Pages

Sunday, November 22, 2015

Siapa di talian

Oleh Ismas Saring

MEMANG sudah lama aku tidak menulis cerpen. Malah, sebelum menamatkan khidmat dengan sebuah organisani akhbar kira-kira tujuh tahun lalu. Ketika masih di organisasi itu juga sudah kurang bergiat menulis cerpen, puisi dan skrip drama berbanding sebelumnya. Bidang itu secara beransur melunsur sejak membabitkan diri sebagai wartawan sepenuh masa sehingga ada kawan pernah menegur, tindakan aku memilih bidang wartawan akan membunuh bibit bakatku dalam penulisan kreatif.

Menjurus ke dalam kata-kata kawan itu, ada betulnya juga. Malah, apabila aku cuba menulis cerpen, puisi dan drama sekali dua, pengarang dan penerbit menegur aku sudah ketandusan estetika.

"Tak semacam karya kau yang dulu. Apakah tak guna terma idea, fakta, imaginasi dan estetika lagi dalam berkarya sekarang," begitu tegur seorang pengelola ruangan cerpen sebuah majalah.

Aku tidak menjawab pertanyaan itu. Oleh kerana arif seorang yang ada kuasa dan mengelolakan ruangan, dia pasti tercabar apabila dijawab. Pengalamanku di majalah Angkatan Baru dulu juga mengajar aku diam. Ketika aku diberi tanggungjawab selaku Penolong Pengarang, Angkatan Baru, aku tidak suka penulis banyak soal.

Tugas penulis ialah menghasilkan karya dan menghantar kepada penerbit (jika mahu) dan tugas menyiarnya ialah tugas pengarang atau pengelola ruangan berkenaan.

Aku pernah memilih karya Shahnon Ahmad, Azizi Haji Abdullah, R A Niza, Tengku Alias Taib dan Zakaria M Z (sekadar menyebut beberapa nama saja) sebagai penulis tamu membuat ulasan sajak dalam majalah yang dipimpin oleh Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain ketika itu. Aku juga tidak suka penulis ngomel mengenai pilihanku selaku orang yang diamanah menjaga ruangan di majalah itu.

Hari itu aku tak kerja. Pagi jam 11.30 ke klinik dan atas nasihat doktor aku dinasihatkan rehat, kalau boleh lakukan meditasi. Tenangkan fikiran. Jangan fikir nak jadi kaya. Nak motor besar. Nak pakai Merz. Duduk diam- diam dan baca buku kalau tak boleh lakukan meditasi.

Aku kenal doktor itu lebih 20 tahun lalu. Sejak belum menjadi wartawan. Dia sering membantuku, menasihatkan aku dalam masalah kesihatan. John..Dr John namanya. Untungnya 20 tahun berlalu aku dan dia masih belum mati.

"Malam tu aku tengok kau dengan menteri dalam TV," kata Dr John ketika aku mendapatkan rawatan di kliniknya, "Glamor juga. Aku dah berpuluh tahun jadi doktor tak pernah masuk TV".

"Nak masuk TV?" aku bertanya, "Senang aja".

"Macam mana?"

"Sebagai doktor, kau buat salah. Salah jahit ke, salah bagi ubat ke, atau apa-apa yang salah. Bukan saja TV, akhbarpun pakai gambar kau muka depan," aku menyarankan.

"Hhhhh...cara tu. Tak payahlah."

"Melakukan sesuatu kesalahan keutamaan besar tumpuan media. Itu dunia sekarang. Jalan mudah dan pintas dapatkan publisiti. Seorang pengurus satu status biasa, tetapi apabila melakukan penyelewengan, dia akan lebih terbilang dan menjadi tumpuan media. Lebih terkenal dan famous," sambungku sambil menahan sakit tunjaman injeksinya.

Jam di atas pintu rumahku sudah menunjuk ke angka 4.30 petang. Lepas makan ubat penahan sakit dan antibiotik, aku menghabiskan baca novelet Diari Kembara karya Sasterawan, Negara Datuk A Samad Said.

Mungkin Samad akan marah pada aku, kerana sudah lama novel itu diterbitkan (1989), kenapa baru sekarang aku membacanya. Sebelas tahun kemudian. Terus terang aku katakan, sebenarnya manusia seperti aku bukan golongan sasterawan tulen. Jadi apabila buku itu mula-mula dipasarkan aku belum membelinya. Bagiku, ketika itu, anakku sedang berperang otak di universiti perlu kepada kewangan. Jadi wang untuk beli novel (bukan karya Samad saja) kuhalakan untuk keperluan anak-anakku lebih dulu. Kalau dia nak marah, itu hak dia. Tapi kuasa membeli hak aku. Semua penulis boleh mendakwa karyanya jempolan, tetapi kuasa membeli di tangan ramai.

Jadi kalau karya sebaik The Nakelace (Guy De Maupassant), tapi tak ada pembelipun, ia hanya menjadi hiasan rak di toko buku. Kecuali buku menjadi teks sekolah, mungkin penulisnya boleh mencapai status limousine.

Semua berlaku kira-kira dua minggu dulu ketika aku pulang dari pejabat Menteri Besar Selangor di bangunan SUK Shah Alam dan ketika gerimis menimpa Jaguh, aku singgah berterduh di Kompleks PKNS.

Aku masuk ke kedai buku Marwilis di tingkat bawah. Mataku tertumpu ke rak buku novel yang dijual dengan harga gempa bumi RM2 satu. Aku menyambar rakus beberapa buah di antaranya termasuk Diari Kembara dan Bulan Tak Bermadu Di Fatehfur Shikri, (A Samad Said) Budak Beca (Pak Sako), Bersama Samad Ke Daerah Seni (Abdul Aziz HM) Anak Belantara Tropika (Azizi Haji Abdullah), Melaka Sejarah Awal Negara Kita (Bahasa Othman), Hancurnya Sebuah Keangkuhan (Fawana) dan banyak lagi.

Aku berterima kasih kepada Kedai Buku Marwilis yang membuat jualan gempa bumi kerana memberi peluang aku memborongnya. Kedai buku itu perlu menjualnya dengan harga gempa bumi daripada terus tersadai dan tak siapa mahu membelinya dengan harga asal.

Memang jadi kegemaranku begitu. Tunggu harga gempa bumi. Kadang-kadang Dewan Bahasa dan Pustaka pun ada juga masa buat jualan begitu. Sampai 70 peratus potongan sebab daripada buat semak dalam stor, lebih baik jual murah. Macam harga ayam betina pencen telor atau harga unta patah kaki.

Aku buat keputusan sepanjang waktu rehat itu untuk baca buku itu. Walaupun sudah lama, pengetahuan juga. Sebelum itu memang aku sedang membaca Gus Dur Kau Mau Ke Mana? (M Adian Husaini) dan The Best Laid Plans (Sidney Seldon), kedua-dua buku itu aku beli di Lotus Bookstore di Tanjung Pinang Riau ketika mengembara ke Kepulauan Riau awal bulan lalu.

Ketika itu aku sedang membaca novel Bulan Tak Bermadu Di Fathefur Sikri (Halaman 82), "langkah pendek-pendeklah la bang. Saya ni bukan orang lelaki," kata Zawiah. Telefon bimbitku berbunyi.

"Ismas Saring?" bunyi dalam korder suara. Suara wanita. Gadis atau makjan tak taulah.

"Yap, siapa di talian?" Balasku spontan.

"Saya. Saya nak ucapkan tahniah."

"Tahniah apa? Jangan nak buat lawaklah."

"Tahniah pasal you baca sajak. Bagus. Bersahaja tapi berkesan."

"Ha! Sajak? Baca sajak? Bila dan di mana?" Mengimbau ke Matic, Rumah Pena, DBKL, DBP, Dataran Seni, Istana Budaya. Tak pernah. Tak ada rasanya. Aku bukan penyair terbilang macam Rahman Shaari, Siti Zainon Ismail atau Lim Swee Tin yang memang ada jemputan baca puisi. Macam aku, sapa nak panggil. Baca percumapun tak ada tempat bagiku. Pooorah. Mengingat-ingat.

"Jangan nak berdalih lagi. Kan you yang baca puisi `Konklusi Sebuah Kemerdekaan' pada Malam Kerajaan Negeri Bersama Media Massa. Tak mengaku lagi?"

"Oh ya. Kenapa?"

"Saya minat you baca bersahaja dan tak menghentak-hentak atau menjerit- jerit, tak mendayu-dayu macam yang pernah saya tonton."

"Oh begitu. Terima kasih," sambutku bersahaja, "Saya baca sajak tu biasa saja. Saya bukan deklamator puisi yang cari makan dengan melompat, melonjak, menghentak-hentakkan kaki, merayu dan menjerit-jeritkan suara. Saya tak suka gitu. Saya baca santai."

"You macam Samad Said. Rambut panjang. Gondrong."

"Eih tidak. Jangan samakan saya dengan Samad Said. Samad Said Datuk dan Sasterawan Negara. Dia seorang seniman. Dia sanggup tinggalkan kerja untuk menjadi penulis dan sasterawan sepenuh masa."

"You?"

"Saya berkarya sebagai hobi saja."

"Tak serius."

"Serius dalam menghasilkan. Tapi tak serius mengamalkan."

"Kenapa?"

"Saya tidak yakin pada diri, saya boleh hidup dengan menulis dan berkarya. Karya saya tak menyengat dan saya tak ada status sebagai sasterawan. Walaupun saya mula menulis sewaktu dalam Polis Khas (darurat) dalam majalah Asmara, Singapura (al-marhum) sekitar 1956," menceceh.

"Tak boleh hidup dengan menulis?"

"Orang lain saya tak tau. Saya tak boleh. Saya perlu ada sumber pendapatan lain. Macam juga penyair. Yang ramai bukan hidup kerana sajaknya, tetapi kerana profesionnya sebagai pensyarah, guru, doktor, korporat dan maca-macam. Yang hidup dengan pendapatan puisi saja belum ada. Bohong."

"Jadi apa kerja you?"

"Banyak. Gelandangan dan sekarang bertani. Kalau sajak atau cerpen saya tak disiar atau dibayar, saya boleh hidup dengan makan pisang goreng atau hasil pertanian lain kalaupun tak mampu beli beras. Saya perlu makan untuk hidup," jawabku tegas.

Secara spontan kenanganku kembali kepada bekas ketua Pusat Latihan Polis Khas Tanjung Keling, Melaka, Leftenan Battlefield yang bertanya setiap rekrut ketika itu apa tujuan masuk SC?

Ramai yang menjawab kerana kemerdekaan. Kerana nak hapuskan komunis. Kerana nak jadi tuan di tanah air sendiri. Kerana tak mau dijajah dan kerana nak tendang Inggeris dari terus menjajah negara. Ada juga yang terlebih sudu dari kuah, nak jadi pemimpin.

Apabila sampai kepada giliran aku. Aku jawab, "Saya masuk SC kerana nak cari makan, Tuan".

Leftenan Battlefield panggil aku keluar barisan roll-call. Aku jadi gementar. Takut kena sibi (dera). Salahkah jawapan aku. Atau kurang ajar. Dalam waktu latihan dua bulan, rekrut tak boleh kurang ajar dan buat loyar buruk. Buruk padahnya.

Tanpa jawab, aku keluar barisan dan ke hadapan. Aku berhadapan dengan 24 lagi rekrut dalam barisan.

"Jawapan kamu semua bohong," Leftenan Batllefield bersuara garang kepada barisan rekrut di depanku yang berdiri tegak macam patung, "Jawapan dia jujur," sambungnya menuding kepadaku.

Lantas Leftenan yang pernah terselamat daripada Perang Korea dalam tahun 50-an itu menjelaskan, bagaimana seseorang mahu lawan penjajah,lawan komunis, jadi pemimpin kalau tak makan. Kalau perut lapar, tak berdaya nak angkat senjata. Tak daya nak berjalan pun. Nak lawan apa?.

Dia yang berasal dari Palestin agak baik bahasa Melayunya. Walaupun salah nahu dan tajwidnya, tetapi boleh difaham. Dan sejak itu rakan- rakanku menyimpan curiga. Aku sudah ada dalam hati Batttelfield. Kredit dan priority. Lebih-lebih lagi daripada 25 rekrut, aku saja yang berpendidikan sekolah menengah Inggeris.

"Oh begitu. Marah nampak?"

"Bukan marah. Geram. Pendirian hidup dipertikai."

"Ah beginilah. Sebenarnya saya minat kepada sajak itu. Ada kesungguhan, tetapi sindirannya pedih. Saya tak sempat salin. You baca cepat. Kalau boleh tolong hantar kepada saya."

"Anda minat sajak?"

"Saya tidak minat, tetapi saya meminati sajak. You lebih maklum antara minat dan meminati, pengertiannya berbeza."

"Saya bukan ahli bahasa. Nanti saya rujuk pada Dr Nik Safiah Karim.(Jika diperlukan)... Okeylah...beri alamat nanti saya kirimkan. Atau saya syorkan you beli bukunya. Sajak tu ada dalam antologi Wong Kam Pung - Seng Kaya Ngene." "Berapa?"

"Harga direct sale RM20 senaskhah. Termasuk belanja kirim."

"Ada jual di kedai buku?"

"Tak Ada. Saya buat sistem jualan langsung. Edar di kedai, nanti kulit bertukar warna, sampai haprak tak laku. Saya bukan pengarang besar. Jadi saya jual secara langsung."

"Okey! Hantar dua naskhah," arahnya.

"Eiiih, nak buat perpustakaan ke?"

"Kawan saya juga mahu."

Akhirnya aku mencatat nama dan alamat pemanggil di talian dan ambil keputusan menghantar sendiri kepadanya kerana pejabatnya tidak jauh dari pejabat aku berurusan mengendalikan pelancongan.

Aku kembali membaca Bulan Tak Bermadu Di Fathehfur Sikri halaman 83 dan meneruskan waktu rehat menanti senja berlabuh.

Wajah dan suara A Samad Said membenam dalam benakku mengingat waktu-waktu menumpang kereta Fiat 600nya di Jalan Chan Sow Lin sekitar 1967/68 dan bersamanya di bawah satu bumbung di Jalan Riong.

No comments: