Pages

Sunday, October 19, 2014

Asmaraloka

Oleh Jali Kenoi

CINTA adalah sebuah pulau rasa yang dikelilingi mawar harum dan anggun di tasik nirwana. Ah! Segala-galanya indah. Seindah-indahnya. Tiada kecacatan dan kecelaan. Semuanya baik-baik belaka. Dan rindu itu adalah puncak rasa cinta berpadu. Rasanya tiada kalimat dapat menggambarkannya. Dan ... oh ... seronoknya dalam debar menunggu. Lamanya, walaupun cuma seminit dua, penaka penantian aku rasa tidak terjangkau dek masa. Ya. Itulah musim berbunga cinta.

Beberapa bulan yang lalu aku berhijrah ke bandaraya dengan tujuan mencari pekerjaan di samping untuk melupakan peristiwa yang menjadi sejarah hitam di dalam hidupku itu. Kerana cintaku padanya - cinta pertama di dalam hidupku. Dan itulah cinta abadi kurasa.

Namun mereka, ayah dan ibu serta kakak-kakaknya tidak begitu. Tetapi dia tentu tetap dengan hatinya. Dia akan mempertahankan pendiriannya, dan impian kami. Justeru, maka aku sangat mengharapkannya. Begitulah tanggapanku terhadap `kekasihku' itu.

Lalu pada musim keramaian, regata di pekan kami, ketika dia menemani aku berjalan-jalan lewat lautan manusia itu, sempat aku meluahkan keraguan hatiku. Aku ragu kerana aku amat mencintai dan menyayanginya. Kerana itu, walaupun kami sudah agak lama bercinta, aku amat hati-hati supaya tidak melukakan hatinya. Malah aku cuba juga hendak menambat hati keluarganya.

Sememangnya, keluarganya orang berada. Itu harta mereka. Bagiku, bukan harta dan kekayaan yang menjadi impian tetapi hati dan budinya. Kalau ditakdirkan dia anak keluarga miskin aku tetap mencintainya asalkan hatinya jujur dan setia padaku. Tentunya, cinta kami akan kekal. Tiada halangan, tiada tentangan.

"Keluarga kau pemilih, Mas. Mereka tidak merestui perhubungan kita kerana aku dari keluarga miskin. Tidak ada tanah berhektar-hektar. Dan kata mereka, ayahku pemalas, tidak ada daya usaha - kais pagi makan pagi dan tidak ada bekalan dan simpanan untuk hari muka." Aku meluahkan kesalan, didorongi kehampaan yang tidak terhingga. Dalam pada itu, aku mengharap semoga dia akan memujuk hati keras ahli-ahli keluarganya.

"Tapi aku mencintai kau, Siti. Cinta pertama kita. Dan kaulah segala- galanya bagiku," rayunya hendak meyakinkan hatiku.

Bukan sekali itu dia bermadah begitu, tetapi setiap kali aku melafazkan keraguanku, apabila menyedari kesederhanaan hidup keluarga kami yang tidak seperti keluarganya - serba-serbi ada.

Dan pada suatu petang minggu, di taman rekreasi, kami duduk sebangku. Dalam perbualan yang agak berlarutan, sempat dia mengeluarkan kata-kata:

"Aku mencintai kau, Siti. Lebih daripada segala-galanya. Percayalah. Tidak ada sesiapapun akan dapat menghalang cita-cita kita," bisiknya manja, sambil membelai rambut panjangku yang mengurai.

Aku terkulai di dalam pelukan cintanya. Sesungguhnya aku sangat mempercayai kata-kata madunya, kerana dia kekasihku. Matanya yang tajam menusuk ke dalam hatiku. Melemaskan perasaanku. Lalu aku tidak dapat melepaskan diri dari rangkulan cahaya asmara itu. Bibirnya sentiasa mengulum senyum - satu keistimewaan yang jarang-jarang sekali terdapat pada lelaki lain. Semakin tertambatlah hatiku. Dialah segala-galanya bagiku.

Dan demi cinta kami, rasanya aku sanggup berbuat apa saja. Harapanku, keluarganya akan mengalah kepada kehendak dan cita-cita abadi kami. Lantaran pada andaianku dan pernah aku dengar dan lihat dengan mata sendiri, ramai pasangan yang pada mulanya ditentangi keluarga. Bagaimanapun, kerana kedegilan cinta, mereka meneruskan perjuangan, bercinta dan akhirnya berumah tangga - direstui oleh pihak keluarga dan menimbulkan kesedaran kepada mereka betapa bahagianya hidup yang dibina di atas pengabdian dan kesungguhan hati pasangannya.

Tetapi rupa-rupanya, Masleh anak yang baik, anak yang mendengar kata- kata ibu bapa. Dia bukan anak derhaka. Buktinya, dia mematuhi larangan kedua-dua orang tuanya.

"Di manakah janjimu? Sumpah setiamu dulu, Masleh? Di mana? Di mana? Kau sudah memungkiri janji yang telah kau buat sendiri. Apakah jenis manusia kau ini? Tidak berpegang pada janji dan sumpah setia. Ohhh ..." Itulah yang hendak kuluahkan kepadanya. Rasanya hendak kulolongkan di depan mukanya untuk disaksikan oleh sesiapa saja. Aku mahu dunia tahu betapa remuknya hatiku kerana perbuatannya.

Tetapi dia sudah tiada. Tidak pernah ada pertemuan yang terakhir di antara kami. Ya, dia menghilang begitu saja. Helah mereka, supaya tidak menemui aku lagi, Masleh dihantar belajar ke luar negeri. Itulah kehebatan keluarganya. Dengan kekayaan yang ada, mereka boleh berbuat apa saja. Dan aku ditinggalkan memendam rasa.

Sejak begitu lama aku mengharapkan berita daripada Masleh. Menanti dan menanti, walau sepucuk surat pun daripadanya. Amat pedih rasanya penantian itu. Penaka, siang dan malam tiada bezanya. Begitulah buat beberapa bulan sehingga badanku kusut masai.

Ini ditambah pula dengan tohmah dan berita yang direka-reka oleh jiran bahawa aku berbadan dua dan orang yang aku cintai telah menganiayaku. Lalu aku dituduh membuang benih di dalam kandungan. Aduh ... pedihnya aku rasa, tidak terhingga. Bak kata peribahasa: Sudah jatuh ditimpa tangga.

Kini aku berada di bandaraya setelah setahun lebih aku berpisah dengan Masleh. Ayah, ibu serta keluargaku tidak melarang niatku.

"Biarlah kau meninggalkan pekan ini, Siti. Aku tidak mahu kau menderita sepanjang hayat, tapi apabila di sana nanti, pandai-pandailah kau menjaga diri." Demikian pesan ayah setelah mendengar permohonanku.

"Pilihlah pekerjaan yang baik-baik. Jangan terpedaya oleh mereka yang menjanjikan sesuatu, kerana di bandaraya banyak manusia yang ingin mengambil kesempatan di atas kecantikan gadis dari luar bandar." Ibu pula menambah dan memberi peringatan kepadaku.

Di bandaraya aku menumpang tinggal di rumah keluarga sepupu ayahku. Keluarganya besar. Tentunya aku tidak mahu membebankan mereka. Maka dengan segala daya dan usaha, aku meminta pertolongan mereka mencari pekerjaan untukku - dapat juga membantu menampung perbelanjaan kami. Perlulah aku membantu mereka membeli lauk dan membayar bil api dan air.

Setelah puas berusaha, keluar masuk pejabat, bersyukurlah, akhirnya aku mendapat pekerjaan di sebuah syarikat percetakan. Dan dengan kelulusan SPM, pangkat tiga, aku diberi tugas menjilid dan membungkus bahan-bahan cetakan selain membantu mengedarkannya kepada pelanggan.

"Eh ... bolehkah aku menolong?" Pemuda itu menyapa dan bertanya, lalu membantu menarik alat pengikat pada bungkusan bahan cetak. Dia kasihan melihat aku terkial-kial mengerah tenaga perempuanku. Sebenarnya, sejak bekerja di situ, dia sentiasa memerhatiku.

Pertolongannya sukar hendak aku tolak. Pertama kerana takut hendak menghampakan hatinya. Kedua, kerana sememangnya aku memerlukan tenaga untuk meneguhkan ikatan pada bungkusan bahan cetakan itu. Maklumlah aku berasa sudah agak lenguh. Dan ketiga, sememangnya aku memerlukan teman lelaki untuk mengisi kesunyian hatiku sejak berhijrah ke bandaraya.

"Sudah lama aku hendak menolong," beritahunya dengan nada yang agak terketar. Malu. Dan pada fahamanku, dia baru mengalami keadaan seperti itu. Maksudku, berdepan dan meluahkan harapannya terhadap seorang gadis yang dia minati.

"Terima kasih, Jul. Bukankah kita sama-sama bekerja di bahagian ini, dan sepatutnya saling bertolong bantu," kataku, tenang.

Kami terus berkawan. Dia bertugas sebagai operator mesin. Aku sebagai tukang jilid dan tukang bungkus bahan cetak. Sentiasalah kami bersama- sama. Dan apabila melihat aku terkial-kial membelit, menyimpul dan menarik tali ikatan, cepat-cepat dia membantu. Kerana itu, aku mula tertarik padanya. Bukan saja kerana dia sentiasa membantuku tetapi lebih daripada itu. Dia lawa. Memikat. Ramai gadis di situ menaruh hati terhadapnya.

Tidak aku duga, entah kerana kecantikanku, ramai lelaki mengekori pandang padaku. Aku dapat merasanya. Ini membuat aku berasa malu. Walau bagaimanapun, aku bersyukur kerana mereka tidak mahu mengganggu dengan perlakuan yang mengaibkan - tidak seperti selalu yang dilakukan, bersiul atau menyapa dengan kata-kata usikan apabila melihat gadis ayu.

Apabila aku pulang pada suatu petang, dan semasa menghala ke perhentian bas, tidak jauh dari tempat aku bekerja, sebuah kereta Honda berhenti di depanku.

"Aku tahu tempat kautinggal. Dan aku juga nak pulang ke arah itu. Ayuh, masuklah. Mari, aku bawa kaupulang."

Aku tercenggang. Dalam dilema - antara hendak masuk dengan tidak.

Sesungguhnya aku sudah kenal lelaki itu kerana dia selalu datang ke pejabat percetakan, di tempat aku bekerja. Dia kawan bisnes pengurus syarikat percetakan itu.

"Ayuh, masuklah cik," pelawanya lagi dengan hormat. Dia seorang lelaki yang beradab tetapi jauh lebih tua daripada aku. Kerana sentiasa berpakaian kemas dan menjaga kesihatan, dia tidak menampakkan ketuaan umurnya.

"Terima kasih," kataku setelah meyakinkan diri lalu masuk ke dalam perut keretanya. Dia tidak melarang aku duduk di sebelah belakang.

Dan sejak petang itu, aku sering dibawanya pulang. Akhirnya aku berani duduk di depan, tanpa ragu-ragu.

Dia bijak bercerita dan pandai mencolek hati - wajarlah dia menjadi pengurus syarikatnya. Malah dia memperkenalkan aku kepada ahli-ahli keluarganya, demi mengelakkan sangkaan buruk orang, katanya. Dan sesekali, pada petang minggu, aku dan dua orang anaknya yang masih kecil dibawanya keluar makan. Kami makan di restoran yang ada kelas. Kerana membaca kejujurannya, orang-orang rumahku tidak melarang aku keluar dengannya.

Ah ... kebahagiaanku hanya di situ. Cintaku bercabang dua - cinta pada Julaihi dan juga cinta pada pengurus duda, yang kematian isteri itu. Julaihi pemuda yang kacak lagi jujur. Pengurus itu pula lelaki yang berkedudukan dan mempunyai hati yang mulia. Rasanya, hendak aku ambil kedua-duanya menjadi teman hidupku ... tetapi sepanjang yang aku tahu, tiada perempuan Islam yang bersuami lebih daripada satu.

Aku benar-benar dalam dilema, tidak tahu hendak membuat keputusan untuk menentukan masa depanku. Lantaran aku tidak mahu menghampakan hati salah seorang daripada mereka. Kerana aku telah mengalami betapa beratnya menanggung penderitaan kerana putus cinta. Ah ... haruskah aku meneruskan hubungan kasih dengan mereka?

"Aku akan menghantar rombongan meminang kau, Siti," kata Julaihi memberanikan hati, menekadkan azam. "Perkenalan kita mesti diakhiri dengan perkahwinan." Dia memanjat harapan.

"Kedua-dua orang anakku amat berkenan dan menyayangi kau, Siti. Tolonglah. Sudilah kiranya kau menjadi pengganti ibu mereka yang telah sekian lama tiada. Aku sanggup memberi kau kebahagiaan ... mintalah, apa saja." Lelaki kaya itu merayu bersungguh-sungguh.

Siang dan malam aku tidak putus-putus memikirkan bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini. Memikirkan siapa yang harus aku pilih. Memikirkan apa akan terjadi kepada kedua-dua lelaki yang amat kucintai. Ah ... fikiranku bercelaru. Batinku terseksa.

Dan aku masih tidak mengerti. Bilakah lagi senja hati ini akan menikmati sinar fajar pagi. Dan bersama-samanya akan aku bawa kaki kehidupanku menyelusuri waktu.

Apakah ini kesan daripada kehampaan cinta pertamaku?

"Oh!" Aku mengeluh. Hatiku semakin bingung ...

"Maafkan aku Siti kerana telah bersikap kejam terhadapmu, tidak pernah mengkhabarkan yang aku akan keluar negeri, iaitu pada dua tahun yang lalu. Kini aku sungguh menyesal. Aku tidak pernah berjumpa seorang gadis sepertimu walaupun sudah puas aku mencari.

Ada juga gadis dari Malaysia dan Indonesia, yang sama-sama menuntut di sini, tapi semuanya tidak berkenan di hatiku. Maklumlah, keluargaku amat mengharapkan agar aku membawa balik untuk dijadikan isteriku apabila tamat pengajian. Biarlah sama-sama mempunyai ijazah. Sama-sama berilmu, kata mereka. Ada kedudukan dan ada `glamour' sebagai kemegahan keluarga." Surat daripada Masleh aku baca beberapa kali.

Dia sangat mengharap agar aku membalas utusan cintanya.

Tetapi hati perempuanku tidak boleh dipujuk begitu - sudah dibuang hendak diambil semula. Aku bukan barang lelongan, dapat dibuat begitu. Sesungguhnya aku pun ada harga diri. Ada maruah, walaupun aku dari keluarga miskin. Cukuplah penderitaan yang aku alami selama ini kerana Masleh dan kerana keangkuhan keluarganya.

Suratnya yang keberapa aku tidak pasti pula menyusul ...

"Kau berdendam padaku, Siti? Tapi aku sudah banyak kali menuntut maaf. Setiap surat aku meluahkan penyesalanku dan menyalahi keluargaku yang pemilih. Ya. `Pemilih', perkataan yang sering kau sebut-sebutkan semasa kita di dalam lamunan cinta dua tahun yang lalu. Dan pada ketika itulah aku merasa nikmatnya dunia kurniaan Tuhan ini. Tapi kini, batinku sungguh terseksa. Badanku kurus, tidak bermaya. Lantaran itu, pelajaranku juga turut terjejas. Pada semester lalu aku gagal dalam peperiksaan. Kerana itu, aku sungguh berharap padamu Siti. Rujuklah kepada aku.

Bukalah pintu hatimu untuk menerima aku semula di dalam hidupmu. Demi Allah, aku bersumpah, aku tidak akan mengalah kepada larangan keluargaku. Kerana aku tetap mencintaimu dan kau akan aku jadikan permaisuri di dalam hidupku. Percayalah."

Mataku berkaca. Manik-manik air jernih menitis dari kedua-dua belah mataku. Tidak dapat aku tahan. Semacam kekeliruan melanda fikiranku. Ada juga timbul perasaan kasihan mendengar rayuan Masleh. Mendengar penderitaannya. Mendengar penyesalannya.

Ah ... kalaulah aku ditakdirkan bertemu jodoh dengan Masleh, tetapi itu bukanlah kerana aku cinta padanya. Kerana perasaan dan kasih sayang aku padanya sudah tiada. Dan kalaulah kami menjadi suami isteri kelak, tentu tidak akan memberi kebahagiaan.

Mustahil. Mustahil pisang akan berbuah dua kali. Dan sangat mustahil aku akan kembali ke pangkuan kasihnya. Hatiku sudah tawar. Aku bukan tandingannya. persaudaraan ummah, aku harus membantu Masleh. Membantu supaya dia tidak terjerumus ke lembah yang hina. Ini bukan bererti aku akan kembali kepadanya. Tidak. Tidak terlintas di dalam hatiku.

Untuk itu, aku akan menulis surat kepadanya, yang sederhana nadanya. Akan kupujuk hatinya - jangan menyesali apa yang terjadi di antara kami. Kerana ini adalah kehendak dan suratan Ilahi. Seterusnya aku akan memberitahunya, demi Allah, aku memaafkan segala kesalahannya terhadapku. Walau bagaimanapun, aku akan merayu sungguh-sungguh agar dia harus juga memohon kemaafan daripada Yang Maha Berkuasa Allah dan sujud kepada-Nya.

Yang amat mengharu-birukan batinku, bagaimana hendak membuat keputusan, dalam kemelutan percintaanku dengan Julaihi dan pengurus syarikat itu. Aku sudah jatuh cinta pada mereka. Kerana itu, aku tidak mahu salah seorang daripada mereka menderita kerana aku.

Sebenarnya mereka tidak bersalah dalam perkara ini. Begitu juga aku. Bukan salahku. Ini adalah satu percubaan dalam hidup.

Cuma satu yang akan menentukan - berserah kepada petunjuk Allah dan sujud kepada-Nya.

"Oh Tuhan, berilah aku kekuatan dan perlindungan. Pada-Mu aku memohon petunjuk, memberi jalan untuk aku meneruskan pengembaraan di dalam dunia- Mu ini, ya Tuhan." Aku rebah di dalam pangkuan Allah. Begitulah yang sentiasa aku lakukan dalam setiap doaku selepas menunaikan solat.

No comments: