Oleh S M Zakir
SEMASA usianya sebelas tahun, Seyyed melihat seekor ular yang mempunyai kaki menyulur di hadapan matanya. Seyyed berdiri di tepi pagar di belakang rumahnya yang terletak di dalam deretan rumah di atas bukit yang ditarah menjadi kawasan perumahan. Di negeri pulau ini sepertiga bukit-bukitnya telah ditarah untuk memenuhi keperluan manusia. Di sini alam bukan sahaja ditakluki, tetapi diperhambakan memenuhi matlamat manusia harus menakluki alam. Seyyed berada di sini, di sebuah rumah yang terletak di hujung deretan rumah, di tepi kawasan belukar yang mencerun. Sementara di belakang rumah adalah cerun yang ditambak oleh tembok batu yang tinggi. Di bawahnya adalah deretan demi deretan rumah lagi.
Ketika itu Seyyed berdiri menongkat dagu di pagar melontar pandangan pada parit kecil yang bertingkat-tingkat menuruni cerun. Ular dan serangga berbisa memang masih berhabitat di cerun yang berbelukar sana. Tidak hairan jika sesekala menyulur di tanah cerun ini. Namun, hari ini ular yang menyulur ini amat ganjil. Ia mempunyai empat kaki seperti mengkarung. Tetapi, Seyyed pasti ia ular.
Langit putih bersih. Udaranya murni bagai tangisan pertama bayi yang keluar mengucupi dunia. Seyyed terpempan kaku melihat peristiwa ajaib itu bagai disihir kesaktian yang menjalar dari langit. Sekujur tubuh Seyyed mengapung dalam afsun, terpanar dalam liukan gerak ular berkaki empat yang amat mempesonakan itu. Sisiknya bersinar-sinar. Setajam sinar matanya. Ia muncul dalam sekelipan mata dan lenyap dalam sekelipan mata. Tubuh Seyyed menggeletar dan lencun oleh peluh.
Seyyed menyimpan peristiwa itu pada benaknya tanpa memberitahu sesiapa, kerana malaikat sendiri pun tidak akan percaya dengan ceritanya. Selepas itu, dalam usia sebelas tahun itu, Seyyed belajar mencoret-coret puisi. Lalu puisi itu menjalar dalam tubuhnya, mengakar menjadi bakat agung yang turun dari langit.
Ketika usianya enam belas tahun, Seyyed membaca sebuah cerita tentang seorang penyair yang mendinginkan alam dengan hembusan puisinya. Puisinya menjadikan sungai yang mengalir adalah darahnya, laut yang berombak adalah degup jantungnya, angin yang membelai adalah nafasnya, suara unggas adalah kata-katanya, dan alam seluruhnya adalah tubuhnya. Segala unggas akan terbang hinggap ke tubuhnya apabila dia mendepangkan tangan. Segala tumbuhan akan memekarkan keriangan apabila dia menghembus nafas.
Seyyed hanya mendengar cerita itu sebagai sebuah madah nyanyian purba. Namun, suatu hari seekor terkukur hinggap di kakinya, melayang masuk dari pintu yang lebar terbuka menghadap halaman.
Seperti waktu Seyyed melihat ular berkaki empat dahulu, langit putih bersih dan udara murni bagai tangisan pertama bayi yang keluar mengucupi dunia. Seyyed teringat kembali kisah sang penyair. Lalu Seyyed mencoret- coret puisi. Tetapi, puisi sudah tidak mampu menjalarkan kata-katanya. Lalu Seyyed belajar mengalunkan irama. Dan irama kini menjadi suara- suaranya.
Ketika berusia lapan belas tahun, Seyyed telah menguasai segala getar dan instrumennya. Saat ini Seyyed telah berhenti berkata-kata dan bersuara dengan lidah dan mulutnya. Kata-katanya adalah getar yang beralun ritma demi ritma.
Seyyed, bukan bakat sahaja yang mengakar dalam diri, tetapi dengan alam yang telah menjadi tubuhnya Ialu meleburkan dirinya menjadi irama yang memekari bumi. Menyelinap menjadi gita yang terapung dalam lompang antara zarah-zarah udara yang bergerak rawak. Seperti gas yang tanpa rasa dan tanpa bau Seyyed menjadi irama yang meresap di seluruh liang bumi.
Irama-irama itu kemudian membawanya kepada dunia yang kaku dan penuh dengan penindasan. Melihat state yang hancur akibat beriakunya apa yang dikatakan kewujudan fungsi yang tidak rasional dalam sistem sosial Ialu melahirkan sebuah statisme tiranikal. Irama Seyyed bergegar menjadi sebuah forte yang mengejutkan. Forte yang memecahkan manusia daripada kurungannya. Manusia terkurung dalam sikap yang menjadikan mereka sebagai sebuah mesin. Yang rutin, penurut dan patuh. Maka manusia harus `dipecahkan' agar mereka menjadi `jiwa' dan bukan `mesin'. Dengan menjadi `jiwa' manusia akan dapat melihat bagaimana fungsi yang tidak rasional - rasuah, penyelewengan, penindasan - menghancurkan state. Seyyed pun `memecah' manusia dengan fortenya demi mengembalikan manusia menjadi `jiwa'. `Jiwa' sesungguhnya adalah `irama'.
Irama Seyyed kemudian menjadi semakin pelik dan asing. Sungai, gunung, taman, rimba, laut, pasir, menjadi nada dan melodi irama Seyyed. Dari solo Seyyed melunjur kepada kuartet, kuintet, sektet kepada konserto, sonata, orkestra, kepada opera, babak, orotario kepada simfoni.
Seyyed semakin jauh pergi ke dalam irama sehingga irama telah menjadi Seyyed sendiri. Mundus imaginalis Seyyed kemudian diilhami bahawa suara bunyi (tone/nada) adalah awal dan berakhir kepada suara kata (bahasa) sepertimana rasa adalah awal dan berakhir kepada falsafah sepertimana mitos adalah awal dan berakhir kepada sejarah sepertimana lirik adalah awal dan berakhir kepada puisi.
Dan kebijaksanaan itu adalah awal dan berakhir kepada irama.
Seyyed kemudian mengisytiharkan bahawa - `Muzik Telah Mati'.
Para seniman mengecam Seyyed. Para karyawan mengutuki Seyyed.
Para budayawan mendamprat Seyyed. Seyyed yang telah tidak mempunyai sebarang kata-kata menggubah simfoninya yang pertama hasil daripada beberapa improvisasinya berdiri mengujarkan bahawa `muzik telah mati' apabila manusia sudah hilang `irama'nya. Kebijaksanaan lenyap dan jiwa menjadi mesin.
Maka Seyyed memulakan babak baru dalam musico-dramanya dan tetap bahawa `musik itu telah mati'. Aria dalam operanya. Libretto dalam oratorionya kini memeluwap ke langit dan kemudian jatuh menjalar membuyari angkasa dengan pelangi-pelangi wirama menyelubungi mayapada menyambut simfoni- simfoninya yang mengutuki zaman.
Ia menjadi suatu irama baru yang menyulur dari langit dan hinggap di setiap reroma bumi. Seni menjadi begitu transendental di tangan Seyyed dengan iramanya membuka selembar demi selembar dedaunan metafizik yang menggerbangi dunia gelap di dalam mundus imaginalis manusia. Sehingga akhirnya muzik kepada sebahagian orang benar-benar telah mati.
Ketika berusia dua puluh enam tahun Seyyed menggubah simfoni keduanya. Irama Seyyed menjadi lebih keras dan membuak-buak. Preludenya membuka nada dengan bentakan yang menempiarkan para syaitan. Iramanya menggetar dalam di setiap resonannya. Harmoni yang wujud dengan sengaja dicipta untuk dipecahkan dengan mengejut oleh rapsodi yang keras. Seyyed juga turut menyelitkan rubato dan rondo yang dimasuk bertukar ganti mengembangi gubahannya. Simfoni keduanya ini benar-benar menggegarkan dunia. Para pengkritik menjadi bingung. Bahkan guruh sekalipun kehilangan suaranya.
Bahasa Seyyed adalah muzik kerana bagi Seyyed, bahasa itu sendiri bermula daripada suara nada yang lahir daripada landas emosional kemudian bergerak ke landas ideasional menjadi bahasa. Muzik bermula daripada satu nada tunggal kepada suara nada yang kemudian diekspresikan dalam lagu dan lirik yang akhirnya membentuk instrumental. Bahasa bermula daripada satu nada tunggal kepada suara nada yang kemudian diekspresikan dalam subjek dan prediket dan akhirnya membentuk tatabahasa.
Bahasa adalah irama dan irama adalah jiwa. Kehancuran sosial adalah akibat daripada kecintaan manusia kepada kebendaan hingga manusia hilang kemanusiaannya. Manusia harus dikembalikan kepada kemanusiaan dengan mengembalikan jiwanya, iaitu mengembalikan irama dan mengembalikan bahasanya. Bahasa adalah alat utama bagi manusia mencari kebenaran. Tanpa bahasa kebenaran tidak akan ditemui. Manusia adalah alam semula jadi yang dikerat daripada kesemulajadiannya sebagaimana kebenaran yang terpotong daripada pokoknya. Maka itu manusia jatuh ke lembah gelap dan kemudian bangkit mencari kebenaran yang terpotong saat mereka lahir ke dunia.
Seyyed semakin hanyut di dalam iramanya. Seyyed menggubah simfoni ketiganya. Kali ini simfoninya lebih banyak memainkan pianissimo yang lembut beralun bagai helaian angin yang beroleng-oleng di pokok-pokok. Simfoninya mengembalikan manusia kepada kesemulajadiannya. Simfoni ini membina rangka-rangka pengucapan yang menyuarakan rasa kesendirian yang sepi, terasing, dan tunggal.
Keterasingan manusia akan mengembalikan mereka kepada akar kebijaksanaan iaitu kebenaran. Hanya kebijaksanaan daripada kebenaran inilah yang mampu mengubah state yang hancur daripada genggaman para tiran. Simfoni ketiga Seyyed menjadi masyhur dan dikenali sebagai `melodi dari belantara'.
Seyyed menjadi satu bakat agung yang amat ganjil kepada manusia. Namun, Seyyed masih berasakan bahawa dia kekurangan sesuatu. Tetapi, Seyyed tidak tahu. Apakah dia masih belum menjadi `jiwa'? Atau irama-iramanya masih terapung antara bumi dan langit tanpa `jiwa' yang benar-benar `jiwa'?
Suatu hari ketika Seyyed mundar-mandir dalam tiupan angin petang yang bersiung deras melayangkan daun dan debu, Seyyed menemui satu irama baru. Irama ini bukan dari langit dan bukan dari bumi, tetapi mengalir dari nyalinya yang amat dalam.
Seyyed menggubah simfoni keempatnya. Dalam simfoni keempat ini Seyyed menemui bahawa bahasa adalah keperluan asas dan fitrah semula jadi manusia yang pertama. Seyyed menemul bahawa bahasa adalah gerbang yang menghubungkan manusia dengan kebenaran yang mutlak. Tuhan. Manusia berhubung dengan Tuhan melalui bahasa. Adam a.s. adalah manusia pertama di muka bumi. Adam a.s. juga adalah manusia yang pertama menggunakan bahasa. Dan bahasa yang pertama muncul di semesta ini adalah wahyu.
Seyyed tiba-tiba kehilangan iramanya. Seyyed terasa begitu kecil. Simfoninya selama ini dilihatnya seperti sampah. Kebenaran berada di atas seni dan bukan seni yang berada di atas kebenaran. Seyyed menjadi semakin kecil dan kosong. Seyyed tidak tahu di mana jiwanya berada sebagaimana Seyyed tidak tahu di mana iramanya berada.
Seluruh keonaran yang berlaku di muka bumi ini adalah akibat kerana Tuhan sudah tidak dipedulikan. Seyyed terkapai dan rebah di bawah irama dan bahasanya.
Ketika hatta sepatah kata pun di dalam al-Quran tiada yang tidak mempunyai makna, Seyyed menyedari bahawa bukan muzik sahaja yang telah mati, tetapi puisi juga telah mati!
Seekor ular dan seekor terkukur, sebuah muzik dan sebuah puisi, segunung bakat yang agung, kekuasaan dan kebenaran, semua di bawah sekilas cahaya.

No comments:
Post a Comment