Pages

Monday, October 06, 2014

Laga

Oleh Lawrence Quek

LABANG mengepak-ngepak sayapnya. Elusan angin dari kepakan itu menyebabkan debu dan pasir berterbangan. Pasir yang dicakarnya berterbangan jauh apabila disambar gemalai bayu senja yang mengalun damai. Kemudian, Labang menegakkan leher dan membuka paruhnya luas-luas. Satu kokokan panjang bergema, lantang, dan segera disambar angin yang membawanya jauh hingga sayup sebelum menghilang.

Labang mencakar-cakar lagi pasir, menambah debu yang sedia ada. Kaki kirinya ditambat dengan tali nilon berpintal panjang sedepa. Hujung tali diikat pada batang besi panjang sejengkal, sebesar kelingking, dicacak ke dalam tanah. Dengan paruh tajamnya, Labang mematuk-matuk tanah cakarannya apabila ternampak habuan.

Kok...kok...kok...Labang yang berkaki panjang melihat sekitarnya sambil mematuk-matuk pasir mengharapkan ada betina menghampirinya. Bulu putihnya yang kemas dan rapi, berkilat apabila dipanah cahaya mentari senja. Balung mahkotanya tidak pernah tumbuh panjang.

Tik...tik...tik...Tuannya mengetik-ngetik jarinya. Sudah sampai waktunya Labang dimasukkan ke dalam kandang khas, di dalam reban di belakang rumah. Labang yang begitu setia menghampiri tuannya.

Dari kandang khas yang tidak sebesar mana, Labang menjulurkan leher keluar dari celah-celah kayu kandang. Serentak itu, kokokan panjang bergema menyambut tibanya kegelapan yang mula bertapak di ufuk timur.

Ketika hampir semua penghuni rumah panjang sudah menarik selimut dan gebar, Lawai dan Sawing masih duduk di tengah halaman mengharungi malam yang terasa panas.

"Kali ini, kita tidak akan hampa lagi." Lawai merenungi rakannya dalam kesamaran malam.

"Semuga begitulah kehendaknya." Sawing menguatkan lagi azam di dadanya.

Kesepian begitu cepat mencengkam apabila seluruh alam sudah dilanda kegelapan. Dari kejauhan, sayup kedengaran bunyi burung hantu mengisi kesepian. Embun mula turun membasahi daun dan rumput. Langit tidak berbintang. Bulan separuh menebarkan cahaya malapnya mengisi malam yang tidak berangin, menambahkan lagi keresahan mimpi petani yang mengharapkan hujan turun membasahi sawah mereka.

"Mesti menang kali ini. Kakinya ada tuah. Sisik kakinya baik." Lawai merenung ke arah bukit yang mula dilindungi tebaran embun. Asap rokok daun apong dihembus lambat-lambat.

"Yaa, mesti menang. Kalau tidak kita dapat malu lagi." Sawing mengeluh berat.

Dari kejauhan kedengaran salakan anjing, sayup memecah kesepian dari sebelah hilir. Lawai dan Sawing bangun sambil menyapu punggung masing- masing, kemudian lambat-lambat berjalan masuk ke ruai, terus ke dalam bilik.

Malam terasa semakin sunyi dan dingin. Galak nyanyian burung hantu tidak kedengaran lagi. Begitu juga salakan anjing, semuanya sudah lama ditelan kesepian. Sesekali kedengaran rengek dan tangisan anak kecil yang kemudiannya disusuli suara ibu.

Lawai, Sawing dan penghuni lain sudah lama dibuai mimpi. Kehangatan selimut dan kain gebar menjadi teman sepanjang malam.

Apabila pagi semakin dekat, kokokan ayam dari reban kembali memecah kedinginan pagi. Tidak lama lagi, ibu akan bangun menanak nasi dan lauk untuk dijadikan bekal ke ladang, kebun dan huma.

Tanyalah kepada sesiapa saja yang pernah bertandang ke gelanggang di daerah ini. Tanyalah kepada sesiapa yang pernah mengeluarkan wang ringgit untuk taruhan. Mereka pasti kenal, pasti tahu siapa Lawai, siapa Sawing. Di daerah ini, hingga tempias ke daerah sekitar, pengunjung gelanggang sabung pasti mengenali mereka. Siapa lagi yang berani lawan orang Cina bertaruh sampai ribuan ringgit, siapa lagi yang ada ayam terbilang jaguh dan perkasa kalau bukan Lawai dan Sawing.

Kini segalanya mulai berubah. Kata orang, zaman Lawai dan zaman Sawing sudah berakhir. Sudah selalu sangat mereka menang. Perut mereka kenyang dengan hasil duit judi.

Dari musim menuai padi bukit ke menuai padi sawah, hingga ke musim gawai, ayam mereka asyik kalah saja. Nasib mereka di gelanggang sabung sudah mula berubah, dan mungkin akan terus begitu. Itulah yang amat mereka takuti. Nama mereka sudah goncang, dan orang tidak yakin lagi pada ayam mereka.

Setiap kali ayamnya rebah, dada Lawai bagaikan dihentak dan dihenyak. Seluruh sendinya lemah. Terasa mati seluruh tubuhnya apabila satu demi satu ayam jantannya rebah terjelepuk, kejang di tengah gelanggang. Matanya pedih berpinar-pinar melihat pancutan darah dari wiranya. Hatinya ikut perit bagaikan hempedunya pecah, meracun segenap hati dan perasaan. Kulit muka terasa tebal dan kemudiannya terasa bagaikan disiat-siat. Malunya tidak dapat tertampung oleh mukanya. Dia tahu, orang akan memandang dan berpaling ke arahnya apabila ayamnya rebah. Pandangan itu mengejek seluruh tubuhnya.

Bagaimanapun Lawai hanya mampu menggenggam bara kepedihan. Dendam pada kekalahan demi kekalahan itu hanya terperam di dalam hati. Walau apa pun, yang kalah harus diganti dan setiap kali berganti, dia begitu mengharapkan nasibnya juga akan berubah. Malang baginya, ayamnya kecundang lagi dan menyebabkan geramnya memuncak semula. Dia mendapat malu besar sekali lagi.

Lawai berusaha meneguhkan harapannya. Dia yakin zamannya belum lagi berakhir. Dia akan buktikan.

"Mungkin aku ketandusan ayam jantan jaguh. Ayam yang mampu menggegarkan gelanggang, ayam yang tangkas menendang dan menyerang. Kau Labang, satu- satunya harapanku." Itulah yang mampu dibisikkan oleh hatinya yang begitu mengharapkan kemenangan.

Labang seolah-olah mengerti dan memahami isi hati tuannya. Ia akan berkokok lantang dan gagah, bangga kerana dirinya amat istimewa. Bangga kerana tuannya begitu mengambil berat akan dirinya. Makan minumnya dijaga. Ia tidak perlu bimbang makanannya tidak mencukupi. Lebih daripada itu, tuannya akan memandikannya sekali dalam sehari, pada waktu petang.

Pada waktu petang, ketika mentari hampir membenamkan diri di kaki langit, Labang akan ditambatkan di tanah lapang. Ketika itulah Labang akan mencakar-cakar tanah dan mendebukan badannya dengan tanah kering.

Petang yang hinggar, anak kecil tidak berbaju berlarian di tengah halaman yang botak dan berdebu. Keadaan menjadi riuh lagi dengan kepulangan penghuni dari kebun, huma dan bendang mereka serta kanak-kanak sekolah yang balik selepas aktiviti petang di sekolah.

Di ufuk barat, mentari mulai terselindung di balik bukit Banjaran Munuk setelah menambahkan kekontangan pada tanah yang gersang sepanjang hari. Di langit yang terbuka luas, kepulan awan putih yang tersusun rapi berarak perlahan membawa kegusaran penduduk kampung yang mengharapkan hujan. Angin senja yang segar menerpa badan lesu yang tidak berbaju.

"Dua minggu lagi, kita nyabung." Lawai menguis-nguis pasir kering berdebu dekat kaki kematunya dengan ranting kayu sebesar ibu jari. Mereka sedang duduk di atas longgokkan kayu api pokok getah mati sambil menikmati kesegaran angin senja. Sawing sedang menyedut rokok daun apong sambil matanya merenung jauh ke bukit yang berdiri kukuh.

"Awak bagaimana?" Lawai memandang Sawing yang diam semenjak tadi. Labang mengepak-ngepakkan sayapnya hingga menerbangkan debu-debu halus dari tanah kering.

"Ya," jawab Sawing ringkas sambil menggosokkan matanya yang dimasuki debu dengan lengan yang berselirat dengan urat hijau.

"Kita pergi Sungai Mepi kali ini," sambung Sawing sambil memandang Labang.

"Bagus tu. Lagipun, sana Cina ramai datang, boleh main besar." Lawai mengiyakan. Matanya tidak terlepas daripada badan ayam tambatannya yang semenjak tadi tidak henti-henti mencakar tanah kering.

"Kita pun lama tak ke sana." Sawing memandang Lawai dan menyambung: "Manalah tahu ayam kita bernasib baik dan menang."

"Awak fikir ayam kita boleh menang ke?"

Sawing terkejut, tetapi cuma dalam hatinya. Dia tidak menyangka kawannya yang sentiasa yakin tibatiba meluahkan kata-kata seperti itu. Sungguh mendadak. Sawing memandang muka Lawai. Dia dapat melihat muka Lawai yang mula ditumbuhi kedut dan diselaputi kedinginan perasaan, kekosongan jiwa dan kehancuran harapan. Sawing juga dapat merasakan hakikat itu.

Lawai merenung ke ufuk barat, mencari mentari yang menghilang bersama cahayanya. Ada jaluran cahaya kilat di langit itu. Hatinya sepi.

"Wai, aku dengar anak-anak kau yang sekolah di bandar tu menentang sangat kerja kau ini." Katakata Sawing itu sebenarnya menjadi tamparan yang memukul hati kecilnya.

Lawai memejamkan matanya lama-lama dan kemudiannya mengeluh berat. Ibu jari kakinya menguis-nguis debu tanah. Kemudian, dia merenung Labang. Rokok daun yang tinggal pendek dilontarnya jauh. Kemudian, ludah bercampur kahak pekat kekuningan dihambur keluar lalu bercampur dan berbaur dengan debu kering.

"Nampaknya begitulah." Nada suara begitu payah dan berat, tetapi Lawai telah menetapkan hasratnya. Dia akan kembali juga ke gelanggang.

Bagaimanapun ngiangan dari mulut anak-anaknya sewaktu gawai yang lepas masih segar melekat di telinganya. Ada tautan resah apabila menghimbau kembali pada peristiwa itu.

"Baik ayah berhenti saja dari nyabung. Kerja sia-sia saja," kata Riman, anak sulungnya. Dia buat tidak faham.

"Betul tu, ayah. Kesian dengan ayam yang tidak berdosa jadi mangsa. Buat aniaya binatang saja." Rosa, anak perempuan sulungnya yang pendiam itu turut bersuara.

"Dahlah tu, buat habis duit saja. Ayam yang cedera itu kan baik dibawa balik. Yang dihempas sampai mati buat apa, bukan boleh makan." Riman menambah lagi.

Hatinya tidak dapat bertahan. Hati yang pedih menjadi lebih pedih mendengar leteran anak-anaknya. Kecil-kecil sudah pandai mengajar orang tua!

"Apa hak kamu berdua nak ajar saya? Selama ini siapa yang bagi kamu makan, bagi kamu duit belanja? Kamu pergi sekolah sana pakai duit apa?"

"Tapi bukan semuanya duit judi, duit sabung. Hari itu pun Man bayar yuran pakai duit pinjam," jawab Riman perlahan. Dia memandang ibunya yang membatu sejak tadi. Rosa pula seperti kehilangan suara bagaikan harimau patah taring. Hatinya kecut melihat ayahnya mula meradang.

"Oh, kerana itu kamu tak puas hati ya? Kerana tak dapat duit cukup?"

"Bukan duit tak cukup ayah, tapi ayah menang judi pun bukan kami yang makan duit. Ayah hanya belanja kawan-kawan ayah makan besar, enak-enak. Minum pula, minuman keras." Riman terus berjuang dengan sisa keberaniannya yang semakin menipis.

"Diam!!!" Lawai menjerkah lantang hingga mengejutkan jiran sebelah dinding. Telinga Rosa merah saga. Hati kecutnya semakin mengecut, tidak terbendung. Riman hanya tunduk terpaku. Matanya memaku lantai. Kini sisa keberaniannya sudah hilang bersama-sama jerkahan ayahnya. Dia tidak berdaya lagi walaupun untuk mengangkat mukanya.

"Dah tahu pun anak-anak tak suka, berhenti sajalah. Ni anak ayah bergaduh tak malukah?" Isterinya yang tidak pernah memberi reaksi akan tabiatnya pula bersuara.

Lawai terasa dirinya terhimpit di rumahnya sendiri. Hati pedih dan geramnya menjadi remuk. Terasa seluruh isi rumahnya seakan-akan mengeji dirinya, tetapi dia tetap dengan kata hatinya. Biar semua orang menentang, kerana mereka tidak akan dapat menghalangnya.

Dia sudah nekad. Lagi pun, masih ada orang yang akan bersamanya. Sawing satu-satunya orang kepercayaannya. Dia dan Sawing mempunyai kesatuan jiwa dan persamaan rasa. Lawai tahu dan sedar, dia ada ayam jantan, Labang. Sawing dan Labang sudah cukup untuk dijadikan teman ke gelanggang.

Sawing akan jadi orang kanannya. Labang akan menjadi pejuangnya yang tidak tahu erti takut, dan tidak gentar menentang maut.

Lawai yakin kali ini, ayamnya bukan calang-calang jantannya. Baginya, gelanggang Sungai Mepi harus menjadi padang darah setiap penentang Labang. Dia telah mimpikan Labang mengepak sayap dengan gagah di tengah gelanggang. Kemudian Labang berkokok lantang, gagah, selepas menundukkan lawannya.

Gelanggang Sungai Mepi akan menjadi saksi satu kebangkitan semula dan satu penafian. Penafian tanggapan orang bahawa dia sudah kena badi ayam. Dia akan buktikan zamannya belum berakhir lagi. Lawai kepingin membuktikan kekalahan lalu hanyalah gerhana yang pasti berakhir.

Mentari tengah hari yang menyinar panas menyelinap bahang hangatnya melalui celah-celah daun getah tua yang mula gugur dan terus mencecah tanah gelanggang yang kering kontang serta berdebu.

Namun bahang yang menghangatkan kulit kepala langsung tidak memberi kesan kepada mereka yang telah datang dari jauh dan dekat ke gelanggang Sungai Mepi. Mereka begitu setia menyabung dalam kehangatan yang membakar kulit dan menanti dari satu pertarungan ke satu pertarungan.

Yang kalah akan bermasam dan berkerut muka seribu di tengah keriuhan di tepi gelanggang. Yang menang pula akan berjamu dengan aneka juadah dan minuman yang dijual di gerai sekitar gelanggang.

Lawai dan Sawing duduk di sebuah gerai. Masing-masing dilanda keresahan menunggu giliran. Punggung Lawai sudah tidak sedap duduk. Bagaikan gatal- gatal dan dicucuk-cucuk dengan jarum tajam, dia sentiasa mengisar punggungnya. Perut Lawai dan Sawing sudah penuh dengan air bergas yang diteguk semenjak pagi lagi.

Labang pula ditambat di satu tempat lapang tersisih daripada kesesakan pengunjung gelanggang.

"Lawai!"

Lawai hampir tersentak mendengar namanya dipanggil. Tanpa melengahkan waktu dia terus menerpa ke arah Labang. Lawai mengangkat Labang dan terus membuka tali kaki ayamnya itu.

Awal-awal lagi Lawai dan Sawing sudah menang. Mereka tidak menyangka

Lawan Labang kali ini ialah ayam Filipina milik seorang tauke Cina. Ayam berkepala botak itu mempunyai kaki yang panjang serta otot yang pejal. Ayam itu pernah menewaskan salah seekor ayam Lawai dahulu.

Lawai melangkah dengan penuh yakin ke tengah gelanggang. Sawing pula mengisar-ngisar penumbuknya di tepi gelanggang. Suasana agak hinggar. Orang ramai menyerbu dan berpusu-pusu di tepi gelanggang. Mereka menjangkakan satu perlawanan yang pasti menarik dan hebat dari kedua-dua ayam jantan itu.

Keadaan tiba-tiba menjadi senyap.

Ayam Lawai dan ayam Filipina sudah dilepaskan ke tengah gelanggang. Lawai meminggir ke tepi. Tauke Cina undur ke pagar gelanggang. Bagaimanapun pertarungan belum lagi berlaku.

Kedua-dua ayam itu bertentang mata. Bulu tengkuk masing-masing tegak.

Mata Lawai dan Sawing terbuka luas. Lawai memerhatikan Labang. Tauke Cina dengan mata sepetnya merenung tajam kedua-dua ayam yang akan menentukan hidup mati masing-masing.

Dan zuppp! Satu tembungan yang kuat di udara.

Mata Lawai dan Sawing terbelalak.

Tauke Cina tersenyum.

Huuu! Kedengaran suara tidak senang di keliling gelanggang.

Labang yang berbadan kecil terpelanting sedepa ke belakang oleh tendangan padu kaki lawannya. Sambil menahan kepedihan di dada, Labang bangun dan berdiri tegak.

Lawai yang cemas kelihatan bercucuran keringat di dahinya. Sawing menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya Labang masih ada peluang lagi. Sekurang-kurangnya Labang tidak terus rebah dan mati.

Labang menegakkan bulu tengkuknya lagi. Kali ini Labang mengaturkan langkah dengan cermat, waspada. Tauke Cina yakin ayam botaknya akan menang. Labang sudah dapat dicederakan dengan tendangan pertama.

Sekali lagi, zuppp!!

Kali ini bunyinya lebih hebat, tetapi tidak ada ayam yang tumbang. Semua mata terbuka luas. Tauke Cina mengulum senyum. Ada cetusan kegembiraan dalam matanya, tetapi hanya untuk beberapa saat.

Darah kelihatan menitik dari dada ayam Filipina. Tiba-tiba ayam itu jatuh.

Kemudian Labang cuba berjalan, tetapi terhuyung-hayang. Tauke Cina sedar ayamnya akan diisytiharkan kalah. Dia mengambil ayamnya dan terus menuju ke arah ketua gelanggang menuntut wang taruhan. Orang yang bertarung untuk Labang naik marah. Orang yang bertaruh untuk ayam Filipina tidak mahu mengalah.

Bup...bup...buppp! Kedua-dua pihak bergasak. Keadaan menjadi kelam kabut dan tidak terkawal.

Lawai dan Sawing tahu, tidak ada gunanya mereka menunggu lebih lama di situ.

No comments: