Pages

Wednesday, November 11, 2015

Pengadilan

Oleh Kromo

SEMENJAK tiga hari lalu, selepas Malim menyatakan hasrat hati, perasaannya sasau bagai nak rak dibuatnya.

Semenjak hari itu juga tidurnya, mata tidak pernah terpejam lantaran terganggu mimpi-mimpi ngilu yang merobek isi dadanya yang dulu penuh mengharap. Celiknya pula kabur seolah-olah diselaputi kabus tebal yang menjelmakan bayangan kehancuran hidupnya.

Hasrat Malim yang itu juga telah melambung hempas luluh kalbunya bagai seorang nelayan berkolek kayu pulai di laut luas bergelora.

Sambil kepalanya diramas-ramas," Tolong!" Keluhnya pendek dan diikuti "tolongggglah aku..." renggek rayunya panjang lagi memilukan mohon simpati. Setakat ini, itulah saja ikhtiar yang mampu dilakukannya berpuluh-puluh kali kerana ia tidak berupaya memikirkan ikhtiar lain akibat fikiran dan jiwanya menyasau.

Anehnya, walaupun dalam keadaan menyasau itu, tidak setitik pula air matanya terlerai kerana dirinya sendiri tidak mengerti jenis perasaan yang bergelodak dalam jiwanya. Geram ada, tapi bukan geram... kesal pun ada, tapi bukan kesal...marah juga ada, tapi bukan marah...pilu ada tapi bukan pilu...terhina ada, tapi tidak terhina...Leiza tidak tahu yang mana satu...semuanya ada.

Ceritanya bermula di suatu pagi minggu, di atas peraduan yang masih berbau harum pengantin tatkala gelora nafsunya sedang memuncak, Malim menghentikan peranannya. Dia tergamam. Seketika kemudian dalam keadaan sedikit kecewa, Malim memandang jauh melepasi bumbung banglonya bermulalah babak seterusnya.

Ketika itu Leiza merasakan seolah-olah nyawanya direntap keluar dari ubun-ubun kepalanya. Ia menjadi seolah-olah terkapai-kapai di atmosfera kosong yang gelap lagi pengap.

Perkahwinan Leiza dengan Malim atas dasar pandang terus kahwin, orang jiwa-jiwa kata, cinta pandang pertama.

Jefri yang mengenali mereka berdua adalah orang yang memangkinkan perkahwinan Leiza dengan Malim. Tidak sangka, mungkin melalui intuisinya, sebulan kemudian Malim membuat keputusan, Leiza adalah gadis pilihan yang dicarinya. Rupanya Malim tidak bertepuk sebelah tangan, rupanya gelombang hati Malim telah meresap ke jiwa Leiza. Gelombang kasih Malim disambut baik, kerana Leiza juga mengidamkan Malim supaya memperisterikannya. Sebagai seorang wanita yang sedang mencari sesuatu, harapan Leiza terhadap Malim bukanlah sebarangan! Dia telah menekadkan jiwa raga, hidup matinya adalah bersama Malim. Bukan kerana Malim usahawan muda disegani yang menduduki beberapa kerusi pengarah syarikat yang tersenarai dalam BSKL, bukan itu yang dia gilakan.

Dari pengamatan Leiza, Malim dikira mampu menjanjikan ruang berteduh dunia dan akhirat, inilah yang diazamkan. Bagi Leiza kedudukan Malim bonus buatnya.

Langsung tidak terlintas dalam lubuk fikiran Leiza Malim boleh bersikap begitu. Setelah tiga hari mencari punca perubahan cita rasa Malim, dia masih tidak nampak bayangan jawapannya. Diteliti dari segi jiwa raganya memang sukar dicari kekurangannya. Bukan saja tubuh badannya seperti bintang Bollywood yang menjadi kegilaan kini, kedudukannya sebagai Pengarah Perhubungan Awam sebuah syarikat multinasional yang berkelulusan Sarjana Ekonomi dan Falsafah dari Universiti Oxford adalah bukti dirinya memang bukan wanita sebarangan. Tidak keterlaluan ramai orang yang mengidamkan untuk menikmatinya sebelum, malahan sesudah ia dikahwini Malim!

Selepas tamat tingkatan tiga, Leiza dihantar ke England untuk mendapatkan pendidikan di sana. Suasana persekitaran menjadikan Leiza seorang wanita yang cukup lincah dengan perwatakan yang sungguh mempesonakan mengikut acuan Barat.

Semenjak tiga hari ini kemurungan yang ditampilkan menjelaskan kecelaruan jiwanya yang sangat tertekan. Perubahan ini sangat ketara sekali, lain dari selalu, dari seorang wanita yang lincah periang dan mudah mesra dengan penampilan yang meyakinkan menjadi sebaliknya. Tubuh pejal sebelum ini, susut, pucat, lesu, tak bermaya dan tidak terurus kini hilang seri.

Datin Salamah musykil dengan perubahan yang berlaku pada Leiza. "Kenapa pula Leiza ni..." hati Datin Salamah, Pengarah Perancang Tenaga Manusia tertanya-tanya akan gerangan musibah yang melanda.

Hari ini Datin Salamah cuba untuk bertanyakan masalah adik angkatnya itu. Diketuknya pintu bilik pejabat Leiza dengan berhati-hati. "Leiza... Kak Salamah ni..."Datin Salamah cuba mendapatkan perhatian Azie, tetapi Azie tetap membatu diri dalam biliknya. Puas dipanggilnya dan puas diketuknya, tiada reaksi. Puas dipusing-pusingnya tombol kunci pintu bilik pejabat Leiza, tetapi tidak dibuka.

Lama juga Datin Salamah menunggu dan mundar mandir di luar bilik pejabat Leiza. Pintu diketuk sudah, dipusing tombol kunci juga sudah, dipanggilnya sudah, dipujuknya sudah, ditunggupun sudah, tapi hampa... tiada reaksi dari Leiza, "Leiza...boleh buka pintu tak?" pujuk Datin Salamah sebelum membuat keputusan. Juga tiada jawapan, akhirnya Datin Salamah mengambil keputusan meninggalkan bilik itu dengan tanda tanya.

Lagi beberapa langkah sebelum sampai, kedengaran deringan telefon menjerit-jerit dari  biliknya. Datin Salamah mencepatkan langkah. Entah kenapa dia begitu tergesa-gesa ingin menjawab deringan telefon itu. Belum sempat daun pintu tertutup gagang telefon telah pun rapat melekap di mukanya "Kak, Leiza minta maaf..." suara yang kedengaran lesu diiringi tangisan yang tersekat-sekat menyayat hatinya.

"Tadi kakak nak jumpa Leiza, tapi," Datin Salamah berhenti di situ, kerana khuatir akan membuatkan hati Leiza kecewa apabila ia meneruskan ayatnya.

"Saya minta maaf kak. Bukan saya tak mahu buka pintu, tapi..."

"...Sebentar kakak datang."

Sebaik Datin Salamah melangkah masuk, Leiza meluru memeluk tubuh Datin Salamah yang berisi lemak lantas meraung sepuas-puas hatinya. Datin Salamah tergamam. Sebagai seorang yang banyak pengalaman, dengan tenang ia mengawal perasaan Leiza. Dipimpinnya Leiza duduk di sofa tamu dalam bilik itu. Didakapnya tubuh pejal langsing itu dengan kemas sambil mengelus- ngelus rambut hitam lebat separas bahu yang kepalanya terlentok ke dadanya.

Datin Salamah sengaja membiarkan Leiza menangis sepuas-puas supaya dia dapat melepaskan masalah yang berbuku di dadanya. Setelah dirasakan perasaan Leiza mula tenang, "Leiza..." kemudian Datin Salamah mendiamkan diri agak lama pula sambil menunggu reaksi Leiza yang berada dalam dakapanya. Walaupun tiada reaksi dari Leiza, tetapi Datin Salamah dapat merasakan keadaan sudah agak tenteram.

"Leiza, kakak pasti Leiza ada masalah...tapi..." sengaja Datin Salamah berhenti di situ. Masih lagi tiada reaksi dari Leiza.

Apabila tiada reaksi dari Leiza, Datin Salamah meneruskan kembali, "Kalau Leiza ada masalah beritahulah kakak. Insya-Allah kakak akan tolong. Bukankah Leiza menganggap saya sebagai kakak Leiza sendiri?"

"Leiza... jangan pendamkan masalah... nanti membarah yang akhirnya boleh membunuh diri sendiri..."

Setelah puas bibir tebal Datin Salamah yang bergincu merah lada memujuk, akhirnya "Kak..." tiba-tiba terdengar suara Leiza sayu sambil melepaskan diri daripada dakapan Datin Salamah.

"Leiza pun sudah tidak tertanggung lagi memikul pilu ini," merenung mata Datin Salamah sambil menghela nafas panjang lalu memaling muka ke arah luar. Sesekali sedunya terlepas juga.

"Bertenang Leiza..." perasaannya menjadi lebih sedih bila menatap wajah layu Leiza.

"Beritahu kakak, apa masalah Leiza... jangan simpan... kita kongsi bersama...semoga nanti dapat meringankan beban itu"

"Begini sebenarnya kak...", Leiza dengan nada hiba mula menceritakan masalahnya pada Datin Salamah. Datin Salamah dengan penuh khusyuk mendengarkan luahan hati Leiza sambil merenung tepat mata Leiza. Kepalanya terangguk dan sesekali digeleng-gelengkan. Tangannya tidak lepas memegang jari-jari Leiza dan sekali-sekali mengelus-ngelus rambut Leiza dengan penuh ihsan. Bila keadaan menjadi sayu,dipeluknya Leiza. Bila keadaan reda dilepaskan kembali tubuh langsing yang lemah itu. Dengan urutan satu persatu diceritakan musibah yang dialaminya tanpa diminta menjelaskan satu persatu, gambarannya sangat jelas. Datin Salamah turut terharu dengan masalah yang menimpa Leiza. Tetapi sebagai orang yang telah panjang melalui liku hidup menyebabkan fikirannya tidak pendek.

"Leiza! Setiap masalah pasti ada penyelesaian.." tegas Datin Salamah.

Leiza tertegak sedikit, seolah-olah baru terfikir falsafah yang paling asas itu.

"Yalah kak..." keyakinan mula tergambar di wajah Leiza.

"Tapi macam mana ya kak?" Leiza cuba mencari jawapan daripada Datin Salamah.

"Leiza, dulu kakak pun pernah mengalami sebagaimana yang Leiza alami ini...Datuk tu...". Datin Salamah diam tiba-tiba. Pandangannya dilemparkan jauh ke luar, mengingatkan perangai suaminya. Leiza merenung Datin Salamah, mendorong semangatnya kembali pulih.

"Macam ini Leiza, kita pergi jumpa bomoh dan kita minta ubatkan si Malim tu..." Menurut Datin Salamah bomoh itu cukup pandai kerana dia sendiri pernah berjumpa bomoh semasa mengubati suaminya yang mula miang dulu.

Mereka berpandangan. Bibir nipis yang lesu itu bergerak perlahan-lahan dan terbuka sedikit menampakkan giginya yang teratur putih mula kelihatan merah kembali. Senyuman Leiza yang pertama dalam seminggu ini.

Pada malam Jumaat yang dijanjikan Leiza dan Datin Salamah ke rumah Bomoh yang dimaksudkan itu.

Nasib mereka baik, kerana semasa mereka sampai di rumah bomoh itu belum ada orang lain sebagaimana malam-malam lain, kalau waktu seperti itu pasti sudah ramai yang menunggu.

Dengan suara yang keluar dari tekak, Tok Bomoh yang berambut putih separas bahu dengan janggut panjang sejengkal mempersilakan mereka menyampaikan hajat. Leiza tergamam. Leiza memandang Datin Salamah, ia tidak tahu bagaimana hendak memulakan ceritanya. Apabila melihat reaksi Leiza, Datin Salamah cuba menjadi jurubicara Leiza.

"Begini Tok Bomoh, adik saya ni ada masalah dengan suaminya... mereka baru saja berkahwin, baru seminggu," jelas Datin Salamah dengan teratur sambil memandang Leiza.

"Ohhh...kamulah yang ada masalah, eloklah kamu saja yang menceritakan masalah kamu tu," Tok Bomoh bersuara garau itu merenung Leiza dengan matanya separuh tertutup.

Leiza menjadi tidak selesa, ditukar duduknya dari bersimpuh menjadi bersila dan bersimpuh kembali.

Untuk mententeramkannya Datin Salmah menggengam tangan Leiza yang sejuk itu.

Agak beberapa lama kemudian, dengan rasa gementar Leiza menguatkan jiwanya memberitahu masalahnya. Lama kelamaan Leiza mula yakin dan terus lancar menceritakan masalahnya satu persatu.

"Kenapa suami awak jadi begitu?" tanya Tok bomoh dengan suara garaunya yang seolah-olah keluar dari kerongkongnya.

"Tak tahulah Tok bomoh... saya beri dia cukup." jelas Leiza tegas.

"Tak apa...ada bawa pengerasnya?" pinta Tok bomoh.

Datin Salamah segera mengunjukkan seulas pinang dan sehelai daun sirih dengan duit sebanyak dua sen kepada tok bomoh. Ini dia tok.

Tok bomoh mengambil semua pengeras itu dan dimasukan ke dalam mangkuk tembaga bertulisan jawi yang berisi air. Tok bomoh merenung dalam mangkok itu sambil membaca sesuatu. Selepas dibacakan jampinya, air dalam mangkuk tembaga itu ditiup sambil berkata, menjelmalah berulang-ulang kali.

Tok bomoh memejamkan matanya, selepas beberapa lama dibuka matanya semula dan merenung ke dalam air dalam bekas tembaga itu. Tok bomoh menggeleng-gelengkan kepalanya lalu memandang ke arah Leiza. Kali ini dengan matanya yang terbuka luas. Leiza menjadi cemas apabila dipandang oleh Tok bomoh sebegitu rupa. Akukah yang bersalah? hatinya ragu.

"Saya tidak akan mengubatkan suami awak," kata tok bomoh tegas. Leiza menjadi pucat, mukanya biru, dia dan Datin Salamah berpandangan kehairanan mengapa tok bomoh tidak mahu mengubati Malim.

"Kenapa tok, kenapa?" tanya Datin Salamah agak cemas.

"Begini... sebenarnya suami awak tidak puas hati...bukan puas hati apa, dia rasa dia tertipu."Tok bomoh berhenti.

Leiza dan Datin Salamah resah tidak faham "...seperti kita membeli barang baru, sepatutnya barang tersebut mestilah belum dipakai lagi... begitu juga macam kita kahwin seharusnya yang baru mestilah belum dipakai, oleh sebab itu saya rasakan punca dia nak kawin lagi sebab dia nak barang yang baru!"

Leiza longlai lantas pengsan, sementara Datin Salamah terperosok lemah.

No comments: