Oleh SM Zakir
MEREKA lahir daripada lahar, ribut dan api. Mereka adalah pemburu yang lahir bersama kejahatan pertama yang terpisah daripada rusuk manusia pertama. Mereka adalah pemburu yang menghumbankan manusia pertama keluar dari syurga. Langit mereka hitam dan kelam. Bumi mereka gelap dan likat. Seluruh ruang dan waktu adalah rimba perburuan mereka. Hidup dan mati tidak mempunyai sebarang makna dan sebarang garis pemisah bagi mereka. Mereka hidup dan terus hidup. Memburu dan terus memburu. Mereka pemburu yang wujud pada setiap jasad yang digumpal dari setiap ketulan tanah. Mereka pemburu yang mengendarai setiap roh yang tertanam di dalam setiap jasad yang bernyawa. Sama ada di langit atau di bumi, di liang angin dan di reroma bumi, mereka adalah pemburu yang matlamatnya cuma satu - membunuh setiap kebaikan dan kebenaran!
Di bawah langit yang gelita, mereka mengendarai malam yang gelap merempuh rimba, gurun, samudera, gunung dan jurang. Mereka memburu dan memburu hingga akhirnya langkah mereka dipaku di sebuah daerah lembah di pertemuan dua laut. Mereka terhenti di hadapan seorang manusia yang sedang bertelut antara dua sujud. Di antara lembah dan laut manusia ini mengapungkan dirinya di atas saf zikir yang bergemerlapan memampati rongga udara sehingga ruang yang ditempatinya jadi terang bercahaya bagai bintang di langit tujuh.
Inilah buruan kita yang paling mahal!
Inilah buruan kita yang paling agung!
Inilah buruan kita yang paling terpilih!
Mereka menjerit, bertempik dan menari-nari mengelilingi daerah cahaya lelaki itu. Serentak itu mereka mula menghujani segala senjata dan kebuasan mereka membekati lelaki itu. Namun semua senjata dan kebuasan mereka gugur menjadi bunga sebelum mencapai hatta segaris cahaya yang mengepung lelaki itu. Mereka mula gempar. Sungguh. Memang seluruh senjata dan segala kebuasan mereka gugur bagai debu kosong. Lelaki itu terus dimampati oleh saf zikir yang semakin lama semakin membesar.
Sebelum sempat mereka berkerdip, saf zikir telah mengepung mereka. Mengepung dan mengepung hingga tidak membenarkan walau setitik zarah melepasinya. Mereka benar-benar kalut.
Sebelum sempat mereka berkerdip lagi, saf zikir itu telah merantai mereka. Merantai dan merantai hingga tidak membenarkan walau sederit gerak pun berdetak.
Kamu telah aku rantai! Kamu sesungguhnya adalah pemburu yang tidak boleh aku bunuh. Kamu adalah pemburu binal yang hanya boleh aku kawal dan rantai. Kini kamu adalah tebusanku yang akan aku kendarai untuk menyempurnakan kemanusiaanku. Lelaki itu kemudian dengan mampatan saf zikirnya yang bergemerlapan itu menghela mereka menurutnya. Mereka sudah tidak mempunyai apa-apa daya dan kekuatan untuk melawan mahupun membantah. Mereka benar-benar kalah dan terpasung di dalam kekuasaan lelaki itu.
Untuk menyempurnakan kemanusiaanku, tujuh lembah terpaksa aku harungi. Dengan kamu, wahai para pemburu yang menjadi kenderaan pasunganku, akan bersamaku mengharungi tujuh lembah itu.
Lelaki dan mereka memasuki lembah yang pertama. Lembah pertama ini ialah lembah kebinatangan. Lembah ini gelap dan kotor. Di sana sini hanya bergempa ngauman liar dan pesta hilai yang begitu huru hara. Mereka berasa nyaman. Inilah lembah yang harus mereka duduki. Ini lembah yang nyaman. Mereka menggeletak keghairahan. Menggeletak cuba membebaskan diri mereka daripada rantai lelaki itu. Namun itu semua sia-sia. Semakin dicuba semakin ketat dan perit rantai itu membelit mereka. Mereka tahu ini adalah lembah yang mereka gelumangi. Di lembah ini, mereka memburu manusia dengan mengumpankan godaan kejahatan. Di lembah ini mereka membina sangkar perangkap yang menjadikan kebaikan dan kejahatan tidak ada bezanya. Menciptakan perangkap yang menjadikan kejahatan itu indah dan kebaikan itu hina. Dan buruan mereka menjadi lega dan gembira apabila berada dalam kejahatan. Hingga akhirnya buruan ini terkulai di tangan mereka dengan mudah. Di lembah ini mereka menggunakan senjata dan perangkap yang bernama bakhil, tamak dan cintakan dunia, panjang angan-angan, sombong takbur, cinta kemegahan dan kemasyhuran dunia, hasad dengki, dendam kesumat, khianat dan niat jahat, dan lalai serta leka. Senjata dan perangkap ini menewaskan buruan mereka dengan mudah. Agh! indah sekali lembah ini. Mereka mengecurkan liur namun mereka disentak dengan keras. Perit rantai membuatkan mereka sedar keadaan mereka. Mereka disentak dan ditarik dengan rantai zikir yang keras dan bertalu-talu tanpa henti. Lelaki itu menarik mereka keluar dari lembah pertama.
Lelaki itu mengenderai mereka memasuki lembah kedua. Lembah kedua ini adalah lembah perlawanan. Lembah ini masih gelap dan kotor tetapi tidak sekotor lembah pertama. Di lembah ini kali pertama mereka menghadapi perlawanan daripada buruan mereka. Di lembah ini buruan agak menentang. Buruan mereka di lembah ini agak gemar berfikir, mencuba memperbaiki kelemahan diri, melawan dan cuba membezakan kejahatan yang mereka umpankan. Di lembah ini mereka menggunakan senjata dan perangkap yang lebih baik daripada lembah pertama. Mereka menggunakan senjata dan perangkap yang bernama mencela diri sendiri, hairan dan takjub kepada diri sendiri, ujub, riak, gemarkan pujian orang, sumaah dan alpa. Mereka mula berasakan benih perlawanan di lembah ini. Namun mereka masih mempunyai senjata dan perangkap yang kuat di lembah ini. Semangat mereka membara dengan rasa jiwa pemburu dan menghadapi buruan yang semakin mencabar, namun sekali lagi mereka sedar mereka sedang ditunggangi oleh lelaki penzikir itu. Rantai zikir lelaki itu semakin kuat dan keras. Peritnya menusuk sekali. Zikir itu sudah tidak bermain di lidah lagi tetapi sudah memerosok ke dalam kalbu. Zikir itu menjadi tambah dalam dan kuat hingga mereka tidak mempunyai daya lagi untuk melawan.
Mereka terus dikendarai hingga memasuki lembah ketiga. Lembah ini lembah ilham. Lembah ini semakin gersang buat mereka. Di sini perburuan tidak banyak dan sukar. Mereka menghadapi kepayahan di lembah ini. Di lembah ini perlawanan itu semakin hebat bahkan perlawanan itu sehingga berhasil melebur dan menghancurkan sebahagian daripada mereka. Senjata dan perangkap mereka harus lebih baik dan kuat. Di sini kesukaran mereka bermula. Di lembah ini ekoran perlawanan keras daripada buruan membuatkan mereka tidak memperoleh buruan yang banyak. Di sini buruan pula yang mempunyai senjata dan perangkap yang menewaskan sebahagian daripada mereka. Buruan mempunyai senjata dan perangkap yang menjadi perisai daripada mereka seperti pemurah dan tidak sayangkan harta iaitu sakhawah, cukup dengan kurniaan yang ada iaitu qana'ah, berilmu laduni atau ilham, merendah diri iaitu tawaduk, taubat hakiki, sabar hakiki, cekal dalam kesusahan serta kesengsaraan dan teguh. Mereka harus berjuang keras dalam perburuan di lembah ini. Mereka kemudian menyedari bahawa rantai zikir yang membelenggu mereka semakin kuat. Di sini zikir yang mengalir di dalam kalbu tadi telah menyelinap dan bersembunyi di dalam roh iaitu batin bagi kalbu. Zikir menjadi sentiasa hidup dan kuat. Di lembah ini mereka menemui dua senjata hebat para buruan iaitu fana dan syuhud yang terhasil ekoran kebersihan hati. Pembersihan hati ini pula dilakukan oleh `nur' dan `waridah' yang didapati daripada kesungguhan amalan wirid tarikat dan mujahadah. Walau begitu, satu kelemahan buruan mereka di lembah ini yang mana menjadi senjata untuk mereka menyerang dan menewaskan buruan ialah senjata pertahanan buruan ini masih tidak mencapai tahap istiqamah. Di sedikit kelekaan, mereka akan pantas menewaskan buruan di lembah ini. Aghhh! Mereka ditarik dan dipacu keluar dari lembah ketiga itu. Mereka kini menjadi semakin tidak berdaya. Lembah demi lembah ini semakin lama semakin menyukar dan memeritkan mereka.
Lelaki itu terus memacu mereka memasuki lembah keempat. Lembah ini lembah ilmu yang pasti. Lembah ini semakin menyengsarakan mereka. Di sini mereka terpaksa bertempur hebat dan menggunakan segenap kelebihan dan kehandalan yang ada. Lembah ini adalah kediaman para pahlawan perkasa. Mereka bukan sembarangan buruan lagi. Pertahanan mereka kukuh dan keras. Kubu kukuh mereka dibina daripada murah hati dan ikhlas, tawakal yang benar, ibadat yang benar, syukur yang benar, reda yang benar, dan takwa yang benar. Lembah ini adalah lembah yang menghancurkan mereka. Mereka lebur di sini. Di sini mereka ditewas dan diperhambakan oleh para pahlawan dan aulia yang perkasa ini. Zikir para pahlawan dan aulia di lembah ini bukan lagi bermain di dalam roh tetapi telah jauh dan keras ke dalam sirr iaitu batin bagi roh. Zikir para pahlawan dan para aulia ini menjadi bersebati dengan denyutan nadi. Setiap perbuatan para pahlawan dan para aulia ini lahir bersama dan senyata dengan zat Maha Agung. Mereka benar- benar menjadi kerdil dan hina di sini.
Lelaki itu terus mengheret mereka ke lembah kelima. Lembah ini lembah keredaan. Mereka tidak punya apa-apa lagi di sini. Lembah ini adalah tempat mereka dipenjara dan dikuasai. Penghuni di sini bukan para buruan lagi tetapi para penjaga yang keras dan tegas. Mereka sedikit pun tidak menjadi ancaman kepada penghuni di sini. Mereka telah terkikis dari lembah ini. Penghuni di lembah ini adalah manusia yang sudah hilang segala keinginan selain daripada keinginan kepada keredaan. Zikir penghuni lembah kelima ini telah tenggelam ke dalam suatu persembunyian rahsia atau sirrusirri. Penghuni lembah kelima ini tidak melihat apa-apa lagi selain daripada nikmat keredaan. Mereka wujud tetapi seperti mati di lembah ini. Penghuni lembah ini tidak mempedulikan mereka dan penghuni lembah ini juga tidak mempunyai sebarang liang yang dapat mereka masuki bagi perburuan mereka. Mereka lapar, letih dan dungu di lembah ini.
Lelaki itu tanpa mempedulikan kesengsaraan mereka terus mengendarai mereka memasuki lembah ke enam. Lembah ini lembah penghadiran. Lembah ini adalah yang paling keras hukumannya bagi pemburu seperti mereka. Di sini mereka hanya wujud kerana ihsan dan belas. Lembah ini penjara yang maha kukuh buat mereka. Mereka bukan lagi pemburu tetapi abdi. Penghuni di lembah ini adalah yang terpilih antara yang ada. Percakapan, perbuatan dan segala yang keluar daripada penghuni lembah keenam ini adalah semuanya pengaliran daripada keredaan zat Yang Paling Agung. Di lembah keenam ini, kenikmatan dan kelazatan memenuhi seluruh lembah. Kenikmatan dan kelazatan daripada cinta dan kepada cinta zat Yang Maha Agung. Zikir penghuni lembah ketujuh hadir sebagai yang kekal dan hidup dalam satu persemadian rahsia yang disebut akhfa yakni batin bagi sirrusirri. Mereka menjadi abdi di sini.
Akhirnya kesengsaraan mereka disucikan di lembah ketujuh. Lembah ini lembah kesempurnaan. Lelaki mengendarai mereka perlahan hingga tiba di lembah ketujuh. Di hadapan lembah ketujuh, lelaki itu berhenti. Kemudian seperti kapas yang ditiup bayu lelaki itu bergerak memasuki lembah ketujuh. Mereka yang sudah menjadi setitis kabus terheret sama melayang menuruti lelaki itu. Lembah ini putih tanpa ada walau segaris zarah kehitaman. Silau cahaya membutakan mereka. Namun gamitan rasa yang bening, mulus dan suci itu menarik mereka bagai tarikan kutub yang amat hebat. Di sinilah kesempurnaan kemanusiaan yang dicari-cari lelaki itu. Di lembah ketujuh ini roh dan hati menjadi kekal dengan zat Yang Maha Agung. Penghuni di sini adalah yang terpilih antara yang terpilih. Di sini manusia mencapai kesempurnaannya. Dan mereka para pemburu menjadi suci dan tenggelam ke dalam rahsia zikir yang dalam. Seluruhnya di sini adalah putih tanpa sezarah garis hitam. Seluruhnya di sini adalah keredaan, keikhlasan dan kesucian yang melangiti ruang.
Di sini akhirnya mereka bertanya kepada lelaki itu tentang siapakah sebenarnya dia. Aku adalah aulia yang pernah ditemui oleh seorang rasul di pertemuan antara dua laut.

No comments:
Post a Comment