Pages

Saturday, January 03, 2015

Mendung di mana-mana

Oleh Osman Ayob

TOPI kain lasam kelepek yang menudung kepala lonjong Mehat sudah lembab ditimpa gerimis pagi. Badannya yang kurus melengking seperti penagih dadah yang sudah tidak diterima oleh mana-mana pusat serenti itu sesekali menggigil apabila angin dari arah hutan api-api di tepi sungai menjamah wajahnya.

Mehat yang sejak tadi menunggu rakannya, Taha dan Mutusamy tiba-tiba tertarik melihat sebuah lori berkepala merah membelok masuk ke jalan becak menuju ke arahnya.

"Itu bukan lori sampah kepunyaan Majlis Daerah. Juga bukan lori kilang yang kadangkala membawa kotak tak terpakai," bisik Mehat, mengamat-gamati lori yang terangkak-angkak seperti membawa barang berat melalui jalan berlubang dan becak itu.

"Itu kalau tak salah lori Jabatan K...," bisiknya lagi apabila huruf besar di badan lori itu semakin jelas ditangkap oleh matanya yang masih tajam.

Hati Mehat melonjak gembira. Tidak ada lori yang sudi masuk ke kawasan lapang di tepi Sungai Petai ini, kecuali untuk membuang sampah. Ini Mehat cukup maklumi. Dan kedatangan lori seperti ini sentiasa dinanti-nanti. Lazimnya barang yang hendak dibuang itu masih ada nilainya bagi orang sepertinya.

Puih! Mehat meludah sebaik-baik saja dia terpandang Taha kalut mengayuh basikal ke tepi ke tengah mengelak lopak-lopak jalan yang buruk itu. Kalaulah tidak kerana sudah lama kenal dan sama-sama susah senang sejak merempat di Pekan P ini, mahu rasanya dia pecah kumpulan saja dengan Taha.

Dia tahu, sejak akhir-akhir ini Taha sering dilanda masalah. Tetapi masalah tetap masalah. Semua orang ada masalah masing-masing. Tapi kalau masalah itu sengaja dicari, Taha tak patut menjadikannya sifat datang tak ikut waktu di tempat yang sudah tiga tahun mereka berkubang mencari rezeki ini.

Lori Jabatan K sudah bergerak masuk ke kawasan membuang sampah. Mehat mengangkat tangan, tersenyum kepada pemandu lori, seorang pemuda berpakaian seragam kelabu buah kana. Pemuda itu membalas senyuman Mehat sebelum memberhentikan lorinya.

"Encik, boleh tolong undur ke belakang sikit. Dekat kawasan lapang di sana tu!" Usul Mehat dengan hormat. Tanpa mempedulikan kelindan berkulit gelap yang sedang berpaut di dinding belakang lori menjeling tajam ke arahnya, Mehat berundur setapak ke belakang dan dengan gerakan tangan seperti seorang yang sudah berpengalaman, dia mengarah lori itu berundur ke tempat yang dimaksudnya.

Pemandu lori itu mengikut saja. Mengaum hebat lori itu hinggakan asap hitam muntah berkepul-kepul dari corong yang tegak menadah gerimis pagi.

"Mana Muthusamy?" Soal Taha setelah menungkatkan basikalnya tidak jauh di sebelah kanan lori yang sudah berhenti. Mehat menarik muka masam macam kesal dengan kelewatannya, segera dia mara ke depan menolong kelindan membuka bahagian belakang lori tayar enam itu.

"Kau sendiri pun lewat, Mutusamy entah-entah belum hilang mabuknya," balas Mehat tanpa memandang Taha yang tegap tinggi tetapi sedikit pingkar.

"Bini aku mengamuk lagilah," ujar Taha sungguh-sungguh mahu menghilangkan mendung di wajah Mehat.

"Hmm, padan muka!" kutuk Mehat tanpa rasa simpati. Bukan baru sebulan dua dia kenal Taha. Sehari kalau tidak mengadap meja judi macam tak sah hidupnya. Isteri mana tidak mengamuk kalau dapur tidak berasap? Isteri mana akan tahan pada suami yang mengabaikan tanggungjawab rumahtangga?

"Sorong. Ya, sikit lagi. Aduh, beratnya," rungut Taha apabila pemuda kelindan lori menolak agak kasar meja patah kaki ke atas belakangnya. Terhoyong-hayang sebentar dia menahan berat meja separuh antik itu.

Mehat segera menolong mengangkat meja itu dan meletakkanya tidak jauh di sebelah kanan lori.

Baik kelindan mahupun pemandu lori, masing-masing mahu cepat saja. Bagi mereka barang-barang yang tidak bernilai dan diarah oleh bos mereka supaya dibuang saja di tempat bakar sampah itu tidak perlu diturunkan dengan cermat dan berhati-hati.

Tetapi bagi Mehat dan Taha, barang-barang terbuang itu adalah rezeki yang ditunggu-tunggu. Mereka terpaksa bekerja keras mengikut rentak kemahuan dua orang pekerja Jabatan K yang selama ini mungkin tidak menyedari bahawa di sini ada orang bergantung hidup mengutip rezeki mencari sesuap nasi pagi dan petang demi meneruskan denyut nafas anak isteri di Pekan P yang pesat membangun ini.

Selain dari meja patah kaki dan hilang laci, beberapa buah bangku capik, papan buruk, batang besi berkarat, akhbar lama turut dihulur turun. Mana-mana yang tidak sempat disambar oleh Mehat dan Taha, kelindan yang berparawakan kasar itu menghimbaukan saja ke tanah lembik tidak jauh di belakang lorinya.

Mendung di langit terus merenjiskan gerimis dan tiupan angin tidak mengancam kesungguhan Mehat dan Taha. Dengung lalat dan bau busuk sampah-sarap yang lembap ditimpa hujan sejak semalam sudah serasi dengan hidup mereka, tetapi tidak bagi pemandu dan kelindan lori yang seboleh-bolehnya mahu cepat meninggalkan tempat pembuangan sampah yang kotor dan jijik itu.

Sebaik saja kulit-kulit fail buruk, sisa-sisa kertas dari rak-rak kayu berlubang dimakan anai-anai habis diturunkan, lori itu segera bergerak.

Mehat dan Taha tersenyum senang, melambaikan tangan kepada pemandu lori yang oleh kerana kurang cermat memandu, lori itu seketika terbabas ke tepi jalan, terhinggut-hinggut naik turun lopak yang penuh dengan air lumpur.

Besi-besi buruk dihimpun di satu tempat. Begitu juga empat buah meja dan enam buah kerusi dan dua buah bangku panjang yang sudah rosak dan tidak boleh digunakan lagi diletak tidak jauh dari selonggok sampah yang dihurungi lalat hijau. Bau sampah yang bercampur dengan bulu dan perut ayam itu begitu busuk sekali. Namun bagi Mehat dan Taha, bau busuk itu tidak menjadi halangan kepada mereka untuk menyusun perabot-perabot buruk itu supaya senang nanti diangkat naik lori.

"Bila kau nak buang tabiat berjudi tu, Taha?" soal Mehat sambil mengangkat sekeping papan lapis melengkung yang hujungnya terbenam dihimbau kelindan lori berwajah serius tadi. "Kau dah ada isteri, dan isteri kautu akan bersalin tak lama lagi. Engkau tidak terfikirkah nak simpan sikit wang untuk belanja kelahiran anak sulung kau itu nanti?"

Taha yang sedang menyusun kertas akhbar semacam tidak mendengar pertanyaan Mehat. Sebaliknya dia mengetepi sedikit, memberi lalu kepada Mehat untuk menudung kertas akhbar yang sudah lembap dengan papan lapis yang pecah dan berselumbar itu.

"Lepas ini, aku berazam, sumpah tak akan main judi lagi," ujar Taha tanpa memandang Mehat. Peluh yang dibauri manik-manik gerimis di dahinya dikesat dengan hujung kemeja lengan pendek hapak yang membalut tubuhnya.

"Hidup kita ni, susah Taha. Susah!" Mehat menekan nada suaranya. Melihat Taha tiba-tiba berpaling memandangnya, dia meneruskan, "Bayangkan saja kesempitan hidup aku. Anak ada enam. Tiga dah sekolah. Sekarang dah masuk minggu kedua awal tahun. Duit buku, yuran dan derma itu ini, belum dapat aku jelaskan. Tiap-tiap hari, bila pulang dari sekolah, anak-anak aku minta duit. Hai, manalah kepala aku ini tak pening," keluh Mehat dengan wajah sugul. Panau di lehernya digaru-garu. Sambil menapak beberapa langkah, pandangannya dilemparkan jauh ke hujung kawasan pembuangan sampah. Kehijauan pucuk api-api di sepanjang tebing sungai kelihatan berombak-ombak ditiup angin, menolak rintik-rintik gerimis yang semakin kasar.

"Aku tahu kesempitan hidup kau. Kita bukan baru sehari dua kenal, Mehat. Budi baik kau pada aku, tak aku lupa. Ketika aku hampir lemas kerana kilang tempat aku bekerja tiba-tiba ditutup, kaulah yang memberi nafas kepada aku berkongsi mencari rezeki di sini.

"Ketika aku hampir dihalau oleh tuan rumah kerana aku tak sanggup membayar sewa yang tinggi, kaulah yang memberi dorongan dan bantuan hingga tegak sebuah pondok kilat di kawasan setinggan di tepi sungai tu. Masakan aku boleh melupakannya, Mehat?" Taha meluahkan suara hatinya, seolah-olah mahu meyakinkan Mehat, bahawa dia jujur dan tidak mungkin melupakan budi baik Mehat terhadapnya.

Taha mengatur langkah, lalu berdiri di sisi Mehat.

Hutan api-api yang menjadi paya di sepanjang tebing sungai adalah panorama yang amat menarik bagi mereka. Keduanya menumpukan pendangan ke situ. Sungai yang sentiasa pasang surut itu tidak pernah tersisih daripada menjaring keselesaan hidup mereka. Pondok-pondok setinggan yang sudah membentuk sebuah kampung di pinggir sungai yang membelah dua Pekan P itu, begitu mahal nilainya. Kalau tidak kerana sorong tarik, sepak terajang silat politik, bukan mustahil perkampungan daif yang mereka diami sekarang, bila-bila masa saja boleh diruntuhkan oleh pihak yang berkuasa.

"Aku simpati pada kau, Mehat," ucapan itu begitu bersahaja terlucut dari mulut Taha. "Tapi anggaplah mendung pagi ini ada sinarnya untuk kita. Ya, bukan selalu lori jabatan kerajaan datang membuang sampah di sini. Lihatlah pagi ini, kita dapat barang-barang yang tidak ada nilainya lagi. Kita patut bersyukur. Aku ikhlas Mehat, nanti kau ambillah tiga perempat daripada hasil jualan barang-barang tu untuk belanja sekolah anak-anak kau.

Seperti kurang percaya dengan kata-kata Taha, Mehat berpaling, matanya menyorot jauh ke dalam mata Taha.

Taha meneguk liur, tersenyum dan mengangguk.

"Terima kasih. Taha. Terima kasih," ujar Mehat. Mendung yang menyelimuti wajahnya, tiba-tiba dipercik sinar gembira. "Kaulah sahabat sejati yang benar-benar memahami penderitaan aku!"

Angin dari arah hutan api-api bertiup lagi. Gerimis yang semakin keras menampar wajah Mehat dan Taha.

"Bagaimana dengan barang-barang ni?" tanya Taha kembali membetulkan letak sebuah kerusi yang senget di atas meja patah kaki.

"Macam selalulah," jawab Mehat penuh kepercayaan. "Kaucarilah lori. Petang nanti, pukul tiga, kita datang."

"Mutusamy pula bagaimana?" Taha seperti sengaja mencuit reaksi Mehat.

Mehat mencekak pinggang, memerhati sekitar. Tidak kelihatan pengutip sampah lain yang selalunya berpuak-puak mencari bahan yang masih berharga setiap kali lori sampah membuang sampahnya di tempat pembuangan sampah yang menganjur ke hutan apai-apai di tepi sungai.

"Kita mesti kotakan janji kita. Dia tak datang tak adalah bahagiannya." Mehat memutuskan dengan suara tegas.

Mehat dan Taha meninggalkan kawasan pembuangan sampah tengah hari itu dengan hati yang gembira. Gerimis sudah bertukar menjadi renyai-renyai. Angin semakin kuat mendesah pohon api-api dan mendung di langit terus mengurung wajah matahari dari memancarkan sinarnya.

Keriut bunyi basikal buruk yang mereka tunggangi tidak menghalang hasrat mereka untuk cepat sampai ke rumah masing-masing. Perkampungan setinggan di pinggir pekan P yang jaraknya cuma empat kilometer dari tempat pembuangan sampah bukanlah suatu jarak yang menyulitkan untuk mereka berulang alik setiap hari.

Mehat membelok ke satu simpang menuju ke rumahnya, meninggalkan Taha meneruskan perjalanan kerana rumahnya jauh tersorok di hujung kawasan setinggan yang baru dibuka.

Air sungai sedang pasang. Rumah Mehat yang terletak jauh sedikit ke dalam paya hutan api-api, sudah menjadi seperti rumah rakit bersama rumah-rumah lain yang sesak di sepanjang tebing sungai. Paras air di tiang-tiang rumah yang terpacak jauh ke dalam tanah berlumpur itu cuma tinggal sejengkal saja lagi dari paras lantai. Mehat berhati-hati menuntun basikalnya melalui titi kayu jungkang-jungkit.

Bau tamban kering sedang digoreng menyambut kepulangannya. Bau itu cepat mengecurkan selera Mehat. Memang hujan-hujan begini, sedap makan nasi, fikirnya.

Isterinya yang berkemban kain batik lusuh, berambut kusut masai dan berwajah seperti belum mandi, muncul di muka pintu.

"Air tak adalah bang. Paip awam di tepi jalan tu, mula-mula melelah saja airnya, kemudian langsung terhenti," adu isterinya sambil menggaru-garu kepalanya.

Mehat menyandar basikal tidak bertungkat itu di tepi peleggar. Wajah isterinya yang berperut enam bulan itu ditatap seketika.

Masalah! Tak habis-habis dengan masalah! Bentak hati Mehat.

Air hitam berminyak di bawah titi kayu di hadapannya direnung lama-lama.

Dulu paip awam itu bukan main deras airnya, fikir Mehat. Tapi sekarang semuanya telah berubah. Sejak ladang getah di barat kawasan setinggan itu bertukar menjadi projek perumahan yang luas, tekanan air paip awam itu mulai rendah.

Bagaimana kalau paip awam itu nanti tidak berair langsung? Pertanyaan itu cepat mengetuk fikiran Mehat. Dia teringat semasa kempen pilihanraya kecil bulan lalu, seorang penceramah memberi jaminan, paip awam yang sebuah itu akan ditambah bagi menampung keperluan penduduk yang semakin ramai. Bekalan elektrik juga akan masuk menerangi kegelapan kampung setinggan tempat nyamuk membiak itu.

Selain itu, bantahan seisi kampung terhadap pihak berkuasa yang meluluskan permohonan sebuah syarikat pemaju perumahan mahu menambak paya hutan api-api tidak jauh di hulur sungai bagi dijadikan pekan baru, mendapat perhatian serta-merta. Isu itu menjadi topik yang hangat dan hampir semua penduduk percaya undi mereka pasti menjadi kunci memansuhkan projek yang akan menenggelamkan kampung mereka.

Mehat menanggalkan topi dan menyangkut topi lasam itu di kepala paku jenang pintu. Dia meludah ke dalam air yang beralak. Seekor ular air sedang mengejar katak minyak di celah sampah sarap, kembali menarik perhatiannya.

Berdecit-decit katak minyak itu apabila dibaham ular air. Sudah jadi hukum alam, yang lemah selalunya tewas bisik hati Mehat, memerhati ular air itu menghilang di celah sabut kelapa yang hanyut ke bawah rumah.

Air pasang penuh ini pun adalah hukum juga, fikir Mehat lagi. Apalah ada pada janji, jika kuat mudah menewaskan yang lemah. Mehat cukup maklum, bukan mustahil air pasang kali ini akan luar biasa jadinya kerana kawasan paya api-api di hilir sungai sedang ditambak oleh pemaju perumahan.

Selepas makan tengah hari, Mehat duduk melunjur, kaki di ruang tengah rumah. Belakang disandar di tiang dan mulutnya kembung kempis menyedut rokok daun. Dan seperti hari-hari sebelumnya, selepas merokok, dia merebahkan badan kurusnya, mahu melelapkan matanya sebentar sebelum bangun, bersiap dan pergi semula ke tempat pembuangan sampah.

Belum pun sempat dia melepaskan matanya, terasa gelegar rumahnya bergegar. Cepat dia membuka mata. Ketiga-tiga anaknya melangkah masuk dengan pakaian yang basah. Masing-masing berlumba, tidak mahu ke belakang dan dengan kasar mereka menghempaskan beg sekolah di sudut rumah dua ruang itu.

Sudin yang tertua, kini dalam darjah enam, seperti hari-hari yang lalu mewakili dua orang adiknya, sebelum menyalin pakaian lantas mengadu persoalan yang sama - cikgu minta duit buku, yurun sekolah dan derma PIBG.

Mehat bingkas bangun lalu bersila tanpa sepatah kata. Isterinya yang sedang menghidang makanan, menjeling ke arahnya.

Mehat mengisar punggung ke tepi dinding. Dia bangun memakai seluar dan baju lasam yang dipakainya tadi. Telinganya tidak bersedia lagi untuk mendengar leteran isterinya.

Alangkah senang hatinya, jika hasil jualan perabot buruk dan lain-lain barang yang dikumpulkan tadi mencukupi untuk melunaskan semua bayaran sekolah anak-anaknya. Mehat rasa dia boleh tidur dengan nyenyak malam nanti kalau dia pulang dengan wang yang cukup untuk menyelesaikan masalah yang memeningkan kepalanya sejak sekolah dibuka tiga minggu lalu.

Dia menyelinap keluar, perlahan-lahan menuntun basikalnya melalui titi papan sayung. Bergoyang juga titi itu apabila dia melompat naik dan seperti jaguh sarkas dia mengayuh basikalnya di atas titi berlekuk-lekak dan jungkang-jungkit itu.

Mehat mengayuh laju-laju, bagaikan tidak mahu Taha pula menunggunya.

Hujan renyai-renyai dan rembasan angin dingin tidak dipedulikannya, sebaliknya mendorong Mehat mengerah seluruh tenaganya supaya cepat sampai.

Mutusamy yang sedang menyusun kotak kertas dan sisa kepingan kayu yang baru dibuang oleh sebuah lori kilang, agak kehairanan melihat Mehat tergesa-gesa mengayuh basikal menuju ke arahnya.

"Hoi, Mutu, tadi tadak mari, apa pasal?" Soal Mehat serentak membrek basikalnya dan berhenti di hadapan Mutusamy.

Mutusammy menggeleng-geleng. Kerut dahinya macam dibuat-buat. "Tadi pagi tadak senanglah, Mehat. Ini kepala banyak pening, tahu," ujarnya sambil menggeleng dan menepuk dahinya.

"Mana tak pening, kau langgah banyak sangat," balas Mehat, tahu benar tabiat harian Mutusamy.

"Tadak banyak. Sikit jugak ada."

"Berapa kole?"

"Cet?" Mutusamy hampir terjegil.

"Kau rugi, Mutu," kata Mehat, tidak tertarik dengan mata Mutusamy yang bersaga.

"Pagi tadi kita orang dapat rezeki terpijak. Lori Jabatan K datang,"

"Oh, itu saya jugak tahu," cepat sekali Mutusamy memintas cakap Mehat.

"Mana kau tahu?"

Mutusamy tersenyum tawar. Dia menggeleng lagi.

"Tada ada mari tadi sama lori Ah Seng. Itu barang semua sudah angkat."

Mehat terpinga-pinga, terkejut dengan penjelasan Mutusamy. Pandangannya segera tertuju ke tempat mereka mengumpul barang-barang itu tadi. Tempat itu agak terlindung oleh timbunan sampah yang baru dibuang.

Dia menendang pedal basikalnya, meredah tanah becak yang bertaburan dengan sampah ke tempat barang-barang itu diletakkan tadi.

"Siapa lagi, angkat itu barang?" Tanya Mehat dengan muka merah padam.

"Siapa lagi, Taha sama driver Ah Senglah." Mutusamy mengatur langkah, menghampiri Mehat.

Mehat mendengus berat. Digigit-gigit bibir keringnya.

"Itu driver kaki judi macam Taha jugak. Dia banyak kasi hutang sama Taha. Dia sudah gaduh Taha tadak bayar itu hutang. Itu pasal dia datang angkat itu barang," jelas Mutusamy sambil menggelang-geleng lagi.

"Celaka!" Mehat tidak dapat menahan perasaan marahnya.

"Penipu! Bangsat! Barua!" Mehat meludah ke tanah. Tanpa mempedulikan Mutusamy yang memerhatinya, dia memecut basikalnya, meninggalkan Mutusamny terpinga-pinga seorang diri.

"Ayoyo, kasi pening lagi ini kepala!" kata Mutusamy lalu menggeleng tidak sudah-sudah. Sambil memancutkan air sirihnya yang merah pekat itu, matanya tidak lepas dari memandang ke arah Mehat yang mengayuh basikal ke tepi ke tengah seperti orang tidak siuman.

Hujan renyai-renyai beransur lebat. Di langit mendung semakin tebal menjaring sinar yang tidak kunjung memancar.

No comments: