Oleh Sharif Putera
EPISOD 1
KALI pertama dalam tempoh sembilan hari ini, Datuk Kassim dapat melunjurkan kedua-dua kakinya sekudrat yang dimahunya. Terlalu loyo. Malah sejumlah timbunan kekusutan yang membelit dirinya selama ini mulai terurai dan longgar.
Laporan terakhir yang tiba selepas pusat mengundi ditutup adalah melegakan dan sekali gus menghakis laporan negatif yang diterimanya saban hari daripada pemanggil telefon misteri.
"Datuk berada pada kedudukan terbaik," lapor Ibrahim Daun, ketua penganalisis, bekas guru pencen menerusi telefon mudah alih selepas semua pusat mengundi ditutup.
"Itu kata kamu," dia cuba membantah walaupun pada pendengarannya, suara Ibrahim cukup polos. Cuma sebenarnya dia mahu menduga kesahihan pandangan perisiknya itu. "Laporan lain aku terima tidak begitu. Mana satu yang betul?" Suaranya sengaja diangkat memperlihatkan lakonan tanda marah.
"Siapa yang beritahu datuk ?" Soal Ibrahim. Bagai dilihat orang kanannya itu terkesima. Gelisah dengan terjahan sanggahan yang tidak tersangka daripadanya.
Buat beberapa detik Datuk Kassim terkedu. Memang dia tidak dapat menjawab. Laporan yang menyebut dia berada pada peringkat bawah datang daripada seseorang yang tidak memperkenalkan namanya. Dia tidak memikirkan andaian seburuk itu. Tidak mudah menidakkan majoriti 3,000 undi yang diperoleh pada pilihan raya sebelumnya.
"Datuk jangan fikir parti datuk tidak boleh dikalahkan. Kali ini akan terjadi!" Demikian suara itu tiba-tiba datang menerusi telefon mudah alihnya.
"Tunggulah kejatuhan datuk. Revolusi senyap sudah bermula." Beberapa kali suara itu menggema melimpasi sempadan kawalan kesabarannya. Kalau benar berlaku, fikir Datuk Kassim, memang mengerikan. Dia terlalu tidak bersedia ke arah itu. Tidak mungkin! Mereka berniat jahat. Sengaja merisau dan hendak mengejolokkan dirinya.
"Aku dengar saja," dia berlembut untuk mengambil hati Ibrahim dan mententeramkan hatinya sendiri yang sudah dirasuk kelodak. Ibarat kali yang jernih diresapi air lumpur. Ibrahim tidak dapat menyelami saraf fikirnya.
"Laporan saya adalah sah." Ibrahim meyakinkan. "Datuk jangan dengar cakap orang lain. Kalau saya kata datuk selesa, selesalah. Datuk kena dengar cakap saya. Orang dia sendiri mengaku begitu."
Kalau tidak percayakan orang kanan sendiri, hendak mempercayai siapa lagi? Kunci kata-kata Ibrahim itu meredakan kegusaran yang berputar di dalam dirinya. Menerjah kepalanya bagai air terjun.
Tidak ada orang lain selain guru pencen itu yang dipercayai memegang wang. Tidak ada penyokongnya selain bekas guru besar yang pernah mendapat khidmat melintang itu. Siapa lagi kalau bukan wakil calonnya sendiri!
Sehari selepas penamaan calon, Datuk Kassim menyerahkan satu pertiga peruntukan yang diturunkan untuknya kepada Ibrahim. Masuk hari kelima dia memberikan beberapa tambahan lagi.
"Ada ramai yang merajuk. Kita perlu pujuk mereka datuk," hujah Ibrahim. Dibilangnya seorang demi seorang. Antaranya orang Ngah Jambu, pemain bola Kampung Tebu Merah. Jusoh Awang Putat. Orang yang disebutkan itu memang dikenalinya. Setahunya orang itu tidak pernah merajuk sebelumnya.
Sudah empat orang menceritakan penyokong sendiri merajuk dan perlu dipujuk. Laporan itu berlaku dalam tempoh terdekat. Antara yang menyedihkan ialah apabila Mat Lazim dari Kampung Lada Hangus melaporkan yang dia melihat Haji Basir, orang kuat kampungnya menaiki kereta calon lawan!
Cuma dua tiga nama yang disebutkan terkemudian dipertikaikan. Dia mahu Ibrahim membuat penyiasatan rapi. Peristiwa empat tahun dahulu tidak harus berulang.
"Ketepikan Mat Saad, Husein Alur dan Jusoh Ketapang. Mereka pura-pura orang kita. Tiap kali pilihan raya, ada saja kerenah." Katanya mematahkan strategi orang kuatnya itu.
"Tapi?" Ibrahim Daun kurang puas hati.
"Waktu aku menang dulu, merekalah yang pertama sampai di rumah aku, minta yang bukan-bukan. Kononnya merekalah yang bekerja kuat. Bila aku siasat, muka mereka tak pernah jenguk markas."
Yang dijaganya ialah supaya Ibrahim tidak merajuk. Orang penting begitu mesti dijaga dan dipupuk. Lagi pun hanya dia seorang yang tahu pernikahannya dengan Siti Latifah, gadis GRO lima bulan yang lalu. Ibrahim menjadi salah seorang saksi majlis pernikahannya yang berlangsung di Narathiwat, Selatan Thai.
Sampai sekarang Ibrahim masih menyimpan rahsia itu daripada pengetahuan Datin Maznah. Kalau hendak diberitahu pun, biarlah dia memperoleh anaknya dahulu atau sekurang-kurang selepas pilihan raya.
Ketika dia menemui Siti Latifah yang bekerja di sebuah butik kecantikan, dia memberitahu Ibrahim, gadis itu sangat keletah, manja dan mempesonakan. Badannya amat tepu. Dia sayangkan gadis itu malah mulai tidak boleh melupakan sama sekali.
"Kahwin saja datuk. Makin lama makin banyak dosa, datuk," nasihat Ibrahim. Dan atas nasihat kawan rapatnya itulah dia mengambil keputusan drastik, membawa gadis yatim bapa itu ke Thailand. Kahwin senyap-senyap dan menyewa sebuah rumah di ibu kota, juga secara senyap-senyap.
Ikut sama ke Thailand ialah ibu Siti Latifah. Dan lucunya Ibrahim tiba- tiba tertarik kepada ibu Siti Latifah pula, Manisah. Terjadilah dua pernikahan sekali gus. Hari melucukan. Datuk Kassim tersenyum sendiri.
Sepanjang kempen, dia membawa isteri keduanya dari ibu kota itu ke bandar kecilnya, menumpang di sebuah bilik hotel. Di bilik Siti Latifahlah tempat dia berlabuh pada siang hari. Ibrahimlah yang mencari bilik itu. Manisah pula satu bilik.
Datuk Kassim sudah membisikkan kepada pilihan kedua berusia 24 tahun berkulit agak gelap tetapi berwajah mirip pelakon Hindi Juhi itu, dia akan membeli sebuah kereta Kancil selain rumah sewa sekarang menjadi milik dirinya.
Semuanya selepas pilihan raya.
"Pukul berapa abang nak ke Dewan Pengesahan Undi?"
Datuk Kassim seperti tersintak. Pura-pura terjaga daripada lelap.
"Sekarang pukul berapa?"
"Dah Maghrib."
Datuk Kassim bangkit dan berjalan menuju tingkap yang masih terbuka. Di luar memang sudah gelap. Tanah sudah samar-samar. Pengiraan undi sepatutnya hampir selesai. Sudah nampak arah siapa menang siapa kalah.
"Tidak ada sesiapa telefon?" Dia berpaling mencari isterinya. Belum sempat dia melangkah ke bilik tidurnya, telefon dalam kocek bajunya menyanyi.
"Hallo, Ibrahim ya"?
"Bukan sesiapa. Aku nak bagi khabar kepada datuk. Datuk kalah. Datuk Mansor kalah. Borhan kalah. Suib kalah. Orang aku menang!"
"Celaka!" Sumpah Datuk Kassim, melipat telefon.
Sekali lagi telefon minta diangkat.
"Ibrahim, datuk," suara Ibrahim rendah. "Kita kalah besar! Semua kalah. Tak ada satu peti undi yang menang."
Datuk Kassim terkelingtar. Mengunci telefon dalam kocek. Bergerak ke meja telefon rumah. Mengangkat gagang dan meletakkan di sisi. Dia memejamkan mata. Sekali lagi melunjurkan kedua-dua kaki. Kali ini dia rasa kaku serta-merta.
Sejurus, dia berkisik-kisik ke bilik air. Pintu bilik itu diketuk. Datin Maznah menyetak sedikit pintu bilik. Menampakkan sebahagian mukanya.
"Abang keluar ke dewan. Ada orang panggil abang."
"Nah ikut sama."
"Tak payah. Kalau mustahak abang minta Ibrahim jemput."
Maznah menutup pintu bilik air semula. Tersenyum-senyum, menggosok badannya yang tumpat berisi itu dengan pewangi. Ternampak-nampak kota Rome dan London lalu terbang ke Istanbul.
Datuk Kassim mengambil sekeping kertas dan menulisnya. Meletakkan pada sisi telefon.
"Nah, kita kalah besar. Abang nak sembunyi dua tiga hari. Kalau ada yang cari abang, katakan abang keluar. Jangan hubungi abang."
Di dalam kereta, Datuk Kassim menghubungi Siti Latifah.
"Ti, kemaskan beg, kita balik ke ibu kota sekarang."
Peluh sejuk masih menitis pada pipi Datuk Kassim ketika dia tiba di depan hotel penginapan Siti Latifah.
EPISOD 2
"Allahakbar! Allahakbar !!"
"Ambil kayu panjang itu. Minta paku."
Dua orang pemuda memaku pintu balai raya kelas tadika di kampung mereka. Mereka tertawa beramai-beramai, meninggalkan balai raya itu sambil terus bertakbir.
Rombongan lima belas pemuda berkopiah dan berserban, diketuai lelaki berusia 30-an itu berehat di markas kecil di persimpangan menuju masjid.
"Besok kamu boleh tebas tebang tanah di alur itu. Aku akan beritahu kehendak kamu kepada wakil kita," kata lelaki itu. Menggapai janggut yang tergantung pada dagunya. Tersengih kepada kumpulan pemuda yang masih dalam keadaan separuh riak.
"Nanti ada yang sekat?" Seorang pemuda meragui tindakan yang bakal mereka lakukan.
"Siapa nak sekat. Orang mereka nak sekat? Nak mampus?" Disambut gelak ketawa yang lain.
"Orang kerajaan?" Masih ada suara yang was-was.
"Siapa kerajaan?" Tanya ketua kumpulan itu lagi. Kemudian menepuk-nepuk dadanya." Kitaaa!"
Hilai ketawa bergema lagi.
"Kita boleh buat apa saja!"
Dan selama dua hari berturut-turut, dua puluh lima lelaki dengan bantuan dua kereta tenggala menyelongkar tanah rezab kerajaan di pinggir jalan besar itu. Beberapa buah bangsal beratapkan zink sudah dibina. Tiga tiang bendera sejak awal mereka masuki sudah dipacak dengan tiga bendera berkibar megah.
Pukul 10 pagi hari ketiga.
Sebuah Pajero berisi beberapa orang pegawai dari Pejabat Daerah, dua buah jip bermuat 20 orang anggota polis dan sebuah kereta Proton biru gelap berhenti di pinggir jalan itu. Beberapa orang lelaki yang sedang membina bangsal terpempan. Mereka bergentayangan sambil menunggu beberapa orang yang berpakaian tai, berkejitan ke arah mereka.
"Mana ketua kamu?" Tanya ketua pegawai dari Pejabat Daerah. Dia membuka cermin mata.
"Saya," jawab wakil peneroka itu, mendada seperti bersedia bertindak. Berdirinya pun bagai seorang pendekar.
"Saya wakil Pegawai Daerah, Yazid."
"Apa yang encik mahu?" Balas wakil peneroka itu. Menyeka peluh pada dahinya dengan hujung baju yang sudah kumal.
"Kamu tahu tanah siapa yang kamu terokai ini?"
"Tahu, tanah kerajaan. Tanah kerajaan kami." jawab lelaki itu tegas.
"Siapa yang benarkan kamu meneroka?"
"Wakil baru kami!" Sampuk seorang peneroka yang berdiri di belakang ketua mereka itu.
"Kamu kenal dia?" Soal Yazid.
"Kenal! Besok kami bawa jumpa encik!" Sahut peneroka lain. Suaranya tinggi seperti mengancam.
"Kamu diperdaya! Tanah ini untuk projek kerajaan. Projek sekolah. Kamu tak hendak sekolah?"
Encik Bakhtiar, wakil rakyat baru yang berdiri di tengah-tengah pegawai penguatkuasa melangkah dengan berhati-hati, berdiri di sisi Encik Yazid.
"Awak Saiful ya?" Encik Bakhtiar memegang tangan lelaki ketua peneroka itu."
"Saya wakil rakyat kamu." Tangan Encik Bakhtiar direntap.
"Jangan tipu!" Kata lelaki bernama Saiful. "Kami kenal wakil kami. Bukan kamu!"
Beberapa orang pemuda mara beberapa langkah mendekati Saiful. Mereka memegang kayu-kayu bulat sebesar lengan.
"Tanah kerajaan tidak boleh diambil sewenang-wenang. Kita ada undang- undang. Kita kena patuh undang-undang." Ujar Encik Bakhtiar, melembutkan suara.
"Alahhh, sekarang dah pandai cakap ada undang-undang. Dulu suruh kami buat apa saja. Pergilah!" Tempik seorang daripada peneroka. Disambut takbir beberapa kali.
"Kami datang untuk nasihatkan kamu supaya berhentikan pembinaan bangsal. Robohkan bangsal itu. Kami beri tempoh dua hari," kata Encik Yazid. Dia berpaling kepada Encik Bakhtiar yang tunduk memandang bumi.
Beberapa orang peneroka muda menghumban kayu turus ke tanah. Berderap bunyi kayu itu dihunjam, bergegar bahagian hujungnya sebelum terpacak kemas.
"Tinggalkan saya di sini," minta Encik Bakhtiar. Dadanya sesak oleh kekalutan pertamanya ini.
"Ehhhh wakil, balik. Tunggu apa lagi, balik!" Pekik beberapa orang peneroka muda. Seorang melontarkan pancang kayu ke arah bangsal, menerjah di atas zink sebuah bangsal. Bunyinya geger hingga mengejutkan anggota polis yang sedang menaiki lori mereka.
Encik Bakhtiar berpaling ke arah keretanya disisi jalan. Meraba kunci di dalam kocek seluar.

No comments:
Post a Comment