Pages

Monday, October 27, 2014

Tangan yang menggapai

Oleh Buang Umar

KETIKA berita itu berlabuh di cuping telinganya Aman naik marah. Terasa benar hatinya dibungkusi kebuncahan yang mencengkam dan mengancam. Matanya terbelalak. Dahinya seluas tampang nyiur; cingkat, berkeresot dan berkedut. Dia seperti dikejut litar letrik. Godaan kata-kata teman sebiliknya bukanlah godaan memfitnah, bukan luahan mengikut hawa nafsu. Dia semuanya itu benar, tetapi dia sendiri masih kurang yakin kerana tiada bukti.

Berita sekejap tadi membingungkan Aman. Dia menggelengkan kepala. Mengapa terjadi begini akhirnya? Haruskah dia membunuh diri kerana perkara itu? Mustahil! Dia orang Islam.

Aman berfikir panjang. Ada jalan lain dicarinya. Pelik!

Mengapa Hakim yang diberitahu, bukan langsung kepada dirinya? Hakim orang lain. Pak Wan Kri? Ah! Sial. Aman tahu Hakim tidak berbohong. Sudah dua tahun dia tinggal satu apartmen dengannya. Dia sudah dapat mengenali hati budi rakannya itu.

Mustahil!

Berkali-kali Aman menyebut perkataan itu. Mustahil, kerana dunia sekarang sudah maju, sudah moden dan sudah canggih. Soal kasta sepatutnya sudah tidak wujud lagi.

Aman tambah bingung. Bagaimana harus dia selesaikan masalah itu yang terapung di tengkorak fikirannya? Hakim tidak dapat bantu. Mansor juga begitu. Mereka tidak mahu campur tangan dalam masalah peribadi, meskipun hati mereka bukan sekejam itu. Mereka berkunjung juga dalam fikirannya kini. Bezanya, masalah sekarang inilah masalah dia dengan anak gadis Pak Wan Kri. Cerita anak muda. Biarlah Aman dia cari jalan keluar sendiri. Biarlah dia sendiri yang cari penyelesaian. Baik baginya baik juga bagi mereka berdua.

Soalnya sekarang, bukan anak gadis itu yang menjadi pokok masalah tetapi Pak Wan Kri sendiri. Orang tua itu tidak merestui hasratnya. Itu Aman tahu.

Egois!

Sombong!

(Diam seketika)

Tuuukkkk! Tuuuukkkkkk!

Aman terkejut dari khayalan. Ketukan pintu seakan-akan memecah suasana ruang pejabat. Dia membiarkan ketukan itu sebentar sebelum dia melangkah ke depan dan menguak daun pintu.

"Tuan, ada surat!"

"Dari siapa?"

"Tak tahu tuan ... tak periksa isinya."

"Terima kasih." Aman kembali ke tempatnya. "Bodoh juga aku tanya soalan itu," bisiknya. Budak pejabat berpatah meninggalkan ketuanya.

Aman budak permatang, bermata keranjang, bekerja sebagai Pegawai Pemasaran di sebuah syarikat swasta. Usianya sekarang baru dua puluh enam tahun. Selepas menamatkan pengajiannya di universiti dia telah mendapat tawaran untuk bekerja di syarikat tersebut.

Aman membuka sampul surat itu. Surat dari temannya, Saudi. Saudi belajar dalam jurusan International Business di Wartburg College, USA. Tidak ada cerita lain, pasal dia dengan perempuan mat salleh itulah. Enjoy katanya!

Aman meletak isi surat di atas meja.

"Lantak kau, Saudi! Sekarang dunia kau ... dunia aku sudah hampir padam dengan cerita itu!" Aman berdengus seorang diri.

Hampir padam. Mengapa hubungannya dengan Syarifah Naquiah, anak Pak Wan Kri itu hampir padam? Semuanya kerana Pak Wan Kri. Dialah pemegang kata pemutus. Ya atau tidak, Pak Wan Krilah yang akan bagi tahu.

Syarifah Naquiah!

Syarifah Naquiah!

Ada kepelikan pada nama itu. Peliknya terletak pada gelaran Syarifah. Pelik bunyinya, tetapi itulah hakikatnya. Pak Wan Kri lebih pentingkan pangkat dan darjat.

(Diam seketika)

Tiba-tiba telefon yang berada di depannya berbunyi. Kriiiinnnnng! Kriiiiiiinggggggg!

"Hello ... Aman di sini ... siapa tu?" jawabnya sopan. "Apa? Salah nombor!" Dia meletakkan telefon dengan dengusan marah. Dia begitu gelisah menanti panggilan daripada Syarifah. Aman terasa diperbodohkan oleh keluarga Pak Wan Kri.

Aman melangut. Kesepian hati Aman pagi itu mengingatkan dia akan falsafah Tagore. "Kalau alam yang sunyi, masih kedengaran bunyi ketak- ketuk jam di tengah malam, tapi kalau hati yang sunyi, segala-galanya diam, sepi." Benarkah hatinya sesepi itu?

Aman menggelengkan kepala. Harus adakah di dunia ini tingkat, kelas dan kasta-kasta atau apa-apa saja yang dapat membezakan sesama manusia? Harus adakah?

Mengikut sejarah kejadian manusia, Adam, manusia pertama yang dijadikan oleh Tuhan, tidak ada darjat atau pangkat Wan, Syed dan sebagainya. Yang berbeza, cuma iman. Menggunung tinggi, merendah bukit, keimanan itulah yang diukur.

Subahanallah!

Subahanallah!

Pintu pejabatnya berdegap, ditiup angin. Aman terkejut lagi. Aman teringat dia perlu menghubungi Syarifah mengenai keputusannya. Aman mencapai semula gagang telefon tetapi talian masih engaged. Masih bertunang dengan talian lain! Aman naik geram. Hatinya semakin resah. Semakin dipaksanya, semakin berlegar wajah Syarifah di matanya.

"Awak ni cantiklah," tegur Aman suatu pagi.

"Terima kasih ... encik pun handsome," balas gadis yang tinggi lampai itu.

"Masih ada vacancy?"

"Maksud encik ... seatnya?" Bebola mata gadis itu merenung, menembusi hati Aman. Aman tersedik.

"Iya ... iya ... kalau boleh, kedua-duanya sekali?" jawab Aman rakus.

"Kalau seat, ada satu lagi. Encik mahu?"

"Boleh saya petik?"

"Maksud encik?"

"Ah, saya bergurau ... berikan saya tiket ke Kuching," kata Aman, memutuskan tanda teka gadis itu tentang gurau sendanya.

Gadis ayu itu kemudian menghulur tiket bas ekpres ke Kuching sambil tersenyum. Aman membalas senyumannya. Bagi Aman, kenakalan gadis itu tidak dapat dilupakan begitu saja. Kedua-dua ulas bibirnya yang merekah merah kebasahan, memerangkapnya untuk terus menyelidiki latar belakang gadis ayu itu.

Pertemuan itu seterusnya membawa Aman dan Syarifah ke alam percintaan yang cukup indah. Buah cempedak di bawah batang, siapa yang hendak dialah yang datang. Ikatan pertunangan akan disempurnakan di hadapan orang tua kedua-dua pihak. Bersetuju atau tidak orang tua masing-masing, cincin berlian tetap akan terinai di jari manis gadis itu. Dari pihak keluarga Aman, tidak ada apa-apa masalah. Mereka berpendapat sudah sewajarnya Aman segera kahwin. Ibunya sudah tua dan uzur, takut tidak kesempatan melihat cucu.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini perhubungan mereka mulai menghadapi benteng keras. Akar benteng itu berpunca daripada Pak Wan Kri, bapa Syarifah, bukan daripada orang lain.

"Kenapa Pah? Setiap kali aku ingin berbicara, sering kau berdalih. Mengapa?" Pertengkaran menjadi tegang sewaktu Aman menunggu Syarifah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Pada mulanya Syarifah sudah menolak tawaran Aman untuk menjemputnya, membebel dengan alasan yang tidak konkrit.

"Ah! Kau sendiri yang perasaan begitu," balas Syarifah.

Aman dapat merasakan ada perubahan pada diri Syarifah sejak kebelakangan ini. Aman juga tahu Syarifah berbohong.

"Setiap kali pasti kau katakan takut pada ayahmu. Dulu soal orang tuamu tidak pernah timbul," marah Aman.

Syarifah tunduk. Dia tahu bukan salah Aman tetapi ayahnya begitu tegas. Apa yang harus dibuat, kecuali pasrah? Menderhaka, bukankah berdosa?

"Kau harus mengerti, Man. Aku masih punya orang tua, mahu letak ke mana mereka itu? Kita umpama pipit dan enggang pada mereka," jelas Syarifah.

"Ah! Persetankan ayahmu. Pah, aku mahu kaupilih antara dua, ayahmu atau aku?"

Syarifah bungkam. Antara cintakan kekasih dan sayangkan ayah. Dia harus memilih antara satu.

"Kaulupakan saja jantan itu, Pah," cabar emaknya tiga hari yang lalu. Bebola mata Syarifah menancap ke arah emaknya.

"Kenapa emak? Apa salah dia sehingga emak menyeksanya begitu?"

"Salah itu tidak, Pah ... tetapi kau harus ikut perintah ayahmu itu!" Suara emaknya meninggi sedikit. Menggelodak juga jantungnya apabila anak sulungnya berkeras hati.

"Emak dan ayah sama saja. Mementingkan diri sendiri!"

"Kau jangan jadi tulah, menderhaka kepada orang tua, Pah!"

"Emak ... bukannya Pah menderhaka kepada emak atau ayah, tapi emak dan ayah harus mengerti hati Pah. Pah menyintainya sebagaimana Pah menyintai emak ... ayah." Dua baris air mata mengalir perlahan di celah pipinya. Emak Syarifah berasa sedih juga mendengar kata-kata anaknya itu. Diusap- usapnya rambut anak gadis sulungnya itu, lembut.

"Pah, ikut saja kata ayahmu ..."

Syarifah bungkam.

"Ah! Persetan semua itu. Kita yang nak bertunang, bukan orang tuamu." Herdik Aman, kasar.

Krrrrrrriiiiiiigggggg! Kkkkkrrriiiiiigggggg!

Aman sekali lagi terkejut dari lamunan. Khayalannya mati. Dia mencapai gaggang telefon dengan rakus.

"Hello ... Aman bercakap ..."

"Encik Aman, ya?" kata suara garau dari dalam telefon.

"Ya .. ya .. Aman di sini. Aman bin Haji Dol Samat. Ada apa, encik?" jawab Aman pendek.

"Begini Encik Aman ... saya tidak mahu encik menghubungi anak saya lagi, Syarifah Naquiah. Awak tak perlu tanya kenapa?"

"Encik siapa?"

"Saya ayahnya!"

"Uh .. pak cik, tapi pak cik harus faham. Saya cintakan Syarifah, pak cik tentu sudah maklum hubungan kami bukan?"

"Saya tahu ... tapi awak harus sedar dulu siapa diri awak. Awak cerminkan diri dahulu!"

(Diam seketika)

Mengapa harus mencerminkan diri? Apa kurang wajahnya. Hodoh benarkah mukanya? Aman mendengus. Bertele-tele.

"Apa salah muka saya, pak cik?"

"Muka awak tidak salah ... tapi pertunangan awak dengan anak saya ... dibatalkan! Faham?"

"Dibatalkan? Mengapa?"

"Kenapa? Kecuali awak ada gelaran, faham?"

Gelaran? Gelaran apa yang harus dicari? Tidak ada langsung kesignifikan pada tanda nama Wan. Menurut sejarahpun, Wan bukanlah berasal dari orang Nusantara, tetapi datang dari tanah Arab, sewaktu pedagang Arab menjelajah ke Nusantara. Sheikh itulah Syed. Tidak ada sesuatu yang jelas dalam etimologi, dari mana nama itu timbul.

"Apa pentingnya gelaran Wan itu, pak cik? Sedangkan saya benar-benar mahukan Syarifah Naquiah." Aman segera meningkah.

"Kau harus faham. Ini wasiat! Wasiat harus dijaga. Saya hanya menyampaikan wasiat neneknya, Syarifah Naquiah," jelas Pak Wan Kri.

Wasiat nenek? Penting sangatkah wasiat itu? Benarlah di Kampung Hashim Jaffar itu hanya keluarga Pak Wan Kri saja bergelaran Wan, tetapi adakah orang yang tidak bergelaran Wan itu hina-dina sangat?

"Saya tak faham. Saya tidak faham dengan sikap pak cik, membunuh perasaan anak sendiri kerana wasiat. Dan saya percaya hidup Syarifah tidak akan aman," tegas Aman.

"Terpulang kepada awak. Awak masih punya hak untuk mempertahankan diri. Tapi hak saya tetap hak saya!"

"Tapi ... tapi ... hello ... helo .." Geram hati Aman mendengar Pak Wan Kri meletak gagang telefon. Dia melongo. Kemudian meletak gagang telefon ke bawah, perlahan. Dia menarik nafas panjang. Mengapa orang tua itu terlalu drastik dalam tindakannya?

Di ruang matanya berlegar-legar barang-barang pertunangan; sebentuk cincin, baju kurung labuh, al-Quran, sejadah dan kasut. Tiba-tiba dua baris air mata mengalir di pipinya, sedih. Hendak dibawa ke mana semua barang itu?

1 comment:

Ibrahim Vatih said...

Menikmati setiap kalimat di cerpen ini.

Cara Media