Pages

Friday, October 03, 2014

Sungai merah

Oleh Khalil Zaini

TERJERAT ZAP! Pap!

Jubin nirmala dinodai pekat darah merah. Darah likat menjujuh ke segenap dataran jihad, menongkah di celah-celah petak segi empat. Lantas membasut dari kepala tunggal tanpa badan itu. Berdesit-desit bersipongang melagukan kidung kasih pemilik jemala kepada empunya. Tengkuk itu sudah hancur mumur dan tiada berbentuk seperti asal.

Omar melihat sungai merah semakin surut. Kemudian, datang seorang lelaki menghampiri kepala suci itu. Digemal rapat-rapat rambut hitam yang tidak berdosa dan menganting kepala pemuda wilayah syurga di udara. Darah masih lagi bertitisan. Bersatu dengan lantai kamar kurungan jelmaan syaitan.

"Siapa lagi mahu dipancung?"

Mata Omar membelingas ke kiri dan ke kanan. Dadanya mula berombak dek rinding dengan cabaran lelaki itu. Fahad. Lelaki yang bertanggungjawab untuk mencambuk dan memaksa tahanan bekerja dengan pasukan syaitan. Dia juga punca mereka diikat di sini.

"Cepat! Jangan buang masa aku!" Teriak ejen syaitan itu.

Lensa pandangan Omar berselang-selang menggambarkan drama kali ini. Sekejap dia melihat Fahad, sekejap dia mengambal ke arah barisan tahanan di sebelah kirinya. Semuanya keluh kesah. Ada yang sudah menangis dan sedang menggedik-gedikkan bibir membaca sesuatu. Omar sedar dialah yang paling hujung. Negeri hatinya mahu kekal bersama pencipta jagat raya. Nafsu jihad semakin ghairah meraja sambil tembok kota negeri hati kian kukuh dengan simen ketauhidan.

"Mengapa kau tipu kami? Bukankah kau juga menjulang panji yang sama seperti kami? Kau tidak takut dengan pemilik kau?" Berbanjar-banjar soalan diajukan oleh salah seorang tahanan. Omar yakin kesemua tahanan berasa musykil dengan perjuangan sebenar Fahad. Pemuda dari Mesir itu telah memungkiri janjinya. Janji sejam yang lalu.

"Diam kau! Apa kau tidak nampak lagi kesenangan dan kemewahan yang bakal kita gapai jika bekerja untuk mereka?" Bundar mata Fahad melaungkan doktrin kotornya.

Semua tahanan beristighfar. Kaget dengan ketaksuban pemuda yang mereka sangka mahdi sejam sebelum itu. Fahad telah memerangkap mereka ke dalam jerat pengorbanan. Omar menggeleng-geleng kepala melihat kecaburan di kamar kurungan rejim Zionis. Dia tidak menyangka perkara sebegini bakal terjadi. Sepatutnya, dia dan tahanan yang lain sedang bergembira memperoleh tiket syahid untuk menentang musuh dengan cara yang adil. Bukan tiket syahid yang dihulurkan melalui tangan sadis. Fahad sahabat yang zalim! "Aku tidak akan tunduk!" Laungan jihad tahanan tadi menyergah benak seisi kurungan. Omar terlopong melihat Fahad mara membandit dengan pedang di pinggang yang tersendeng-sendeng. Jantungnya berketak-ketik digeluti resah.

Zap! Pap! Air pasang di sungai merah.

Kebermulaannya

"BAIKLAH, ada apa-apa pertanyaan lagi?"

"Maaf, tuan. Boleh saya tahu, bila agaknya kita boleh mulakan misi ini?" Pertanyaan itu mengundang senyuman barisan pemenang yang memenuhi kerusi dewan kecil itu. Dewan Al-Mubarak menjadi saksi majlis pengumuman pemenang bagi pertandingan menggodam sistem pangkalan data. Seramai tujuh orang pemuda terpilih untuk mengikat kontrak dengan Pertubuhan Risikan Bersatu. Mereka dijanjikan untuk berjihad memerangi rejim Zionis.

"Kita akan bergerak ke pejabat urusan kami. Di sana kami akan menerangkan segalanya. Ayuh!" Bersemangat pemuda bergelar Fahad ini menggugah jiwa mereka.

Van yang membawa mereka sedang melintasi perkampungan Hebron. Perkampungan yang sudah bobrok dan hanya tinggal beberapa binaan yang tidak semenggah untuk dimegahkan. Tayar van semakin galak melanyak batu-batu kecil di landasan kontang sehingga berkeretup kedengaran ke telinga penumpang. Punggung Omar sedikit terangkat mengkala melihat kedaifan masyarakat di sini. Hatinya bagai digaru. Biarpun sudah hidup lebih dua puluh tahun di negara suci ini, dia tidak pernah berpeluang menghayati keperihan masyarakat di mandala ini. Omar seorang anak bangsawan. Kini bekerja sebagai jurutera komputer untuk syarikat bapanya di Jerusalem yang terletak 60 kilometer dari Hebron. Dulu dia tidak pernah menghiraukan hujan logam yang senantiasa menghantui penduduk di sekitar kota berdarah. Baginya, dia sendiri perlu mempertahankan daerahnya dan tidak perlu bersusah-susah untuk memayungi masyarakat lain.

Debu sepanjang perjalanan berjejal-jejal memasuki lohong hidung setiap penumpang. Ada yang menangkupkan tangan ke muka, tanda tidak tahan dengan asakan debu yang maha dahsyat. Fahad selaku aktivis dari negara luar bersikap mesra dan tidak canggung memberi ucapan sedari awal perjalanan. Terkadangnya, senyuman Fahad begitu galak sehingga menampakkan barisan giginya yang sedikit kekuningan. Dia mahu semua pemenang bersedia untuk berperang dalam alam maya. Katanya, mereka boleh berjihad dengan menggodam sistem pertahanan rejim keparat itu. Fahad memang seorang yang berkarisma. Semenjak dia mengenali Fahad di salah sebuah universiti di Mesir, tidak pernah Fahad dilihat gundah. Diasalkan oleh sikap itu, Omar begitu yakin untuk membantu Fahad.

"Sahabatku, aku sudah kirimkan perincian mengenai pertandingan itu. Moga kau dapat berkhidmat kepada bangsa kau. Bantu juga kumpulan aktivisku. Sekian."

Omar terseringai mengingatkan pesanan e-mel daripada Fahad sebulan yang lalu. Fahad begitu bersungguh mahu membantu penduduk Palestin yang sedang merempat di negara sendiri. Dia sendiri selaku warganegara tidak pernah terlintas untuk berjihad sekentalnya. Pertandingan ini bakal membuka tirai juang yang selama ini sengaja ditabiri.

Kenderaan yang sarat dengan sembilan penumpang itu menggontai dan mampir di sebuah bangunan kosong. Sepi. Di hadapan bangunan terdapat tegal kering yang sudah tidak diusahakan lagi. Omar nanar. Sekonyang-konyang otaknya ligat berfikir. Masakan kumpulan aktivis ini beroperasi di sebuah kawasan yang tidak berisi. Segera dia menghembus ke langit dengan harapan bayu petang membawa jauh rasa sangsi dari medan hati. Dia kembali sedar bahawa misi makhfi ini sangat halus dan tidak seharusnya dicurigai.

"Baik, kita sudah sampai." Fahad melompat keluar dari perut van. Disambut sorak-sorai penumpang dari belakang. Mereka bersiap siaga menjinjit senapang. Tetapi, sekadar senapang maya yang bisa membunuh segala ruang dan peluang rejim keparat menunjukkan belang. Omar yang paling belakang berasa lapang melihat Fahad memunggungi barisan pejuang baharu yang tidak sampai sejam direkrut.

Pintu bilik pejabat dikuak. Kosong di dalamnya. Tiada meja dan tiada komputer. Yang jelas cuma jubin putih di lantai yang tidak ditindih apa-apa. Kesemua pemenang berpusing-pusing menggelintar di ruang kamar. Omar yang baru sahaja tiba di muka pintu disambut mesra oleh Fahad. Tulang belikatnya dielus lembut dan bahunya direngkuh.

"Tahniah, sahabat. Ayuh, masuk. Mulakan peperangan." Begitu suguhan Fahad. Kemudiaan, dia melepaskan rangkulannya dan membiarkan Omar menggauli rakan lain.

"Meniarap!" Satu bedilan dilepaskan ke loteng. Seisi bilik terenjat. Kecoh bertaru. Kesemuanya akur dengan paksaan rejim keparat. Omar merebahkan badan sambil kedua belah tangannya menghempap jemala. Mati akal.

Penyaksian

SUNGAI merah melata ke dataran abadi. Kali ini lebih menghebat. Kepala tahanan yang masih basah dengan keringat dan air mata kasih diinjak-injak dengan tumit kaki. Pipi kudus itu pula dilenyek dengan bebola kaki.

Bercetai-cetai daging kepala di jubin. Tinggal dua biji mata jegil yang masih tidak bercabul. Tingkah Fahad benar-benar memijar jiwa Omar. Saat itu, empangan di mata Omar melimpah. Dia menggeletis mahu melepaskan diri daripada ikatan. Lelah. Harapan musnah bertukar sumpah. Fahad lebih celaka daripada rejim keparat!

"Cuma tinggal lima orang. Siapa lagi?" Suara parau Fahad tenggelam dalam raungan dan tangisan. "Kau!" Jari telunjuk kanan Fahad menembak tepat sosok mangsa ketiga.

"Jangan ... Jangan bunuh aku." Meleret rayuan lelaki itu.

Hidungnya kembang kuncup menahan sebu yang bersarang di kura. Leburan kristal dari mata lantas bersatu dengan cecair hening yang keluar dari liang pernafasannya, meniti di bibir.

"Seperti syarat asal, kau perlu bekerja untuk mereka. Bagaimana?"

"Bo ... Boleh." Muncung bibirnya terketar-ketar ketika melafazkan ikrar keji kepada Fahad. Omar melangut - cela. Fikirnya, inilah realiti perkelanaan sang munafik. Tidak sampai sejam dia diacum janji setia tahanan itu dalam perjalanan tadi. Bait-baitnya juga masih ligat melegari segenap hemisfera benak.

"Aku memang menantikan saat ini. Selama aku bekerja, aku tidak pernah merasakan kepuasan. Mungkin kali ini aku boleh mendapatkan itu demi agamaku." Yakin lelaki itu menyusun kata-kata. Omar tersenyum halus melihat kesungguhannya.

"Jadi, kau akan terus kekal dalam pasukan baru ini?" Omar menduga.

"Sudah tentu. Agama kita di tangan mereka. Aku tak rela melihat ia dironyok."

Fahad tersengih melihat kedangkalan lelaki itu. Omar segera melupakan drama bersama lelaki munafik tadi. Lensanya kembali menangkap gerak-geri Fahad yang sedang menuju ke sudut pintu. Dia berjalan dengan membusungkan dada memperlihatkan kepongahannya.

Dua ekor tentera rejim Zionis yang sedang asyik merokok disapanya. Omar menginding meletakkan harap untuk menangkap isi bicara mereka. Tetapi, dikit rencam. Aneh. Fahad fasih bertutur dalam bahasa Hebrew. Jarang sekali pendatang luar bertutur sepertinya. Entah sejak bila dia belajar bahasa itu. Sungguh, dia benar-benar mahu menjadi pengkhianat. Tangan Fahad menggapai secawan minuman di atas meja. Omar kenal benar botol di sebelahnya itu. Air kencing syaitan! Fahad mereguk untuk memandikan tekaknya yang kering. Omar merentakrentak tanda kecewa. Fahad sudah jahat.

Fahad kembali ke ruang utama. Kemudian, menoleh ke arah salah seorang tentera yang disapanya tadi. Tentera itu menganggukkan kepalanya yang diberati dengan mahkota keji rejim.

"Sekarang, tuan aku mahu kita bersatu. Kita harus memerangi pelarian. Ini tanah air Israel. Pendatang perlu terus dihalang. Siapa lagi yang mahu turut serta?" Fahad menyuasanai isi bilik yang sepi sedari tadi.

"Celaka kau Fahad! Kami penduduk asal Palestin. Kami tidak akan berundur." Omar melampiaskan amarah. Ada nada jihad dalam lontar katanya.

"Palestin tidak pernah wujud. Ini tanah kami!" Laung seorang tentera dari pintu. Disambut gelak tawa tentera lain. Fahad turut serta berceridau. Dia hanya membuat-buat faham. Omar yakin, Fahad menjalang kerana wang. Dia pelajar miskin suatu ketika dahulu.

"Omar, kau masih berpeluang untuk hidup. Sertailah kami." Fahad berpura-pura memujuk. "Lihat, beberapa orang rakan lain sudah mahu turut serta." Mata Fahad bundar memandang tahanan lain. Perjanjian bersama syaitan termeterai dengan anggukan. Omar semakin sesak. Jiwanya bagai ditebak oleh bangsanya sendiri. Begitu mudah hati mereka bercabang. Langsung tidak terbata-bata bersetuju. Omar sedar dia keseorangan.

"Baik. Aku ada satu permintaan. Sebelum aku dipancung oleh tangan syaitan kau, izinkan aku menangis buat kali terakhir." Permintaan Omar dipersetujui. Tahanan lain hanya mampu memerhati. Ada yang masih menangis, tetapi mereka tidak sekuat Omar. Sungguh, jiwa Omar tekal teguh biar dirempuh buldozer segadang kapal perang.

"Ya, Allah! Jadikanlah tangisku ini tangisan taubat yang mampu memadamkan api dosaku yang marak sejak diriku melihat dunia. Kembalikanlah Fahad ..."

Zap! Pap! Air sungai merah kembali pasang.

Info

KHALIL Zaini, nama pena bagi Muhammad Aminul Khalil Zaini, pendatang baru dalam dunia penulisan kreatif tanah air. Terbabit dalam genre puisi, cerpen dan skrip drama radio. Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu muncul Johan Pertandingan Menulis Skrip Drama Radio (RTM) IPT 2010. Puisinya mendapat tempat dalam Berita Mingohamedgu, Mingguan Malaysia dan Tunas Cipta. Menyertai Bengkel Penulisan Cerpen & Novel anjuran Astaka Villa Aksara (AVA) dan pemenang Sagu hati Pertandingan Menulis Cerpen Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Putrajaya 2010.

No comments: