Oleh Zainal Rashid Ahmad
KALI pertama dia muncul di rumahku, kira-kira tujuh tahun lalu - ketika itu bersama sepucuk surat berisi ucapan takziah. Dia datang bersama seorang posmen yang kurus kering serta mempunyai sepasang mata yang juling. Surat yang dikirim dalam sampul surat berwarna merah dan digam rapi - tanpa setem serta alamat pengirim dengan kata-kata: "Tiada lagi suaramu dalam akhbarku." Kutatap tulisan tangan itu tanpa sebarang perasaan.
Posmen yang menunggang seekor kuda berwarna hijau muncul pada waktu Maghrib - ketika matahari sudah rebah separuh bola di kaki langit. Waktu itu aku sedang duduk melihat padang lalang yang kelihatan kemerah-merahan di kaki bukit, dan meninjau awan larat di atas silau senja yang seakan- akan membentuk arca sebuah bahtera purba.
"Tuan perlu ingat, aku akan datang lagi," katanya dalam ayat pertama yang mudah dan ringkas.
Aku mengenalinya lama dulu - ketika beberapa orang kampung pergi ke hutan di kaki bukit untuk membantu sekumpulan askar Inggeris yang bertempur melawan Bintang Tiga. Aku antara orang kampung yang diketuai Penghulu Haji Rahman Wali, berbekalkan parang dan pedang - meredah denai di kaki bukit sambil menghalakan langkah ke arah bunyi tembakan yang berdentum-dentum sepanjang hari sejak selepas Subuh.
Kami percaya, askar Inggeris dalam kesusahan, kerana mengikut cerita salah seorang dari dua lelaki yang dihantar untuk meninjau pertempuran itu, dua daripada askar Inggeris sudah mati. Manakala beberapa yang lain luka diratah peluru musuh. Dek kerana simpati, kami tahu askar Inggeris bertempur kerana mahu menghalang Bintang Tiga dari masuk ke kampung kami, maka rasa bertanggungjawab untuk membantu terbetik di naluri kami. Maka, akhirnya kami sepakat untuk berangkat.
Ketika itu, dia menegurku dengan suaranya yang lunak - sangat perlahan dan amat menyenangkan.
"Ingat kawan! Kalau lalai, peluru musuh akan membunuhmu."
Aku hanya mendiamkan diri - mati bukanlah satu yang luar biasa atau aneh - mati adalah janji Tuhan yang pasti datang. Maka itu aku diam. Dia terus mengikutinya hingga berbatu-batu dan ketika kami tiba berdekatan tempat pertempuran, ketika bunyi gema peluru berasa begitu hampir dengan telinga kami, dia menegur lagi.
"Kalau mautmu sudah di sini, maka pergilah kerana itu sudah ditakdirkan," bisiknya dan ketika itu aku berasa sebutir peluru musuh merembat jantungku.
Mohamad Fakrul Razi, wartawan yang entah dari mana itu tiba-tiba saja menjadi sebahagian keluarga penerbitan kami di Risalah Bangsa. Dia muncul dengan khabar yang menyedihkan pagi itu.
Wajahnya nampak gusar ketika dia berkata, "askar Inggeris tewas dan seorang anak kampung maut!"
Kami tersentak, dan Syed Budiman yang berada di dalam biliknya yang dipisahkan oleh timbunan akhbar lama dari tempat kami berada, mengangkat kepalanya - dia nampak tersentak.
Mohamad Fakrul Razi duduk di atas timbunan akhbar separas lutut, antara tempat kami dengan bilik Syed Budiman dan kelihatan cuba menenangkan dirinya sendiri.
"Bintang Tiga lari, bila nampak orang kampung datang dengan parang dan pedang, tapi seorang mati," katanya bila sedikit tenang.
Kami terus mendiamkan diri - Syed Budiman bangun dan melangkah perlahan keluar dari biliknya dan berdiri di hadapan kami dengan sepasang matanya yang sayu.
"Gugurnya anak desa pahlawan bangsa... pakai headline ni esok, dan mintakan posmen kita hantar sepucuk surat takziah, ke alamat ini," katanya lalu menghulurkan sehelai kertas kecil kepada Aziz Fahmi, ketua wartawan Risalah Bangsa.
Matahari sudah meremang; silau cahayanya menembusi celah rimbunan daun. Udara sedikit membahang, dan ketika aku cuba bangun, di bahagian dada sebelah jantungku berasa sedikit sakit.
Kala itulah, dia menjelma lagi, dan kali ini menjadi seekor burung merpati yang sangat kecil. Waktu dia hinggap di atas perutku, ketika aku kembali terbaring di rumput dek kerana kesakitan yang amat sangat, merpati itu memandang padaku dengan mata yang amat sayu.
"Risalah Bangsa menyifatkan kau sebagai wira dan matimu wajar dikenang sebagai pejuang. Wakil Tunku yang turun berucap di pekan ini semalam juga menyebut nama kau," kata merpati itu.
Aku hanya termenung dan kembali teringat kepada sepucuk surat yang kuterima semalam. Aku teringat kembali wajah posmen itu, dan perkataan Risalah Bangsa mengingatkan aku pada seseorang. Kini aku tahu, posmen itu ialah sahabat Syed Budiman, Ketua Pengarang akhbar itu. Aku masih ingat pertemuan kami tahun lalu, dan ketika itu dia mengingatkan aku: "Kita akan merdeka. Cuma aku kurang pasti sama ada dengan darah atau kata-kata."
Merpati itu melompat ke dadaku, membuat aku tersentak dan sekilas itu wajah Syed Budiman menghilang. Ketika merpati itu mematuk-matuk dadaku dan kesakitan mulai berasa berkurangan, mataku tiba-tiba memberat; sedikit demi sedikit, silau cahaya yang membias di celah pucuk pokok mulai memudar. Akhirnya aku tertidur.
Pagi itu, waktu sekumpulan orang sedang bertengkar di luar pejabat kami mengenai siapa penari joget paling cantik di kelab malam Puspa Bangsa, dengan suara antaranya dalam keadaan sangat mabuk, seorang lelaki dengan wajah berjambang serta bertubuh kurus menolak pintu lalu masuk. Tanpa sebarang kata, dia terus berjalan ke bilik Syed Budiman yang ketika itu sedang asyik menulis sesuatu di meja kerjanya.
Melihat kedatangan lelaki itu, Syed Budiman agak tersentak tapi segera tersenyum dan kemudian bangun lalu menutup pintu biliknya. Kami hanya saling memerhati antara satu sama lain kerana sedikit kehairanan. Lelaki itu tidak pernah ke mari, dan perawakannya yang pelik dan selekeh itu membuatkan kami tertanya-tanya, siapakah dia dan apa hubungannya dengan Ketua Pengarang kami.
Setengah jam kemudian, lelaki itu keluar dan pergi tanpa sebarang kata. Syed Budiman kembali menutup pintu, tapi sebelum itu dengan wajah yang agak gusar dia memandang ke arah kami.
"Lelaki itu belum mati, dia cuma cedera," kata Syed Budiman.
Kami semua terpinga-pinga kerana semalam, aku sendiri melihat mayatnya diusung orang keluar dari hutan lalu ditempatkan di surau kampung. Malah pagi tadi, wakil Tunku Abdul Rahman sendiri hadir ke majlis pengkebumiannya.
"Jadi siapa yang hidup dan tercedera itu?" Kami semua tertanya-tanya.
Petang itu, Syed Budiman keluar dari biliknya dan meletakkan dua helai kertas bertulis tangan di atas meja kerja dan kemudian berlalu. Sebelum pergi dia berhenti di muka pintu.
"Pakai tajuk tu, muka depan."
Kami semua menerpa ke meja kerja dan melihat tajuk, Wira bangsa masih bernyawa, kini dirawat merpati pertapa. Kami semua tersentak, terasa untuk kali pertama headline Risalah Bangsa sebegini kalut jadinya.
Aku duduk di atas tunggul kayu berdepan dengan Syed Budiman yang bersandar pada sebatang pohon medang sebesar dua pemeluk. Posmen yang pernah datang ke rumahku dulu, kelihatan sedang sibuk menjerang air dengan menggunakan ranting kering sebagai kayu api. Dia kemudiannya kukenali sebagai Mustakim Buro.
Kami semua terdiam dan hanya memandang sekitar hutan. Beberapa hari lalu, sekumpulan askar Inggeris bertempur dengan Bintang Tiga di sini dan seorang penduduk kampung mati akibat tembakan yang menembusi jantungnya. Kata orang, lelaki itu aku.
"Tak mungkin aku," kataku.
Syed Budiman terdiam dan sebentar kemudian bersuara lesu: "Semua orang melihat mayat kau diusung ke surau, dimandi, dikapankan dan kemudian dikebumikan."
Langit mulai gelap sedikit demi sedikit. Mustakim Buro menghidangkan kepada kami air kopi. Setelah mendapat keizinan Syed Budiman, lelaki itu pergi menghilang dalam samar cahaya malam dan akhirnya yang kelihatan hanya seekor merpati kecil terbang menghilang di celah-celah kesamaran rimba.
"Aku bimbang kau tak ada," kata Syed Budiman apabila bayangan Mustakim Buro tiada lagi.
Aku menghela nafas panjang dan kemudian bersuara perlahan: "Risalah Bangsa perlu ada, cuma aku tak mungkin menulis lagi dalam ruangan Suara Merdeka".
Dadanya sebak dan kutahu, Syed Budiman menyedari kesedihanku. Aku segera teringat betapa beraninya Ketua Pengarang ini. Dia beberapa kali dibelasah barua lnggeris yang marahkan kelantangan Risalah Bangsa membangkitkan isu nasionalisme dan kemerdekaan Tanah Melayu. Dia mendepani segala bahaya dan aku hanya bersembunyi di balik tulisanku di akhbarnya. Dan sekarang, dalam keadaan begini, mampukah aku menulis lagi, dan pertanyaan itu menjadikan seluruh lidahku kejang sepanjang malam.
Tanah Melayu terus digamit derita - Risalah Bangsa jatuh bangun dalam tempik merdeka dan seorang lelaki berdarah raja dengan sekumpulan pemimpin Melayu mulai bangkit dengan kongres di Johor.
Masa terus berlalu, saat menjadi jam, bertukar menjadi hari beralih ke laman bulan. Darah, suara dan air mata di mana-mana menyertai ghairah bangsa untuk bebas dan merdeka dari belenggu penjajah.
Aku yang dilaporkan mati dalam pertempuran di antara askar Inggeris dan Bintang Tiga kini hanya mampu menyaksikan semuanya. Mustakim Buro sesekejap kekal menjadi posmen, terkadang-kadang menjelma sebagai merpati pertapa.
Masa terus beredar dan kini bendera 14 jalur itu tak lama lagi akan berkibar lagi dalam degup 43 tahun merdeka. Dan aku hanya menanti, akan dikenang lagikah namaku kala alaf baru menyambut merdeka. Masih wujudkah semangat Risalah Bangsa, Mustakim Buro, Syed Budiman dan lain-lain. Atau namaku serta semuanya itu hanya akan ada dalam sebuah cerita saja mengenai matinya seorang penulis rencana.
Aku masih menanti menjelang saat itu.

No comments:
Post a Comment