Pages

Wednesday, October 15, 2014

Aliran darah watan

Oleh Jais Sahok

TAHUN 1854. Sudah lebih sepuluh tahun James Brooke memerintah negeri Sarawak. Kawasan negeri sudah diperluas. Dia masih bergelut dengan kekacauan dan huruhara akibat serangan puak-puak yang memberontak untuk menewaskannya. Dia berasa begitu tercabar. Hidupnya tidak seindah mimpi siang hari.

Datuk Patinggi Abdul Gafur, pembesar Melayu yang berpengaruh dan disegani di Kuching ketika itu, diajak oleh James Brooke bersama-sama ke daerah pedalaman Sarawak dalam ekspedisinya melawan musuh. Dia memerlukan pertolongan dan sokongan pembesar yang mempunyai pengikut yang banyak itu. Dia memerlukan penyokong dan panglima yang lebih banyak. Dia sanggup menggaji mereka dengan gaji yang berpatutan. Dia lebih suka kepada orang Melayu. Orang Melayu patuh kepada ketua. Tidak mudah belot.

"Baiklah, aku setuju," jawab Datuk Patinggi Abdul Gafur setelah utusan James Brooke menemuinya. Beberapa hari kemudian dia sendiri yang dipanggil ke kediaman James Brooke. Layanan yang diterimanya daripada beberapa pegawai James Brooke amat baik. Mereka begitu mesra. Berbunga hati dan perasaannya kerana wajah kejayaan rancangannya sudah mula kelihatan. Buah fikirannya akan berhasil dan menjadi kenyataan. Dia yakin. Ketika itulah, dalam ekspedisi ke pedalaman Sarawak itulah kelak dia akan menyerang James Brooke. Kalau dapat dia sendiri yang hendak membunuh pembesar kulit putih itu. Anak-anak buahnya akan menjahanamkan semua orang putih di Sarawak yang ikut serta dalam ekspedisi itu. Bilangan mereka tidak sampai 100 orang pun, fikirnya dengan yakin. Hanya setelah kejayaan itulah negeri Sarawak dapat diperintah anak watan sendiri.

Pelbagai persiapan dilakukan oleh James Brooke dan semua pegawai kanannya di rumah kediaman mereka di Kuching. Pengikutnya juga bertambah banyak. Dia hendak mengamankan puak-puak yang bertelagah di daerah pedalaman. Dia juga mahu menghancurkan semua penentangnya, semua orang yang benci kepada orang kulit putih.

Itulah misi utamanya. Azamnya amat tinggi. Dia mahu menampakkan kepada pengikut-pengikutnya bahawa dialah panglima yang sejati, yang gagah berani dan dialah orang putih yang bijak.

Ketika menerima perlantikan sebagai Gabenor Sarawak, dia sudah berjanji kepada Muda Hashim bahawa dia akan mengamankan negeri Sarawak setelah diberi kepercayaan mentadbir sebagai Gabenor Sarawak. Lebih penting baginya ialah maruahnya sendiri. Dia orang kulit putih dan dia yakin bahawa dia adalah lebih baik daripada bangsa dan watan yang berkulit sawo matang. Dia akan melakukannya dengan caranya sendiri. Dia akan menentang semua penentangnya tanpa mengira kaum dan bangsanya. Dia yakin akan berjaya. Muda Hashim yang sudah kembali ke Brunei tidak akan mengatakan apa-apa selagi dia membayar wang yang dikehendaki dalam perjanjian itu.

Malam itu secara tiba-tiba saja dia digemparkan. "Raja, Raja, Tuan Raja. Ada rancangan untuk membunuh Tuan Raja dan orangorang putih di sini. Berhati-hatilah dalam ekspedisi itu nanti. Ekspedisi itu berbahaya Tuan Raja." Termengah-mengah dan penuh gelabah Abang Patah memberitahu Brooke. Dia datang di rumah Brooke pada waktu malam.

"Betulkah berita ini, Datuk Temenggung?" James Brooke terpinga-pinga buat seketika sambil matanya digosok-gosok dengan belakang tangan. Bergemuruh perasaannya sambil dahinya berkerut seribu. Hampir dia tidak percaya akan berita yang baru didengarnya itu. Dia merenung wajah Abang Patah buat seketika dan meminta segelas wain, tetapi yang diminumnya terasa bagai darah Abang Patah!

"Memang betul, Tuan Raja." Bersungguh-sungguh Datuk Temenggung yang belot dan khianat kepada bangsa dan tanah air sendiri itu cuba meyakinkan James Brooke. James Brooke memang sentiasa curiga orangnya. Tanpa berita itu pun dia sentiasa berhatihati. Dia sentiasa berasa bahawa memang ada orang yang khianat kepadanya. Penduduk peribumi melihatnya sebagai orang asing walaupun dia sendiri berasa tidak begitu asing dengan dunia sebelah timur ini.

"Siapa pengkhianat itu?" Sergah James Brooke setelah menghirup seteguk wainnya. Bagai hendak terpancul bola matanya ketika menyergah Abang Patah. Perasaannya semakin sukar dikawal. Dia menyergah meminta tongkat kayunya. Datuk Temenggung yang sentiasa patuh kepadanya itu melihatnya penuh harapan. Dia memohon pengertian. James Brooke faham akan maksudnya daripada pandangan matanya saja.

"Datuk Patinggi Abdul Gafur, Tuan Raja." Dia melihat ke muka James Brooke yang masih berang. "Dia pembesar Melayu yang berpura-pura berkawan baik dengan Tuan Raja tapi dia merancang hendak menjahanamkan Tuan Raja." Dia berjeda seketika, memohon pengertian sambil mengatur kalimatnya sendiri. "Berhati-hatilah," sambungnya sambil memberi amaran itu. Dia berasa amat megah kerana hajatnya sudah kesampaian.

"Gafur?" Terlopong luas mulut James Brooke. Tergeleng-geleng kepalanya tanpa sengaja. Berpinau pandangannya buat seketika. Hampir dia tidak mempercayai maklumat itu. Terlonjak pula gemuruh amarahnya. James Brooke mengetap bibir bawahnya dengan kuat.

"Ya, Tuan Raja," tambah Temenggung Patah lagi dengan tertunduk-tunduk hormat. Tangannya dipasung ke belakang untuk menonjolkan kelakuan hormatnya. Jauh di sudut perasaannya, dia begitu megah dan bangga. Tentulah aku akan mendapat imbalannya, fikirnya.

"Dia sudah belot kepada aku. Tangkap dia. Bawa dia berjumpa aku." Perintah Brooke segera dikeluarkan. Abang Patah menoleh kepada pengikutnya dan semuanya mengangguk. Mereka kemudiannya merancang satu komplot penipuan untuk menangkap Datuk Patinggi Abdul Gafur. Seorang pegawai James Brooke sendiri mengepalai mereka. Pada mulanya mereka agak ragu-ragu juga hendak mendekati dan memasuki rumah Datuk Patinggi Abdul Gafur.

Tetapi kerana perintah James Brooke, mereka berjaya juga memperdayakan pembesar Melayu itu. Kerana rancangan itu, Datuk Patinggi Abdul Gafur ditipu dan ditangkap lalu dihadapkan kepada James Brooke dengan segera. Ketika ditangkap, dia tidak membantah. Dia tidak dapat membantah kerana ditipu dalam satu komplot yang cukup terancang rapi. Jauh di dalam perasaannya berbongkol segugus bantahan terhadap sikap pembelot watan, Abang Patah.

"Kamu Gafur, pembesar Melayu yang tidak mengenang budi. Tuih!" James Brooke menyergahnya dengan garang. Bagai hendak dipukulnya Datuk Patinggi Abdul Gafur dengan tongkat kayunya. Datuk Patinggi Abdul Gafur merenungnya tidak beralih.

"Kamu lihat di sana tu, semua pembesar Melayu mendengar, dan kali ini ingin sekali kunyatakan bahawa kamulah pembesar Melayu yang paling tolol, paling bodoh, pembelot, penderhaka. Pangkat saja tinggi. Kamu tahu tak, aku ini Gabenor di negeri ini? Aku raja di sini. Tuih!"

Abdul Gafur membatu saja sambil tunduk rapat dagu di leher. Dalam keadaan begitu dia berasa memang tiada gunanya dia melakukan apa-apa.

"Kamu tahu, kamulah orang Melayu yang paling bodoh pernah aku tahu, tidak layak menjadi pembesar dan kali ini...dengar semua..." James Brooke melontarkan pandangannya dengan angkuh kepada semua pembesar Melayu yang dipanggil ke kediamannya. Mereka pula mendongak, memberi kesediaan pendengaran yang diserukan. James Brooke menunjuk Datuk Patinggi Abdul Gafur dengan tongkat lalu menyambung kalimat hukumannya.

"Hari ini, atas nama kebenaran dan keamanan negeri ini, kulucutkan semua pangkat dan gelaran Datuk Patinggi yang diberi kepada kamu, Gafur."

Datuk Patinggi tidak memberi reaksi apa-apa. Dia cuma memandang James Brooke dengan wajah yang garang. Beberapa orang Melayu yang menyaksikan adegan itu berasa cemas.

"Dan...," James Brooke berjeda bagai mengatur fikirannya buat seketika, "besok, hantar dia ke pangkalan. Sediakan sebuah kapal, beri belanja secukupnya dan suruh dia menunaikan haji di Makkah." James Brooke terus masuk ke dalam. Mereka yang berada di rumahnya segera melaksanakan suruhannya.

Tidak ada sesiapa yang berani membantah perintah Gabenor yang menggelar dirinya raja itu. Abdul Gafur dihalau dari negeri Sarawak. Dia dipaksa berlepas meninggalkan negeri Sarawak pada waktu malam. Kecuali orang yang rapat pada James Brooke, tiada siapa yang tahu bila dia berangkat.

Sharif Masahor yang turut merancang serangan untuk menghapuskan James Brooke dan semua orang putih itu juga ditipu, ditawan dan kemudiannya dibuang negeri. Dia terpaksa tinggal di Brunei.

Sekembalinya dari Tanah Suci, Datuk Patinggi Abdul Gafur bergabung dengan Sharif Masahor sekali lagi. Mereka masih mahu meneruskan perjuangan yang tergendala. Kali ini mereka akan melakukan serangan dari pelbagai penjuru di beberapa tempat yang strategik. Kawasan yang akan diserang meliputi kawasan dari Sungai Rajang hingga ke Lundu seperti Sarikei, Kanowit, Kuching dan Lundu.

Persiapan mereka dirancang dan dilakukan dengan rapi. Serangan yang dilakukan secara tiba-tiba di Kanowit mendatangkan kejayaan. Pada 25 Jun 1859 Charles Fox dan Henry Steele tumpas. Kekalahan itu menimbulkan kemarahan James Brooke dan anak saudaranya, Charles Brooke. Charles dipanggil keesokan harinya.

"Charles, kamu serang dan hancurkan bandar Kanowit itu," sergah James Brooke. "Tawan semua pembesar mereka dan bunuh semua pengkhianat yang kurang penting." Bentakan James Brooke begitu nyaring dan hentakan kakinya membisingi lantai. Anak buahnya tidak berani mengatakan apa-apa. Dia sendiri turut berasa hampa dan geram.

Arahan itu segera dilaksanakan. Bandar Kanowit dapat ditawan semula. Datuk Patinggi Abdul Gafur dan Sharif Masahor yang diketahui menjadi perancang serangan itu ditawan lagi. Kedua-duanya dibuang negeri semula. Gafur dihantar ke Melaka dan Sharif Masahor dibuang negeri ke Brunei.

Darah pejuang memang kental mengalir dalam tubuh Abdul Gafur. Di Melaka Abdul Gafur mengatur rancangan serangannya sekali lagi.

"Selagi raja kulit putih itu tidak mati atau pulang ke negara asalnya, aku tidak akan berhenti menyerangnya. Biar aku mati berjuang, aku rela. Aku akan tetap melakukannya." Kata-kata semangat Abdul Gafur sentiasa berkumandang di setiap pertemuan dan rapat umum yang dilakukannya.

"Laut Cina Selatan tidak akan menjadi penghalang perjuanganku. Aku akan tetap terus berjuang." Abdul Gafur sentiasa menyemarakkan semangat kentalnya.

"Kalau diserang dari dalam negeri dia terlalu kental, kali ini aku akan menyerang dari Indonesia." Cuma satu kekangannya. Fikirannya sentiasa sarat dengan masalah kekangan itu. Dia tidak ada senapang dan bedil. Mereka berjuang dengan pedang, ilang dan keris. Tetapi dia yakin, dengan semangat yang tinggi melonjak itu, mereka akan berjaya juga akhirnya.

Rancangannya untuk menyerang Brooke dari Indonesia, Pontianak mula diaturnya dengan rapi. Dia segera berlepas ke Indonesia dan di sana dia sempat bertemu dengan pejuang pembebasan Sarawak yang melarikan diri tetapi merancang untuk menyerang James Brooke sekali lagi.

Perutusan sudah dibuat antaranya dengan Sharif Masahor. Sharif Masahor didengarnya sudah berada di Mukah. Entah bagaimana pejuang itu sudah berada di daerah itu, dia tidak mahu tahu. Memang pejuang harus mahir mengatur gerak strateginya, fikirnya.

Masing-masing memahami rancangan serangan itu. Sharif Masahor akan menyerang dari laut - mereka akan menggunakan kapal dan bot. Abdul Gafur pula akan menyerang dari darat. Kali ini mampuslah Gabenor Kulit Putih itu, fikir Abdul Gafur penuh yakin.

"Tangkap...tangkap...tawan dia!"

Terpinga-pinga Abdul Gafur apabila didatangi orang Melayu yang tidak dkenalinya. Dia terus ditawan dan cuba diseret ke kediaman James Brooke dengan serta-merta. Perjalanan itu agak jauh dan payah kerana dia masih berada di Pontianak. Kali ini dia tidak ditipu tetapi dipaksa.

Dalam satu keadaan yang sepi di tengah-tengah belantara, ketika mereka sedang berehat dan dibungkus kesepian, dia sempat bertanya daripada salah seorang kumpulan orang suruhan yang menawannya. "Siapa kamu?" Tanyanya setelah disoal siasat beberapa kali. Dia membantah tangkapannya.

"Kami orang suruhan Belanda," kata salah seorang daripada mereka. Rambutnya panjang dan ikal kerinting. Dia kelihatan begitu garang. Abdul Gafur dapat mengesani kerisauan dan kebimbangan orang suruhan Belanda itu. Abdul Gafur berasa pelik dan hairan. Orang yang menangkapnya itu tidak ada kena-mengena dengan perjuangannya.

"Orang Indonesia?" Beberapa orang pengikutnya yang turut ditangkap tidak berani bersuara.

"Ya, kami orang Indonesia." Garang sekali suara orang itu. Tetapi semangat Datuk Patinggi Abdul Gafur belum patah. Dia merancang untuk melakukan sesuatu supaya dilepaskan oleh orang yang menangkapnya itu. Kalau orang Indonesia itu tidak khianat, tentulah perjuangan mereka turut disokong oleh mereka.

"Mengapa tangkap kami?" Tanyanya lagi. Dia dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang pelik sedang berlaku. Dan dia syak juga bahawa pasti ada pembelot lain yang memperdaya mereka.

"Kerajaan Belanda yang mengarahkan kami. Kamu pengkhianat, kata mereka. Kami ikut saja. Kami diberi gaji."

Abdul Gafur dapat merasakan palitan rasa simpati pada kalimat orang dapat membantah.

"Tapi aku tidak ada kena-mengena dengan kerajaan Belanda di tanah Indonesia ini. Aku ke sini cuma merancang serangan kami." Suaranya masih bertenaga. Dia memohon pengertian daripada orang Indonesia itu.

"Ya, benar, tapi kerajaan Brooke di Sarawak yang bersepakat dengan kerajaan Belanda di sini untuk menangkap kamu sebelum kamu menyerang mereka."

Penjelasan itu difahaminya, tetapi dia masih mengesyaki sesuatu, lalu dia bertanya lagi.

"Macam mana mereka tahu kami hendak menyerang?"

"Mana kami tahu. Mulut tempayan dapatlah ditutup tapi mulut manusia..."

Abdul Gafur mengangguk-angguk. Dia faham akan maksud orang Indonesia itu. Mereka pun mencari makan dan agaknya sudah tidak ada jalan yang lebih baik untuk mengaut rezeki hingga tergamak mengkhianati bangsa dan rumpun sendiri.

"Siapa utusan kamu?" Dia sudah dapat mengesan sesuatu. "Siapa yang punya angkara ini?" Tanyanya dengan suara lebih tinggi. Dia yakin orang yang menangkapnya itu tidak ada kepentingan. Keberaniannya masih membuak di dalam perasaannya. Mereka cuma orang suruhan, fikirnya.

"Pengiran Matusin," jawab seorang daripada mereka itu yang berada agak di belakang.

Terlonjak gemuruh amarah Abdul Gafur. "Sial!" Dia berludah di tanah, meludahkan rasa pahitnya. Abdul Gafur tidak terkata apa-apa lagi. Dia berasa begitu kesal kerana Pengiran sentiasa menyebelahi kerajaan Brooke. Dalam Perang Mukah pun dia memang menyebelahi Brooke. Terbayang olehnya kegagalan usahanya itu lagi.

Dalam keadaan tertawan begitu dia tidak dapat melakukan apa-apa. Dia terpaksa menyerah sekali lagi walaupun hatinya belum puas dan rasa ingin berjuangnya masih belum pudar. Dia sudah tidak dapat menyerang seperti yang dirancangkan.

Tetapi Abdul Gafur masih berharap serangan dapat diteruskan oleh Sharif Masahor. Namun laporan Pengiran Matusin berjaya juga memerangkapnya. Rancangan serangan mereka terganggu dan batal begitu saja. Mereka dipujuk ke Kuching untuk bertemu James Brooke untuk menerima sesuatu daripadanya. Sharif Masahor yang yakin bahawa James Brooke masih tidak mengetahui rancangan mereka, yakin dapat melakukan sesuatu apabila berdepan dengan James Brooke kelak.

Dia juga berharap dalam masa yang sama Abdul Gafur akan menyerang dari darat.

Tetapi malangnya kapal yang ditumpanginya tidak memasuki Sungai Sarawak, sebaliknya dihalakan ke Singapura. Sharif Masahor dibuang negeri di Singapura.

Sekali lagi Abdul Gafur berdepan dengan James Brooke. Semakin benci rasa di hatinya melihat wajah Gabenor Kulit Putih yang memerintah secara kebetulan tetapi sudah mula mengaut semua hasil bumi - arang batu, emas dan antimoni dari Daerah Bau dan Lundu itu.

James Brooke menyoal-siasat Abdul Gafur sepuas-puasnya. Keputusannya sudah bulat. Dia tidak mahu mengampunkan Abdul Gafur lagi.

"Buang si tua keparat dan pengkhianat ini! Tidak sedar diri. Pergi ke Makkah pun kerana dibiayai. Dayus. Melayu apa kamu ini, hah? Tolol!" Dia menunjuk kepala Abdul Gafur dengan tongkatnya tetapi Abdul Gafur cuba menghalang dengan menepis kayunya.

"Eh, berani kamu ya? Buang dia sekarang!" Sergahnya lagi.

"Buang ke mana tuan?" Tanya seorang pengawal kediamannya yang bersenapang dan berstoking palat berwarna putih.

"Masukkan ke dalam kapal, dan hantar ke Melaka lagi! Di sana dia boleh berehat sampai mati bersama-sama orang Melayu. Tak sedar diri sudah tua. Kalau aku macam kamu, aku akan tidur di rumah saja. Tahu?" James Brooke meninggalkan ruang keramaian yang suram dan muram itu.

Abdul Gafur tidak terkata apaapa lagi. Semua penyokong James Brooke bertindak segera atas arahannya seolah-olah melihatnya sebagai tidak ada kuasa yang dapat menewaskannya.

Abdul Gafur tersingkir dari bumi Sarawak sekali lagi.

Tidak berapa lama setelah tiba di Melaka, setelah mendirikan teratak di Umbai, Melaka, Datuk Patinggi Abdul Gafur jatuh sakit. Dia sudah terlalu tua untuk terus berjuang.

"Kalau aku mati, sampaikan surat ini kepada Sharif Masahor. Dia masih muda dan aku yakin dia akan terus berjuang sehingga Sarawak bebas daripada pemerintahan orang asing." Itulah antara kalimatkalimat yang akhir pernah didengar diucapkannya.

Malam itu, Abdul Gafur menghembuskan nafasnya yang terakhir. Perjuangannya diteruskan oleh Sharif Masahor.

No comments: