Pages

Saturday, January 31, 2015

Kocak kelabu hitam

Oleh Arena Wati

(Dari fragmen memoir berjudul Enda Gulingku terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia)

KETIKA musim gugur baru mulai pada tahun 1983, Mr Sullivan mengadakan majlis pertemuan suaikenal di kalangan penghuni apartment Fairview Height dengan Fairview Square, Cornell University, Ithaca. Di sanalah saya berkenalan dengan seorang Negro pegawai tentera Marin Amerika. Dia ditemani isterinya dan anaknya yang masih belajar di High School, tinggal dalam sebuah apartment di Fairview Square. Kalangan penghuni umumnya orang kulit putih. Orang berkulit warna hanya kami suami-isteri, Negro itu sekeluarga, seorang Cina Profesor dari Shanghai University, dan seorang wanita Cina kaya dari Singapura bersama dua orang anaknya; seorang gadis Jamaika, dan Flora, wanita tua peranakan Mulatto-Chikano-Red Indian.

Sambil minum dan nikmati makanan ratah-ratah saya lihat orang-orang kulit putih tidak keberatan berbual dengan kami, tapi mereka sisihkan keluarga Negro ini. Waktu sedang berbual dengan seorang Profesor Yahudi dari Hebrew University, di Israel bersama isterinya, Halimah datang dan menguit tangan saya, lalu berbisik:

"Kasihan Negro itu. Tidak ada siapa yang mau berbual dengan mereka."

"Pergilah," kataku. "Nanti saya susul."

Keluarga yang disisihkan ini terlalu gembira apabila kami mendampingi mereka. Dalam perbualan, saya dapat tahu bahawa dia seorang kolonel dalam pasukan Marin Amerika. Dia dipinjamkan buat sementara selama semester musim gugur untuk memberi kuliah dan latihan pada bahagian Angkatan Laut Amerika di Universiti Cornell. Pejabatnya di Barton Hall. Anaknya sudah dapat biasiswa dari Pentagon, untuk calon tentera Marin.

Pada suatu hari saya sedang sibuk sisihkan buku-buku cetakan opset dan jilid seperti album yang mengandungi data-data perang Amerika dan Vietnam. Ini bahan-bahan yang dibenarkan oleh Pentagon untuk rujukan kakitangan akademik saja dan ditempatkan pada ruang bawah tanah di Olin & John M Echol Library.

"Wau, brother, awak di sini?"

Saya terkejut mendengar suaranya datang dari belakang bahu saya. Lorong-lorong ini jadi tempat khas bahan-bahan yang berkaitan dengan belanja perang Amerika dan anggota pasukan kategori MIA (Missing In Action).

Saya angkat bahan-bahan itu ke meja tempat saya meletak beg sandang, dan tak menolehnya lagi. Tapi tidak lama kemudian dia datang dan minta dibenarkan bergabung dengan saya di meja yang sama. Mulanya saya tidak hiraukan, kerana kami sibuk dengan kerja-kerja sendiri. Tapi akhirnya saya sedar, bahawa buku yang dibawanya tidak pun dibukanya. Dia duduk bertopang dagu, termenung memandang rak-rak buku. "Sengaja mahu rehat di sini, atau tunggu kawan?" Tanyaku.

Dia geleng kepala. Mukanya sugul.

"Apa hal? Ada apa-apa yang tidak kena?"

"Sudah baca berita Beirut?"

Saya mengangguk. "Dari surat khabar, dan lihat di TV," kataku. "Ngeri juga ya? Tapi dalam perang. Wajar begitu, bukan?"

Ketika itu penduduk Amerika digoncang oleh peristiwa letupan pangkalan Marin Amerika di Beirut oleh TNT yang sarat dalam sebuah lori, dan lebih tiga ratus orang jadi korban. Saya bertambah sedar, dia kolonel Marin.

"Ada teman rapatmu jatuh korban?"

"Anak lelaki saya yang sulung. Leftenan Marin." Suaranya sayu.

Mulut saya bergerak-gerak dan hati saya gatal mahu berkata, `Cuma tiga ratus orang lebih. Orang Arab mati beribu dalam setahun kerana mahu rebut kembali tanahairnya. Anakmu mati di sana bersama tiga ratus orang itu, kerana membantu orang yang merampas tanahair orang Arab.' Tapi mujurlah saya dapat menahan diri. Maka dari mulutku hanya kedengaran bisik yang amat halus:

"Tentu kau bangga atas kematian anakmu dan rakan-rakannya. Seluruh Amerika sudah mengutuk orang Arab."

"Awak tau berapa ramai `black' yang mati?"

Saya geleng kepala. "Tidak ada berita tentang itu. Korban di Vietnam pun saya tidak temui datanya berapa White dan berapa `black' yang gugur di sana."

Dia menangis, tapi dikuasai dirinya. Saya tahu, tidak mungkinlah saya buat kerja untuk beberapa jam selagi dia masih di meja ini. Dia sendiri sudah tidak ada niat akan bekerja. Tapi saya tidak sampai hati meninggalkannya. Saya tutup buku-buku saya dan menulis nota pada meja, menandakan saya akan ulang, meja dan buku itu.

"Mari kita keluar," kataku memujuk.

Saya lihat buku yang diletaknya. Di depannya ialah laporan suruhanjaya yang menyiasat tentang MIA di Vietnam. Kami ke kafeteria di Sage Graduate Centre, dan masing-masing pesan makanan ringan.

Kesedihan yang dialaminya dan curahan perasaan yang dilepaskannya menimbulkan kesedaran saya, bahwa Negro ini sama juga dengan bangsa apa pun, dan warna kulit apa pun di dunia.

"Saya seharusnya jadi pensyarah di Columbia University," katanya kemudian setelah meluahkan terlalu banyak perasaan.

"Tapi perang di Vietnam telah mengubah karier saya."

"Ya, perang. Selalu mengubah nasib manusia."

"Kau pernah jadi tentera?"

"Tidak. Pegang senjata jenis apapun tidak pernah."

"Kau beruntung, brother."

"Barangkali. Tapi saya tidak pernah dapat pangkat apa pun dalam hidupku, walau pun sekolah saya terhenti selama sepuluh tahun kerana perang."

"Perang Dunia Kedua?"

"Ditambah perang revolusi kemerdekaan Indonesia."

Dia tanyakan umur saya, dan saya jelaskan. Dia terangkan umurnya dan bercerita bahawa dia kawin ketika tahun akhir di High School. Dan anaknya yang terkorban di Beirut itu lahir ketika dia di tahun pertama di Universiti Columbia." Dengan isterimu yang sekarang?"

Dia mengangguk. "Kami sama-sama dari High School. Dia kerja dan saya masuk universiti."

"Kenapa tidak belajar bersama-sama?"

Dia memicu jari-jari tangannya. "Ini," katanya.

"Kami tidak ada wang. Kami perlu hidup." Dia mengeluh, "Kami sudah berumahtangga."

"Biasiswa?"

Ketawanya dipengaruhi rasa sedih. Dia bercerita, bahwa di Amerika, dan kalau kau `black', terlalu sedikit pundi-pundi yang akan berikan biasiswa. Di Amerika tidak ada pelajaran percuma dan perubatan percuma.

"Jadi dengan hasil usaha isterimu kaubelajar, setelah tamat taraf apa yang kauterima dalam angkatan tentera?"

"Master. Sedang bersiap kerja-kerja kajian untuk Ijazah Kedoktoran."

"Dan kau ditarik begitu saja?"

"Kalau saya tidak ke Vietnam pun, tidak akan saya dapat teruskan pelajaran. Tempat saya pastikan penjara."

Saya mengeluh. "Kau rugi besar!"

"Yahudi pemakan babi yang untung."

"Kau sudah terlalu kasar, kolonel. Tidak ada siapa yang untung dalam dan dari perang."

"Yahudi pemakan babi yang untung," suaranya menggetar.

Saya berusaha mengelakkan cerita pedih-pedih ini dan membawanya kepada perbualan lain. Saya sedar, bahawa walaupun dia tidak pakai uniform, tapi pastilah ramai mahasiswa yang tahu apa tugasnya di universiti ini dan apa pangkatnya. Pastilah ramai mahasiswa yang hadir pada meja sebelah-menyebelah kami telah terdengar sumpah-seranah dan kemarahannya. Tapi setiap kali saya membuka bual tentang kehidupan kampus, setiap kali itu pula dia akan kian banyak menyelongkar nasib buruk Negro di Amerika.

"Universiti Cornell ini termasuk beberapa buah yang terbaik di Amerika," katanya. "Lihat? Berapa ramai `black' di sini?"

Saya mengangguk, dan berkata, "Barangkali kerana terlalu jauh ke utara. Barangkali kalau di New York City, Washington DC dan Chicago, tentu lebih ramai!"

Dia tidak menyahut, hanya luahan ketawanya yang pahit, sarat dengan ejek.

"Peluang tidak terbuka lebar?" tanyaku kembali.

"Hak kami sama atas kertas," katanya dan mengeluh. "Tapi ingatlah, kami hanya untuk mati di medan perang mana pun, sebelum orang kulit putih mati, walaupun kami dalam satu batalion yang sama dengan kulit putih."

"Sebab itukan ramai `black' yang putus asa, lalu jadi apatis, dan berkelakuan menggila-gila?"

"Ini yang mendorong mereka jadi penjenayah."

"Saya lihat ramai polis yang terbaik terdiri daripada `black'," kataku.

"Tentu! Supaya `black' tangkap `black'. Supaya `black' bunuh `black'. Dan tau? Undi `black' itu terlalu diperlukan."

"Ironi ya? Undi `black' diperlukan untuk memenangkan pembuat dan pelaksana dasar kenegaraan Amerika. Dan pelaksanaan dasar itu lebih banyak yang menekan `black' dibandingkan dengan unsur yang mengapungkan `black'. Begitu?"

"Saya kadang-kadang terfikir," katanya. "Salah satu jalan untuk `black' perlihatkan bantahannya secara diam-diam, ialah pulaukan kerja mengundi itu."

Saya terdiam. Saya teringat cerita keluhan dan sumpah seranah dari petani dua suami-isteri yang berjualan di pinggir jalan Dryden Road.

"Tahu kenapa Amerika terbabit di Vietnam?"

"Perjanjian Geneva tahun 1954."

"Inggeris!" suaranya padat. "Politik, ekonomi dan kewangan Britain juga dikuasai Yahudi pemakan babi. Permainan Yahudi Britain dan Yahudi Amerika menyebabkan Britain sebagai salah sebuah negara pengerusi bersama persidangan damai Vietnam-Perancis di Geneva itu, menyebabkan ada dua peruntukan tertentu yang mengikat Amerika di sana."

"Apa tujuan mereka?"

"Saudagar-saudagar Amerika, yang memang sebahagian besarnya Yahudi, terlalu marah kerana kehilangan pasaran dan bahan mentah di Tiongkok akibat kekalahan Kuo Min Tang tahun 1949."

"Lalu?"

"Wang mereka dalam bank akan dipinjamkan ke mana? Hasil industri perang mereka akan dijual ke mana? Salah satu jalan termudah ialah pinjamkan kepada pemerintah Amerika sendiri, dan jual kepada pemerintah Amerika sendiri semua senjata dan segala peralatan perang dari industri itu."

"Tragik," saya mengeluh. "Nasibmu terikat di dalamnya. Gagal jadi pensyarah."

"Sekarang anakku mati di Beirut."

"Kerana Yahudi juga?"

"Kenapa tidak?" Suaranya agak tenang, tajam. Tahu? Tidak sampai tiga persen orang Yahudi di kalangan penduduk Amerika. Tapi Yahudi yang tidak sampai tiga persen itulah yang paksa orang Amerika yang sembilan puluh tujuh persen lebih itu supaya mendukung Israel dan bersama-sama memerangi orang Arab."

"Semoga anakku yang masih di High School itu tidak dibawa ke Timur Tengah nanti."

"Saya dapat pastikan berapa lama perang Timur Tengah itu? Amerika sedang persiapkan diri untuk buka medan perang baru."

"Kolonel, saya tahu benar, umumnya orang Amerika tidak suka perang."

Dia mengangguk kecil, tapi matanya merenung saya. "Berita TV dan surat khabar sudah cukup jelas," katanya kemudian. "Di depan pintu kami sendiri." Dia diam seketika. "Amerika Tengah dan Kepulauan Carribean."

Friday, January 30, 2015

Anak kota kaca

Oleh Zaen Kasturi

SEGALA-GALANYA kini berada pada tahap paling tipikal - angin selising melontar bau darah dan tulang ke segenap susuk daerah kota ini. Intuisiku seakan lumer untuk meneka ke manakah terbangnya sunyi gua atau wangi akar liat pohon pelawan. Segenap nyali sukmaku terlonta-terlonta bagai sang toman di dalam balang kaca. Ia melihat di hadapannya terbentang saujana danau, tetapi apa upayanya, cuma menengadah nasib di dalam alam terkurung itu. Akulah itu sang toman yang tidak selelah-lelahnya menerajang dinding balang dengan ekor kipasnya. Siapakah yang dapat membaca degup murung itu selain percik-percik air balang yang asal mulanya terbit dan gugur dari langit Tuhan?

Sekali aku melihat matahari, aku melihat mata Tuhan. Sekali aku mendengar desir angin membedal tiang-tiang lampu di sepanjang jalan kota ini, aku mendengar suara Tuhan. Sekali aku mencium hanyir sampah di arus sungai yang tidak pernah jernih airnya, aku mencium darahku sendiri.

Kota ini tidak pernah ingin berbahagi bahagia bersamaku. Tawa atau ringkik jalangnya bagai kuda tezi bukan untuk kongsian manusia seperti aku. Hingga malam lusuh oleh panasnya bulb-bulb neon di sepanjang lorong, seseorang yang tidak pernah kulihat sebelum ini, menggalas cangklong onggokan sampah di bahunya. Aku tidak tahu apakah jenis sampah yang tersimpan dalam cangklongnya itu. Atau apakah dia sedang menggalas sekujur mayat reputku untuk di bawah ke sebuah lorong yang terlalu asing, mengira-ngira ke manakah akan dikebumi dan ditalkinkan tubuh yang sudah mayat itu?

Seseorang yang kulihat itu menyembunyikan wajah di bawah topinya yang agak besar - sebesar dulang yang menatang bekas narwastu untuk diletakkan di suatu ruang, tempat orang yang sudah menjadi mayat. Kelarai topinya saja sudah menerbitkan kersik angin dari daerah perkuburan. Apalagi matanya yang sengaja disorokkan itu bagai rahsianya dalam lestari yang akan kesampaian juga aku ke sana suatu ketika nanti, juga segala yang ada di kiri, di kanan, di hadapan, di belakang, di atas, di bawah, malahan segala yang amat dekat dan jauh dari degup nafas dan denyut nadiku.

Apabila aku bercakap kepada pohon yang sering lemas dihinggap debu dan asap kereta, aku bercakap kepada tubuhku sendiri. Apabila aku bercakap kepada angin yang lembab desirnya kerana deru bas dan kereta lebih licik dari ia, aku bercakap kepada rohku sendiri. Apabila aku bercakap kepada sungai yang tidak pernah jernih airnya itu, aku bercakap kepada kekeruhanku.

Malam kemudiannya, aku melihat lagi seseorang itu - seorang lelaki yang susuk tubuhnya disembunyikan di dalam bajunya yang labuh dan berumbai-umbai. Pakaiannya tetap sama seperti malam pertama aku melihatnya dahulu. Bajunya merah, seluarnya merah, kasutnya merah, sarung tangannya merah dan topinya berwarna perak keemasan. Kerana wajah dan susuk badannya tersembunyi begitu, aku tidak dapat meneka apakah warna kulitnya - cuma rambutnya yang mencecah bahu itu kulihat bagai rumput-rumput kering; kalau disambar api, barangkali akan rentung.

Langkahnya terketar dan serba canggung. Tunjitan kaki kirinya yang sesekali seakan terpelecuk dan kepalanya yang sentiasa ditundukkan, barangkali ingin lebih cermat melangkah lubang-lubang bekas korekan di sepanjang aspal, membuatkan serentak batiniahku mengandaikan dia masih belum dapat mengimbangi langkah kaki dan hatinya secara lebih yakin. Tapi bukankah tingakahannya itu menampilkan kewaspadannya?

Aku masih memerhatikannya dari bawah pohon rendang yang agak tersorok bayangnya kerana malam itu bulan belum sampai untuk bernafsu semahunya menerbakan sinar. Barangkali suasana sebeginilah, sang lelaki itu berasa lebih selesa menjalankan kerja menggalas cangklong sampah itu. Barangkali juga dalam suasana suram begini, mata yang lain tidak dapat melihatnya.

Malam ketiga, bulan masih juga berwajah sabit. Aku duduk pada perdu pohon rendang yang sama seperti dua malam sebelumnya. Sang lelaki itu meneruskan kerja rutinnya; tidak ada beza dengan dua malam yang terdahulu itu. Malam ketiga ini aku sudah bertekad untuk mengekorinya, mengenal jalan yang sering menjadi laluannya, dan kalau boleh aku ingin mendengar suaranya.

Tiba di salah satu tikungan jalan arah ke tenggara, sang lelaki itu menoleh ke kiri, ke kanan, ke belakang - terpaku sejenak dia sewaktu pusingan kepalanya itu tepat-tepat berada pada garis sembilan puluh darjah ke arahku. Barangkali dia ternampak kelibatku pada perdu pohon rendang itu. Celaka! ini mungkin menyulitkan tugasku untuk menjejakinya.

Opp .... Aku bukan memaki takdir yang sudah disurahkan sedemikian jadinya. Kata celupar itu cuma kutujukan kepada keserakahanku barangkali -ingin sepenuhnya segala yang dicita menjadi sesuatu yang dapat digenggam atau paling tidaknya berasa lega mengikut kemahuan hati. Alangkah malunya aku apabila sesekali berasa hati atau nafsu seharusnya menjadi raja kepada seluruh milik tubuh dan rohku. Barangkali itu semua menjadi syarat bagiku bahawa apa juga makian yang terlontar dari lubuk sukmaku, tertampan ke mukaku sendiri -bukan pada langit, bukan pada jalan terentang, bukan pada pohon yang tegak mendongak ke langit walaupun pada hakikatnya barangkali sudah lama menyimpan hasrat untuk tunduk kerana sudah tidak betah lagi dimainkan debu dan bahang kota ini.

Sang lelaki itu mempercepatkan langkahnya meski tunjitan kaki kirinya masih membayangkan kegamaman. Aku menyalahkan diriku sendiri kerana tidak bersembunyi sepenuhnya di bawah bayangan pohon rendang itu. Biasan lampu jalan sebahagiannya jatuh ke tubuhku. Refleksi begini menjadikan selonggok tubuhku ini dapat dilihat oleh sesiapa sahaja. Kerana malam agak larut dan tidak sesiapa yang menyusur jalan lengang itu membuatkan aku tidak bersembunyi sepenuhnya dibawah bayangan pohon rendang itu. Aku keliru - rupa-rupanya seseorang lewat di jalan itu - sang lelaki itulah yang masih setia menyusur jalan kelam itu. Sayang sekali aku tidak tahu namanya - kalau tidak, pasti saja kujodohkan jalan itu dengan namanya. Papan tanda yang bertulis `Jalan Tidak Berhaluan' itu seharusnya kutukarkan kepada nama sang lelaki itu. Bodoh! Manusia mana yang memberi nama yang mirip kepada kedunguan terhadap jalan itu? Apakah orang yang tidak berhaluan saja perlu menyusur jalan lengang itu? Bodoh!

Ah! Lagi-lagi makian yang terpancut dari lubuk sukmaku.

Maaf, aku memang kurang ajar.

Malam keempat. aku merebahkan mata fikir kerana letih untuk meneka rahsia apakah di sebalik pekerjaan rutin sang lelaki itu. Malam sebelumnya itu, aku putuskan saja untuk pulang ke kamar pengapku setelah usaha untuk menjejaki sang lelaki itu menemui jalan buntu. Dengan telentang pada lantai yang sengaja tidak kuletakkan sebarang alas juga tanpa apa-apa alasan, aku membayangkan sang lelaki itu membuka pakaian merahnya, tetapi tidak ada pertolongan daripada sesuatu apapun untuk kubayangkan bagaimana sang lelaki itu dapat menampakkan warna kulit tubuhnya atau paling penting wajahnya yang sentiasa tersorok di bawah topi lebarnya itu.

Malam keempat ini kulewati tanpa mimpi apa-apa, jauh sekali daripada mendapatkan mimpi muluk. Hanya sewaktu mataku menerima kenyitan matahari, aku merasakan sang lelaki itu sudah terlebih dahulu terjaga menyambut pagi datang. Bagaimana pula pekerjaannya pada siang hari begitu? Rejangan mindaku terasa makin tegang, meminta penjelasan tentang sang lelaki mujarad itu.

Pagi itu, aku mengadap cermin untuk kesekian kalinya. Sudah lama juga aku tidak mengabdikan wajah bolongku di muka cermin itu. Cermin itu juga sudah dihinggapi habuk dan dilekati beberapa butir telur lipas. Wajahku kelihatan samar-samar terpantul pada cermin bulat itu. Ah! Sesuatu yang menghukum, aku tidak dapat melihat lagi apa yang terkandung dalam mataku - cuma kulihat beberapa ekor nama meniti lelah pada alias tajiku.

Bajingan! Opp .... Cermin itu seakan memandangku dengan sorot yang terlalu berbeza.

Malam kelima, kulawan ngantukku yang sudah mula memberat di pelupuk mata. Harus sekali kutemui sang lelaki itu. Tekad kupejalkan, linjangan sukma kubulatkan. Aku tidak perlu terus-terusan membanting lelah mindaku sedemikian untuk menjejaki langkah serba gamang sang lelaki itu. Sudah sampai ketikanya aku harus menyediakan taktik paling efisien agar intipanku pada malam kelima ini tidak dapat dikesan oleh sang lelaki mujarad ini. Kusarung pakaian serba hitam agar biasan lampu jalan tidak dapat menangkap kelibatku nanti.

Aku mematikan tubuhku di bawah pohon rendang itu - cuma desiran nafasku mengengsot kerana menyapu kerongkong. Kukira ini juga suatu kesempatan untuk kubuang lendir yang tersekat di sepanjang rongga nafas agar nanti dapat kuteriak selantang-lantangnya, memanggil sang lelaki itu. Lalu kugunakan kesempatan ini sehabis perlu.

Bulan tetap tergantung tenang, masih juga berwajah sabit, cuma lengkungnya agak menirus ke bahagian dalam, tidak seperti empat malam sebelumnya. Lampu-lampu di perempatan jalan masih juga bernafsu menujah ke dada aspal - barangkali itulah isyarat bahawa ia masih setia menyuluh jalan yang menjadi laluan sang lelaki tadi. Papan tanda `Jalan Tidak Berhaluan' masih di bibir jalan itu - juga tiada cacatnya seperti malam-malam biasa. Barangkali anak-anak nakal tidak pernah melewati jalan suram itu - tidak seperti papan tanda pada jalan-jalan lain yang ditambah dengan berbagai-bagai patah kata lucu, malah yang mengaibkan juga. Barangkali juga, itu cuma isyarat, manusia terlalu ingin berkata-kata sehinggakan tingkahan mereka itu berada pada tahap kurang waras. Atau mereka menemui kewarasan apabila kata-kata dapat diluahkan dengan sebebas-bebasnya. Teringat juga aku, ada seorang seniman pernah berkata: "Semua orang bebas bernyanyi meski sumbang lepas terdengar."

Aku memejamkan mata sejenak, menarik nafas dalam-dalam. Bagai sang pertapa, aku mendongak, menekan lutut, merenggangkan seluruh urat dari tubuhku, cuba mengosongkan cepu kepalaku daripada berantakan di dalam dan luar diriku. Aku teringat serangkaian puisi yang tergantung pada dinding kamar. Gagal aku ketika itu untuk menangkap makna padunya walau sewaktu aku mengekspresikan resah batiniahku lewat puisi itu, aku terasa benar ada makna kekar terselit di antara kata-kata itu meskipun pada orang lain kukira ia tidak mempunyai makna apa-apa.

... Wahai angin selising, masuklah ke liang romaku. Sepuhlah darah dan tulangku yang suatu ketika nanti pasti menjadi sekujur bangkai. Sepuhlah -sepuhlah dengan basa asyikmu. Tidak adil kalau hanya aku yang berteriak keras memanggil namamu sedang kau tetap diam di sebalik bukit agam itu. Tak mengapalah - barangkali aku hanya sang pemburu angin-angin. Wahai angin selising - aku melihatmu tetap dengan mata yang sama tetapi dengan sorot yang berbeza. Tak perlu lagi kata kasihan aku lebih rela tersadung pada akar liat pohon pelawan ....

Ah! Sepatutnya puisi itu tidak kujadikan iklan untuk mempromosi segenap milik keakuanku. Tapi bukankah roh dan tubuh sekujur ini sememangnya barang dagangan yang akan dibawa belayar di negeri jauh? Ah! Orang lain tidak akan dapat menyanyikan lirik iklanku yang penuh galauan dan teka-teki itu. Iramanya saja sudah semacam sinonim dengan getar angin seiklun yang melurut pada pohon-pohon pelawan.

Ini malam kelima angka kesempurnaan seperti jari-jari kasarku yang sering mengepal-ngepal angin. Kuperlihatkan jari tangan kananku kepada mataku sendiri. Menerusi biasan cahaya lampu yang mencuri jatuh di celah-celah daun pohon rendang itu, aku mengamat-amati kelima-lima jariku yang sekarang sedang terketar-ketar. Ah! Kerukunan yang menggenapkan zatnya itu seakan lelah untuk kuterka. Kelima-lima jariku itu tidak lebih daripada imej keagungannya. Lalu apa, lagi yang ada padaku?

Graaang ....

Secepat kilat saraf otakku menghantar isyarat kepada mata untuk kutumpahkan segenap pandangan ke arah tikungan yang menerbitkan gema sepicing itu.

Tidak salah lagi, itulah sang lelaki mujarad, membongkok di sisi tong sampah, mengais-ngais sesuatu yang tidak begitu jelas.

"Saudara ...... separuh daripada suaraku menegurnya.

Dia mendongak ke arahku. Ah! Sorot matanya tajam melekat ke mataku. Merah berpinar -tak berdaya untuk aku menentang sorot matanya.

"Saudara .... apa yang saudara cari?"

Dia menggeleng.

"Saudara ... saya cuma bertanya, apa yang saudara cari?" Sengaja kulangi pertanyaan itu.

Dia menggeleng lagi.

"Saudara ... apa yang saudara cari?"

Ah! Kumaki diriku kerana tidak berdaya menyusun bahasa lain, secara sungguh-sungguhnya mula untuk mendengar suara sang lelaki itu. Bangsat! Makian lagi yang terpancut dari lubuk sukmaku.

"Saudara ..."

Belum sempat aku menghabiskan kata-kata yang sudah diprogramkan oleh mindaku, sang lelaki itu menunjukkan sesuatu padaku.

"Itu cuma bingkai, tapi ke mana hilangnya cermin itu?"

Reaksinya tetap sama - kepalanya dipusingkan ke kiri ke kanan.

"Jadi saudara mencari cermin itu?'

Dia merenung lagi mataku - kali ini lebih tajam sehingga memaksa aku menundukkan tancapan sorot mataku ke tanah.

"Kenapa saudara merenung saya sebegitu?"

Menggeleng lagi.

"Cermin ..."

Sekilas dia mengangguk walau belum sempat kuhabiskan kata-kata itu.

"Jadi selama ini saudara kehilangan cermin?"

"Saya kira kita harus bersahabat. Boleh saya tahu apa nama saudara?"

Kembali dia menggeleng.

"Saudara tidak punya nama?"

Dia tunduk membatu, cuma nafasnya keras kedengaran.

"Bersuaralah agar dapat saya tahu gejala apa yang merongrong batiniah saudara."

Dia lari sekencang-kencangnya, terlanggar papan tanda `Jalan Tidak Berhaluan'. Beberapa serpihan sampah dari cangklongnya tercicir di bibir Jalan.

"Saudara ..." kuluahkan sehabis-habisnya suaraku, memanggilnya.

Tidak ada kesan langsung lolonganku itu. Dia tetap mengencangkan hayunan langkahnya. Sebentar kemudian kelibatnya hilang di sebalik tembok bangunan pencakar langit.

Kujejaki langkahnya. Setibanya di salah satu tikungan, kulihat selonggokan bingkai tanpa cermin berbagai-bagai ukiran di tepi longkang. Dan di antara longgokan bingkai itu, terselit sekeping potret. Cahaya lampu jalan yang masih bernafsu menumpahkan sinar membantuku untuk kulihat dengan sejelas-jelasnya potret itu.

Ahhhhh!

Bagaimana mungkin potretku tersorok di longkang hanyir itu?

"Saudara ..."

Gema yang merongrong itu terpantul kembali ke gegendangku sendiri.

Nafasku terasa makin kencang desasnya bagai nafas unta lelah menyeberangi saujana gurun.

Puas kucari kelibatnya di sebalik tembok-tembok bangunan. Cahaya lampu di perempatan jalan, langsung tidak dapat membantuku untuk memantulkan bayangan sang lelaki mujarah ttu. Bajingan! Sekali lagi harus kumaki diriku kerana terlalu terlupa bagaimana sekeping potretku boleh berada di tikungan ini.

Malam kelima ini kurasakan kepalaku makin berputar ligat bagai uri gasing. Seribu satu macam imej bersimpang siur menyilang di segenap cepu kepalaku.

Aku pulang ke kamar pengapku dengan langkah paling berat, tidak seperti malam-malam biasa. Berada di dalam kamar sesempit itu bererti aku harus bersedia tersepit dengan seribu berantakan yang serasa tidak berdaya untuk dicampung oleh mindaku. Tapi aku terpaksa pulang. Di dalam kamar itulah aku menyimpan segenap cacatan yang lahir dari pada keserabutan lelah batiniahku. Di situlah duniaku - sebuah balang kaca yang semakin kering airnya.

VI

Malam keenam, aku membantingkan kelelahan semahu-mahunya.

VII

Malam ketujuh, aku terdengar ketukan demi ketukan pintu bertalu-talu. Kubuka pintu, tidak ada sesiapa, cuma di kejauhan kulihat kerlipan cahaya di puncak sebuah menara di tengah-tengah kota - kilaunya memikat tapi tidak berdaya untuk kupetik. Malam ketujuh ini, kukongsikan resah, batiniahku dengan kelamnya dada langit.

VIII

Malam kelapan, aku melihat dari jaring tingkap kamar pengapku, wajah sang lelaki mujarah itu tergantung resah, tepat-tepat pada lengkung bulan sabit.

IX

Malam kesembilan, kebetulan malam itu malam merdeka, aku terdengar suara burung tukang bertalu-talu mengetuk suram malam.

Malam kesepuluh, aku menghabiskan waktu dengan mengadap muka cermin, lalu bertanya semahu-mahunya:

"Di kota kaca ini, akukah sang lelaki mujarah itu?"

Aku terdengar suara angin bersorak dan memekik "Selamat malam, tuan."

Aku melihat mukaku di cermin, ada beberapa titik air bening tergenang di pelupuk mata. Barulah malam itu aku dapat merasakan suatu sapaan paling lembut daripada suara angin, mengucapkan `selamat malam' buatku.

"Tuan, malam larut begini sewaktu semua yang menjadi milik alam lena dibuai mimpi, sememangnya menjadi sebuah ruang waktu yang serasi untuk kita menangis sepuas-puasnya!"

Tiba-tiba aku terdengar esakan seseorang yang lain di dalam diriku .....

Thursday, January 29, 2015

Dia yang turut pergi

Oleh Rusman Shariff

DENAI ke perkuburan itu agak semak. Aneka flora yang menumbuhi kiri kanan, menambah sukar perjalanan. Tanpa menghirau semua itu, kakiku laju sahaja meredahnya. Dari atas bukit, di kawasan perkuburan yang agak terpencil itu, kedengaran bunyi cangkul menghentak tanah. Mungkin kerja penggalian sedang dijalankan. Belukar jantan yang mengitari keliling, agak meremangkan bulu roma. Sesekali kedengaran ciapan bebarau berebutkan buah. Senduduk atau kuncorkah yang menjadi rebutannya.

Bola mentari agak terlindung dibalik mendung. Namun tiada tanda hujan akan turun. Yang pasti cahayanya yang tajam kadang-kadang menembusi mendung yang tipis, ketika ia beredar sedikit apabila ditiup angin.

"Assalamualaikum Wak!" Aku menyalami seseorang yang tampak sedang tekun menggali. Masih baru benar. Atau mungkin juga tanah yang sarat dengan pohon-pohon hutan yang agak besar itu sukar untuk ditembusi.

"Wualaikum salam. Ooo, engkau Det!" Wak tersengeh.

"Seorang sahaja Wak?"

"Aha! Paiman, Cedempo, Kusin dan yang lain, entah ke mana. Sejak tadi tak nampak batang hidung!"

Aku melabuh punggung di sebatang banir rebah. Wak terus bekerja. Kehadiranku seolah tidak diacuhkan. Tampak urat-urat simpul seribu yang berselirat di lengan Wak, tegang apabila Wak mengangkat cangkul itu tinggi melepasi kepala. Daging lengan Wak berolak turun naik. Memang kerja menggali liang itu agak sukar. Tanah liat yang seperti batu, dicampur dengan kerja seorang diri, tanpa kawan yang berjanji hendak membantu, kerja seperti itu boleh menimbulkan ketegangan.

"Biar saya ganti Wak!"

"Silakan!"

Aku dan Wak bertukar tempat. Ketika cangkul kuhayun, Wak melabuh punggung di banir yang baru kutinggalkan untuknya. Wak capai bekas rokok berisi tembakau Jawa dan mengulungnya sebatang. Dari atas sebatang pokok lenggadai, kedengaran kereh seekor anak siamang. Mentari yang tadinya terlindung dek mendung, kembali menjenguk wajah dengan jelas. Meski terhalang dek rimbunan pokok-pokok yang mengitari keliling, bahang panasnya tetap terasa dan tajam bagai jarum. Bajuku mulai basah.

"Wak tidak jenguk jenazah Mat tadi?"

"Aaa sudah. Malah saat akhirnya pun, Wak ada di sisinya!"

"Apa sakitnya arwah Mat itu?"

"Entahlah. Ajal maut di tangan Tuhan. Kalau dan sampai saatnya, di mana-mana pun boleh mati. Siapalah yanag dapat lari!"

Aku terus bekerja. Liang yang kugali baru memanjat setakat anak lutut.

Bajuku telah basah lencun dek peluh. Mentari begitu murah menyimbah sinarnya. Kereh anak siamang sesekali melayut ke anak telinga. Orang-orang yang sepatutnya datang membantu, masih tak nampak batang hidung. Aku jeling Wak dengan anak mata. Wak nampak bersahaja. Tiada tanda-tanda ada gusar berbunga di wajahnya.

"Lebih dari itu. Kami sekabupaten. Sama-sama membawa diri ke Semenanjung. Takdir menentukan Mat pergi mendahului Wak!"

Aku tercengang. Cerita Wak sesuatu yang baharu buatku. Wajah Wak kupandang dengan sejuta tandatanya. Tampak bunga-bunga kesedihan berbunga di wajah Wak. Mata Wak seakan menahan bendungan air yang akan turun lebat jika dilepaskan. Aku serba salah. Mungkinkah pertanyaanku tadi, telah melukakan hatinya. Atau ia mengingatkan Wak pada himbauan kenangan silamnya yang bertimbun-timbun, dan panjang seperti sejarah yang telah dilaluinya sehingga tersadai di kampung ini. Kenangan itu tentu membuatkan Wak dicengkam kesayuan.

Wak pandang wajahku. Wak seakan tahu, apa yang bermain di hatiku kini. Wak senyum padaku. Senyum yang melegakan, sekaligus menaikkan semangatku untuk kembali bekerja. Aku hayun cangkul kuat-kuat. Bunyi cangkul berlaga dengan tanah. Terasa bergegar kepalaku. Telinga bengang akibat hayunan yang kuat itu.

Ketika itu mentari kembali terlindung di balik awan. Dari kejauhan, dari balik gunung yang melindung daerahku dengan pinggir laut, kedengaran tagar berbunyi mendayu. Sesekali dari belukar yang mengitari keliling, kedengaran ciapan mergastua bersiponggang sesama sendiri. Liang yang kugali, baru setakat lutut. Tubuhku sudah basah kuyup. Peluh betul-betul mencurah dihamburkan oleh kudratku menghayun dan menghentakkan cangkul itu ke tanah, juga panas mentari yang tidak henti-hentinya bersinar. Basah kuyup dek peluh.

"Tukar Det!"

"Aha!"

Aku melompat naik. Wak bangkit dan kibas punggung tipus untuk membuang debu dan anak daun yang melekat. Ketika aku melabuhkan punggung di banir rebah itu, Wak hayun cangkul meneruskan kerja penggali. Aku buka baju. Tampak tubuhku, dengan bulu dada yang agak lebat, kuyup dek peluh. Warna merah terpancar akibat otot-otot itu terlalu banyak digunakan.

Memang beza antara aku dengan Wak, bagai bumi dengan langit. Tubuhku tegap sasa. Sedangkan Wak, bagai pokok getah tua yang menanti saat tumbang.

"Aku dan Mat berhijrah setelah kabupaten hilang ditelan merapi. Kami jadi tidak ketahuan, kerana kami tidak ada saudara mara di luar daerah. Hari Khamis, setelah sehari kabupaten hilang, saudara mara dan adik kakak kami turut hilang. Memang hanya Wak dan Mat yang terselamat." Begitu Wak memulakan kisah sedihnya.

"Mulanya kami ke Tulung Agung, mencari seorang kenalan yang pernah mengungsi kabupaten. Niat kami hanya mahu menumpang rumahnya buat sementara. Malangnya kami disangka bajingan, lalu diusir. Jadi kami terpaksa berjalan lagi mengikut kaki," tambahnya dengan muka selamba.

"Malam itu kami terpaksa bermalam di sebuah jirat Cina. Yang malangnya, hujan turun semalaman. Soal takut tidak terfikir kerana perut berkeroncongan minta diisi. Ketika tengah malam, tampak cahaya api menghampiri jirat itu. Mat ajak Wak lari, kerana kemungkinan api itu ialah hantu penunggu jirat itu. Tapi Wak berkeras supaya menghadapi segala kemungkinannya. Kan mati lebih baik daripada hidup tanpa ketentuan. Ternyata tidak ada apa-apa yang terjadi kerana api itu ialah jamung yang dibawa oleh orang yang ini melakukan kerja menurun di jirat itu. Sebaik kami menghampiri, orang itu, ada tiga semuanya, lintang pukang lari. Mungkin kerana menyangka kami penunggu jirat itu," Wak menghabiskan ceritanya setakat itu dengan senyum panjang.

"Tiba-tiba sahaja malam itu kami dapat rezeki. Ayam golek seekor, pisang sesikat, dua tiga jenis buah dan rokok sekotak besar." Wak bercerita lagi sambil tergelak.

Aku menahan gelak. Cerita Wak ada lucunya, walaupun mengandungi sedih. Wak mengangkat kembali cangkulnya. Tangannya yang kasar dengan urat-urat yang timbul di sana sini, menghentakkan cangkul itu ke tanah. Bunyi hentakan itu bergema di telingaku. Dan di belukar berhampiran, siponggang mergastua kian bersahutan. Mungkin menyambut petang atau mungkin juga terperanjat mendengar gegar tanah dihentak oleh cangkul Wak. Tapi di perkuburan sunyi sepi itu hanya aku dan Wak sahaja yang mengungsi.

"Bagaimana Wak boleh sampai ke sini?" Tiba-tiba timbul sahaja keinginanku untuk bertanya.

"Kami berjalan terus tanpa tujuan tertentu. Oleh kerana terlalu buntu Wak ajak Mat ke Tanjung Periuk. Kami dapat menumpang sebuah lori. Di Tanjung Periuk, kami ketemu seorang kenalan yang kemudian mengajak bekerja kapal. Wak dan Mat tidak sanggup menolak pelawaan itu."

Wak terus dengan ceritanya yang kadang-kadang berjaya meruntun perasaanku.

Dari Tanjung Periuk kapal itu menuju Tanjung Pinang. Setelah menurun dan menaikkan dagangan, kami belayar lagi hingga sampai di Singapura. Di Singapura, Wak ajak Mat turun. Kerana kapal itu berlabuh agak lama, ada seminggu, kami dapat melawati sebahagian besar Singapura. Setelah selesai menaik dan menurunkan dagangan, kami belayar lagi. Kali ini ke Muar. Di Muar kami cuba turun dan meninggalkan terus kapal itu. Malangnya kaptan tidak mengizinkan kerana kapal kekurangan pekerja. Kami belayar lagi menuju Pulau Pinang. Di situ, Wak dan Mat sepakat untuk melarikan diri. Malangnya kami ditangkap dan dibawa mengadap kaptan. Di luar jangkaan kami, kaptan kapal itu menyuruh kami menemui seorang kenalannya.

Melalui kenalan kaptan itu, kami diberi kerja menoreh getah dengan imbalan lapan puluh sen seorang sehari! Itulah mulanya kami sampai di Sungai Layar. Ini terjadi betul-betul sebelum perang meletus. Apabila Jepun menyerang Semenanjung, kami berhenti kerja dan membawa diri. Di sebuah kampung kami berjumpa dengan seorang lebai. Beliau membawa kami ke kampungnya ...!

Aku terkasima. Cerita Wak benar-benar menarik minatku. Segala pancaindera, segala tumpuan, kuhalakan pada Wak. Keasyikkanku, membuat aku melupai puluhan ekor nyamuk yang mengerumuni betisku. Melahap darahku rakus.

"Tanpa sedar Wak dan Mat, rupanya lebai berkenaan, yang kemudiannya kami kenali sebagai Ubai Senapi, mempunyai seorang anak gadis. Kembangnya bagai sekuntum seroja di padang lalang. Anak lebai itulah yang membawakan kami makanan setiap hari. Dari situ, kuntum-kuntum kasih berputik. Tapi bagai sejunjung sirih dua seginya ...!"

"Mengapa Wak?"

"Saadiah ibarat sekuntum bunga. Sedangkan yang ingin menyerinya ada dua!"

"Jadi ya, bagaimana. Kata putus diambil. Salah seorang mesti beralah. Kami sekabupaten, seperantuan. Adalah tidak mungkin, hanya kerana seorang gadis, kami bermusuhan. Jadi suatu hari, Wak dan Mat berbincang mencari kata putus. Ternyata kami buntu. Ketika itu kami teringatkan kisah dua putera Nabi Adam, berbalah kerana merebutkan seorang perempuan.

Jadi suatu hari, kami pergilah ke pinggir kampung, sekadar jauh dari pandangan orang. Setelah berteguh janji, akan tetap bersaudara tanpa mengira siapa yang menang atau kalah, Wak dan Mat pun beradu.

"Siapa yang menang Wak?"

"Ternyata Mat lebih handal. Malangnya, pinangan Mat ditolak, sebaliknya kami diusir ...!"

Wak getap bibir. Bunga-bunga mendung di wajah Wak nampak begitu memberat. Namun Wak tetap gigih menghayun cangkul timbunan tanah di tepi liang telah membusut jantan. Melihat itu, aku bangkit. Kusiahkan sedikit tanah itu dengan penyodok. Kutolak ke tapi agar ia tidak kembali menimbuni liang. Petang yang kian beransur, membuat mergastua belukar kian galak bersiponggang.

Cerita Wak tak habis di situ sahaja. Dia meneruskan.

Tidak lama setelah Jepun kalah, kami berhijrah ke Padang Rengas. Di situ kami menoreh getah di sebuah estet. Di samping itu, kami berguru agama dengan seorang ulama di kampung berhampiran, akhirnya kami berhijrah ke kampung itu. Mujur jua, ada orang bermurah hati mengizinkan kami menumpang ditanahnya. Di kampung itu juga, satu peristiwa hingga menyebabkan kami terbuang juah ke sini! "Mengapa Wak?"

"Masalahnya sama. Sebab seorang gadis!"

Aku menahan gelak. Pun untuk ketawa aku takut. Takut kalau-kalau mengecilkan hati Wak. Dan bila Wak memandangku, seolah-olah mengisyaratkan bertukar tempat, aku akur. Aku melompat turun dan Wak naik.

Mentari tambah condong, menunjukkan Asar kian mendekat. Liang itu mesti disiapkan sebelum jenazah Mat sampai. Mujur jua, tanah dibelah bawah, agak lembut daripada yang di atas.

Sesekali aku memandang ke denai menuju perkuburan itu. Mengharap semuga ada seorang dua datang membantu. Tapi yang nampak hanya nisan berceracakan. Si ponggong mergastua belukar, kian galak. Liang yang kugali, telah separas pusat. Tubuhku kembali disimbah peluh.

"Kerana Saurah, Wak dan Mat sampai ke sini ...!" Wak tidak memandang wajahku. Wak lontar pandangannya jauh ke belukar yang mengitari keliling. Wak seakan mencari sesuatu di celah pokok-pokok kayu yang sombong menjulang langit.

"Kalau semasa di Sungai Layar, pinangan Mat ditolak dan kami diusir, keadaan seperti itu juga yang kami hadapai semasa di Padang Rengas. Saurah sebenarnya anak orang terpandang, tentu sahaja keluarganya mahukan dia dijodohkan dengan orang yang berpadu juga. Kerana itu pinangan Wak ditolak dan Wak digunjingi sebagai dagang tak sedar diri. Kerana tak tahan ditohmahi orang, Wak dan Mat berjalan lagi. Sepanjang perjalanan, kami bekerja di mana dapat. Akhirnya dengan takdir Allah, kami dipertemukan dengan kepada kampung ini, yang asal usulnya memang dari Indonesia juga."

"Dengan jasa baiknya, kami ditempatkan di sebidang tanah miliknya. Kerana telah jemu diusir Wak dan Mat berteguh janji agar tidak bercinta lagi. Meski ramai yang sudi bermenantukan kami, tapi kerana telah serik, kami akhirnya mengutuskan untuk terus membujang ...!"

Wak termengah. Mungkin penat atau kehabisan suara. Aku hanya mendengar. Hatiku berbaur. Aku tidak tahu sama ada mahu mempercayai cerita Wak atau tidak. Tapi kesungguhan tetap berbayang. Ceritanya lojik: meninggalkan kampung kerana bencana, merantau hingga tersadai didaerahku ini. Hanya kesah cintanya yang tidak dapat kupastikan. Benar-benar terjadi atau rekaan Wak.

Petang terus beransur. Menteri kian menghampiri Zuhur. Langit kian dibungai mendung. Siponggang mergastua rimba, kian membingit. Sesekali kedengaran bunyi Deraman. Wak masih tekun mengali. Liang telah separas pinggang. Mungkin sebentar lagi, anak liang akan dibuat. Timbunan tanah di tepi liang, tambah tinggi. Aku bangkit. Dengan sebatang penyodok, tanah itu kusiahkan jauh.

"Bagaiman setelah itu, Wak?"

"Bagaimana apanya?"

"Tak inginkah Wak bercinta lagi. Atau tak kepining ke untuk beristeri. Kan kahwin itu satu sunah Rasulullah!"

Bibir Wak mengukir senyum.

"Siapa yang tidak mahu beristeri!"

"Jadi ...!"

"Kalau buat orang, patah tumbuh hilang berganti ...!" Tapi tidak buat Wak. Cinta Wak hanya untuk Saurah.

Wak kesat airmata yang tumpah membasahi pipi kedutnya. Aku tidak tahu sama ada mahu ketawa atau tersenyum. Untuk ketawa, aku takut menyinggung hati Wak. Untuk mengongsi kesedihannya, ceritanya terlalu menggeletek hatiku. Untuk tidak ketara pada Wak, kulempar pandangan jauh ke belukar.

"Ayoh Det. Gali liangnya!"

"Aha!"

Aku tidak membantah. Wak kutarik naik. Dan aku melompat turun. Berada dalam liang paras dada itu, agak menyeramkan. Terbayang olehku bagaimana si mati akan menghadapi alam barzakh nanti.

Sebelum menggali, kupandang lagi ke hujung denai. Yang nampak hanya nisan dan lalang yang berombak dipuput angin petang. Aku pandang muka Wak mencari sesuatu. Wak tetap bersahaja.

Tiba-tiba nafas Wak tercungap. Wak baringkan diri ke tanah bertilamkan dedaun kering. Aku melompat naik. Tubuh Wak kuterpa.

"Mengapa Wak?"

"Tak ada apa ...!"

Aku cemas. Bagaimana kalau sesuatu yang tidak diingini berlaku. Aku tinjau lagi ke hujung denai. Tiada kelibat manusia. Hari kian petang.

"Teruskan kerjamu, Det. Wak tak apa-apa. Letih sahaja!"

Aku akur pada kata Wak. Aku terjun ke dalam liang dan kembali hayun cangkul. Anak liang yang kugali, telah hampir siap. Cuma tinggal membuang sisa tanah. Sesekali kujenguk ke atas. Wak masih terbaring dengan nafasnya pantas.

Aku bimbang. Sungguh. Diperkuburan itu hanya aku dengan Wak. Hari pula kian petang. Liang yang kugali hampir siap.

Tiba-tiba Wak berbatuk lagi. Nafas Wak mencungap. Aku melompat naik. Cangkul dengan sedikit sisa tanah yang belum selesai kukerjakan, kutinggalkan. Tubuh Wak kuterpa. Aku cemas, cemas sungguh. Nafas Wak kian termengah. Biji mata Wak beransur kelabu.

"Wak ... Wak ... Wak ...!"

Tubuh Wak kugoncang kuat. Namun Wak tetap longlai.

"Wak ... Wak ... Wak ...!"

Airmataku bersemburan. Aku cuba mendengar degup jantung Wak. Tiada. Aku cuba merasai nadi Wak. Tiada. Biji mata Wak beransur kelabu dan pelan-pelan tertutup rapat.

"Laaillaillah ...!"

Kudengar suara kecil menangkap anak telingaku.

"Wak ... Wak .. Wak ...!"

Suaraku bergema disekitar perkuburan itu. Pun tiada siapa yang datang membantu. Yang ada hanya siponggang mergastua dari belukar yang mengitari keliling. Yang ada hanya nisan dan lalang yang berombak dipuput angin petang. Mentari kian sinar dibalik gunung. Mendung tambah menebal. Tagar yang tadinya bersabung di balik gunung, kini kian mendekat.

Dari hujung denai, kedengaran bunyi tapak kaki puluhan orang menuju perkuburan itu. Aku memandang kosong. Tubuh Wak yang kaku, kuriba. Sebaik sampai di liang yang kugali bersama Wak, semua sekadar berpandangan. Di hadapan mereka ada dua mayat yang mahu diuruskan.

Senja pun menebar wajahnya. Aku tersedu.

Monday, January 26, 2015

Di antara kehancuran Baghdad

Oleh A Jalil Rahman

PUAN Marion tetap tidak dapat memaafkan orang di Washington. Dia mengigit bibirnya tanda geram, seolah-olah baru sahaja melepaskan kata-kata kesat kepada mereka. Dia bersandar dan cuba memejamkan mata macam penumpang lain, namun suara orang-orang di Washington tetap kedengaran semula.

"Beginilah Puan," putus salah seorang pegawai di Washington dengan nada sedikit menyindir, "kalau puan tidak percaya, pergilah sendiri ke Baghdad."

Puan McPeace tidak sabar lagi. Dia menghempaskan telefon. Dia marah dan kecewa kerana dilayan endah tak endah. Dia sedih dan sayu melihat rakan-rakan suaminya telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing. Tetapi dia bersimpati dan dapat merasakan sama kepiluan keluarga yang kehilangan orang yang disayangi di medan Desert Storm.

"Aku tidak rela dipermain-mainkan begini, Larry," Puan McPeace berkata sendiri.

"Aku akan dapatkan juga jasadmu dan aku akan semadikan di bumi Amerika ini."

Dengan nekad Puan McPeace pergi berjumpa Sarjan Matthews, seorang makenik tentera udara keturunan Negro. Dia tahu sarjan itu rapat dengan suaminya kerana mereka dalam satu skuad.

"Memang saya yang servis jet suami puan sebelum dia terbang menuju Baghdad," jelas Sarjan Matthews dalam pekat loghat Negronya.

"Saya pastikan enjin jetnya dalam keadaan baik dan saya pastikan juga bom yang dibawanya dipasang dengan betul."

Puan McPeace mengangguk-angguk sambil berusaha membayangkan wajah mendiang suaminya. Kemudian dengan tiba-tiba keluar pertanyaan daripada mulutnya yang terkumat kamit.

"Ada awak bercakap dengannya sebelum dia terbang?"

"Tak sempat. Dia terlalu ingin untuk menyelesaikan arahan. Kami cuma melambai-lambai tangan saja. Saya mendoakan supaya dia selamat."

Dan menurut Sarjan Matthews, itulah kali terakhir dia melihat Major Lawrence McPeace. "Apabila dia tidak pulang, saya cukup cemas dan bimbang. Beliau bukan saja seorang pegawai, tapi seorang kawan yang baik. Jadi, apa yang puan rasakan sekarang, turut saya rasakannya." Demikian jelas Sarjan Matthews sambil mengesat matanya yang dipanjat jalur-jalur merah.

Selepas Sarjan Matthews, Puan McPeace berjumpa Kapten Palmer. Di rumah Kapten Palmer, Puan McPeace mendapat maklumat yang lebih jelas mengenai suaminya. Kapten Palmer dan suaminya sama-sama ditugaskan mengebom Baghdad pada malam terakhir itu.

"Mula-mula jet saya kena tembak," beritahu Kapten Palmer. "Menyedari itu, Larry memberi isyarat supaya aku pulang ke pangkalan sementara dia memberi perlindungan. Tetapi apabila aku lihat ke arahnya seketika kemudian, aku nampak jetnya terbakar, berkepul-kepul dengan asap tebal. Aku sedar Larry sendiri telah kena tembak."

"Apakah dia terus terhempas?" Tanya Puan McPeace, membayangkan sedikit kurang sabar untuk menunggu cerita Kapten Palmer.

"Saya cuba hubungi Larry melalui radio, tetapi yang terdengar cuma suaranya mengerang kesakitan. Saya cuba hubungi pangkalan untuk mendapatkan bantuan, tetapi gagal. Dalam keadaan cemas begitulah saya lihat jet Larry meletup, bertukar jadi belon api."

Kapten Palmer menghentikan ceritanya dan Puan McPeace tidak bertanya lagi. Dan merenung jauh ke hadapannya seolah-olah hendak memastikan di manakah bangkai jet suaminya jatuh. Tetapi renungan itu semakin kabur kerana matanya mulai digenangi air. Dia memejamkan matanya. Beberapa titis air mengalir deras membasahi pipinya. Wajah suaminya semakin jelas dalam ingatan.

"Puan, puan," seru pemuda Arab penumpang yang duduk di sebelah Puan McPeace, sambil menepuk-nepuk bahu wanita itu. "Puan sakitkah? Nah, ambil ini dan kesat airmata puan itu," tambahnya sambil menghulurkan beberapa helai kertas tisyu kepada Puan McPeace.

"Oh maafkan saya. Terima kasih, terima kasih," sambut Puan McPeace sambil mencapai kertas tisyu daripada pemuda Arab itu. "Saya mengelamun dan terikut-ikut perasaan tadi," jelasnya sambil mengesat airmatanya.

Keramahan pemuda itu membuatkan Puan McPeace rasa selesa berbual dengannya. Diapun menceritakan siapa dia sebenarnya dan mengapa dia berhajat benar untuk ke Baghdad.

"Setiap kali saya telefon mereka suruh saya bersabar," cerita Puan McPeace kepada pemuda Arab itu. "Kononnya mereka masih menunggu laporan dari Baghdad. Takkanlah sampai sekarang, dah begitu lama perang tamat, mereka masih tidak boleh sahkan apakah suami saya masih hidup atau mati? Sampai bila mereka nak memeperbodoh-bodohkan saya mengatakan Larry masih hilang?"

Pemuda Arab mengangguk-angguk sekadar mengiakan cerita Puan McPeace. Dia faham mengapa wanita itu begitu marah dan kecewa terhadap sikap Washington. Tetapi di dalam hatinya dia sedar marah dan kecewa Puan McPeace itu tidak sama dengan apa yang dirasakan oleh berpuluh ribu wanita Arab, baik di Kuwait mahupun di Iraq sendiri.

"Kalau begitu puan hendak ke Baghdadlah?" Tanya pemuda Arab setelah melihat Puan McPeace sedikit reda.

Puan McPeace mengangguk beberapa kali. "Saya harap ada orang di sana yang boleh menolong. Kalau boleh, saya mahu bawa mayat Larry pulang untuk dikebumikan di Amerika."

Puan McPeace terdiam. Matanya sudah kering dan hidungnya tidak merah lagi. Pemuda Arab pula masih mengoyang-goyangkan kepalanya, seolah-olah dia masih mendengar suara Puan McPeace bercerita. Dalam keadaan itulah terdengar suara menyuruh semua penumpang mengenakan tali keledar kerana sebentar lagi pesawat akan mendarat di Amman.

"Saya sampai di Amman saja," jelas pemuda Arab sambil mengemas-gemaskan barang-barangnya. "Selamat jalan dan saya harap puan berjaya," tambahnya dengan senyum.

"Terima kasih. Engkau sungguh baik hati," balas Puan McPeace dengan mesranya yang dapat diukirnya dalam senyuman.

Dalam penerbangan ke Baghdad, tempat duduk di sebelah Puan McPeace kosong. Puan McPeace terpaksa melayan perasaan kerana tidak ada orang yang sebaik pemuda Arab untuk diajak berbual. Namun dia berharap apabila sampai di Baghdad, akan ada ramai orang yang baik hati dan sanggup membantunya. Dia berdoa agar kunjungannya ke Baghdad tidak sia-sia.

Sampai di Baghdad Puan McPeace terharu melihat kesan kekejaman perang. Di sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke pusat kota Baghdad, dilihatnya bergelempangan bangkai kereta kebal dan kenderaan tentera yang musnah. Runtuhan bangunan bertimbun-timbun di sana-sini sementara di tengah-tengah bumi kelihatan lubang-lubang besar sebesar mulut gunung berapi bekas kena bom tentera Amerika. Tetapi Puan McPeace bersyukur, kerana pemandu teksinya bukan sahaja ramah tetapi sedia membantunya dengan berbagai cadangan.

"Kalau begitu baik puan tinggal di Hotel Tigris," cadang pemandu teksi apabila Puan McPeace memberitahu tujuannya datang ke Baghdad. "Ia terletak di sebelah selatan dan di situlah khabarnya banyak jet ditembak jatuh."

"Apakah engkau tinggal di situ?"

"Tidak. Tapi ramai pekerja hotel tinggal di situ."

Puan McPeace menerima cadangan pemandu teksi dan menginap di Hotel Tigris. Hotel itu sederhana tetapi lengkap dengan kemudahan yang diperlukan oleh orang barat. Pekerjanya ramah dan sedia membantu. Salah seorang daripada mereka telah mendapatkan seorang budak lelaki untuk memandu Puan McPeace di kota Baghdad. Bahasa Inggeris Asfour yang keluar seperti tahi unta jatuh cukup untuk membantu Puan McPeace mencari apa yang dikehendakinya.

"Di kawasan selatan inilah yang paling teruk kena bom," cerita Asfour pada suatu hari. "Tidak ada sebuah rumah pun yang terselamat."

"Ya, aku nampak pun begitu," sambut Puan McPeace sambil berjalan mengekori Asfour. Matanya menyelinap ke semua runtuhan bangunan dan bangkai kenderaan di sepanjang jalan yang mereka lalui.

"Rumah engkau bagaimana?" Tiba-tiba Puan McPeace ingin bertanya seperti itu.

"Rumah saya? Tak ada bezanya daripada rumah-rumah lain," jawab Asfour, tetap berjalan mendahului Puan McPeace. "Puan boleh saksikan sendiri nanti."

Di sepanjang perjalanan seterusnya Puan McPeace sempat menoleh ke kiri dan ke kanan dan cuba mempastikan reaksi penduduk Baghdad yang melihatnya. Wajah mereka sama hancurnya dengan runtuhan bangunan yang dilihat oleh Puan McPeace. Air muka muram. Senyuman tidak terukir di mana-mana. Puan McPeace bertanya dalam hati; "Apakah mereka merenung aku kerana kehairanan, atau tertanya-tanya apa yang aku cari di sebuah kota yang telah ranap dan musnah ini?"

Ingatan itu membawa Puan McPeace hampir dengan rumah Asfour. Beberapa wanita muncul mendapatkan mereka. Kemudian bersama-sama mereka duduk di hadapan setimbun batu-bata. Banyak pertanyaan yang keluar. Dan banyak jawapan yang diberikan. Ibu Asfour, Zabdah, bertindak sebagai jurucakap. Puan McPeace tidak teragak-agak, dia terus menceritakan apa yang sedang tersimpul dalam perasaannya.

"Demikianlah malangnya diri saya ini," keluh Puan McPeace untuk mendapatkan sedikit simpati daripada orang Arab yang telah dihukum oleh sikap dan senjata-senjata barat.

"Puan boleh dikatakan masih bernasib baik....," tiba-tiba ibu Asfour bersuara... "kami di sini bukan sahaja hilang suami dan harta-benda, kami menderita, berlapar dan sentiasa ketakutan akibat serangan bom dan roket yang dibawa oleh Amerika. Kapal terbang Amerika tidak putus-putus memuntahkan bom dan peluru untuk menghancurkan kami. Apa salah kami, apa dosa kami?"

"Kalau ikutkan rasa geram..," tambah Iliah, sepupu ibu Asfour, "...mahu rasanya kami tetak dan cincang lumat orang Inggeris dan Amerika yang bertanggungjawab memulakan perang ini. Sikap bongkak, sombong dan biadap merekalah yang menyebabkan perang ini meletus."

Puan McPeace terasa ingin menjawab, mengatakan sikap degil dan keras Saddam Husseinlah menyebabkan Amerika dan sekutunya melancarkan perang. Tetapi dengan tiba-tiba juga dia menyedari di situ bukan masa dan tempatnya dia harus memberikan pendapat. Akhirnya dia cuma membisu serta mengangguk-anggukkan kepala perlahan-lahan. Lebih dari itu dia mulai memahami penderitaan yang dikatakan oleh wanita-wanita Arab di hadapannya. Dia baru belajar memahami mungkin.

"Tapi kami tidak hilang akal," sambung ibu Asfour setelah terdiam seketika. "Kami tahu bukan semua orang Inggeris, orang Amerika memusuhi kami. Malah ramai yang simpati terhadap kami."

"Betul, betul," sambut Puan McPeace sambil mendengar dengan teliti. "Kita tidak sepatutnya bermusuhan."

"Bunuh-membunuh ni tak ada sudahnya," tambah ibu Asfour lagi. "Tentu sekali ia tidak dapat menghidupkan yang telah mati; tidak boleh mengembalikan suami kita."

Puan McPeace terpesona dengan kata-kata Zabedah itu. Dilihatnya Iliah dan wanita-wanita lainnya memerhatikannya dengan wajah yang jujur dan ikhlas, seolah-olah di antara mereka dengan Puan McPeace tidak ada bezanya lagi. Ada rasa sebak yang tiba-tiba merayap di dada Puan McPeace. Ketika itu juga terasa benar dia lebih bernasib baik daripada mereka.

"Cuma kenangan itu memang pahit," ibu Asfour meneruskan. "Suami saya mati dalam pangkuan saya. Darahnya yang merah pekat kering di pakaian saya. Iliah melihat sendiri daging dan tulang suaminya berkecai ditimbuni runtuhan. Puan bayangkanlah, bagaimana boleh kami lupakan ini semua?"

Puan McPeace melihat Iliah mengangguk-angguk. Dia faham kini ibu Asfour dan Iliah cuma satu contoh kecil. Di samping mereka ada berpuluh ribu lagi wanita yang malang, jadi janda sepertinya. Sambil menarik nafas panjang Puan McPeace menekadkan hati dan berazam hendak membuat sesuatu untuk membantu penduduk kota yang hancur itu.

"Anda jangan salah anggap," seru Puan McPeace perlahan. "Saya faham dan dapat merasakan apa yang puan-puan rasakan ini. Kita ni hampir senasib; bezanya, selain hilang suami dan orang-orang yang dikasihi, puan-puan juga hilang harta-benda. Jadi, saya akan pulang ke Amerika dan cari jalan untuk mendapatkan bantuan. Saya akan jual apa yang patut dijual, kemudian kembali ke sini untuk sama-sama memulihkan keadaan. Saya tahu, kalau Larry masih hidup pun dia tentu merestui langkah saya ini."

Lamalah Puan McPeace berbual dengan ibu Asfour dan kawan-kawannya itu. Tetapi masa untuk berpisah pun datang. Mereka berpeluk-pelukan dan Puan McPeace mengucapkan terima kasih, lalu meminta Asfour menghantarnya balik ke hotel.

"Puan McPeace," tiba-tiba Iliah bersuara sambil melepaskan pelukan wanita Amerika itu, "jangan balik dulu. Tolong singgah di tempat saya. Kita boleh sama-sama lihat runtuhan rumah saya."

"Tapi hari sudah petang," jawab Puan McPeace sambil menoleh ke arah Iliah. "Esok sajalah. Tak boleh ke?"

"Singgahlah sekejab. Lagipun tempat saya memang tepi jalan menuju ke hotel," jelas Iliah bersungguh-sungguh. Matanya masih merah digenangi air. Apabila melihat Iliah beria-ia benar, Puan McPeace berasa sukar untuk mengelak.

Setelah berjalan kira-kira sepuluh minit, Iliah terhenti di hadapan satu pintu gerbang tembok batu. Rumah di dalam tembok itu ranap sama-sekali, kecuali sedikit bahagian belakangnya.

"Jemputlah," pelawa Iliah sambil membelok memasuki pintu gerbang itu. Puan McPeace menoleh kepada Asfour, kemudian mengekor Iliah masuk ke dalam. Asfour memutuskan menunggu di luar sahaja.

Dari timbunan batu-bata dan cerucuk yang tercacak, ternyata rumah Iliah sangat besar. Bahagian dapur yang terselamat itu sahaja hampir sama besar dengan sebuah rumah lain. Di dalamnya bertimbun barang-barang yang terselamat daripada bom. Pakaian, perabot dan bahan-bahan bacaan berlonggok-longgok.

"Ini sajalah yang tinggal," ucap Iliah sambil menarik sebuah kerusi usang untuk Puan McPeace. "Bahagian dapur ini telah menyelamatkan saya. Pada masa rumah ini kena bom, saya sedang memasak."

"Waktu bila kejadian itu?"

"Malam. Lepas maghrib," jawab Iliah.

Iliah berjalan mundar-mandir di hadapan Puan McPeace, seolah-olah ada sesuatu yang lain di fikirkannya. Wanita Amerika itu memerhatikan sahaja telatah Iliah, namun, di dalam kepala dia masih tertanya-tanya mengapakah Iliah beria-ia sangat mengajaknya singgah.

"Bommmm! Tiba-tiba terdengar letupan yang sungguh gamat," terus Iliah setelah terdiam seketika. "Saya rebah tidak sedarkan diri. Apabila saya sedar semula, saya dapati keadaan gelap-gelita. Saya cuba berkejar masuk kedalam rumah, tetapi rumah telah jadi setimbun runtuhan. Saya meraung-raung memanggil nama suami dan anak-anak saya. Tetapi manakan mereka dengar kerana mereka telah tertimbus dan berkecai dalam runtuhan!"

Puan McPeace terpaku di kerusi usangnya mengikuti cerita Iliah itu. Dia menatap wajah wanita itu, berulang-ulang dari kepala sampai ke kaki dan dari kaki sampai ke kepala. "Kasihan kamu," bisiknya di dalam hati.

Tidak ada sesiapapun yang datang membantu, terus Iliah. "Seluruh Baghdad dihujani bom dan roket. Saya menangis keseorangan. Dengan bantuan cahaya dari angkasa, saya dapat sebatang lilin lalu memasangnya. Dalam keadaan itulah, tiba-tiba saya dengar ada sesuatu yang bergerak di ambang pintu dapur ni. Bila saya toleh, saya lihat samar-samar seorang lelaki berlumuran darah berpapah pada pintu ni. Saya sangka dia suami saya; tetapi rupa-rupanya dia seorang askar Amerika. Dia cuba bersuara tetapi tidak kedengaran."

"Tentera Amerika?" tanya Puan McPeace sekadar mahukan kepastian "Lepas itu apa terjadi?"

"Saya mencapai sebatang besi. Lelaki itu menerpa lalu jatuh tersungkur. Apabila dia bertenaga sedikit, dia memeluk betis saya erat-erat," terus Iliah sambil memejamkan matanya untuk mendapatkan kembali gambaran sebenarnya. "Dalam keadaan begitulah tiba-tiba lahirlah rasa kasihan yang amat sangat dalam diri saya. Sekaligus, saya merasakan bagaimana bernilainya nyawa kita ini dan bagaimana kejamnya pembunuhan tu. Saya campakkan batang besi di tangan dan tidak jadi membunuhnya."

"Apa yang terjadi kepada lelaki itu? Adakah dia diserahkan kepada Pengawal Republik?" demikian Puan McPeace mendesak, mula berminat dengan nasib askar Amerika itu.

"Apa yang terjadi padanya? Mari, mari ikut saya," jawab Iliah sambil mendahului Puan McPeace menuju timbunan runtuhan di tengah rumahnya. Dengan bantuan sebatang besi dia mengangkat sekeping batu lebar yang menutup sebuah lobang. Dalam lobang itu ada tangga yang menuju ke bawah.

"Mari, mari. Ikut saya."

Puan McPeace melangkah hati-hati sambil melontarkan pandangan ke setiap arah di hadapannya. Basemen itu gelap, tetapi di sudut sebelah hujungnya ada sebuah pelita yahg malap. Dengan bantuan pelita malap itu, Puan McPeace nampak seorang lelaki muncul; melangkah lambat-lambat dengan dibantu oleh sebatang tongkat. Ketika lelaki itu berdengkut mara, Puan McPeace berusaha mengecamnya.

Lelaki itu terhenti, begitu juga Iliah. Tetapi Puan McPeace menapak setapak dua ke hadapan. Ketika itu juga mulutnya ternganga. Dia menerpa ke arah lelaki itu sambil meraung dengan sekuat, "Larryyyyy .......!"

Larry mendepangkan tangannya sebelah. Mereka berpelukan. "Marion, Marion, Marion, sayang," ratap Larry seperti tidak ada akhirnya sambil memeluk erat isterinya.

"Larry, Larry, Larryyy...," sambut Puan McPeace sambil membalas pelukan suaminya. Mereka seakan tidak rela dipisahkan.

Iliah memerhatikan dengan agak terperanjat. Perasaannya kosong.

Friday, January 23, 2015

Kenangan lama

Oleh Muhd Nasruddin Dasuki

BEGITULAH kehendak-Nya. Segala-galanya bukan bermula dari kesenangan. Ia terbentuk daripada kepayahan sebenarnya. Kepayahan itu jugalah yang menjala segenap kegelisahan yang lama terukir di birai hidup.

Percaya atau tidak, tidak harus dipersoalkan kerana hidup ini pun sebenarnya banyak persoalan yang mati begitu saja tanpa jawapan.

Hidup sebenarnya perlu membentuk harga diri tanpa mengizinkan diri dari terus dieksploitasikan dan dimangsakan keadaan. Begitu aku berfikir. Soalnya harga diri yang terbentuk selama ini seperti unsur alam, berubah daripada keadaan sebenar.

Segala-galanya bertukar mengikut musim. Alangkah sedihnya. Menjaring perubahan memang tidak wajar untuk dihalang. Ketentuan Tuhan sememangnya begitu, tiada yang kekal di dunia melainkan-Nya. Setiap yang wujud akan mengalami perubahan seperti juga helaian rambut hitam di kepala, satu saat ia akan bertukar warna. Seterusnya begitu aku melanjutkan fikiran.

Memang, dalam suasana tertentu harus menjaga kepentingan orang lain, melupakan diri untuk sebentar. Dalam waktu yang lain harus pula mengutamakan diri dan tidak memperdulikan orang lain. Begitu aku menekankan perasaan pada satu subuh yang dingin tatkala terjaga daripada mimpi.

Realitinya, hidup lebih banyak menuntut kenyataan dan kebenaran. Memalsukan perasaan bermakna melukakan hati sendiri, membahagiakan orang lain. Sesiapa pun memang tiada yang sanggup melakukan. Lainlah jika hukum alam, ketentuan Tuhan di tangan-Nya.

Aku merenung ke langit. Mata awan dan mata angin seolah-olah merenung aku kembali. Apakah ini sebenarnya satu kehairanan atau satu kejutan? Alam seperti sudah memahami apa sebenarnya yang hendak aku perkatakan. Simpatikah?

Apa yang hendak disimpatikan. Malah semua orang tidak simpati. Di mana-mana saja dirosakkan. Dicabul dan tidak suci bagai dahulu. Apa yang ada kepada engkau? Tentulah tidak lain sekadar penghuni yang tidak memberi makna apa-apa.

Mata aku lontar ke segenap alam. Di langit masih biru. Ada sedikit tompok-tompok awam putih melangkah. Di depan, mata tidak ada lagi kehijauan. Segala-galanya telah kering layu. Suara angin pun seperti masih dapat didengar walaupun berbisik perlahan. Tetapi sekarang?

Tanah yang dipijak berhampiran sebuah anak sungai jelas sudah diparasit pelbagai jenis bahan kimia. Ada warna-warna yang menandakan ia sudah tidak asli. Tidak subur.

"Sepuluh tahun aku tinggalkan engkau. Dengan harapan engkau akan dewasa dimakan hari tetapi adakah engkau dewasa sebagai mana yang aku sangkakan?"

Itu yang aku ucapkan kepadanya, seorang gadis yang ditinggalkan ketika berusia lima belas tahun.

"Aku tidak faham apa yang engkau maksudkan?" Dia berkata lembut, tenang, tidak menghamilkan kesangsian.

Sesudah sepuluh tahun aku tinggalkan, aku harap engkau akan faham tetapi sehingga ke saat ini engkau masih juga tidak faham. Bagaimana hendak aku katakan lagi supaya engkau faham, Ladia?" Aku merenung anak matanya yang bulat. Wajahnya yang bujur sirih. Memang banyak berubah jika dibandingkan dengan sepuluh tahun dulu.

Tetapi aku percaya kedewasaannya sama dengan kedewasaan hutan-hutan di hujung kampung yang aku tinggalkan. Dulu dialah gadis teman bermain. Aku puji kerana manis wajahnya. Apabila dewasa nanti akan menjadi gadis yang cantik. Benarlah kini dia sudah menjadi gadis yang cantik seperti hutan itu sepuluh tahun dulu, segar dan menghijau.

Tetapi engkau kini? Masih gadis, sudah jadi tunangan orang atau sudah jadi ibu atau entah apa-apa lagi? Cuma yang pasti hutan-hutan di depan mata telah tiada. Ke mana hilangnya? Hatiku berkata-kata sendiri?

"Sepuluh tahun engkau hilang dari kampung kemudian pulang tiba-tiba, mengharapkan orang faham. Apa ni?" Dia sudah mulai diselimuti kehairanan. Tentunya kejutan akibat pertanyaan itu.

"Aku belajar di kampus hijau. Kemudian aku ke luar negara. Tiga tahun kemudian pulang dan bekerja." Aku jelaskan kedudukan sebenarnya mengapa aku menyepi sejak sepuluh tahun dahulu.

"Ada juga manusia yang masih ingat kampung! Setahu aku kalau kita renung bintang di langit, rumput di bumi hanya jadi tempat berpijak. Rupanya tidak." Aku sedar, Ladia menyindir. Aku harus memperbetulkannya. Hidup jangan izinkan diri jadi mangsa keadaan. Aku selalu ingat itu.

"Engkau sindir aku. Tak apa. Aku terangkan. Aku sudah tidak ada orang tua di sini. Engkau tahu bukan, bapaku meninggal dunia dihempap pokok ketika meneroka hutan. Ibu aku jadi mangsa penyakit taun, puncanya mungkin sungai itu. Aku menuding ke arah sungai yang tidak jauh dari situ. Hendak pulang ke kampung, siapa yang ada? Saudara mara? Jika aku kaya raya, bolehlah. Aku miskin, siapa mahu mengaku aku saudara?"

Aku pandang wajah Ladia. Rambutnya yang panjang disebakkan angin petang. Wajahnya yang tadi dilitupi rambut jelas nampak lesung pipit apabila tersenyum. Sedikit pun aku tidak tergoda. Milik siapakah gadis ini nanti? Aku sengaja bertanya dalam hati. Buat menenangkan hati.

"Aku faham. Engkau pulang ke sini setelah sepuluh tahun tentu ada tujuan?" Jelas di hati gadis itu sudah ada kesangsian. Aku duduk pada satu tunggul kayu mati. Akar-akarnya sudah terbenam. Batangnya hitam, barangkali bekas terbakar.

Aku masih ingat, di sini dulu tempat aku bermain-main. Selonggok batu sebesar pemeluk tempat aku tuliskan nama aku sendiri masih ada, tulisannya mungkin sudah hhilang dijilat masa. Ladia masih berdiri bersetentang mata.

"Selalunya begitu. Kecurigaan kerap ditafsirkan apabila sesuatu itu berlainan dengan keadaan sebenar. Aku tidak salahkan engkau dan dan aku rasa engkau wajar menangkap kecurigaan itu." Dari jauh kira-kira 15 meter aku merenung air sungai yang mengalir lesu. Selain ibu entah berapa ramai yang mati kerana kuman taun di sungai itu. Aku tidak tahu apa yang terjadi kerana selepas itu aku tinggal di asrama dan tidak pulang-pulang lagi. Ibu pergi selepas setahun bapa kemalangan.

Kembali aku merenung wajah Ladia. Seperti apa yang berlaku di depan mata, perubahan itu semunya kehendak Tuhan.

"Engkau jangan mentafsir yang lain Hardee. Engkau muncul di sini memang menimbulkan banyak tanda tanya. Pasti ada sesuatu yang engkau cari?" Kata-kata Ladia itu jelas seperti mendesak secara tidak langsung supaya aku berterus terang. Aku faham dia mahu mengetahui apa sebenarnya yang aku cari.

"Aku tidak mencari apa-apa dan sesiapa sekadar mahu mengunjungi kampung halaman yang sudah sepuluh tahun aku tinggalkan. Aku rindu kepadanya?"

"Yang lain?"

"Engkau!" Aku tergelak, bukan bermaksud mencemuh. Sejak sepuluh tahun berpisah, aku tidak tahu kisah hidupnya.

Langit petang sudah menebar warna perang. Cepatnya masa berlalu. Angin pun sudah tidak bertiup. Barangkali mahu berehat. Rasanya baru sebentar tadi aku sampai ke kampung hari sudah mahu senja.

Sama ada orang mahu kenal dengan aku lagi atau tidak. Itu bukan soalnya Sewaktu turun dari teksi dan singgah di kedai kopi untuk meneguk air kotak, masih ada yang tidak lupa nama Hardee. Jelas mereka terkejut. Ke mana anak muda itu menghilang, tiba-tiba saja muncul. Begitu agaknya sejumlah pertanyaan di fikiran mereka.

Aku sekadar senyum. Dari kedai kopi aku berjalan ke hujung kampung. Jauhnya kira-kira dua kilometer saja. Sampai di situ aku terpaku. Memang segala-galanya sudah berubah. Tiba-tiba saja muncul Ladia, entah dari mana dan sebab apa kerana petang-petang begitu sepatutnya dia tidak berada di situ. Satu tempat yang sunyi meskipun keadaan sudah terang benderang tidak ditumbuhi pokok-pokok seperti sepuluh tahun dulu. Ada banyak hijau yang memberi sepenuh erti kepada sebuah kampung.

Terpandang saja, dia sudah tergamam seperti tidak percaya. Rupa-rupanya dia masih ingat aku. Tidak sangka dia masih tinggal di kampung tidak seperti sesetengah gadis desa yang suka mengejar kesenangan di bandar.

"Sejauh mana seluang melaut, akhirnya ke kuala juga." Ladia menyilangkan tangan. Berpeluk tubuh. Kepalanya disengetkan sedikit. Pandangannya terasa lain.

Untuk pertama kali menjejakkan kaki ke kampung sudah kena sindir. Manisnya sindiran itu. Aku senyum. Aneh, kenapa bukan khabar yang ditanya walaupun aku sebenarnya tidak mengharapkan apa-apa daripadanya.

"Sudah adat. Hujan pun tidak pernah jatuh ke langit. Ke tanah juga tumpahnya. Nak salahkan siapa?" Entah macam mana aku boleh meluahkan kata-kata itu, yang jelas ia bukan peribahasa tetapi kalimat yang tercipta spontan.

"Cakaplah apa yang engkau cari?" Aku terkejut dari lamunan indah sebentar tadi. Belum pun sempat mengingati pertemuan manis itu, sudah dikejutkan dengan suara yang agak keras.

"Kita sekarang hidup dalam keadaan bahaya. Sumber galian, tenaga dan biologi semakin berkurang dan musnah sekelip mata. Ramai sainstis dunia semakin ragu adakah dunia ini akan kekal." Ladia terkejut dengan kata-kata itu.

"Apa kena mengena dengan engkau?" Ladia memotong kata-kata sebelum aku sempat meneruskannya.

Aku teringat buku `The Twenty Nineth Day' tulisan Lester Brown dari Institut Worldwatch mengenai pengekploitasian sumber alam sehingga semuanya musnah semata-mata kerana mahu mengaut keuntungan.

Penulis itu juga menyebut, jika unsur-unsur semulajadi diganggu atau dimusnahkan, sistem ekologi yang membantu manusia akan semakin berkurangan dan akhirnya musnah sama sekali. Ia menjadi satu krisis menakutkan.

Lester Brown membuat kesimpulan, musnah sistem biologi bukan hanya isu yang perlu difikirkan oleh ahli alam sekitar. Sistem ekonomi kita sebenarnya bergantung kepada sumber alam. Apa saja yang mengancam sumber alam secara langsung mengancam ekonomi dunia. Sebarang ancaman terhadap sistem ini mengancam juga prospek kemanusiaan.

Ternyata benar apa yang dikatakan di dalam buku itu. Kampungku sendiri menjadi mangsanya. Penduduknya?

"Aku bukannya ahli sains tetapi amat mencintai alam sekitar. Wajar untuk aku mengetahui krisis alam sekitar yang berlaku di kampung kita. Sungai di kampung kita ni, adalah di antara 42 buah sungai yang teruk dicemari. Entah berapa banyak hidupan air yang mati, entah berapa ramai yang keracunan, berpenyakit!"

Aku lihat wajah Ladia berlainan benar. Dalam hatinya tentu ada banyak pertanyaan yang timbul. Dahulu aku tidak pernah terlintas memikirkan soal itu tetapi kini masalah itu seperti sudah menjadi tugas besar dalam kepalaku.

"Engkau tidak percaya bahawa tidak semua yang ada dalam dunia tidak akan kekal dalam bentuk asalnya?" Ladia aku renung dari hujung kaki ke hujung rambut.

Dia merenung juga tubuh aku yang kurus dengan misai nipis. Pakaian tidak kemas, dengan berbaju `T' dan seluar jean. Tentu saja tidak menarik minatnya. Aku bukan lelaki kacak. Tapi bukan itu soalnya. Yang penting ilmu. Orang tidak nampak ilmu di kepala tetapi kebodohan orang kadang kala tidak perlu dilahirkan dengan kata-kata. Tingkah laku boleh jadi buktinya.

"Aku percaya. Soalnya perubahan itu seharusnya tidak merugikan sesiapa." Aku bangun. Genggaman tangan kanan dan kiri aku masukan dalam poket seluar.

"Siapa yang rugi?"

"Kita. Hidup kita sudah tidak selamat lagi. Sungai-sungai mengandung racun. Kita tidak akan dapat rasa kesegaran waktu pagi dengan melihat daun-daun dibasahi embun. Yang kita hirup cuma debu-debu kotor. Lihat saja di kampung ni. Asap hitam kilang getah di kampung kita ni?"

"Kilang getah tu banyak memberi pekerjaan kepada anak-anak kampung. Sekurang-kurangnya menghalang mereka berhijrah ke bandar." Ladia mahu mempertahankan sedangkan dia tidak memikirkan apa-apa.

"Itu dari sudut lain. Dari segi kesihatan. Udara di kampung ni sudah dinodai. Tidak suci. Lihat bukit batu sebelah sana tu. Batu-batu dipecahkan. Debu-debunnya berterbangan ke kampung ni. Tidak hairanlah kalau klinik di kampung ni selalu sangat terima pesakit batuk kering."

"Mana engkau tahu semua ini?"

"Aku belajar."

"Engkau doktor?"

Geleng.

"Pengkaji alam sekitar?"

Aku diam. Bertahun-tahun membuat kajian di merata-rata tempat mengenai pencemaran alam sekitar tetapi kampung sendiri? Aku seperti menyalahkan diri. Tapi kini aku pulang mahu membetulkan kesilapan itu.

"Aku sebenarnya mahu melihat keadaan kampung halamanku yang hijau, bersih dan segar tetapi ternyata sudah banyak berubah sehingga aku lupa di mana tempat aku bermain dulu. Kolam-kolam di belakang rumah pun tiada lagi. Pelita ayam, tempayan besar depan tangga, entah ke mana. Rata-rata. Semua itu sudah tiada.

"Aku bangga dengan perubahan itu. Kemajuan namanya dan aku rasa engkau pun macam kampung kita ni juga, tidak seperti dahulu." Aku sengaja mahu mengusik.

"Apa makaud engkau?"

"Sudah berapa anak?"

"Merepek!" Ladia terus beredar. Aku tergelak. Biarlah. Pergilah.

Ladia melangkah meninggalkan pinggiran hutan di hujung kampung. Aku menghantarnya dengan satu pandangan yang lain. Siapalah suaminya ingin aku mengenalinya.

"Hardee...!" Aku terkejut dan menoleh.

"Eh! Pak Agus!" Kami bersalaman.

"Apa yang pakcik bayangkan selalu tidak meleset. Satu hari engkau akan pulang juga ke sini." Wajah Pak Agus sudah banyak berubah. Rambut putih sudah penuh di kepala. Dia mengesat peluh di dahi.

"Dari mana?" Pak Agus rakan baik ayah sama-sama meneroka tanah hutan tentunya sudah menyangka aku akan bertanya soalan itu.

"Pakcik lihat engkau ke sini tadi. Sengaja pakcik ekori sambil singgah sekejap di kebun sana tu." Pakcik Agus menuding ke satu arah yang tidak kelihatan pun kehijauannya.

"Ada kebun di sini?"

"Ya. Tanah hutan yang pakcik terokai bersama-sama aruah ayah kau dulu. Tapi tak menjadi."

"Di mana hutan-hutan di hujung kampung kita ni?" Sengaja aku bertanya.

"Sudah habis kena tebang. Kayu-kayunya habis kena curi. Nasib baik tak ada kaum Penan di sini. Kalau tak, kecoh juga."

Pak Agus menancapkan parang ke tanah.

Aku melihat perbukitan yang sudah gondol. Yang tinggal hanya tunggul-tunggul kayu.

"Pakcik tahu engkau sedih melihat perubahan ini. Tapi apa nak buat? Kita harus akui hakikat tiada yang kekal di dunia ini."

"Saya terkilan. Hutan kita pupus. Kampung kita dicemari debu, air sungai kotor. Tiada kesucian lagi pada sumber alam di kampung kita."

"Itulah perubahan sebenarnya."

"Ladia anak Haji Zahar tu?"

"Kau mahu bezakan dia dengan hutan itu? Dia sudah jadi janda sekarang. Kahwin tiga kali cerai sejak usianya sembilan belas tahun. Dia juga macam hutan-hutan itu, dinodai manusia tanpa belas. Setiap petang dia ke sini. Barangkali teringatkan satu-satu anaknya yang mati lemas di sungki itu.

"Wajah kedut Pak Agus jelas mengandungi seribu cerita. Tidak sanggup aku mendengarnya lagi.

Aku masih ingat di sini juga dulu setiap petang aku menunggu ayah pulang dari menebas hutan bersama Pak Agus.

"Pak Agus tentu masih ingat tempat ini?".

Dia angguk. Tunduk agak lama. Air mata tiba-tiba jatuh di pipinya. Ladia sudah tidak kelihatan. Rupa-rupanya dia juga seperti hutan itu.

Wednesday, January 21, 2015

Bila angin menderu

Oleh Siow Siew Sing

SUDAH berbulan-bulan orang tua itu terkedang di ranjang. Dia bagaikan sedar dirinya akan menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Hospital Dai-ichi, terkurung murung dalam bilik sebesar sekangkang kera yang memang dikhaskan untuk pesakit barah kerongkong. Dia pernah mendengar cerita, penghuni sebelumnya terpaksa berentap dengan maut, tetapi akhirnya kecundang juga. Dan bilik itu menjadi kosong menunggu penghuni yang baru mengisinya.

Semalam-malaman batuknya bertambah teruk. Bila batuknya menjadi-jadi, dia susah hendak bernafas. Doktor pernah memberitahu pesakit barah memang begitu. Batuk bertubi-tubi kemudian darah merah yang pekat terhambur keluar menerusi rongga hidung dan mulut. Dia maklumi semua itu. Puas dia mencari ketenangan namun tak muncul. Dia miring ke kiri dan ke kanan, tetapi batuknya belum lagi reda.

"Okiru-san!" seorang jururawat muda menyentuh bahunya.

Mata orang tua itu terkebil-kebil bagaikan cicak termakan kapur. Terasa tangan dan kakinya kini begitu berat untuk bergerak. Anak matanya liar mencari dari mana suara lembut itu datang.

"Doktor nak bedah," suara halus itu persis menujah gendang telinganya.

"Hait," jawabnya lemah. Ekor matanya merenung tajam muka jururawat yang bujur sirih itu.

Dua orang lelaki berpakaian seragam segera menerpa membawa kerusi beroda. Dengan bantuan jururawat, mereka perlahan-lahan mengalihkan sekujur tubuh yang lemah itu ke kerusi beroda.

"Arigato," bibir Okiru-san bergerak-gerak.

Kedua-dua pembantu itu tunduk dan senyum. "Doso," jururawat yang manis itu menuding jarinya ke arah lif. Mereka bergegas ke lif yang membawa mereka ke tingkat tujuh.

Di wad pembedahan, doktor sedia menunggu dengan alat-alat pembedahan yang canggih.

Okiru-san terbaring lesu menatap lampu besar yang terpasang. Cahaya lampu menikam tajam bola matanya.

Matanya pedih dan mula berair terkena silau cahaya lampu 350 vot. Dia cuba bangun namun tak terdaya.

Sekujur tubuh yang dimamah usia 93 tahun terasa begitu lemah.

"Sinimasen, pandang, lampu ini," pujuk doktor yang berkacamata itu.

Okiru-san mengangguk lemah. Mulutnya kumat-kamit, cuba melafazkan sesuatu. Namun suaranya tak kedengaran.

"Pandang sini!" ulang doktor.

Melihat panahan cahaya yang begitu garang dan tajam, fikirannya bagaikan terlayang ke zaman silam menyorot liku-liku hidupnya.

9 Ogos 1945. Matahari pagi perlahan-lahan naik dari balik perbukitan dan menyerlahkan cahayanya pada bumi Nagasaki. Angin semilir yang bertiup perlahan-lahan menuju ke lereng bukit begitu melegakan. Lidah angin yang membedal rambutnya terasa begitu menyegarkan. Udara yang bersih dan nyaman itu persis menguatkan semangatnya untuk berbudi kepada bumi. Sesekali matanya merenung ke arah bandar Nagasaki yang terdedah, menadah panahan cahaya matahari. Alangkah indah panorama alam dari lereng Bukit Kokura! Tuhan maha pengasih, mengurniakan bandar yang begitu indah dan permai. Hatinya begitu terharu.

Bumbung kilang keluli Nagasaki dan kilang senjata Mitsubihi berkilauan disimbahi cahaya matahari pagi. Kedua-dua kilang sudah menjadi sumber rezeki keluarga Okiru-san. Isterinya, Kobayashi yang berumur 42 tahun bekerja di kilang keluli. Anak tunggal mereka, Tanaka yang usianya baru memanjat 18 bekerja sebagai pemasang peluru di kilang senjata.

Bila malam merangkak tiba, Kobayashi dan Tanaka akan menunggu Okirusan pulang dari bercucuk tanam di lereng Bukit Kokura. Mereka akan berbual tentang kerja di kilang masing-masing. Keluli dan senjata amat diperlukan waktu peperangan di Asia Tenggara. Tak hairanlah mereka bekerja sampai larut malam bila keperluan mendesak. Waktu perang, ibu dan anak terpaksa bekerja overtime. Senjata dan keluli perlu dieksport. Perut penduduk-penduduk bandar Nagasaki perlu diisi. Okiru-san maklumi semua itu. Dia sendiri terpaksa membanting tulang empat keratnya di lereng bukit untuk mencari sesuap nasi.

Kini dahinya dipenuhi peluh. Tubuhnya yang kurus melidi bermandikan keringat hangat. Biji-biji jagung yang baru ditanam pasti membuahkan hasil. Cukup untuk seisi keluarga dan jiran yang menetap di kaki Bukit Kokura. Kadang-kadang anak-anak saudaranya datang menyambut Bon-Odori. Mereka akan makan jagung dan menari sampai larut malam. Alangkah bahagia hidup anugerah tuhan, fikirnya.

Okiru-san mendongak ke langit biru. Tak ada apa-apa di situ. Hanya awan putih berarak. Dia melihat jam di pergelangan tangan kanannya. Jarum pendek menunjuk 10.50 pagi. Sejam lagi boleh balik, bisik hatinya. Dia melemparkan pandangannya ke arah bandar Nagasaki. Ah, seperti biasa. Tak tambah dan tak kurang. Kenderaan sibuk bertali arus menuju ke destinasi masing-masing. Manusia sibuk dengan urusan peribadi. Dan udara masih bersih, jernih.

Tiba-tiba Okiru-san mendengar deru enjin kapal terbang sayup-sayup di langit biru. Pesawat itu bagaikan mengelilingi ruang udara Nagasaki. Dilihatnya jam di pergelangan tangan. 11.00 pagi. Langit masih biru dan awan putih berarak perlahan. Dia mendongak bila deru enjin semakin kuat dan membingitkan telinga. Ada sesuatu yang digugurkan dari pesawat itu.

Tiba-tiba bumi yang subur itu bergegar dengan amat kuat. Bagaikan gempa bumi yang dahsyat! Okiru-san melangut. Seluruh angkasa raya Nagasaki persis digegarkan petir raksasa. Asap putih yang menyerupai cendawan menebarkan sayapnya, memberi corak bunga dan menodai langit biru Nagasaki. Dia terpelanting ke kaki bukit dan bumi bagaikan sudah retak lalu menelannya. Kulit badannya bagaikan disiat-siat harimau. Dan muka licinnya bak disimbah asid. Nagasaki bagaikan padang jarak padang terkukur muncul samar-samar dalam benaknya. Di sana sini orang menangis. Melolong. Menjerit. Memekik. Dan hatinya bagaikan ditusuk sembilu. Terasa maut sudah meragutnya! Dia pengsan.

"Yasmae," doktor itu menenangkan perasaan Okiru-san.

"Hait."

"Longgarkan otot-otot."

Okiru-san mengangguk, memejam matanya. Jururawat itu menghulurkan ubat bius. Silau cahaya terus menerjah matanya. Cahaya garang mengingatkannya tentang bola api yang menyiat kulit badannya 48 tahun yang lampau. Cahaya menikam tajam, memedih mata sepetnya.

"Yasmae," doktor itu bersuara lembut.

Okiru-san membuka matanya perlahan-lahan. Dilihatnya doktor memasukkan sesuatu yang cecair ke dalam sirinj.

"Yoroshi," puji doktor bila melihat Okiru-san kembali tenang.

"Lama?" mata Okiru-san berbinar binar.

"Sejam."

"Aku takut mati!"

"Kalau tak bedah kerongkong, mungkin tak ada peluang nak hidup."

"Boleh sembuh?" Okiru-san mengerut dahi yang sudah separuh botak.

"Tak pasti."

"Isteri dan anakku dah jadi korban bom atom. Mungkin ini giliranku."

"Jangan takut, maut di tangan Tuhan," doktor yang berusia separuh abad itu memeriksa kerongkong Okiru-san yang sudah lecur oleh bahang bom atom.

"Tak ramai macam aku yang tertinggal. Doalah agar aku boleh sembuh dan hidup seribu tahun lagi,' Okiru-san merayu, separuh bergurau.

"Lepas pembedahan ini, kalau pak cik sembuh, kenalah bayar nazar."

"Nazar?" matanya terbeliak.

"Maksudku, pergilah ke Memorial Peace Park dan doalah agar sisa-sisa kumpulan pak cik yang masih hidup terus hidup, sampai menimang cucu dan cicit," doktor itu ketawa kecil, separuh serius.

"Kalau bayar dengan duit, pak cik tak mampu."

"Bayar dengan doa."

"Itu saja?"

Doktor itu mengangguk. Okiru-san sekali lagi cuba bangun tapi tak terdaya.

"Koko-e-koi," arah doktor. Segera jururawat manis itu menerpa membawa alat-alat pembedahan. Pisau tajam berkilat-kilat dipanahi cahaya lampu.

"Kalau tak dibedah?"

"Paling lama, boleh hidup tiga bulan," doktor itu mula menyarung glove getah.

"Kalau sembuh dan pembedahan berjaya?"

"Boleh hidup lima tahun lagi."

Kini bahang cahaya lampu 350 volt terasa betul-betul membakar matanya. Bola lampu kelihatan persis bola api bom atom. Menusuk dan menikam. Menujah-nujah tertubi-tubi. Menyiat-nyiat daging tuanya.

"Nanti!" Pekik Okiru-san. Nafasnya tercungap-cungap. Denyutannya turun naik. Airmata membuak dan deras mengalir ke pipi yang sudah retak.

Doktor itu mati langkah. Tercengang. Jururawat melopong.

"Hiroshima musnah, Nagasaki musnah dan kau nak musnahkah aku?"

"Sama sekali tidak!"

"Pisau itu pasti meragut nyawaku."

"Sebaliknya, memanjangkan nyawa pak cik. Percayalah," doktor cuba meyakinkan Okiru-san.

"Tak, tak mau!"

"Tidakkkk!!!!!" suara orang tua itu mengocak ketenangan di wad pembedahan.

"Kita batalkan saja pembedahan ini," doktor itu menyerahkan alat-alat pembedahan kepada jururawat.

"Dah tak siuman agaknya!" gerutu doktor yang pertama kali berdepan dengan pesakit barah yang tidak mahu dibedah.

Jeritan Okiru-san beransur kurang. Pembantu-pembantu hospital segera mengusung Okiru-san ke biliknya di tingkat dua.

Okiru-san mengheret kakinya menaiki tangga menuju ke tingkat dua di bangunan lama yang menempatkan Muzium Bom Atom di Ginza Street. Bangunan lama lima tingkat ini menjadi tumpuan orang ramai pada hari memperingati orang yang terkorban di bumi Nagasaki.

Sejak pagi tadi, pelawat berpusu-pusu menuju ke Muzium Bom Atom yang tersergam gagah di pinggir kota Nagasaki, berdepan dengan Memorial Peace Park. Bila Okiru-san tiba di tingkat dua, orang ramai berasak-asak, mencari laluan mudah untuk melihat gambar-gambar hitam putih tentang pengeboman ke atas Nagasaki.

Okiru-san perlahan-lahan menghampiri gambar yang menunjukkan bom atom atau lebih dikenali dengan `Fat Man'. Dibaca labelnya perkataan demi perkataan. `Berat 4.5 tan, 3.25m-22 kiloton TNT digugurkan dari ketinggian 30,000 kaki.'

Matanya tertancup pada tulisan yang berwarna merah dan berhuruf besar pada perenggan kedua.

`Major Sweeney kenal pasti Kilang Senjata Mitsubishi manakala Kapten Behand bertanggungjawab menggugurkan bom ke atas Kilang Keluli Nagasaki. Bockstar berlepas ke Okinawa dan B-29 selamat tiba pada jam 1 tengah hari."

Celaka!!! Bangsat!!! Okiru-san memekik dan memaki hamun dengan lantang.

Tiba-tiba dia meludah ke arah gambar hitam putih yang menunjukkan bom atom alias FAT MAN itu. Kata-kata kesat terhambur keluar dari mulutnya. Dia menuding-nuding gambar itu dengan tongkat pusakanya.

"Buta no ko!!!" Okiru-san melaung. Laungannya bertubi memeranjatkan para pelawat yang cuba meloloskan diri mencari sudut yang terbaik bagi mengamati seraut wajah orang tua itu.

"Kare wo utte," sumpah orang tua yang tak dapat mengawal perasaannya.

Orang ramai terkejut. Masing-masing memusatkan perhatian ke arah Okiru-san.

"Banzai!" Okiru-san tunduk memberi hormat kepada pelawat.

Mereka terpinga-pinga melihat telatah Okiru-san. Mereka berbisik sesama mereka.

"Tak siuman!" bisik salah seorang.

"Mungkin dah gila!" celah seorang lagi.

Loceng di Memorial Peace Park berdengung tiga kali. Dengungan bersipongang memecah keheningan pagi di Taman Perdamaian. Orang ramai berduyun-duyun ke situ untuk memuja roh-roh si mati dan memberi hormat kepada yang turut terkorban dalam pengeboman bom atom itu.

Sebuah patung raksasa menjadi tumpuan orang ramai. Patung lelaki yang duduk dengan tangan kanannya menuding ke langit dihinggapi burung-burung merpati. Simbol keamanan begitu tinggi dan besar, bagaikan mencecah awan gemawan.

Okiru-san perlahan-lahan bergerak ke arah jendela kaca yang terbuka. Matanya terlekat pada patung bisu itu. Matanya mula berkaca. Bibirnya bergerak-gerak perlahan, ke atas dan ke bawah. Tongkatnya disandarkan pada dinding yang hampir usang.

Okiru-san tercegat di daun jendela dan melemparkan pandangnnya ke arah perbukitan. Angin dingin yang bertiup perlahan-lahan mengerbangkan rambutnya.

Di luar orang ramai sudah berkumpul di bawah patung gergasi. Berbagai bunga dan buah-buahan dihadiahkan. Doa dipanjat. Masing-masing bertafakur sejenak. Muzik sedih perlahan-lahan bergema, menerjah kotak fikir Okiru-san. Kugiran yang memainkan muzik sedih semakin rancak menimbulkan mood sedih. Orang ramai tunduk memberi hormat. Seorang pemimpin membaca perutusan dengan nada yang mengharukan. Kemudian kedengaran tangisan diikuti tepukan gemuruh.

Okiru-san mengerling keluar. Orang ramai mulai bersurai. Dan Memorial Peace Park kembali lengang seperti dulu.

Angin dingin yang tadi bertiup perlahan-lahan kini semakin kencang. Kedinginannya kian menyengat. Sekujur tubuh orang tua itu menggeletar. Jari-jemari tuanya menggigil kesejukan.

Angin kencang semakin menderu. Daun-daun pohon maple berguguran. Deru angin membingitkan telinga Okiru-san. Perlahan-lahan dia berundur dari tempat dia berdiri.

"Kobayashyi, Tanaka, aku panjatkan doa di sini saja. Cukup sekadar mengingatimu dengan jujur," getus hati kecilnya.

Okiru-san tiba-tiba batuk berulang kali. Darah merah terpancut keluar dari mulutnya. Tompok-tompok merah tersepuk pada lantai mamar. Ketika itu sekujur tubuhnya terasa begitu lemah dan perlu dipapah. Tangan kanannya segera mencapai tongkat pusakanya. Dia hilang imbangan dan jatuh tersungkur. Matanya merah dan berair. Tubuhnya semakin lesu.

"Orang gila jatuh!" salah seorang pelawat bersuara.

Pengawal muzium menerpa ke arah Okiru-san. Dia meletakkan jarinya ke dada oranga tua itu. Jantungnya sudah lama tak berdenyut.

Di luar angin dingin terus menderu, menerjah pohon-pohon dan dedaunan.

Daftar kata Jepun

Arigato .......................... terima kasih

Doso    .......................... silakan

Sinimasen ........................ maaf, boleh ...

Yasmae   ......................... bertenang, bersantai

Yoroshi  ......................... baik, bagus

Koko-e-koi ....................... mari sini, ke mari

Buta no ko ....................... anak babi

Kore wo utee ..................... pukul dia

Bon-Odori ........................ pesta menyambut tuai padi

Monday, January 19, 2015

Mr Haf Pa Dollah

Oleh A. Samad Ismail

SIAM meninggalkan Warta Malaya dan berkhidmat dengan Utusan Melayu menyahut seruan kebangsaan untuk bekerja di sebuah akhbar yang dikendalikan dan dimodali oleh bangsa Melayu. Gajinya lebih rendah di Utusan tetapi Man Siam tak keberatan barangkali kerana dia hidup bujang.

Saya berkenalan dengan Man Siam ketika minum sarbat penjaja Benggali di kaki lima Utusan pada suatu pagi kira-kira seminggu saya mulai bekerja di Utusan. "Awak budak baru yang nak jadi pengarang?" Dia menyapa saya. Saya tersipu malu dengan pertanyaannya tetapi saya mengangguk. Man Siam kurus dan agak tinggi, kulit badannya hitam, muka leper dan matanya sepet seperti Cina. Dia berseluar panjang warna biru hitam pekat, bersinglet lusuh dan robek-robek. Dia bekerja di bahagian mesin di tingkat bawah. Sejak berkenalan pagi itu, kami selalu minum air sarbat bersama-sama. Ataupun bersama-sama sarapan roti canai di kedai India di seberang jalan bangunan Utusan.

"Saya merapati Man Siam kerana melaluinya saya dapat berkenalan dengan pekerja-pekerja lain. Man Siam murah hati. Boleh dikatakan dia sahaja yang selalu membiayai sarapan pagi saya tiap hari. Bila saya hendak membayar air sarbat atau roti canai sarapan kami, Man Siam cepat-cepat mengangkat tangan melarang saya. "I gotta haf pa dollah," katanya. "Jangan bayar... aku ada lima puluh sen pagi ini," dia menambah dalam bahasa Melayu.

Dari mana dia belajar menyebut "I gotta haf pa dollah" itu, saya kurang pasti. Menurut cerita teman-teman, Man Siam pernah menjadi kelasi kapal seberang laut hingga tinggal beberapa tahun di bandar Chicago, Amerika Syarikat, berkahwin dan berumahtangga pula di sana. Ada pula cerita mengatakan Man Siam pernah bertahun-tahun lamanya tinggal di Bangkok, beranak pinak di sana. Itulah sebabnya orang menggelarnya Man Siam. Nama Siamnya ialah Nai Chit Chai, kata teman-teman.

Tentang asal-usul Man Siam, tidak siapa yang tahu. Setengahnya mengatakan dia berasal dari Bandung, Jawa. Ada pula yang mengenalinya sejak kecil mengatakan Man Siam sebenarnya anak Teluk Saga, Pulau Berani. Ketika masih budak lagi. kerja Man Siam ialah sebagai penyelam di Pelabuhan Singapura. Bila kapal-kapal besar masuk ke pelabuhan, pelancong-pelancong kulit putih akan mencampakkan duit dari atas kapal dan Man Siam serta kawan-kawannya akan terjun ke laut, menyelam dan mengambil duit sepuluh sen yang dilontar oleh mem-mem dan tuan-tuan Mat Salleh dari dek kapal.

Itulah sebabnya Man Siam sakit semput sekarang, kata teman-teman kerana banyak menyelam di laut masa dia budak-budak. Teman-temannya segan kepada Man Siam. Barangkali kerana Man Siam telah `mengenal' dunia, telah banyak makan garam daripada mereka, telah merantau ke hujung dunia. Ada pula yang membisik kononnya Man Siam memakai tangkal Siam. Itulah sebabnya, kata mereka, Man Siam membujang sahaja sejak dahulu hingga sekarang kerana dia mudah berkenalan dengan wanita. "Mana dia nak kahwin. Mad...dia ada tangkal tu...tangkal Siam...tak ada betina boleh melawan godaannya," kata Leman Boyan yang bekerja bersama Man Siam menjaga mesin cetak.

Tiap hujung minggu pada hari gaji, Man Siam mengajak saya menonton wayang gambar. "I gotta haf pa dollah," katanya, "Mari kita tonton wayang," dia mempelawa saya. Man Siam memakai suit flannel warna kelabu, kemeja, merah, tali leher lebar dan sepatu hitam yang bergilap seolah-olah dia berhari raya. Setahu saya itulah sahaja kesukaan Man Siam - menonton wayang. Dia tidak seperti sesetengah pekerja Utusan yang berjudi atau menghabiskan wang gaji minuman di kedai tuak ataupun tiap kali mendapat gaji, akan mencari pelacur di Jalan Besar.

Kegemarannya ialah menonton cerita-cerita koboi dan berhari-hari selepas menonton, Man Siam akan mengulang cerita-cerita itu kepada teman-teman di pejabat ketika berbual-bual dengan mereka sambil minum air sarbat atau roti canai di kedai kopi.

Selain menonton wayang, Man Siam selalu ke kedai makan Kak Suri dekat taman hiburan New World. Paling kurang sekali dalam seminggu, kami makan malam di kedai Kak Suri. Bila Man Siam memberitahu saya, "I gotta more than haf pa dollah," ertinya dia mengajak makan di kedai Kak Suri. Kak Suri menumpang di kedai kopi Cina, menjual nasi rawan, nasi jenganan dan lontong. Dia kira-kira sebaya dengan Man Siam, berumur 35 tahun. Antara pelayannya ialah anak gadisnya sendiri, Rokiah berusia kira-kira 16 tahun, berbadan, ramping, selalu memakai kebaya ketat dan batik, hitam manis dengan tahi lalat di pipi kiri. Kak Suri berbadan gempal, peramah dan mudah mesra.

"Ini kawan baru Bang Man," Kak Suri bertanya bila Man Siam memperkenalkan saya kepadanya. "Mahu makan apa malam ini... saya buat begedel special untuk Bang Man malam ini...saya tahu Bang Man mesti datang malam, jadi saya buat begedel khusus untuk Bang Man," dia menambah.

"Dia pun mahu special juga... Ri," kata Man Siam menunjuk kepada saya. "Panggil Kiah... aku mahu Kiah layan pecial adik saya ni," Man Siam menambah. Kak Suri segera memanggil anaknya yang cepat berkejar di meja kami dan sesegera itu juga Kak Suri memperkenalkan saya kepada anaknya.

"Ini adik pamanmu..." Kak Suri memperkenalkan saya kepada Rokiah.

Man Siam senyum dan saya rasa peluh mulai membasahi pipi saya. Rokiah memberikan senyum paling menawan kepada saya.

"Ini adikku...kau layan dia seperti kau layan aku... Yah," kata Man Siam.

"Sudah tentu... kalau adik paman, macam saudara kita jugalah," Rokiah masih tersenyum.

Kami berada di kedai Kak Suri hingga kira-kira jam sebelas. Lepas makan, Man Siam berbual panjang dengan Kak Suri di belakang kedai sedang saya dilayan oleh Rokiah, yang seperti ibunya juga cepat mesra dan ramah.

Semenjak malam pertama saya ke kedai Kak Suri diajak oleh Man Siam, tiap hujung minggu kami ke kedai wanita itu. Ada waktunya kami ke kedai itu selepas menonton pertunjukan jam enam di panggung wayang Alhambra atau Capitol, sampai di kedai Kak Suri jam sembilan malam, sedang perut lapar betul, lalu makan dilayan oleh Kak Suri sendiri dan Rokiah, kemudian minum kopi dan ngobrol-ngobrol dengan mereka hingga kira-kira jam 11 malam.

Manakala saya telah mulai diterima secara rasmi sebagai pekerja bergaji oleh Utusan, Man Siam mengajak saya merayakannya di kedai Kak Suri.

"Ri... Samad belanja makan malam ini... dia baru dapat gaji," Man Siam mengumumkan kepada Kak Suri dan Rokiah.

"Tak kiralah... siapa yang belanja, Bang Man... makan sahajalah apa yang ada... saya buat mee rebus Bandung untuk Bang Man malam ini...... kata Kak Suri.

Ketika makan, Man Siam membisik. "Kau nak mengurat Rokiah? Ajaklah dia menonton besok... kau sudah ada gaji sekarang... you gotta haf pa dollah...Man," Man Siam ketawa gembira sambil mengetuk-ngetuk sudu kopi di atas meja makan.

Rokiah tidak silu-silu lagi memberi layanan istimewa kepada saya, duduk dan berbual dengan saya, melayani saya makan. Dia menceritakan hal dirinya kepada saya, betapa dia ingin menjadi guru selepas lulus darjah empat sekolah Melayu dua tahun dahulu tetapi kecewa kerana ayah tirinya meninggal dunia dan ibunya terpaksa membuka kedai makan yang ada sekarang. Sebelum itu ibunya membuka kedai jahit di Pasir Panjang dan ayah tirinya terlantar menghidap penyakit lumpuh. Ayahnya sendiri meninggal dunia ketika Rokiah berusia dua tahun. Ketika itu mereka tinggal di Tanjong Pagar dan ibunya bekerja sebagai pelayan di New World, manakala ayahnya pemain muzik. Mereka bercerai dan ibunya bekerja beberapa tahun sebagai pelakon wayang bangsawan menjelejah ke seluruh Malaya dan Siam hingga ke Indonesia. "Sepanjang hidup, ibu tidak pernah rehat...kerja saja tahun sebagai pelakon wayang bangsawan menjelejah ke seluruh Malaya dan Siam hingga ke Indonesia. "Sepanjang hidup, ibu tidak pernah rehat... erja saja, kerja saja, cari duit, cari duit...tak pernah duduk diam, ada-ada saja kerjanya...macam mana tak kerja...kalau tak kerja kita mati," kata Rokiah.

"Ya, manusia mesti kerja," saya menjawab. "Tapi patutkah orang perempuan bekerja?" Rokiah bertanya. "Perempuan patut tinggal saja di rumah...memasak...menjaga rumah...lelaki yang patut bekerja mencari rezeki," kata Rokiah lagi. Saya mengangguk. "Memang benar", kata saya. "Ibumu harus duduk saja di rumah...mesti cari teman lelaki yang baru," kata saya sambil ketawa. "Carikanlah...," Rokiah mengusik saya. Dia pun ketawa juga.

Saya menunjuk ke arah Man Siam yang sedang berbual dengan Kak Suri di meja tidak jauh dari meja kami. Saya berteriak, "Mister haf pa dollah!" Man Siam menoleh kepada saya. Rokiah dan saya ketawa.

Man Siam bangun dan berjalan ke meja saya.

"Apa hal?" Dia bertanya.

"Tak ada apa-apa," jawab saya.

"Kau berdua tadi ketawa besar," kata Man Siam.

Man Siam berteriak kepada Kak Suri. "Ri...dua merpati ini sudah lekat betul," Man Siam menggamit Kak Suri yang berlenggang datang ke meja kami.

"Adik aku ni," kata Man Siam, "dia nak ajak Yah menonton wayang..." Man Siam bersungguh-sungguh. "Dia dah dibayar gaji sekarang.. dia nak ajak anak kau ke Alhambra," Man Siam menyambung.

"Apa salahnya...saya percaya dia...tapi jangan nonton waktu malam... kalau nak nonton wayang, biarlah jam tiga petang atau pertunjukkan sebelah pagi," Kak Suri senyum.

"Wah...cepat sekali kau percaya adik aku ni...kau tahu Mad...dengan orang lain takkan mudah Kak Suri kau beri izin bawa gadisnya menonton," Man Siam menambah.

Hujung minggu itu, saya membawa Rokiah menonton di Alhambra.

Dan saya tidak lagi hanya ke kedai Kak Suri pada malam hari gaji. Ada waktunya saya makan di kedai Kak Suri pada hari biasa. Adakalanya tiga kali seminggu. Saya pergi bersendirian tanpa ditemani oleh Man Siam. Saya pergi khusus untuk menemui Rokiah. Kak Suri mengerti maksud saya datang bersendirian kerana dia tak bertanya pun mengapa saya tidak membawa Man Siam bersama.

Bila Man Siam sakit semput dan terpaksa dirawat di rumah sakit selama dua hari, saya kesal kerana terpaksa menziarahinya tiap hari. Man Siam tiba-tiba lelah waktu bekerja pada suatu petang dan terpaksa dirawat oleh teman-teman. Nafasnya tiba-tiba sesak. Badannya berpeluh. Mujur ada seorang     pekerja yang menjadi bomoh sambilan yang berperanan sebagai doktor di ofis pada waktu-waktu pekerja jatuh sakit atau sebelum pesakit dihantar ke      klinik atau ke hospital, Salleh (nama teman itu) bertindak mengubati si sakit. Kebetulan Salleh bekerja waktu Man Siam tiba-tiba sesak nafas. Salleh menanggalkan baju Man Siam, melucuti seluarnya dan mengurut serta memicit seluruh badannya, menyapu minyak angin di dada Man Siam, hinggalah      Man Siam dapat bernafas semula.  Setelah itu Man Siam kami hantar ke rumah      sakit Kandang Kerbau. Doktor menahannya selama dua hari di wad kelas tiga dan saya mulai berulang alik ke hospital, membawa makanan, buah-buahan dan      majalah serta suratkhabar untuk Man Siam.

Selepas sahaja kerja kira-kira pukul enam petang, saya akan ke rumah sakit membawa buah tangan untuk Man Siam. Saya hairan juga Man Siam rupa-rupanya takut kesunyian. "Kau jangan tak datang esok," katanya kepada saya. "Aku di sini sendirian, sunyi," dia merengek. "Aku tak tahan kesunyian," dia mengeluh. Bila saya sarankan agar saya memberitahu Kak Suri, dia membantah. "Jangan ganggu dia," kata Man Siam. "Bang Man mahu saya beritahu keluarga Bang Man?" saya bertanya. "Aku tak ada keluarga..aku bukan nak mati besok," dia mengherdik saya.

Tetapi Man Siam pulih sediakala dua hari kemudiannya. Dia sesak nafas hari itu kerana minum air batu dan makan bahan sejuk. "Aku bukan sakit... aku cuma langgar pantang sahaja," katanya. Bila saya memberitahu Leman Boyan bahawa selama dua hari saya terpaksa berulang alik menziarahi Man Siam di rumah sakit, untuk menjadi temannya, menghilangkan kesunyiannya, dia merengus, "Aku dah kata lama dulu...Man Siam mesti cari bini...mana boleh jadi hidup membujang saja...bila dah sakit, baru merasa sunyi."

Tiga minggu kemudian Man Siam sakit lagi. Kali ini dia tiba-tiba semput di kedai Kak Suri ketika berbual-bual dengan Kak Suri di bilik belakang kedai kopi itu. Ketika itu kedai hampir tutup kerana telah lewat malam. Saya tidak ikut bersama Man Siam pada malam itu kerana terpaksa bekerja hingga larut malam untuk menyiapkan sebuah berita penting.

Saya hanya mendapat tahu Man Siam sakit setelah dia tidak datang kira-kira seminggu ke pejabat. Kebetulan selama seminggu itu, saya terpaksa bekerja lewat kerana memangku kerja seorang penyunting kanan yang bercuti panjang untuk pulang ke Kuala Lumpur menghantar isterinya yang sedang sarat hamil. Leman Boyan memberitahu saya Man Siam sudah seminggu tak datang kerja. Saya mulai risau. Peraturan di Utusan sangat keras terhadap mereka yang tidak datang kerja tanpa izin. Dia sakit agaknya, kata Leman Boyan. Dia mesti sakit, kalau tidak, dia tentu datang kerja, kata Leman Boyan lagi.

Malam itu saya bekejar ke kedai Kak Suri.

Saya segera menemui Kak Suri bertanyakan hal Man Siam.

"Oh...Bang Man semput malam itu... tengah makan...tiba-tiba semput...      dia semput dada...kakak segera bawa dia ke rumah...panggil beca lalu bawa dia ke rumah...nak panggil doktor-...Bang Man tak mahu...lagi pun sudah malam sangat...nak ke hospital pun, cerewet sangat nanti...jadi kakak bawa      saja dia ke rumah...untung juga kakak pandai rawat orang sakit semput... kakak buka bajunya kakak sapu minyak angin di dadanya...dia terbaring di rumah kakak menjaganya...kakak suruh dia rehat-rehat saja...jangan bangun,      jangan kerja, jangan bergerak-gerak dari tempat tidur...rehat, rehat kata kakak...kakak leterkan dia mengapa minum air batu, mengapa langgar pantang ...kakak selalu ingatkan dia...jangan langgar pantang.

"Kerjanya tak kan lari ke mana...kakak yang tahan dia jangan kerja dulu...kena buang kerja pun tak mengapa...kakak boleh tanggung dia makan...yang mustahak kesihatannya...rezeki di tangan Tuhan...jodoh, maut di tangan Tuhan-...kerjanya tak kan lari...kalau ada rezeki di Utusan, dia tak kan ke mana..."

Kak Suri bercerita dan saya terpegun mendengar.

Akhirnya saya bertanya: Di mana dia sekarang...di rumahnya...di mana?"

Kak Suri senyum, mukanya seperti bercahaya di sinari bulan purnama.

"Ikhirnya saya bertanya: Di mana dia sekarang...di rumahnya...di mana?"

Kak Suri senyum, mukanya seperti bercahaya di sinari bulan purnama.

"Itu dia...itu di sana...tengah kerja. Entah apa dibuatnya pun, kakak tak tahu...kakak larang dia datang...tapi dia mahu juga datang...Bang Man keras hati, Mad...tak makan nasihat," Kak Suri leterkan teman saya.

Saya memandang ke arah orang yang di tunjuk oleh Kak Suri. Dalam cahaya samar lampu dari tiang letrik di tepi jalan yang menerangi kaki lima gerai Kak Suri, saya melihat Man Siam sedang membongkok membasuh pinggan.

Saya berteriak kuat, "Hullo...hullo...mister haf pa dollah!"

Man Siam tiba-tiba berdiri tercegat. Dia menoleh ke belakang mengarah ke dalam kedai. Kemudian dia berjalan mendapatkan saya.

"I say, mister haf pa dollah. Di mana awaklah...sudah seminggu tak datang kerja..nanti kena buang kerja baru tau..." saya ketawa.

"Begini ceritanya Mad..." Man Siam membisik ke telinga saya.

"Aku terpaksa tolong Suri...aku kesian dia bekerja bersendirian... kerja separuh mati, siang malam nak cari rezeki," dia membisik.

"Bang Man...rehatlah dulu...jangan kerja, lagi...pulang ke rumah sahaja" Kak Suri mencelah.

"Aku dah baik...sumpah...aku dah baik...bosan duduk di rumah..." jawab Man Siam.

Kemudian dia memandang kepada saya. "Besok...aku datang ofis," katanya.

"Bang Man...Jangan kerja dulu...rehat di rumah, baring, makan, tidur di rumah...biar saya dan Rokiah bekerja," Kak Suri berleter manja.

"Aku dah puas leterkan dia...Bang Man ni degil..." Kak Suri menyambung.

Man Siam agak gelisah seketika. Dia merenungi saya. Tiba-tiba dia ketawa.

"Kak Suri kau...dah berani ngomelkan aku sekarang," Man Siam berkata.

"Berleter...kerana sayang..." Kak Suri mencelah dan melihat saya tertawa, dia menyambung:

"Kau...Mad...mulai sekarang, kalau kau mahu mengajak Rokiah menonton wayang...kau mesti minta izin bapak Rokiah...ini." Kak Suri menunjuk kepada Man Siam.