Pages

Tuesday, November 17, 2015

Daerah Nusa

Oleh Nik Azman NM

AKU mahu pulang! Keputusan keberangkatan telah kubuat. Daerah ini terpaksa kutinggalkan! Daerah yang telah banyak mencetuskan persoalan tentang diri. Daerah yang banyak memberi pengalaman pada diri. Daerah Nusa!

Sewaktu melangkah menjejaki pelabuhan, sepasang mata sedang memandang padaku. Renungannya tajam. Menyerlah harapan. Bermakna!

Aku terpegun dengan renungan itu. Berbisa! Aku cuba mentafsirkan erti renungan itu. Ada perasaan halus menyelinap di hati kecilku. Aku tidak pasti!

Adakah ini suatu penghalang? Halangan yang akan membatasi langkahku? Bagaimana mungkin? Daerah ini akan kutinggalkan! Itu sudah janjiku.

Waktu itu sudah senja. Suasana di pelabuhan kurang sibuk. Hanya tinggal peniaga kecil sedang bersiap untuk pulang. Lainlah pada waktu pagi tatkala segala urusan berpusat di situ. Terutamanya hari minggu, suasananya lebih sibuk.

Senja ini memisahkan dua suasana yang berbeza. Senja tidak pernah menjanjikan apa-apa untuk penghuni pelabuhan ini. Tatkala tirai malam menutup pandangan hanya kesepian menyelubungi pelabuhan ini.

Pelabuhan sepi. Hanya lampu yang menyinari suasana. Cahayanya tidak begitu terang. Melainkan ketika bulan mengambang. Di tanah besar sana cahaya lampu dari rumah-rumah di tepi pantai jelas kelihatan. Terasa dekat pemandangan waktu malam berbanding dengan siang.

Persoalan di sebalik renungan itu belum terjawab. Aku belum boleh menumpukan fikiran pada setiap soalan. Senja menyaksikan sesuatu yang tidak teratur di pelabuhan ini. Bot yang akan membawaku belum tiba.

Kebiasaannya pada saat ini bot sudah sedia menunggu. Hari ini mungkin ada halangan. Apa pun halangan ia akan sampai. Melainkan kalau bot karam atau rosak. Minta-minta tidak.

Sebentar lagi Maghrib. Aku terpaksa sembahyang dulu sebelum berangkat. Aku perlu ke musala. Di sana dapat berehat sekejap dengan lebih tenteram. Sepasang mata itu masih merenungku tidak jauh dari arah tujuku. Renungannya masih tajam. Aku serba salah. Aku cuba hendak membalas renungannya. Mencari makna! Tapi terasa tidak perlu! Ada perasaan lain menyelinap dalam hati kecilku saat itu.

Aku melangkah menuju musalla. Fikiran masih tertumpu pada sepasang mata itu. Adakah dia mahu jawapan daripadaku? Atau mendesakku untuk bertanya sesuatu padanya? Hairan! Aku keliru dengan persoalanku sendiri. Tidak mungkin!

Dari jauh sepasang mata itu masih terus merenungku. Apa tidak kenanya aku dalam perhatiannya. Apakah dia mahu mencari jawapan? Atau mengemukakan pertanyaan? Semuanya perlu pada tafsiran! Antara soalan atau jawapan?

Aku benci dengan renungan itu. Kenapa tidak berterus terang saja padaku? Malu? Kalau malu kenapa mesti renung lama begitu? Aneh!

Dia manusia aneh? Manusia yang tidak mempunyai keyakinan diri?

Tapi sinar di sudut matanya, menyatakan dia seorang yang berkeyakinan? Mempunyai sifat tulus dan lurus?

Kenapa baru sekarang dia cuba mendekatiku? Kenapa tidak lama dulu? Kesempatan sentiasa ada? Kenapa ditunggu? Aku tidak hendak menuduh dia seorang hipokrit!

Aku senang dengan manusia yang suka berterus terang. Dan aku cukup tidak senang dengan manusia yang suka melihat kesilapan dan kelemahan orang saja. Itu sifat dayus! Manusia pengecut yang tidak mempunyai keyakinan diri! Manusia yang mudah tewas oleh hasutan hawa nafsu! Manusia yang kurang menggunakan akal fikiran dalam membuat keputusan dan tindakan.

Perasaan benciku padanya makin membara. Datanglah berdepan denganku kalau perlu. Tak perlu memandang begitu! Aku benci manusia yang dayus! Kalau ada keperluan sila datang!

Aku membalas renungannya dari jauh. Dia masih merenungku. Dia mula dapat mengesan renunganku. Dia serba salah. Dia seperti tidak sanggup bertentang mata denganku. Saat itu dia cuba mengalihkan pandangannya ke arah lain.

Dalam pada itu dia cuba mencuri pandang padaku. Apa ertinya ini? Muslihat apakah yang sedang difikirkannya? Aku cuba mengesan di sebalik raut wajahnya. Dia masih muda.

Aku terus mencari rahsia di sebalik raut wajahnya. Mentafsir setiap kerlingannya. Membaca riak pada iras parasnya. Ada makna yang tersirat di sebalik wajah ayu itu. Apa muslihat itu?

Pada tafsiranku ia bukanlah suatu muslihat. Bukan cetusan kesangsian. Ada makna sulit ingin kutafsirkan. Ada riak kejujuran terpancar dari wajah ayu itu.

Aku dikejutkan oleh alunan azan. Maghrib! Saat aku perlu mengadap pada- Nya. Aku harus melupakan segala urusan duniaku sekarang.

Selesai solat Maghrib bersama beberapa jemaah, suasana di luar sudah gelap. Malam sudah menutup pandangan. Cahaya lampu dari tanah besar sana jelas kelihatan. Bagaikan bintang-bintang yang bertaburan di langit.

Pemandangan sungguh indah di pelabuhan ini pada waktu malam. Udara dari laut bertiup segar. Lampu di pelabuhan menambahkan keasyikan ketika berada di situ. Saat suasana sudah tidak sibuk lagi.

Pandanganku terpacak pada bot yang sedang berlabuh. Sudah tiba! Aku tidak pasti bilakah bot itu tiba. Aku perlu segera ke bot. Kalau tertinggal bot, nanti terpaksa bermalam di pelabuhan ini.

Tak sanggup rasanya. Mungkin aku tidak dapat tidur dengan lena. Tidurku diganggu bunyi ombak yang semakin jelas kedengaran di kejauhan malam. Kesepian malam di pelabuhan ini dipecahkan oleh deruan ombak.

Aku melangkah cepat menuju bot. Orang tidak ramai menanti untuk berangkat. Masa berangkat sudah lewat. Sebentar lagi bot akan berlalu.

Saat aku melangkah menaiki bot, tiba-tiba langkahku dihalang. Dalam kesamaran cahaya lampu pelabuhan kuperhatikan sepasang mata merenung tajam padaku. Kupasti! Sepasang mata tadi! Aku membalas renungannya. Tiada soalan atau jawapan! Yang ada hanya diam.

Ada rahsia akan terbongkar! Pelabuhan ini akan menjadi saksinya. Malam makin sunyi. Hanya deruan ombak yang memecah kesuntian malam. Bot menunggu masa akan berlepas. Aku perlu cepat!

Sekali lagi sewaktu aku hendak melangkah menaiki bot, langkahku dihalang.

Renungan mata penuh makna tajam menikam ke wajahku. Aku mencari jawapan dalam renungan itu. Ada sinar harapan terpancar daripada hening sinarnya!

"Daerah ini tidak boleh tuan tinggalkan, misi tuan belum tamat, penghuni di sini masih memerlukan tuan!" Renungannya tajam menikam wajahku.

Ada harapan yang tertugu di sebalik wajah itu. Cahaya kebenaran yang terpancar dari sudut matanya adalah bukti.

Tanggapanku jelas silap! Penerimaan mereka tidak seperti yang kusangka. Mereka masih memerlukan bimbingan. Daerah ini tidak boleh kutinggalkan! Katanya misiku belum tamat?

"Tuan bukan Ratu Adil! Kami sudah insaf, kepercayaan kami selama ini adalah silap! Maaf!" Ada sinar keikhlasan terpancar daripada wajah ayu itu.

"Daerah ini belum ada pemimpin, harap tuan memimpinnya!" Renungan tajam kembali menikam seluruh diriku penuh harap.

Sebuah kesangsian yang membelit kejap jiwaku tadi kembali terlerai. Di depan pandanganku kini bukan lagi renungan, tapi jawapan.

Sebahagian mereka sudah tahu dan faham hakikat hidup. Hakikat diri dan hakikat kejadian yang menjadikan-Nya! Apa lagi mereka mahu? Keperluan apa lagi yang belum cukup? Titik kebenaran sudah ditemui! Apa lagi?

Daerah ini adalah daerah kesucian! Daerah yang melahirkan ramai tokoh terbilang sebelumnya. Sejarah berulang, dan akan lahir lagi tokoh berwibawa yang bakal menjadi pembimbing dan pemimpin mereka.

Bot berlepas meninggalkan pelabuhan menuju destinasi. Langkahku masih terhenti di hujung pelantar pelabuhan. Deruan ombak terus memecah kesunyian malam.

Dalam kesamaran cahaya lampu pelabuhan kutemui jawapan di sebalik renungan itu. Dia menuntut pengharapan yang besar! Pimpinan daerah! Pimpinan ummah!

"Agama tidak dapat dibangunkan dalam keadaan ummah yang berkecai." Berdetik suara hati.

Sewaktu aku meninggalkan pelabuhan dan mendiami semula daerah ini ternyata ada keserasian. Keserasian untuk diri dan untuk mereka yang memerlukan.

Daerah kesucian ini perlu dipelihara dan dijaga daripada pengaruh yang tidak menguntungkan ummah. Mesti dibendung dari ancaman budaya dan ideologi! Bukan dengan lari menyembunyikan diri, tetapi dengan berdepan secara berani tetapi bijaksana. Keteguhan akidah dan perpaduan ummah!

Daerah Nusa!

No comments: