Pages

Tuesday, September 30, 2014

Biarkan Bujang Senang mengamuk

Oleh Ahmad Sabu

BUJANG Senang sudah mati. Berita kematiannya cukup gempar dan hebat. Segempar dan sehebat ceritanya ketika ia masih mengganas dulu. Tetapi, siapakah yang membunuhnya? Tidak pernah pun disebut siapa menembaknya. Bukankah Bujang Senang buaya tua? Buaya puaka? Raja segala buaya? Mudahkah raja buaya lagi berpuaka dibunuh?

Tetapi, kalau Bujang Senang memang berpuaka, raja segala buaya, pembunuhnya tentulah raja segala pemburu? Namun, seingat-ingatnya, tidak ada pemburu sehebat itu di seluruh Batang Lupar. Tidak ada.

Lebai Sap capai tuala mandinya dari jungkar nibung yang separuh reput. Fikirannya bergelora, berkecamuk. Kematian Bujang Senang tidak disenanginya, dan sebab itu berita kematian buaya itu diterimanya dengan penuh tanda tanya.

Tidak mungkin Bujang Senang berenang sejauh itu, fikirnya. Dia kenal buaya tua itu macam dia mengenali dirinya. Buaya itu tidak akan terdaya berenang sampai ke muara Sungai Banting, di hilir Sungai Lupar. Cuma buaya yang gagah saja terdaya sampai ke sana. Dari Lubuk Stero ke muara Sungai Banting terlalu jauh. Bujang Senang tidak terdaya sampai ke sana. Itu diketahuinya benar. Arus Sungai Lupar cukup deras.

Lebai Sap cekak pinggang di tebing persis pahlawan menanti lawannya yang sebuku dan seruas. Pandangannya terlontar jauh ke Lubuk Stero, di seberang. Angin kencang Sungai Lupar meniup ganas, menerpa dadanya yang kurus itu. Tulang-tulang jarang kelihatan berceratuk, tersusun kemas. Usia telah memakan ketegapan badannya yang dulu kental dan kuat. Lebih setengah abad hilir mudik dan berulang-alik dari Pulau Seduku ke Lubuk Stero memakan kekuatan mudanya. Kini yang tinggal hanya badan tua yang sudah lemah, membungkus sekumpul semangat kental yang belum mahu mengalah.

"Apa direnung tu, Lebai?" Kadim, anak buahnya menegur, yang pada hematnya satu cemuhan, yang tidak harus diterima begitu saja.

Lebai Sap tidak peduli teguran itu. Pandangannya masih difokus jauh ke Lubuk Stero yang samar-samar diratah bahang panas.

"Petang ni pasti benaknya besar, Lebai." Kadim menukar perbualan, sengaja mencari helah untuk mengajak Lebai Sap berbicara.

"Semalam kan benak tu besar. Pastilah petang ni ia tambah besar." Lebai Sap meningkah. "Tu, anak bulan kan besar." Lebai Sap muncungkan mulut ke arah anak bulan yang berselindung malu di sebalik awan petang, yang berarak menuju ke ufuk senja. "Angin kan bertiup kencang, tentu benak akan besar." Lebai Sap cuba hendak mengena Kadim. Kadim dianggapnya generasi baru yang terlalu mentah tetapi angkuh dengan pembangunan yang dirintisnya di pulau itu.

"Lebai tentulah tahu. Kan Lebai orang tua." Kadim merendah diri. Namun bagi Lebai Sap dia menghinanya dengan cara hormat.

Lebai Sap sedar, dia memang sudah tua. Itu tidak perlu disebut-sebut. Ketuaan seseorang itu tidak boleh diselindung. Kadim tidak perlu menyindir-nyindir begitu. Inilah sebabnya kadang-kadang dia tidak suka pada Kadim.

"Apa? Lebai nak meranto ke Lubuk Stero tu lagi?" Kadim menggali isi hatinya.

"Ya. Mengapa?"

"Lebai dah tua. Kan baik jala saja di keliling pulau. Lagipun ikan, udang bukannya kurang di pulau ni."

"Apa bezanya jala ikan di pulau ini dengan meranto di Lubuk Stero? Kan sama-sama perlukan tenaga. Perlukan kekuatan." Lebai Sap membidas saranan Kadim.

"Benak besar, Lebai. Merbahaya."

"Sudah sepanjang hayat aku berjuang dengan benak tu, Kadim. Sudah lama. Tak usah kau nak ajar aku pula."

"Itu betul, Lebai. Tenaga muda tak sama dengan tenaga tua."

"Apa? Kaufikir setua aku tak boleh jinak benak? Muda tua bukan syarat untuk melunak benak tu, Kadim. Pengalaman sama otak yang jamin keselamatan ketika berdepan dengan benak tu." Lebai Sap cuba meyakinkan.

"Siapa yang tak tau Lebai memang hebat lawan benak tu."

"Habis?"

"Itu masa dulu, Lebai."

"Udahlah, Kadim. Kau terlalu takut dengan benak tu."

"Saya tak kata gitu, Lebai."

"Jadi apa yang kau takut? Aku suka meranto di Lubuk Stero itu. Ia sentiasa menjanjikan tangkapan ikan labang yang lumayan." Lebai Sap memberangsangkan hati anak muda itu. Selama ini mereka hanya mengongsi cerita gembiranya mendapat ikan labang dari perut lubuk itu. Mereka tidak pernah jual. Mereka takut mencari rezeki di situ, tempat Bujang Senang sentiasa mengeram dan cukup mengecutkan perut semua anak buah di pulau itu. Mencari rezeki dengan meranto di lubuk itu bererti menempah maut dibaham Bujang Senang saja.

Ketakutan anak buah itu semacam rahmat kepada Lebai Sap. Dia menjadikan Lubuk Stero punca segala rezekinya selama ini. Semenjak dia mengetahui dan tahu merentang ranto untuk memukat labang, hanya Lubuk Stero tempat mainannya hingga ke tua. Sudah lebih setengah abad dia bermain arus tenang lubuk itu. Dan selama itulah pula dia menggantung harap dan mencari rezeki meranto ikan labang, yang terlalu mahal harganya di pasar tempatan.

Perbualannya dengan Kadim tidak berpanjangan. Dia sudah sibuk menghulur jalurnya menuju ke gigi pantai. Kadim pula bergegas menarik perahu ke tebing, takut dihempas ranap benak senja yang besar itu. Ketika kedua- duanya sibuk melayan kerja masing-masing, Lebai Sap atur kemudi jalurnya. Bila kedua-dua mata dayungnya mencecah air, dia terus berdayung kuat menghala Lubuk Stero untuk mencuba nasibnya lagi.

Kali ini dia ke lubuk itu dengan satu harapan tinggi. Bukan untuk meranto labang, tetapi untuk mendapat kepastian bahawa Bujang Senang belum mati. Hanya dia yang boleh memastikan sama ada buaya tua, besar dan ganas itu masih hidup, atau memang sudah mati seperti yang dihebohkan.

Lebai Sap mengarah jalurnya ke arah lubuk dengan kegigihan tenaga tuanya yang belum menyerah, selagi kematian Bujang Senang belum dipastikan. Itu azamnya senja itu. Dia rela harung Sungai Lupar walaupun dia tahu benar benak ganas Batang Lupar seganas dan semerbahaya Bujang Senang. Tetapi Bujang Senang diberitakan sudah mati. Dia tidak mahu jadi tukang sebar cerita itu tanpa membuktikannya sendiri. Lagi pun, dia terlalu yakin buaya itu tidak mati, apatah dengan tembakan senapang patah pemburu tidak dikenali.

Sebenarnya, terlalu banyak buaya besar bersarang di Sungai Lupar. Mana- mana satu daripada mereka boleh saja ditembak mati. Keyakinan itu membuat dia amat percaya Bujang Senang belum mati. Bujang Senang masih hidup. Masih bersarang megah di dasar Lubuk Stero.

Lebai Sap dayung jalurnya dengan gagah mengharungi arus deras menuju Lubuk Stero. Kelanjutan usianya belum surut untuk membuat jalurnya meluncur laju mengharungi Sungai Lupar, menyeberangi ke arah Sungai Lubuk Stero. Dia masih bertenaga. Dia berasa masih sekuat dulu. Dia masih berani menandingi mana-mana anak muda mendayung jalur di Sungai Lupar itu. Memang masih ramai penduduk Pulau Seduku mengakui kehandalannya walaupun sudah tua.

Benak ganas Batang Lupar sudah melepasi Pulau Seduku. Lebai Sap dapat melihat jelas hempasan ganasnya di gigi pantai dan tebing Pulau Seduku. Itu sebabnya tadi Lebai Sap bergegas dayung jalurnya meninggal gigi sungai di pulau itu. Pengalaman mengajarnya benak jangan dilawan kalau di gigi pantai. Ranap perahu dibuatnya. Sejak kecil lagi arwah bapanya, mengajarnya bagaimana menjinak benak di pantai.

"Jangan sekali-kali melawan benak di pinggiran," kata-kata bapanya masih jelas di telinganya. "Kapal besi pun ranap dihempasnya. Bila tenggelam akan tidak dapat timbul lagi."

"Habis bagaimana, pak?" Dia pernah bertanya bapanya.

"Pilih satu antara dua."

"Bagaimana?"

"Berdiri saja atas tebing, tengok benak itu lalu."

"Atau, bagaimana?"

"Kayuh perahumu ke tengah laut. Anak benak lemah di tengah sungai. Kau akan selamat di sana." Cukup mudah petua bapanya.

"Kalau di tepi tebing saja, pak?"

"Kau akan dihempas benak di tunggul-tunggul pokok, di tepi sungai."

"Apa akan terjadi, pak?" Masih diingatnya dia bertanya bodoh.

"Kau akan mati. Mampus. Benak akan humban kamu di bawah batang dan pokok yang berjuntai di tebingan sungai." Selamba saja bapanya menjelaskan. Pesanan dan amanat itu diingatinya sampai sekarang. Pesanan itu dipegangnya kuat-kuat. Itu sebabnya sebesar mana sekalipun benak Batang Lupar yang terkenal merbahaya dan ganas, dia tidak pernah takut.

Sudah banyak kali dia cuba pengalaman dan pesanan arwah bapanya itu. Dia sentiasa selamat. Itulah juga sebabnya penduduk Pulau Seduku menganggap dia pengamal ilmu batin, ilmu ganjil yang tidak dapat dituntut orang lain. Lebai Sap sudah berusaha meyakinkan mereka bahawa dia tidak punya apa-apa ilmu, seperti yang mereka sangka. Yang ada padanya hanyalah pengalaman dan sedikit keberanian. Tetapi mereka tidak percaya.

"Habis bagaimana, pak?" Dia ingat lagi pertanyaan bodohnya pada Lebai Jali.

"Kemas ranto. Bala jangan dituntut. Kalau sudah tau buaya ada di sana, kau terus meranto juga, itu tempah nahas namanya."

Amaran arwah orang tua itu diingatnya benar-benar. Tidak pernah dia lupa amaran itu setiap kali dia meranto ikan di Lubuk Stero.

Kali ini dia ke Lubuk Stero untuk dapatkan kepastian adakah Bujang Senang masih hidup. Dia bukan hendak meranto.

Perasaan takutnya pada buaya dan Bujang Senang bertukar menjadi marah campur berani. Dia hendak dapat kepastian bahawa buaya yang terbunuh di muara Sungai Banting bukan Bujang Senang, tetapi cuma seekor daripada buaya-buaya besar yang banyak terdapat di Sungai Lupar. Itulah azamnya senja itu.

Kalau Bujang Senang masih hidup, fikirnya, dia pasti berada di dasar lubuk itu. Buaya itu tidak akan ke mana-mana. Bujang Senang tidak akan ke mana-mana. Badannya terlalu besar untuk bergerak sejauh itu. Cuma di lubuk itu saja airnya sangat dalam, dan di situlah Bujang Senang bersarang. Selama ini pun dia tahu benar Bujang Senang memang sentiasa berada di sana.

Dia tahu Bujang Senang buaya besar. Dia tahu benar-benar, Bujang Senang bukanlah buaya buas seperti yang dihebohkan. Yang buas dan ganas itu adalah buaya-buaya lain.

"Bukan Bujang Senang yang tangkap dan baham orang." Begitulah selalunya dia cuba meyakinkan orang ramai yang sentiasa heboh menuduh Bujang Senang mengganas.

"Apa lagi? Naga? Hantu? Puaka air?" Orang sering meningkah penerangannya.

"Cuma Bujang Senanglah yang sambar orang macam kilat tu," tingkah yang lain.

Dan cerita Bujang senang mengganas lagi akan menjadi buah mulut orang. Penduduk semakin cemas. Cerita Bujang Senang menggempar dunia lagi. Dan setiap kali cerita Bujang Senang begitu heboh menyambar mangsanya, Lebai Sap rasa sedih. Padanya tuduhan itu membuta tuli, tanpa usul periksa.

Dia tahu, setiap kali Bujang Senang heboh dikatakan menyambar mangsanya, dia berada di Lubuk Stero meranto labang, dan Bujang Senang memang ada di sana. Kadang-kadang sama-sama berkongsi labang yang tersangkut pada rantonya. Dia tahu benar itu kerana dia boleh merasakan Bujang Senang memakan labang-labang yang terperangkap di rantonya. Bau hanyir Bujang Senang yang begitu kuat tidak akan membuat dia tersilap. Bujang Senang sentiasa berada di lubuk itu. Bujang Senang tidak akan berpindah dari lubuk itu. Itu dipercayainya benar. Seperti juga orang percaya Bujang Senang mengganas dan menyambar mangsanya.

Lebai Sap mendayung terus jalurnya ke arah Lubuk Stero. Pulau Seduku kini semakin jauh. Angin senja semakin kencang. Bakat sungai bercampur anak benak yang menjinak di tengah sungai agak besar juga. Lebai Sap terus berdayung dengan yakin, dengan tenang.

Air mula pasang senja itu. Biasanya ketika begitu buaya suka timbul. Mungkin hendak menikmati air pasang, atau menangkap ikan yang memang banyak.

Selama ini, cuma Lebai Sap saja yang berani meranto ikan apabila air pasang senja. Sebab itulah ramai yang menganggap dia menguasai ilmu buaya. Kononnya, buaya takut padanya, termasuk Bujang Senang. Ini dikaitkan dengan tabiatnya yang tidak suka memakai baju.

Memang Lebai Sap suka tidak berbaju. Dia lebih selesa berseluar saja apabila berjalan di kampung Pulau Seduku, atau apabila membuat sesuatu pekerjaan. Malangnya tabiat ini dikaitkan pula dengan ilmu buaya. Walaupun Lebai Sap sudah lama berusaha menangkis anggapan anak buahnya, tetapi dia tetap gagal.

Lebai Sap terus mendayung lagi jalurnya itu. Matanya sentiasa tercari- cari sesuatu dan meliar saja. Takut-takut terserempak buaya. Sebenarnya Lebai Sap pun takut pada buaya, macam penduduk Pulau Seduku juga. Dia tidak pernah kata dia tidak takut pada buaya yang memang banyak berkeliaran di Sungai Lupar itu.

Dia pun takut juga dengan Bujang Senang, macam penduduk lain. Takut betul, bukan takut olok-olok. Cuma dia percaya, setiap binatang tidak akan mengganas kecuali kalau diganggu, atau terganggu. Inilah yang dipercayainya sampai ke akar umbi. Inilah juga kepercayaan arwah bapanya.

"Ayam betina pun akan mengamuk kalau anaknya diganggu." Pesanan bapanya mengusik ingatannya.

"Buaya akan menggila bila dia terganggu," tegas Lebai Jali. Lebai Sap ingat lagi cakap-cakap itu.

"Bagaimana kita nak tahu tempat itu ada buaya, pak?"

"Kalau airnya tenang, dan ikan menjadi. Di situ pasti ada buaya."

"Habis bagaimana kita hendak meranto ikan tanpa mengganggu buaya, pak?"

"Buaya kan besar. Tentu baunya lebih hanyir daripada bau ikan. Kalau air tenang, tapi berbau hanyir. Ingatlah, di situ ada buaya. Jangan pasang ranto di sana. Nanti terpukat buaya. Atau memukat ikan makanannya. Ikan

Arus tenang Lubuk Stero kelihatan berpusar-pusar malas. Pasang senja sudah sampai ke puncak. Lebai Sap perlahankan jalur sambil menarik nafas panjang dan tenang. Dia melihat selamba ke seluruh lubuk. Tenang. Sepi dan lesu saja keadaannya. Tidak ada riak menandakan ada haiwan besar bersembunyi di bawah permukaan air itu. Sekali-sekala terjadi riak apabila anak belanak berkejar-kejaran di bawah permukaan air.

Lebai Sap capai bungkusan rokok daun nipahnya. Agas terlalu banyak dan mesti dihalau dengan asap rokok daun nipah. Kalau tidak, gigitan unggas itu boleh menyebabkan kulitnya merah dan gatal. Dia duduk senyap dan yakin, persis seorang pemburu mengintip buruan dari atas pokok.

Tenang sungguh Lubuk Stero ketika itu, tetapi pepatah air tenang jangan disangka tiada buaya tiba-tiba menerkam kepalanya. Ah, setenang-tenang lubuk itu, bukan mustahil Bujang Senang ada di situ!

Mata Lebai Sap meliar mengawasi setiap riak di air dengan terperinci. Degupan jantungnya mula kencang. Riak renangan anak belanak tidak kelihatan lagi. Tiba-tiba bau hanyir, kuat menusuk hidungnya. Matanya segera mengamati keliling.

"Orang heboh mengatakan kau dah mati, Bujang." Tiba-tiba Lebai Sap melepaskan suara dari kerongkongnya yang menggeletar.

"Kalau kau benar-benar ada, timbullah. Aku nak tengok kau dengan mata kepalaku sendiri." Lebai Sap mencabar, bukan tanda berani, tetapi untuk mencari kepastian.

Bau hanyir semakin kuat menusuk-nusuk hidung. Pasti ada buaya besar membawanya berdekatan dengan jalurnya ketika itu. Lebai Sap pasti sungguh. Bau itu bukannya bau labang atau belanak. Itu bau buaya.

Tetapi, apakah bau hanyir itu dari badan Bujang Senang?

Hati kecil Lebai Sap terus dihenyak keinginan mencari kepastian. Tidak pernah selama ini dia begitu lancang dan berani macam petang itu. Tetapi seluruh penduduk di Batang Lupar perlu diyakinkan. Anak buah di Pulau Seduku juga. Bahkan penduduk di seluruh dunia perlu pasti, bahawa Bujang Senang masih hidup. Ia belum mati. Bau hanyir itu buktinya. Bukti kuat.

"Timbullah Bujang. Timbullah kau," Lebai Sap semacam merayu, berdiri tegak di tengah jalur sambil terjenguk-jenguk, meliarkan pandangan ke permukaan arus yang berpusar-pusar perlahan itu.

"Timbullah apa saja. Aku tau kau ada di bawah permukaan air. Timbullah."

Bau hanyir semakin kuat. Puas dia menutup hidung, tetapi ia masuk juga.

Tiba-tiba kelihatan riak besar bersama-sama arus di hujung jalur. Hati Lebai Sap tiba-tiba cemas. Seiring itu degupan jantungnya kencang. Pandangannya melekat dan meliar ke arah riak itu. Tetapi tidak ada apa-apa yang kelihatan.

Sebentar kemudian, riak itu menghilang. Arus tenang kembali. Tetapi bau hanyir terus menusuk hidungnya. Lebai Sap yakin benar ada buaya besar di bawah perut jalur. Dia melihat ke kiri, ke kanan. Pandangannya rakus ke hadapan dan ke buritan jalur.

Lebai Sap memberanikan lagi gelagatnya. Dia ceduk air dari pinggiran jalur, terus dihumbannya ke mulut. Kemudian dia meneguk air itu. Sebentar kemudian dia meludah ke air.

Lebai Sap tarik nafas panjang, mengetap-ngetap bibir dan membasah-basah lidahnya. Dia tarik lagi nafas, panjang-panjang. Kemudian, dia bersiul nyaring dan panjang sekali. Ketajaman siulannya itu mengerikan dan menegakkan bulu roma!

Lebai Sap tiba-tiba mematikan siulannya. Riak besar menggoncang jalur. Matanya terkejut melihat seekor buaya besar membujur di hujung haluan. Belum pernah dalam hidupnya dia melihat buaya sebesar itu. Mata haiwan itu membeliak ke arahnya. Lebai Sap membeliak juga matanya, ketakutan. Bau hanyir buaya itu cukup hebat hingga memualkan tekak.

"Bujang Senang agaknya," Lebai Sap bersuara perlahan, bersimpuh atas jalur.

"Bujang Senang masih hidup! Bujang Senang masih hidup!"

Lebai Sap gembira bukan main. Dia berdiri semula di tengah jalur, amat gembira, dan kegembiraan itu memulihkan ketakutannya sebentar tadi.

"Bujang Senang masih hidup!" Dia letakkan telapak tangannya ke mulutnya.

"Bujang Senang masih hidup!"

Lebai Sap separuh memekik seolah-olah mahu memberitahu semua penduduk Pulau Seduku. Dia mahu mereka di Batang Lupar juga percaya. Malah seluruh dunia mengetahuinya.

"Bujang Senang tidak mati! Bujang Senang masih hidup!" Lebai Sap persis orang hilang ingatan meraung-raung.

"Bujang Senang masih hidup!"

"Bujang Senang masih hidup!"

Tiba-tiba satu lipatan kencang singgah ke badan Lebai Sap. Percikan air ganas menyelubungi suasana. Dia terkial-kial hendak mencapai sesuatu. Seketika kemudian pandangannya kabur, terkunang-kunang.

Dan senja semakin tua. Kegelapan merangkak menutup pandangan. Air sudah pasang penuh. Esoknya berita Bujang Senang heboh lagi.

Berita heboh, seheboh seluruh penduduk Pulau Seduku mencari Lebai Sap.

Monday, September 29, 2014

Pelangi senja

Oleh Alwi Masani

SUDAH sebulan berita ini dihebohkan. Masih ada lagi segelintir penduduk Kampung Tanjung yang mengatakan anak Pak Haji merampas tunang orang. Terutama jiran Pak Haji, Puan Maria. Keluarga Pak Haji serba salah. Tidak tahu dari mana punca mereka menuduh anak Pak Haji merampas tunang orang.

Namun begitu, Pak Haji tetap bersabar. Dia tidak mahu berkasar dengan anaknya. Pak Haji tahu Mira tidak seburuk yang mereka katakan. Kemungkinan ini semua sudah suratan takdir. Tuduh-menuduh dan hasad dengki memang permainan manusia. Tapi kalau sudah di sana sini orang menuduh Mira melakukan perbuatan merampas hak orang, hati siapa yang tidak geram, marah dan sedih bila orang kampung menuduh begitu.

Sebaik saja selesai makan malam, Pak Haji duduk di ruang tamu sementara anaknya yang bongsu sedang asyik menonton TV. Ketika itu Mira masih lagi mengemas meja lalu menyediakan minuman untuk ayahnya. Emaknya telah lama meninggal dunia akibat kanser dalam perut.

Belum panas Mira menyandarkan tubuhnya ke kusyen yang baru dibeli oleh ayahnya dua bulan dulu, ayahnya terus membuka persoalan yang belum lagi reda di kepalanya.

"Mira...ayah ada hal nak cakap."

"Cakaplah, ayah. Mira dengar ni."

"Ayah harap Mira jangan terkejut. Ayah bukannya nak bawa mulut, tapi dah menjadi buah mulut orang. Mira, betulkah kau merampas tunang orang?"

"Aaa...ayah! Sampai hati ayah tuduh Mira merampas tunang orang? Dari mana ayah dengar semua ini" Tersirap darah, geram bercampur pilu Mira apabila soalan itu dikemukakan oleh ayahnya.

Kedua-dua beranak diam sejenak, bagaikan patung kaku membisu, tidak tahu apa yang harus dikatakan. Mira masih lagi berasa terkilan apabila soalan itu dituju kepadanya.

"Ayah bukannya tuduh Mira merampas tunang orang. Tapi orang kampung sudah heboh mengatakan kau merampas Arif daripada anak Puan Maria, hingga sampai ke kampung seberang mengatakan Mira tidak kanyor merampas tunang Habibah. Lagipun Arif tu anak usahawan. Seluruh kampung ini kenal Tuan Haji Khalid bin Pengiran Samah. Sebut saja nama ayahnya, semua orang tahu." Ayahnya terus melontarkan penjelasan.

Mira diam seketika. Dia tidak tahu apa yang patut dibuat ketika berhadapan dengan ayahnya. Fikirannya masih berserabut, entah apa difikir dan yang hendak diucapkan lagi. Selama ini gerak-gerinya tidak pernah menyakiti hati sesiapa pun. Kemungkinan orang Kampung Tanjung ini cemburu apabila melihat kecantikan tubuhnya yang ramping, lenggangnya yang lemah gemalai, tutur kata bersopan santun, muka bujur sirih, kehalusan wajahnya.

"Tidak tergamak Mira mengganggu tali ikatan yang mereka jalin selama ini, ayah, meskipun Mira tahu abang Arif tidak sukakan Habibah. Pertunangan mereka bukan atas dasar cinta sama cinta, tapi atas kehendak pihak keluarga perempuan. Walaupun Mira seorang perempuan yang lemah, tidak semestinya kelemahan itu membawa seseorang melakukan kezaliman terhadap tunang orang."

Malam kian tua. Bulan samar-samar menerangi malam itu. Bintang di langit kelihatan murung saja, hanya dua tiga tompok terdapat cahaya di ruang angkasa. Hati Mira masih lagi tidak tenang.

"Ayah tidak melarang kau berpasangan. Ayah pernah juga mengalami keadaan seperti Mira waktu ayah masih bujang dulu. Ayah pernah dituduh melakukan zina dengan teman ayah. Terpaksa ayah berterus terang pada pihak perempuan, sama ada betul ayah melakukan perkara yang terkutuk lagi dilarang oleh Islam itu.

"Tapi kebenaran tidak menyebelahi ayah masa itu. Terpaksalah ayah tinggalkan kampung halaman dengan hanya sehelai sepinggang, duit dua puluh ringgit untuk tambang dan makan minum.

"Dulu walaupun duit sikit, cukup untuk belanja dua minggu sementara mendapat pekerjaan. Pada masa itu ayah pernah kerja kilang, gaji tidaklah seberapa banyak. Cukup untuk hidup bujang, hinggalah ayah bertemu emak kau dulu sewaktu ayah dan emak kau ditemuduga untuk mendapat pekerjaan di sebuah syarikat swasta di Jalan Lanang.

"Akhirnya ayah dapat kerja dan emak kau mendapat pekerjaan bersama ayah. Dari situlah hubungan ayah dengan emak kau terjalin sampai orang kampung menyatakan ayah melarikan anak orang. Emak kau waktu itu tidak tahu pergolakan hubungan keluarga ayah dengan emak kau.

"Cinta kami telah sampai ke kemuncaknya. Barulah mereka tahu ayah bukan seburuk yang mereka sangka. Ayah dan emak kau telah dinikahkan atas persetujuan pihak perempuan."

"Tapi mengapa orang menuduh Mira mengganggu hubungan orang, ayah? Entah- entah makcik Maria yang bawa mulut menuduh Mira merampas tunang anaknya."

"Mira, tak baik tuduh macam tu."

"Memang Mira tahu, dia buat begitu supaya anaknya dapat cepat kahwin dengan anak orang kaya. Tentu hidup Habibah nanti senang. Kereta besar, rumah banglo serta pakaian yang mahal-mahal."

Air kopi yang dibawa Mira dalam belum terniat di dalam hati Mira untuk berpasangan kerana Arif dianggapnya sebagai abang kandungnya sendiri. Setelah pertunangan itu, Arif kerap juga berkunjung ke rumah Mira. Dia mencurahkan perasaannya yang tidak menyenangi pertunangan itu kepada Mira. Sebagai seorang sahabat, Mira hanya mampu memberi nasihat dan meminta Arif bersabar.

Mira juga tidak mahu Arif datang ke rumahnya lagi. Dia rela memutuskan hubungan dengan Arif sekiranya itu akan menutup mulut orang kampung. Sudah kerap benar Mira mendengar sindiran orangorang kampung tentang hubungan mereka. Pilu benar hati Mira.

Malah pernah mereka terserempak dengan Habibah ketika Arif menghantarnya balik. Semenjak itu juga hubungan persahabatannya dengan Habibah bertukar menjadi permusuhan.

Habibah juga pernah menuduhnya perempuan pisau cukur. Walaupun semuanya itu menyinggung perasaannya, namun Mira cuba menghadapinya dengan kekuatan. Segalanya diluahkannya kepada temannya, Awang Maulana. Kata nasihat yang ditaburkan oleh Awang Maulanalah yang semakin menenangkannya. Kalau tidak kerana kata semangat daripada Awang Maulana sudah tentu Mira terus hanyut dibuai perasaan.

Selesai solat Subuh pagi itu, Mira ke ruang dapur, menjerang air untuk sarapan. Jam dinding sudah menunjukkan jam 6.30. Selesai semua kerja yang dibuat oleh Mira tadi, Mira berehat seketika di anjung rumah.

Pagi itu, angin bertiup sepoi-sepoi saja. Mira terasa dingin. Daundaun kering jatuh bertaburan ke laman. Burung-burung hinggap dari dahan ke dahan mencari makanan. Mira duduk berpeluk dada. Pandangannya jauh melayang.

"Mira,ooi Mira!"

Mira terperanjat apabila namanya dipanggil orang.

"Oh...makcik Maria. Apa halnya makcik, awal-awal pagi dah panggil Mira? Naiklah makcik."

"Tak payah, Mira."

"Kalau iapun makcik naiklah dulu. Tak baik bercakap di bawah. Tak manis dipandang orang."

"Oh, tak manis, ya? Apa, selama ini kau manislah, ya? Sebab itu hati kau busuk."

"Makcik! Apa yang makcik katakan ni? Pagi-pagi lagi makcik dah marah pada Mira. Apa salah Mira pada makcik? Lagipun selama ini kita berjiran tak pernah bermasam muka."

"Jangan kau berpura-pura pula. Tak tahu konon. Mentang-mentanglah merampas tunang orang."

"Apa yang makcik cakapkan ni? Mira tak mengerti."

"Ooo, tak mengerti! Apa selama ini tak ada lelaki lain ke, sampai nak merampas tunang anak aku? Kau kata tak tahu, tak mengerti. Banyak cantik muka kau!"

"Makcik, begitu sekali makcik membuat fitnah melulu terhadap saya. Apa selama ini makcik ada terlihat saya berdua-duaan dengan abang Arif? Saya tahu makcik, abang Arif tu dah bertunang. Lagipun tunang abang Arif bukan orang lain, anak makcik sendiri, kawan sekampung saya. Takkan tergamak saya berbuat begitu, makcik!"

"Kalau dah tahu, mengapa masih lagi merampas tunang orang?" Makcik Maria sudah mula naik angin.

"Dari mana makcik tahu saya merampas tunang anak makcik?"

"Jangan nak berselindung di balik tabir! Selama ini kau tak nampak Arif tu selalu bertandang ke rumah kau? Sampai berjam-jam lamanya. Inipun kau tak mengaku, hendak berselindung lagi!"

"Tapi makcik, ayah saya ada. Kalau ayah saya tiada di rumah, tentu abang Arif tidak berani nak ke rumah."

"Ayah dengan anak sama saja, suka merosakkan hak orang."

"Apahal makcik bising-bising di sini?" Tiba-tiba Arif muncul. Entah bila dia datang, Mira tidak tahu. Makcik Maria juga terkejut.

"Astaghfirullah hilazim. Kau buat makcik terkejut, Arif. Apa khabar kau, nak? Kenapa tak datang ke rumah makcik?"

"Jangan nak berpura-pura, makcik! Saya cukup kenal siapa makcik," Arif bersuara lantang.

"Hari ini biar saya berterus terang dengan makcik. Sebenarnya saya tidak pernah menyintai Habibah. Keluarga makcik yang mendesak keluarga saya sehingga mereka memikirkan saya telah merosakkan Habibah. Makcik tidak malukah macam perigi mencari timba?"

Makcik Maria tercengang mendengarkan bicara Arif. Wajahnya merah padam. Dia tunduk. Mungkin dia tidak menyangka bakal menantunya akan bercakap sekasar itu kepadanya. Perasaan malunya diherdik di hadapan Mira begitu memuncak. Keringat mengalir membasahi wajahnya.

"Jangan cuba nak berbaik-baik dengan saya, makcik. Makcik tahu hati saya bertambah sakit apabila makcik menghina kawan saya yang tidak bersalah. Bagaimana agaknya kalau saya katakan makcik gila harta, sanggup menjual anak untuk kesenangan sendiri? Tentu makcik marah, bukan? Apa, makcik fikir orang lain tak ada perasaan?" Arif semakin berani. Makcik Maria sudah mula tidak senang.

"Saya tidak mahu dengar semua ini lagi! Kalau makcik masih lagi hendak menghina keluarga Pak Haji, terutama Mira, tahulah apa yang akan saya buat nanti. Makcik jangan menyesal."

"Apahal kau orang bercakap di bawah saja ni? Kalau ya pun nak selesaikan masalah, bawalah berbincang di rumah. Nanti heboh pula satu kampung. Kau Maria, sebagai orang tua tunjukkanlah contoh yang baik kepada orang muda."

Mira terkejut mendengar suara ayahnya. Tidak diduganya ayahnya mendengar pertengkaran mereka. Tentu terganggu tidur ayahnya.

"Patutlah bunyi orang bercakap tadi. Maria dan Arif ada di sini? Apa hal berdiri di bawah saja? Naiklah. Tak baik bercakap di bawah. Nanti orang kata Pak Haji tak ada tangga."

"Tak apalah Pak Haji. Saya ni...saya balik dululah, Pak Haji," makcik Maria bersuara samar-samar.

"Baiklah..." sahut Pak Haji.

Pak Haji memandang anaknya yang masih lagi diam membisu. Terlintas di fikiran Pak Haji, tentu kisah semalam mempelawa Maria bertandang ke situ, sebab itulah dia tidak mahu naik bila dijemput.

"Yang kau pula Arif, kenapa tercegat di situ saja? Naiklah. Boleh juga minum kopi bersama pakcik. Semalam Mira ada buat kuih seri muka," pelawa ayah Mira.

Arif tersenyum. Dia memandang Mira. Ada sesuatuy yang difikirkannya.

"Tak apalah, pakcik. Saya pun nak kerja ni."

"Abang Arif tak sudi?" celah Mira.

"Bukan, bukan begitu Mira, pakcik. Sebenarnya saya ada janji dengan Helmi. Kebetulan saya lalu di sini dan terdengar bunyi orang bertengkar. Sebab itulah saya singgah. Mira, janganlah bimbang. Dalam hal ini memang Mira tidak bersalah. Abang akan cuba selesaikannya sendiri."

"Baguslah kalau macam tu Arif. Pakcik pun bukannya apa. Kesian tengok Mira. Selalu benar dia termenung."

"Mira janganlah dengar cakap makcik Maria tu. Orang macam makcik Maria tu kalau dilayan semakin menjadilah dia. Abang berjanji akan menyelesaikan masalah ini dan membersihkan kembali nama Mira daripada segala fitnah. Pakcik, Mira, saya pergi dulu, nanti lama pula Helmi menunggu. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam," Mira dan ayahnya menjawab serentak.

Mira memandang ayahnya. Kali ini senyuman terukir di bibir anakberanak itu.

"Mira!"

"Err...apa ayah?" Mira terkejut apabila bahunya ditepuk oleh ayahnya.

"Apa nak difikirkan lagi? Bawalah temanmu ke mari. Buktikan pada mereka bahawa anak ayah tidak begitu bodoh merampas tunang orang. Ayah rela menerimanya asalkan berkenan di hati Mira, supaya orang kampung tidak lagi mengatakan Mira anak dara yang tak tahu menjaga maruah."

"Lupa Mira nak cakap pada ayah. Kelmarin Mira terima sepucuk surat. Isinya menyampaikan hajat pada ayah."

"Apa hajatnya, Mira?"

"Kalau Mira tak silap, minggu depan keluarga pihak lelaki akan datang untuk merisik, ayah."

"Siapa nama teman kau, Mira?"

"Apalah ayah ni, tak sabar. Betul, ayah nak tahu namanya?"

"Cakap sajalah, Mira."

"Awang Maulana bin Awang Ibrahim, ayah."

"Errr, orang berbangsa nampaknya yang Mira pilih? Jangan sebarang pilih Mira. Nanti..."

"Perli nampaknya ayah ni?"

"Tidak...sengaja nak menduga."

Saat yang mereka nantikan selama ini akhirnya tiba dengan kedatangan rombongan seramai sepuluh orang termasuk kedua-dua orang tua pihak lelaki. Beberapa orang kampung termasuk makcik Maria turut dijemput untuk menyaksikan pertunangan Mira dengan orang jauh.

Sahlah akhirnya Mira dengan Awang Maulana bin Awang Ibrahim ditunangkan

Makcik Maria dan anaknya, Habibah, berasa malu. Kerana hasutan orang kampung mereka telah menyebabkan Mira sekeluarga mendapat malu.

Arif pula memutuskan pertunangannya setelah dia ditangkap kerana disyaki berkhalwat sewaktu bermalam di sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur. Khabarnya lagi, Arif dan pasangannya itu terus diijabkabulkan pada malam itu juga.

Berkecailah harapan makcik Maria untuk menikmati kekayaan orang lain. Kekayaan yang mereka idamkan selama ini hanya tinggal mimpi belaka.

Saturday, September 27, 2014

Monolog temuduga

Oleh Naziah Naziri; Sarikei

AKU sedaya-upaya melengkapkan diri dengan apa saja persoalan yang akan timbul pada jam 2.00 petang nanti. Pukul 2.00 nanti aku akan gunakan baju berwarna biru, agar lembut mata memandang. Segala surat-surat sudah disusun rapi dalam sampul besar berwarna kuning.

Sejak semalam, aku sudah memastikan bahawa semua surat-surat penting itu aku bawa, tidak tertinggal biar satu pun. Dan pagi tadi, bangun saja daripada tidur, sampul kuning aku buka lagi dan aku tersenyum puas, surat- surat penting itu nanti bakal membantu aku.

Dari awal tadi, aku sudah kemaskan segala kerja, kain sudah dicuci dan disidai. Aku masak nasi, siapkan ulam dan tumbuk sambal untuk bapa. Aku rebus sayur rebung bersama ikan lumek untuk emak. Setelah selesai semuanya aku duduk dalam bilik, dan mataku sering benar memandang jam dinding. Ada ketikanya aku terasa akan jarum jam malas benar bergerak.

Benar, menanti itu memang menyeksakan. Aku sejak semalam, sejak pagi semalam sudah menunggu-nunggu hari ini, istimewa menantikan pukul 2 petang.

Hari ini merupakan hari penting dalam hidupku. Hari ini merupakan hari yang bakal menentukan masa depanku. Sebab itu aku bersedia sejak semalam. Sekarang aku sebenarnya sudah bersedia.

"Gayah, tadi Hamid datang...katanya penting. Soal kerja..."

Dari situlah ia bermula. Sebaik saja balik dari kebun (dua hari yang lepas) sebelum sempat aku melabuhkan punggungku di anak tangga, emak seperti tidak sabar hendak mengkhabarkan berita yang dimakluminya. Bapa yang mengesat peluh di dahi turut merenung wajahku. Emak tersenyum.

Pada malamnya Hamid datang ke rumah. Dia bercerita berjela-jela mengenai jawatan kosong yang didengarnya daripada kawannya. Gajinya lumayan katanya; dan aku tidak perlu isi borang cuma datang saja ke pejabat tersebut.

"Kau layak Gayah...daripada kau duduk rumah, baik kau kerja..."

"Tapi, kau kena temankan aku..."

Azan yang berkumandang masuk dari tingkap yang terbuka menyebabkan matinya segera ingatanku pada peristiwa beberapa hari yang lalu. Aku akan memohon pada tuhan agar aku mendapat kerja itu. Aku benar-benar berharap.

Terbayang-bayang di mataku, bagaimana nanti, aku tidak perlu lagi ke kebun bersama bapa atau sesekali menolong emak menganyam tikar kerana aku sudah bekerja. Pasti aku akan ke pejabat sebelum jam lapan pagi, dan balik lewat petang. Mana mungkin aku punya masa lagi. Bapa kena faham, emak juga.

Bapa tidak boleh marahkan aku kalau aku malas ke kebun pada hari Sabtu atau hari Ahad (hari aku tidak bekerja). Emak juga tidak boleh paksa-paksa aku menolong menganyam tikar pada sebelah malam kerana aku letih. Maklumlah kerja pejabat.

Eh, tentu aku kena pakai kasut tumit tinggi, seperti Kak Siti jiran sebelah rumah. Aku tidak tahu dia kerja apa dan di mana pejabatnya, tetapi Kak Siti memang nampak anggun cuma kadang-kadang bajunya terlalu singkat; make-up di mukanya aduh...bapa selalu benar `mengucap' dan mak pula akan berkhutbah panjang di depanku.

"Tak boleh begitu...haram!"

Kalau sudah lama kerja dan dapat kumpul duit, pasti nanti aku boleh beli kereta seperti Kak Siti.

Rupa-rupanya aku masih di atas katil, belum lagi berwuduk untuk sembahyang zuhur. Bapa geleng-geleng kepala. Sebentar nanti kami akan sembahyang berjemaah. Bapa imam dan aku bersama emak makmum.

Selesai sembahyang, aku segera ke bilik. Seperti yang dirancangkan semalam, aku kenakan baju kurung biru. Baju ini aku kira adalah baju yang paling sesuai di antara bajuku yang lain. Aku berbedak ala kadar, bila aku kerja nanti, pasti aku mampu juga beli gincu bibir yang mahal-mahal. Tetapi aku berjanji dengan diriku, aku tidak akan keterlaluan memakai make-up. Aku berjanji.

Di kampung sekarang, ramai anak-anak muda sudah berhijrah ke bandar. Kononnya di bandar banyak pekerjaan menunggu. Di bandar sama ada kau ada ijazah atau tidak, sama ada kau ada kemahiran atau tidak, kerja tetap ada, yang penting mesti bersedia untuk bekerja rajin.

Yang tinggal di kampung hanyalah generasi tua atau orang yang seperti aku dan Hamid. Dua tahun lalu, ketika selesai saja SPM dan mendapat gred 2, macam-macam pekerjaan sudah aku minta dan kerap kali juga aku hadir temu duga tetapi semuanya tidak melekat. Rosni yang gagal SPM lagi dapat mengajar sebagai pembantu guru di tadika kampung. Pian yang dapat pangkat 3 yang keputusannya lebih baik daripada aku, sekarang dia bekerja sebagai kerani di pejabat yang berhawa dingin.

Aku tidak tahu apa malangnya nasibku tetapi antara faktor lain ialah, kerana keluarga aku tidak ada orang yang berpangkat `besar'; keluarga aku tidak ada yang berpengaruh. Kalau ada `orang dalam', pasti dapat. Adilkah begitu?. tetapi itulah yang berlaku. Malangnya yang menemuduga itu bapa saudara Pian, kalau bapa saudara aku, pasti aku yang dapat.

Semoga dengan temuduga kali ini aku berjaya. Itulah doaku. Rosni pasti tidak mengejek lagi, dan Pian pasti ingin berbaik semula denganku.

Dengarnya, perempuan yang bekerja lebih rajin dan diminati sekarang ini. Orang lelaki juga mahu perempuan yang ada kerjaya untuk dijadikan isteri. Betul tidak betul aku tidak tahu, tetapi banyak juga masalah kalau suami isteri bekerja. Masalah anak, masalah untuk menjaga anak dan bermacam- macam lagi. Sekarang untuk mendapatkan orang gaji amat payah, ramai yang lebih sanggup kerja di kilang daripada menjadi pembantu rumah. Ah, lupakan! Yang penting aku mesti menjawab dengan tenang dan bijak apabila ditanya oleh yang menemuduga nanti.

Hamid datang pada pukul tepat 1.30 petang. Mendengar bunyi enjin motosikalnya saja aku sudah dapat membayangkan senyum yang tidak lekang di bibirnya. Dialah satu-satunya anak muda yang masih betah tinggal di kampung. Kebun pisangnya sebagai tanaman komersil, tercapai juga cita- citanya apabila pihak bank sanggup memberi pinjaman. Dia gigih.

"Wah!, cantik benar kau hari ini, Gayah."

"Maafkah Gayah, kerana menyusahkan kau Mid..."

"Kalau sudah bekerja nanti, kau jangan lupa pada aku."

Hamid anak tunggal. Ayahnya meninggal ketika Hamid dalam tingkatan tiga. Sejak hari itu, Hamid menjadi petani sepenuh masa. Hendak ke sekolah, tiada siapa membiayainya. Kami menjadi sahabat sejak kecil lagi sehingga sekarang ini. Walaupun sekolahnya tidak sampai ke mana, tetapi dia bijak. Dia tahu apa yang perlu dilakukan. Sekarang, dia merupakan pemuda kampung yang berjaya. Tentang perasaannya, aku tidak tahu. Yang penting, sikapnya sungguh menyenangkan.

Mak dan bapa menghantar kami pergi sampai ke anak tangga. Jarak bandar dengan kampung bukan jauh sangat. Dengan bas perjalanan mengambil masa setengah jam. Kalau menggunakan motosikal lagi cepat. Nanti, kalau aku ada kereta, pasti boleh aku bawa emak dan bapa pergi ke kampung keluarga sebelah bapa di Bintulu dengan menggunakan jalan darat.

Hamid terus memacu motosikalnya dengan cermat. Hamid sendiri yang beli motosikal ini, dengan duit hasil daripada projek ikan air tawarnya.

"Kau belum kerja lagikah Gayah?"

"Belum kak,..."

Petang itu ketika balik dari kedai, terserempak dengan Kak Siti yang kebetulan hendak ke kedai belikan sabun katanya. Kak Siti merenungku, aku rasa gelisah dan seperti ada yang tidak betul bila dilihatnya aku dari atas sampai ke kaki kemudian dari bawah sampai ke kepala. Cacatkah aku? Itulah persoalan yang bermain di fikiranku pada petang itu. Renungan matanya yang bertahi lalat besar di sebelah kiri matanya, masih jelas dalam ingatanku.

"Kau masih muda, takkan hendak duduk di rumah...membebankan orang tua."

"Saya bantu bapa di kebun kak."

"Itu lain..."

Hina sangatkah bekerja di kebun? Bibirnya yang tebil mencebik dan menyakitkan hatiku. Kak Siti tentu terperanjat nanti apabila mendengar aku pergi temuduga. Kak Siti mesti terlopong, tak percaya kalau mendengar aku mendapat pekerjaan.

Bekerja di kebun, pekerjaan juga. Emak, bapa dan aku hidup juga dengan hasil kebun. Duit daripada jualan padi, jualan jagung dan sayur-mayur itu, bukan pendapatankah itu? Kenapa bila bekerja makan gaji, baru dianggap sebagai pekerja dan kalau jadi pekebun atau petani seperti tiada apa-apa sumbangan.

Aku tidak tahu apa anggapan kedua-dua orang tuaku terhadapku. Benarkah aku ini membebankan semata-mata kerana aku tidak bekerja makan gaji? Tetapi emak dan bapa tidak pernah pun mempunyai apa-apa reaksi, membuat aku tidak faham. Adakah aku anak perempuannya yang tunggal, maka emak dan bapa keberatan melepaskan aku bekerja jauh-jauh, atau mereka juga mengharapkan aku bekerja seperti orang lain di kampung. Entahlah!

Bagi aku tidaklah perlu pergi temuduga hari ini, kalau aku yakin betul dengan mengusahakan kebun bapa. Memang aku masih boleh hidup, masih boleh beli baju seperti orang lain. Apakah ini kesan daripada dasar penjajah yang mengasing-asingkan struktur kehidupan masyarakat di Tanah Melayu, dan secara tidak sedar, kalau bekerja sendiri itu dikatakan tidak bekerja dan kalau bekerja makan gaji itu, barulah dikatakan bekerja? Jadi, tauke-tauke yang punya bangunan tinggi melangit itu pun tidak bekerjakah?

Kalau aku tekun mengusahakan kebun bapa seperti Hamid, mungkin lima atau enam tahun akan datang aku mampu juga belikan kereta. Emak dan bapa tentu boleh berbangga juga. Kenapa harus dicemburui Pian atau Rosni, belum tentu gaji yang mereka terima bulan-bulan itu mencukupi. Kalau cukup sudah tentu pada sebelah malam, Pian tidak perlu berjual sate di Kubah Ria, seperti sekarang ini. Tetapi aku tidak menghina pekerjaannya. Sungguh, aku tidak menghina usaha Pian. Dia elok belajar berniaga.

"Eh, Gayah, kita sudah sampai, aku doakan kau berjaya kali ini."

"Mid, aku sudah buat keputusan."

"Keputusan?"

"Aku mahu terus berkebun, selama ini pun kita boleh hidup dengan bercucuk tanam..."

"Tapi, kita sudah berjanji dengan Kak Siti."

"Kak Siti?"

Rupa-rupanya Kak Siti yang memberitahu Hamid akan jawatan kosong ini. Dan aku silap juga kenapa tidak tanya jawatan apa yang kosong itu. Aku dalam keadaan serba-salah. Antara hendak pergi dengan tidak. Bukan kerana malukan Kak Siti, atau apa-apa, cuma aku sudah nekad untuk teruskan saja bekerja di kebun bapa. Hidup di kampung, membantu emak menganyam tikar. Selama ini pun emak dan bapa tidak pernah merungut aku tidak bekerja dengan kerajaan atau bekerja makan gaji. Emak dan bapa faham, bukan tidak pernah dilihatnya aku turun-naik pejabat minta kerja, mengisi borang yang sampai tiga empat muka, tidak juga mendapat kerja.

"Hamid, aku nak balik."

"Kau sudah fikir habis-habis, Gayah. Selama ini aku ingat kau tidak suka bekerja di kebun."

"Itu dulu, sekarang lain."

Hamid memandang tepat ke wajahku. Mungkin Hamid sendiri kurang percaya dengan apa yang aku ucapkan sebentar tadi. Memang, aku bukan rela sangat berpanas dan bercucuk tanam, kerjanya kasar, banyak menggunakan tulang empat kerat. Tetapi aku puas. Melihat sayur-mayur segar-bugar dan hasilnya aku juga yang merasa.

"Kau perempuan, kau tidak akan larat!"

"Kau boleh bantu aku..."

"Ha!, sudah sampaipun. Kak Siti lama dah menunggu. Mari masuk."

Kak Siti yang beriya-iya sangat itu akhirnya membawa aku dan Hamid masuk ke sebuah pejabat yang cukup cantik dan selesa. Semasa kami masuk semua mata tertumpu ke arah kami. Aku hairan, Hamid pun kelihatan hairan. Pejabat yang seperti aku gambarkan selama ini tidak seperti ini.

"Sebagai orang kampung, Gayah tentu pandai mengurut...kalau mahu pendapatan lebih Gayah boleh beri perkhidmatan extra..."

Aku dan Hamid berpandangan. Hamid menarik tanganku dan kami meluru keluar. Kak Siti mengekori kami dari belakang. Pelanggan yang masih berbaring di tempat mengurut itu juga turut tercengang-cengang.

"Orang seperti Kak Siti inilah perosak anak bangsa sendiri!"

Hamid yang naik radang dan tertipu dengan jawatan kosong yang dimaksudkan oleh Kak Siti tempoh hari lalu menumbuk muka Kak Siti. Aku tergamam seketika.

"Gayah, mari kita balik!"

Hamid menggenggam erat tanganku. Sepanjang jalan pulang, Hamid tidak bercakap sepatah perkataan pun.

Thursday, September 25, 2014

Mentari suram

Oleh Livis Empanang Taka

MASIH adakah yang tertinggal di situ? Apakah yang ada setelah sekian lama ditinggalkan? Setia? Apa yang mahu dicari, dipetik di tempat yang terpencil, yang penuh semak-samun dan pokok kayu itu?

Yang kelihatan ialah puing-puing rumah berselerak di mana-mana. Dinding yang runtuh, setengah terbenam ke dalam bumi. Lubang-lubang yang penuh dengan air (sekejap tadi hujan lebat). Bunggul-bunggul tanah yang ditumbuhi rumbut. Kayu yang membentengi kawasan di situ.

Di sana-sini, di dalam semak atau di celah-celah rumput-rumpai yang galak, bergelimpangan tiang-tiang rumah dan papan-papan yang reput.

Itukah dia, Dyen, yang sedang mencari-cari?

Dia memandang ke sekelilingnya yang kusam. Kelam. Sepi. Sunyi.

"Tragedi hitam tak dapat dilenyapkan oleh waktu," bisiknya pada dinding batu yang hampir separuh terbenam ke bumi di depannya. "Kaulah menjadi saksinya," katanya lagi sambil meramas dada dinding yang berlumut hijau dan licin itu.

Kemudian dia memandang ke arah pokok-pokok kayu yang berdiri gagah di kelilingnya.

"Aku dataaaannng!" Teriaknya kepada pokok-pokok di depannya. "Aku datang menyusuri alam sejarah yang tak pernah tercatat ini. Tiada siapa yang tinggal lagi di sini untuk menceritakannya. Aku datang kerana aku adalah sebahagian daripadamu," sambil mendepakan ke dua-dua tangannya ke depan. "Kau adalah sebahagian daripadaku."

Suaranya bergema memecah kesunyian alam yang muram dan masih basah selepas hujan. Lambaian dedaunan yang berdesiran ditiup angin bagaikan menyahut gema suaranya.

Air matanya mengalir deras. Sedih. Haru berbaur gembira kerana menjejakkan kaki kembali ke bumi kesayangannya. Bumi yang menyimpan pelbagai catatan ngeri. Di situ telah tertumpah darah berpuluh-puluh nyawa yang terseksa.

Dyen memekupkan kedua-dua tangannya ke muka. Air matanya mengalir laju menuruni pipi. Dia meratapi peristiwa ngeri yang amat memilukan itu.

"Pada waktu kejadian itu, aku tak sempat nak meratapi kalian," sendunya. "Hari ini, aku datang. Aku hadir untuk menangisi pemergian kalian, agar roh kalian tenang di akhirat."

Awan di atasnya masih diserkup hitam pekat. Hanya di sebelah barat saja kelihatan cerah sedikit. Cuaca pada bulan Mei sering disapa mendung dan hujan. Dyen tidak menghiraukan semua itu. Dia sebenarnya berbaju hujan. Tekadnya mahu melawat tempat itu tidak dapat ditahan-tahan, sekalipun ketika itu musim tengkujuh.

Dyen menangis dan terus menangis. Dia menangis sepuas-puasnya. Dia mahu melepaskan segala beban yang melingkari lehernya. Dia mahu jiwanya yang sering merintih, mendesak mahu kembali ke tempat itu jadi tenang. Dia akan terasa bebas dari penjara jiwa yang menyeksakan diri tersekian lama. Dia tidak akan lagi diganggu mimpi-mimpi ngeri. Bayangan dan jeritan ngeri yang melukakan fikiran dan mencalar hatinya diharapnya akan lenyap dengan lawatan ke tempat itu.

Dia duduk di atas anak tangga batu yang masih elok. Masih jelas ukirannya. Dan diamatinya bentuk ukiran bunga ros yang sedang mekar.

"Boleh tak abang Dyen bentuk ukiran seperti bunga ini?" Tanya Mye pada suatu petang ketika tunangnya sedang duduk di halaman rumah itu lima belas tahun yang lalu. Ketika itu rumah itu sedang dibina. Dyenlah tukang rumah itu. Dia mewarisi kepakaran daripada datuk dan ayahnya. Dia telah membina berpuluh-puluh buah rumah di daerah itu. Dia memang terkenal dengan kepakarannya dalam seni ukiran.

"Boleh," jawabnya, sambil merenungi rumah yang separuh siap di depannya.

Rumah itu sudah berbumbung dan separuh berdinding. Papan sudah kehabisan. Dia harus ke hutan lagi mencari pokok yang keras dan tahan lama untuk dibuat papan dinding dan lantai.

"Bunga Raya?"

"Boleh juga!"

"Tentu cantik tangga itu nanti kalau diukir begitu."

"Ya. Tapi wajahmu lebih cantik. Lebih-lebih lagi apabila duduk di situ kelak." Dicubitnya pipi Mye. Mye tersenyum. Manja.

"Kita akan bahagia tinggal di rumah itu nanti," kata Mye, merebahkan kepalanya ke bahu Dyen. "Akan kuhiasi setiap sudut rumah dengan segala anyaman tradisional kaum kita, yang kita banggakan selama ini. Di bilik tamu itu nanti akan kuletakkan meja batu pemberian ayah. Kemudian akan kualas dengan kain sulaman yang kubuat sendiri. Kain sulaman itu sudah siap, berhias bunga-bunga dan mentari, lambang keagungan cinta kita."

"Kau terlalu berkhayal dan memikirkan yang belum ada," celah Dyen.

"Ini bukan berkhayal, tapi merancang. Lebih baik merancang awal, kalau gambaran keadaan sebenar sudah ada dalam fikiran, tak menjadi kelam kabut bila tiba waktu sebenarnya nanti."

"Kau memang bijak dan berpandangan jauh."

"Bakal isteri harus bijak, sebab isteri yang bijak saja yang akan melahirkan anak-anak yang bijak."

"Tapi kau lebih bijak daripada segala wanita yang ada."

"Ahhh, kau terlalu memuji!" Sesungguhnya Mye senang dengan pujian begitu.

Dyen merenung ke rumah itu. Kini ia tidak berbumbung dan berdinding lagi. Yang ada hanya satu dua tiang yang berdiri lesu. Dinding dan bumbungnya sudah ranap menyembah bumi dan dijalari akar dan dipayungi anak-anak kayu yang semakin besar. Hanya tangga batu itu saja yang masih elok, ukirannya masih jelas.

"Wah! Cantiknya ukiran bunga raya ini," puji Mye, setelah Dyen siap mengukir tangga batu itu.

"Khas untukmu, sayang," jawab Dyen ringkas.

"Terima kasih," kata Mye, "kaulah pengukir yang agung. Beruntung aku bersuamikan lelaki yang masih mewarisi seni kebudayaan bangsa."

"Kalau tak diwarisi, ia akan hilang ditelan kemodenan," kata Dyen sambil mengamati ukiran berbentuk bunga di anak tangga itu. Terpegun juga dia akan keindahan hasil ukirannya itu.

"Boleh tak abang mengajar Mye mengukir?" Tiba-tiba Mye bertanya sambil memegang bahunya.

"Kerjanya susah."

"Semua kerja susah. Tapi kalau dipelajari dengan tekun dapat juga dikuasai."

"Tapi ini kerja lelaki."

"Tak salah bukan kalau saya menjadi wanita pertama, kaum kita, menguasai dunia seni ukiran."

Dyen tersenyum bangga dengan kesungguhan Mye ingin belajar. "Kau memang wanita istimewa...bijak berkata-kata." Mye juga tersenyum, bangga dipuji oleh orang yang dikasihinya.

"Kau nak belajar mengukir bentuk apa?" Tanyanya pada Mye yang asyik mengamati bentuk ukiran di anak tangga pertama.

"Bentuk bunga, bermacam-macam jenis bunga."

"Kau terlalu sukakan bunga, apakah Mye dapat mengerti dan menghayati bunga?"

"Tahu juga sikit-sikit."

"Boleh jelaskan, abang nak dengar."

"Abang nak mengujikah daya intelek Mye?"

"Tidak, sekadar nak tahu pandanganmu terhadap bunga. Setiap yang kita sukai itu pasti bererti pada kita. Aneh kalau kita tak tahu menilai secara mendalam yang kita minati."

Mye diam. Kemudian berdiri lalu melangkah menuju ke halaman, merenung kawasan sekeliling.

Dia memetik sekuntum bunga raya. Kemudian berjalan kembali mendapatkan Dyen yang kehairanan melihat telatahnya.

"Cantik tak bunga ini?" Tanya Mye, meramas-ramas kuntum bunga raya yang sedang mekar itu, kemudian menyuakannya kepada Dyen.

"Cantik." Dyen menyambut bunga itu.

"Apa yang cantik pada bunga ini?"

"Kuntum. Kuntumnya."

"Itu saja?"

"Emmm...Itu saja."

Mye tersenyum lalu meminta bunga itu kembali. Dyen menyerahkannya. Mye lalu membuang sehelai demi sehelai daun pada tangkai bunga itu. Kini hanya tinggal pistil bunga raya yang nampak telanjang seperti ayam yang sudah dicabut bulu.

Mye merenungi pistil bunga tanpa daun itu dengan penuh teliti. Dyen bingung memerhatikan telatah Mye yang agak aneh itu, tetapi kemudiannya mulai mengerti apa yang mahu dijelaskannya.

"Sekarang abang mengerti tak?" Dyen mengangguk perlahan-lahan.

"Bunga lambang kecantikan wanita. Dan bunga ini adalah kecantikan luaran iaitu kecantikan iras wajah, saiz badan dan warna kulit - yang sering menjadi tumpuan awalan lelaki, juga menjadi kebanggaan wanita. Juga dijadikan senjata utama untuk memikat lelaki."

Mye sekali lagi meneliti tangkai yang gersang itu dengan khusyuk. Dyen juga memandang bunga itu.

"Kuntum bunga saja tidak cukup. Harus diserikan dengan dedaun yang subur. Begitu juga wanita. Tak akan sempurna keindahan paras rupa kalau tidak diserikan dengan keindahan tingkah laku dan ketebalan imannya."

"Harus diingat, kuntum bunga itu cepat layu, tapi daunnya akan bertahan lama." Dyen tertepuk tangan, bangga dengan kata-kata Mye itu. "Kau memang hebat, sayangku. Dan kaulah bunga yang sedang mekar dan diserikan oleh helaian daun yang cukup subur. Cukup beruntunglah aku mempunyai bunga sepertimu."

Dyen memandang ke halaman rumah itu, tetapi pokok bunga raya sudah tiada di situ. Kini hanya semak-semak mengisi halaman rumah yang dulunya bersih, dibersihkan oleh Mye.

Dyen berjalan ke arah sudut rumah yang tidak sempat di dindingnya dulu. Sebatang tiang masih terpacak gagah. Dinding-dinding yang lain ada yang sudah terbenam ke tanah atau separuh terbakar.

Rumah itu tidak sempat didiaminya dan Mye. Rumah itu tidak sempat disiapkan. Dia masih ingat peristiwa itu, permulaan catatan ngeri yang tidak pernah tertulis dalam sejarah negaranya, Kemboja.

Pada suatu pagi, kira-kira lima belas tahun yang lalu, Dyen masuk ke hutan membawa kapak, mencari kayu untuk papan dinding. Hutan itu agak jauh, untuk ke situ dia terpaksa berjalan kaki kira-kira dua jam. Malah mengerjakan kayu sehingga menjadi papan bukanlah mudah, memerlukan masa yang panjang.

Di kawasan hutan itu, tidak begitu susah memilih kayu yang sesuai. Dia sudah kenal benar dengan jenis kayu yang elok dibuat papan, dinding dan perkakas lain. Kayu ditebang, dikupas, dibelah - prosesnya sulit, dan perlu berhati-hati. Namun dengan segala pengalaman dan kepakaran yang dipelajari, sekeping demi sekeping papan siap. Baru siap tujuh keping, mentari pun mulai condong ke kaki langit. Lalu pulanglah, dia dengan keletihan yang amat sangat.

Kira-kira seratus meter dari kawasan perkampungan, dia terdengar tembakan yang bertubi-tubi dari arah kampungnya itu. Dia menjadi begitu terkejut dan mulai melangkah semakin laju. Langkahnya berhenti di pinggir hutan itu, bila dia terlihat berpuluh-puluh askar bersenjata sedang berkeliaran.

Dalam kesamaran senja yang semakin tua itu, dia dapat melihat gelimpangan berpuluh-puluh mayat yang terbujur kaku. Dia seolah tak percaya apa yang dia lihat. Dia panik dan hilang fikiran dalam beberapa saat. Dia baru saja menyaksikan pembunuhan orang kampungnya secara beramai-ramai.

Air matanya gugur berderai bila mengetahui keluarganya, Mye serta keluarga, sahabat handai sudah menjadi mayat. Mahu rasanya dia keluar dan mencincang semua askar-askar yang tak berhati perut itu, tetapi cepat- cepat juga dia sedar mereka itu bersenjata dan ramai, sedangkan dia hanya bersenjatakan kapak dan parang.

Dengan berlindungkan kegelapan malam yang mulai tiba itu, dia mulai meninggalkan tempat itu dengan segera sebelum askar itu menyedari kehadirannya.

Dia mulai mengembara sehingga sampai ke sempadan Thai lalu mendaftarkan diri menjadi anggota gerila sebagai jalan untuk membalas dendam atas kematian orang yang dikasihinya. Seringkali dia mahu masuk ke kawasan perkampungannya, tetapi sering dipatahkan oleh tentera Vietnam yang menguasai kawasan itu.

Begitulah hidupnya dari tahun ke tahun, meredah hutan, membuat serang hendap, serangan besar-besaran, diserang balik, dan berundur ke sempadan Thai. Dia yang bersikap anti-kekejaman dulunya kini berubah menjadi seorang yang seronok membunuh. Keadaan boleh mendesak seseorang supaya berubah secara drastik.

Ketangkasan dan keberaniannya yang telah membunuh banyak askar musuh telah menaikkan pangkatnya menjadi seorang Kapten. Dia sering melancarkan serangan ke atas konvoi tentera kerajaan Phnom Penh yang dibantu oleh askar Vietnam dan sering berjaya, sehingga namanya menjadi salah satu nama teratas dalam senarai musuh, sebagai orang paling dikehendaki. Namun dia tidak serik melancarkan serangan sehingga beberapa kali dia hampir-hampir terkorban, tetapi dia belum puas. Darah orang kampungnya belum dapat dibayar.

"Kau terlalu berani dan sering tindakanmu begitu bahaya," puji komandannya.

"Tapi bukankah itu yang harus kita buat untuk mengembalikan hak kita yang telah ditindas," jawab Dyen dengan penuh bersemangat.

"Itu benar tapi tindakanmu itu bukan saja membahayakan kamu tapi orang bawahanmu. Kita tak boleh kehilangan anggota sebab kita sedikit. Kau harus faham ini."

"Maafkan saya, komandan. Mungkin saya terlalu emosional."

"Dalam perang, emosi boleh memudaratkan."

"Saya sedar itu, Tuan. Tapi tragedi ngeri yang menimpa keluarga, tunang dan keluarganya, dan semua orang kampungku yang ditembak oleh rejim penjajah itu sering mendesak saya membalas dendam."

Komandan menepuk bahunya. "Saya faham perasaanmu. Bukan saja di kampungmu, banyak lagi tragedi yang serupa berlaku di kawasan lain." kami sendiri. Jauh dari persengketaan dan pembunuhan. Bagaimana mungkin kami penyokong rejim Khmer Rouge yang ganas itu, sehingga orang kampung dijadikan mangsa balas dendam tentera Vietnam atas tindakan kejam orang Pol Pot yang membunuh rakyat Vietnam di sini? Bagaimana mungkin?"

"Dalam perang, banyak perkara aneh. Yang tak mungkin jadi mungkin, dan yang mustahil jadi tak lagi mustahil."

"Kita harus kejar mereka!" Dyen marah.

"Boleh. Tapi jangan sampai bahayakan diri. Jangan sampai kamu masuk perangkap mereka."

Seekor burung hinggap di atas dahan di atas kepalanya, lalu menyanyi- nyanyi dengan nyaring. Dyen tersentak dari lamunannya. Dia meramas-ramas tiang yang berdiri teguh itu tetapi nampak sebam. Hatinya dirundung pilu. Tiang itu saja yang masih tinggal, untuk menunggu kehadirannya setelah begitu lama ditinggalkan.

"Maafkan aku," katanya kepada tiang itu. Air matanya melinang terus. "Aku tak sangka nasib kalian jadi begini."

"Aku akan dirikan kau kembali, rumahku juga," teriaknya pada puing-puing rumah yang ditumbuhi semak itu, "aku akan sempurnakan tugasku yang belum selesai dulu."

Kemudian dia tunduk, diam, kemudian memandang ke depan lagi lalu berbisik, "Walaupun tanpa Mye, keluargaku dan keluarga yang lain." Air matanya gugur lagi buat ke sekalian kalinya.

Dyen cuba mencabut rumput rumpai yang mengelilingi tiang itu. Tiba-tiba dia terdengar seperti ada derapan bunyi semak dipijak. Serta-merta dia mengulingkan diri ke tanah, hasil pengalaman menjadi gerila mengajar menjadi cepat bertindak, lalu bersembunyi dalam semak di halaman rumah itu.

Derap itu semakin hampir. Kemudian berhenti betul-betul di hadapan tangga rumah itu. Dyen menjadi semakin cemas. Dia cuba mengintai siapa gerangan orang itu melalui celah-celah semak. Orang itu membelakanginya. Berbaju hitam, berseluar warna hitam juga. Berambut pendek, tingginya kira-kira empat kaki lebih sedikit.

Tiba-tiba orang itu teresak-esak menangis, menerpa ke arah anak tangga itu lalu memeluknya. Dyen sedar dari suaranya orang itu adalah perempuan. Dia mulai bertanya-tanya siapa perempuan itu dan kenapa dia datang ke situ. Yang lebih menghairankan lagi kenapa dia menangis di depan rumah itu dan kemudian memeluk anak tangga itu.

"Kenapa, kenapa, kenapaaa...?" Tanya perempuan itu dalam esakan: "Kenapa menjadi begini?" Tanya dia lagi tersekat-sekat.

Dyen cepat-cepat memasang telinganya supaya dapat mendengar butir bicara perempuan itu dengan jelas. Dia ingin tahu siapa wanita yang berani datang ke situ seorang diri. Apakah dia anggota gerila melihat daripada pakaiannya atau?

"Aku datang untuk mengutip kenangan yang masih terkumpul di sini," kata perempuan itu lagi.

Kenangan. Kenangan apa? Tanya Dyen dalam fikirannya. Dia tidak sabar untuk mengetahui apa yang akan dikatakan oleh perempuan itu. Kakinya yang mulai lenguh kerana terlalu lama duduk mencangkung tidak dihiraukannya. Perasaan ingin tahu semakin menguasai dirinya.

"Aku datang untuk menziarahi kalian, setelah sekian lama mengembara, menyimbah darah musuh untuk menebus kematian kalian." Perempuan itu memalingkan mukanya ke arah halaman rumah.

"Myyyyeee!" Dyen menjerit dalam hati. Dia seolah tidak percaya perempuan yang berdiri di depannya. Apakah mimpi atau satu realiti? Bukankah semua orang kampungnya sudah terkorban? Apakah Mye sebenarnya dapat melarikan diri?

Dyen tidak pernah memikirkan kemungkinan itu selama ini.

"Bunga raya kesayanganku pun sudah tiada lagi," keluh perempuan itu sambil menggelengkan kepalanya. "Semuanya sudah musnah...Ah, betapa kejamnya peperangan."

Dyen sudah tidak dapat menahan perasaan gembiranya lagi. Perempuan itu memang Mye. Benar. Dia memang Mye. Namun dia tidak juga mahu memeranjatkan Mye dengan mendadak. Perlahan-lahan dia keluar dari semak itu tanpa bersuara. Perempuan itu terus memerhatikan dinding dapur yang tidak siap itu.

"Apakah bisa lagi kita mendirikan rumah ini?"

Seperti terkena kejutan elektrik, secepat kilat perempuan itu memaling mukanya mencari suara itu. Bila dia terpandang Dyen, dia seperti tidak dapat bergerak, berdiri menunggu kerana terlalu terkejut. Dia juga terasa seperti bermimpi - sebuah mimpi yang tidak pernah lengkap selama berbelas tahun lalu.

"Mye, akulah ini. Aku Dyen." Suaranya perlahan, terus meluru ke arah Mye. Mye yang baru tersedar dari dunia kejutan juga berlari dengan suara yang tersekat-sekat kerana terlalu gembira kepada Dyen.

Mereka berdua duduk kembali di atas anak tangga itu, melihat kembali ukiran bunga di situ. Kemudian merenung kembali saat derita selama negara dikuasai rejim Vietnam dan kerajaan bonekanya.

Mye menceritakan bahawa pagi Dyen ke hutan, dia telah pergi ke dalam hutan mencari sayur-sayuran hutan untuk dijadikan lauk petang itu. Masa itulah askar Vietnam datang dan menyeksa dan membunuh orang kampungnya. Kemudian dia pun melarikan diri ke China dan tinggal di sana sehingga negara itu kembali damai. Hari itu, katanya, dia kembali ke daerah itu untuk menziarahi kubur orang yang disayanginya.

"Kita akan hidupkan kembali keindahan kampung ini," kata Dyen penuh bersemangat. Hatinya cukup gembira kerana penderitaannya selama ini terubat.

Mye mengangguk sambil tersenyum yang paling manis pernah dilihat oleh Dyen. Cuaca yang tadinya redup perlahan-lahan mulai cerah.

Cambodia alias Kemboja

pendamaian di ambang gerbang

kembalikanlah kemasyhuranmu

ubatilah luka di dadamu

jangan diundang persengketaan

yang telah meluka parahkan wajahmu

bangkitkanlah semangat Angkor Wattmu!

Tuesday, September 23, 2014

Konflik

Oleh Hazami Jahari

DIA memang aneh, sukar diramal tetapi menghiburkan. Wajahnya mirip kecinaan, memang pun kerana dia orang Melanau walau tidak pandai bercakap bahasa Melanau, namun dari penegasannya secara tidak formal dia amat berbangga dengan kemelanauannya. Tugau baginya adalah lambang kehebatan suku kaumnya. Dia amat bangga.

Kerana keanehan sikap, kelainan watak dan pemikiran, aku amat menyenanginya. Kali pertama menatap kelembutan wajahnya aku tidak berasa apa-apa pun. Dia kuanggap macam murid-muridku yang lain. Macam juga Maureen, Normala, Sanisah, Fauzul dan beberapa orang lain yang telah kulupa namanya. Mereka semua sama kuanggap pohon hijau yang amat memerlukan baja. Dan akulah yang menanggung amanah untuk membajai mereka dengan ilmu. Demi bangsa, negara dan agama seperti yang termaktub dalam falsafah pendidikan negara.

Entah bagaimana pengalaman singkat dua bulan mengajar itu memberikan aku kesan yang amat berlainan. Aku bukan tidak faham, perasaan itu amat tidak wajar. Malah ia amat jelik sekali sebenarnya. Bukan pula terus tidak boleh. Hanya kebiasaan yang tidak mengizinkan hal demikian harus terjadi.

Hari-hari selepas meninggalkan profesion perguruan yang sementara sifatnya itu telah banyak benar mengubah keadaan. Aku semakin tidak rasional, sekurang-kurangnya pada prinsipku sendiri. Amat jelas prinsip aku: Guru tetap guru dan murid tetap murid biarpun aku bukanlah seorang guru lagi. Guru bagiku adalah pendidik, pembimbing dan penasihat kepada murid dalam erti kata yang sebenarnya.

Antara guru dan murid tidak harus timbul soal-soal perasaan yang menyimpang. Jelasnya amat tidak manis terpupuk bibit-bibit cinta antara dua pihak ini.

"Cikgu...pinjam novel?"

"Tajuknya?"

"Apa saja...asal menarik dan mempunyai konflik yang hebat."

"Kalau tentang krisis rumah tangga, misalnya novel Isteri karya Rosmini Shaari?"

"Novelnya bagus?"

"Ina bacalah nanti, segalanya akan terjawab dengan pasti."

Rengekan Ina meminta itu dan ini kian hari kian manja. Dia bagaikan anak kecil yang meminta dibelai oleh ibunya. Yang sebetulnya dia anak sulung. Adiknya ada empat orang yang masing-masing dengan gelagat tersendiri. Kamal agak pendiam dan kelihatan sentiasa serius. Wasli sedikit peramah walaupun agak jarang juga aku berkesempatan berbual dengannya. Salim yang berbadan montok itu pula lebih lembut, mendekati ciri-ciri kewanitaan. Nor adik bungsunya pula sedikit malang, dia cacat pendengaran setelah diserang demam panas ketika kecilnya. Menariknya Nor ternyata lebih manis, malah aku sering mengatakan kepada Ina bahawa Nor lebih manis, ayu dan cantik daripada Ina sendiri. Apabila ini aku utarakan Ina selalunya tidak begitu senang, semacam ada kecemburuan di hatinya. Aku tidak kisah sangat kerana itu lebih kepada gurauanku semata. Niatku hanya untuk mengusiknya kerana aku amat menyenangi kemanjaannya apabila diperlaku demikian.

Barangkali bukan salah aku sepenuhnya kerana menerbitkan perasaan yang tidak sepatutnya itu. Ina terlalu melayanku. Berani aku katakan dia tidak melayani aku seperti seorang guru dengan selayaknya. Aku dilayan lebih jauh daripada itu, sehingga aku sendiri menjadi tidak mengerti. Dan kesangsian pun kian bertaut di dalam diriku kian hari.

Aku bukan juga membesar-besarkan cerita. Buktinya nyata. Pertama, setiap kali aku datang ke rumahnya dia akan melayani kehadiranku dengan mesra sekali. Bicaranya lembut, manjanya bukan main lagi. Sehingga aku menjadi sukar untuk membuat tafsiran tentang tindakannya begitu.

Ibunya pula tidak kurang baik penerimaannya. Kehadiranku disambut dengan penuh hormat. Hidangan yang disajikan pula nyata istimewa. Malah beberapa kali apabila aku dan rakan serumahku, Zul ke rumah Ina, ibunya bersusah payah membeli itu dan ini semata-mata mahu menyambut kehadiran kami. Hal ini menyebabkan aku tersepit dan berasa bersalah kerana menyusahkan ibunya. Bagiku cukuplah sekadar aku dilayan sebagai tamu biasa. Tidak perlu dihidangkan dengan jamuan yang agak rasmi sifatnya itu seolah-olah aku ini terlalu istimewa kepada keluarganya. Secara jujur aku mengakui, aku tidak mengharapkan itu semua.

"Azmi, kau tidak harus berperasaan lebih daripada yang sewajarnya."

"Maksudnya?"

"Ya, kau harus sedar kedudukan kau sekarang. Kau bekas cikgu. Pernah mengajarnya. Itu sudah cukup jelas."

"Tapi aku juga manusia!" Tegasku satu ketika apabila masalah itu diutarakan kepada Zul, teman serumahku.

Jawatan baruku sebagai pegawai yang penuh dengan birokrasinya bukanlah penghalang untuk aku terus mengingati Ina. Namun kesibukan yang berpunca dari jawatan baruku itu tidak pernah aku jadikan alasan untuk melupai soalsoal perasaan. Seperti orang lain aku juga perlu memikirkan soal teman hidup dan masa depan. Apatah lagi dalam usia begini yang sewajarnya aku memikirkan soal itu. Dalam keluargaku sendiri kini, akulah yang paling tua yang belum lagi berteman hidup. Dua abang dan seorang adik perempuanku telahpun berkeluarga sendiri dan mempunyai anak. Kawan-kawan di kampung apabila aku sekali-sekala balik sering mengusik bila lagi aku hendak berumahtangga sedangkan kebanyakan daripada mereka masing-masing telah mengepit anak sampai dua tiga orang.

Di pejabat, benar aku pegawai, perlu menjaga status kepegawaian jika ingin terus dihormati. Dan itulah lumrah di pejabat, biarpun aku amat rimas dengan suasana demikian. Aku lebih senang orang bawahan terutamanya yang jauh lebih dewasa daripada aku tidak beranggapan aku seorang pegawai. Bagiku biarlah tiada perbezaan status. Kadang-kadang suasana yang merimaskan ini menerbitkan penyesalan halus di hatiku, menerima jawatan yang aku sandang itu. Dalam masa yang sama, aku pun mempunyai alasan sendiri semasa menandatangani borang tawaran kerja kira-kira sembilan bulan yang lalu.

"Kau pegawai, gaji boleh tahan, punya personaliti yang hebat, pasti ramai gadis yang tergila-gila kan kau..." bersungguh-sungguh Zul menasihati aku pada satu hari ketika kami makan tengah hari di Taman Binamara.

Ketika itu aku hanya mendiamkan diri mendengar nasihat Zul yang telah kukenal benar hati budinya sejak di kampus lagi.

Ya, memang benar kalau dari lahiriah aku memiliki ciri-ciri untuk menawan hati wanita. Aku lulusan universiti, seorang pegawai, punya potensi untuk memajukan diri dalam kerjaya dan juga punya latar belakang agama yang baik. Ini sekurang-kurangnya penilaian jujur kebanyakan teman- teman rapatku sendiri. Barangkali bercampur ego...aku turut mengakui benarnya penilaian terhadap diriku itu. Tetapi apakah itu sudah cukup untuk sebuah cinta dan akhirnya rumah tangga yang bahagia?

Ina hadir ketika aku telah masuk kali ketiga gagal dalam percintaan. Cintaku yang pertama ketika aku masih di tingkatan enam. Gadis yang aku idamkan itu kini telah berumah tangga dengan orang Semenanjung. Kedua, ketika di tahun satu Universiti Malaya, aku juga gagal. Aku ditinggalkan dengan alasan si dia itu teringat kembali kekasih lamanya. Lantas dia kembali kepada kekasih lamanya itu. Yang ketiga, aku kecewa lagi kerana insan yang kuanggap jujur itu sebenarnya hanya berpura-pura. Akhirnya aku nekad meninggalkannya tanpa memberikan alasan yang pasti.

Yang menarik pada Ina seperti yang aku katakan awal tadi ialah sifat keanak-anakannya yang manja. Dia juga sering menguji psikologi mindaku dengan wataknya yang amat berlainan. Sejauh pengalamanku tidak pernah rasanya aku menemui orang berwatak seperti Ina.

Jalan fikir Ina mendekati absurdisme. Kadang-kadang dia seolaholah seorang filosofis. Seringkali juga dia seperti benar-benar anak kecil. Ketika bagaikan filosofis fikirannya menjangkau hal-hal kewujudan diri, konsep hidup manusia, soal hubungan alam dan manusia. Lazim juga aku tidak mampu melayani jalan fikirnya yang demikian.

Tetapi ketika dia berfikir dan bertindak seperti seorang kanak-kanak, dia akan menyanyi sepanjang perbualan kami melalui telefon. Dia amat meminati lagu-lagu kantonis hingga mampu menghafaz lirik lagu yang diminatinya. Nama penyanyi Hong Kong seperti Leon Lai Ming, Wan Siu Lun dan Wang Chieh tidak lekang dari bibirnya. Penat menyanyi dia akan ketawa memanjang. Malah semasa di rumah Ina seolah-olah mengharapkan ibunya semata-mata untuk melakukan kerja-kerja rumah. Sehinggakan membancuh air untuk minumannya sendiri pun ibu yang disuruh.

Dua wataknya yang kontras itu menjadikan dia gadis yang sukar diramalkan jalan fikirnya. Hal inilah yang cukup menarik dan aneh bagiku. Sememangnya aku meminati dunia psikologi itu. Lantas aku cuba memahami dan meramal manusia bernama Ina dari semua segi.

Dalam usaha aku cuba memahaminya itulah aku kian tersesat jalan. Aku terperangkap dalam arus perasaanku sendiri. Aku menjadi semakin dekat dengan hatinya. Dengan kerenahnya. Dengan wajahnya yang cerah serta lembut itu. Aku secara semulajadi memang meminati gadis yang berkulit cerah. Mungkin itu juga menjadi sebab mengapa aku amat tertarik dengan Ina.

Bukan tidak pernah aku dengar guru mengahwini muridnya sendiri sampai beranak-pinak. Tidak juga ada `tulah'nya. Janggal hanya di peringkat awal, tidak lebih daripada itu.

Tetapi di mana aku meletakkan nilai prinsip `guru' tetap guru dan murid tetap murid itu. Apakah aku mesti menggadaikan prinsip hidupku semata-mata menurut perasaan. Atau apakah aku tidak malu dengan bekas murid-murid yang lain. Apa tanggapan mereka nanti? Mungkin mereka akan menganggap aku ini guru yang tidak jujur, mengambil kesempatan dengan memikat anak murid sendiri. Mentang-mentanglah aku ini bekas gurunya, aku boleh berbuat sesuka hati. Sedangkan aku sendiri sering menasihati mereka agar patuh kepada prinsip hidup sendiri.

Sepanjang yang aku tahu ayahnya juga amat menyenangi keakraban aku dengan Ina. Ini dapat aku pastikan daripada tutur bicaranya dan penghargaan yang dipamerkannya setiap kali aku ke rumah Ina. Aku juga berbual dengan amat ramah, tidak berasa apa-apa kejanggalan dengan ayahnya. Seperti memahami keadaan, ayahnya secepat mungkin memberi ruang kepada Ina untuk melayani aku di rumahnya. Pada kesimpulannya gelaran `cikgu' bukan lagi asing di rumah Ina dan ahli keluarganya yang lain turut memanggil aku cikgu.

Apakah panggilan `cikgu' yang tidak lekang dari mulut Ina itu tidak menyedarkan aku sendiri? Walaupun pernah aku meminta agar Ina jangan memanggil aku `cikgu' lagi. Aku lebih senang Ina memanggil namaku saja. Malangnya Ina tidak bersetuju. Menurutnya panggilan `cikgu' lebih hormat dan mesra.

Pernah sekali Ina cuba-cuba menyebut namaku. Pantas emaknya memarahi Ina. Sejak itu aku tidak lagi mengusulkan agar Ina menghilangkan panggilan `cikgu' itu.

"Cikgu, cikgu sukakan Ina?"

Aku diam seketika. Soalan itu benar-benar menguji perasaanku ketika itu. Dan barangkali ini peluang terbaik untuk menyatakan perasaanku selama ini. Tetapi wajarkah?

"Er...kalau dah selalu telefon begini, tentulah suka," jawabku antara yakin dengan tidak.

Pertanyaan Ina yang menyentuh terus soal perasaan itu menambah kecelaruan fikiranku sendiri. Aku semakin tidak faham, apakah Ina juga berperasaan seperti yang aku alami? Atau apakah Ina tetap menganggap aku sebagai gurunya, tidak lebih daripada seorang kawan biasa? Semuanya melontarkan aku ke tasik makna yang tidak terungkapkan.

Atau itu hanya perasaanku yang bodoh! Lebih malu lagi kalau Ina tidak menerima perasaan yang tersirat di hatiku ini. Ah! Malunya aku. Malunya, di mana hendak aku sorokkan mukaku.

Aku ini guru. Dia bekas muridku. Tidak mungkin. Aku mesti jujur. Aku tidak harus menyimpang dari jalan yang sebetulnya. Apakah hanya kerana Ina terlalu mesra denganku aku wajar menjadikannya alasan mahu menganggapnya sebagai kekasih?

Ah! Segalanya tidak mungkin. Segalanya kabut. Kabut. Kabut belaka.

"Azmi, kalau nak pilih isteri kelak, jangan pilih orang bandar, susah nanti. Orang bandar tentunya tak sudi balik ke kampung, lebih-lebih lagi rumah kita ni bukan macam rumah orang lain."

Nasihat ibu ketika aku balik ke kampung baru-baru ini membekas benar di hatiku. Aku amat faham maksud ibu. Aku hormati ibu biarpun corak pemikirannya itu nyata mendekati kekolotan. Dalam hal ini aku yakin Ina seorang yang boleh diharapkan. Dia, dari cakap-cakapnya lebih menyenangi kesederhanaan. Baginya, dia tidak terlalu memandang kedudukan. Apa yang mustahak katanya ialah kebahagiaan.

Tanpa aku duga, malam itu Ina menerima pelawaanku untuk samasama mendengar ceramah  Rendra di DBP. Sebenarnya aku tidak menyangka Ina bersetuju. Ketika itu aku sekadar mempelawa. Penerimaan pelawaan itu pula terasa memberi makna lain kepadaku. Aku anggap itu satu petanda Ina benar- benar menyenangiku, kalau tidak masakan dia sanggup menerima pelawaanku. Atau aku ini terlalu melayan perasaan sendiri yang tidak seharusnya begitu. Benar-benar aku keliru dalam jerutan perasaan sendiri.

Hal ini memang aku akui. Banyak kali kenyataan ini aku nyatakan pada teman-teman. Bahawa kalau diberi tugas kepada aku untuk menguruskan kerja- kerja pejabat, banyak mana sekali pun aku mampu melaksanakannya. Atau kalau diminta menguruskan hal-hal persatuan yang kuminati dengan mudah aku dapat menguruskannya. Lebih daripada itu dalam seminar, forum dan bengkel hujahku bernas, pendapat dan pandanganku sering menjadi perhatian. Aku telah buktikannya.

Bukan pula aku mengada-adakan cerita. Semasa di sekolah menengah lagi aku telah memperlihatkan bakat dalam menguruskan persatuan. Aku pernah menjadi pengerusi persatuan, wakil pasukan bahasa sekolah, ahli pidato dan juga bekas ketua pengawas. Di universiti aku mencatat rekod memegang dua Islam Sarawak. Dalam masa yang sama aku menjadi Ketua I Ikatan Sasterawan Universiti Malaya. Semuanya aku dapat lakukan dengan jayanya. Sekarang pun aku menjadi Setiausaha Kelab Seni di pejabatku. Ringkasnya aku memang mempunyai kewibawaan dalam perkara tersebut.

Tetapi dalam soal bercinta aku tewas. Aku tidak bijak. Aku sering tergesa-gesa. Aku mudah berasa rendah diri dan sering putus asa. Itu kekurangan aku. Dalam soal perasaan aku sering bertindak tidak matang. Keputusan yang aku buat acapkali tidak rasional, yang akhirnya menimbulkan penyesalan.

Mungkinkah perasaan liar dan tergesa-gesa terhadap Ina ini juga tidak bijak.

"Mengapa manusia sering tidak jujur, cikgu?"

"Barangkali itu lumrah."

"Tapi mengapa?"

"Sebab hati manusia bukan senang untuk ditafsir."

Aku terasa benar pertanyaan Ina itu menyindirku. Soalan itu bagaikan sengaja ditujukan terus kepada aku. Ah! Rasanya dia sengaja menguji hatiku yang bergelora ini. Apa yang penting perasaan ini tetap menaruh sesuatu kepadanya. Biarlah apa yang terjadi, aku tetap akan menyatakan apa yang terbuku di lubuk hatiku sejak ahkir-akhir ini. Akan aku nyatakan. Biar dia faham. Biar dia jelas. Banyak cerita yang aku dengar kalau perasaan cinta terhadap seseorang tidak dinyatakan, akhirnya orang yang kita cintai itu akan terlepas ke tangan orang lain. Itulah yang aku bimbangkan. Aku tidak mahu menyesal kemudian.

Perasaan ini kalau tidak diluahkan hanya menambah resah yang tidak berhujung. Menurut teori sastera yang aku pelajari di universiti dulu, kalau perasaan itu tidak diluahkan ia boleh menyebabkan manusia menjadi neoratik. Inilah landasan teori Sigmund Freud yang mempelopori teori psikoanalisis yang terkenal itu. Sesungguhnya aku tidak mahu menjadi penderita perasaan. Kata orang berterus-terang itu lebih baik daripada mendiamkannya.

Dapatkah dia menerima kenyataan ini? Sudikah dia menerimaku? Apa pula tanggapan bekas muridmuridku yang lain? Bilakah masa yang sesuai untuk aku nyatakannya? Ah! Susah. Susah benar jadinya.

Kebiasaannya kalau gadis melayani serang lelaki itu dengan mesra, maknanya tentu dia suka akan lelaki itu. Mana mungkin dia melayani aku kalau dia tidak menyintai aku. Lagipun aku ini apa kurangnya. Ada pekerjaan tetap, boleh menjamin masa depannya. Wanita mana yang tidak suka akan lelaki berpangkat.

Cinta tidak mengenal siapa guru siapa murid. Asal hati telah terpaut tiada siapa yang boleh menghalangnya. Berita tentang jodoh yang pelik- pelik sering aku dengar dalam majalah dan akhbar. Ada lelaki mengahwini wanita yang jauh lebih tua daripadanya. Wanita pula ramai yang berkahwin dengan lelaki yang boleh dipanggil datuk. Mana ada mustahilnya. Betul, mana ada tidak bolehnya. Aku mesti berterus-terang.

"Ina...saya ada sesuatu yang nak dinyatakan."

"Macam penting saja bunyinya, cikgu."

"Memang penting."

"Tentang apa?"

"Perasaan."

"Ina kurang mengerti."

"Saya cintakan Ina."

"Cikgu..."

Ina terpegun. Wajahnya pantas bertambah menjadi kemerah-merahan. Aku turut membatu. Timbul seribu penyesalan di dalam hatiku menyatakan perasaanku kepada Ina.

Sunday, September 21, 2014

Bumi Rome menjadi saksi

Oleh Shauqi al-Yarmouki

BERAPA harga syawarma ini? Tanya Syafiq kepada penjual syawarma di hadapan masjid besar di Rome, Itali itu sambil dia memerhatikan peniaga Muslim yang berbilang bangsa di sepanjang jalan di hadapan masjid. Masjid besar Rome itu dikenali sebagai 'Markaz al-Thaqafah al-Islamiah' atau dalam bahasa Inggerisnya Islamic Cultural Centre.

Masjid itu adalah satusatunya masjid di Rome yang juga dianggap sebagai salah satu bangunan besar di kota Rome. Bangunan besar itu bukan saja dijadikan sebagai masjid, namun di situ juga ditempatkan dewan seminar, perpustakaan dan sebagainya. Kompleks masjid ini telah direka bentuk dengan kemudahan tempat wuduk dan dewan solat yang boleh menampung 2,500 orang. Ada juga ruang pendidikan yang mengandungi perpustakaan dan kelas untuk pengajian. Dewan syarahannya boleh memuatkan sejumlah 400 orang, selain ruang untuk pameran dan dua tempat penginapan, satu untuk imam dan satu lagi untuk pengunjung.

Kelihatan ramai sekali orang Islam yang berniaga pada hari Jumaat itu. Ada yang menjual barangan makanan seperti `syawarma', `falafil' dan pelbagai barangan halal yang lain dan ada pula yang menjual barangan keperluan seharian.

Penjual syawarma itu kelihatan riang gembira pada pagi Jumaat itu kerana begitu ramai pelanggan yang membeli syawarmanya. Keringat membasahi bajunya dan kelihatan letih yang amat sangat pada wajah yang sedang memotong daging ayam syawarma yang disalai dan dibakar di hadapan bara api yang sentiasa panas.

Walau panasnya api yang membakar syawarma itu agak merimaskan, sesekali angin sejuk pada musim luruh di Itali yang bertiup sepoi-sepoi bahasa agak menyenangkan dan memberikan kesegaran. Walaupun letih melayan pelanggan, bibir penjual syawarma itu tetap menguntum senyum tanda puas dan gembira dengan hasil jualannya. Penjual syawarma yang berbangsa Arab itu tidak faham berbahasa selain bahasa Arab, namun begitu hasil jualannya tetap laris. Nasib baiklah Syafiq boleh berbahasa Arab, jadi senanglah sikit untuk berkomunikasi dengan penjual syawarma itu .. sekurang-kurangnya beliau mudah memesan makanan yang hendak dibeli.

Syafiq tidaklah pandai sangat berbahasa Arab, tetapi asas-asas mudah berkomunikasi dalam bahasa Arab yang dipelajari ketika menuntut di Universiti Putra Malaysia kira-kira lima tahun yang lalu masih lagi dapat digunakan. Syafiq masih teringat Dr Halim yang pernah menuntut di Kuwait dan Sudan selama 11 tahun mengajarnya Bahasa Arab di UPM. Syafiq yang mengikuti jurusan Pertanian mengambil peluang belajar Bahasa Arab dengan Dr Halim melalui subjek elektif yang ditawarkan pada ketika itu. Syafiq mendapati sangat berbaloi belajar bahasa Arab kerana sekarang beliau dapat mempraktikkan apa yang dipelajari di universiti dulu.

Memang Syafiq amat gembira apabila dapat hadir ke pasar Jumaat pada pagi itu. Mana tidaknya.. dua tiga hari ini, dia merasakan amat sukar untuk mencari makanan halal. Walaupun ada kedai makanan yang dipunyai oleh warga Itali Muslim yang berasal dari India yang menjual makanan halal berhampiran dengan Termini, harganya amat mahal, di samping itu Syafiq agak meragui status `halal' pada kedai-kedai itu. Kalau di Malaysia .. segalanya mudah .. ada sahaja logo Halal JAKIM, maka status halalnya tidak diragui lagi.

Namun pada pagi Jumaat yang amat indah itu, begitu banyak juadah makanan halal yang ada. Seronok di hatinya tidak terkata .. Hatinya berbisik sendirian .. kalau beginilah keadaannya .. tidaklah susah untuk tinggal lebih lama di bumi Vatican.

Ya.. bumi Vatican.. tempat yang sudah terkenal di seluruh dunia sebagai wilayah yang merdeka dan mempunyai pentadbirannya sendiri dan dianggap sebagai sebuah negeri yang terkecil di dunia. Tempatnya yang hanya dipisahkan sebatang sungai dengan kota Rome yang hanya mengambil masa tidak sampai setengah jam perjalanan dengan bas dari stesen Termini. Kota Vatican terletak di atas Bukit Vatican di sebelah barat laut kota Rome, iaitu beberapa ratus meter dari Sungai Tiber. Di situlah berdiri dengan megah bangunan atau tempat ibadat yang menjadi kebanggaan penganut Kristian Katolik dan di situ juga tempat yang didiami oleh paderi besar bagi penganut agama Kristian Katolik itu.

Masih terbayang gambaran tempat itu di ruang mata Syafiq. Baru semalam Syafiq menjejakkan kaki ke tempat itu. Dari Termini Syafiq menaiki bas. Di sepanjang perjalanan, Syafiq menghayati keindahan kota Rome. Sebuah bandar hebat yang berada di Eropah dan pusat pelancongan yang terkenal yang masih mengekalkan bangunan lama yang menjadi warisan. Ketika menghayati keindahan kota Rome yang dipenuhi dengan patung sejarah, Syafiq agak tersentak apabila melihat kebanyakan bangunan di bandar raya itu penuh dengan contengan cat dan perbuatan vandalisme. Sikap vandalisme ini menyebabkan bangunan kelihatan agak kotor pada dinding di aras bawah bangunan yang dapat dicapai oleh tangan yang melakukan perbuatan vandalisme ini.

"Indah khabar daripada rupa," Syafiq mengomel sendirian pada ketika itu. Mana tidaknya, kota yang amat terkenal di seluruh dunia itu dipenuhi dengan contengan pada kebanyakan bangunannya. Kalaulah ia berlaku di Kuala Lumpur, nescaya Datuk Bandarnya akan dihentam dan dikutuk melalui ruangan Forum di dada akhbar dan rancangan Aduan Rakyat TV3.

Seketika bas yang membawa Syafiq melintasi sungai yang memisahkan Rome dari Vatican. Selepas saja melintasi sungai tersebut, kelihatan terowong kecil di hadapannya. Syafiq segera melihat peta di tangannya. Peta menunjukkan bahawa destinasinya hampir sampai. Bas melewati terowong yang jaraknya hanya sejauh 100 meter. Sekiranya hendak dibandingkan terowong di Lebuh Raya Utara- Selatan berhampiran dengan Kuala Kangsar dan terowong di Lebuhraya Karak-Gombak berhampiran dengan Genting Sempah, sudah tentu terowong di Malaysia tampak lebih hebat dengan jaraknya yang lebih panjang dan dibina merentasi bukit-bukau yang berbatu pejal dan keras.

Kini di hadapan Syafiq sebuah bangunan besar yang mempunyai kubah seumpama kubah masjid. Kalaulah dia tidak mengetahui tentang selok-belok tempat itu, sudah tentu disangkanya masjid apabila melihat kepada kubah itu. Namun, ada sedikit kelainan dari sudut bentuk dan ukirannya yang tersendiri pada kubah iyu. Syafiq melangkah masuk ke dalam kawasan gereja Katolik di Vatican itu.

Apabila sampai saja di dataran hadapan gereja, Syafiq dapat menyaksikan pelbagai jenis patung yang terletak mengelilingi bangunan dan dataran gereja. Begitu juga berhampiran dengan pintu masuk ke gereja, sebuah patung besar yang diukir iaitu patung St Peter iaitu pemimpin pertama dalam gereja Katolik. Syafiq mendapati ramai pelancong yang datang dari pelbagai negara melawat ke gereja itu. Di samping gereja itu yang menjadi pusat keagamaan bagi penganut Katolik, ia juga dijadikan sebagai destinasi pelancongan.

Syafiq melangkah kaki ke dalam gereja itu untuk melihat keadaan di dalamnya. Suasana di dalam gereja agak suram dengan cahaya yang agak malap termasuk pelbagai jenis patung yang diukir untuk menggambarkan Jesus, Maryam dan patung malaikat yang diukir dalam bentuk anak kecil yang terbang. "Banyaknya patung di sini," getus Syafiq di dalam hatinya. Syafiq berasa agak `seram' dengan suasana muram dan sedikit gelap dalam gereja itu.

Lantas, Syafiq cuba membezakan suasana tempat suci umat Islam di Masjidil Haram dan suasana tempat suci penganut Kristian Katolik ini. Apatah lagi sememangnya sebelum menjejakkan kaki di bumi Rome ini, Syafiq telah terlebih dulu ke Makkah untuk menunaikan umrah. "Seramlah keadaan di sini," kata Syafiq kepada temannya Saiful. "Kalau di Masjidil Haram .. barulah rasa tenang," tambah Syafiq lagi.

Sebenarnya, memang tujuan asal perjalanan Syafiq sebenarnya adalah ke Makkah saja untuk menunaikan umrah. Entah bagaimana, ketika dia berbicara dengan temannya Saiful di hadapan Makam Ibrahim setelah selesai saja menunaikan solat sunat Tawaf dua rakaat, timbul idea untuk tidak terus kembali ke Malaysia, sebaliknya meneruskan perjalanan ke Eropah.

"Cadangan awak tu elok juga Syafiq, saya pun memang tak pernah menjejakkan kaki di Eropah. Alang-alang dah naik kapal terbang, elok kita teruskan ke sana. Harga tambang kapal terbang yang perlu ditambah tak sebanyak mana kalau nak dibandingkan apabila kita sudah balik ke Malaysia," ujar Saiful pada Syafiq sambil matanya dan seluruh wajahnya memandang ke arah Syafiq tanda beliau serius memperkatakan hal itu.

"Ye .. Saiful, sebenarnya sebelum kita datang ke bumi Makkah ini pun saya sudah terfikir tentang hal ini .. tapi tak sempat pulak nak berbincang dengan awak .. maklumlah ketika tu masalah visa umrah kita pun hampir-hampir `sangkut'...  Tapi Saiful, saya rasa elok jugak kita ajak Ustaz Hasan bersama kita.. Saya bimbang jugak kalau kita berdua aje mengembara di Eropah tu .. banyak dugaannya tu .. kalau ada Ustaz Hasan, rasanya lebih selamat," kata Syafiq sambil matanya meliar mencari kelibat Ustaz Hasan yang masih berada di tengahtengah kelompok jemaah yang bersesak-sesak bertawaf mengelilingi kaabah, sambil Syafiq meletakkan tangannya di atas dahi untuk menahan panas mentari yang membakar melewati 45 darjah Celcius ketika itu. Lagak Syafiq umpama seorang askar yang mengangkat tabik. Walaupun orang yang bertawaf pada waktu selepas Zuhur tidaklah seramai pada waktu lain, susah juga mencari kelibat Ustaz Hasan.

"Awak rasa Ustaz Hasan setuju ke nak ikut kita?" tanya Saiful dalam nada yang tidak begitu yakin dengan persetujuan Ustaz Hasan. "Hal itu, awak jangan bimbang, nanti saya sendiri akan berbincang dengan Ustaz Hasan," jawab Syafiq penuh yakin. Setelah berbincang dengan Ustaz Hasan .. maka persetujuan pun dicapai. Lalu, sampailah mereka bertiga ke bumi Rome ini.

Syafiq tersentak apabila tiba-tiba bahunya dipegang oleh Ustaz Hasan. "Anta beli apa Syafiq .. beli syawarma?" Soal Ustaz Hasan. Sapaan Ustaz Hasan itu mengejutkan Syafiq daripada lamunan.

"Ye, ustaz .. saya beli syawarma," jawab Syafiq dan di tangannya tergenggam erat syawarma ayam yang baunya saja boleh membuka selera sesiapa jua yang berminat dengan makanan Arab. Syafiq baru teringat yang dia masih belum membayar harga syawarma itu. Lantas, Syafiq bertanya sekali lagi kepada penjual syawarma sambil memegang wang kertas 5 euro di tangannya, "lau samahta, kam si'r haaza syawarma?."

Penjual syawarma itu tersenyum sambil berkata, "balash .. zaalikar rojul qad dafa," sambil menunjukkan ke arah seorang lelaki berbangsa Arab. Lelaki Arab tersebut yang berbadan sasa dan tegap, berambut keriting, bermata bulat memandang ke arah Syafiq dengan senyuman.

Syafiq lantas mengucapkan terima kasih kepada lelaki Arab itu, "syukran ya akhi." Lelaki Arab itu pun menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Syafiq dan Ustaz Hasan yang berada di sebelah Syafiq, lalu memperkenalkan dirinya sebagai Fathi yang berasal dari Tunisia, tetapi sudah menetap di Rome sejak 10 tahun yang lalu.

"Min aina anta?" soal Fathi kepada Syafiq.

 "Min Malizia," jawab Syafiq ringkas. Sambil itu, Fathi menghulurkan kepada Syafiq segenggam anggur `banati' yang berwarna hijau, tanpa biji sambil mempelawanya makan. Syafiq mengucapkan terima kasih .. namun di dalam hatinya tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki Arab itu yang tidak dikenalinya sebelum ini, tetapi bersikap begitu baik sekali.

Kesempatan yang ada itu diambil oleh Syafiq untuk berta'aruf dengan Fathi, untuk lebih mengenali lelaki yang berhati mulia ini. Fathi pun menceritakan betapa dia mengenali Islam di bumi Rome melalui ikatan ukhuwah yang terjalin di antara sesama umat Islam di situ. Ketika di Tunisia, dia tidak mengenal erti solat dan tidak mengenal sejadah.

 Hidupnya adalah untuk makan dan berseronok saja. Namun, apabila dia berhijrah ke Rome untuk mencari pekerjaan demi hidup yang lebih sempurna, barulah beliau sedar erti persaudaraan dan nikmat Islam. Atas dasar persaudaraan Islam juga, ramai sahabat dan rakan di Rome yang sanggup bersusahpayah demi saudaranya.

"Hubungan ukhuwah sesama umat Islam amat kuat dan kukuh di sini kerana masingmasing memerlukan di antara satu sama lain. Apatah lagi apabila kami berhadapan dengan sesetengah orang Eropah yang agak sombong dan mementingkan diri sendiri.

Di sinilah baru dapat dilihat bagaimana semangat persaudaraan yang diajar di dalam Islam merupakan sesuatu yang amat manis lagi bermakna," jelas Fathi kepada Syafiq.

Syafiq mengangguk-angguk tanda setuju dengan penjelasan Fathi itu. Syafiq teringat mafhum ayat al-Quran yang sering dibacakan oleh khatib dimasjid Bandar Baru Bangi, tempat yang sering Syafiq tunaikan solat Jumaat, "Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara."

Cerita Fathi itu juga telah mengingatkan Syafiq tentang ceramah agama yang telah disampaikan oleh Ustaz Roslan di Surau al-Muhajirin seminggu sebelum Syafiq ke Makkah mengenai ukhuwah sesama Muslim dalam peperangan Yarmouk. Ustaz Roslan menceritakan bagaimana kasih sayang dan persaudaraan sesama Islam yang dapat digambarkan melalui kata-kata yang telah diungkapkan oleh Huzaifah:

"Aku telah bertolak ke tempat berlakunya Peperangan Yarmouk untuk mencari sepupuku yang kesakitan dan kehausan untuk kuberikan kepadanya air yang ada bersama-samaku. Apabila aku dapat menemuinya, lantas aku memberikannya air. Sedang saja sepupuku itu hendak meneguk air, maka dia terdengar suara seorang Muslim yang mengaduh kehausan, maka sepupuku lantas menyuruhku agar memberi minum orang itu dulu. Aku pergi kepada orang itu dan aku dapati dia adalah Hisyam Bin al-As. Apabila Hisyam hampir saja meneguk air, maka terdengar oleh Hisyam suara sahabat seperjuangan yang lain mengaduh kehausan, maka Hisyam pun menyuruhku untuk pergi dan memberikan air kepada orang itu. Aku pun pergi kepadanya dan belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid. Aku berpatah balik kepada Hisyam dan aku dapati dia juga telah syahid. Kemudian aku pergi pula kepada sepupuku, tetapi belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid."

Fathi menerangkan kepada Syafiq dengan suaranya yang jelas dan dengan menyebut perkataan bahasa Arab dengan lambat dan satu-persatu agar Syafiq dapat menangkap apa yang diucapkannya: "La a'rifu nural Islam fi Tunis, wainnama a'rifu nuural Islam fi Roma." A'rifu Islam min khilal al-ukhuwwah al-islamiyyah huna." Fathi lantas memimpin tangan Syafiq ke arah rakan- rakannya yang lain yang sedang bersembang dan bertanya khabar di antara satu sama lain.
  "Haaza Yazid min Jazaa'ir, wa haaza Muhammad min Urdun, wa haaza Umar min Maghrib," Fathi memperkenalkan rakan-rakannya itu yang berasal dari pelbagai negara, tetapi sudah menetap di Rome dan mendapat kerakyatan Itali kepada Syafiq dan Ustaz Hasan. Syafiq lihat kegembiraan pada wajah rakan-rakan Fathi itu ketika mereka saling berkenalan. Walau Syafiq hanya berkenalan dengan mereka pada pagi itu sahaja, Syafiq dapati keakraban yang amat sangat seolah sudah kenal lama dengan mereka. Mereka begitu ramah dan mesra mengalu-alukan ziarah Syafiq ke Rome.

Seketika, azan berkumandang. Syafiq bersama rakanrakan barunya itu bersegera menyahut seruan Jumaat dengan beriringan ke dewan solat di Islamic Cultural Centre itu. Masjid besar itu adalah tempat berseminya ukhuwah Islamiah. Walaupun tapak asalnya ialah kawasan yang terkenal dengan maksiat dan pelacuran di Rome. Namun, dengan hubungan erat dan kekuatan yang dapat dibina dalam kalangan orang Islam di Rome, maka mereka telah berjaya membeli tanah itu dan masjid yang besar dan tersergam indah yang masyhur dengan nama Islamic Cultural Centre itu pun dapat dibina di tapak itu. Hal ini sekali gus telah menjadikan kawasan itu tidak lagi menjadi sarang maksiat.

Seusai solat , Syafiq, Ustaz Hasan dan Saiful memohon untuk beredar ke tempat penginapan mereka iaitu sebuah hotel tidak `berbintang' yang terletak berhampiran dengan Termini. Mereka menyewa satu bilik kecil yang hanya dapat memuatkan tiga katil. Bilik kecil itu hanya mempunyai kipas siling tanpa televisyen dan tanpa peti sejuk. Namun begitu, sewanya ialah 30 euro seorang (lebih kurang RM135). Kadar sewa mengikut `kepala' bukan mengikut bilik, jadi sewa untuk bilik kecil ini saja ialah 90 Euro untuk tiga orang.

Fathi dan rakannya Yazid mempelawa untuk menghantar Syafiq dan teman- teman ke Termini. Sepanjang perjalanan menaiki `tren' dari masjid ke Termini, Syafiq dapati kemesraan antara mereka amat luar biasa .. seolahnya mereka sudah berkawan selama 20 tahun. Ukhuwah Islamiah tidak mengenal keturunan, bangsa dan warna kulit. "Di bumi Rome ini, baru aku benar-benar mengenali erti sebenar ukhuwah," bisik hati Syafiq sambil bibirnya menguntum senyum tanda gembira.

Info

SHAUQI al-Yarmouki adalah nama pena bagi Mohd Sukki Othman yang dilahirkan di Kampung Jarak Atas, Tasek Gelugor, Seberang Prai, Pulau Pinang, pada 23 Januari 1974. Lulusan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Arab di Universiti Yarmouk, Jordan dan Sarjana Pengajian Arab dan Tamadun Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kini berkhidmat sebagai Pensyarah Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Bahasa dan Kesusasteraan Arab, Terjemahan Bahasa Arab-Bahasa Melayu, Pengajian al-Quran dan Islam serta Tamadun Islam menjadi bidang kajiannya. Antara bukunya ialah Madah Pujangga Al-Imam Al-Syafei terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Pendidikan Bahasa Arab di Malaysia: Cabaran dan Inovasi (Minda Imtiyaz Publications) dan Tamadun Islam (Pustaka Sarjana Sdn Bhd).