Pages

Thursday, October 16, 2014

Bulan madu

Oleh Jamilah Morshidi

TIRAI perkahwinanku telah ditutup ketika malam melabuhkan tirainya. Keesokannya pula tersingkaplah tirai berbulan madu aku dan Johar ke Bandaraya Ho Chi Minh.

Ketika sang suria mulai menampakkan kilauannya di celah gunung yang berserban, kami sudah agak terlambat untuk ke lapangan terbang. Semalam tetamu terlalu ghairah untuk mengucapkan hari bahagia kepada kami sehinggalah detik malam hilang separuh daripadanya.

Sejurus teksi yang kami tumpangi berhenti, masa yang ada cuma empat minit. Aku dan Johar berlari ke kaunter `check-in'. Sesampai di kaunter ia baru saja ditutup. Dengan masa yang sedikit itulah kami terpaksa berdepan dengan pegawai yang cerewet itu.

"Kita masih ada masa untuk berbulan madu," seloroh Johar ketika kami memasuki pesawat.

"Inilah yang dinamakan rezeki," jawabku.

"Jika terlepas penerbangan tadi, bermakna tak dapatlah kita nak ke Pulau Pinang dan Medan."

"Mungkin ini juga hadiah perkahwinan kita."

Isyarat memasang tali pinggang keledar dinyalakan. Tempat duduk kami terletak di bahagian belakang dan aku duduk berhampiran dengan tingkap. Walaupun keadaan di dalam pesawat itu agak sempit, kapalterbang kecil buatan Russia itu mampu mengisi lapan belas penumpang, termasuk juruterbang dan pembantunya. Sewaktu pesawat berlepas deruan bunyi enjinnya yang kuat itu telah mengejutkan seorang bayi lalu berbaurlah bunyi tangisan dan enjin pesawat dan sekali mengganggu ketenangan penumpang lain. Setelah sepuluh minit di udara, isyarat memasang tali pinggang keledar masih juga dinyalakan. Segugus kehairanan hinggap di fikiranku yang pertama kali menaiki pesawat kecil ini.

"Ngapa bang tiba-tiba pilih Bandaraya Ho Chi Minh? Kan lebih elok ke Pulau Pinang dan Medan saja?" Tanyaku agak bimbang sambil memikirkan kesan peperangan yang dibaca melalui akhbar.

"Ramai kawan abang dah ke sana, terutamanya ke Nha Trang. Lagipun tempat peranginan itu jauh terpencil dengan keindahan yang semulajadi. Abang rasa ia sangat sesuai untuk kita," ujar Johar dengan wajah ceria dan tersenyum. Seketika pandangan kami bertentangan.

"Untuk berbulan madu sayang, kita mesti pilih tempat yang..."

Tiba-tiba pesawat kami terasa melambung. Segera aku menggenggam tangan Johar seiring segumpal kecemasan terbuku di dada. Nafasku kencang. Ketika itulah aku melihat juruterbang berpaling ke belakang lalu menjerit kepada penumpang agar jangan menanggalkan tali pinggang keledar.

"Apa dah jadi ni, bang?" Suaraku seperti tersekat di kerongkong.

"Pesawat kita terlanggar awan," beritahu Johar, tenang.

Sekilas itu wajah-wajah cemas kulihat duduk secara menegak di kerusi masing-masing. Pandangan kulemparkan ke luar tingkap yang kecil serta bujur di sisiku. Langit telah bertukar menjadi hitam seperti rambut pasangan yang duduk di hadapan kami. Sepanjang perjalanan ke lapangan terbang tadi, langit memang mendung.

"Bang!" Aku membisikkan kepada Johar akan keadaan cuaca yang semakin gelap dengan awan yang bergumpal-gumpal dan bergulung-gulung.

Johar terdiam beberapa ketika.

"Yang, berdoalah untuk keselamatan kita semua." Johar seperti mengarah. Aku patuh serta memahami isi hati suamiku. Dia juga seperti diriku, takut, cemas dan bimbang.

Tangan Johar kugenggam erat. Fikiranku dibayangi oleh peristiwa ngeri yang pernah kubaca di akhbar. Aku berdoa. Namun rasa takut tidak juga terhapus dari fikiranku yang semakin bergelora.

Wajah-wajah penumpang dibayangi oleh ketakutan dan kecemasan. Ada di antara mereka memegang erat kedua-dua tangan hingga ke paras dada. Ada juga yang menelentang kedua-dua tapak tangan dengan mulut terkumat-kamit. Dari tempat duduk di bahagian hadapan, terdengar tangisan bayi tadi. Kali ini tangisannya panjang dan mendayu.

Derap-derap kaki hujan yang seperti jejari berulas besar menimpa pesawat, turut membasahi tingkap kecil serta bujur di sisiku. Hujan turun dengan lebat menerbitkan bunyi yang kuat dan kasar. Begitulah rasa hatiku dan mungkin juga hati Johar, rasa cemas dan takut ingin segera hendak dilepaskan.

Pesawat tiba-tiba rasa bergolek dan kemudian melambung. Seketika kedengaran beberapa jeritan. Dalam pesawat menjadi gelap walaupun baru pukul sebelas setengah pagi. Pancaran kilat melintasi awam hitam pekat bergulung-gulung dan berombak. Ini diikuti oleh dentuman guruh yang kuat dan nyaring. Pesawat bergegar dan badanku terasa melambung. Genggaman di tangan Johar terlepas, nafasku kencang dengan badan yang menggigil.

Suasana di dalam pesawat agak kelam kabut diikuti oleh jeritan dan tangisan ketakutan. Penerbangan satu jam ini terasa terlalu lama dan panjang!

"Bang!" Terasa hendak kubenamkan saja mukaku ke dada Johar.

Johar menoleh ke arahku dengan muka yang sedikit pucat. "Abang juga merasa seperti yang dirasai oleh Yang. Kita tak mampu untuk melakukakn sesuatu," bisik Johar dengan suara yang bergetar dan tersekat-sekat.

Basah di pipi dan dadaku dibalun oleh ombak ketakutan yang tidak terlukis. Tidak kusedari sedu-sedanku didengari oleh penumpang di hadapan kami.

"Tak elok menangis dalam keadaan begini. Kamu berdoalah supaya Tuhan menyelamatkan kita semua."

Aku tertunduk dan terasa malu yang amat sangat. Aliran darah segera naik ke mukaku yang terasa panas. Air mata di pipiku segera diusap oleh Johar. Perlahan, perasaanku kembali tenang dan apabila terpandang ke luar tingkap yang gelap dan berkabus, perasaan tadi kembali lagi. Johar kembali menggenggam erat tanganku. Aku dapat merasakan jarinya sejuk, sesejuk ketulan ais. Genggaman Johari semakin erat sehingga mendatangkan kesakitan pada jariku sewaktu pesawat terasa melayang ke kiri dan ke kanan.

Berhadapan dengan kami ada lima baris tempat duduk. Penumpangnya terdiri daripada dua pasangan suami isteri yang sudah lanjut usia, sepasang suami isteri muda yang mengendong seorang bayi. Dua orang kanak-kanak lelaki dan yang lebihnya ialah lelaki muda. Aku dapat melihat dengan jelas di tempat duduk juruterbang dengan earphones terletak di atas kepalanya. Bibirnya bergerak-gerak. Bunyi enjin dan hujan menghalang aku dari mendengar perbualan juruterbang yang mungkin pada kiraanku cuba menghubungi pusat kawalan penerbangan di Bandaraya Ho Chi Minh.

Hujan tidak mungkin akan berhenti dalam waktu sesingkat ini memandangkan ia semakin galak mencurah turun. Malah guruh semakin kerap menendang cuping telinga.

Aku cuba melihat jarak pesawat dengan bumi, tetapi tingkap yang berkabus menghalang penglihatanku. Walaupun begitu, sesekali dapat juga aku melihat kepulan awan yang sarat berarak lambat apabila dipancar oleh sinaran kilat yang memanjang berkilau membelah angkasa. Ketika itulah pantulan dari wajahku yang pucat dan bulat kelihatan di tingkap kecil dan bujur.

Ketika fikiranku mengingati peristiwa yang bukan-bukan mengenai pesawat ini, segera kulemparkan jauh-jauh ingatan itu dengan berdoa dan berdoa kepada Tuhan. Sesekali wajah suamiku yang belum sempat melalui malam pengantin bersama, kurenung dengan hati yang berbuku, sebak dan cemas. Sebelum kami berlepas ke lapangan terbang pagi tadi, kedua-dua orang tua kami membaca doa di ruang tamu dan sekaligus menepung tawar agar perjalanan kami dimudahkan di samping diberkati Tuhan.

Dentuman guruh yang tiba-tiba itu membuat badanku terasa terangkat dari tempat duduk. Jantungku seakan melompat dan jari-jariku menerkam kuat ke kerusi. Tanpa kusedari kuku di jari telunjukku telah patah. Ketika itulah juruterbang berpaling dan menjerit ke arah penumpang di belakangnya. Aku cuba memasang telinga untuk mendengar tutur butir dari percakapan mereka. Akibat bunyi tangisan bayi, enjin pesawat dan hujan, suara juruterbang itu tidak sampai ke belakang.

"Apa hal, bang?"

Johar menggeleng kepala.

Penumpang tadi segera menjerit ke arah penumpang lain agar duduk secara menegak dengan tali pinggang keledar sentiasa terpasang. Johar merenungku seketika dan sekilas itu aku memahami erti renungan itu. Dadaku kini hebat dipukul oleh ombak kecemasan apabila pesawat terasa berlegar-legar. Jantungku berdegup kencang. Seolah-olah dapat kudengar nafasku turun naik melalui kerongkong. Aku cuba membayangkan di manakah kedudukan pesawat kami. Apakah di bawahnya terhampar hutan tebal yang penghuninya binatang buas atau laut tenang tetapi dipenuhi ikan jerung?

Sebelum ini aku beranggapan yang berbulan madu adalah saat dan detik yang paling manis untuk dihapuskan dari kotak kenangan.

Suasana di dalam pesawat cukup dingin. Aku membenamkan muka pucat dan bulatku sekali lagi ke tingkap di sisiku. Awan sarat masih menebal. Manik- manik peluh segera membasahi dahiku lalu mengalir ke pipi dan terus ke dagu yang kemudian melewati leherku untuk singgah di celah payudara. Aku gementar sebaliknya dan cuba untuk bernafas lega dengan mengusap lembut tangan suamiku sambil mengharapkan agar segala ketakutan serta kecemasan ini akan berakhir secepat mungkin dan segala-galanya akan selamat!

Tiba-tiba bergema jeritan yang panjang serta memeranjatkan lalu menerjah masuk ke cuping telinga setiap penumpang di dalam pesawat: "Ya Allah!"

Seorang perempuan yang separuh umur itu tiba-tiba bangun dari tempat duduknya apabila pesawat terasa menjunam ke arah atas pokok, merempuhnya dalam keadaan mengiring. Dahan-dahan pokok yang patah menerbitkan bunyi yang dahsyat serta mengerikan. Johar sempat menekan kepalaku supaya membongkok ke paras lutut. Kedua-dua tangan kuletak di atas kepala dan ketika itulah aku merasakan muncung pesawat itu naik dalam percubaan untuk mengelak pesawat itu dari terjunam, tetapi semuanya sudah terlambat. Pesawat itu terhempas dan kedengaran bunyi letupan dua kali.

Dahiku terhantuk ke dinding, terasa berdenyut dan sakit yang amat sangat sehingga di sekitar dalam mataku sebelum pandanganku beransur kabur dan terus menjadi gelap.

Ketika membuka kelopak mata, pandanganku berpinar-pinar. Keadaan di sekitar sunyi kecuali titisan hujan yang masih galak mencurah turun menitik ke daun-daun lalu turut membasahi pesawat yang terbelah dua itu. Udara terasa terlalu sejuk dan berkabus. Sesekali daun-daun bergeseran ditiup angin membuat aku menggigil kesejukan. Apabila pandangan kulempar ke sekeliling, kelihatan pesawat kami tersadai di tengah hutan yang agak tebal. Di bahagian tengah pesawat ada kesan bekas terbakar. Di samping itu aku terhidu bau mayat yang hangus sekaligus menimbulkan rasa ngeri.

Saat itulah ada suara yang mengerang kesakitan.

"Abang!" Cetusku teringat akan Johar.

Aku membuka tali pinggang keledar dan cuba untuk bangun. Kedua-dua kakiku tersepit ke tempat duduk dan kesakitan yang amat sangat terus merantai pergerakanku untuk mendapatkan Johar.

Johar membisu. Sedangkan masih ada suara yang mengerang kesakitan. Johar tidak bergerak juga setelah kupanggil bertalu-talu.

"Boleh bangunkah? Aku terperangkap di tempat duduk," beritahuku kepada suara itu yang tempatnya aku tidak pasti di mana.

Suara mengerangnya semakin dalam. Dia terbatuk.

Selang beberapa lama, keadaan kembali sunyi. Aku dirantai oleh rasa kecewa dan takut. Dahiku terasa basah mengingatkan air hujan telah menitis ke rambutku. Kuusap dengan tangan yang sejuk, darah tercalit di tanganku. Selepas itu barulah aku terasa pedih dan perit dari luka di dahiku.

"Abang pasti selamat, bangunlah!" Seruku sambil menaruh harapan kepada Johar yang tercampak hanya beberapa depa dari tempat dudukku.

Badanku terasa lemah apabila Johar tidak menjawab sebarang panggilan dariku. Kecewa, takut dan putus asa untuk meneruskan perjuangan ini berbaur menjadi suatu yang menghantui diriku. Sedangkan keadaan di sekitarku mulai gelap. Fikiranku tiba-tiba teringat akan binatang buas mungkin menyerang pada bila-bila masa.

Setelah terasa terlalu lama terperangkap di tempat duduk, tekakku menjadi terlalu kering sedangkan aku tidak mampu bangun dari tempat duduk. Di luar pesawat ada lopak yang sudah pun dipenuhi air hujan. Tingkap yang sudah retak itu kupukul dengan tangan. Bertalu-talu. Kucuba dengan siku pula dan pukulan itu semakin kuat sehingga terasa sakit tetapi untuk terus hidup aku harus bertindak, fikirku.

Dengan mengoyakkan kaki baju, aku terus merendamnya di dalam lopak air. Selang beberapa saat, kutarik semula dan menghalanya ke mulutku yang ternganga luas. Kuperah untuk mendapatkan airnya yang berwarna kemerah- merahan.

Setiap malam bunyi bingitan nyamuk dan serangga lain melemaskan aku. Badanku berbintil-bintil digigit nyamuk. Aku tidak pasti berapa lama lagi aku berada di sini sedangkan pada anggapanku semua penumpang telah mati. Demikian juga dengan suamiku. Untuk menyambung nyawa, aku bergantung kepada air lopak yang semakin kering.

Malam kelima, hujan turun renyai-renyai. Keadaan kelilingku terlalu gelap sekaligus ketakutan mengheret aku menjadi tidak bermaya. Aku tidak berdaya untuk melakukan sesuatu dengan kedua-dua kaki tersepit serta membiarkan saja nyamuk dan serangga lainnya menghisap darahku. Waktu itulah aku terdengar bunyi aneh di celah-celah kerusi di dalam pesawat. Keadaan keliling terlalu gelap. Selang beberapa saat, terasa ada sesuatu yang sejuk serta licin melingkari kakiku.

"Ular!" Getusku cuba untuk menarik kaki tetapi setelah terfikir bimbang akan dipatuknya, aku hanya membiarkan saja. Aku berdoa dengan nafas termengah-mengah agar ular tadi segera meninggalkan tempat ini.

Dalam keadaan yang terdesak dan takut, aku kembali teringkatkan Johar. Jika dia selamat, tentu aku tidak terperangkap di sini dengan membiarkan saja seluruh badanku dikerumuni nyamuk, lalat dan kini ular pula.

Kelopak mataku segera digenangi oleh air mata apabila setiap kali teringat akan suamiku yang baru mengahwiniku seminggu yang lalu.

Ular itu masih tidak mahu beredar dari melingkari betisku. Aku menahan rasa geli dan takut. Rasanya aku ingin menjerit sekuat hati tetapi setelah menyedari tiada siapa yang datang membantu, aku kuburkan saja hasratku itu. Ada kalanya aku berfikir, biarlah ular itu mengakhiri perjuangan hidupku yang sudah tidak bermaknanya lagi tanpa Johar di sisiku. Di ketika sunyi dilanda masalah.

Aku cuba menarik perhatian ular itu dengan membaling jam tangan ke hadapan dan tentu sekali jam itu akan terjatuh lalu menghasilkan bunyi.

Ketika matahari memancar terik membakar mayat-mayat yang sudah mulai menerbitkan bau hanyir dan busuk, perutku terasa pedih dan lapar. Seluruh badanku terasa sakit dan aku diserang oleh deman panas. Tidak kuketahui untuk berapa lama lagi aku mampu bertahan.

Apabila aku cuba mengangkat kaki, terdengar suara seseorang menghala ke arah pesawat. Tanpa berfikir panjang, aku terus menghulur tangan ke luar tingkap. Ada tangan lain yang mengenggam erat tanganku setelah sembilan hari aku terperangkap.
Post a Comment