumah. Tiada siapa yang merungut tentang kesejukan yang mencengkam. Cuma sesekali ada tangan-tangan yang menarik semula selimut yang terlurut dari tubuh kanak-anak yang nyenyak tidur. Tujuan mereka sekampung tidak tidur ialah untuk menjaga keselamatan kanak-kanak itu. Jangan sampai ada yang tidur meniarap. Kalau berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti turun darah, mereka sama-sama akan berusaha menyelamatkan. Seperti kata orang tua-tua kerja sepakat makan sepinggan.

Cikgu Mail terus membaca. Sebutan perkatan jelas dan lancar. Ayatnya, iramanya memukau semua pendengar. "Maka Terong Pipitpun marah tidak terkira-kira. Maka Terung Pipitpun berlari-larilah ke papan tutup muka seraya diserunya serta ditepoknya papan tutup muka itu seraya katanya!" Cikgu Mail berhenti menarik nafas panjang. Tiga kali barulah Cikgu Mail bersuara dengan lantang.

"Hai merbau tanglong bercabang pelita. Dahan bertangan akarnya bersila. Bahan menjadi bawai di laut lantara. Kulit menjadi kapang yang tua. Daun menjadi layang-layang di pintu kuala. Dahan menjadi jujui di pintu kuala. Hujungnya menjadi bintang kuning. Nujum yang terus mata. Tatkala engkau berjanji dengan Nenekanda Maharaja Guru Tukang Ketiga. Jika sekeping papan hendak balik mati digalang yang tua. Janganlah lupa janji kita." Suara Cikgu Mail berlagu meniru gaya sang bomoh membaca mentera.

Orang perempuan di dapur sudah ada yang tegak bulu roma.

Pang! Gemerancang benda jatuh dari atas para. Terkejut seisi rumah. Orang-orang lelaki berbalas pandang. Orang perempuan yang tengah leka terkejut terus bangun tiba-tiba.

"Kucing! Kucing!" Terik Nek Uth.

"Yam! Halau kucing turun rumah. Apa dibuat menyelongkar atas para!" Nek Utih memberi arahan. Tapi anak dara yang kena perintah telah hanyut dibuai mimpi. Yam terlintuk di tepi kaki dapur bersama Senah. Cuma dengan berbantalkan lengan.

Suasana kembali tenang. Kedinginan terus mencengkam. Tetapi suara Cikgu Mail masih bertenaga. "Maka anak dayung dan jurubatu, jurumudinya pun diisilah meriam siam bayu sang gingga ada lebih kurang ubatnya empat kunca. Adapun akan meriam siam bayu sang gingga itu gentarnya bunyi gunung berlaga. Jika orang mengandung putera sembilan bulan. Niscaya gugur belaka. Dan lagi kera di julai. Habis jatuh ke tanah rata. Dan kerang di aruspun habis naik ke daratan belaka. Dan kayu bakau dan tegar di pantai.

Habis tinggal lurus sahaja. Dan dipusingnya tiga belit pulau perca. Daripada Mengkaleh dilangsungnya ke Tanah Jawa. Dan penyudahannya di langsung mati di tanah yang mulia. Di hulu kepala kubur Tuk Hawa.

Praqqqq paqq...Bunyi seperti durian patah ranting. Jelas sekali kedengaran sebaik Cikgu Mail berhenti membuang nafas. Keadaan yang tenang bertukar huru-hara. Orang lelaki yang tadinya duduk berselesa kini mengangkat punggung bagai terkena tusuh dari bawah lantai.

"Romli! Bukankah siang tadi aku suruh bubuh penyambut bawah rumah!" Lebai Dolah menyalahkan Romli atas kejadian yang tidak disangka.

"Saya dah lakukan Pak Ubai. Kalau tak percaya tanya Abu! Enam potong buluh kami tongkat semua rosak!" Romli membela diri. Tetapi Abu yang menjadi saksinya tidak kelihatan. Suara Abu sayup-sayup dari arah sawah memanggil burung ruak-ruak dalam kegelapan dan kedinginan dinihari.

Praqq paq paq! Berbunyi sekali lagi. Lebai Dolah sudah membuka pintu. Beberapa orang sudah melompat turun dengan tidak memijak tangga lagi. Serentak jeritan dari dapur diiringi tangisan kanak-kanak. Si Ali dan Ismail yang nyenyak dalam barisan kanak-kanak berkhatan telah terkejut jaga. Di lihatnya ruang telah lengang. Suara bising di bawah. Lantai tempat dia berbaring senget seperti kapal hendak karam.

"Aku yang tua ni serba salah. Cakap salah tak cakap salah. Aku nak larang. Jangan dibaca kitab tu. Tapi masing-masing berdegil. Nak dengar juga orang baca kitab tu! Inilah padahnya!" Serak suara Tuk Yub Tua mengatasi kebisingan dinihari yang sepi.

No comments: