Pages

Tuesday, November 10, 2015

Musim kemarau telah tiba

Oleh Ahmad J Husein

DI KAWASAN kebun getah yang sunyi sepi itu tiba-tiba ada semacam bau hangit. Dia dapat menghidu bau itu sebaik saja kakinya melangkah masuk ke kebun tempat dia menoreh setiap hari itu. Namun, disebabkan Subuh masih awal dan warna kabus terlalu tebal, dia tidak dapat memastikan apa yang berlaku di kebunnya seluas dua ekar itu.

Dia tercenung-cenung sejenak di situ. Dia mula mengesyaki sesuatu berlaku di kebunnya. Tiba-tiba dia melihat sebatang pokok getahnya rentung. Ya ada seseorang yang mengkhianatinya. Dia sedar itu. Sedar sungguh-sungguh. Batang getah yang rentung itu mendatangkan satu macam bau hangit yang meloyakan!

"Siapakah yang punya angkara durjana ini?" Dia bertanya dirinya sendiri.

"Adakah kerana aku bukan orang kuat Datuk Anuar Asmadi maka kebun getah aku dibakar? Atau adakah aku bukan golongan Ustaz Saad maka pokok-pokok getah aku direntungkan dalam musim kemarau ini? Tetapi aku tidak pernah menyokong sesiapa pun!" Fikirannya menderas lagi.

Dia teringat kepada anak dan isterinya. Seri akan mengambil peperiksaan SPM pada tahun ini. Wang bayaran peperiksaannya bukan dua tiga puluh ringgit. Diah pula akan mengambil peperiksaan PMR. Perlu guna duit juga. Dalam dunia ini satu bendapun tiada yang percuma. Segalanya menggunakan wang. Wang terlalu penting dalam hidup ini. Dia cukup sedar itu. Sedar benar-benar.

Kalau beginilah nasib kita, Senah, dengan apakah kita akan membeli beras dan lauk-pauk untuk makan hari-hari?

Tiba-tiba dia teringat tiga empat hari yang lalu dia menoreh di situ. Sejak pagi hingga matahari memancar terik, daun getah semakin berguguran kerana musim kemarau telah tiba. Dia tahu itu. Tahu sungguh-sungguh. Dalam musim begini ramai penoreh berehat di rumah dan di kedai kopi. Di Kampung Ulu Bakai ini, tempat orang berborak-borak ialah di kedai Haji Rejab dan di warung kopi Pak Min.

"Aku tak ambil kisah sangat siapa yang dapat baja kerajaan tu. Tapi aku berasa pelik kerana kaum kerabat JKKK semua dapat. Banyak pula tu!" Tiba- tiba dia teringat kata temannya, Ibrahim ketika minum kopi di warung Pak Min dekat Simpang Tiga Bukit Hijau dua tiga hari lalu. Dia cuma tersenyum mendengarnya."Tak guna membebel di sini. Kalau tak puas hati jumpalah Tuk Ketua kita, dia boleh terang kenapa boleh jadi begitu," katanya perlahan ke telinga Ibrahim yang berkurap. Beberapa orang yang sedang minum di situ mengerling ke arah Ibrahim yang merah padam mukanya.

"Aku rakyat negara ini juga, tapi apa yang aku dapat? Inilah yang aku terkilan, Sin!"

"Jangan harapkan semua itu, Berahim. Buat macam aku ni, kalau nak baja aku beli sendiri. Nak lembu aku cari sendiri. Aku tak pernah harapkan subsidi. Ah, sampai bila kita mesti harapkan subsidi? Malulah sikit!" Katanya lagi kepada Ibrahim. Pak Min tersenyum-senyum. Seseorang yang membelakanginya ketika itu mengerling kepada Ibrahim.

"Mentang-mentang aku ini bukan tukang kipas Tuk Ketua, aku dibuat macam sampah. Adil apa namanya itu? Kalau aku tukang bodek Tok Ketua penuhlah rumah aku dengan harta benda kerajaan!" Balas Ibrahim lagi tanpa hendak menjaga hati orang yang masih berlabuh di warung kopi Pak Min. Dan Pak Min tersenyum-senyum.

"Jangan kau cakap begitu, nanti ada yang marah. Jangan panas baran, Berahim!" Kata Pak Min berseloroh.

"Kalau aku cakap ada yang marah, ada yang tersinggung tapi inilah kenyataannya. Siapa jadi ketua, dialah yang kaya raya. Siapa pandai kipas dialah yang dapat habuan lebih, Pak Min!" Ujar Ibrahim lagi termengah- mengah.

"Yang kau berleter tak habis-habis ini kenapa Berahim? Aku dengar kau tak pernah daftar nama pada Tok Ketua untuk dapatkan subsidi baja dan lembu pawah kerajaan!" Tiba-tiba Pak Nik Suh bangun dan menyoal Berahim. Dia cukup terkilan dengan cakap-cakap Ibrahim sebentar tadi.

"Dulu aku pernah daftar, tapi macam itu jugalah. Seolah-olah aku ini rakyat asing. Apa satu pun tak dapat. Malaslah aku nak daftar lagi. Biarlah Tok Ketua kayakan kaum kerabat dan rakan-tolan dia!" Balas Ibrahim sambil memacakkan matanya ke halaman wajah Pak Nik Suh yang mencuka.

"Kerana kau terlalu harapkan subsidi kerajaan, kaumarah semua orang bila kau tak dapat. Buat macam aku ni, tak pernah harapkan harta kerajaan. Aku tak berasa megah dengan harta kerajaan," Kata Husin sambil menatap wajah Pak Nik Suh yang berdiri di sisi Ibrahim.

"Kalauhendakkan subsidi daftarlah nama pada Tok Ketua. Kalau tak daftar siapa nak beri? Harta kerajaan ni ada peraturannya kalau kau nak ambil. Bukan boleh ambil buta tuli begitu," kata Pak Nik Suh sambil merenung wajah Ibrahim yang murung. Dia teringat sesuatu dan bersabar.

"Sekarang aku tak harap lagi subsidi itu. Aku bukan tukang kipas Tuk Ketua!" Balas Ibrahim lagi sambil membayar harga minuman kepada Pak Min. Suaranya sedikit lantang, menjadikan perasaan Pak Nik Suh tersinggung hebat.

"Aku harap kau jangan terlalu panas baran sangat, Him. Tak baik. Mesti banyak bersabar. Buat macam aku, tak pernah harap segala subsidi itu. Dari dulu lagi aku tak ambil subsidi. Aku ada duit boleh beli. Senang kan?" Kata Husin lagi, matanya dibenamkan ke wajah temannya yang muram. Pak Nik Suh telah jauh meninggalkan warung Pak Min dan warung itu mulai lengang menjelang Maghrib.

Dia sedar, sahabatnya itu memanglah seorang yang panas baran. Ada kalanya segala percakapannya terhadap orang lain terlalu menjarum. Pedih dan menikam hingga ke ulu hati. Dari dulu lagi sifat Ibrahim begitu.

Bagi Ibrahim, dia terkilan kerana tidak dapat subsidi daripada Tok Ketua. Tetapi sikapnya sendiri mudah. Subsidi itu tidaklah terlalu penting. Ada duit dia boleh beli di kedai. Tidak perlu mendaftar nama pada Tok Ketua untuk mendapatkan subsidi!

Sekarang kebun getahnya terbakar habis. Yang masih ada ialah batang- batang getah yang hitam legam. Dan hatinya rusuh sekali kini. Rusuh kerana dua anak perempuannya akan mengambil peperiksaan PMR dan SPM. Kedua-dua peperiksaan itu menentukan masa depan Seri dan Diah. Dia tahu itu. Tahu benar-benar. Tahu sungguh-sungguh. Wajah burung itu masih bermain-main di layar matanya. "Alangkah beratnya ujian ini, Tuhan!" Desis hatinya.

Tiba-tiba dia teringat kepada Ibrahim, temannya. Dia memutuskan yang dia akan ke rumah Ibrahim petang nanti. Dia akan berjumpa lelaki yang bertubuh agam itu. Dan dia akan menyatakan masalahnya kepada Ibrahim. Harapannya Ibrahim dapat menolongnya.

Sebelum pulang ke rumahnya pagi itu, dia berjalan-jalan di dalam kebunnya yang telah dibaham api itu. Dia melihat kebun getahnya bertompok- tompok hitam dalam warna pagi yang gilang-gemilang. Daun getah yang disambar api begitu cepat layunya. Setitik air matanya tiba-tiba gugur ke bumi yang rentung.

Dia teringat alangkah sukarnya mendapatkan wang kalau tidak dapat menoreh getah. Menoreh getah adalah kerjanya sejak berusia sembilan tahun lagi. Dia tidak tahu mencari kerja lain selain menoreh getah. Dia teringat lagi kepada Ibrahim yang mempunyai lima enam ekar kebun getah itu. Dia akan meminta pertolongan daripada Ibrahim. Bukankah Ibrahim mempunyai berekar-ekar tanah getah?

Dia tidak pernah bersengketa dengan sesiapa, fikirnya. Tetapi mengapa bala ini menimpanya sekeluarga? Adakah kerana dia tidak memihak pada mana- mana parti politik? Adakah kerana dia tidak menyokong Datuk Anuar Asmadi atau Ustaz Saad maka kebunnya dibakar orang? Fikirannya terus mengalir. Dia melihat dalam beberapa bulan akan datang dia tidak dapat menoreh lagi di kebunnya itu. Tidak!

Setelah berjalan mengitari kebunnya yang terbakar itu, diapun melangkah pulang ke rumahnya dengan perasaan yang bercampur baur. Dia teringat macam-macam.

Beberapa bulan lalu dia pernah pergi ke majlis ceramah politik di Kampung Gelugor. Itupun setelah diajak Ibrahim beberapa kali. Dan untuk tidak menghampakan temannya itu, diapun pergi bersama Ibrahim ke Kampung Gelugor, yang jauh ke pedalaman itu. Ceramah politik itu dihadiri berpuluh ribu orang. Sebelum pergi mereka singgah di kedai kopi Haji Rejab. Beberapa orang, termasuk Pak Nik Suh sedang minum di situ. Yang lain ialah Hamid, Setapa dan Keria.

"Malam ini ada ceramah, Pak Jab tak mahu pergikah?" Tanya Ibrahim sebaik saja melabuhkan punggungnya ke kerusi di sudut kedai Haji Rejab. Orang tua itu senyum.

"Aku orang berniaga tak boleh gila dengan ceramah. Nanti orang tak masuk kedai, kopi tak laku macam mana aku nak hidup, Him?" jawab Haji Rejab, ramah.

"Kalau tak mahu pergi dengar ceramah bila otak nak cair sikit? Kita perlu dengar ceramah baru tahu hal dunia politik, Pak Jab!" Balas Ibrahim lagi, tersenyum-senyum. "Ini tidak, nak pergi dengar ceramah takut Tok Ketua marah. Nanti tak dapat subsidi!" Sindir Ibrahim lagi. Orang yang ada di kedai kopi Haji Rejab tersenyum-senyum. Tapi Pak Nik Suh buat tidak tahu saja. Senyum pun tidak. Dia tahu, kata-kata Ibrahim itu dituju kepadanya kerana semua orang tahu dia adalah orang kuat Tok Ketua; penyokong Datuk Anuar Asmadi AMN. Dia masih dapat bersabar dengan sindiran itu.

Lepas minum kopi di kedai itu mereka terus menuju ke majlis ceramah politik. Orang terlalu ramai di majlis itu. Berpuluh ribu orang! Dia dan Ibrahim menyelit-nyelit di tengah manusia yang berpusu-pusu seperti ulat tahi itu.

"Dalam dunia yang semakin tua ini, semua orang ingin jadi pemimpin. Malangnya mereka yang ingin jadi pemimpin itu ilmunya tidak sebanyak mana. Cuma lagaknya saja hebat, tetapi selalu bercakap terbabas daripada landasan yang dibenarkan Islam. Manusia seperti ini terlalu banyak di kalangan kita. Mereka bercakap tanpa ilmu. Adakah mereka itu boleh digelar ulama atau pemimpin umat Islam sejati?" Begitu kata penceramah yang dilahirkan di Kampung Becah Keranji itu. Dia masih ingat benar.

"Orang yang bertakwa selalu berkata benar dalam ucapan mereka. Mereka tidak takut dikritik atau dicemuh oleh puak kuffar. Mereka berjuang untuk menegakkan kebenaran, bukan untuk menjaga periuk nasi atau periuk belanga," ujar penceramah itu lagi. Mendengar sindirin itu orang ramai ketawa geger. Ibrahim di sisinya juga ketawa. Ada yang bertakbir berkali- kali. Pukul dua belas malam baru majlis ceramah itu bubar. Dia masih ingat benar ini.

Malam itu, ketika embun berderai di atas perabung rumah barulah dia dan Ibrahim meninggalkan majlis ceramah politik.

Tiba di rumah, isteri dandua anak gadisnya telah terkedang di dalam bilik tidur masing-masing.

Selesai sembahyang Zuhur petang itu, dia terus menyatakan hasratnya kepada Senah. Dua anak gadisnya belum pulang dari sekolah.

"Anak-anak kita perlu makan, Nah. Tahun ini pula Seri dan Diah akan ambil periksa. Kalau tak menoreh mana nak dapat duit periksa yang beratus- ratus ringgit tu?"

Dia memacakkan matanya ke halaman wajah Senah yang cengkung. Perempuan berusia empat puluh dua tahun itu tersenyum kelat.

"Adakah Berahim boleh tolong kita? Dia pun susah juga!" balas perempuan itu sambil menggaru-garu buah dadanya yang telah luruh. Bukan. Telah kendur.

"Ah, susah-susah Berahim dia ada lima enam ekar tanah getah. Cuma sekarang tak ramai orang menoreh kerana masuk kerja kilang di Kulim!" Katanya sambil menapak ke pintu pagar rumah untuk pergi ke rumah Ibrahim yang terletak di belakang kedai Pak Min, Ulu Bakai.

Dalam perjalanan ke rumah Ibrahim, dia terus memikirkan hasratnya itu. Dia berharap Ibrahim sudi menolongnya. Bukankah dia dalam kesusahan sekarang? `Aku perlukan wang itu. Diah dan Seri perlu ambil peperiksaan yang penting itu!' begitu fikirnya.

"Tak ada duit macam mana nak ambil periksa?" Fikirannya terus menderas macam air terjun Lata Bukit Hijau.

Ketika dia tiba ke halaman rumah Ibrahim yang terletak di belakang kedai Pak Min, rumah papan itu kelihatan sunyi sepi macam di dalam liang lahad. Dua tiga ekor ayam sedang mencari makan di halaman rumah dan di perlimbahan. Bau busuk dari perlimbahan tiba-tiba menyerbu ke lubang hidungnya. Dia seperti hendak muntah tetapi dapat ditahannya.

Dia menghampiri tangga rumah Ibrahim dan memanggil nama temannya itu beberapa kali.

Namun, tiada siapa yang menjenguk muka di pintu dan jendela yang ternganga. Mungkin Ibrahim dan isterinya tiada di rumah, fikirnya.

"Pak cik cari ayah?" Tiba-tiba muncul seorang budak perempuan berusia dalam lingkungan sepuluh tahun. Dia tentulah anak Ibrahim, fikirnya.

"Ya, pak cik cari ayahmu. Dia ke mana? Emakmu ke mana?"

"Ayah pergi kebun. Mak pergi kebun. Kebun ayah terbakar, pak cik. Orang jahat bakar kebun ayah!" Jawab budak perempuan itu dengan wajah murung.

"Kebun ayahmu dibakar orang?"

"Orang jahat bakar kebun ayah! Ayah kata orang jahat tak boleh buat kawan," ujar budak perempuan itu lagi sambil menguis-nguis pasir gebu di bawah kakinya. Rambutnya yang ikal dibelai Husin dengan mesra.

"Memang sekarang orang jahat banyak. Orang khianat pun banyak!" Dia membelai rambut anak Ibrahim lagi.

"Kebun pak cik juga dibakar orang," sambungnya kemudian lalu meraih air jernih yang tiba-tiba mengalir di pipinya yang berbulu lebat. Dia sebak.

"Err...pak cik menangis? Kenapa pak cik nangis?"

"Tidak. Pak cik ... pak cik tak menangis!" Balasnya lembut sambil mengusap-usap rambut budak perempuan itu dengan mesra.

"Iqah tahu pak cik menangis!"

"Pak cik sedih kerana ada orang buat khianat pada ayahmu dan pak cik. Apa salah pak cik? Adakah kerana pak cik bukan penyokong Datuk Anua Asmadi? Adakah kerana pak cik bukan tukang kipas Tok Ketua maka kebun pak cik dibakar orang?" Katanya sambil melihat budak perempuan yang tercengang-cengang itu.

Memang budak perempuan itu tidak faham apa yang diucapnya sebentar tadi. Dia masih mentah bagi memahami kerenah dunia. Jiwanya masih bersih dan suci seperti embun pagi, fikirnya lambat-lambat.

"Pak cik tak pernah harap apa-apa dari orang lain. Pak cik tak pernah rampas dan ambil harta orang, tapi kenapa ada juga manusia yang buat khianat pada pak cik?" Keluh lelaki berusia empat puluh enam tahun itu lagi pada budak perempuan yang masih berada di sisinya. Sekali lagi budak itu tercengang-cengang. Dia kurang faham.

Sebentar kemudian dia melangkah ke pangkin yang terletak di hujung halaman rumah Ibrahim. Dia duduk di situ.

Anak Ibrahim juga duduk di pangkin kayu itu. Mereka sedang menunggu Ibrahim pulang dari kebunnya yang dibakar orang.

No comments: