Pages

Monday, November 23, 2015

Nostalgia cinta pena

Oleh Osman Dol

I KISAH itu amat menakutkannya.Amat menggerunkan. Sesungguhnya dia tidak mahu kehilangan Salmah. Walau apapun anggapan orang, Salmah tetap kekasihnya. Dia ingin memastikan Salmah sentiasa dalam ingatan dan impiannya.

Suman mengingati kembali detik-detik lampau yang pernah dilalui dan dirasainya.

Teringat dia sebuah cerpen terjemahan dari India yang pernah dibacanya pada awal 1960-an dahulu di dalam sebuah majalah. Kisah seorang suami yang hodoh rupanya, beristerikan seorang wanita rupawan. Kulitnya lembut dan halus. Rambutnya terurai segar. Sesungguhnya suami yang hodoh dapat menikmati sepenuhnya kejelitaan isteri.

Walaupun jelita, tetapi isteri itu buta kedua-dua belah matanya. Buta itu terjadi kerana diserang penyakit mata ketika berumur 12 tahun.

Ada doktor sanggup mengubati mata isteri. Harapan untuk sembuh terlalu cerah, kata doktor. Tetapi suami tidak rela mata isterinya diubati. Dia amat senang dengan keadaan isterinya yang begitu.

Kalau dia boleh melihat, dia tentu lari dariku. Dia tentu tidak sanggup melihat wajahku yang hodoh ini. Dia akan terperanjat. Rupaku bagaikan seekor beruk. Dia tentu lari. Lari dariku, sedangkan aku terlalu menyayangi dan menyintainya.

Begitulah yang terlintas pada hati suami apabila seorang doktor menyatakan hasrat untuk mengubati sang isteri.

Suman termenung panjang setelah membaca kisah itu. Tetapi kisahnya dengan Salmah berlainan sedikit. Salmah Bilal kekasihnya tidak buta. Kedua-dua matanya celik dan cantik.

Tetapi, yang peliknya antara dia dan Salmah tidak pernah bersua. Tidak pernah bertentangan mata. Cintanya hanya di hujung pena tetapi terlalu intim.

II SEMUA itu terjadi setelah Suman gagal melanjutkan pelajarannya ke tingkatan IV. Dia hanya mendapat pangkat `C' peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE).

Tetapi cita-cita Suman tinggi. Dia mahu menjadi seorang penulis terkenal. Kebetulan dia memang ada sedikit bakat menulis. Di samping itu dia ingin menjadi seorang yang berpangkat besar. Cita-citanya yang besar itu tidak pernah luput dari hatinya.

Setelah gagal dalam persekolahannya, Suman bekerja sebagai penoreh getah. Di samping menoreh dia menulis mengenai kegiatan belia di kampungnya. Sering namanya tersiar dalam majalah dan akhbar.

Umurnya baru mencapai 15 tahun waktu itu. Dengan pertolongan seorang rakannya, Suman dapat bekerja di pejabat Majlis Perbandaran Melaka. Dia diterima bekerja sebagai budak pejabat. Suman amat gembira. Dia mula memasang angan-angan. Kalau ada orang bertanya mengenai kerjanya, dia mengatakan yang dia bekerja sebagai kerani, bukan budak pejabat.

Waktu itu ada sebuah majalah yang ramai peminatnya di kalangan remaja. Suman yang memang berbakat menulis, lalu menulis mengenai dirinya dalam majalah itu. Hebat. Gambar dan biodatanya tersiar. Kononnya dia bekerja sebagai penolong pengurus di pejabat itu. Wajahnya nampak begitu ceria. Alamatnya lengkap.

Tengok gambar memang hebat. Tetapi tidak siapa tahu Suman itu cacat. Kaki kirinya kecil sedikit dari kaki kanannya. Dia kelihatan pincang sedikit apabila berjalan.

Jawatan pun hebat. Penolong pengurus. Jawatan itu tidak ada di jabatan itu. Tukang urus kerusi meja, buang sampah dan hantar surat memang ada. Itulah tugas dan kewajipan budak pejabat.

Dia berbuat begitu, kononnya, biar pembaca majalah itu kagum kehebatannya. Akan banyaklah remaja menghantar surat padanya.

Tepat sangkaan Suman. Dia menerima beratus-ratus pucuk surat dari remaja. Sehingga dia tidak terlayan. Cuma beberapa pucuk surat saja yang sempat dibalasnya. Antara surat yang di balas ialah surat dari Salmah binti Bilal. Orang Bentong, Pahang.

Hubungan Suman dengan Salmah berkekalan. Berpanjangan. Berbalas-balas surat. Beberapa orang sahabat penanya yang lain telah terputus. Suman tidak berminat dengan sahabatnya yang lain. Kecuali Salmah.

Suman sendiri rasa hairan kenapa dia tertarik dengan surat Salmah. Setiap surat dari Salmah disimpan dengan baik. Kalau Salmah lambat membalas suratnya, surat-surat lama itulah diulang membacanya. Dia membacanya dengan tidak berasa jemu.

Salmah telah mengirimkan sekeping gambar kepadanya. Suman sayang gambar itu. Disimpannya baik-baik di bawah kertas di dalam laci almari. Apabila sunyi dan kesepian gambar itu menjadi teman Suman.

III ENTAH kenapa, setelah dua tahun berutus-utus surat, tiba-tiba hati Suman sudah terpikat kepada Salmah. Rupa-rupanya Suman tidak bertepuk sebelah tangan. Salmah juga demikian. Masing-masing melahirkan isi hatinya melalui surat.

Walaupun Suman tidak pernah melihat Salmah, tidak pernah mendengar suaranya, cinta dan kasihnya kian mendalam. Inilah kali pertama dia jatuh cinta dengan seorang gadis dalam usianya yang hampir 17 tahun itu.

"Mah tidak ada yang lain, melainkan abang. Mah harap abang akan menunaikan segala janji," demikian pernah diungkapkan Salmah menerusi mata penanya.

"Abang Sumanlah kekasih Mah dunia dan akhirat," Salmah meneruskan kata- katanya.

Suman menarik nafas lega menatap warkah Salmah yang berwarna biru. Memang begitulah sejak dulu lagi. Salmah menggunakan kertas biru. Salmah tidak akan menggunakan mesin taip menulis kepadanya. Melainkan dengan menggunakan tulisan tangan saja.

Kadang-kadang Suman mencebik dirinya sendiri. Jujurkah aku? Tanya Suman pada dirinya sendiri. Tergamakkah aku hendak pergi ke Pahang untuk menemui Salmah? Tidakkah Salmah akan kecewa apabila ternampak kecacatanku? Apa kata Salmah apabila mengetahui dia sebenarnya hanya seorang budak pejabat, bukan penolong pengurus?

Sampai bila aku hendak berpura-pura begini sedangkan hatiku terlalu menyintainya?

Dan kalau Salmah sendiri datang mencariku di sini bagaimana? Tanya Suman lagi pada dirinya sendiri. Lagi parah. Parah. Beranikah aku berhadapan dengannya?

Ooooooo, ke mana aku hendak lari? Ke mana?...

Pening juga Suman memikirkan hal itu.Surat-menyurat terus berjalan seperti biasa.

IV "ABANG, Mah telah diterima untuk menjalani latihan guru di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka."

Suman rasa takut sendiri. Jantungnya berdenyut-denyut.

"Mah akan sampai awal tahun depan. Abang bolehlah datang jumpa Mah di maktab itu. Bila masa cuti, Mah boleh juga datang ke rumah abang. Kata orang, antara maktab dengan Kampung Durian Tunggal cuma 10 batu saja. Jadi, bolehlah selalu kita berjumpa." begitulah ungkapan pena Salmah seterusnya.

Suman sudah mula risau. Keluh-kesah. Duduk salah berbaring pun salah. Pecahlah semua tembelang aku, bisik Suman dalam hatinya.

Suman menyepi sekian lama. Surat terakhir Salmah itu tidak dijawab. Dia jadi pening. Di pejabat dia selalu ditegur oleh ketuanya.

"Termenung saja, dah mabuk cintakah?" demikian Suman ditegur oleh ketua pejabatnya.

V "KENAPA abang membisu? Kenapa tidak menjawab surat dari Mah tempoh hari? Tidak sukakah Mah datang ke Melaka? Kalau malas nak tulis surat, telefonlah Mah. Nombor telefon di maktab ini 2461. Telefonlah waktu petang atau malam." itulah surat pertama Salmah sejak beberapa hari menjejakkan kakinya di bumi Melaka.

Antara cita dan takut, antara kasih dan gerun - Suman menjawab juga surat Salmah itu. Kali ini surat itu dialamatkan di Melaka, tidak lagi di Pahang. Nada suratnya tetap berabang dan bersayang. Tetapi tidaklah menjela-jela seperti sebelumnya.

"Mah masih baru di sini. Peraturan maktab tidak membenarkan Mah keluar. Dan buat beberapa bulan ini, Mah juga tidak dibenarkan ditemui oleh sesiapa. Kecuali ibu atau bapa," begitulah coretan Salmah dalam suratnya yang berikut.

Lega sedikit hati Suman. Dia kelihatan ceria kembali. Surat-suratnya kepada Salmah mula menjela semula. Bukan itu saja, waktu petang atau malam, Suman mengambil kesempatan menelefon Salmah.

Pertama kali mendengar suara Salmah, Suman bagaikan sudah dapat menangkap hati dan budinya. Suaranya lembut, hatinya juga tentu lembut. Tentunya Salmah, seorang gadis yang amat pengasih dan penyayang.

Lalu bertambah kuatlah terpikatnya Suman kepada Salmah.

VI BILA sudah habis tempohnya, Salmahpun mempelawa Suman datang ke maktab untuk bertemu pandang. Suman jadi takut kembali. Kelemahan dan kekurangan dirinya semakin dirasakan.

Semakin menekan dan menghimpit dirinya.Berbagai-bagai alasan diberikan Suman untuk mengelak dari bertemu dengan Salmah. Sedangkan Salmah begitu mengharapkannya.

Hari demi hari, sudah lebih setahun Salmah menjalani latihan di maktab itu. Suman masih liat untuk menemuinya. Dia menemui Salmah hanya dengan surat dan telefon.

Sampai bila aku boleh berdalih? Tanya Suman pada dirinya sendiri.

"Abang," kata Salmah dalam telefon ketika Suman menghubunginya.

"Hah, kenapa?" tanya Suman.

"Dua hari lepas, ada kawan-kawan Mah ke pejabat abang. Mah dah tunjukkan gambar abang itu dengan kawan Mah. Tapi kata kawan Mah..."

"Apa katanya?" potong Suman.

"Katanya, rupa yang macam itu budak pejabat."

"Dia silap orang agaknya," Suman memotong cakapnya segera.

"Kalau tidak, biar Mah datang jumpa abang di pejabat itu," kata Salmah.

"Boleh juga, tapi buat sehari dua ini abang bercuti." Suman memberi alasan.

"Kalau tidak Mah ke kampung abang?"

"Biar dulu, nanti orang kampung tengok tak baik."

"Ada-ada saja abang ini." kata Salmah dengan nada kecewa.

Suman makin dicerut kegelisahan. Sampai bila dia boleh lari dari Salmah? Sampai bila dia boleh mengelak. Lambat laun tembelangnya akan meletup juga. Cinta dan kasih sayangnya kepada Salmah pasti akan berkecai.

"Aku tidak mahu berpisah dengan kau Salmah," kata-kata itu sering menjentik di hati Suman.

VII DALAM keadaan yang terdesak begitu, Suman tidak punya pilihan lain. Melainkan berhenti dari jabatan itu. Keesokan harinya, awal-awal lagi Suman sudah ke pejabat. Dia menaip surat letak jawatan serta-merta. Sebaik-baik ketua pejabatnya sampai, surat peletakan jawatan itupun dihulurkan. Alasannya ialah kerana hendak mencari kerja lain di Singapura, sedangkan umurnya waktu itu sudah hampir 18 tahun.

Suman sebenarnya tidak pergi ke Singapura. Dia pergi ke Tebung Estet di Negeri Sembilan. Kebetulan, abang saudaranya bernama Aman bekerja di situ. Dan Suman diterima bekerja di estet itu sebagai penoreh getah.

Dari Tebung Estet ke maktab itu agak jauh sedikit. Suman mula menghubungi Salmah semula. Percintaan menerusi surat berjalan semula seperti biasa. Di Tebung Estet, Suman masih tidak mahu mengalah. Dia mengatakan kepada Salmah bahawa jawatannya sebagai penolong pengurus di estet itu. Lagi hebat.

Tahun 1964 adalah tahun terakhir Salmah di maktab itu. Setiap surat cintanya, dia sentiasa mengajak Suman berjumpa. Didesaknya sungguh- sungguh. Kalau tidak katanya, dia akan mencari Suman di Tebung Estet.

Suman betul-betul terdesak. Dia tidak tahu hendak lari ke mana lagi. Diceritakan masalahnya kepada Aman, abang saudaranya.

"Kau telah banyak berbohong," kata Aman. "Tapi tidak mengapa. Kalau dia betul-betul cintakan kau, tentu dia sudi memaafkan. Cinta tidak mengenal cantik atau buruk. Kalau hati sudah suka, semuanya indah saja. Baliklah untuk pergi berjumpa dengannya."

VIII SUMAN mengalah dengan nasihat itu. Dia segera balik ke kampung. Hari itu kebetulan hari Ahad. Pagi-pagi lagi dia menelefon Salmah.

Kita berjumpa di depan panggung Rex. Tepat jam 12 tengah hari abang masuk ke pondok telefon depan panggung itu. Abang pakai seluar hitam baju putih. Kita tengok wayang selepas itu," kata Suman memberikan janjinya.

Suman menepati janjinya. Tepat jam 12 tengah hari dia masuk ke pondok telefon itu. Sebaik-baik dia masuk Salmah pun sampai. Dia dan Salmah bersaingan menuju ke panggung wayang.

Suman sudah tidak ingat filem apa yang ditontonnya hari itu. Dia cuma ingat filem Inggeris. Tajuk dan pelakonnya dia sudah lupa.

Di dalam panggung, Suman tidak berkata apa-apa kaki dan tangannya terasa sejuk. Anggotanya menggeletar. Dia malu. Dia takut.

"Kenapa abang suka cakap bohong?" tanya Salmah.

"Maafkan saya," sahut Suman.

"Baiklah, lain kali jangan cakap bohong," ujar Salmah pula.

Suman membisu saja.  Wayang belum habis Suman sudah keluar. Dia tinggalkan Salmah sendirian. Dia mengatur langkah panjang menuju ke perhentian bas.

IX SELEPAS pertemuan itu, Suman terus balik ke Tebung Estet. Dia balik bersama dengan harapan agar Salmah sudi meneruskan hubungan dengannya.

Surat Suman yang pertama selepas pertemuan itu, di balas oleh Salmah. Irama surat itu sudah sedikit berubah. Salmah memanggil Suman dengan panggilan Encik Suman, bukan abang Suman seperti biasa.

Surat kedua, ketiga, keempat dari Suman sudah tidak ada jawapan lagi. Surat kirimannya terus mati dan kaku. Tidak ada pujuk rayu dan kata mesra yang lahir dari hujung pena Salmah. Segala-segalanya sudah berakhir.

Apa yang amat menakutkan Suman sudah terjadi. Salmah yang amat dicintainya sudah lari meninggalkannya. Semuanya kesan dari pertemuan itu.

"Biarkanlah isterimu buta selama-lamanya," kata hati kecil Suman terhadap watak suami dalam cerpen yang pernah di bacanya.

X "KALAU kau setuju, abang nak jodohkan kau dengan Faridah. Faridah binti Lebai. Dia orang Pahang juga," kata abang Amannya memberi cadangan.

"Faridah yang buta itu?" soal Suman.

"Betul," angguk Aman. "Dia cantik walaupun buta. Dia pandai memasak. Pandai mengemas rumah. Ilmu agamanya tinggi. Dia boleh membersihkan hati kau yang selalu meninggi itu."

Suman bersetuju walaupun kata-kata abang Aman menyinggung sedikit perasaannya. Kisahnya sudah hampir sama dengan kisah dalam cerpen yang pernah ditatapnya itu. Allah menentukan jodohnya dengan Faridah binti Lebai.

XI "KAK Salmah kawan abang dulu itu, sepupu Dah. Masa kita kahwin dulu, dia pun ada bertandang ke rumah abang. Dia menasihatkan abang suruh belajar lagi. Kalau abang ada kelulusan, tentu abang boleh jadi penolong pengurus," kata Faridah setelah beberapa bulan menjadi isteri Suman.

Tersentak juga Suman mendengar berita itu. Tetapi tidak diambil berat sangat. Cinta dan kasihnya sekarang hanya kepada Faridah. Salmah sudah tiada lagi dari ingatannya.

"Kata Kak Salmah lagi"

"Apa katanya?" potong Suman.

"Kak Salmah ada kawan seorang doktor. Pakar mata. Katanya, doktor itu boleh mengubatkan mata Dah."

"Abang tak rela. Abang tak rela berpisah dengan kau. Abang lebih senang dengan keadaan kau yang begini," ujar Suman bersungguh-sungguh. Kata- katanya itu adalah muktamad.

Tetapi nasihat Salmah menyuruh dia belajar dipatuhi. Tahun 1966 dia lulus Ujian Kelayakan. Tahun 1968 dia lulus Malaysia School Certificate (MCE). Selepas lulus MCE. Dia diterima menjadi kerani di estet itu. Dan pada tahun 1970 Suman lulus peperiksaan Higher School Certificate dengan mendapat sijil penuh. Suman boleh masuk mana-mana universiti waktu itu sekiranya dia mahu. Bagaimanapun, selepas enam bulan kejayaan itu, Suman diterima menjadi penolong pengurus di Tebung Estet.

Dua puluh tahun kemudian Suman sudah menjadi seorang pengurus penuh. Dia bersyukur dengan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah. Dan dia berterima kasih kepada Faridah yang memberi perangsang kepadanya.

Dalam bidang penulisan juga Suman berjaya. Tidak kurang daripada 15 novel dihasilkan sejak berkahwin dengan Faridah.

Rumah  tangganya  bahagia. Allah mengurniakannya enam anak. Namun, dia masih tidak bersetuju mengubati mata isterinya yang buta itu.

No comments: