Pages

Thursday, January 01, 2015

Aku dambakan kasih mereka

SETIAP manusia perlukan seseorang untuk menemani mereka pada saat suka dan duka sebagai tempat meluahkan masalah dan berkongsi kegembiraan. Namun, bagi Nadia cukuplah sekadar neneknya, Nek Timah sebagai teman. Ramai penduduk yang mengatakan bahawa mereka mempunyai satu rahsia yang tiada sesiapa pun berjaya membongkarnya. Sehinggalah datangnya seorang guru baru, Cikgu Shahrul, disenangi oleh semua penduduk kerana sikapnya yang prihatin kepada pelajarnya termasuklah Nadia. Sikap Nadia yang suka menyendiri membuatkan Cikgu Shahrul ingin mendekatinya dengan lebih dekat lagi.

Pada suatu hari, Cikgu Shahrul cuba membongkar rahsia yang tersembunyi di rumah itu. Cikgu Shahrul menyusur perlahan-lahan ke arah rumah yang agak usang itu. Tanpa disedari dia terlanggar tempayan pembasuh kaki yang terletak di anjung rumah tersebut dan bunyi itu menyedarkan Nek Timah. Tanpa membuang masa Nek Timah berlari keluar mendapatkan bunyi tersebut. Melihat pada keadaan Cikgu Shahrul, Nek Timah menarik masuk Cikgu Shahrul ke dalam rumah lalu diikat pada dinding rumah yang terletak pada ruang tamu.

Nek Timah melepaskan geramnya dengan memukul Cikgu Shahrul dengan sebatang kayu di sebelah bilik Nadia. Melihat keadaan neneknya yang tidak seperti biasa. Nadia meluru keluar mendapatkan neneknya dan dia terkejut apabila melihat Cikgu Shahrul cedera.

"Cikgu....! Kenapa dengan nenek ni?" Nadia meninggikan suaranya dan terus menghampiri neneknya itu.

"Nek... Nadia sayangkan nenek," Nadia mencium neneknya dengan penuh kasih sayang. Tangisan Nadia terhenti apabila neneknya mengadu sakit yang teramat sangat di dadanya.

"Nek.... Kenapa ni nek?" Nadia mula cemas. "Cikgu tolong Nadia, nenek sakit." Nadia mula bimbang dengan keadaan neneknya yang semakin teruk itu. Cikgu Shahrul mendukung Nek Timah ke arah keretanya. Nek Timah dimasukkan ke hospital kerana mengalami sakit jantung yang teruk. Ini kerana dia banyak menerima tekanan dan penyakitnya itu telah pun sampai ke tahap maksimum.

Sementara itu Nadia dan Cikgu Shahrul menantinya di luar wad. "Nadia tak pernah rasa jauh dari ibu bapa Nadia?" Cikgu Shahrul memulakan bicaranya apabila melihat Nadia kelihatan sedikit tenang selepas apa yang berlaku.

"Nadia tak pernah rasa jauh dari mereka kerana Nadia rasa neneklah segala-galanya bagi Nadia. Nadia sungguh tak sangka yang nenek sanggup buat macam ni," Nadia sedikit tunduk.

"Nadia kena faham keadaan nenek, dia tertekan dengan sikap anaknya. Ibu mana yang tak terasa apabila anak mereka menyisihkan mereka. Bagi mereka anaklah yang penting di kala usia mereka semakin malam. Begitu juga nenek Nadia. Dia perlukan anaknya pada waktu ini," jelas Cikgu Shahrul lagi.

Nadia mula menitiskan air mata. Memang benar apa yang dikatakan oleh Cikgu Shahrul itu. Sememangnya ibu bapanya tidak pernah melayan neneknya itu seperti yang sepatutnya.

"Ayah, mak kenapa biarkan nasib nenek sebegini?" Nadia menyoal hatinya sendiri sambil merenung bilik neneknya ditempatkan.

(4 jam kemudian)

"Nadia where have you been?" Encik Roslan menanyakan soalan itu sejurus dia tiba dari Kuala Lumpur.

"Nadia tak apa-apa ayah. Mak apa khabar?" Nadia mohon untuk bersalam dengan ibunya.

"Yang kau ni tak ingat nak balik ke? Apa yang orang tua tu dah bagi pada kau hingga kau lupa terus pada kami ni?" salam Nadia di sambut dengan herdikan daripada Puan Kamariah.

"Puan!" Cikgu Shahrul cuba menyampuk perbualan keluarga itu.

"Seburuk mana pun Nek Timah, dia mak mertua puan dan mak suami puan. Encik Roslan sanggup encik biarkan isteri menghina emak sendiri," Cikgu Shahrul tidak dapat menahan marahnya akan sikap Puan Kamariah yang sudah melampau itu.

"Hei, kau tu siapa?" Puan Kamariah cuba membalas.

"Mak, ayah ini cikgu sekolah Nadia." Nadia memperkenalkan Cikgu Shahrul kepada orang tuanya.

"Maafkan saya kalau saya masuk campur dalam hal keluarga ini tapi sebagai seorang manusia saya rasa penghinaan yang diterima oleh Nek Timah terlalu berat untuk dipikul. Sikap anaknya membuatkan dia benci pada kehidupan normal seperti orang lain."

"Kau jangan nak memandai, ini soal keluarga kami." Puan Kamariah meneruskan bicaranya yang agak sombong itu.

"Encik, jangan lupa keringat ibu encik yang selama ini menjaga encik dari sebesar tapak tangan sehinggalah encik berjaya sebegini. Dia perlukan tempat bergantung seperti mana encik pada waktu kecil dahulu. Fikirkanlah tu," Cikgu Shahrul berlalu dari situ.

"Ayah, memang benar apa yang cikgu katakan. Nadia faham apa yang nenek rasakan sekarang ini," Nadia merapati ayahnya.

"Ayah faham dan ayah tak tahu kenapa ayah berubah sejauh ini," Encik Roslan mengucup dahi anaknya itu. Tanpa disedari Nek Timah berjalan keluar dari biliknya menuju ke arah En. Roslan sekeluarga.

"Datang juga kau melawat aku Lan," Nek Timah bersuara lesu.

"Mak..." En. Roslan mendapatkan ibunya yang tidak berdaya itu.

"Maafkan Lan mak," En Roslan memaut kaki ibunya.

"Kenapa baru sekarang kau nak minta maaf? Dulu kau buat aku macam sampah tak berguna. Kau ikut sahaja kata isteri kau. Kau tak hiraukan aku ini mak kau," Nek Timah merenung Puan Kamariah yang masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri sejak tadi.

"Yah, mari ke mari," nada Encik Roslan tidak seperti biasa. Dia memaksa isterinya berada di sisi ibunya.

"Tak apalah Lan.... Aku ni macam....." kata-kata Nek Timah tidak dapat diteruskan kerana dia tidak dapat menahan kesakitan pada dadanya.

"Doktor....doktor!" Encik Roslan mula rasa bimbang dengan keadaan ibunya itu. Melihat pada keadaan mak mertuanya yang membimbangkan itu Puan Kamariah berlari mendapatkan doktor.

Nek Timah diangkat masuk oleh Encik Roslan ke dalam biliknya. Puan Kamariah pula berlari pantas bersama-sama dengan doktor yang dipanggilnya menuju ke dalam wad Nek Timah.

"Doktor, tolong ibu saya," Encik Roslan merayu.

"Nek jangan takutkan Nadia nek..." Nadia mula berasa cemas.

"Abang, Yah banyak dosa pada mak abang," Puan Kamariah mula sedar akan sikapnya selama ini. Wajah Nek Timah diratapnya penuh kesedihan.

"Maafkan kami, kami tak mampu untuk membantunya," doktor itu, menyatakan keadaan Nek Timah.

"Mak maafkan Yah, mak. Yah banyak salah pada mak." Puan Kamariah memeluk wanita tua itu dan menangis teresak-esak di sisi Nek Timah. Namun wanita tua itu tidak mampu bersuara.

"Nek, jangan tinggalkan Nadia nek." Nadia merapati neneknya yang menahan kesakitan teramat sangat itu.

"Mak, kami sedar akan kesilapan kami. Maafkan kami mak," belum sempat kata-kata Encik Roslan diteruskan Nek Timah menghembuskan nafasnya terakhir. Mereka hanya mampu menangis apabila Nek Timah tidak lagi bernafas.

Jenazah Nek Timah dibawa pulang ke rumahnya di kampung dan semua penduduk menziarahi kediamannya. Kejadian yang berlaku telah menyedarkan Encik Roslan dan Puan Kamariah. Namun nasi telah menjadi bubur. Mereka tidak sempat menebus dosa yang dilakukan terhadap insan yang mulia itu. Hingga ke hari ini kesalahan itu menjadi beban dalam hidup mereka.......

Manusia ini diciptakan supaya mengingati hari dimana bermulanya langkah mereka dalam kehidupan. Kita sebagai hamba Allah hanya sementara di bumi ini dan hargailah apa yang ada di sekeliling kita. Mungkin itulah nikmat yang paling berharga yang dihadiahi oleh Allah kepada kita. Dan mungkin ibu kita sebahagian daripada apa yang dikurniakan.....Sayangilah mereka seperti mana mereka menyayangi diri kita seadanya.....

NURUL ASMIDAR NOEN
SMK Sultan Abdul Jalil Shah
Perak Darul Ridzuan

No comments: