Pages

Monday, November 09, 2015

Bukan Rajuk Mak! Bukan.!

Oleh Anas K Hadimaja

AYAHNDA memperkemaskan sila yang memang pun kemas. Seraut biji mata memerhati pemuda 17 tahun usia, duduk di tempat ayahanda mengajarkan ilmu wahyu dan tafsir yang paling betul. Lebih banyak lagi yang memerhati gerak geri ayahanda. Tidak mudah ayahanda menganguk begitu. Sudah lebih sejam pemuda itu bercakap, belum sepatahpun katanya dicela dan belum juga sekali ayahanda mengelengkan kepala.

Biasanya, sepuluh minit saja anak ayahanda bercakap di ruang itu, beliau sama ada mengeleng, berdehem, batuk-batuk tua atau mencelah dalam bentuk soalan, dan lebih malang lagi kepada yang bercakap di depan itu jika ayahanda membetulkan jalan fikiran calon Tok Guru itu. Kalau sampai demikian, biasanya kena tunggu setahun, atau dua tiga tahun lagi pada perguruan itu.

Ayahanda tidak peduli anakanda yang begitu taraf ilmunya sudah bertunang, nikah gantung atau apapun. Paling baik kalau diberi cuti selama sebulan (jika ayah-ibu kandung sakit tenat). Yang degil, tiada diberi tauliah, yakni keizinan mengajar. Tauliah atau ijazah itu bukan sekeping kertas dengan cap rasmi, seperti pengeluar lesen ilmu atau kuasa pengiktirafan penyukat ilmu di al-Azhar dan sebagainya. Tauliah ayahanda hanya akad halal menghalal dan izin mengizinkan yang diajar dan yang mempelajari dengan doa dan restu ayahanda meminta Allah sempurnakan dan berkatkan ilmu yang diajar dan yang dipelajari serta dilapangkan akal dan dada "anaknda aku ini" kurniakan sentiasa taufik dan hidayah, jadikan akal, rasa, renungan dan pendengaran serta perasaan sentiasa sujud di bawah kekuasaan dan kebesaran Engkau ya Allah, Ya Tuhanku. Lebih daripada itu, ayahanda menuntut bersumpah tidak akan mengambil upah daripada kerja mengajar manusia dengan ilmu pusaka nabi Muhammad SAW, wakil rasmi lagi mutlak Allah SWT.

Ayahanda, mengikut faham orang Islam sekarang masuk dalam istilah ulama kuno, konservatif, fanatik, ekstrem, atau apa juga yang mengarah kepada maksud itu. Beliau mengharamkan diri memakai apa juga fesyen pakaian Yahudi, Kristian, Buddha, dan Hindu. Dia tidak pernah bermisai, sebab, hidung yang bersambung dagu itu kalau dibubuh misai dan tiada jambang dan janggut, jika ditatap dan diteliti dengan halus, di situ terbentang lambang salib. Makanya ayahanda hanya menyimpan janggut, supaya ada bezanya antara lelaki dengan perempuan, yang tak bermisai, tak berjanggut. Haram lelaki menyerupai perempuan dan haram perempuan menyerupai lelaki.

Pada tahun 1907, ayahanda berumur sepuluh tahun dibawa bapa saudaranya ke Makkah. Rombongan tiga keluarga itu pergi satu kapal layar. Mereka berhenti di Madras, membaiki kerosakan dan mengambil bekalan. Demikian besarnya risiko yang mereka nekad menempuhnya. Sebelum itu, fardu ain dan kifayah dikumpul dan diamalkan bertahun lamanya. Ibadah haji masa itu memang benar taubat nasuha! Memang pergi melengkapkan rukun kelima. Maka haji punya martabat tinggi. Tanda seseorang layak mendoakan mukmin lain, atau memegang amanah atau mengimamkan solat.

Cerita ayahanda itu lagi, selama empat bulan empat hari di Madras, beliau dan rombongannya tinggal di Musafir Khana. Separuh jemaah menderita sakit dan memerlukan rawatan. Sejam setengah sebelum sauh dibongkar, tujuh orang yang paling uzur merangkak ke kapal, walaupun ada masyarakat Tamil Muslim yang mahu memelihara mereka dan selepas sihat membawanya ke Jeddah. Mereka nekad untuk mati dalam pelayaran dan dikebumikan ke dasar laut. "Niat aku ke Kaabah, terbang nyawa baru aku berhenti!" Kata Tok Oyang Berima, 88 tahun, bekas pendekar termuda dalam angkatan Raja Ali Haji memerangi Belanda.

Demikianlah, kapal berlayar sedang tabir bersalut kajang nipah belum sempurna kerosakannya diperbaiki, meneruskan pelayaran. Cerita ayahanda lagi, ketika tiba di Jeddah, lima daripada 32 ahli rombongannya berkubur di dasar laut, dua puluh orang sakit teruk.

Selesai mengerjakan umrah yang diikuti haji, daripada 27 orang, yang hidup tinggal 13 orang. Mereka meneruskan perjalanan ke Madinah dengan menaiki unta mengambil masa dua hingga tiga minggu. Perjalanan ke Madinah juga tidak ada jaminan selamat. Mengikut ayahanda lagi, nasib mereka baik bagi perjalanan pergi. Tetapi, perjalanan pulang ke Makkah untuk ke Jeddah selepas Tawaf Widak untuk pulang ke Semenanjung dengan kapal layar yang masih perlu diperbaiki (itu pun kalau masih ada di pangkalan) enam orang terkorban berperang dengan perompak Badwi. Daripada tujuh orang yang hidup, lelaki yang sempurna kesihatannya hanya tiga orang: ayahanda sendiri, abang saudaranya berusia 23 tahun dan bapa saudara sebelah ibunya berusia 62 tahun. Mereka bertiga tiada yang tahu belayar. Akhirnya terpaksa tinggal di Makkah menanti peluang pulang ke tanah jawi.

Ayahanda mendalami ilmu di Masjidil Haram. Bapa saudaranya meninggal setahun kemudian dan abang saudaranya bernikah dengan orang Syria dan pindah ke Damsiq meninggalkannya di Makkah.

Dia menetap di Makkah, belajar dan mengajar ilmu empat mazhab selama lebih 30 tahun, membujang sehingga perang antara daulat Othmaniah dengan tentera Badwi mazhab Wahabi. Keadaan itu membuatkan ayahanda ulama mutaamilin yang hingga akhir hayatnya tidak tunduk kepada ulama muakkal yang dicapnya sebagai kaum muda, perkakas penyagak ilmu Islam, murid derhaka dari Eropah dan Amerika.

"Payah aku nak percaya ilmu ulama berjambul, bermisai dan berkot macam orang putih! Setakat pandai cakap Arab, kerana lama di Makkah saja belum sempurna. Unta, lahir dan mati di Makkah bolehkah dijadikan imam?" Katanya. Orang tua yang hafaz lebih 5,000 hadis dengan rawinya sekali, hafal al-Quran dengan asbabulnuzulnya, berkemahiran nahu, syaraf, mantik, bayan, maani, balaghah, badik dan segala yang membolehkannya membuat dan mengeluarkan fatwa syariat membolehkannya mengajar ilmu yang tersimpan dalam kitab Iknak karangan Syeikh Ramli, berkali-kali ayahanda dijemput Sultan Perak menjadi Mufti, namun tetap ditolaknya dengan kebijaksanaan. Warak. Zuhud dan abidnya menyempurnakan diri dan peribadi beliau sebagai imam dan ulama mujtahid. Sheikh Abdullah Fahim dan Dr Burhanuddin al- Hilmy, Tok Kenali, Tok Ku Pulau Manis, Sheikh Daud al-Fatoni, Kiyai Chokroaminoto adalah ulama sezamannya.

Malam ini selepas solat Maghrib, seperti amalannya setiap tahun menunggu tibanya bulan Zulhijjah atau Rabiulawal, ayahanda mengadakan ujian kemampuan muridiin menjadi dai yang disebut ayahanda Warid.

"Pertama, selama jadi murid mesti wiridkan ilmu yang dituntut, selepas mahir mewiridkan ilmu yang dituntut, barulah boleh jadi warid!" katanya.

Pemuda yang sedang menjalani ujian mengajar itu, usianya baru 17 tahun adalah murid ayahanda yang ke 40 dan paling muda diuji sejak 20 Syawal tahun itu; Muhammad bin Ahmad Faqir namanya, qari dan tokoh qasidah di perguruan Abdullah Hussaini yang digilai oleh semua gadis di sekitar kawasan perguruan itu. Mat Fakih, diketahui semua pada perguruan itu sebagai anak emas, anak angkat dan murid paling akrab dan paling dikasihi Tuan Sheikh Abdullah Husaini, ayahanda yang sudah 78 tahun usianya.

Malah, ramai yang menduga bukan hal mustahil kalau Mat Fakih, murid yang biasa ganti ayahanda imamkan solat Subuh apabila beliau keuzuran akhirnya menjadi menantu bongsu tuan guru mereka. Cerita Faridah, anak bungsu Tok Guru menggilai Mat Fakih sejak majlis ikhtifal dua tahun lalu bukanlah rahsia lagi. Jika pergaulan lelaki-wanita tidak dikawal ketat oleh ayahanda, si Faridah sudah tentu tiba di pondok Mat Fakeh.

Tepat dua jam tiga puluh minit Muhammad bin Ahmad Fakeh mengajar tanpa sebarang gangguan, juga daripada ayahanda, barulah dia selesai dengan ucapan WalLahu alam yang disambut pula dengan SubhanalLah dan Masya Allah dan Barokallah. Ayahanda berdiri dengan segala kesakitan lutut yang sudah tujuh tahun bengkak, dengan langkah berat dan payah, ke depan memeluk muridnya itu.

Seketika diarahkannya bilal azan Isyak. Tidak dibenarkan soal jawab lagi. Muhammad bin Ahmad Fakeh, satu-satunya murid yang lepas dari soalan mengenai butir ilmu yang dikuliahkannya dalam ujian itu.

Dia mulai mengaji di perguruan ini - terus dengan ayahanda semenjak usianya enam tahun. Dia belajar dan diajar ilmu nahu dan syarah bahasa wahyu oleh Tuan Sheikh alias ayahanda. Dia anak kedua dari tiga anak ayah dari segi biologinya. Orang tua lelakinya meninggal dunia setahun selepas menyerahkan Muhammad menjadi murid tuan guru itu. Selama sebelas tahun mengkhadamkan diri kepada Tuan Guru, selama itu tidak pernah dia pulang ke kampungnya. Selama itu beratus kali tidurnya dihiasi mimpi tawaf dan solat di tempat imam besar Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Berkali pula mimpi itu dirujukkan kepada ayahanda, tetapi orang tua itu tidak menjawab walaupun sepatah, melainkan wajah muridnya ditenungnya lama-lama.

"Ya Allah, Ya Rasulullah, ya ayahanda, rindunya hatiku ini akan maqam Rasulullah, rindu serindu-rindunya aku akan Kaabah!" Tangisnya sambil tunduk. "Berkatkanlah akan ilmu ayahnda! Doakan biar aku tiba di Makkah, boleh aku kerjakan haji ayah dan emakku, ayahanda!" ucapnya pada satu Subuh hening sementara menunggu jumaah tiba. Ayahanda uzur betul hari itu. Dan Subuh itu pertama kalinya dia jadi imam solat Subuh. Itulah kali pertama gurunya dan rakannya seperguruannya mendengar Muhammad bin Ahmad Fakir membaca al-Fatihah dengan suara yang mendirikan bulu roma dan memilu lagi mengecutkan perut jemaah dengan sebutan yang fasih, jelas, terang dengan laguan seperti seorang hamba yang sedang memohon belas, ikhsan, ampun dan kasihan tuannya, yang cukup diketahuinya akan kemutlakan kuasanya. Tidak ada sebiji juapun mata yang tidak basah selepas salam penamat Subuh itu. Ayahanda sendiri, kepada sahabat akrabnya mengakui ada kekeramatan Muhammad bin Ahmad Fakir pada bacaan al-Fatihah itu. Beliau sendiri menangis kerana gagal membendung kesayuan yang digetarkan suara itu.

Sejumlah 39 orang murid lain menangung di dada menunggu keputusan ujian yang mereka lalui sejak 40 hari lalu. Lepas, luluskah tidak? Dapatkah aku balik? Tamatkah belum kajianku di sini? Akibat dan bahana kebimbangan keputusan ujian mengajar itu, ada yang berbelas kali mengangkat takbir solat Isyak! Terlalu lama rasanya menunggu lepas Subuh esok dan pergi ke papan kenyataan melihat senarai nama yang kena ulang lagi awal Muharam nanti.

Muhammad bin Ahmad Fakir juga bimbang. Kebimbangannya sejak seminggu yang lalu. Dia menerima surat ibunya yang ditulis Siti Aminah, anak saudara emaknya yang tiga tahun lebih muda darinya. Siti Aminah pernah ziarah keperguruan ini dengan emaknya. Ketika itu hati Muhammad bin Ahmad Fakir terdetak dan dia terasa lengguk lentuk Aminah kelak jodohnya. Surat itu memberitahu ibunya sakit, abangnya yang tua, yang menelayan di Pulau Sembilan sudah dua minggu tiada kedengaran khabar beritanya; adik bongsunya Maheran nyaris lemas di Beting Beras Basah kerana leka memunggut kerang dan siput bebaras dan kepah. Paling mendebarkan Aminah mencatatkan: Abang tercinta, apa kata abang kalau Nah dikahwini orang lain? Nah tak sudi, tak suka, tak ingin, tak rela tak bahagia dikahwinkan lelaki lain bang! Nah nak abang juga bang! Kalau tak abang, biarlah Nah mati. Lagipun Nah belum cukup besar. Nah nak terus belajar sekolah Arab sambil nanti abang habis mengaji dan balik ke kampung kita buka sekolah Arab, macam yang Makwa kata. Ni sekarang ni, si Malik gatal anak Tok Long miang tu sudah pinang Nah. Dan ayah, kata emak sudah terima. Mati. Matilah Nah abang!

Berat sekali kesan nota itu kepada hati remaja Muhammad bin Ahmad Fakir. Sifat pendiamnya menyebabkan hatinya jarang sedih, jarang sayu dan tak tahu makna risau, hanya apabila terkenangkan ayah kandungnya. Surat dan catatan itu menutupkan keriangan dan ketenangannya. Dan semenjak itu, tubuhnya saja di perguruan, hati nuraninya sudah berada di kampung, di pinggir Selat Melaka. Penanggungannya lebih berat oleh menahan kerinduan akan pusara Rasulullah di Madinah. Mimpi tawaf dan solat di depan Kaabah dan duduk di sisi makam Rasulullah hampir berselang malam. Beberapa kali bertemu dengan orang berjubah putih, lengkap dengan serbannya di pusara Rasulullah, orang yang seri wajahnya mengalahkan sinar matahari dan memalukan sinar purnama empat belas haribulan yang dengan bahasa Arab Quraisy menjawab salamnya: Waalaikumsalam ya ahliLah. Jemput silakan hai pemuda mukmin. Selamat datang ke Madinah. Selamat datang ke masjid.

Muhammad terjaga. Selepas solat witir ia tidur semula dan mimpi itu bersambung lagi.

Berat bebanan hatinya diringankan dengan membanyakkan membaca al-Quran, berzanji dan qasidah ahli sufi muktabar.

Perubahan kelakuannya yang lebih banyak termangu bahkan menangis sambil membawakan qasidah dan ayat suci al-Quran itu menarik perhatian guru dan beberapa rakan karibnya. Tetapi, tiada siapapun bertanya.

Keputusan ujian mengajarkan ilmu Allah dan rasul-Nya itu sudah diumumkan. Yang lulus tahun itu paling ramai iaitu 28 orang. Muhammad bin Ahmad Fakir paling sempurna. Dia memperoleh darjat Warosatulmursyidin dan al-Khalifatul Muridin. Satu acara timbang terima dan halal menghalalkan antara murid dan guru diadakan. Ayahanda menghadiahkan serban dan jubah yang puluhan tahun dipakainya hanya untuk solat Jumaat. Seutas tasbih dan sebotol atar kasturi yang dibawa dari Makkah berpuluh tahun dulu dihadiahkan sebagai pelengkap manifestasi kegembiraan kejayaan muridnya.

Ketika syarahan perpisahan, berkali ayahanda menahan sebak dadanya. Kebanyakan yang hadir ikut sama menangis. Kerasnya disiplin di perguruan itu tidak siapapun ingat lagi. Beberapa murid yang tua berasa suatu perasaan yang tidak enak: Mat Fakih inikah murid bongsunya?

Umat Muhammad SAW ini pendek sangat umurnya. Manfaatkan umur kita. Berkatkan setiap denyut nadi jantung dengan berbuat baik. Bersihkan diri dari bahaya syirik khafi dan syirik jalli. Aku telah bayar hutangku dengan mengajar engkau semua anakku. Renungkanlah pula hutang dirimu. Aku bukan ahli nujum, namun bayangan firasatku, nanti akan tiba masanya jumlah mukmin di negara ini melebihi 10 juta selepas Hijriyah 1400, raja Makkah akan tunduk kepada kaum kafir. Bumi Kanaan akan musnah oleh keganasan Yahudi dan Kristian. Pada masa itu Raja Makkah, membuat banyak halanga mengawal manusia menziarahi Makkah sebagai Abu Sufian dan Abu Jahal membuat peraturan menghalang orang mengerjakan haji. Raja Makkah menghalau orang Yaman dan Hadrami keluar dari Makkah.

Di Semenanjung akan dibangkitkan Allah SWT seorang yang jahil di mata manusia, tetapi cerdik dan bijaksana pada mata Allah. Manusia berjiwa besar, berhemah tinggi ini akan memimpin umah keluar dari perangkap penjajahan minda. Dia syuhadak zaman kamu. Fahamilah dia, sokongilah dia. Doakan dia. Dialah tokoh yang berani membongkar segala tipu muslihat kafir seluruh dunia. Dia tidak berserban, tidak berjubah, tidak berjanggut, tidak berjambang. Dialah pemimpin yang tidak mengenal erti takut selain hanya kepada Allah. Dia meletakkan nyawanya untuk mukmin yang waktu itu lebih 10 juta jumlahnya.

Kaum nabi Lut bangkit semula. Ulama, imam yang berjubah dan berserban serta berjanggut menabur fitnah dan fatwa ikut sedap sendiri. Orang ke Makkah bukan jitu untuk beribadah kepada Allah. Jaga-jagalah. Hubaya- hubayalah. Aku haramkan ilmu yang aku ajarkan untuk faedah dunia. Latihlah diri dan hati hidup sederhana. Fahami nasib malang kafir di keliling kamu supaya kasih kamu akan kafir lalu mendoakan supaya Allah taufikkan mereka dengan iman. Mudah-mudahan anakanda semua terlepas daripada ujian dan seksaan dunia.Ya Allah, selamat dan redakanlah negara ini dengan sekalian penduduknya. Ya Rahman.Ya Rahim!

Muhammad bin Ahmad Fakir diberi penghormatan membalas ucapan ayahanda, namun dia tidak mampu mengucapkan sebarang kata kecuali pernyataan syukur dan terima kasih atas murah hati guru mengajarkan ilmu untuk kampung dunia dan akhirat.

Lepas Subuh Jumaat itu, Muhammad mengemaskan barang-barangnya yang hendak di bawa pulang. Tidak pun seberapa, kerana banyak yang disedekahkan. Sejadah pemberian ibunya memang tidak pernah ditinggalkan.

Dan ayahanda menjemputnya makan tengah hari di rumahnya. Jemputan itu satu tradisi dan penghormatan kepada murid yang disayangi. Jemputan itu di sampaikan Faridah. Itulah pertama dan terakhir Faridah ke pondoknya.

Ketika masuk ke pintu anjung rumah kayu ayahanda, Faridah jugalah yang menyambut. Bondanya sedikit uzur, namun tetap juga ikut sama Faridah menyambut Muhammad.

Walid, bang Mat sudah datang

Sudah sempurnakah hidangannya? Sedap betulkah hidangan anak Walid ini? Katanya dalam bahasa Arab. Kulit Faridah yang puteh merah serta merta kerana malu.

Entah... katanya sambil hendak lari.

Hey! bersuara ayahanya.

"Ya, saya" suara Faridah rendah sambil tunduk.

"Ada yang kau nak katakan kan?" kata orang tua itu.

"Haa. Abang Muhammad tu walid, baik kan? Kan?"

"Hum, lebih baik lagi kalau dia pinang kau". Gurau ayahnya yang selamba itu disambut Faridah dengan meluru ke dapur menyendukkan nasi.

Murid itu selepas berdoa lalu makan berdua gurunya. Bonda duduk meraikan. Faridah bersimpuh di balik dinding. Selesai makan, Faridah menghidangkan pembasuh mulut. Lepas menghidangkan pembasuh mulut, semacam berat punggung Faridah hendak bangkit. Dia lalu bersimpuh merenung lantai. Ibunya berpandangan dengan ayahnya. Kedua orang tua itu lama sudah memahami isi hati puteri bongsunya, malah mendoakan semoga adalah jodoh mereka berdua.

"Mestikah Muhammad balik hari ini juga?" tanya bonda.

"Macam tak ada esok lagikah?" tanya ayahanda dengan suara dalam tertahan. Dia sebenarnya amat berduka kerana Muhammad sudah boleh diharap menggantinya.

"Mak ni dah uzur sangat. Ayah haji kau, lihatlah demam berselang hari. Abang dan kakak semuanya jauh. Tak siapa mewarisi kedudukan ayahanda kau. Apa nanti jadinya dengan pondok ayahnda kau?" Jelas bonda. Tangannya mulai menyapu mata dengan legan bajunya.

"Aku ingat boleh tunggu semalam dua lagi. Biar bersiap baru aku bercakap dengan engkau," kata guru sekali gus ayah angkat. "Nak balik hari ni jugakah?" tambahnya.

"Yang aku risaukan siapa nak tengukkan Faridah kalau ke pasar. Ayah engkau tenguklah lututnya tu," kata bonda. Muhammad terasa berat sekali.

"Sudahlah. Orang tak sayangkan kita. Orang tak sayangkan kita." Tangis Faridah yang tak dapat disoroknya lagi. Berserabut dan bercelaru fikiran Muhammad dibuatnya. Semua menangis. Ayah, ibu dan adik angkatnya.

"Engkau dengar cerita Lokman hantar wakil pinang Faridah?" Tanya ayahanda.

"Ada", sahut Muhammad ringkas.

"Bonda tak terima," kata ibu Faridah.

"Inilah yang aku susah ni. Engkau nak lekas balik tu kerana orang meminang Faridah? Merajuk? Hemm, engkau merajuk kepada ayahanda atau kecil hati kepada bondakah?"

"Tidak!" sahut Muhammad.

"Mengapa merajuk? Aku wali mutlak si Faridah," tegas ayahanda.

"Bukan rajuk mak! Bukan merajuk ayahanda! Surat mak dari kampung."

"Apa sebenarnya Muhammad. Cubalah berterus terang. Adakah yang menunggu di kampung? Engkau alim daripada bonda. Bukankah Allah memudahkan lelaki beristeri lebih? Lainlah kalau memang engkau tak ada hati pada Faridah?" "Ampun bonda. Anakanda terima surat dari kampung menyatakan ibu sakit tenat, abang yang ke laut sudah dua minggu tidak kedengaran khabar beritanya."

"Bukan sebab merajuk? Nak melarikan diri dari kami? Engkau kasihkan Faridah?" soal bonda.

"Kasih bonda. Kasih!. Bukan merajuk Mak! Bukan!" Tegas Muhammad, lalu lapanglah hati bonda. Tenteramlah fikiran ayahanda.

"Kalau begitu tak upaya kami menahan engkau. Baliklah. Bila segar ibu nanti, bawalah ke sini," Muhammad tunduk, "Insya Allah".

Bonda memanggil Faridah yang segera datang bersimpuh antara bonda dan Muhammad.

"Aku amanahkan Faridah kepada kamu Muhammad. Kalau selepas engkau tinggalkan kampung ilmu ini, aku sampai ajal, amanahku bonda, jodohkan dengan sempurna Faridah dengan Muhammad. Muhammadlah waris, gantiku di perguruan ini dengan izin dan reda Allah."

"Anaknda Faridah, jadilah engkau isteri yang taat lagi reda dan sentiasa sabar macam mak engkau kepadaku" Tegas suara ayahanda. Tangis Faridah sudah lama henti. Terasa doanya semacam makbul. Muhammad bersalaman dengan ayahanda, diikuti bonda.

"Doakan anakanda supaya selamat! Ayahanda jangan ke mana-mana dahulu. Kasihanilah anakanda. Tunggulah dulu sampai anakanda balik," Muhammad menjabat tangan ayahanda dan menciumnya.

Perpisahan tiba apabila basikal yang akan ditunggangnya ke pekan untuk menaiki bas yang akan membawanya pulang ke pekan terdekat dengan kampungnya sampai. Faridah pengsan ditekan perasaan. Sebelas tahun tidak pernah satu haripun berselang tidak memandang wajah, atau mendengar suara Muhammad.

Muhammad pun sepanjang jalan berderai airmatanya. Wajah ayahanda seperti lekat di pandangannya, malah suara orang tua itu sentiasa terngiang di telinga.

Ketibaan Muhammad disambut khabar yang tidak masuk ke akalnya. Malek yang memang diketahui seisi kampung itu gilakan Siti Aminah diberkas polis kerana mencolek dan merogol Siti Aminah. Seminggu sebelum Muhammad tiba ke kampungnya, Siti Aminah hilang dalam perjalanan dari sekolah yang jaraknya dua batu dari rumahnya.

Seluruh kampung mencari Siti Aminah siang malam sebelum melapurkan kes itu kepada polis. Tiada siapapun percaya itu angkara Malek. Apabila rumah tempat Malek mengurung dan merogol Siti Aminah ditemui, keadaan Siti Aminah amat menyedihkan. Dia sudah sewel, bisu dan gila.

Muhammad tiba ke kampungnya ketika seisi kampung hebuh dan polis hampir gagal mengawal saudara-mara Siti Aminah yang berasa aib dan malu menajamkan kapak dan parang, mengasam dan mengasapkan keris hendak membunuh Malek. Ketibaan Muhammad mereda dan membantutkan pertumpahan darah. Malek terang-terang mengakui jenayahnya.

Ibunya di rumah sihat beberapa hari kemudian. Abangnya yang hilang sudah pulang. Dia ke Batu Bara, Langkat ikut kawannya dan kahwin di sana. Seruan nabi Ibrahim, lambaian Kaabah tidak tertahankan. Seminggu kemudian, selepas mengeposkan surat untuk ayahanda dan Faridah, ia mohon berangkat daripada ibunya.

"Emak faham. Tapi, kalau merajukpun takkan belayar ke Makkah sendirian?" keluh ibunya.

"Bukan rajuk mak! Bukan! Seruan tak tertahankan lagi," Ia lalu memeluk ibunya dengan airmata. Dengan hati cekal dan tekad nekad ia turun ke pangkalan. Dengan perahu nelayan pesaka Datuk Alang Ismail, dia berlayar sendirian menuju Jeddah. Dia tidak nampak apapun selain Kaabah dan Masjid Nabawi di Madinah. Dia tak mendengar apapun selain deru ombak, desiran angin yang membawa seruan: LabbaikalLahummalabaik!.

Kisahnya, pelayaran kapal dari Semenanjung Melayu ke Jeddah zaman itu, 65 tahun lalu, memakan masa antara tiga hingga enam bulan dengan segala macam risiko menunggu di lautan.

Bakal haji ke Makkah tiada yang mengharapkan keselesaan ketika mengerjakan haji di Makkah. Kesusahan di Makkah tidak ada yang menjadi bahan perbualan setelah pulang. Kerajaan Makkah juga tidak menyukat bilangan jumaah haji yang hendak beribadat di Makkah seperti sekarang.

No comments: