Pages

Friday, November 27, 2015

Sidang Luka

Oleh Tajuddin Saman

RUANG itu sempit dan gelap.

Tiada angin bertiup di situ.

Dan di ruang yang panas itulah mereka bertemu. Di situ mereka hanya duduk bersila rapat-rapat di atas tanah yang lembap. Hidung mereka hampir tersentuh di antara satu sama lain. Nafas mereka tertahan-tahan kerana bau tanah dan cacing yang hanyir menusuk hingga ke paru-paru.

Keadaan sekeliling sungguh tidak selesa. Tapi ketidakselesaan itu satu kelumrahan hingga mereka sering bertanya: Apakah kehidupan insan seperti kita memang ditakdirkan begini? Kita dilarang menikmati kesenangan daripada hasil titik pemikiran dan butir peluh sendiri?

Sebaliknya kita perlu sentiasa berada dalam penderitaan hidup yang berpanjangan hingga ada waktu sampai anak sendiri terpaksa makan nasi dengan garam? Jiwa ketiga-tiga seniman yang hampir sezaman itu tepu dengan pergolakan.

Luka Satu:

Di ruang sempit dan busuk itu dia meluahkan perasaan kepada dua rakannya. "Aku berfikir tentang bangsa, agama dan tanah air dan menghasilkan karya untuk ditinggalkan sebagai pusaka warisan anak cucu di kemudian hari.

Hingga sekarang aku sudah hasilkan lebih 40 karya novel, drama, antologi cerpen, puisi, catatan kembara dan segala sesuatu mengenai kesusasteraan untuk bangsaku.

Dalam kesibukan itu, aku terlupa tentang diriku sendiri. Apabila sesekali aku teringat tentang tanggungjawab terhadap perutku dan perut anak isteri, aku jadi malu kerana dikatakan materialistik.

Ilmuan dari menara gading juga menuding jari kepadaku. Mereka tanpa segan silu menuduh aku seorang hipokrit kerana membangkitkan soal royalti. Mereka mahu aku menulis semata-mata untuk seni atau untuk masyarakat.

Segala usahaku, bagi mereka, sama sekali terlarang untuk dikecapi hasilnya untuk diri dan keluarga sendiri. Kalau diri yang cuba diselitkan dalam pemikiran berkarya, ia dianggap satu dosa paling besar; seolah-olah kerana memikirkan soal keperluan diri dalam menghasilkan karya akan melayakkan diriku ditempatkan semata-mata di perut neraka.

Mereka mahu aku berjalan kaki, naik bukit turun bukit, mencari ilham seperti Rabindranath Tagore. Mereka mahu sasterawan itu papa kedana tanpa satu apa pun tetapi pada waktu yang sama, sasterawan mesti menghasilkan karya yang agung untuk bangsa, agama dan tanah airnya!

Ah! Mereka tentunya bercakap dari puncak menara gading yang bukan saja penuh ilmu tetapi juga hasil bulanan dan segala macam hasil sampingan yang lumayan.

Aku juga tahu apabila aku mati seperti sekarang, mereka akan mewujudkan sebuah kerusi Sasterawan Negara Ahmad Sanusi Sulaiman (SNASS) di universiti dan profesor yang duduk di kerusi itu akan menerima hasil bulanan serta hasil sampingan yang terlalu lumayan kerana mengkaji karya serta pemikiranku!

Aneh bukan? Seorang profesor yang tidak pernah menghasilkan sebuah karya pun dipilih menduduki kerusi SNASS itu hanya untuk mengkaji karya serta pemikiran orang lain dan dia yang menerima ganjaran paling lumayan sedangkan sasterawan sepertiku yang dikajinya harus hidup papa kedana, sengsara dan derita.

Kalau anakku makan nasi dengan garam sekalipun, aku dilarang menyebutnya kerana itu satu dosa yang tidak terampun. Kalau gelodak jiwaku meronta- ronta ingin menyebut juga soal ganjaran yang terlalu sedikit itu jika dibandingkan dengan segala pengorbanan berkarya untuk bangsaku itu maka mereka bingkas mentertawakannya.

"Kamu sasterawan ringgit!" kata mereka "kamu sasterawan hipokrit!" tuduh mereka.

"Tidakkah kamu lihat sasterawan zaman silam menghasilkan karya agung seperti Hikayat Hang Tuah misalnya tanpa sedikitpun meminta ganjaran, bahkan namanya sendiri tidak dilekatkan pada karya agung itu!

Dalam hal ini, fikiranku pula tertanya, mana ilmuan itu tahu bahawa penulis Hikayat Hang Tuah atau Sejarah Melayu tidak pernah menerima sebarang ganjaran?

Tidak mungkinkah Raja atau Sultan pada zaman itu memberikan sedikit atau sesuatu ganjaran kepada penulis berkenaan sesudah dia selesai menyiapkan karya berkenaan?

Atau tidak mungkinkah Sultan sendiri yang meminta penulis itu mencatatkan segala peristiwa mengenai pahlawan Melayu terbilang itu pada zaman itu?

Segalanya serba mungkin. Tetapi mereka terus memanggilku dengan segala macam gelaran yang terlalu buruk kerana sesekali cuba menyuarakan keluhan jiwa yang amat hampa dengan kerenah birokrasi pihak tertentu yang mengendalikan penerbitan karyaku.

Mereka halalkan kerenah birokrasi yang memperdagangkan karyaku itu tetapi mereka pandang jijik padaku yang cuma sesekali menuntut hakku sendiri.

Mereka juga mengukir anggapan sendiri bahawa seorang sasterawan semestinya menulis untuk kepuasan diri, bukan untuk kebendaan atau untuk menggalas perutnya sendiri bagi menyambung nafas pada hari-hari tuanya pada zaman yang menuntut serba serbinya dengan bayaran ini.

Mereka mungkin juga mengharapkan seorang sasterawan itu pada usia lesunya nanti akan singgah di katil rumah kebajikan masyarakat dan menghembuskan nafasnya yang terakhir di situ.

Dan waktu itu mereka mungkin menghantar kalungan bunga yang disisipkan dengan tulisan: "Nah! Di sinilah berakhirnya riwayat seorang sasterawan tulen!"

Kesimpulannya, pada saat ini aku semakin berasakan bahawa sasterawan selalunya mesti terseksa dan diseksa dan orang lain yang memakai jubah keilmuan atau menjadi pegawai tinggi direlakan atau dihalalkan berehat bersama keluarga di tepi pantai yang indah dan bersantai di rumah besar, berkereta besar dan pada hujung-hujung minggu ke kelab golf atau ke dusun melihat anak-anak durian yang disemai di sana.

Dan mereka mahu sasterawan terus berjalan kaki, memanjat tangga bas, menggalas beg usang berisi kertas dan pena, mengembara ke sana ke mari mencari ilham untuk menghasilkan karya yang agung untuk bangsa, agama dan tanah airnya.

Apabila aku bertanya kenapa royaltiku yang tidak seberapa itu dipotong? Mereka bingkas dengan cepat dan mudah saja menjawab: "Andalah sasterawan yang materialistik!"

Tuan-tuan profesor dan tuan-tuan pegawai! Sila tanggalkan jubah universitimu atau tali leher dan kotmu dan turunlah ke arena sastera sepertiku dan hasilkanlah karya agung tanpa meminta-minta apa yang menjadi hak dirimu seperti pengemis di Jalan Chow Kit!

Tidak saja terpaksa papa kedana; sasterawan juga harus menjadi pengemis kepada kerenah birokrasi yang berencam itu. Aku terpaksa menebalkan mukaku apabila ada pegawai tinggi dalam birokrasi yang melemparkan kata-kata sinisnya: "Dia bukan sasterawan abad ke-21. Dia cuma sasterawan abad 20 dan dia juga sasterawan yang mengada-ngada!"

Aku terpaksa tanggung kelukaan dalam hatiku sendiri, bang Ramlee. Dan sekarang aku betul-betul menyampah. Justeru, aku ingin sekali mengucapkan "Selamat tinggal pada dunia yang pernah kucintai selama lebih 40 tahun itu..."

Luka Dua:

Wajahnya memang wajah seniman. Jika dia tersenyum, kumis halusnya menggulai raut muka yang memang kacak itu. Susuk tubuhnya yang sedikit gemuk sekarang tidak menjejaskan ketampanannya sebagai pelakon dan pengarah filem.

Dia juga dikenali sebagai seorang penyanyi. Dia digilai anak muda zamannya kerana suara yang merdu. Lagunya mencecah ke pendengaran umat di seluruh Nusantara dan sesekali berada pada kedudukan tertinggi di Eropah!

Siapa pernah menyangka lagu ciptaan Seniman Agung kita itu pernah menduduki carta nombor satu di sebuah stesen radio di Jerman pada 1960-an? Orang Jerman sendiri terpegun mendengar irama muzik dan nada lagu "Di Mana Kan Kucari Ganti" yang disuarakan Seniman Agung kita itu. Malah, sebuah lagi lagu karyanya - "Getaran Jiwa" disadur menjadi lagu Inggeris dan dinyanyikan oleh penyanyi Barat.

Tapi malangnya nama pencipta lagu yang berkulit sawo matang itu tidak dicatatkan pada kaset lagu Getaran Jiwa versi Inggeris itu. Dan tiada siapa mempedulikannya kerana seniman itu tiada lagi di dunia ini.

Dialah Seniman Agung yang memukau negara ini selama hampir tiga dekad lamanya. Sejak 1950-an, dia sudah menghasilkan ribuan lagu dan ratusan filem.

Suatu ketika waktu seluruh industri perfileman Asia masih tercari-cari arah masing-masing, dia sudah mempamerkan kehebatan diri yang mewakili bangsanya.  Pada 1960-an dia pernah ditabalkan sebagai Pelakon Bijaksana Asia.

Dialah satu-satunya anak Melayu yang meruntun jasad seorang tokoh bahasa negara - Pendeta Za'ba - untuk berjabat tangan dengannya sambil mengucapkan ayat yang klasik: "Terima kasih kerana saudara telah mengangkat martabat bangsa Melayu di mata dunia!"

Tetapi apabila dia mendengar keluhan SNASS, SA Ramlee menangis terisak- isak. Kisahmu terlalu memilukan hatiku. Aku tahu kaufaham mengapa aku menangis mendengar ceritamu.

Tidak! Bukan kerana aku juga seniman sepertimu tetapi aku menangis kerana aku juga pernah menerima nasib sepertimu. Aku tahu, kau pun tahu tentang ceritaku.

Kita bukan baru berkenalan. Kita sudah mengenali antara satu sama lain sejak sama-sama tinggal di Singapura pada akhir 1950-an. Dulu pun, waktu kau mula berjinak dengan sastera, aku sudah bilang padamu, jangan terlalu ghairah bersastera.

Tapi waktu itu kaumarah-marah sambil bertanya kembali kepadaku: Kenapa mesti begitu, bang? Waktu di Singapura, kau masih muda. Kau belum mengerti tentang realiti kehidupan seorang seniman yang lumrahnya penuh sengsara kerana itu jawapanku dulu hanya sekadar: "Tunggulah Abdul, satu hari nanti abang akan berikan jawapannya..."

Nah, sekarang kita sudah sama-sama seliang dan selubang dalam erti kata senasib. Sekarang kausudah masuk ke alam realiti kehidupan seorang sasterawan. Kaumengalami apa yang abang pernah alami sewaktu meronta-ronta meminta bantuan untuk menubuhkan sebuah syarikat perfileman Melayu di ibu kota yang kunamakan Rumpun Melayu.

Waktu itulah aku tersedar daripada keghairahan tidur yang terlalu lena dalam dunia seni. Ya, seni untuk masyarakat. Seni untuk bangsaku sendiri.

Tetapi waktu kesedaran itu datang, aku sudah berumur, Dol. Pada usia begitu, daya fikirku hampir menjadi hampas tetapi perjuangan seni tidak berakhir pada angka usia yang lanjut.

Aku tidak menyerah kalah kerana itu aku cuba bangunkan syarikat perfileman Melayu yang pertama di negara sendiri. Sebelum itu, puncak karyaku sudah tercurah dalam syarikat bukan milik bangsa kita.

Kalau ada yang terkilan, itulah kekesalanku paling besar. Namun, itu juga adalah takdir yang tidak dapat diubah lagi. Tanpa Syarikat filem Shaw Bintang itu, bakatku mungkin tidak tercungkil sampai bila-bila dan ia mungkin mati di kampung saja.

Tuahku mungkin terletak pada lagu ciptaanku yang awal pada akhir tahun 1940-an. "Azizah", lagu yang kucipta penuh perasaan syahdu untuk mengenang seorang yang wujud dalam hidupku benar-benar membawa tuah hingga Shaw Bintang terus memanggilku ke studio mereka di Jalan Hampas, di Singapura.

Sejak saat awal aku menjejakkan kakiku ke studio itu, aku mula mengenali dunia seni yang penuh cabaran ini. Orang di luar studio selalu menyanjungku tapi ramai yang dekat denganku melontarkan segala penghinaan terhadapku. Itulah harga yang mesti kubayar pada dunia seni yang penuh keindahan ini.

Apa boleh buat. Rupa-rupanya adat hidup orang seni memang begitu. Rupa- rupanya nasib orang filem sepertiku lebih kurang sama seperti sasterawan.

Akhirnya sesudah begitu jauh melalui lorong seni ini, jiwaku benar-benar luka Mad. Waktu aku cuba membangunkan Rumpun Melayu Filem Production itu, aku terima sepucuk surat dari sebuah institusi kewangan yang mengatakan: "Tuan tidak layak diberi pinjaman..."

Kautahu untuk apa aku mahu pinjam wang dari bank itu? Aku sebenarnya mahu bikin filem Melayu di Hong Kong. Aku mahu pecahkan tradisi perfileman negara. Kalau orang kita sanjung filem Hong Kong, kenapa kita sendiri tidak mahu bikin filem di sana dan eksport pula filem kita itu ke sini? Kaulihatlah judul filem yang aku mahu bikin di Hong Kong itu: "HIDAYAT" namanya. Filem ini bercorak agama; pertentangannya cukup bagus. Abang yakin ia lebih hebat daripada "Semerah Padi" yang pernah kuarahkan pada 1960-an dulu.

Tapi setelah hampir 30 tahun berkecimpung dalam dunia filem hingga aku digelar Seniman Agung, kautahu apa yang aku dapat sekarang?

Aku dipandang hina di tanah air sendiri, Dol. Aku tidak layak meminjam dari bank untuk membangunkan filem Melayu yang hampir maut waktu itu.

Kenapa mereka takut memberi pinjaman kepadaku? Kalau mereka mahu, aku rela cagarkan seluruh karya lagu-lagu ciptaanku dalam tempoh 36 tahun itu kepada mereka. Ambillah dengan apa cara sekalipun royaltinya asalkan aku dapat bikin sebuah filem paling agung untuk bangsaku.

Tapi itu hanyalah impianku sebagai seorang seniman, Dol. Kenyataannya cukup berbeza dan menyedihkan sekali. Akulah Seniman Agung yang kemudiannya terpaksa merempat di merata tempat dan tidak dihargai langsung oleh institusi kewangan kerana aku tidak ada cagaran apa-apa untuk disandarkan kepada mereka.

Tidak ada sebuah institusi kewangan pun mahu terima hanya nama seorang Seniman Agung bangsa dan tanah airnya sebagai cagaran atau sekurang- kurangnya tidak ada seorang pun yang sudi membantuku untuk membangunkan semula dunia perfileman Melayu yang semakin merosot.

Rupa-rupanya orang hanya pandang pada nama seniman itu hanya pada ketika dirinya berada di puncak. Sesudah hidupnya menurun, tinggallah dia dahaga dalam kemarau hidupnya sendiri.

Waktu itu, aku juga mula menyampah sepertimu, Mad. Kau tahu, apa yan kulakukan sesudah membaca surat jawapan dari bank itu? Aku koyak- koyakkannya hingga menjadi perca kertas yang halus dan kemudian kulemparkan ke angin lalu hingga ia berderai, berterbangan dan jatuh perlahan-lahan ke bumi.

Sesudah itu, aku masuk ke dalam rumahku dan kuambil satu-satunya pingat yang diberikan kepadaku, konon kerana mengenang jasaku pada negara lalu kucampakkannya melalui tingkap rumahku dan aku tidak akan mengutipnya lagi sampai bila-bila...

Luka Tiga:

Dia hanya seorang biduan dan raut wajahnya yang manis tidak lagi bergula. Waktu itu kesenduan mengusik perasaannya. Air mata menitis perlahan-lahan ke pipinya yang semakin dimamah usia.

Dia amat sedar. Dia hanya seorang biduan. Dia bukan pencipta atau penggubah lagu dan irama. Dia hanya seorang biduan biasa. Sekadar kerana dianugerahkan suara yang lemak merdu, dia muncul sebagai seorang biduan yang dikagumi ramai pada zaman 1950-an dan 1960-an.

Sewaktu SNASS dan SA Ramlee bercerita, dia hanya mendiamkan diri. Tapi dia mendengarnya dengan khusyuk. Sesekali waktu menghayati kisah sasterawan dan seniman itu, jiwa seninya menikam-nikam dirinya dari dalam. Waktu itu dadanya menjadi sebak dan mengalirlah manik-manik air yang bertali-tali di pipinya.

Dia memang tidak pandai bercakap. Segala yang dilaluinya tersimpan hanya di dalam dirinya sendiri. Hidupnya juga penuh seribu liku.

Ceritaku mungkin tidak sehebat kisah abang Ramlee dan adik Mad. Tapi biduan juga hidup atas dunia seni. Aku pernah dijulang ribuan orang waktu sampai ke lapangan terbang kerana mereka ingin mendengar suaraku di pentas nyanyian. Ketika aku berada di puncak dunia seni, ribuan orang menjerit- jerit meminta aku nyanyikan laguku: "Nona Singapura" atau "Air Mata Kasih".

Waktu itu tidak ada televisyen. Tapi ketika suara nyanyianku diputarkan melalui radio, anak-anak muda di seluruh negara menyerbu ke corong radio mereka dan memperbesarkan bunyinya. Lalu mereka ikut menyanyi bersamaku di rumah masing-masing.

Setiap yang terhibur pasti bergembira. Kegembiraan selalunya melahirkan tubuh badan yang sihat. Secara tidak langsung, aku juga pernah menyumbangkan kesihatan hidup pada anak muda yang mendengar laguku.

Tapi "Nasib Seorang Biduan" tidak pernah menjanjikan hari tua yang aman tenteram. Kira-kiranya nasib biduan tua sama seperti petani atau nelayan tua. Tidak ada jaminan persaraan dalam hidup kami yang serba tidak menentu sepanjang waktu.

Pada waktu usia semakin meninggi, nafasku tidak lagi membenarkan suaraku dihela begitu lama. Kalau aku mencubanya juga, ia akan menjadi semput dan akibatnya memudaratkan tubuh badan yang semakin lemah.

Rupa-rupanya seorang biduan dihargai hanya pada waktu nafasnya panjang dan ketika suaranya mampu melenggokkan lagu yang menjadi halua telinga pendengar.

Apabila biduan tidak lagi mampu berlagu, tepukan gemuruh tidak lagi terdengar. Kian lama orang terus melupai kehadiranku di pentas hiburan.

Radio pun tidak lagi memutarkan lagu nyanyianku kerana juruhebahnya bertukar tangan kepada orang baru yang tidak lagi mengenaliku. Hanya sesekali bila ada siaran nostalgia, suaraku yang sayu mungkin dipasang semula.

Waktu aku mendengar suara lamaku di zaman baru ini melalui radio kecilku yang selalu berada di sisi, air mata tidak terasa mengalir di pipiku.

Masih terbayang waktu aku mula menyanyikan lagu itu dulu, ribuan orang berhimpun di padang luas di kota-kota besar. Mereka memekik melaungkan namaku.

Aku insaf, aku menyanyi bukan kerana nama. Tapi kalau ada sekelumit sumbanganku sebagai seorang biduan, aku hanya ingin teruskan kesinambungan irama dan lagu bangsaku yang punya jati diri sendiri. Aku sebenarnya terlalu bimbang terhadap pengaruh asing yang mungkin menyerap ke dalam irama dan lagu bangsa kita.

Tapi rempuhan itu tidak dapat ditahan-tahan. Kini pengaruh Barat yang kubimbangi itu begitu rancak menelan irama dan lagu anak bangsaku.

Aku tidak lagi mengerti apakah maknawi irama lagu anak bangsaku yang berkecamuk masa kini. Warisanku bagaikan hilang haluan dan kembali tercari-cari arah yang sudah aku dan rakan seangkatanku dirikan dulu.

Yang perlu anak warisanku lakukan sekarang hanyalah berusaha mengembangkan semula wadah yang sudah kami bina itu. Tapi kebanyakan mereka bagaikan terputus langsung daripada akar umbi seni irama dan lagu bangsanya sendiri.

Pada saat akhir usiaku, aku masih lagi menyanyikan lagu-lagu lamaku. Namun kali ini pentasku tidak lagi di kota besar tapi aku hanya dijemput menyanyi di pentas funfair di kampung-kampung.

Kota besar kini dipenuhi generasi muda yang lebih mesra dengan petikan tali gitar pemuzik Barat dan mereka tidak lagi menghargai gesekan biola orang timur.

Hari tua seorang biduan yang kulalui terlalu pedih. Pertembungan diri biduan lama dengan arus perubahan generasi baru bagaikan menamatkan riwayatku sebagai seorang biduan.

Sekarang orang tidak pernah lagi mendengar "Orkes Teruna Sekampung" atau "Ghazal Party Idrus Saidi Kepala Batas" tapi generasi sekarang hanya kenal "BRU", "A to Q", "Bearch" dan entah apa lagi.

Dalam keadaan itu, aku tidak punya sebarang simpanan. Pendapatan penyanyi 50-an dan 60-an tidak sehebat sekarang. Ia sekadar cukup untuk belanja hidup pada waktu itu.

Hartaku yang ada hanyalah piring-piring hitam lama yang mengandungi lagu-lagu nyanyianku dulu. Ke manapun aku pergi, itulah yang kubawa.

Pada saat akhir aku rebah di pentas funfair sebuah kampung, aku dihantar oleh orang yang budiman ke hospital di Kelang. Waktu itu di dalam kocek sakuku hanya ada wang kertas seringgit. Itulah saja hartaku pada saat nyawaku berada betul-betul di hujung maut.

No comments: