Pages

Tuesday, November 24, 2015

Peristiwa di Jeram Kol

Oleh Zakaria Ali

HUSSAIN perhatikan mata Mak Kumah dan Pak Sayap beralih ke lantai, enggan bertembung dengan pandangannya.

"Mak Cik tak mau Hamidah dapat sukulai ke lantai," dia beranjak dan menapak turun tangga. Dia berasa amat luka sebab mengikut persetujuan sulit antara dia dengan Hamidah, ibu bapanya bersetuju menerima peminangannya. Begitu yakin dia akan keputusan mereka itu, dia sendiri pergi bertanya, tanpa peranan orang tengah untuk merisik.

Lorong becak dari tangga rumah ke tebing sungai sejauh 15 meter. Hussain melangkah berat, malunya tidak tertahan.

Hussain berdiri di tebing buat seketika, menahan sebak. Dia menoleh ke belakang, kalau-kalau Hamidah ada di serambi, atau di tingkap dapur. Dia hanya nampak bentuk-bentuk kabur, berpetak-petak oleh air matanya yang jatuh berderai.

Hussain melepaskan ikatan botnya, melompat masuk, menghidupkan enjin, dan bergerak terus, menuju arah ke hulu. Dan botnya berselisih dengan bot Sikli, orang yang dia benci dan yang benci dia.

Meskipun dibesarkan di tebing Sungai Tembeling, Sikli amat takut kepada jeram. Tiap kali bot yang dia naik, atau yang dia pandu, melintasi kawasan jeram dia akan mengangkat kedua-dua tangannya ke atas seolah-olah bersedia untuk menghadapi kemungkinan botnya karam. Dan dia tak pandai berenang macam mana pun cuba belajar. Beberapa kali dia diselamatkan apabila hampir lemas meskipun air tidak sedalam mana. Dan Hussain tahu, punca benci Sikli itu ialah Hussain cepat berenang, dan tahan lama menyelam. Kelebihan Hussian inilah yang amat menyakitkan hati Sikli. Sikli tahu melintas jeram itu kepada Hussain adalah sukan yang menyeronokkan.

Dan Hussain mengerti, hatinya hancur lebur dan berselisih pula dengan Sikli yang menuju ke rumah Hamidah adalah petanda lukanya akan terus berpanjangan.

Penduduk sepanjang Sungai Tembeling, dari Jerantut di hilir hingga ke Kampung Batu Pecah di hulu, mulai mendengar berita sedih itu dengan perasaan cemas bercampur kecewa. Di kedai kopi di Kampung Tilam yang ramai dikunjungi penduduk pada pasar Jumaat untuk menjual dan membeli barang- barang keperluan harian, percakapan tertumpu kepada nasib Hussain. Penolakan keluarga Hamidah itu langsung tidak disangka, sebab semua orang bersetuju, kedua-dua kekasih itu amat padan, sungguhpun umur Hamidah sudah 34 tahun, 10 tahun lebih tua daripada Hussain.

Dan Mak Kumah dan Pak Sayap jarang membenarkan Hamidah keluar rumah, khuatir diganggu orang. Dan Hamidah sejak kecil lagi memang menangkap perhatian umum: Dia rupawan yang amat putih. Sekejap saja berjemur di tengah halaman, atau di kebun getah, atau turun ke dalam bot dari rumahnya di Kampung Matdaling hendak ke Kampung Tilam sejauh 20 minit itu, kulitnya terbakar merah.

Dan sejak dulu lagi Kumah dan Pak Sayap bergantung kepada Hussain untuk mencari ubat-ubat dedaun hutan yang kemudian ditumbuk lumat dan disapukan kepada kulit Hamidah untuk memulihkannya kembali. Atau Hussain membeli ubat singse di Jerantut yang diberinya sendiri kepada Hamidah, satu kesempatan untuk mereka berdua-duaan buat seketika dalam perahu yang berlabuh di depan rumah Pak Sayap.

Beza antara Hussain dan Hamidah ibarat siang dan malam: Hussain hitam legam. Kulitnya telah dibakar mentari sejak usianya 10 tahun lagi bila dia mula-mula mengendalikan bot penumpang, yang terdiri daripada orang kampung dan pelancong dalam dan luar negara. Memang Hussain sedar akan hakikat ini yang tidak boleh diubah macam mana pun.

Itulah maksud Mak Kumah - "lain dari yang lain" sebab seih, bibir berkilat, tulang pipi tertonjol, mata kecil, dahi sempit, bahu bulat, belakang bongkok, badan kurus lamping, tinggi hampir 6 kaki, memang lain, terpacak tinggi di atas dataran kepala yang bersongkok, berkopiah, bertudung, tak bertudung yang berduyun-duyun di Kampung Tilam pada hari Jumaat.

Orang kampung semuanya mengeluh pilu. Sehitam-hitam orang pun dia ada hati. Dan hati ltu boleh jatuh cinta. Dan seputih-putih orang pun dia ada hati. Dan hati itu juga boleh membalas cinta. Sebaik-sebaik mana pun Mak Kumah dan Pak Sayap mereka terfikir juga apa nanti kata orang sebab beza Hussein dan Hamidah itu jauh sangat.

Selepas peristiwa itu, Hussain menyorok di rumah datuk sebelah ibunya di Kampung Jeram Perahu, yang terletak paling hulu di bukit bersempadan dengan Terengganu.

Kemudian tersebar cerita Hussain menjual botnya dan berhijrah ke Kuala Lumpur, bekerja di sebuah hotel lima bintang sebagai seorang bell boy.

Tiga bulan selepas penolakan peminangannya itu, Hamidah telah dilamar oleh Sikli yang berasakan inilah kemenangannya yang terbesar dalam rangkaian kemenangannya yang lain yang bermula dengan kematian bapa Hussain dalam satu kemalangan lalu lintas sungai dekat Jeram Kol.

Ketika itu senja, hujan renyai-renyai. Bot bapa Hussain mudek dari hilir, dan bot bapa Sikli pula turun dari hulu, sama-sama laju. Lazimnya sesudah Maghrib pemandu berhenti bekerja sebab bot tiada lampu; lampu picit kurang jelas dalam hujan renyai-renyai. Pemandu main agak-agak dalam gelap. Di selekoh Jeram Kol yang amat meruncing itu, bot mereka bertembung, haluan kayu merbau bot bapa Sikli yang runcing itu menusuk perut bapa Hussain, tembus. Mangsa meninggal serta-merta. Mujur ketika itu dua bot berisi suku Orang Asli sedang berlalu. Merekalah yang menolong mengangkat mayat sampai ke Kuala Tahan yang pihak berkuasa, sesudah berunding dengan sanak saudara kedua-dua keluarga bersetuju tiada laporan dibuat. Kes itu senyap begitu saja.

Sikli terus mengejek, memperli, mengusik Hussain yang memang enggan bergaduh. "Antara malam dan manggis masak, mana hitam?" tanya Sikli kepada kawan-kawannya di jeti, ketika Hussain sedang berlalu dengan botnya. Hussain buat pekak. Bertambah pula, sesudah Hussain menjadi yatim dia pendiam. Perubahan ini tidak dihiraukan sangat oleh penumpang yang sudah kenal dia. Dan bencinya terhadap Sikli dipendamnya sehingga dia terngigau- ngigau. Dia dapat membayangkan satu saat dia sanggup membunuh Sikli, menghunus parangnya sehingga terburai perut musuhnya itu. Tapi apabila dia berhadapan dengan Sikli di jeti di Kuala Tahan, dia diam, memandang ke arah lain buat tak tahu.

Di Kuala Lumpur, Hussain dapat berita, Sikli dan Hamidah telah berpindah ke Felda dekat Rompin di mana Sikli bekerja sebagai pembawa traktor bergaji harian. Hidup mereka renggang sebab Hamidah sukar menyesuaikan diri. Selang setahun mereka bercerai tanpa anak.

Hussain mendapati hidup membujang di KL itu ada faedahnya. Kongsi rumah dengan pekerja hotel yang lain menjimatkan belanja. Makanan lebihan hotel yang sedap-sedap dan mahal-mahal setiap hari sehingga naik muak. Jadi gajinya hampir tak berusik. Maka simpanannya bertambah sehingga pada suatu hari dia agak terperanjat jumlahnya lebih RM10,000.

Glamour bekerja di KL kian menghilang. Sesak jalan raya, bahang ekszos, banjir kilat, shif yang tak menentu, teman bilik yang cepat tangan dan mimpi berulang-ulang mengenai Sungai Tembeling yang nyaman dan sunyi, membuat Hussain berfikir untuk balik ke kampung, menjadi pembawa bot kembali. Tambah pula, pelancong Eropah dan Jepun yang dia layan selalu bercakap memuji betapa cantiknya Sungai Tembeling, betapa luar biasanya Taman Negara.

Dengan senyap-senyap Hussain pulang ke Jerantut dan membeli sebuah bot berenjin 40 kuasa kuda. Senang saja Hussein menyesuaikan diri dengan kerja lamanya; ramai penumpangnya masih yang itu-itu juga, mesra, yakin, ramah. Meskipun Hussain sedikit saja menceritakan mengenai pengalamannya bekerja di KL, orang sepanjang Sungai Tembeling tahu dia sudah balik, pembawa bot yang boleh diharap.

Membawa balik 15 perkhemah dari universiti Pulau Pinang dari Kg. Teluk Kedembar ke Kuala Tahan, Hussain mengambil masa lebih lima jam seperti sepatutnya. Kumpulan penumpang kerap sangat suruh dia berhenti untuk mengambil gambar himpunan pokok ini dan itu, batu merah, hijau dan merah, malah sekumpulan gajah liar yang menyeberang sungai dekat Jeram Panjang.

Sesudah penumpang mendarat, maka Hussain berpatah balik ke rumahnya di Kampung Batu Pecah. Waktu sudah senja maka dia berhenti di restoran terapung untuk makan terlebih dahulu. Apabila dia kembali dia ternampak ada seorang penumpang duduk di haluan botnya. Cahaya lampu dari tingkap restoran hanya menunjukkan sebuah bentuk yang membongkok, tangannya berehat di atas sebuah beg.

Hussain patuh kepada adat di Sungai Tembeling, yakni, pemandu bot tidak bertanya penumpang dia mahu ke mana. Hanya apabila sampai di kampungnya baru dia suruh pemandu menyusurkan botnya ke tebing.

Hussain semacam cam bentuk tubuh itu tapi dia diam. Dan tiga kali dia membawa botnya dekat ke restoran terapung supaya lampu-lampu elektrik ltu dapat menerangkan bentuk tubuh itu. Seorang tuan punya restoran itu kebetulan menyuluh lampu picit berkuasa tinggi ke arah Hussain, dan kemudian ke arah penumpangnya yang tinggal. Apa dia sangka itulah yang benar: Sikli.

Perjalanan selama lima jam itu senyap. Hussain bergantung kepada nalurinya untuk mengikut kawasan air yang dalam. Kadang-kadang dia menyusur ke tebing, terutama di kawasan yang agak dangkal. Untuk mengelak tunggul atau kumpulan kerbau yang berkubang, dia kerap juga memesong sampai ke tengah sungai hingga terus ke tebing yang di sebelah.

Beberapa kali botnya merintasi air yang cetek sehingga enjinnya tersangkut. Maka Hussain pun melompat turun meskipun di tengah sungai. Tapi airnya hanya setakat lutut. Sikli beranjak pun tidak untuk menolong menolak bot.

Hussain tidak kisah sangat dengan air cetek sebab bahayanya kurang.Yang berbahaya ialah kawasan jeram waktu malam sebab tak nampak batu: mula-mula Jeram Nusa, kemudian Jeram Dua, Jeram Teras, Jeram Jeduri, Jeram Panjang. Hussain perhatikan dengan geli hati, Sikli tetap mengangkat kedua-dua tangannya, terkapai-kapai, tak ubah seperti dulu.

Hussain menyumpah di dalam hati, tapi entah kepada dirinya entah kepada Sikli. Satu sudut hatinya ingin membalas dendam; satu lagi sudut menolak. Dia tak punya sebab untuk membawa Sikli balik kampung; tapi adat mengajar dia pantang meninggalkan penumpang. Otaknya puas berpulas memikirkan, tentu sekali keputusan yang dibuat oleh Mak Kumah dan Pak Sayap dahulu itu adalah wajar. Jatam legam.

Hussain enggan menjadi pendendam.

Hussain yang sekarang bukan Hussain yang dulu.

Hati Hussain sekarang sudah berubah meskipun kulitnya tidak.

Sampai di Jeram Kol, kabus tebal menurun, angin kencang hujan menumpah tiba-tiba air naik mendadak, arus dari hulu semakin keras. Pukulan ombak di batu-batu Jeram Kol tinggi mengganas, berbuih-buih, memercik-mercik. Hussain memutar minyak melawan arus yang memperlahankan botnya. Datang sebaris gelombang yang besar yang terus menelan haluan bot sehingga ia terpesong. Dinding bot tergeser dan kemudian terlanggar barisan batil. Depan bot terlambung dan terjatuh semula. Lunas bot terhempap ke atas ketul batu besar yang runcing. Bingkai bot di tengah pecah dua.

Hussain nampak Sikli terhumban ke dalam air yang bergelora. Sikli menjerit meminta tolong dengan kedua-dua tangan terangkat-angkat ke atas. Kemudian dia tenggelam tapi timbul semula, meraung:

"Tolong Hussain. Maafkan aku,"

Hussain juga tergelincir tapi tangannya menggenggam pemutar minyak. Hussain terasa tangan Sikli meraba lengannya yang basah dan licin itu, membiarkan saja tanpa membalas genggaman. Tangan Sikli lucut dan dia menggelepar dan terus hanyut.

Hussain tersandar pada dinding batu. Dia kenal sangat Jeram Kol, yang paling dalam ialah setakat dada, biar pun ombak dan arus menggila. Dengan mudah saja Hussain menyeret dan mengangkat enjinnya ke tebing yang selamat, diikatnya pada dahan sepohon ara.

Sikli terdampar ke tebing leper batu di tengah sungai di sebelah bawah sedikit. Dia ketakutan, menggigil-gigil kesejukan, menangis meminta Hussain menolong dia. Dia menjerit-jerit mengaku berulang kali dia tak pandai berenang.

Hussain lega sebab Sikli tak lemas. Dia membiarkan Sikli melolong sampai matahari terbit pagi esoknya. Hussain baru pasti datar batu tempat Sikli mencangkung memeluk lutut menangis terisak-isak itulah tempat dia berteduh dalam tragedi ayahnya meninggal dulu. Dengan hati yang cekal, Hussain mengaku bahawa memang dia lain dari yang lain, ingin menyelamatkan bukan memusnahkan musuhnya. Hussain pun turun ke dalam air  dan berjalan ke batu itu, memegang tangan Sikli, macam abang membimbing adik. Dengan mata terbeliak Sikli mengikutnya ke tebing, mengharung air sedalam lutut.

No comments: