KETIKA berada di darjah VA sekolah rendah, Sekolah Melayu Pasir Pekan, guru darjah, Cikgu Hasan bin Muhammad bertanya kepada kami.
"Siapa boleh beritahu, apa kegemaran masing-masing ketika lapang ?"
"Saya, cikgu !" Saya angkat tangan.
"Ya, Fatimah ... apa kegemaran awak masa lapang ?"
"Tolong emak bekerja. Tulis pantun atas tanah ..."
Waaaaaaaa! Hampir seluruh murid dalam Darjah VA tertawa. Tidak tahu mengapa mereka tertawakan saya.
Memang kegemaran saya suka tulis pantun-pantun atas tanah yang berdebu di hadapan tangga atau di jalan-jalan dalam kampung kami. Selalu juga saya tulis di belakang buku-buku rampaian. Bila Cikgu Hassan tengok, dia pun marah sebab katanya saya kotorkan buku.
Bila saya remaja dan masuk Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka, kegemaran saya atau hobi saya ialah menulis surat-surat cinta. Saya sengaja beli buku yang khas untuk tulis surat-surat cinta. Saya selalu bayangkan surat-surat cinta itu untuk seorang pemuda yang lawa, tinggi lampai, berbudi dan penyayang yang bekerja sebagai seorang pegawai kerajaan. Selalu pakai baju kemeja yang kemas dan bertali leher. Sedangkan pada realitinya tidak ada sesiapa.
Setelah keluar dari maktab dan menjadi guru, saya benar-benar mempunyai dua tiga orang kawan lelaki yang penampilannya menyamai bayangan dalam surat-surat cinta saya dahulu. Kebetulan salah seorang daripadanya turut mempunyai hobi menulis surat-surat cinta. Satu kali saya terima surat cintanya yang disambung-sambung jadi sepanjang lima ela (waktu itu belum ada meter lagi). Siap dengan pantun, dengan sajak, dengan syair. Saya pun tulislah kembali jawapan surat cinta kepadanya penuh sebuah writing pad! Siap dengan lagu-lagu Melayu dan Inggeris, dengan sajak, dengan pantun, dengan syair.
Hobi menulis surat-surat cinta ini terus berlanjutan hingga saya menjadi pelajar dan pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Para pengirim surat-surat cinta waktu ini kebanyakannya datang daripada orang yang meminati cerpen-cerpen saya. Dalam seminggu ada tiga empat surat cinta yang datang. Sampai satu surat cinta terselit dalam buku yang dipinjam dari perpustakaan. Lalu kerani yang menjumpai surat cinta itu menelefon suruh datang ambil surat cinta berkenaan. Saya pun layan semuanya. Tiga, empat surat cinta yang dijawab sekali gus dan dikirim serentak. Palsu dan penuh kepura-puraan.
Hinggalah ada seorang kawan beritahu bahawa ada seorang kakitangan lelaki di pejabat abangnya begitu megah menjaja surat cinta daripada saya di pejabat. Saya rasa amat malu. Baru padan dengan muka. Saya pun terus berhenti tulis surat cinta. Taubat.
Kini saya sudah tua. Tidak ada lagi keinginan hendak tulis surat cinta. Tidak ada lagi surat cinta yang ingin diterima. Memang waktu ini saya tidak perlukan lagi surat-surat cinta. Kubur sudah lama kata mari. Dunia sudah lama kata pergi.
Alih-alih dalam usia yang sudah larut senja ini tiba-tiba saya terima lagi surat-surat cinta.
Surat Cinta I
Pada awal April, 2008, saya terima surat peguam yang mengendalikan kes saman saya terhadap Utusan Melayu Sdn Bhd dan Datuk Johan Jaafar. Surat itu memberitahu saya kena hadir di Mahkamah Jalan Duta untuk prosiding kes yang telah masuk tahun ke-11!
Saya pun pergi beli tiket kapal terbang MAS di Lapangan Terbang Bayan Lepas. Saya letak kereta di pinggir jalan tidak jauh dari pintu masuk ke tempat kaunter tiket. Bila saya keluar, saya tengok ada sepucuk `surat cinta' terselit di hadapan cermin hadapan. Hati saya jadi kecut dan gugup serta-merta. Memang saya sengaja cari penyakit letak kereta di tempat yang dilarang. Padan dengan muka.
Saya ambil `surat cinta' dan pandang keliling. Saya terpandang ada dua orang pegawai polis yang berdiri-diri tidak jauh dari situ. Saya pun berjalan ke arah mereka.
"Minta maaf, encik," Kata saya, "bolehkah saya tumpang tanya? Di mana saya mesti bayar saman ini? Saya letak kereta di situ sebab hendak beli tiket kapal terbang MAS ke KL. Ini tiketnya."
Seorang anggota polis itu isyaratkan saya tunjukkan tiket dan surat saman kepada pegawai polis yang berpangkat Koperal yang sedang berdiri agak jauh dari situ. Saya pun berjalan ke arahnya.
"Minta maaf, encik !" Kata saya, "ini, saya kena saman. Saya datang beli tiket kapal terbang untuk ke KL ... di mana saya kena bayar saman ini ?"
Saya tunjukkan tiket yang saya beli kepadanya. Koperal Polis ambil tiket daripada tangan saya dan menelitinya dengan cermat.
"Kenapa letak kereta di situ? Di situ `kan tempat dilarang letak kenderaan?" Katanya.
"Kaki saya terseliuh, encik. Tengok, masih berbalut," Kata saya sambil tunduk tunjukkan keting kiri yang berbalut, "saya jatuh di rumah, terpijak buah belimbing gugur atas simen. Saya tidak larat hendak berjalan jauh, encik."
"Kenapa tidak suruh saja orang lain tolong belikan?"
"Saya hendak beli tiket untuk senior citizen. Kena tunjukkan Mykad. Kalau minta tolong orang, saya bimbang nanti Mykad saya disalahgunakan pula. Waktu ini anak saya tidak ada dalam negeri ..."
"Beri balik surat saman itu kepada saya ..."
Saya pun hulur surat saman itu kepadanya. Dan pegawai polis itu kembalikan tiket kepada saya.
"Tidak apalah," Katanya, "tidak payah bayar saman ini."
"Betulkah encik, saya tidak payah bayar?"
"Ya."
"Encik, terima kasih banyak-banyak. Saya minta maaf telah menyusahkan encik."
"Sama-sama."
Saya rasa amat bersyukur. Dalam hati saya berdoa kepada Allah SWT bertalu-talu agar Allah SWT merahmati kehidupan pegawai polis yang berkenaan. Siapa sangka hatinya sebegitu mulia. Selepas sembahyang Sunat Dhuha di rumah, saya pun Sujud Syukur satu kali kerana Allah SWT telah menyisihkan diri saya daripada musibah surat cinta yang tidak diundang itu.
Surat Cinta II
Pada pagi 8 Oktober, 2010, saya pun pergi ke Bukit Jambul seperti biasa. Walaupun anjing Putih Ibu dengan Putih Anak sudah tidak ada lagi, namun sudah ada tiga ekor anjing lain yang dibuang di sekitar kawasan kaki bukit. Justeru saya pun tetap bawa segala lebihan makanan; nasi, roti, tulang-tulang ayam untuk mereka. Setelah selesai memberi anjing-anjing itu makan, saya pun mulai berjalan untuk mendaki.
Tiba-tiba di hadapan ada sedahan kayu patah tersadai di tepi jalan. Saya pun tarik untuk dibuang ke sebelah longkang.
Waktu saya sedang tarik dahan kayu, entah dari mana seekor tebuan tanah yang besar hinggap belepuuuuup atas kening kanan saya. Dalam sesaat saya merasai kesakitan yang sangat luar biasa di seluruh kepala. Rasa diri saya tidak dapat berdiri lagi. Saya cuba juga kawal diri supaya tidak jatuh.
Kebetulan waktu ini Mr Lam, seorang pendaki tetap setiap pagi, sedang turun. Mr Lam tengok saya.
Kenapa dengan awak? Awak okeykah?" Tanya Mr Lam.
"Saya kena sengat tebuan yang besar ... seluruh kepala rasa sakit." "Oh ! Baik awak pergi terus jumpa doktor. Hari itu saya kena sengat di hujung telinga, dekat selekoh sana. Saya jatuh pengsan! Awak boleh berjalan? Mari kita turun bersama-sama."
"Tunggu sekejap. Kepala saya sangat sakit. Mr Lam turun dululah."
"Tak. Saya tunggu awak stabil dulu. Kita boleh turun sekali."
Agak berjurus juga saya cuba tenangkan diri. Kemudian kami pun berjalan turun perlahan-lahan hingga sampai ke tempat kereta saya.
"Awak boleh memandu sendiri?" Tanya Mr Lam, "kalau tidak biar saya tolong hantar awak ke klinik."
"Saya rasa sudah okey sekarang. Terima kasih Mr Lam."
"Baik-baik, ya?"
"Ya."
Saya pun terus memandu ke Klinik Penawar, di Halaman Bukit Gambir. Klinik ini dikendalikan oleh Dr Akbar Ali, seorang doktor yang telah bersara dari USM yang telah lama kenal saya.
Tempat letak kereta bermeter berhampiran klinik semuanya sudah penuh. Tempat yang masih kosong hanya terdapat di hujung jalan sekitar 50 meter di hadapan. Saya terus letak kereta di pinggir jalan berhampiran tangga ke klinik dengan harapan untuk mendapat rawatan segera.
"Tidak ada sengat yang tertinggal," Kata Dr Abkar Ali yang meneliti kening kanan saya dengan kanta pembesar, "saya kira tidak perlu suntikan. Saya beri pil penawar racun, ubat gosok bengkak, ubat penahan sakit."
Saya pun bayar harga rawatan sebanyak RM25.00. Bila saya keluar, sudah ada sekeping surat cinta terselit di cermin hadapan kereta saya. Ada empat buah kereta lagi yang turut diletakkan berjujut-jujut di pinggir jalan di belakang kereta saya. Semuanya diselit dengan surat cinta.
Hati rasa sangat geram dan marah. Seharian rasa sangat sakit hati. Tidak dapat hendak buat apa-apa lagi.
Pagi datang. Saya pergi ke bukit seperti biasa. Rupanya sudah ramai pendaki yang tahu tentang berita saya kena sengat tebuan.
"Saya kena saman Majlis Perbandaran Pulau Pinang ... " Kata saya, "saya patut saman mereka dua juta sebab tidak datang bersihkan kawasan ini. Mereka cuma datang bersihkan sekali setahun saja. Hari-hari, sayalah yang tolong sapu jalan, potong dahan yang jatuh atas jalan! Kalau tidak kerana hendak buang dahan kayu, tentu saya tidak kena sengat tebuan."
"Saya sokong awak, Fatimah! Saman dia RM 2 juta!" Kata Mr Ho sambil tertawa.
"Saya pun sokong awak !" Kata Mr Toh, "Saman, jangan tak saman!"
"Mana saya mahu bayar saman ini?"
"Awak pergi bayar di pejabat Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang dibuka di Bangunan Stadium Pisa, dekat rumah awak." Kata Mr Toh.
"Bolehkah bayar di situ ? Bukan pergi bayar di Komtarkah?"
"Hari itu ada seorang kawan saya kena saman MPPP, dia bayar di situ." Kata Mr Toh.
Lalu saya pun pergilah ke Pejabat Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang terletak di bangunan Stadium Pisa di Bayan Baru.
"Saya sepatutnya saman MPPP yang tidak datang potong pokok di situ. Kalau MPPP potong pokok-pokok itu, saya tidaklah kena sengat tebuan!"
Pegawai kaunter hanya tertawa.
"Tak apalah, saya potong separuh harga saman. Bayar RM15.00 saja." Katanya.
Ya, padan dengan muka saya. Betul-betul seperti kata pepatah Melayu. Sudah jatuh ditimpa tangga. Ditimpa pasu bunga atas tangga. Ditimpa pula tahi lembu dalam pasu bunga!
Surat Cinta III
Pada tengah hari 14 Oktober, 2010, seorang pensyarah di Bahagian Kesusasteraan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM menelefon.
"Saya nak minta jasa baik Dr Fatimah memperkatakan sedikit tentang koleksi puisi Dr Fatimah, Apa Ada Di Sana (Versi Dunia) yang saya jadikan sebuah teks dalam kursus saya, Puisi Melayu Moden. Bolehkah?"
"Boleh. Bila? Di mana?"
"Esok, 15 Oktober, dalam kelas saya ... jam 9.00-10.00 ... di Bangunan C24, Bilik 005."
"Tapi saya rasa tidak sempat hendak tulis nota dengan lengkap. Kenapa baru telefon?"
"Kelmarin saya telefon dua kali. Kelmarin dulu saya telefon dua kali. Tidak ada jawapan."
"Oh, saya pergi ke Melaka dua hari. Ada jemputan untuk seminar sempena Jubli Intan Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka ..."
"Oh, patutlah. D. tidak payahlah buat nota lengkap. Buat ringkas saja. Cukuplah. Bagaimana dengan bayarannya?"
"Bayaran apa?"
"Sagu hati kuliah ... nanti saya tulis surat secara rasmi."
"Bayar apa, sayalah yang patut bersyukur. Puan sudi ambil karya saya jadi buku teks kursus Puan. Tidak payah tulis surat rasmilah."
"Terima kasih."
Begitulah. Setelah sekian tahun tidak berdiri di hadapan pelajar dalam sebuah bilik kuliah, hati rasa sangat tersentuh. Dan rasa amat bersalah kerana tidak menyediakan nota lengkap kepada para pelajar.
Lalu pada pagi 19 Oktober, 2010, saya pun bawalah nota lengkap tentang koleksi sajak Apa Ada Di Sana Versi Dunia untuk dibuat pendua di USM.
Saya tahu, sekarang ini dalam kampus USM, bukan senang hendak letak kereta di sekitar Pejabat Pos, Dewan Kuliah ABC, Bangunan Bank CIMB dan hadapan Kedai Mahasiswa. Setiap hari beberapa buah kereta, motosikal yang kena rantai. Selagi tidak bayar saman RM20.00, rantai tidak akan dibuka.
Saya pun cari di tempat letak kereta di hadapan Bangunan Tuanku Syed Putera. Penuh. Saya naik ke jalan susur di antara Pejabat Pos dengan Bangunan Institut Siswazah. Penuh. Depan Bangunan Institut Siswazah juga penuh. Malah kereta diletak berlapis-lapis. Saya pusing ke hadapan Bangunan Kedai Mahasiswa. Penuh. Saya hanya berharap kawasan dekat pintu gerbang Dewan Budaya sebelah perhentian bas masih ada yang kosong.
Alhamdulillah. Hanya ada sebuah kereta saja di situ. Lalu saya letak kereta di tepi tembok kantin Anjung Semarak di hadapan tiang pintu gerbang. Di belakang kereta saya masih ada ruang pejalan kaki sekitar tiga suku meter lagi dengan jalan tar. Saya sangat yakin kereta saya tidak menghalang para pejalan kaki dan kenderaan lain. Syukurlah kepada Allah SWT. Saya tidak perlu berjalan jauh ke kedai xerox yang terletak di belakang Dewan Budaya.
Setelah selesai, saya pun bawa nota yang sudah dibuat fotokopi untuk diletakkan di dalam kotak surat pensyarah berkenaan di Bangunan C24. Ketika saya melalui di tempat letak kereta, saya dapati hanya kereta saya saja ada di situ.
Begitulah. Bila saya kembali dari Bangunan C24, ke tempat letak kereta, didapati tayar depan sebelah kanan sudah kena rantai. Ada surat cinta terselit di cermin hadapan. Hati rasa sangat geram dan marah. Kalau ada
pemotong besi, tentu saya potong rantai itu. Seorang kerani dari Pejabat Pos tiba-tiba lalu.
"Kenapa puan?" Tanyanya.
"Itu, sudah kena rantai!"
"Oh ! Puan telefon ke Pusat Keselamatan. Biar mereka datang buka ..."
Saya pun berjalan ke Pusat Sumber untuk pinjam telefon.
"Tunggu di sana," Kata orang yang jawab telefon, "nanti pegawai kami akan datang."
Agak setengah jam tunggu dalam resah-gelisah, van keselamatan pun datang. Dua orang pengawal keselamatan turun. Muka mereka selamba lihat ke arah saya. Kedua-duanya saya tidak kenal.
"Encik," Kata saya, "saya terpaksa letak kereta saya di sini, sebab tempat lain sudah penuh. Saya hendak pergi fotokopi nota kuliah. Nah, ini dia salinan asalnya ..."
Saya keluarkan nota kuliah salinan asal dari dalam beg bimbit dan tunjukkan kepada pengawal-pengawal keselamatan itu. Mereka tidak tengok dan tidak jeling pun. Buat tidak dengar dan tidak tahu saja.
"Kenapa kereta saya dirantai?" Tanya saya, "bukan menghalang kenderaan lalu-lalang. Lagipun mana ada tanda larangan letak kereta di sini? Tidak boleh bukakah rantai itu? Kereta saya ada pelekat USM."
"Pergi bayar dulu di Pejabat Bendahari, RM20.00. Baru boleh buka rantai itu." Kata seorang daripada pengawal keselamatan pura-pura sibuk membetulkan letak papan-papan yang berantai di dalam van.
"Bagaimana saya hendak pergi ke Pejabat Bendahari, kalau rantai itu tidak dibuka?"
"Jalan kakilah!"
"Pejabat Bendahari itu jauh dari sini. Mendaki bukit lagi. Tidak bolehkah saya bayar dulu duit cagaran RM20.00 kepada encik? Nanti bila sudah bayar samannya saya tunjukkan resit itu kepada encik, lepas itu encik pulangkan balik wang cagaran ..."
"Kami tidak boleh buat begitu. Kena pergi bayar dulu baru boleh dibuka. Ini undang-undang." Kata pengawal itu lagi.
Waktu ini saya rasa mahu saja berjalan terus ke Pejabat Naib Canselor. Suruh dia turun dan tengok tempat saya letak kereta. Undang-undang apa sampai menyusahkan orang seteruk ini.
Lalu saya berjalan ke Pejabat Pusat Sumber sekali lagi. Saya merayu kepada seorang pegawai yang bertugas tolong pergi bayar saman di Pejabat Bendahari. Dan pegawai itu pun pergi ke Pejabat Bendahari dengan menunggang motosikalnya.
Saya pun teringat kes saman oleh Polis Trafik di Airport Bayan Lepas pada April 2008 yang menarik balik samannya. Dan saya teringat juga pegawai di kaunter MPPP yang kurangkan separuh saman. Bila dibandingkan dengan sikap timbang-rasa yang penuh rasa kemuliaan pegawai polis trafik itu dan sikap pegawai kaunter MPPP, dengan sikap pengawal keselamatan USM ini, nyatalah sikap para pengawal keselamatan USM itu terlalu angkuh dan zalim. Tidak berperikemanusiaan. Hati mereka kering dengan kerahiman. Lebih kejam daripada Firaun. Firaun pun boleh lembut hatinya bila isterinya mahu menjadikan Nabi Musa AS yang hanyut tersadai dalam bakul di tepi sungai di hadapan istana mereka sebagai anak angkat. Sedangkan Firaun sendiri tahu waktu itu dia mahu semua anak lelaki mesti dibunuh.
Memang semenjak peraturan merantai kenderaan ini dikuatkuasakan pada 1 September, 2010 di USM, ramai warga USM yang bersungut dan marah-marah.
"Apa susah-susah. Letak saja kereta atas pokok !" Kata seorang kakitangan akademik.
"Bangunan baru dibina merata penjuru. Tempat letak kenderaan tidak bertambah. Anjung Semarak yang baru dibuka itu asalnya tempat letak kenderaan." Kata yang lain.
"Kononnya moto kampus ini sebagai kampus sejahtera, tetapi zalim!" Kata seorang kerani.
"Saya yakin sekiranya Allah SWT masih panjangkan khidmat Allahyarham Tan Sri Hamzah Sendut sebagai Naib Canselor di USM ini dan Datuk NA Ogle sebagai Pendaftarnya, warga USM tentu merasa lebih selesa. Saya pun tidak menerima layanan sezalim ini." Kata saya.
FATIMAH Busu dilahirkan di Kampung Pasir Pekan, Kota Bharu pada Januari 1943 dan mendapat pendidikan di Maktab Perguruan Perempuan Melayu, Melaka, sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 1970. Mendapat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dalam bidang sastera di USM dan berkhidmat di universiti terbabit sebagai tutor, pensyarah serta bersara sebagai Profesor Madya pada 1998. Dalam jagat kesusasteraan, beliau menghasilkan pelbagai karya dalam genre cerpen dan novel selain bakatnya mendapat perhatian apabila 10 cerpennya memenangi Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Karya pertamanya, Saat Terakhir (sajak), akhbar Mingguan Negara (1957); cerpen pertamanya, Kerana Adik (Majalah Asmara 1959); skrip drama pentasnya, Puteri Sa'dong (1960); Gerimis Pagi (1961 dipentaskan di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka), Megat Terawis (adaptasi 1963), Cik Siti Wan Kembang 1964, Biduan Dari Neraka 19641965 (dipentaskan di Kelantan) dan Jahanam (dipentaskan di USM 1973).

No comments:
Post a Comment