Oleh Sepawi Senan
AWAN putih berarak di langit sebelah timur. Matahari pula semakin ghairah memancar sinarannya menembusi daun di dusun itu. Pak Leman bersandar pada batang pokok langsat di tepi parit. Peluhnya mencurah-curah ke seluruh badan. Dibukanya tuala yang melilit kepalanya. Dengan tuala lusuh itu dia kesat muka, tengkuk dan kedua-dua tangannya, sebelum mencampakkannya tidak jauh dari tempat dia duduk. Sebentar kemudian, dia pejamkan mata sambil menarik nafas panjang.
Ketika Pak Leman turun tadi, rumput masih lagi basah-basah. Matahari pula belum menampakkan dirinya. Bagaimanapun, di dusunnya beberapa ekor tupai berkejar-kejaran dari dahan ke dahan pokok rambutan. Agaknya tupai itu berebut buah rambutan yang tengah menjadi. Begitu jangkaannya. Sesekali, dia terkejut sambil memekup kedua tapak tangannya di atas kepala apabila ranting kering pokok mempelam jatuh menimpa daun pokok manggis. Dia bimbang ranting itu menimpa kepalanya yang sudah botak.
Pak Leman tarik nafas lagi. Kali ini lebih panjang. Lebih dalam daripada yang tadi. Sungguhpun terasa agak letih, dia tetap puas. Dia lontarkan pandangannya ke setiap penjuru dusun. Pokok rambutan, manggis, langsat, mempelam dan durian berderetan dengan teratur. Hasil jualan buah-buahan isi dusun itulah dia membesar dan mendidik Rahim.
"Sejak Rahim beristeri, dah dapat gaji besar, nampak benar dia berubah. Tidak macam semasa dia bujang dulu."
"Dia dah ada tanggungjawab, Odah. Mestilah lain."
"Tapi Leman, orang lain pun berbini juga. Tapi taklah sampai lupa kampung halaman. Lupa orang tua."
"Sudahlah, Odah. Jangan kamu nak ungkit pula kenangan aku pada si Rahim. Asal dia bahagia, sudahlah."
"Eh, eh! Engkau ni. Dia tu kan ke darah daging kamu? Aku bukan apa, Leman. Sebagai ibu saudaranya, aku terkilan juga."
"Apa pula yang buat kamu rasa terkilan? Kesal pasal Rahim tak ambil Siti jadi isterinya?"
"Hisss, kamu ni! Ke situ pula perginya."
Perbualan dengan Odah dua hari lepas tiba-tiba segar di kepala Pak Leman. Odah datang ke rumahnya membawa semangkuk sayur keladi. Odah sajalah saudara sedarah sedagingnya yang masih hidup. Rumah mereka pula sebelah-menyebelah. Kerana itu mudahlah mereka kunjung-mengunjung.
"Sepatutnya Leman, sekarang ni kamu tak payah lagi susah-susah ke dusun," Odah menyambung perbualan.
"Dah tu, kamu nak aku duduk terperap saja di rumah? Merenung atap buruk?"
"Maksud aku Leman, Rahim tu dah bekerja. Gaji besar. Tak kan tak mampu sara engkau."
Entah kenapa tiba-tiba saja hati Pak Leman terasa bagai digores-gores. Kata-kata Odah kini menyusuk hulu hatinya, sukar untuk dilupakan. Memang ada juga benarnya kata-kata Odah. Dia sudah tua, memang patut berehat. Tetapi tulangnya tidak menghendaki dia berbuat begitu. Dia tidak betah duduk. Badannya akan terasa sakit. Hatinya pun tidak merelakan dia dapat simpati dan bantuan Rahim. Dia ada harga diri.
Tiba-tiba seekor ikan haruan melompat di dalam parit. Pak Leman terhenti mengelamun. Dia menoleh ke parit yang jernih airnya itu dan masih tidak tercemar. Tidak macam parit dekat rumah Rahim. Kotor, menjijikkan. Orang di bandar tidak tahu jaga kebersihan, bisik hati kecilnya. Dia pernah ke bandar bersama Rahim lima tahun lalu.
Teringatkan Rahim, Pak Leman seolah-olah ternampak dia berlari-lari dalam dusun itu. Bersembunyi dari satu pokok ke satu pokok yang lain sambil menjerit-jeritkan namanya. Rahim satu-satu anaknya. Empat bulan setelah melahirkan Rahim, Munah meninggalkan mereka buat selama-lamanya setelah diserang malaria. Semenjak itu, dialah yang mendidik Rahim, dengan penuh kasih sayang.
"Ayah! Ayah! Saya nak panjat pokok langsat tu. Boleh kan?"
Kenangan lama mengimbau dan mengusik di kepalanya. Dia tersenyum kecil.
"Tak boleh. Nanti jatuh. Pokok tu tinggi."
Ketika itu Rahim berusia sepuluh tahun. Pak Leman masih ingat benar. Pokok langsat tempat dia sedang bersandar itulah yang dipanjat anaknya. Waktu itu dia sendiri sedang mengumpul ranting kering. Tanpa disedari, Rahim rupa-rupanya sudah tertenggek di atas dahan pokok langsat yang sarat buahnya.
"Rahim! Turun cepat! Nanti jatuh," Pekiknya sambil mendongak. Rahim melemparkan kulit langsat ke bawah. Kulit langsat itu jatuh tepat ke hidungnya. Dia masih ingat bagaimana Rahim ketawa selepas itu, sedangkan dia menggigit bibirnya. Ketika hendak memijak ke satu dahan lain tiba-tiba kaki Rahim tergelincir.
"Awas! Awas Rahim!" Pak Leman menjadi cemas. Nasib baik Rahim cepat menyambar dahan yang satu lagi. Pak Leman menarik nafas, lega. Di bawah, banir pokok langsat bagaikan menunggu mangsanya.
"Turunnn!" Kali ini suara Pak Leman lebih tegas. Rahim mematuhi kehendak ayahnya dan turun penuh hati-hati. Menyesal agaknya dia.
"Itulah, cakap ayah tak nak pakai."
"Maafkan Rahim, ayah."
"Rahim tak apa-apa?"
"Tak."
"Ingat. Lain kali jangan berani nak panjat-panjat lagi!"
Rahim sekadar mengangguk-anggukkan kepalanya. Mukanya pucat. Peluh memercik di dahinya. Pak Leman mengusap kepala Rahim. Direnungnya wajah anak itu dengan penuh kasih sayang.
Alangkah seronoknya hidup Pak Leman ketika itu. Rahim sentiasa ada di sisinya. Ke perigi, ke sekolah atau ke surau Pak Leman pasti akan menemani Rahim. Rahim diasuhnya dengan begitu baik. Dia mahu Rahim dapat menjadi insan yang berjasa kepada dirinya, masyarakat dan kampungnya suatu hari nanti.
"Rahim mesti belajar rajin-rajin, tau."
"Baik, ayah. Rahim janji."
"Kalau Rahim dah besar nanti, Rahim nak jadi apa?"
"Rahim...Rahim nak bekerja di bank. Bank banyak duit kan ayah?"
"Banyak tu memanglah banyak. Tapi Rahim mesti ingat. Bila Rahim bekerja di bank, jadi pegawai bank, tidak semestinya duit Rahim pun banyak."
"Habis tu?"
"Ialah, duit dalam bank tu, duit orang. Bukan duit Rahim."
"Oh, begitu. Fahamlah Rahim."
Hari ini Pak Leman amat kesal. Setelah sekian dia korbankan jiwa dan raga, Rahim lupakan jasanya. Rahim semakin jauh dari hidupnya. Terkenangkan itu, Pak Leman berasa sayu. Terasa benar bahawa dia sudah tidak bererti lagi dalam hidup Rahim. Terasa olehnya pokok mempelam, langsat, rambutan dan durian mentertawakan dirinya. Tupai yang menggonggong sebiji buah rambutan seakan-akan memperlikan nasib Pak Leman. Akar kesedihan membelit-belit perasaannya.
Pak Leman masih lagi di situ. Peluhnya mulai reda. Sesekali, apabila dihisap rokok daun nipahnya, asap berkepul-kepul keluar dari mulut dan lubang hidungnya. Matanya mengekori asap itu yang kemudiannya bagai meresap ke daun pokok langsat. Dia terbatuk beberapa kali. Pak Leman mengusap dadanya. Rokok daun nipah itu ditenyehnya pada batang pokok langsat.
Fikiran Pak Leman masih lagi melayang-layang. Wajah Rahim sekejap muncul, sekejap menghilang dalam ingatannya. Entah kenapa hari ini Pak Leman tiba-tiba terasa rindu pada Rahim. Kalau diturutkan hati mahu saja rasanya Pak Leman pergi ke Bandar Sri Aman esok pagi. Rahim ada di sana bersama-sama anak dan isterinya. Bagaimanapun apabila teringatkan peristiwa pahit lima tahun yang lalu dia mematikan saja hasratnya itu.
Lima tahun yang lalu, iaitu tiga hari selepas merayakan Aidiladha, Rahim mempelawa Pak Leman tinggal bersama-samanya di bandar.
"Ayah. Saya dan Zubaidah dah muafakat. Kami nak ajak ayah tinggal bersama-sama kami. Saya harap kali ini ayah tidak akan menolak lagi."
"Kalau aku dah ikut kamu ke bandar, siapa pula nak jaga dusun aku tu nanti?"
"Makcik Odah kan ada. Kita mintalah dia tolong tengok-tengokkan dusun tu."
"Entahlah Rahim."
"Entah apa lagi?"
"Aku ni dah tua, Rahim. Biar sajalah aku di kampung ni. Di sini aku ada dusun. Dusun tu besar jasanya pada aku, pada engkau."
"Itu saya faham, ayah. Kerana saya tahu ayah dah tualah saya beria-ia sangat nak bawa ayah tinggal dengan saya. Kalau ayah sakit pening nanti, siapa nak jaga ayah?"
Akhirnya Pak Leman mengalah, walaupun hatinya terasa berat. Digagahinya juga hatinya meninggalkan Kampung Bahru tempat kelahirannya itu. Hatinya begitu sayu apabila melihat dusunnya tetapi kerana tidak sampai hati hendak melukai hati Rahim dia pergi juga ke bandar. Pada mulanya memang Pak Leman berasa seronok tinggal bersama-sama Rahim sekeluarga. Rumah Rahim besar dan cantik. Kereta Rahim juga besar dan cantik. Ayah mana yang tidak berasa bangga melihat anaknya berjaya dalam hidup. Tambahan lagi di kampungnya belum ada anak orang lain yang mewah hidupnya seperti Rahim. Cita-cita Rahim tercapai juga akhirnya.
Pada minggu ketiga Pak Leman mula berasa rimas. Dia sudah tidak tahan dengan sikap Zubaidah. Menantunya itu memang cantik dan lawa tetapi sayang sekali, wajahnya yang cantik itu tidak padan dengan budi pekertinya. Zubaidah terlalu sombong dan angkuh dengan kemewahan suaminya. Pak Leman mula dimarah-marahi, ditengking-tengking.
"Oi! Orang tua tak sedar diri. Lain kali jangan nak memandai-mandai. Kalau orang tak suruh, jangan buat. Ini, tengok ni. Apa dah jadi dengan pasu-pasu bunga saya ni? Tengok, habis patah bunga-bunga orkid kesayangan saya ni. Bunga ni dibeli. Pasu-pasu itu pun dibeli, tau. Bukan percuma."
"Maafkanlah ayah, Zu. Ayah tak sengaja."
"Maaf-maaf. Itu sajalah yang ayah tau. Dahlah dua hari yang lepas cermin lapik meja di ruang tamu tu ayah pecahkan. Entah esok apa lagi agaknya. Lama-lama habis harta benda dalam rumah ni."
"Tapi cermin tu bukan ayah yang pecahkan."
"Dah tu, kalau bukan ayah, siapa lagi? Borhan? Udin? Sudah, jangan nak berdalih-dalih. Kumpul serpihan pasu-pasu tu. Nanti terpijak Borhan dan Udin tu, luka pula kaki budak-budak tu."
Pak Leman bukan takut, bukan sengaja membiarkan dirinya dimaki hamun oleh Zubaidah. Dia keberatan untuk bertegang urat dengan orang macam Zubaidah. Dia tidak mahu dirinya menjadi api yang akan terus membakar kemarahan Zubaidah. Biarlah dia menjadi air. Lama-kelamaan pasti kemarahan dan kebencian Zubaidah dapat disiramnya juga dengan kesabaran.
"Mama, saya dan adik nak jalan-jalan dengan atuk dalam kebun kita tu. Boleh kan?"
"Tak boleh! Jangan bergaul dengan orang tua tu."
"Tapi mama..."
"Sudah! Tak ada tapi-tapi. Pergi masuk. Baca buku!"
"Janganlah dimarahkan sangat budak-budak tu."
"Itulah ayah. Elok-elok duduk di kampung datang ke sini menyusahkan kita pula. Mulai dari hari ini saya tak benarkan ayah rapat sangat dengan budak berdua tu. Faham?"
"Kenapa pula? Dia tu anak Rahim, cucu aku. Salah ke?"
"Memang salah. Ayah itu orang kampung. Borhan dan Samsudin tak layak beratukkan orang kampung macam ayah."
Zubaidah sudah keterlaluan. Kalau dia marahkan Pak Leman fasal pasu, Pak Leman boleh bersabar. Kalau dia marahkan Pak Leman kerana pecahkan cermin, Pak Leman juga boleh bersabar. Tindakan Zubaidah kali ini sudah keterlaluan. Takkanlah dia tidak boleh bermesra dengan cucunya. Apa bezanya dia? Apa orang-orang kampung sepertinya tidak layak bercucukan zuriat daripada orang bandar? Zubaidah mesti diajar supaya dia tidak kurang ajar, desak hati Pak Leman.
Pappppp! Tangan Pak Leman yang kasar itu singgah ke pipi Zubaidah yang tebal dengan make-up itu. Zubaidah menangis. Zubaidah berlari-lari naik ke tingkat atas. Hari itu juga Pak Leman mengemas barangnya lalu pulang ke kampung dengan menaiki teksi.
Semenjak peristiwa itu Rahim tidak pernah lagi pulang ke kampung menjenguk-jenguk Pak Leman. Agaknya Rahim merajuk. Ahhh! Biarlah Rahim merajuk. Aku lebih suka tinggal di sini. Di sini aku ada dusun. Ada tupai. Mereka tidak pernah menghina aku. Aku lebih rela berteduh di sini daripada aku tinggal di rumah Rahim yang bagaikan neraka itu. Perasaan Pak Leman bagai dihiris-hiris, dicencang-cencang.
Pak Leman masih juga bersandar pada pohon langsat itu. Tinggi pokok langsat itu, pada jangkaan Pak Leman, lebih kurang lima belas kaki. Pokok itu sungguh rendang, memang sesuai untuk berteduh. Putik-putik bunga memutih hingga ke hujung dahannya yang bercabang-cabang. Pada dahan yang menghala ke sebelah barat, tertenggek seekor burung tekukur. Di paruhnya tersepit sehelai daun lalang kering.
Tiba-tiba saja terukir sebuah senyuman yang meleret di bibir Pak Leman. Hati kecilnya berbisik-bisik. "Kalau seekor burung mampu membina hidup bersendirian tanpa mengharapkan bantuan burung lain, kenapa tidak aku? Rahim sudah ada isteri, sudah ada anak, dan mempunyai tanggungjawabnya sendiri. Jadi tidak seharusnya aku bergantung harap pada kasih sayang Rahim."
Pak Leman cuba menerima hakikat itu. Dia yakin sangat suatu hari nanti Rahim pasti akan pulang juga ke kampung. Kalau pun tidak pada waktu dia sihat, ketika dia sedang nazak kelak Rahim pasti akan pulang juga menjenguknya meskipun kepulangan Rahim pada ketika itu mungkin sudah terlambat. Terasa ada sesuatu mengalir di pipi Pak Leman. Secepat itu Pak sedang duduk-duduk tadi. Matanya dikesat perlahan. Dia tidak mahu menangis lagi. Dia sudah nekad. Rahim akan dilemparkannya jauh-jauh dari sudut hatinya.
"Pak Leman! Pak Lemannn!"
Pak Leman tersedar dari lamunannya. Kenangan pahit manis ketika bersama- sama Rahim dahulu mati di situ.
"Ada hal apa ni, Siti? Kenapa kamu berlari-lari tak tentu pasal ni?"
Siti tidak terus menjawab pertanyaan Pak Leman. Dia tercungap-cungap keletihan. Tanpa dijemput, Siti melabuh punggungnya di tempat duduk bersebelahan Pak Leman. Pak Leman merenungi wajah Siti. Matanya yang bundar itu bersinar-sinar menyimpan harapan.
"Cakaplah, apa halnya ni?"
"Abang Rahim, Pak Leman."
"Rahim?"
"Ya, Pak Leman. Abang Rahim dah balik. Dia ada di rumah Siti."
"Rahim balik? Untuk apa? Kenapa dia balik?"
"Ada hal, katanya. Hal dia dan Zubaidah."
"Hal dia dan Zubaidah?" Pak Leman memandang kosong ke hadapan. Mulutnya melopong. Siti mandang muka Pak Leman, kehairanan. Kenapa pula Pak Leman macam tidak suka mendengar abang Rahim balik, fikir Siti.
"Pak Leman! Pak Lemann! Marilah kita balik."
"Tidak, aku tidak mahu balik. Aku tidak mahu tengok wajah Rahim."
"Tapi kenapa, Pak Leman? Sudahlah tu. Perkara yang sudah berlaku tu biarlah berlalu. Kasihan abang Rahim tu. Berilah dia peluang membetulkan dirinya."
"Tidak, Siti. Aku tidak dapat memaafkan Rahim. Dia remukkan hati aku. Dia hancurkan harapan aku padanya. Dia lebih sayangkan Zubaidah daripada aku. Aku ni si tua yang sudah tidak berguna lagi."
"Sudahlah, Pak Leman. Hati saya juga pernah terluka. Abang Rahim pernah mempermainkan cinta saya tapi demi hari esoknya, kita mesti beri abang Rahim peluang, Pak Leman."
"Aku sudah banyak kali memberi peluang kepada dia, Siti. Dia saja yang salah menggunakan peluang yang aku bagi itu."
"Tapi Pak Leman, kali ini abang Rahim sudah benar-benar insaf. Ke mana lagi pulangnya belut Pak Leman, kalau tidak ke lumpur."
"Sudahlah, Siti. Kamu baliklah. Sampaikan saja salamku kepada si Rahim. Aku tak akan balik. Ini dusun aku. Dusun ini juga adalah aku."
Pak Leman bangkit dari tempat duduknya. Siti terpinga-pinga kehampaan. Dia faham benar dengan sikap bapa saudaranya itu. Kata dia sajalah yang betul. Siti pun berlalu meninggalkan Pak Leman. Hatinya begitu sebak. Dia berasa amat kecewa kerana tidak berupaya meyakinkan Pak Leman.
Dari sebalik batang pokok mempelam Pak Leman melihat langkah Siti begitu layu sekali. Siti itulah dahulunya yang Pak Leman inginkan sebagai menantu. Walaupun Siti gadis kampung tetapi Siti cukup dengan segala- galanya. Dia taat beribadat, bersopan-santun dan berbudi bahasa. Melihat keadaan diri Siti, Pak Leman menjadi kesal. Mengapalah perempuan seperti Zubaidah yang Rahim pilih untuk dijadikan isteri?
Di bawah pohon mempelam Pak Leman tercegat kaku. Rahim, Zubaidah, Siti, dusun. Semuanya muncul dan lenyap silih berganti.
Kalau benar Rahim jujur, ikhlas hendak berjumpa dengannya, mengapa mesti Siti yang datang? Kenapa Rahim tidak datang sendiri? Sudah jijikkah Rahim menjejak kakinya ke dusun itu? Kamu jangan sombong, Rahim! Kalau tidak kerana jasa dusun ini, belum tentu hidup kamu semewah hari ini. Pak Leman mula mentafsirkan pelbagai persoalan tentang kedatangan Rahim. Setelah lima tahun baru sekarang Rahim sedar, bahawa dia masih ada seseorang di dusun itu.
Tupai! Rambutan! Langsat! Mempelam! Durian! Aku lebih sayangkan kamu daripada Rahim. Kalau tidak kerana jasa kamu, belum tentu Rahim sebahagia hari ini. Tetapi Rahim lupa akan jasa kamu. Rahim lupa penat lelah aku. Pak Leman memekik, meraung, membisikkan kata hatinya ke segenap dusunnya.
Matahari sudah mulai menurun. Awan putih di langit sebelah timur sudah tidak kelihatan lagi. Sebaliknya tompok-tompok awan hitam mula bergayutan di gigi langit. Begitu juga, suara tupai sudah sekian lama menghilang. Apa yang kedengaran kini hanyalah geseran daun pokok buah-buahan di dusun Pak Leman. Angin mula berhembus dengan kuatnya. Pak Leman mendongak. Pucuk pohon mempelam, langsat, manggis, durian dan rambutan bagai melambai- lambaikan sesuatu kepada Pak Leman.
"Ayah! Ayahhhh!"
Pak Leman mencari-cari suara itu. Rahim sedang berlari-lari ke sana ke mari mencarinya. Pak Leman sembunyikan dirinya di sebalik batang durian.
"Ayah! Ini Rahim, ayah. Rahim datang. Maafkanlah Rahim."
Ketika itulah Pak Leman melihat dusunnya bagaikan sebuah lautan yang sedang bergelora, bergelora dengan amat dahsyatnya. Angin bertiup kencang. Hujan turun dengan lebatnya. Tanpa mempedulikan Rahim, Pak Leman terus berlari menyusuri dusunnya. Suara Rahim hilang, tenggelam bersama-sama curahan air hujan dan hembusan angin ganas.
Gruuummmmmmmm!
Kreeekkkkkkkk!
Guruh berdentum dengan kuatnya. Sebatang pokok mempelam tumbang. Dahannya berjuntaian ke pokok durian, bagaikan dua sahabat sedang bersalaman.
"Ya Allahhhhhhh!"
Sebatang pokok mempelam jatuh menghempap tanah. Di bawahnya sekujur tubuh tertiarap kaku. Darah mengalir di kepalanya.
"Ayahhh!"
"Ayahhhhhh!"
Hujan semakin menggila. Ribut bagaikan seekor naga yang mengamuk. Pohon- pohon mempelam, langsat, durian, manggis dan rambutan melentok-lentok tidak tentu hala.
"Ayahhhhhh!"
"Dusunnnnn!"
Grummmmmmm!
Preekkkkkk!
Guruh dan laungan Rahim sabung-menyabung.

No comments:
Post a Comment