Pages

Sunday, January 04, 2015

Obsessi seorang tokoh

Oleh Ashaari Muhammad

PAK Ain membaca surat itu berkali-kali. Kegembiraan dan rasa nostalgia yang nikmat berbunga di dalam hatinya. Sudah hampir dua puluh tahun dia tidak bersua dengan Bung Suwarso. Kali terakhir mereka berjumpa ialah kira-kira tahun 50-an di Jakarta. Ketika itu Indonesia baru saja pulih daripada pemberontakan Madiun dan Tanah Melayu belum lagi beroleh kemerdekaan.

"Saya kurang pasti sama ada Bung masih mengingati saya," kata Suwarso di dalam suratnya itu.

"Saya memperolehi alamat saudara dari Bung Rastam yang datang ke Jakarta baru-baru ini," jelas Suwarso dalam surat itu lagi.

"Syukurlah kontrontasi sudah berakhir. Kalau tidak sudah tentu saya tidak dapat hadiri kongres di negeri Bung Ain," demikian bunyi baris-baris terakhir surat itu.

Bung Suwarso, merupakan kenalan Pak Ain sejak dari zaman muda mereka. Walaupun mereka berasal dari dua negara yang terpisah oleh Selat Melaka, namun oleh kerana perjuangan politik dan idea yang agak sama maka persahabatan mereka menjadi akrab.

Bagaimanapun terdapat sedikit perbezaan di dalam perwatakan di antara Pak Ain dan Suwarso. Pak Ain merupakan seorang politikus yang tidak mementingkan kebendaan. Sedangkan Suwarso ialah seorang oportunis.

Selain menceburkan diri dalam politik, Suwarso juga seorang peniaga yang pintar dan kaya.

Pak Ain sudah hampir lupa mengenai Suwarso. Mereka adalah sahabat akrabnya ketika Tanah Melayu belum merdeka lagi. Akan tetapi persahabatan mereka menjadi bertambah renggang apabila kedua-dua negara terjerumus ke dalam konfrontasi pada 1963. Nama Suwarso sudah hampir luput dari khazanah ingatan Pak Ain.

Kalau tidak kerana kongres parti yang akan diadakan maka sudah tentu mereka tidak akan bertemu semula. Demikian fikir Pak Ain.

Oleh kerana kekalahan partinya yang terus menerus sedangkan Partai Islam Se-Tanah Melayu telah menang besar dalam pilihanraya yang lepas maka pucuk pimpinan parti telah merancang untuk mengadakan satu kongres secara besar-besaran.

Mereka memilih untuk mengadakan kongeres di negeri Pak Ain, kerana negeri itulah satu-satunya negeri yang diperintah oleh parti pembangkang. Negeri-negeri lain kesemuanya dimenangi oleh Partai Perikatan. Perikatan merupakan musuh politik parti Pak Ain juga.

Di dalam suratnya kepada Pak Ain Suwarso mengatakan bahawa kebetulan dia akan ke Kuala Lumpur pada waktu kongres parti Pak Ain diadakan maka dia telah diundang sebabagi pemerhati dari Ketua parti, Bung Rastam. Dia lantas menerima undangan itu. Sebab utamanya ialah dia ingin menemui kenalan lama terutama Pak Ain. Pak Ain melipat kembali surat itu dengan berhati-hati dan disimpannya dengan rapi di dalam buku catatannya. Perasaan gembira melimpahi tebing hatinya lagi.

Mengikut surat itu, Bung Suwarso akan datang menaiki kereta bersama Bung Rastam. Mereka akan berlepas pada subuh hari dan dijangka sampai pada malamnya. Dia meminta Pak Ain menunggunya di Bangunan Partai Islam di mana kongres itu akan diadakan. Demikian pesan terakhir dalam surat Suwarso kepada Pak Ain.

Kereta sewa separuh umur buatan Jerman itu meluncur dengan lajunya menghampiri Bandar Kota Bharu kira-kira pada waktu senja hari.

Suwarso merasa lega. Dia menikmati pemandangan kiri kanan jalan. Sawah padi meluas saujana mata memandang.

Di sebelah kiri jauh di hujung sawah padi yang luas itu mentari merah bagai api. Bulat dan ranum. Pucuk padi yang kuning kelihatan turut dimerahkan oleh cahaya mentari. Burung lelayang berkeliaran dan mengeluarkan suara yang nyaring. Sayap-sayap hitam yang bersimpang-siur menimbulkan satu kontras yang sungguh indah dengan cahaya senja yang merah itu.

"Cantik pandangan sekitar," tiba-tiba Suwarso memecah kesunyian. Mendengar kata-kata itu Bung Rastam mengangguk dan mengorak senyum malas di bibirnya. Dia terasa mengantuk setelah sehari suntuk dibakar bahan panas dalam kereta tua itu.

"Lanskap alam negara saudara sama sahaja dengan negara saya," sambung Suwarso lagi.

"Memang, kalau tidak dipisahkan oleh Selat Melaka, kita merupakan sebuah negara," tingkah Bung Rastam.

"Walaupun begitu, kini tidak ada bezanya antara kita. Bercakap satu bahasa. Mengamalkan satu budaya. Kita dari dua bangsa yang serumpun." Suwarso membuat kesimpulan terhadap perbualan mereka.

"Tapi sejarah kita telah luka apabila negara saudara melancarkan konfrontasi dulu," tiba-tiba Bung Rastam mengeluarkan hujahnya. Mendengar kata-kata itu Suwarso terasa aneh. Dia membisu seketika. Sedikit kecelaruan menerpa ke dalam fikirannya. Enjin kereta menderu.

"Konfrontasi sebenarnya hanya antara kerajaan dengan kerajaan. Rakyat tidak berkonfrontasi. Kan saudara pun tahu hal itu."

"Ya saya memang bersetuju dengan pendapat saudara. Rakyat kedua negara pada hakikatnya tidak pernah berkonfrontasi."

Memang benar pendapat kedua-dua tokoh itu. Yang berkonfrontasi ialah para pemimpin yang mempunyai sebab-sebab kepentingan politik. Mereka pun sedar bahawa tindakan itu tidak dipersetujui oleh kebanyakan rakyat. Akan tetapi para pemimpin yang berkuasa tetap dengan helah politik mereka. Bagaimanapun ternyata tindakan itu tidak dapat bertahan. Kerana rakyat kedua-dua negara dari bangsa yang serumpun itu tetap tidak dapat diadu-dombakan.

Perbualan mereka terhenti apabila mereka tiba di bangunan Partai Islam.

Selepas tempoh waktu yang begitu lama, Suwarso dan Pak Ain bersua muka lagi. Suwarso dapati Pak Ain tidak banyak berubah, walaupun usianya telah meningkat kepada hampir setengah abad. Masih kurus dan berbadan langsing. Sedangkan Suwarso semakin gempal. Perutnya memboyot. Usianya telah menjangkau setengah abad. Dia memakai kemeja lengan pendek dari batik Indonesia yang kelihatan terlalu sendat bagi perutnya yang buncit. Bercelana warna kelabu. Kegembiraan menyelubungi suasana antara ketiga-tiga orang sahabat yang akrab itu.

Di dalam kongres parti keesokan harinya Bung Rastam selaku Ketua Parti telah memberikan penerangan yang panjang lebar. Antara lain, katanya, "Sudah sekian lama kita berjuang demi kesejahteraan rakyat. Akan tetapi setiap pilihanraya kita tidak pernah mendapat sokongan. Sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena. Dan kita mesti mencari jawapan kepada masalah ini. Kongres kita ini akan mencari jawapan itu."

Ketika perbahasan diadakan Pak Ain tidak ketinggalan memberikan hujah-hujahnya dengan semangat yang berapi-api.

"Hairan," Pak Ain memulakan hujahnya. "Kita berjuang di dalam sebuah parti kebangsaan yang tulen. Sebuah parti yang tidak mengongsi kuasa dengan orang lain. Orang lain yang merupakan pendatang yang tidak seharusnya diberi taraf yang sama dengan kita. Tetapi kita tidak mendapat sokongan. Oleh itu kita harus memberi kesedaran kepada rakyat. Terutama golongan miskin yang terdiri daripada petani dan nelayan. Mereka harus sedar bahawa mereka masih miskin walaupun sudah lebih sepuluh tahun kita mencapai kemerdekaan."

Tepukan bergemuruh pecah memekak dewan persidangan setelah Pak Ain mengakhiri ucapannya.

Tiba-tiba Suwarso yang duduk di barisan pemerhati mengangkat tangan meminta keizinan untuk berbicara.

Setelah mendapat keizinan Pengerusi Persidangan dia lantas mengemukakan hujahnya.

Sepi menyerkup keseluruhan dewan. Semua mata tertumpu kepada Suwarso. Mereka tidak sangka seorang pemerhati dari negara jiran akan turut berhujah. Sudah tentu ada sesuatu pendapat yang luar biasa hendak dikemukakan. Suwarso menarik nafas. Kemudian menundukkan kepala sekejap. Dia membisu sejenak seolah-olah cuba memusatkan fikiran dan konsentrasinya.

"Saudara-saudara sekalian," dia memulakan hujahnya.

"Saya sungguh simpati dengan berjuangan saudara. Bagaimanapun saya rasa sikap yang ditunjukkan oleh rakyat terhadap perjuangan saudara ada hubung kaitnya dengan cara negara saudara memperolehi kemerdekaan. Tidak seperti negara saya. Kami mengalami penderitaan yang hebat. Terpaksa berjuang bermati-matian untuk memperolehi kemerdekaan."

Dia berhenti sejenak. Kesepian masih terus menyelubungi dewan itu. Sekali-sekala kedengaran batuk-batuk kecil dari beberapa orang hadirin.

Kemudian Bung Suwarso meneruskan hujahnya dengan mengatakan bahawa oleh kerana negara ini memperolehi kemerdekaan dengan mudah maka rakyat tidak pernah mengalami pahit-getir perjuangan kemerdekaan. Oleh itu, menurutnya rakyat kurang serius dengan masalah politik.

Dia akhirnya membuat kesimpulan bahawa kemerdekaan negara ini kurang bererti berbanding dengan kemerdekaan yang di perolehi oleh negaranya.

"Kami berjuang dengan buluh runcing menentang Belanda. Perjuangan kami melimpah dengan pertumpahan darah dan pengorbanan nyawa. Sedangkan saudara-saudara memperolehi kemerdekaan di atas dulang perak." Itulah sebabnya rakyat negara ini nampaknya kurang menghargai kemerdekaan."

Tiba-tiba terdengar satu laungan dari barisan belakang di dalam dewan itu.

"Tak betul. Kami tidak bersetuju dengan pendapat Bung Suwarso."

Kemudian yang lain-lain juga turut menyampuk. "Ya, Ya, pendapat itu tolol. Tidak tepat."

Suasana menjadi riuh dan hiruk-pikuk. Dan di dalam keriuhan itu terdengar lagi suara nyaring dari barisan belakang.

"Duduklah. Balik saja."

Ketika persidangan kongres ditangguhkan untuk makan tengahari Pak Ain menyatakan kesalnya terhadap pandangan Bung Suwarso. Pak Ain juga tidak bersetuju dengan hujah-hujah Suwarso. Mengikut Pak Ain hujah itu dibuat tanpa usul periksa.

"Saudara silap apabila mengatakan bahawa kemerdekaan kami tidak bererti kerana kami memperolehinya dengan senang. Saudara keliru. Saudara terlalu obses dengan selok belok politik negara saudara."

Pak Ain kemudiannya menyatakan kepada Suwarso bahawa beliau jahil tentang sejarah perjuangan kemerdekaan negara ini. Pak Ain juga berasa tersinggung dengan pandangan Suwarso. Kerana dia sendiri berjuang berhabis-habisan menentang Inggeris. Sehingga diburu dan diancam dan terpaksa lari meninggalkan tanahair selama beberapa tahun.

Pak Ain kemudian menjelaskan kepada Suwarso bahawa walaupun rakyat negara ini tidak menumpahkan darah, para pemimpin negara ini telah memberikan satu pengorbanan yang besar bagi memperolehi kemerdekaan.

Dengan serba kekurangan, dengan wang ringgit yang terhad pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman Putra telah terpaksa mengikat perut dan menginap di hotel murah ketika mengepalai rombongan menemui Kerajaan British di London dahulu.

Lebih dari itu, satu kemerdekaan tetap satu kemerdekaan. Baik ia diperolehi dengan pertumpahan darah ataupun tidak. Adalah gila untuk membuat kesimpulan bahawa kemerdekaan sesebuah negara itu berbeza dengan kemerdekaan sebuah negara yang lain. Bagi Pak Ain, ternyata Bung Suwarso adalah seorang politikus yang obnoxious, obsess dan tidak memahami sejarah negara ini.

Tetapi dia tetap seorang sahabatnya. Sahabat dari negara jiran dari serumpun bangsa.

Oleh itu baik Pak Ain atau Bung Rastam kedua-duanya bersedia memaafkan sahabat mereka itu.

No comments: