Pages

Wednesday, November 18, 2015

Giliran

Oleh Ramlan Abd Wahab

GILIRANNYA yang terakhir. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Kalau giliran diasaskan kepada jujukan huruf abjad di pangkal nama, maka dialah sepatutnya orang yang pertama diwawancarai, kerana namanya Abdul Abdah bin Ahmad. Tiada siapa lagi yang setiap patah namanya bermula dengan huruf A. Oleh itu Abdul Bakir tidak sepatutnya mendahului giliran. Kalau pun berlaku kesilapan semasa susunan dibuat, dia sekurang-kurangnya diberi giliran ke lima, kerana hanya ada lima orang sahaja yang nama masing- masing bermula dengan huruf A, termasuk dirinya. Tetapi gilirannya adalah yang terakhir.

Kalau pun disusun berasaskan kelas yang diajar, gilirannya tidak mungkin yang penghabisan, kerana dia mengajar dan sekali gus menjadi guru kelas Tingkatan 4A di sekolahnya. Maka jika dia didahului oleh Puan Mariam, Abdul Bakir, Rashid Mean, Hajjah Wan Fatimah, dan Chia Kee Song, tidaklah menghairankan kerana mereka mengajar kelas Tingkatan Lima. Demikian juga, tidak menghairankan jika Puan Ainon, Latif Sadeli, Razak Hamid, dan L. Letchumy mendahului gilirannya, jika guru-guru yang mengajar di tingkatan yang lebih rendah didahulukan, kerana mereka mengajar di kelas Tingkatan Satu. Tegasnya, sama ada guru yang mengajar di tingkatan yang lebih tinggi didahulukan, mahu pun sebaliknya, gilirannya tidak mungkin yang terakhir. Tetapi gilirannya ini yang terakhir.

Dia juga tidak sepatutnya menjadi guru yang terakhir diwawancarai daripada tujuh puluh empat orang rakan sejawatannya, sekiranya tempoh perkhidmatan menjadi faktor yang menentukan giliran. Berbanding yang lain, dialah di antara sepuluh orang guru yang berkhidmat lebih daripada lima belas tahun. Usia perkhidmatannya sudah menjangkau dua puluh tahun. Berasaskan faktor ini, dia sepatutnya mendapat giliran ketiga, kerana Rashid Mean dan Latif Sadeli saja yang telah berkhidmat lebih lama daripadanya. Tetapi gilirannya yang terakhir.

Malah, kalau berdasarkan umur, dia sewajarnya mendapat giliran pertama, kerana dialah guru yang paling tua. Walau pun Rashid Mean dan Latif Sadeli berjaya memasuki universiti sebaik sahaja tamat persekolahan masing- masing, sedangkan dia terpaksa mengambil peperiksaan Higher School Certificate (HSC) berulang tiga kali sebelum menjejakkan kakinya ke menara gading. Tambahan pula, selepas mendapat ijazah, dia tidak terus menjadi guru.

Selama dua tahun dia berkecimpung dalam bidang kewartawanan, tetapi sikapnya yang terlalu terburu-buru mencari kebenaran tanpa mengendahkan kesan kegopohannya itu kepada pihak yang disyakinya dan yang kemudian terbukti tidak bersalah, menyedarkannya bahawa dia tidak mungkin menjadi seorang wartawan yang adil dan disenangi semua pihak. Lalu dia memilih profesi keguruan yang lebih serasi dengan idealismenya, iaitu untuk mencari dan menyebarkan kebenaran, serta menyemarakkan dunia intelektualisme. Akibatnya dia menjadi guru lima tahun lebih lewat daripada sepatutnya. Bagaimana pun Rashid Mean dan Latif Sadeli tetap menghormatinya sebagai rakan sejawatan yang lebih tua. Demikianlah dengan guru yang lain. Dalam majlis apa sekali pun, dialah yang didahulukan. Apabila Pengetua mahukan pendapat guru mengenai sesuatu isu dalam sesuatu mesyuarat, dialah yang diminta mewakiii guru-guru lain. Apablia sampai waktu untuk menikmati jamuan, gilirannya untuk mengambil makanan biasanya didahulukan. Tetapi untuk wawancara ini gilirannya yang terakhir...

Seolah-olah pendapatnya kini sudah tidak bernilai lagi, atau sekurang- kurangnya sudah tidak sepenting pendapat 74 orang guru yang lain, atau pun pandangannya sudah tidak relevan lagi, dan prinsipnya dalam melaksanakan tanggung jawab sudah ketinggalan zaman sehingga wajar diketepikan supaya tidak mencemari amalan pendidikan terkini. Seolah-olah kewujudannya kini hanyalah sebagai hampas atau sehelai kain lusuh. Maka untuk mengelakkan pendapat dan pandangan yang boleh menghalang langkah ke alaf baru dalam pendidikan, dia mestilah dipinggirkan dengan memberi giliran yang terakhir.

Tetapi adilkah pendapat dan pandangannya dipencilkan begitu sahaja? Sedangkan tanggungjawab yang diberikan kepadanya pun sudah mewajarkan dirinya diberi giliran awal. Selain diamanahkan sebagai guru disiplin, dia juga ditugaskan menyelaraskan aktiviti kokurikulurn sejak tiga tahun kebelakangan ini. Dialah yang bertungkus lumus meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam bidang sukan, kegiatan berpersatuan, dan aktiviti pasukan pakaian seragam. Dialah yang berusaha mencetuskan kesedaran bahawa kecemerlangan dari segi akademik semata-mata tidak semestinya menjamin kejayaan hidup seseorang pada masa hadapan, apatah lagi jika seorang itu tidak mempunyai nilai kemanusiaan yang murni, iaitu nilai yang boleh dimantapkan melalui aktiviti kokurikulum. Apablia ada ibu bapa atau penjaga pelajar menyuarakan kebimbangan prestasi akademik anak masing- masing yang bergiat aktif dalam bidang kokurikulum, dialah yang diminta berhujah mempertahankan kewajaran apa yang sedang dilaksanakan dan meredakan kebimbangan itu. Dialah yang selalunya didahulukan sebagai perantara di antara ibu bapa atau penjaga dengan pihak pentadbir sekolah. Tetapi gilirannya yang ini giliran terakhir.

Sesekali tergerak juga hatinya hendak bertanya rakan-rakan lain tentang kriteria sebenar yang digunakan bagi menentukan giliran untuk diwawancara itu. Tetapi gerak hatinya itu tidak sekali pun ditunaikan kerana dia bimbang ada jawapan yang bakal mendukacitakan dirinya. Misalnya, kalaulah susunan giliran itu ditentukan secara undian rawak, maka kepada kawan- kawan yang mendahului gilirannya, dia akan dianggap sebagai kurang bernasib baik, sekurang-kurangnya 74 kali tidak bernasib baik, kerana daripada 75 orang guru termasuk dirinya, dia mendapat giliran yang terakhir. Walau pun sejarah hidupnya sehingga kini penuh dengan pelbagai dugaan dan cabaran yang menguji ketabahan dan keikhlasannya sebagai insan, namun dia tidak reda ada sesiapa menganggapnya kurang bernasib baik. Dia sendiri sudah berpuluh tahun berjuang dengan perasaan dan fikirannya supaya anggapan sedemikian tidak sesekali terlintas di mindanya.

Sememangnyalah, kalau seseorang yang mempunyai lima orang anak yang kesemuanya mengidap barah leukemia sejak kecil, dan kemudian meninggal dunia seorang demi seorang, dianggap sebagai kurang bernasib baik, maka dialah orangnya. Demikian juga, kalau seseorang yang mempunyai isteri yang hilang upaya kewarasan setelah menderitai tekanan perasaan kerana kematian lima orang anak secara bergilir-gilir, maka dialah juga orangnya. Seterusnya, kalaulah seseorang yang tidak berkesempatan untuk mengumpul kemewahan, sebaliknya terpaksa berhempas pulas membiayai kos rawatan anak- anak dan isteri, di samping mengorbankan setiap waktu yang terluang untuk menjaga dan membelai anak-anak yang kini sudah tiada lagi dan isteri yan tidak kunjung sembuh sepenuhnya, dianggap kurang bernasib baik, maka dialah orangnya. Tetapi dia tetap tidak mengaku nasibnya kurang baik. Penderitaan yang dialami oleh orang-orang lain memperteguh azamnya untuk terus bersyukur.

Lebih lebat kesyukurannya kerana dia berkesempatan dan berpeluang menunaikan cita-cita menjayakan masa depan anak-anaknya kepada anak-anak orang lain. Dia juga berkesempatan dan berpeluang memberikan keriangan yang ingin diberikan kepada anak-anaknya kepada anak-anak orang lain. Kesyukuran itu dibisikkan kepada isterinya setiap hari. Mudah-mudahan isterinya juga akan ikut bersyukur dan pulihlah kembali kewarasannya.

Justeru, kalaulah kecemerlangan anak-anak, ketrampilan isteri, dan kemewahan harta benda yang menjadi penentu giliran, maka dia mesti menerimanya dengan ikhlas. Hakikat hidupnya bukan lagi suatu ilusi atau pembohongan. Sememangnya tiada sebarang apa pun yang hendak dimegahkan. Rumahnya hanyalah rumah lama warisan mentuanya. Keretanya keluaran tahun 70-an yang telah pudar catnya. Pakaiannya pun bukan yang terbaik. Dia tidak mampu membeli rumah, kereta dan pakaian terbaru, kerana banyak yang perlu dibelanjakan untuk merawat dan memulihkan isterinya. Oleh itu tidak mengapalah dia mendapat giliran yang terakhir. Dia tidak akan berasa malu, kerana perasaan itu telah dikuburkan bersama anak-anaknya.

Kalaulah giliran terakhir itu adalah manifestasi takdir yang dikhususkan kepadanya, maka dia reda, seperti keredaannya ke atas kematian anak- anaknya dan penderitaan batin yang ditanggung isterinya. Dia akui bahawa dia bukanlah guru yang terbaik. Walau pun dia berusaha sedaya upaya memperbaiki diri dari semua aspek, khususnya dari aspek keguruan, dan kemanusiaan, namun dia tetaplah insan yang lemah.

Tetapi jika dia digilirkan sebagai orang yang terakhir kerana prestasi perkhidmatannya yang paling rendah, maka alangkah hina dirinya. Kalau benar demikian, maka dia akan meletakkan jawatan. Dia tidak akan meminta dikasihani kerana sudah hampir 20 tahun dia dikasihani. Bukan tidak ada pelajarnya yang gagal. Malah ada bekas pelajarnya yang diberitakan tertangkap kerana melakukan jenayah. Tetapi dia masih jadi guru tanpa dijatuhi sebarang hukuman, walau pun hatinya terluka, dan rasa sesal mendesah-desah di dalam dadanya. Seolah-olah yang tertangkap itu ialah anaknya sendiri. Dia juga tidak akan meminta diberi peluang kerana peluangnya untuk membuktikan kegigihan dan kemampuannya sebagai guru sudah terbuka sejak hampir 20 tahun yang lalu. Maka kepastian tentang ini perlu diperolehi. Apakah benar, gilirannya terakhir kerana prestasi perkhidmatannya yang paling rendah?

Sebaik tercetus soalan itu di dalam fikirannya, dia terbayangkan wajah kelima-lima orang anaknya yang sudah tiada lagi, disusuli wajah isterinya yang pucat dan lesu. Betapalah kecewa anak-anaknya kerana kebahagiaan dan kejayaan yang mereka impikan tidak berjaya diberikannya kepada anak-anak orang lain. Apatah lagi kepada rakan-rakan mereka yang pernah mereka mesrai walau pun dalam tempoh yang begitu singkat. Dan adakah lagi makna kesyukuran yang boleh dibisikkan kepada isterinya? Tiba-tiba sahaja air matanya menitis, dan sendunya seperti tidak tertahankan.

"Kenapa cikgu? Cikgu sakit?"

Tersentak dia apabila terasa bahunya ditepuk perlahan. Seketika itu juga tangannya pantas mencabut helaian tisu dari kotak di hadapannya lalu menyapukan ke matanya. Kemudian dia berpaling menghadap Nordin yang bagaikan terpinga-pinga.

"Tak ada apa-apa Din. Cikgu mungkin teralip sekejap. Maaflah kerana tak sedar Din sampai."

"Ehh tak apa Cikgu, sayalah yang patut minta maaf kerana mengganggu cikgu. Sebenarnya saya datang nak beritahu yang giliran cikgu dah sampai, Pengetua jemput cikgu ke biliknya sekarang."

Suara lembut dengan nada hormat dari Nordin itu tidak meresapkan rasa sejahtera ke dalam dadanya, sebaliknya menjana debaran kencang yang mendesak-desak. Pada masa yang sama dia dengan tidak semena-mena jadi bimbang. Apakah sebentar lagi dia akan mendapat kepastian seperti yang diharapkannya beberapa ketika tadi, yakni beberapa minit sebelum Nordin sampai. Walau bagaimana pun dia berjaya juga memendamkan perasaannya seketika sambil berkata, "Terima kasih Din. Kau pulanglah ke pejabat, Beberapa minit lagi saya sampai."

Dibiarkannya Nordin, kerani yang sudah berusia 30 tahun ini melangkah keluar dari bilik guru, sebelum dia sendiri bangun dan mengorak langkah ke bilik pengetua. Semakin jauh dia melangkah semakin kencang debaran dadanya, sehinggakan bagi meredakannya dia terpaksa berdiri tanpa berbuat apa-apa untuk seketika di hadapan pintu bilik pengetua. Disedutnya nafas dalam-dalam berulangkali, dan selepas sedutan dan hembusan yang kelima, dia mengetuk daun pintu di hadapannya. Apabila terdengar suara menjemput masuk, daun pintu dikuakkannya, dan dia melangkah masuk.

Jarak yang begitu dekat dengan meja pengetua, dirasakannya begitu jauh. Debaran dalam dadanya kencang semula. Bermacam-macam lintasan mengacaubilaukan mindanya. Kalaulah gilirannya yang terakhir ini benar- benar bersebabkan prestasi perkhidmatannya yang paling rendah, bermakna segala usahanya selama ini sia-sia belaka. Mungkin dia saja yang beranggapan bahawa segala yang diusahakannya itu memenuhi harapan orang lain atau menepati amanah dan tanggung jawab profesionalnya sebagai guru. Mungkin juga dia keterlaluan dalam mengusulkan pelbagai kaedah pemelajaran dan pengajaran, sehinggakan ada beberapa guru yang menganggapnya mengkhianati konvensi pendidikan. Dia juga dikatakan melanggar prinsip formaliti pendidikan dengan menganjurkan kaedah-kaedah pemelajaran dan pengajaran yang berorientasikan penerokaan dan penyelidikan di lapangan. Dia jugalah yang pernah dituduh tidak mengajar berasaskan kurikulum sepenuhnya, kerana mengusulkan supaya pengajaran dilaksanakan secara interaktif dan intergratif tanpa dikongkong oleh kandungan kurikulum, tetapi menjadikan kandungan kurikulum itu sebagai panduan dan rujukan.

Dialah juga yang mencadangkan supaya teori baru mengenai perkembangan keintelektualan diserapkan ke dalam proses pengajaran dan penilaian. Untuk memantapkan rasional cadangannya itu, ditelaahnya buku-buku The Theory of Multiple Intelligence oleh Howard Garder, Emotional Intelligence oleh Daniel Goleman, dan beberapa sesi perbincangan dan kursus untuk meningkatkan kemahiran berfikir di kalangan guru, supaya akhirnya kemahiran itu dapat disebarkan secara berkesan kepada pelajar. Lantaran cadangan dan tindakannya itulah Rashid Mean, Razak Hamid, dan Latif Sadeli pernah mengecamnya sebagai guru yang suka menyusah-nyusahkan perkara yang senang, walau pun kemudiannya merekalah yang menjadi penyokong kuat segala usaha dan tindakannya. Tetapi mereka bertiga itu bukan pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, bukan mewakili semua ibubapa dan guru dan tentunya bukan pengetua.

Semua lintasan itu tiba-tiba terhenti sebaik sahaja dia melihat pengetua berdiri dan tersenyum menyambut kehadirannya. "Selamat datang cikgu, sila duduk."

Dia tidak serta merta duduk apabila sampai di kerusi yang tersedia di hadapan meja pengetua, sebaliknya melangkah menghampiri meja sambil menghulurkan tangannya ke arah pengetua yang masih berdiri. Salamnya disambut mesra oleh pengetua. Kemudian, sebaik dilepaskan oleh pengetua, tangannya itu dihulurkan pula kepada dua orang lagi yang tidak dikenalinya yang duduk di sebelah menyebelah kerusi pengetua.

"Ini saya perkenalkan, Tuan Haji Jaini Saijim dan Encik Zulkifli Omar, pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan. Silalah duduk cikgu".

Dia dengan tertibnya berundur ke kerusi yang tersedia dan duduk sambil menganggukkan kepala tanda hormat. Pandangan ceria pengetua dan dua orang pegawai itu melegakan sedikit debaran jantungnya. Tetapi kegelisahannya tetap mendesah-desah. Seperti tidak sabar lagi dia hendak mendengar soalan yang pertama dan menjawabnya, supaya dengan segera dia dapat mentafsir reaksi dan penilaian pengetua dan dua orang pegawai dari Kementerian Pendidikan itu terhadap pemikiran dan dirinya.

`Baiklah, kepada tuan-tuan berdua inilah dia Cikgu Abdul Abdah bin Ahmad. Saya berpendapat tidak perlulah lagi saya memperkenalkan beliau, kerana 74 orang guru telah memperkenalkannya kepada kita secara bergilir-gilir selama dua hari berturut-turut. Saya juga berpendapat, tidak perlulah lagi kita mengajukan pelbagai soalan kepada beliau kerana 74 orang guru itu juga telah menghuraikan kepada kita akan sikap, dan cita- cita beliau. Prestasi perkhidmatan beliau juga sudah dibentangkan oleh 74 orang guru tersebut kepada kita. Daripada apa yang telah kita dengar, saya yakin bahawa pencalonan saya ini tepat. Saya yakin Cikgu Abdul Abdah bin Ahmad ini wajar diiktiraf sebagai guru cemerlang, dan sekali gus amat layak dinaikkan ke Gred DG2, kalau pun belum ada kekosonggn untuk beliau menjadi pengetua."

Belum pun sempat dia menganalisis selengkapnya maksud kata-keta pengetua itu, kedua pegawai dari Kementerian Pendidikan dilihatnya mengangguk-anggukkan kepala dan tersenyum bangga ke arahnya.

No comments: