Pages

Wednesday, October 29, 2014

Untuk Muhana

Oleh Lee Hui Sen @ Nurlee Huisen

LUKA sungguh hati Bumidin apabila mengingat semula kata-kata teman sekelasnya. Di sepanjang perjalanan menaiki bas pulang pada hari itu, kata-kata kesat Rosdan, Yap Sing, Zaimah, Puspa dan lain-lainnya terdengar lagi di telinga Bumidin. Darahnya menyirap bagaikan berhadapan semula dengan teman-teman sekelasnya itu.

"Engkau diamlah," terdengar semula kata-kata Rosdan di telinga Bumidin. "Jangan kau memandai nak buat cadangan. Kalau kau pandai sangat buat duit, mengapa bukupun tak mampu beli?"

"Heh Rosdan," sahut Bumidin agak keras. "Memang betul aku tak cukup duit nak beli buku. Tapi itu soal lain. Sekarang Muhana sakit. Tak boleh ke aku buat cadangan untuk menolong?"

Muhana ialah pelajar yang cerdas, tingkah lakunya cukup sopan. Wajahnya yang menarik menjadikan dia amat popular, terutama di kalangan pelajar lelaki; bukan saja di kalangan Tingkatan Empat Biru, malah di seluruh sekolah. Tetapi agak malang, di sebalik kecerdasan dan perangai lemah- lembut itu, dia mengidap ketumbuhan dalam otak dan kini dirawat di hospital.

Guru Besar telah melancarkan Tabung Muhana bagi membantu pelajar kesayangan sekolah itu menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

"Ala, Bumi," sampuk Yap Sing. "Janganlah naik radang pulak. Kan apa yang Dan kata tu betul. Kalau engkau tak mampu, tak usahlah buat macam-macam cadangan. Diam sajalah."

"Sebenarnya Bumi tak mahu ketinggalan, Yap," tambah Puspa. "Maklum orang ada hati dengan Hana."

Mendengar kata-kata itu, Bumidin naik radang dan merenung tepat ke muka teman sekelasnya itu. Rasanya mahu dia menerkam dan mencekek leher Puspa kuat-kuat sampai terjelir lidahnya. Rasanya mahu dia menerpa dan melepaskan penampar kepada Yap Sing dan Rosdan. Tetapi belumpun sempat dia berbuat apa-apa, Cikgu Syukur muncul di pintu bilik darjah. Dengan segera Bumidin duduk.

"Hiruk-pikuk saja bunyinya tadi. Ada apa Rosdan?" Tanya Cikgu Syukur. Beliau tahu Rosdan memang kaki buat bising apabila guru tidak ada dalam kelas.

"Tak ada, Cikgu," jawab Rosdan bersahaja. "Bumi ni. Macam-macam pulak dia buat cadangan, kan Yap?" Tambahnya sambil menoleh ke arah Yap Sing, minta sokongan agaknya.

Harapan Rosdan supaya Yap Sing memberi sokongan berhasil. Dia bangun dan melaporkan kepada Cikgu Syukur bagaimana Bumidin membantah apabila teman- teman lain bercadang menetapkan jumlah pungutan untuk disumbang kepada Tabung Muhana. "Dahlah dia sendiri tak mampu; lepas itu dia larang pula orang lain beri derma," jelas Yap Sing menamatkan laporannya.

"Patutnya kalau tak mampu, diam sajalah, kan Cikgu!" Tambah Zaimah dengan suara manjanya. Dia memang suka mendapat perhatian guru, itulah maka dia buatbuat suara manja apabila bercakap. Dia sedar, kawan-kawan seperti Muhana bersuara manja mendapat perhatian Cikgu Syukur. Tetapi dia tidak sedar bahawa Muhana disayangi guru kerana pelajar itu rajin dan tekun belajar.

"Hmmm," seru Cikgu Syukur sambil menyelinap memerhatikan tingkah-laku seluruh kelasnya. Kemudian pandangan beliau terhenti pada Bumidin. Beliau sedar Bumidinpun pelajar yang tekun dan rajin, tetapi oleh kerana tinggal jauh di kampung dan ayah pula sudah meninggal, maka kemajuan pelajarannya tidak berapa baik.

"Ya, Bumi," seru Cikgu Syukur. "Betulkah kamu tak setuju dengan cadangan kawan-kawan nak buat pungutan untuk Muhana?"

"Bukan tak setuju, Cikgu," jawab Bumidin membela diri. "Saya, kalau diminta menderma, maka saya tak mampu. Tapi..."

"Kalau tak mampu, tak payahlah," potong Rosdan. "Itu kan derma. Tak ada paksaan."

"Nanti, nanti Rosdan," larang Cikgu Syukur. "Saya tanya Bumidin, ni. Kamu jangan masuk campur dulu."

Sejuk sedikit hati Bumidin mendengar Cikgu Syukur menegah Rosdan begitu. Setidak-tidaknya teman-teman yang membidasnya itu sedar bahawa dalam kelas mereka itu ada orang yang lebih berkuasa. Bumidin berharap dia diberi peluang menjelaskan cadangannya yang sebenar.

"Ya, Bumi," sambung Cikgu Syukur. "Teruskan apa yang hendak kamu cakapkan tadi."

"Cikgu," sambut Bumidin, "semasa berbincang-bincang tadi, saya cadangkan supaya semua orang dalam darjah ini buat kerja macam yang kita buat dalam Minggu Pengakap. Dengan upah yang kita dapat, kita dermakan untuk Tabung Muhana."

"Mmmm," seru Cikgu Syukur lagi setelah berfikir seketika. "Baik cadangan Bumidin ini. Cuma, kita tak ada masa agaknya nak buat cara itu kali ini."

Seterusnya Cikgu Syukur menerangkan bahawa Muhana terpaksa dibedah pada minggu hadapan, kalau tidak dia mungkin tidak boleh diselamatkan. Pembedahan itu akan memerlukan belanja sebanyak RM10,000. Sebagai seorang kerani, ayah Muhana tentu tidak dapat mencari wang sebanyak itu dalam waktu yang begitu singkat. Itulah maka pihak sekolah menubuhkan tabung untuk membantunya.

"Jadi," putus Cikgu Syukur. "Tak apalah Bumi. Kalau tak dapat menderma kali ini, lain kalipun boleh."

"Lain kali tak ada canlah dia nak menderma untuk Muhana, Cikgu," usik Puspa.

Malu juga Bumidin kerana selalu sangat diusik-usik begitu, walaupun hatinya tidak membantah. Untuk menyembunyikan minatnya terhadap Muhana, dia berdiri lalu bersuara: "Puspa, Puspa. Cakap baik-baik sikit, tauu!"

"Alaaa, mengaku sajalah Bumi," sambut Puspa sambil mencebik bibirnya.

"Puspa! Puspa!" Herdik Bumidin.

"Hei, hei Bumi," sergah kondaktor bas sambil menepuk bahu Bumidin. "Dah ada Puspa ke engkau ni. Kok ya pun, janganlah sampai mengigau siang!"

Bumidin tidak menjawab, tetapi menggeleng-gelengkan kepalanya. Melihat itu kondaktor bertanya apa sebenar yang difikir oleh pelajar yang dipanggilnya Bumi itu. Dari apa yang dilihatnya, Bumidin memang seorang pelajar yang baik.

"Hei Bumi. Abang tanya ni. Ceritalah," desak kondaktor apabila melihat Bumidin terus membisu.

Setelah berfikir seketika, Bumidin pun menceritakan apa sebenarnya yang difikirkan. Dia memberitahu kondaktor yang dipanggilnya abang itu apa sebenarnya yang berlaku di sekolah. Abang kondaktor mendengar dengan teliti. Akhirnya setelah berfikir seketika, dia mencadangkan sesuatu kepada Bumidin.

"Kalau setuju, lepas sekolah esok datang jumpa abang di setesen," janji kondaktor.

Muka Bumidin kelihatan cerah berseri-seri seperti wajah anak kecil dapat gula-gula. Dia meramas-ramas tangan kondaktor tanpa menghiraukan penumpang-penumpang lain. Sambil itu bertalu-talu dia berjanji akan berjumpa lagi esoknya di setesen.

Sampai di rumah petang itu, Bumidin tidak banyak cakap. Apabila emaknya bertanya, dia menjawab sepatah dua saja. Malah apabila disuruh makan, dia makan bagai mengalas perut saja. Dia tidak banyak cakap, dia tidak lalu makan kerana memikirkan rancangannya.

Esoknya di sekolah Bumidin mendiamkan diri saja walaupun kawan-kawan yang lain terus bercakap mengenai Tabung Muhana. Ada yang meninggi bersuara mengatakan mereka telah dijanjikan oleh ibu bapa, abang dan kakak masing-masing. Ada pula yang merancang tidak akan ke kantin selama seminggu untuk mengumpul wang bagi mengisi tabung itu. Macam-macam lagilah yang dicakapkan sehingga waktu guru mengajarpun fikiran mereka tertumpu pada Tabung Muhana.

Pada waktu rehat hari itu ramailah pelajar yang tidak ke kantin, bukan saja teman sekelas Bumidin, tetapi dari kelas-kelas lain juga. Mereka cuma berkumpul di bawah pokok ketapang dan di kawasan teduh berhampiran dewan sekolah. Kebanyakan mereka berbual mengenai penyakit Muhana dan tabung untuk membantunya.

"Tengok Bumi," ucap Yap Sing apabila pelajar semua masuk ke dalam kelas semula. "Kami sanggup tak ke kantin kerana hendak membantu kawan."

"Bumipun tak ke kantin nampaknya tadi. Bolehlah dia turut menderma, Yap," tambah Rosdan dengan nada menyindir.

"Patutnya waktu rehat tadi Bumi pergi cari kerja di rumah orang, kan," usik Zaimah meninggi dan tetap bersuara manja.

Macam-macam lagilah sindiran yang ditujukan kepada Bumidin. Nadinya berdenyut kencang kerana marah, tetapi dipaksanya bersabar. Apabila loceng akhir berbunyi hari itu, barulah haitnya lapang sedikit. Dia terus bergegas ke setesen bas untuk berjumpa kondaktor.

Demikianlah yang berlaku setiap hari selama seminggu. Sebaik saja loceng akhir berbunyi, Bumidin bergegas keluar kelas dan berjalan dengan lajunya menuju bandar. Tetapi teman-teman sekolah yang tinggal sekampung hairan, kerana walaupun keluar cepat, Bumidin tidak pulang dengan bas yang mereka biasa naik.

Di sekolah pula Bumidin terus mengasingkan diri. Dia tidak ambil tahu mengenai Tabung Muhana lagi. Tetapi teman-temannya, Rosdan, Yap Sing, Zaimah, Puspa dan lain-lainnya semakin rancak bercakap mengenai tabung itu.

"Hei Rosdan," seru Zaimah dua hari sebelum hari akhir untuk menderma. "Kita dengar pelajar-pelajar Tingkatan Lima Hijau dah berjaya kumpulkan RM200."

"Akupun tauuu," jawab Rosdan. "Dia orang boleh kumpul cepat sebab semua orang sanggup menderma. Kita tengoklah, berapa kerat saja ada." Dia sengaja bercakap kuat supaya didengar oleh Bumidin.

"Dahlah begitu. Mana yang menderma, tak sampai RM1 pun," tambah Puspa.

"Tak apa Puspa," celah Yap Sing. "Esok bila cikgu baca satu persatu nama kita, nah taulah kita siapa menderma siapa tidak dan banyak mana."

Sindiran teman-temannya itu didengar saja oleh Bumidin; sedikitpun dia tidak menjawab. Kebetulan pula selain dia, ada seorang dua pelajar lain yang tidak mampu menderma. Namun, dia tahu, kebanyakan sindiran itu ditujukan kepadanya.

"Tak apa," bisiknya dalam hati. "Hari ini giliran dia."

Tetapi hingga ke hari akhir menyerahkan derma, Rosdan dan kawan-kawannya terus menyindir Bumidin. Mereka cukup seronok apabila mendengar Cikgu Syukur akan membacakan nama penyumbang yang banyak menderma.

"Baik. Buat kali terakhirnya, siapa hendak menderma silakan," kata Cikgu Syukur sambil memegang senarai nama pelajarnya.

Sebelum itu mereka telah menyerahkan derma masing-masing, lepas seorang, seorang. Ada yang menderma seringgit dua, ada yang menderma sepuluh lima belas ringgit, malah ada yang menyumbang dua tiga puluh ringgit. Maka banyaklah wang yang terkumpul.

"Ya Rosdan," seru Cikgu Syukur semasa Rosdan muncul dengan dermanya. "Berapa awak nak derma?"

"Dua puluh lima, Cikgu," jawab Rosdan sambil menghulurkan sumbangannya kepada Cikgu Syukur.

"Dan kamu, Yap?"

"Tiga puluh, Cikgu," jawab Yap Sing sambil menghulurkan tiga keping wang kertas merah.

"Haaa. Kamu berapa pula, Zaimah?"

"Dua puluh, Cikgu," jawab Zaimah dengan manjanya. Sambil itu dia menghulur dermanya kepada Cikgu Syukur.

"Puspa berapa pula?"

"Dua puluh juga, Cikgu."

"Wah bagus nampaknya," puji Cikgu Syukur sambil membilang duit yang di atas mejanya. "Rosdan dan kawan-kawannya banyak menderma. Tak sia-sialah mereka heboh-heboh berkempen."

Mendengar pujian Cikgu Syukur itu, Rosdan dan kawan-kawannya tersengih ketawa. Dengan megahnya mereka menoleh ke kiri dan ke kanan. Mereka yakin akhirnya Muhana sendiri akan tahu sumbangan mereka itu.

"Cikgu, bacakanlah sekarang nama mereka yang menderma dan jumlahnya sekali," tiba-tiba Zaimah bersuara, mengingatkan Cikgu Syukur.

"Ya, biar semua orang tahu siapa banyak menderma dan siapa tidak," tambah Puspa.

"Tak payahlah semua," jawab Cikgu Syukur sambil tersenyum. "Cukup kalau saya beritahu siapa-siapa yang menderma agak banyak."

"Dua puluh ringgit ke atas, ya Cikgu," cadang Zaimah.

"Baiklah, dua puluh ke atas," Cikgu Syukur setuju. "Azmi, Yap Sing dan Huan Haa, tiga puluh; Rosdan, Badrul dan Chong Lee, dua puluh lima; Zaimah, Puspa dan Panadurai, dua puluh dan ramai juga yang menderma lima belas dan sepuluh."

Lagi sekali Rosdan dan kawan-kawannya tersenyum lebar. Cikgu Syukur turut tersenyum melihat telatah anak-anak muridnya. Mereka yang gagal menderma pun turut tersenyum, tetapi tidaklah selebar senyuman Rosdan dan Yap Sing.

"Semua sekali kita berjaya mengumpul RM534," beritahu Cikgu Syukur. "Ada siapa-siapa lagi hendak menyumbang sebelum saya serahkan wang ini kepada Guru Besar?"

Semua murid menoleh ke kiri dan ke kanan; lebih-lebih lagi Rosdan dan kawan-kawannya. Cikgu Syukur juga memerhatikan anak muridnya; lepas seorang, seorang. Setelah dirasanya tidak ada lagi sesiapa yang hendak menderma, beliau memasukkan wang ke dalam sampul surat dan menulis jumlahnya pada sampul itu.

"Tunggu sebentar, Cikgu," tiba-tiba seru Bumidin sambil berdiri. Pada ketika yang sama, dia berjalan menuju meja Cikgu Syukur. Guru dan murid- murid lain mengekori langkahnya dengan penuh tandatanya.

"Ya, Bumi?" Seru Cikgu Syukur apabila Bumidin sampai cukup dekat dengan mejanya. "Apakah kamu hendak menderma juga?"

"Ya, Cikgu," jawab Bumidin sambil menghulurkan wang sebanyak tiga puluh lima ringgit kepada Cikgu Syukur. "Inilah yang mampu saya kumpulkan, Cikgu."

"Terima kasih Bumi. Terima kasih," ucap Cikgu Syukur bagaikan tidak itu.

"Sekadar mampu, Cikgu," ucap Bumidin berulang kali.

Rosdan, Yap Sing, Zaimah, Puspa dan lain-lainnya yang selalu menyindir Bumidin bagaikan terpukau kerana tidak menyangka teman mereka yang miskin itu boleh turut menderma. Mereka juga rasa amat malu kerana Bumidin menderma lebih banyak daripada mereka. Di antaranya, ada yang terpegun dan malu. Rosdan tertanyatanya dari manakah Bumidin dapat wang sebanyak itu?

"Ya Bumi," seru Cikgu Syukur. "Nak beritahu kawan-kawan tak macam mana Bumi dapat duit ini?"

Bumidin menggetap bibirnya sambil menoleh ke kiri dan ke kanan. Kemudian pandangannya tertumpu pada Rosdan dan kawan-kawannya. Mereka tertunduk, tidak berani mengangkat muka. Melihat mereka tertunduk itu, Bumidin terus menceritakan bagaimana dia bekerja untuk mendapatkan wang itu.

"Tolong kuat sikit, Bumi," suruh Cikgu Syukur apabila menyedari murid- muridnya yang di belakang tidak dapat mendengar Bumidin.

Bumidinpun bercakap dengan lebih kuat dan lancar. Tanpa segan silu dia menceritakan bagaimana kondaktor memperkenalkannya kepada pengurus syarikat bas. Dengan simpati tuan pengurus itulah Bumidin dibenarkan mengambil upah mencuci bas setiap petang.

"Bumi," seru Cikgu Syukur lagi, menepuk-nepuk bahu Bumidin. "Saya cukup bangga dengan kamu. Saya yakin Muhana sendiri akan bangga dengan sumbangan kamu."

Bumidin cuma tersengih sementara ingatannya bersama Muhana di ketika itu. Tetapi dengan spontan murid-murid yang lain memberi tepukan, termasuk Rosdan dan kawan-kawannya.

Seperti Cikgu Syukur, mereka bangga juga dengan sumbangan Bumidin.

No comments: