Pages

Saturday, November 14, 2015

Bintang malam Rabu bulan Safar

Oleh Zainal Rashid Ahmad

ASTRONOMIS - memang dia yang menemukan bintang ajaib itu, pada satu malam Rabu bulan Safar.

Dengan bantuan teropong purba yang ditemui menantunya dalam kapal dagang La Calonte ketika menyelam di laut, Bustaman Rijo, menghabiskan masa bertahun-tahun di puncak Gunung Ledang meneropong ke langit siang dan malam tanpa henti hingga lehernya menjadi sedikit cacat, dik kerana terlalu banyak mendongak.

Teropong tembaga sepanjang dua depa dengan berat mencecah 15 kati itu, disaluti emas pada bingkai cerminnya serta ukiran antik. Pada bulatan tengahnya terdapat ukiran berbentuk seperti planet nun jauh. Teropong itu dipercayai pernah digunakan oleh beberapa astronomis Belanda dan sudah pun berjasa dalam pelbagai penemuan angkasa lepas.

Kononnya, dalam satu pelayaran membawa sekumpulan astonomis ke Tanah Melayu pada tahun-tahun awal Belanda menduduki Melaka, kapal La Calonte tenggelam dan satu-satunya khazanah yang ditemukan menantunya ketika menyelam dasar lautan tempat kapal itu dipercayai karam hanyalah teropong antik itu.

Dik kerana teropong tembaga itu tidak dibeli orang dalam lelongan selama berbulan-bulan di pasar, dia mengambil keputusan untuk menawarkan sesuatu pada menantunya.

"Kau ambillah pelana ini dan ia pernah digunakan Francis Light. Teropong ini sebagai tukarannya," kata Bustaman Rijo.

Dan menantunya yang memang meminati sejarah Pulau Pinang itu serta-merta bersetuju lalu berlakulah perdagangan secara tukar-menukar barang antara menantu dan mentua itu.

Bustaman Rijo, dengan susuk badan bagai beruang itu, dengan perut bergendut, dengan beg galas yang diperbuat dari kulit lembu itu kemudiannya berjalan pergi meninggalkan kampung halamannya. Tak ada yang memperdulikannya, sama seperti ketika berpuluh-puluh kali dia keluar meninggalkan kampung sejak berpuluh-puluh tahun lalu. Semua orang tahu - astronomis itu akan menjawab dengan kata-kata yang sama setiap kali ditanyakan hala tujunya.

"Aku mencari sebutir bintang yang ada kaitannya dengan Melayu."

Dia tiba di kaki Gunung Ledang setelah enam hari berjalan kaki. Dengan teropong purba yang disimpan dalam beg galasnya, dan sedikit makanan serta beberapa buku catatan sebagai rujukan dari segala penemuan terdahulu, dia mula mendaki; dan mengikut rekod dalam catatannya, dia sampai di puncak gunung empat jam kemudian dan mula mendirikan khemah ketika hari hampir Maghrib.

Dalam cacatan buku yang sama, dia menulis bahawa ketika sedang menyiapkan kaki teropong dengan menggunakan batang-batang kayu, Puteri Gunung Ledang datang menegurnya.

"Kau membuang masa."

Dik kerana penat dan marah dihina begitu, dia menjawab dengan penuh sindiran: "Kerjaku ini lebih baik dari apa yang kau minta pada Sultan Mahmud hingga baginda mempersiakan rakyat Melaka dengan kerja mengumpul hati nyamuk."

"Tak ada bintang untuk Melayu."

"Kau cuma seorang puteri yang cantik, tapi akalmu cetek. Jadi jangan bercakap dengan aku dalam soal yang kau tidak tahu."

Mendengar katanya itu, dalam buku catatan itu dia menulis - akan betapa lukanya hati puteri nan jelita itu hingga berlalu pergi dengan tangis teresak-esak. Dalam catatan itu juga dia merakamkan, bahawa tangisan itu tidak henti-henti untuk bertahun-tahun lamanya sehinggalah pada malam Rabu bulan Safar. Sebaik saja teropongnya berjaya mengesan sebutir bintang yang aneh bergoyang-goyang di langit, maka tangisan itu pun lenyap. Maka itu dia percaya, itulah bintang Melayu yang dicari-carinya.

Kala itu hatinya bergetar - matanya membengkak dik takungan air mata yang ditahannya - tiada kata-kata lain dan dalam catatannya, Bustaman Rijo menulis akan betapa sebaknya dia waktu itu apabila menyedari kerjanya selama berpuluh-puluh tahun akhirnya terhasil juga. Lebih bangga lagi, cercaan orang pada kitab Tajul Melayu tinggalan almarhum ayahnya, Hamid Rijo kini dapat disangkalnya. Memang ada sebutir bintang di langit yang khusus diciptakan untuk bangsa Melayu.

Dalam catatannya ayahnya, ada tertulis: Bahawasanya, di dada langit yang luas, pada satu malam, pada bulan tertentu, dengan waktunya yang tertentu juga, maka akan terzahirlah bintang ini, yang pada kemudian hari, dengan segala makrifatnya akan menjadi pedoman pada orang Melayu dalam mencari arah tujuan.

Walaupun kitab itu dipinggirkan sejarawan, malah dianggap orang sebagai cerita khayal almarhum ayahnya, Bustaman Rijo yakin, ayahnya yang penuh cita-cita serta menghabiskan hampir setengah abad dari usianya mengkaji bintang itu, takkan beromong kosong. Dan kini, pada malam Rabu bulan Safar, ketika tangisan Puteri Gunung Ledang lenyap sama sekali, bintang itu muncul di lensa teropong purbanya.

Menurut Bustaman Rijo: Sesungguhnya bintang itu tidaklah besar dan tidak pula kecil, silau cahayanya tidaklah terang dan tidaklah pula samar. Manakala pergerakannya tidaklah laju, malah tidak pula perlahan dan jaraknya tidak jauh tetapi tidaklah pula dekat dengan bumi.

Setelah menulis segala yang perlu dalam buku catatannya yang akhirnya dinamakan sebagai Tajul Melayu Dua, Bustaman Rijo turun dari Gunung Ledang dan berjalan pulang ke kampungnya. Apabila sampai di kampung dan melihat semuanya begitu cepat berubah, dengan bangunan-bangunan batu berceracak di sana-sini serta betapa sibuknya kapal-kapal dagang yang kelihatan seperti pulau-pulau, melintasi laut di depan rumahnya yang sudah lama roboh, sedarlah dia akan lamanya waktu berlalu.

Ketika dia singgah di perigi lama di belakang rumahnya dan tunduk untuk mencedok air, nampak dia akan bayang-bayang dirinya yang sebenarnya sudah tua renta. Matanya yang terperosok ke dalam, serta kulitnya yang mereput bagai kelupasan kulit bakau yang terendam dalam asin air laut, serta jambang dan bulu kening yang panjang serta memutih, membuatkan dia akur akan lamanya waktu dia berpergian kali ini. Dalam rasa terkejutnya itu, dia rebah di pinggir perigi.

2

Penemuan serta isi catatan dalam Tajul Melayu Dua ternyata menggemparkan seluruh tanah air. Belum pun Bustaman Rijo sedar daripada pengsannya yang berbulan-bulan itu, isi kandungan kitab itu terutama bab penemuan bintang Melayu menjadi perbincangan hebat. Akhbar-akhbar arus perdana menyiarkan penemuan itu selama berbulan-bulan sebagai tajuk muka depan dengan mengundang kenyataan pelbagai lapisan masyarakat. Malah, gambar Bustaman Rijo yang terbaring lesu di katil hospital saban hari tersiar dengan kata- kata sokongan: Sedarlah segera wahai kau astronomis bangsa.

Di semua universiti, saban hari - pelbagai perbincangan ilmiah yang mengundang ratusan cerdik pandai bangsa diadakan bagi membincangkan perihal bintang yang dimaksudkan dalam kitab tulisan Bustaman Rijo. Ada yang menyifatkan penemuan itu sebagai kajian paling penting dalam sejarah dan tamadun Melayu. Malah, ada yang menyifatkan penemuan itu lebih penting daripada segala penemuan para astronomis terdahulu sama ada dari Timur ataupun Barat.

"Dia patut dianugerah dengan pingat gelaran bangsa," kata seorang ahli politik.

Malah, tidak kurang pula yang mencadangkan agar namanya dicatatkan dalam Buku Rekod Malaysia, dan suara-suara lain meminta kerajaan menggubal undang-undang bagi membolehkan segala milik peribadinya dijadikan aset negara sebagai usaha untuk memelihara darjat tokoh astronomi bangsa itu.

Dan kala kekecohan itu memuncak, Bustaman Rijo pun sedar dari pengsannya.

Ketika para doktor dan jururawat tersentak melihat dia tiba-tiba sudah duduk di birai katil dengan memegang pen dan kertas, serta dengan rancak menulis satu demi satu perkataan menjadi ayat demi ayat dan kemudian bertambah menjadi lembar demi lembar, hingga akhirnya di atas katil dipenuhi dengan timbunan kertas yang siap bertulis dan sebahagian yang lain dilukis dengan pelbagai gambaran langit di kala malam hari, Bustaman Rijo menarik nafas yang dalam.

"Bintang itulah yang kugunakan ketika sesat di lautan," kata seorang pelayar sambil tersenyum.

Dan Bustaman Rijo menjawab kembali: "Tapi kau masih sesat hingga hari ini."

Pelayar itu, yang cengkung dua pipinya, yang tangan sebelah kanannya tidak dapat digerakkan, yang kaki kirinya kelihatan dipenuhi parut-parut kudis yang sebahagiannya masih belum pulih sepenuhnya; dengan wajah yang tiba-tiba muram dik kata-kita sinis Bustaman Rijo, akhirnya tunduk dan menangis teresak-esak.

"Kutemui bintang itu... dan aku mengikutinya, tapi aku sesat juga kerana memang dari awal, pelayaranku tidak bertujuan," jawabnya sambil menangis makin kuat.

Bustaman Rijo, yang tidak berasa apa-apa dengan tangisan lelaki itu kemudian hanya berkata: "Memang kau sesat sejak mula dan bukan di tengah pelayaranmu. Maka itu, bintang yang kutemukan tidak bermakna untukmu."

Pelayar itu, yang sudah melutut di tanah, yang membiarkan debu-debu jalan yang diseka angin naik ke rambutnya terus meraung-raung dan kala itu Bustaman Rijo menatap ke langit yang masih siang - di sana, di balik gumpalan awan yang berarak perlahan, dia nampak bintangnya; bersinar-sinar bagai tunak mata bayi di buaian.

"Kembalilah ke kapalmu, carilah haluan dan mulakan segera pelayaranmu. Bintang itu sedang menantimu."

Mendengar kata-kata Bustaman Rijo, lelaki itu segera bangun lalu berlari pantas dan akhirnya menghilang dalam keruh wap debu yang melayang memenuhi jejak langkahnya.

Bustaman Rijo masih di katil hospital, ketika bayangan terakhir lelaki itu lenyap dari pandangannya. Ketika dia mendongak, dan menyedari akan dirinya mengenang kembali akan pelayar yang ditemui dalam lenanya yang panjang itu, di depannya kelihatan sekumpulan anak muda yang berpakaian kemas dan segak.

"Kami datang untuk membuat kajian tentang tuan."

Bustaman Rijo terkedu dan tidak menyangka seorang daripada anak muda itu akan berkata demikian padanya. Tapi, dia hanya mendiamkan diri tanpa berkata apa-apa.

"Kami dapati tuan bukan manusia dari zaman ini... Cara tuan berpakaian dan dari catatan yang tuan kumpulkan, kami dapati tuan mungkin warisan dari kerajaan purba."

Bustaman Rijo hanya mendiamkan diri dan kali ini dia terus mencapai pen dan kertas lalu mula menulis kembali. Manakala anak muda itu serta ahli kumpulannya sibuk meneliti keadaan dirinya. Mereka menanggalkan kasutnya lalu diambil gambar dan dicatat secara terperinci gambaran-gambaran yang mereka temui tentang kasut itu. Hal yang sama diperlakukan pada pakaiannya, pada serbannya, pada beg galasnya dan kemudian pada nota-nota yang sedang ditulisnya di katil hospital.

Setelah berbulan-bulan melakukan pelbagai analisis, akhirnya mereka tidak datang lagi, hinggalah Bustaman Rijo mendapat khabar melalui seorang doktor yang kumpulan itu akhirnya bergaduh sesama sendiri kerana tidak mencapai kata sepakat dalam kajian mereka mengenai dirinya.

"Ada yang mengatakan tuan dari warisan Sultan Mahmud, yang lain mendakwa tuan  seorang dari tentera Raja Suran manakala yang lain pula berkata tuan adalah piut Iskandar Zulkarnain. Kerana itu mereka bergasak sesama sendiri."

Bustaman Rijo hanya mendiamkan diri mendengar penerangan itu, dan malam itu kala dia sudah bosan berada di atas katil hospital, dia mengambil keputusan untuk pergi. Dia mencapai semua kertas notanya lalu dimasukkan dalam beg galas kulit lembunya dan kemudian berjalan keluar meninggalkan kawasan hospital.

Esoknya seluruh negara gempar dengan khabar kehilangan astronomis bangsa itu.

Mereka terus bercerita mengenai penemuan unggul sebutir bintang pada malam Rabu bulan Safar. Namun, sejak pemergian itu, orang tak pernah lagi menemui Bustaman Rijo kecuali iklan di hujung muka depan akhbar-akhbar arus perdana yang berbunyi: Pulanglah wahai astronomis bangsa.

No comments: