Oleh Noorjaya
PAGI itu. Kabus masih tebal membungkus puncak Gunung Raya. Tenang, setenang Teluk Kuah dengan kelocak-kelocak kecil mengusik gigi pantai dan tebing Pulau Tirai. Beberapa ekor burung layang-layang melayah ke atas ke bawah, menjunam mencecah permukaan laut bersama angin segar dan langit terang.
Tapi dan tiba-tiba segala ketenangan itu terburai bagaikan runtuhan bukit-bukau dan gunung-ganang, apabila ada perahu yang baru balik dari Kuala Bahang menyembahkan berita kepada Datuk Kerma Jaya, bahawa Kota Kuala Bahang sudah ditawan angkatan laut Siam yang diketuai Phya Buri Saknutom secara tipu helah. Gemparlah Anjung Penghadapan rumah Datuk Kerma Jaya. Rakyat Pulau Langkawi ditusuk sembilu kecewa: apakah gerangan malangnya kota terkuat jatuh ke tangan musuh durjana.
Berikutan dengan itu tibalah secara rasmi perutusan dari Sultan meminta bantuan Langkawi membantu pertahankan Kota Kuala dan Pulau Tiga dari serangan Siam. Perintah dijunjung. Datuk Kerma Jaya segera mengarah semua panglima, hulubalang dan ketua-ketua berkumpul.
"Kita memanggil kamu semua untuk memanjangkan perintah Sultan." Datuk Kerma Jaya terhenti sejenak mengambil nafas. Tapi perhatiannya terus kepada ramai. Para panglima, hulubalang dan ketua tertunjal-tunjal menanti dengan gelabah.
"Siam telah tawan Kota Kuala Bahang, Bendahara dan Temenggong ikut tertawan. Mereka membakar dan membunuh siapa saja yang menentang ataupun tidak menentang." Berita kecewa itu disambut dengan dengus keras daripada ramai.
"Bagaimana Kota Kuala Bahang yang kukuh pertahanannya mudah ditawan Siam Datuk?" Pandak Maya mempersoalkan berita itu.
"Dengan tipu helah. Diminta oleh Raja Legor supaya Kedah bantu beras kerana mereka hendak berperang dengan Burma. Sultan setuju. Mereka hantar angkatan laut diketuai Phya Buri Saknutom mendarat di Kota Kuala Bahang seolah datang hendak mengambil beras itu. Tapi, tiba di dalam kota mereka serang dengan mengejut."
"Bedebah Siam itu. Datuk, kita mesti hantar angkatan Langkawi ke Kota Kuala dan Pulau Tiga untuk membantu Sultan."
"Bunuh Siam!." Suara ramai menyokong. Datuk Kerma Jaya sangat gembira melihat sokongan padu dan bersemangat ditunjuk oleh anak buahnya.
"Terima kasih, tapi siapa yang akan mengetuai angkatan Langkawi?"
"Terserah budi bicara Datuk."
"Jika demikian kita lantik Pandak Maya."
"Kekanda Datuk jika dibenarkan, biarlah adinda mengganti ayah Pandak Maya." Wan Derus bangun mempelawa diri mengetuai angkatan itu.
"Mengapa pula adinda mencadang demikian?" Datuk Kerma Jaya hairan dengan sikap adiknya.
"Kekanda Datuk, saya rela pergi berperang untuk berbakti kepada raja dan negeri Kedah. Akan ayah Pandak Maya dapat membantu kekanda Datuk di Langkawi. Manalah tahu jika Siam datang ke mari."
"Kalau boleh angkatan Langkawi ke Kota Kuala terdiri orang muda kami hendak cari pengalaman Datuk." Husin bangun menyokong. Setelah menimbang permintaan ramai Datuk Kerma Jaya setuju Panglima Wan Derus mengetuai Angkatan Langkawi ke Kota Kuala. Mereka diperintah belayar pada tengah malam ini supaya pergerakan tidak diketahui oleh musuh.
Sepuluh buah perahu berkong sepuluh dipimpin Panglima Wan Derus bertolak dari Pulau Langkawi menuju ke Kota Kuala lengkap dengan senjata pada tengah malam yang gelap. Kebetulan ketika itu angin utara bertiup kuat ikut membantu pelayaran itu. Jika angin tidak berubah arah pelayaran Angkatan Langkawi akan tiba di Kuala Muda sebelum fajar, kemudian berdayung masuk Sungai Muda hingga ke Pulau Tiga tempat bersemayam Paduka Sultan Ahamad Tajuddin Halim Shah II.
Pelayaran itu bergerak seperti sekawan burung sedang terbang. Di tengah dan terdahulu sedikit dari yang lain ialah perahu yang dinaiki Panglima Wan Derus, Mat Husin, Kasa, Derauh dan Awang Cek Leh. Haluan membelah ombak perahu kong sepuluh meluncur laju. Di langit tiada sebiji bintang pun. Malam hitam pekat. Tidak dibenarkan memasang lampu atau jamung mengelak pelayaran itu dijejaki musuh.
"Raja Siam itu penipu besar." Mat Husin masih mengungkit tipu helah musuh yang menawan Kota Kuala Bahang.
"Penipu besar dan pengecut." Sampuk Derauh.
"Di Kota Kuala nanti, kita boleh tengok, siapa berani, siapa kuat." Celah Awang Cek Leh. Wan Derus membiarkan anak buahnya meluah perasaan marah. Dengan cara itu mereka menjadi bertambah semangat untuk berdepan dengan orang Siam. Semangat yang kental itu akan membantu dalam pertempuran yang mungkin berlaku apabila mereka tiba di Kuala Muda nanti.
Seperti yang diramalkan, Angkatan Langkawi selamat tiba di pintu Kuala Muda. Layar pun diturunkan. Masing-masing mencapai dayung dan berdayung dengan perlahan memasuki Sungai Muda ketika air bunga pasang. Setiba sahaja di permukaan kuala terdengar suara mencabar dari daratan sebelah kanan.
"Siapa di sana?" Suara itu keras dan mengancam dari dalam gelap.
"Kami angkatan dari Pulau Langkawi." Mat Husin menjawab.
"Siapa ketua kamu?"
"Panglima Wan Derus."
"Dibenar masuk."
Wan Derus mengarahkan orangnya meneruskan pelayaran. Kali ini mereka bergerak satu demi satu seperti itik pulang petang. Cukup rapi kawalan di pintu kuala. Tak lama kemudian Angkatan Langkawi pun tiba di Pulau Tiga. Mereka disambut oleh Tunku Long Putih. Mesyuarat tergempar diadakan untuk memberi taklimat dan mengatur siasah pertahanan dan peperangan yang akan berlaku bila sahaja angkatan Siam dari Kuala Bahang tiba ke sini, musuh pasti datang untuk menawan Paduka Sultan.
"Elok benar jika Panglima mengawal pintu Kuala Muda bersama dengan orang kita yang sedia ada di sana bagi menentang serangan Siam itu. Di sana Panglima akan bertanggungjawab sepenuhnya bagaimana hendak menghadapi serangan musuh." Demikian kata Tunku Long Putih setelah mereka bermesyuarat. Cadangan itu dipersetujui. Dengan tidak membuang masa, Angkatan Langkawi pun berpatah balik ke Kuala Muda bergabung dengan pasukan yang sedia ada bertahan di situ.
Pasti angkatan Siam akan datang melalui laut, kerana melalui laut lebih mudah daripada berjalan melalui darat. Siasah perang ditekan dalam mesyuarat dengan Tunku Long Putih, pertahanan di Kuala Muda mestilah diperhebatkan. Apabila sampai di pintu kuala, Panglima Wan Derus segera mengarah orangnya mencari akar kayu dan diregang melintang sungai. Akar itu dibiarkan terendam dalam air.
Siasah perang itu benar-benar berguna. Setelah beberapa hari mereka menunggu dengan sabar maka pada petang yang cerah muncul di pintu kuala, lima buah perahu panjang berhaluan kecubung menuju dengan rakus masuk ke Sungai Muda kerana musuh ternampak ada dua buah perahu yang dijadikan umpan berligar-ligar tidak jauh ke hulu sungai. Orang dalam perahu itu melaung-laung untuk menarik perhatian musuh. Musuh tercabar, musuh segera berdayung ke arah sasaran tanpa menghirau perangkap yang disediakan. Apabila perut perahu-perahu itu berada di atas akar-akar, orang Panglima Wan Derus segera tegangkan akar-akar itu menyebabkan perahu-perahu musuh terbalik dan orang yang ada di dalamnya tercampak ke air.
Suasana di situ menjadi kelam kabut dengan jeritan kerana mana-mana yang tidak pandai berenang kelihatan tenggelam timbul, yang pandai berenang pun agak sukar mengapung badan kerana pakaian dan peralatan pada badan mereka itu berat. Mereka tercungap-cungap, dan ketika itu orang Wan Derus yang berada dalam dua buah perahu tadi segera datang menikam dengan tombak dan lembing. Musuh tiada daya hendak melawan, ramai daripada mereka dapat dibunuh, sementara yang sempat ke darat dibunuh di darat. Tak seorang pun yang dapat menyelamatkan diri.
Berita kejayaan Panglima Wan Derus dan orangnya menggagal kemaraan angkatan Siam melalui laut itu sampai ke istana di Pulau Tiga. Sultan sangat gembira memerintah segera dihantar bekalan makanan dan peralatan bagi mengukuhkan lagi pertahanan di pintu kuala. Panglima Wan Derus dan orangnya diminta bertahan di situ sehingga arahan baru.
Pihak musuh juga mengatur siasah perangnya. Terbukti mereka berjaya menawan Kuala Bahang melalui laut dan darat. Demikian pula ketika mereka hendak menawan Sultan di Pulau Tiga, juga mereka guna cara yang sama, iaitu satu pasukan melalui laut dan satu pasukan lagi melalui darat.
Pasukan melalui darat seramai 1,000 orang diketuai Phya Sina Nuncit bergerak serentak menaiki gajah dan berjalan kaki. Bagaimanapun, disebabkan keadaan sungai yang berlumpur dan tanah paya, gajah tidak dapat digunakan, melainkan berjalan kaki sahaja yang dapat meneruskan kemaraan mereka, dan itupun memakan masa beberapa hari.
Berita kemaraan angkatan musuh yang besar itu sampai kepada Sultan. Juga dikhabarkan ramai rakyat tidak berdosa dibunuh dan rumah-rumah mereka dibakar, orang perempuan diperkosa. Maka demi hendak mengelak dari ramai lagi rakyat terbunuh jika dilakukan pertentangan sementelah kecilnya angkatan Kedah yang berada di Pulau Tiga, pasti tidak terlawan dengan angkatan Siam yang lebih ramai itu. Maka Sultan membuat keputusan berundur ke Pulau Pinang melalui jalan darat menaiki gajah ke Sungai Perak, dari sana belayar ke Pulau Pinang untuk mendapat perlindungan dari Kompeni Inggeris. Sultan memerintah Panglima Wan Derus dan orang-orangnya segera kembali ke Langkawi.
Langit hitam. Puncak Gunung Raya kelam. Banjaran Gunung Mat Cincang pun kelam. Langkawi bagai di bawah kawah. Kilat memanah silaunya diikuti guruh berdentum. Padang Mat Sirat redup macam digamit senja serentak itu gerimis duka pun jatuh. Titisan halus itu timpa muka Mahsuri sebahagiannya ditutup jurai-jurai rambut. Titisan halus itu menjadi kasar jatuh pula ke tubuh yang terkulai di tiang bulat.
Ratusan muka tertunduk ke bumi dengan pilu, sedih serta kecewa yang berat. Di hujung sana tercegat longlai Datuk Kerma Jaya dalam gelisah. Apabila sahaja perintah sula yang dikeluarkan dan dilaksana orang ke atas Mahsuri, segala egonya tersungkur di kaki. Berasa dirinya kosong bagai kerangka tak bernyawa. Semua yang ada memandangnya jijik. Wajahnya bagaikan longkang hanyir.
Ketika dia memandang ke arah anak kecil bernama Wan Hakim, darah daging Mahsuri dan Wan Derus, juga darah dagingnya. Anak itu tidak menangis. Wan Hakim terlonjak-lonjak dalam dokongan Mak Andak memandang ke arahnya dengan tajam. Datuk Kerma Jaya menjadi gugup. Beralih ke arah lain, setiap wajah, pokok, rumah, batu, burung, semut dan setiap objek menusuk sembilu tanya.
Dia beralih pada Mahsuri sebuah objek mati. Tiba-tiba wajah Mahsuri mendongak ke arahnya menusuk sembilu mata lebih tajam. Guruh berdentum. Datuk Kerma Jaya memekap mukanya tidak mau melihat Mahsuri. Tapi mukanya terpercik kilau sengsara yang panjang.
Tapi, pulangnya disambut khabar pedih, sedih dan kecewa yang tajam. Wan Hakim menangis atas riba Mak Andak. Puas dipujuk, tapi anak kecil itu menangis juga, bagaikan dia mengerti akan kejadian tidak adil itu. Dia merenung wajah anaknya itu dengan pilu.
Wan Derus berasa Pulau Langkawi bergoncang. Sekeping demi sekeping Gunung Raya runtuh ke bawah bersama pokok-pokok besar melanyak pokok-pokok kecil dan semak samun punah ranap menjunam ke dalam gaung dan lurah.
Dia mau menjerit, melaung kuat biar seluruh pelosok pulau, biar hingga ke dasar laut mendengar dan merasai luka hatinya. Biar orang tahu hukum manusia ini bodoh dan kejam.
"Kami tak terdaya. Perintah kuasa tidak dapat dihalang walau dengan harta sebuah anur, walau nyawa menjadi galang ganti." Pandak Maya mencurah segala ikhtiar yang ada untuk menyelamat nyawa Mahsuri, namun manusia terlalu setia dan angkuh dengan kekuasaan.
"Kalau iapun Mahsuri itu benar bersalah, tak bolehkah ditangguh hingga saya pulang. Kan saya ini suaminya. Kan pemergiaan saya ini juga dengan perintah Sultan." Wan Derus menyanggah dengan kesal, kerana orang tidak lagi memandang budi dan jasa.
"Telah kami minta belas kasihan. Suara bawahan ini tak dipedulikan." Jelas Mak Andak dengan sendu.
Kalau ikutkan perasaan, Wan Derus sanggup berdepan dengan abang kandungnya Datuk Kerma Jaya, dia sanggup membuat perhitungan hidup atau mati. Tapi apalah erti semua itu, apalah erti pembelaan; sedang Mahsuri tidak akan hidup semula.
Benarlah tangan dan kekuasaan yang memusnahkan kasih sayang anak kecil yang belum mengerti apa-apa, benarlah tangan dan kekuasaan manusia itu sanggup memisahkan dia dan anak kecil ini daripada titisan warisan dan bumi Langkawi.
Semoga cucu cicit dan keturunan kita akan mengerti semua ini.

No comments:
Post a Comment