Pages

Saturday, November 07, 2015

Selamat hari raya bos

Oleh Djazlam Zainal

SEPANJANG bulan puasa, bos kurang menampakkan batang hidungnya di pejabat. Aku sebagai second boss sedikit sebanyak membereskan perjalanan pejabat sepanjang bulan itu. Apa yang aku rasa, bos memang benar-benar mahu berehat. Maklumlah, sepanjang tahun ini, bos bagai lipas kudung, ke hulu ke hilir tak tentu waktu dan tempat. Bos terkenal sebagai sebagai ketua yang kuat komitment kerja. Kata orang putih, crazy work. Bos tak peduli apa orang kata. Bos tak peduli apa orang lihat. Yang bos pedulikan ialah semua program jabatan dapat dilunaskan. Lunas! Eh, bukan lunas yang itu, sebab bos bukan orang politik. Bos orang kerja gomen. Bos tahu batas berpolitik. Orang gomen pun mesti pandai berpolitik, politik ala orang gomenlah. Kalau tidak, susahlah program nak jalan. Chairman dalam mesyuarat, nak juga orang politik, barulah ketua-ketua jabatan yang dipanggil untuk AJK datang mesyuarat. Kalau tidak asyik hantar wakil saja. Wakil pula tak tahu apa benda. Bawa gigi dengan gusi saja.

Bos aku ini nak kata serius sangat orangnya, tidak juga. Tapi, kakitangan di bawahnya memang takutkan dia. Termasuklah aku. Bukan takut kerana bos aku bengis, tapi takut kerana hormat. Takut sebab kerja bos lebih daripada kuli batak. Yang bawah-bawah ni, selalu saja goyang kaki. Aku taklah begitu, kalau aku goyang kaki, alamat bos aku goyah mulutlah. Hingar bingar juga pejabat kalau bos aku membebel.

Bos aku bukan kira tempat, kira waktu. Moodnya baik, mahulah sengih hingga jangkau anak telinga. Mood tak baik, nampak Hindu tepi jalan pun perasan macam keraninya yang bengak di pejabat. Bos aku ini kuat meleter, tapi hatinya baik. Semua orang kata begitu, termasuk aku juga.

Tapi, sepanjang bulan puasa ini, berubah sangat perangainya. Banyak pula sedekahnya. Yang paling banyak disedekahkan dalam bulan puasa ini ialah senyumannya. Bos asyik tersenyum saja. Bila tersenyum bos jauh lebih muda daripada usianya yang hampir menjangkau 50 itu. Aku terasa perubahan ini. Hingga dalam hati aku berdoa, kalau boleh biarlah sepanjang tahun ini, bulan puasa. Biar bos aku sentiasa tersenyum. Biar bos aku sentiasa dapat pahala. Biar bos tampak lebih muda.

Sepanjang bulan puasa, jarang bos ada dalam bilik. Biliknya sentiasa berkunci. Bos pun jarang telefon pejabat. Barangkali tahu pekerjaan di pejabat dapat dibereskan oleh adanya aku. Bukan apa sangat kerja dalam bulan puasa ini.

Biasanya tinjau bil yang belum berbayar. Bos akan serah pada aku. Sesekali datang bos dan akan buka kad-kad hari raya yang diterimanya. Kad raya yang banyak bertimbun di atas meja kerani itu diambilnya lalu dibawa kebiliknya dan dibuka satu persatu. Sukalah hatinya. Besar mana jawatan seseorang, bila nampak dan terima kad raya perangai macam budak-budak. Atau remaja tengah mabuk cinta. Bagi bos aku, keseronokannya ialah banyak juga orang yang ingatkannya, biar pun dia seorang yang bengkeng dan peleter.

Bos tak sangka, orang yang dileterinya sepanjang tahun masih sudi kirim kad raya. Dalam banyak kad raya, ada pula yang lucu dan nakal, menyebabkan bos kelihatan lebih ceria dan mesra. Mahulah terkinja-kinja jalannya. Kebetulan bos aku agak kurus sedikit badannya sejak berpuasa. Agaknya, bos benar-benar menghayati fadilat Ramadan, sahur dan buka dengan seketul kurma. Kalau terus diamalkan begitu, mahu bos aku slim badannya. Aku yakin bos kan lebih kelihatan muda belia.

"Lan, saya nak buat rumah terbuka. Tolong carikan tarikh." Begitu, pada suatu hari pada pertengahan bulan puasa, bosku mengejutkan aku. Begitu biasanya, bos akan membahasakan aku dengan "Lan" saja. Kependekan nama Ghazlan.

"Minggu pertama, bos?"

"Ya! Elok masa cuti,"

"Kalau begitu hari Sabtu sajalah, bos"

"Tentukan tarikhnya, cari pembekal makanan dan sediakan menu!" perintahnya.

Oh, masih penolong bos, kerja buat rumah terbuka kena laksanakan juga. Akupun mula mendail nombor telefon, pembekal makanan yang aku kenal. Aku menyatakan perasaan dan suruh dia buat sebut harga dan menu. Dan aku akan serahkan pada bos yang sesekali muncul di pejabat pada bulan puasa ini. Entah dia setuju dengan menu yang disediakan, aku pun tak tahu. Tapi tiada arahan selanjutnya dari bos aku. Aku kira okeylah kalau begitu.

Dua tiga hari selepas itu, ketika aku ke lobi daripada bilikku, aku dapati selonggok kad Selamat Hari Raya memenuhi ruang meja. Secebis nota terselit di antaranya, "Lan, kirim kepada semua ketua jabatan dan NGO's." Kerja aku lagi! Memang terasa lainnya bekerja pada bulan puasa ini. Kerja aku semua berkaitan dengan hari raya. Hantar dan terima kad hari raya, buat jamuan rumah terbuka hari raya, hantar dan terima kad hari raya, balas jemputan rumah terbuka ketua jabatan yang membuat rumah terbuka hari raya. Seronok juga bekerja dalam bulan puasa. Kalau bulan-bulan lain kadang-kadang terasa malasnya nak datang kerja. Tapi, pada bulan puasa ini tak sabar-sabar rasanya nak datang ke pejabat kerana kerja pejabat sepanjang bulan puasa ini berkaitan dengan hari raya. Sedang aku membelek- belek alamat ketua jabatan dan NGO's, hand-set berbunyi.

"Hello, Ghazlan di sini"

"Alaa...abang ni," suara mersik di sana, "mana kad raya Lin?"

"O...Lin, sorrylah, Lin" aku terpana. "Abang tak sempat lagi nak beli kad raya untuk Lin. Nantilah, Lin"

"Abang memang begitu! Kerja, kerja, kerja. Lin, abang buat macam tunggul saja!"

Aii, buat dah! Ketika bos aku yang selama ini bengkeng, baik pada bulan puasa, kekasihku pula bengkeng pada bulan puasa. Ini sudah terbalik. Akupun teringat beberapa tazkirah yang pernah aku baca dan aku cuba dermakan pada kekasihku, Normalin.

"Lin, abang kan sibuk. Lin bukan tak tahu, sekarang ni abang memangku bos. Sepanjang bulan puasa, abang jadi bos kerana bos jarang datang ke pejabat."

"Dah jadi bos, lupalah pada Lin! Ajak berbuka pun abang tak pernah ada masa. Kad raya pun abang tak kirim. Entah abang ada kekasih baru!" Normalin merungus.

"Sumpah Lin. Tiada orang lain dari Lin. Kan abang kerja kuatpun untuk masa depan kita. Itulah, ayah Lin letak harga tinggi sangat. Itu sebab abang kerja siang malam dan berjimat cermat. Semuanya untuk Lin,". Aku merendah. Orang merajuk jangan dibawa berlawan. Undur beberapa tapak sebelum menapak ke depan dan membuat serangan.

"Maafkan Lin abang, sebenarnya Lin sedih. Member Lin semua sudah terima kad raya. Hari-hari berbuka dengan tunang dan kekasih. Lin ada tunang pun senyap macam batang kayu saja. Ini yang Lin sedihkan." Benar, apabila aku berundur setapak, dia mula masuk perangkap. Akupun mula berhujah.

"Biarlah mereka, Lin. Lin bukan tak kenal abang. Abang tidak macam orang lain. Asal bila Lin makan, ingatkan abang pun cukuplah," ujarku.

Ketika itu aku terdengar derap sepatu mengatur langkah ke bilikku. Rimanya aku kenal betul. Tentu bos.

"Lan, kau batalkan tempahan makan pada hari raya nanti," perintahnya.

"Kenapa bos?" aku terkejut.

"Kami sekeluarga akan buat umrah pada minggu ketiga bulan puasa ini. Barangkali kami balik pada minggu ketiga hari raya,".

"Aii, mendadak saja bos nak buat umrah. Dah cukup ke..."

"Lan, seru dah sampai, Lan. Malam Nuzul al-Quran kelmarin, saya bermimpi. Mimpi yang cukup mengerikan. Saya sedar, selama ini saya banyak meninggalkan suruhan Tuhan. Saya sibuk dengan kerja.

"Terima kasih bos. Sebenarnya, raya inipun saya ada hajat besar.  Pada 5 hari raya nanti, saya akan bernikah. Saya memohon restu daripada bos," ujarku. Tanpa di duga, bos memelukku dengan erat sekali. Aku seperti berada dalam pelukan seorang ayah. Aku tersedu. Kemudian bos menyeluk saku mengeluarkan beberapa not biru kundang dan menghulurkan kepadaku.

"Lan, ini saja sumbangan saya kepada kamu. Lan telah banyak menyedarkan saya. Saya doakan Lan bahagia," Bos memberiku not berjumlah RM3,000. Tangan aku menggeletar menerimanya. Dalam hati aku bersyukur beribu kali.

"Terima kasih, bos. Saya tak tahu bagaimana nak balas budi bos. Hanya pada Tuhan saya  panjatkan doa untuk kesejahteraan bos sekeluarga. Sebelum bos pergi, saya nak ucapkan Selamat Hari Raya. Maaf lahir dan batin. Halalkan yang termakan dan terminum. Bos beri macam-macam kepada saya, kain baju sampaikan hand set pun bos beli.

"Sama-samalah Lan, saya juga minta maaf lahir dan batin."

Kemudian aku melangkah ke meja duduk. Dari laci meja aku keluarkan sekeping kad hari raya yang kubeli khas untuk bos beberapa hari lalu. Di dalamnya aku tuliskan sebuah puisi:

Di pagi hari raya terdengar suara takbir terasa diri ini kerdil dan kecil

Di pejabat di marah bos di luar dimarah (bakal) isteri di pagi hari raya terasa hiba sekali.

Kepada bos yang baik hati maaf dipinta hujung rambut hingga ke hujung jari halal makan dan minum semoga dipanjangkan umur

Wassalam Ghazlan Ibrahim

No comments: