Pages

Friday, November 13, 2015

Rayau

Oleh Talib YK

DIA riang! Riang bagaikan kodok menyambut hujan mulai turun setelah kemarau begitu lama. Sambil mundar mandir di ruang gobok? Eh! Bangsal. Entah! Dia bersiul-siul kecil. Siulan yang entah apa iramanya itu berkumandang  dalam kesepian malam.

Ya! Apa boleh buat! Fikirnya. Demikianlah! Fikirnya!.

Kadang-kadang dia sendiri tidak mengerti makna kewujudannya. Memikirkan kewujudan di dunia ini seolah menyeksa diri sendiri. Dia tidak ingin fikirkan masalah yang mencakar otaknya itu. Masalah itu sendiri sudah ada orang yang akan menyelesaikannya. Biarlah ahli fikir memikirkan masalah itu. Dia bukan ahli fikir berkaliber seperti Teilhard de Chardin mengatakan dunia yang profane sepenuhnya tidak wujud.

Memikirkan itu semua seolah menyeksa diri sendiri. Tidak perlu memikirkan masalah yang mencakar otak ini. Jadilah manusia sebagai manusia - tidak perlu berfikir jauh tentang alam transendental. Syukur sajalah dengan kewujudan sekarang. Dia memujuk dirinya sendiri.

Malam dirasanya tersangat sunyi sehingga dia tidak  tahu entah apa yang akan dibuatnya pada malam sunyi begini. Dia ingin tidur, tetapi rasanya tidak mengantuk. Beberapa kali dia dengar ada suatu bunyi dalam kepalanya. Sesekali kepalanya berasa sakit dan berdenyut. Kemudian hilang. Dia diam. Menghening. Kembali kepada dirinya. Sunyi. Sunyi yang amat sunyi. Dia mencari dirinya di dalam sunyi. Bah! Tidak ada apa-apa yang ditemuinya selain dari meraba-raba di dalam tidak tahu. Malah, dia tidak tahu sama sekali siapa dirinya. Tidak ada pengenalan dirinya. Dia kaget. Kebingungan! Terawang-awang. Ingin dia lupa untuk mencari pengenalan dirinya. Dia ingin membebaskan dirinya dari diikat oleh berfikir. Melihat buruj di langit. Langit malam itu tidak berawan. Licin dan indah dengan taburan bintang-bintang yang berkelip-kelip. Di renungnya lama-lama sistem aliran susu yang merentangi langit dari utara ke selatan. Nebula dan komet kecil yang sesekali terbang seakan-akan membuat garis cahaya di langit.

Dia berasa bahagia demikian. Lalu diulangnya perbuatan itu beberapa kali sehingga puas. Bahagialah yang diinginkan selama bertahun-tahun. Mengapa bahagia lari jauh-jauh darinya? Seolah bahagia itu bencikan dia! Apakah sebabnya menyebabkan bahagia itu begitu liar! - lari darinya?

Dia berasa urat-urat di dalam kepalanya tegang kembali. Kepalanya berdenyut. Sekali gus, untuk menghilangkan denyutan dalam kepalanya, dia melompat terus berlari ke jalan raya. Jalan raya lengang kecuali sesekali dilalui kenderaan kecil yang pantas. Neon sudah mulai malap, barangkali keletihan disebabkan terlalu lama berkhidmat sepanjang malam.

Malam lagi sepi!

Rumah-rumah papan di pinggir jalan di luar  kota raya sudah  gelap. Penghuninya sudah tidur pula. Sesekali dari dalam rumah yang berderet di pinggir jalan itu, terdengar kanak-kanak kecil merengek, barangkali minta disusui ibunya. Beberapa ekor anjing liar dan kurus  mencari makan di tempat membuang sampah di pinggir jalan. Kemudian melolong atau menyalak menghalau bala atau anjing-anjing lain dari merebut sisa makanan dari tempatnya. Oleh kerana makanan jugalah manusia hidup tidak tenteram. Manusia dan anjing tidak ada perbezaan yang banyak. Sama-sama tamak. Ingin memborong sebanyak-banyaknya makanan, di simpan agar tidak kebulur masa darurat. Komennya diam-diam. Dia geleng-geleng kepalanya.

Memikirkan itu semua seolah menyeksa diri. Dia tidak perlu memikirkan masalah yang mencakat otaknya. Malam dirasa terlalu amat sunyi. Sehingga dia tidak tahu apa-apa lagi untuk dibuatnya apabila malam. Dia ingin tidur, tetapi tidak ada rasa mengantuk. Apabila terdengar suatu bunyi dalam kepalanya, dia rasa takut untuk tidur. Sesekali rasa sakit yang berdenyut dalam kepalanya buat satu penyeksaan bagi dia. Dia menghening lagi. Diam. Kembali ke dalam dirinya.

Diam! Sunyi! Sunyi yang teramat sunyi. Dia mencari dirinya dalam sunyi. Tidak ada apa-apa yang ditemuinya, selain seolah berenang dalam ruang angkasa yang maha luas! Dia tidak pernah tahu siapa dia yang sebenarnya. Setiap kali dia mencari pengenalan dirinya, hanya itulah yang ditemuinya. Dia tidak tahu siapa ibu dan bapanya. Dia sedar-sedar, dia besar dari tong buang sampah kepada tong buang sampah! Memakan sisa makanan terbuang. Mustahil!. Tidak! Dia dilahirkan daripada sisa terbuang. Membesar dengan sisa yang terbuang!

Armaggedon! Permulaan satu perang besar! Keluhnya kesah.

Dia kaget lagi. Persoalan itu terawang-awang dalam kepalanya. Terhening. Diam! Malam diam. Langit diam.

Persoalan itu - persoalan itu yang menerobos kepalanya setiap kali dia ingin mencari pengenalan dirinya. Mengapa dia tidak di bunuh semasa mula dilahirkan dulu? Dia dilahirkan dari nafsu serakah manusia yang tak bisa dikekang. Alangkah ganasnya manusia! Itulah sebabnya mereka selalu mengubah peraturan Tuhan, agar sesuai dengan kehendak nafsunya. Manusia juga sama dengan makhluk lain, yang hanya ingin melampiaskan nafsu syahwatnya, tetapi tidak mahu  bertanggungjawab.

Di manakah letaknya nilai manusia yang dipanggil insan kudus, sekiranya manusia melampiaskan nafsu syahwatnya merata-rata dan, tidak menggunakan akal warasnya kapan digejolak nafsu buas? Dah! Cukuplah!

Lalu dia keluar dari tempat persembunyiannya. Dari bersembunyi dalam sebuah lubang yang tidak diketahui orang. Malam-malam dia keluar untuk melihat bintang yang bertaburan di langit. Memerhati lama-lama sistem aliran susu, nebula dan komet, yang seakan-akan garis cahaya membelah kehitaman malam.

Dia berasa bahagia. Kebahagiaanlah yang ingin benar-benar didapatkannya. Tidak bahagiakah dia? Dia kaget. Tidak ada kebahagiaan yang mutlak di dunia ini. Dia berasa saraf-saraf kecil dalam batuknya semakin tegang. Kepalanya berdenyut-denyut macam ada sejenis makhluk kecil, penghisap darah dalam kepalanya. Sekali gus, demi menghilangkan denyutan dalam kepalanya, dia terus melompat ke jalan aspal berlari kencang-kencang. Jalan aspal lengang, kecuali sesekali dilewati kenderaan berat dan ringan dengan laju. Cahaya neon semakin tak bertenanga. Gelap semakin  hilang mulai diganti oleh cahaya dari langit timur yang semakin terang.

Rumah-rumah papan yang berderet di sisi jalan sudah ada diterangi lampu dari dalam. Entah di mana dia. Dadanya rasa semput. Dia mulai perlahankan lariannya. Apa yang dia inginkan sekedar kebahagiaan. Dia akan terus berlari di mana kata orang ada bahagia. Di manakah bahagia itu? Dia kaget. Bahagia barangkali rasa aman, fikiran tak banyak diterobosi oleh persoalan hidup. Rasa aman itulah tidak pernah dia rasakan sejak dilahirkan. Alangkah rawan hatinya. Dia rasa dialah makhluk paling halus berada dalam sebuah debu kecil di antara entah berapa bilion debu yang wujud di bawah kolong langit ini.

Dia tidak punya apa-apa untuk menentang segala kehendak alam. Takdir menentukan segalanya ke atasnya. Sesekali terlintas juga keinginan sesuatu di dalam kepalanya. Bermula daripada penderitaanlah hidupnya mulai tidak terancang - berpecah! Pecahan hidup ini berlaku dalam masyarakat yang mudah mabuk dengan benda! Bah! Sekali  lagi dia melenting. Sekali gus berlari kencang-kencang di atas pinggir jalan yang semakin sibuk. Malam sudah digantikan dengan pagi. Sinar matahari pagi yang pertama sudah mulai memantul daun-daun dan sebelah luar dinding bangunan.

Ketika dia tiba di tengah pusat kota pagi itu, kota mulai sibuk. Dia berhenti. Duduk di atas batu ubin kaki lima. Menghela nafasnya panjang- panjang agar lelahnya cepat hilang.

Terlalu banyak masalah yang hendak difikirkan. Masalah sosial semakin hari semakin bertambah kusut dan rumit. Masalah bencana alam yang akan menimpa apabila manusia semakin lupa akan Khaliqnya. Masalah pakaiannya. Dia renung pada pakaiannya yang tidak pernah bertukar setiap hari. Kotor dan keras oleh minyak dan tanah bercampur melekat pada pakaiannya. Masalah perutnya! Kepalanya digelengkan beberapa kali lagi.

Mengeluh! Menghening! Kesempatan beginilah diambilnya untuk terjun ke dalam dirinya. Mengenang masa lampau  tentang dirinya membuat dia pilu. Masa lampau dirinya sama gelap dengan masa kini dan seterusnya masa depan. Bagi dia mungkin keindahan masa depan itu sama seperti lubang tempatnya tinggal.

Demikianlah! Fikirnya. Masa tiada apa-apa erti baginya. Masa sama saja. Siang tidak dimanfaatkan. Malam tidak digunakan  untuk tidur. Tidur atau tidak sama saja. Dia akan tidur apabila di dalam kepalanya wujud satu dengung seperti segerombolan lebah berpindah tempat bersarang membuat madu. Dia akan merebahkan badannya di mana-mana otaknya rasa letih. Lalu dia tidur hingga pulas. Bila dia terjaga selepas kantuknya hilang, dia akan kembara lagi. Berjalan-jalan. Merayau dan meraung sekuat-kuatnya apabila tegang sarafnya tidak menurun. Pecahan hidupnya membuatkan dia benci pada dirinya. Dia tidak menghargai dirinya seperti seharusnya sebagai manusia. Lalu dia hancurkan dirinya. Merobek-robek tubuhnya. Mencincang hingga lumat. Dia tiada apa-apa di dalam debu sistem cekrasuria ini.

Sinar matahari pagi semakin meninggi menyimbah alam semesta. Kenderaan semakin sibuk meniti di atas dada aspal. Manusia sedikit demi sedikit bertambah, akhirnya menjadi gerombolan yang sibuk berada di setiap pojok jalan, di atas batu ubin, mengelilingi tukang ubat menjaja ubatnya dan kaki lima-kaki lima bangunan. Ada yang berjalan gopoh gapah tidak tentu hala. Apakah sebenarnya dicari oleh manusia?

Apabila saja hari terang, manusia tertumpu di bandar, menyibukkan bandar dan gedung-gedung perniagaan. Dia geleng-geleng kepalanya. Dirasanya kepalanya semakin berat. Bintang-bintang kecil berterbangan dan berkelip- kelip di sekeliling kepalanya. Akhirnya, dia pengsan jatuh terbaring di atas kaki lima bangunan dengan air liur elevur keluar daripada mulutnya. Matanya terbelalak!. Orang mati! Dia terdengar raungan seseorang yang lewat di situ. Bukanlah! Balas seseorang yang lain. Dia tidur! Kesemuanya kemudiannya pergi, entah ke mana hilang di celah bangunan.

Sayup-sayup dia ternampak asap putih datang menuju ke arahnya. Asap itu semakin hampir, semakin membesar dan jatuh di sisinya, lalu menjadi lembaga berbentuk seperti tubuh manusia. Lengkap berpakaian jubah dan berjanggut putih, panjang hingga ke paras lutut. Kepalanya bersalut serban putih dan ekor serbannya  panjang, melebihi bawah bahunya.

Jasadnya perlahan-lahan menjadi besi. Dia sedikitpun tidak gementar menyaksikan badannya bertukar menjadi besi. Dia berasa lebih bahagia. Sangat bahagia sehingga tidak ada perasaan bahagia yang dapat dia ucapkan. Sekali gus melenting beberapa kali lantas masuk semula ke dalam jasadnya. Dia berjalan mundar mandir, kemudian mampir kepada lelaki berjanggut putih sedang memerhatinya.Diam. Jadi? mereka bertanya serentak. Diam. Aneh! Fikir mereka serentak. Dia meraba kepalanya. Tidak ada apa-apa yang aneh! Kata lelaki berjanggut putih seolah-olah tahu apa yang sedang difikirkannya sekarang. Siapa lelaki itu? Tanyanya diam-diam dalam hati.

Aku diutuskan supaya mengangkat ruhmu ke atas. Tetapi, oleh sebab kau makhluk yang baik, aku kesian mengambilmu terlalu awal. Pada hal kau tidak melakukan bencana apa-apa di atas muka bumi dan tidak menganiayai makhluk lain! Kata lelaki itu. Dia kaget. Gementar! Rasa sejuk menguasai seluruh tubuhnya.

Orang yang lewat kaget melihat perubahan drastik. Daripada seorang manusia biasa yang kelihatan seakan trauma, bertukar menjadi robot dan boleh berkata-kata seperti manusia. Mereka seolah berfikir, tetapi tidak sampai ke mana fikirannya yang dapat diraba oleh otak mereka. Mereka bertambah kaget. Berpandang-pandangan sesama sendiri lalu pergi. Mereka semua ada masalah. Masalah mereka adalah benda. Eh bukan! Benda, tidak tepat sasarannya. Material lebih menepati sasarannya kerana material mencakupi segala keperluan hidup manusia termasuk memuaskan nafsu syahwat.

Dia diam. Matanya terkebil-kebil merenung ibu jari kakinya menguis-nguis batu keras. Kemudian lelaki itu menyambung lagi: Mereka tidak puas-puas mengejar benda, sehingga mereka lupa tujuan hidup mereka yang asal. Mereka sudah lupa janji mereka sebelum dilantun ke dunia ini. Berjanji akan menjadi hamba yang soleh. Tetapi, apabila mereka berada di dunia, mereka terpesona dengan dunia yang masih serba kekurangan, jika dibandingkan dengan alam abadi. (Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan demikian) bahkan lihatlah, kamu mengutamakan kehidu pan di dunia ini daripada akhirat. A'la:16). Lelaki itu memberi khutbah kepadanya seperti seorang imam tua membaca khutbah di mimbar masjid.

Apa boleh buat, keluhnya kesal. Keluhan seorang manusia yang putus asa! Putus asa juga satu dosa. Putus asa adalah manusia yang tidak bersyukur atas nikmat yang Allah kurniakan pada mereka. Bukan! Bukan putus asa! Balasnya cepat. Tapi, hijab yang menjadi sempadan antara manusia dan alam ghaib itu sangat tebal. Manusia tidak pula berusaha untuk menipiskan hijab itu, supaya mereka dapat melihatknya dengan mata batinnya. Manusia terus menerus menompok noda di dalam hatinya, diam menyambung kemudian.Kepala lelaki berjanggut terangguk-angguk. Mengiyakan. Kemudian lembaga itu bergumpal menjadi segumpal asap dan bergulung naik ke angkasa lalu hilang. Tinggal dia sendirian mundar mandir di kaki lima bangunan, tanpa diketahui yang dilakukan.

Sekarang, ingatnya, dia tidak perlu apa-apa lagi. Tidak perlu makan. Tidak perlu tidur dan yang lazimnya diperlukan manusia biasa. Dia sudah tidak ada perasaan apa-apa!

No comments: