Oleh Dahiri Saini
SELURUH kampung heboh apabila Mat Jeram ditemui dalam keadaan yang memilukan. Dia terbaring lesu di tebing Tanjung Pansak. Perahunya entah ke mana. Isterinya, Lamah Latah menangis hingga tidak berair mata lagi mengenangkan musibah yang menimpa suaminya.
Penduduk kampung masing-masing membuat andaian sendiri. Mat Jeram digertak buayalah, Mat Jeram ditegur penunggu di Tanjung Pansaklah, Mat Jeram berseketiduran dengan puteri bunianlah dan bermacam-macam lagi. Yang paling ramai mengatakan Mat Jeram digertak buaya.
Bagaimanapun, setahu orang kampung Mat Jeram bukan sembarangan orang. Gelaran Jeram padanya ialah kerana dia berani mengharungi Jeram Batu Belat seorang diri dengan berperahu kecil.
Ada yang membuat tanggapan Mat Jeram digertak Bujang Samarahan, buaya berpuaka. Kalau tidak masakan Mat Jeram sampai begitu teruk sekali seperti dibelasah oleh ahli gusti.
Tok Anjang yang duduk di ruang tengah rumah Mat Jeram hanya berdiam diri mendengar pelbagai andaian serta tanggapan. Bersimpang-siur seperti angin musim tengkujuh, desis hati kecil Tok Anjang.
Sejak seminggu ini Mat Jeram belum lagi pulih. Mukanya pucat lesi. Bibirnya mengelupas kering. Matanya meliar seperti hendak mencari sesuatu, mengerikan.
"Tolong...tolong...tolong Tok Anjang! Dia...dia...tu...tu...di sana tu. Tolong Mat! Tok Anjang!" Suara Mat Jeram terketar-ketar. Tangannya menunjuk ke arah orang yang datang menziarahinya.
"Dia datang...tu...di sana."
Perubahan pada Mat Jeram begitu ketara sekali. Dari seorang yang angkuh, dia sentiasa dalam keadaan ketakutan yang amat sangat.
Tok Anjang meletakkan jarinya ke celah jari tangan Mat Jeram untuk mengambil `biji'. Naluri Tok Anjang diterpa bermacam-macam kemungkinan yang mencabar kewibawaannya. Dia merenung ke dalam mata Mat Jeram yang terperosok. Tubuh Mat Jeram sudah semakin kurus. Dia terketar-ketar apabila Tok Anjang merenungi dengan tajam.
"Jangan Tok Anjang! Dia...dia ada memerhati kita semua di sini!" Jerit Mat Jeram tiba-tiba.
Orang ramai yang duduk berbual terpaku. Mereka berpandangan sesama sendiri.
"Sabar Mat. Bawa mengucap banyak-banyak," pujuk Jini yang duduk bersetentang dengan Tok Anjang. Tok Anjang masih merenung ke dalam mata Mat Jeram. Orang kampung memang sudah sedia maklum akan kehebatan Tok Tajul, bapa Tok Anjang. Tok Tajul semasa hayatnya memang tahu mengenai ilmu perdukunan serta ilmu menjinakkan segala binatang di laut atau di darat. Mungkin ilmu itu diwarisi oleh anak sulungnya, Tok Anjang.
"Tu...dia datang! Situ...situ...situ!" Jerit Mat Jeram. Jarinya masih dipegang Tok Anjang. Tok Anjang memekakkan telinganya. Dia mula terdengar bunyi kocakan air sungai, kemudian bunyi desir angin pada arakan daun apung dan akhir sekali bunyi dengkuran yang sesekali kedengaran, sekali tidak. Orang lain di rumah Mat Jeram hanya melihat Tok Anjang duduk di sebelah Mat Jeram yang terbaring.
Tok Anjang cuba mempertajamkan lagi pendengarannya. Bunyi kocakan air sungai, bunyi desir angin mengarak daun apung, bunyi seperti sesuatu yang sedang dalam kemarahan berulang kali. Tok Anjang masih kurang pasti bunyi dengkuran itu. Bunyi yang lain memang dia sudah maklum.
"Kita terpaksa menjalankan upacara tolak bala di sungai," saran Tok Anjang.
"Kalau gitu, baiklah Tok Anjang. Tapi ngapa dengan Mat Jeram tu, Tok?" Soal Jini.
"Entahlah. Nak dikatakan disampuk tak pulak. Nak dikata...entahlah. Pelik," balas Tok Anjang lambat-lambat seperti ada sesuatu yang sukar diperkatakan pada semua orang yang menunggu penjelasannya.
"Jadi macam mana, Tok Anjang?" Soal Jini ingin kepastian.
"Biarlah Tok Anjang merenungi pada malam esok."
"Baiklah Tok Anjang. Kami di sini sedia membantu apa yang patut," janji Jini.
Orang ramai yang ada di situ mengangguk termasuk Seman Gagap dan Jusuh, sahabat rapat Mat Jeram yang baru sampai.
"Kalau gitu, biarlah Tok Anjang pulang dulu. Assalamualaikum semua."
"Walaikummussalam," jawab semua orang yang ada di ruang tamu rumah Mat Jeram.
Mat Jeram hanya mengerling kesal. Dia pernah ingin menetak Tok Anjang kerana menghalang kegiatan mereka membuang racun cap tengkorak ke sungai.
"Tok Anjang pulang dulu, Mat."
"Ba...baik Tok Anjang. Terima kasih," suara Mat Jeram tergagap-gagap.
"Hemm..." Tok Anjang lantas menuruni tangga.
Mentari senja itu mulai merendah di balik pohon pedada. Tok Anjang melangkah perlahan. Dalam benaknya terbungkus keresahan mengenai sungai yang bakal menempah saat kemusnahan sungai yang akan menakuti orang kampung menyusuri arusnya kerana sudah berpenghuni sesuatu yang ditakuti.
"Kalau benarlah dia, ketakutan pasti menyelubungi hati penduduk kampung," desis hati Tok Anjang.
Tetapi mengapa? Mencari makan atau diganggu? Persoalan itu memenuhi fikiran Tok Anjang. Tok Anjang menuju ke pangkalan. Dia menceduk air sungai dengan tangannya. Air keruh itu dihidunya berulang kali.
"Sungai, memang sudah pasti ceritamu tidak mungkin selesai," keluh Tok Anjang berat.
Decitan burung yang lalu mengejutkan Tok Anjang. Angin senja berhembus lembut mengocak air sungai yang hendak mula pasang. Renungan Tok Anjang diarahkan ke tengah arus sungai, kemudian dialih pula ke perahu yang berderet tersadai di tebing.
Malam itu Tok Anjang duduk mengadap tujuh batang lilin yang dinyalakan di ruang serambi rumah. Dia menghala ke sungai. Angin malam tidak berdesir sedikit pun. Ini menyenangkan lagi kerja Tok Anjang. Dia tidak payah menyuruh Nek Sadah menyalakan semula tujuh batang lilin itu jika padam. Di hadapannya terletak setalam bunga yang sudah dileraikan kelopaknya. Bunga itu terdiri daripada tujuh jenis, dihantar oleh Piah, anak dara sunti Seman Gagap senja tadi. Kain belacu putih setengah hasta dan tempayan yang diisi air sungai tercatuk di sebelahnya. Malam itu Tok Anjang mengenakan pakaian serba hitam. Selempang pinggangnya hitam, ikat kepalanya hitam seperti pendekar turun ke gelanggang lawan menentang musuh lagaknya.
Sejak tadi Nek Sadah sudah dipesan supaya segala persiapan itu mesti disediakan sebaik saja Tok Anjang bersila mengadap satu upacara. Nek Sadah sudah maklum. Dia duduk menyirih di tengah rumah sambil menunggu perintah Tok Anjang seterusnya.
Suasana hening ketika itu benarbenar terasa akan keganjilannya. Desir angin sedikit pun tidak ada mengarak pada rumpun apung. Cuma arus sungai sesekali berkecibak. Mungkin ikan sedang menyambar buih atau buah pedada masak yang jatuh. Atau segala kemungkinan yang memungkinkan.
Isyak sudah lama berlalu. Tok Anjang membakar kemenyan sebesar ibu jari yang sudah dijampinya sejurus tadi. Kain belacu putih diletakkan menutupi permukaan tempayan. Tujuh jenis bunga yang sudah dileraikan dari kelopaknya dimasukkan ke dalam tempayan bersama dengan air sungai yang diambilnya senja tadi.
Sila Tok Anjang semakin kemas, sila seorang pendekar. Matanya perlahan- lahan dipejamkan. Bunyi nafas Tok Anjang menerawang ke segenap serambi rumahnya. Agak lama Tok Anjang bertafakur tanpa sebarang kesan atau bunyi yang ditangkap oleh pendengarannya. Sepi. Kosong. Hening.
Tiba-tiba rempuhan angin deras menerjah ke muka Tok Anjang. Rempuhan angin itu membawa bau yang meloyakan. Hanyir. Semua tujuh batang lilin yang bernyala padam. Keadaan gelap-gelita dalam rebasan angin yang kian menderas. Nek Sadah tergocoh-gocoh datang untuk menyalakan lilin.
"Jangan dinyalakan, Sadah," larang Tok Anjang.
Nek Sadah berundur, lalu duduk menyirih semula. Kegelapan sebegitu melemaskan perasaan Nek Sadah, tetapi perintah Tok Anjang terpaksa dia akur.
Tok Anjang cuba berkomunikasi dalam rebasan angin yang menerjah tiba- tiba. Di sungai arakan daun apung gamat bunyinya. Berkerakkerak.
"Hei, siapa kau, hah?" Soal Tok Anjang.
"Hei, siapa gerangan kau, hah?" Ulang Tok Anjang lebih tegas dan lantang.
Suasana menjadi genting. Dalam firasat Tok Anjang dia dapat meneka sesuatu yang berbau hanyir sebegitu. Bau hanyir yang amat ketara sekali.
"Pasti kau, Bujang." Lambat-lambat kalimat itu terkeluar dari mulut Tok Anjang.
Angin yang tadinya menerjah dengan deras menjadi lebih lembut desirannya. Bunyi arakan daun apung tidak kedengaran sekeras tadi, diselang-seli ngongoian ulat tanah yang mendengung.
"Nyalakan lilin, Sadah," perintah Tok Anjang.
"Aaaah..." Nek Sadah teraba-raba dalam gelap, mencapai pemetik api dari tepak sirihnya. Dia berengsot tergocoh-gocoh ke serambi. Tangan tuanya tergetar-getar mencucuhkan api pada lilin. Ruang rumah terang semula. Lega rasa Nek Sadah setelah beberapa ketika dalam keadaan yang melemaskan. Nek Sadah berlalu meninggalkan Tok Anjang yang masih dengan kerja-kerjanya.
Tok Anjang meramas-ramas air gaulan bunga di dalam tempayan dengan tangan kirinya. Kain belacu putih direntang menutupi permukaan tempayan. Tok Anjang mengangkat tempayan menuruni tangga. Tangan kanannya memegang sebatang lilin. Dia menuju ke pangkalan. Sesampai di tebing sungai Tok Anjang melihat ke hulu sungai dengan teliti.
"Dah nak pasang agaknya," kata Tok Anjang pada dirinya.
Tok Anjang menghanyutkan tempayan ke kuala. Arus sungai perlahan-lahan membawa tempayan ke hilir.
"Moga kau menerimanya."
Malam sudah agak larut. Taburan bintang di langit menyerikan lagi keheningannya. Bulan dilindungi setompok awan. Tok Anjang masih memerhati oleng-olengan tempayan yang semakin jauh.
Tok Anjang melangkah pulang. Dalam benaknya dia berharap agar perkomunikasiannya malam itu berhasil. Itu juga harapan penduduk kampung. Mereka sudah takut untuk menyusuri arus sungai yang merahsiakan seribu kemungkinan.
"Dah ada penghuninya kuala tu."
"Musibah apa yang menimpa kampung kita ni?"
"Entah...entah sebesar pemeluk tak? Eii...ngerinya."
"Kalau nak mati, dalam kelambu pun mati juga."
"Jangan takbur sangat. Dia mendengar kita bercakap di sini."
"Susahlah kita nak menjenguk kebun."
"Benda cap tengkorak itu telah memedihkan matanya. Sebab itu dia mengganas."
"Benda cap tengkorak tu, racun. Jadi sedikit sebanyak menjejaskan kesihatannya he...ha...ha..."
"Eh! Bercakap tu biar berlapik sikit."
"Itulah kau orang. Bila aku katakan dulu si...ada tapi kau orang mentertawakan aku."
"Siapa tidak ketawa, Ludin? Adakah buaya tu pandai berdiri dengan dua kaki di bawah rumah kau?"
"Dia pun macam kita juga, sama-sama takut mati."
"Kulitnya berharga, tau."
"Kita buru saja, habis cerita."
Bermacam-macam perbualan orang kampung mengenainya. Yang angkuh, yang takbur, yang melucukan, yang takut dan beraneka kerenahnya. Cerita bercelaru tanpa susunan plot yang lengkap dan menarik.
Senja itu Tok Anjang berkayuh ke Tanjung Pansak seorang diri. Arus sungai mengalir lesu. Kerisik daun pedada yang kering gugur di kuala melekakan Tok Anjang. Tok Anjang sampai di tebing Tanjung Pansak. Dia memerhati pantainya yang dipenuhi sabut kelapa, apung buruk dan segala sampah sarap yang dihanyutkan oleh arus sungai.
Tok Anjang berhenti seketika sambil mengamati sekeliling pantai. Tidak ada apa-apa yang menyangsikan. Semuanya seperti biasa. Lengang.
"Dupp!" Ada bunyi seperti benda berat jatuh ke pantai. Tok Anjang menoleh. Seekor biawak yang berlumuran lumpur terkial-kial melarikan diri menyusup ke dalam rumpun neruju.
"Persetan!" Sumpah Tok Anjang kerana terperanjat. Perahu Tok Anjang menongkah arus. Sesekali dia menoleh ke tebing di sekitar Tanjung Pansak. Niatnya ingin mencari tempayan yang dihanyutkan pada malam Jumaat lalu, tetapi hampa. "Mungkin sudah tenggelam atau sebaliknya," fikir Tok Anjang.
Tok Anjang mendengus hidungnya yang disumbati bau hanyir beberapa kali. Dia sudah maklum kalau ada bau hanyir sebegitu tentu ada buaya menyusuri arus kerana mencari lubuk untuk beristerahat.
"Keluar kau, wahai Raja Sungai!" Cabar Tok Anjang. Matanya meliar mencari susuk tubuh yang menerbitkan bau hanyir yang meloyakan itu. Tok Anjang menunggu tetapi yang ada di tengah sungai cuma olakan arus.
"Keluar kau, wahai Raja Sungai! Aku tahu asal-usulmu, keturunanmu, dan piat-piutmu." Benak Tok Anjang dilibasi pelbagai andaian.
"Burrr..!" Air sungai berkocak seperti ada sesuatu benda yang timbul.
Tok Anjang menoleh ke arah bunyi deburan di buritan perahu. Sekujur tubuh yang berkerutu, matanya tertonjol keluar, seolah-olah sedang memerhati Tok Anjang.
"Datang juga rupanya kau ya."
Sekujur tubuh yang berkerutu itu tidak bergerak sedikit pun. Cuma matanya yang tertonjol sesekali berkerlip. Arus sungai agak kendur, Tok Anjang tahu dia belum bersedia menghadapi sekujur tubuh yang merentangi di buritan perahunya. Dia datang ke situ senja itu cuma untuk merisik-risik. Setelah melihat keberanian buaya di hadapannya Tok Anjang berasa tercabar juga.
"Aku tahu kau datang dengan hajat besar," ujar Tok Anjang. Dalam hati Tok Anjang dia sudah mendikirkan jampi penunduk kepada musuh yang ada di hadapannya. Menjadi atau tidak Tok Anjang tidak dapat memastikan sebab jampi penunduk itu agak lama juga tidak diamalnya. Kalau tidak kerana desakan orang kampung Tok Anjang tidak akan memburu buaya. pantang-larangnya. Pertama, dia tidak boleh memukul walau apa binatang sekali pun. Kedua, anak yang lahir sering dihinggapi bermacam penyakit. Orang yang mengamal jampi penunduk itu sentiasa kepanasan. Justeru itu Tok Anjang jarang-jarang mengamalnya. Malah dia ingin membuang terus jampi penunduk itu. Bagaimanapun kerana desakan orang kampung dan takut dikecam tidak mahu menolong orang, Tok Anjang tidak jadi berbuat demikian.
"Tolonglah Tok Anjang. Pulihkan semangat bang Mat tu," rayu Lamah Latah. "Hanya pada Tok Anjang sajalah kami berharap."
Tok Anjang terperangkap dalam dilema antara dua persoalan, keperimanusiaan atau mementingkan diri sendiri.
Tok Anjang teringat akan harapan keluarga Mat Jeram, malah harapan semua penduduk kampung. Tetapi yang berhadapan dengannya bukan sebarangan buaya. Ukuran tubuhnya, dalam perkiraan Tok Anjang, sebesar perahu balok Wa Pawi. Tok Anjang tahu buaya di situ akan melibaskan ekor ke arahnya bila-bila masa. Dalam hati Tok Anjang dia berulang kali mendikirkan jampi manteranya untuk mengancingkan hati dan semangat buaya itu.
Senja semakin merangkak. Angin mengelus lembut ke rambut putih Tok Anjang. Tok Anjang yang terperangkap oleh sekujur tubuh yang berkerutu tidak mahu menenggelamkan diri. Buaya itu macam tahu saja dia tidak membawa kelengkapan secukupnya. Namun sekiranya buaya itu menyerang juga Tok Anjang tidak berasa cuak sangat. Parang nangkin ada tersisip dalam sarung di pinggangnya. Bibir Tok Anjang terus berkumat-kamit menjampi geruh di hadapannya.
Buaya itu semakin mendekat ke kisi perahu Tok Anjang. Tok Anjang berkayuh perlahan ke pantai untuk menyukarkan lagi buaya itu menyerangnya. Tangan kanan Tok Anjang memegang kejap ulu parang nangkinnya. Saat berlalu begitu cepat sekali. Libasan ekor buaya mengena buritan perahu Tok Anjang. Berkeriut keras. Tok Anjang mengimbangi olengan perahu.
"Kau cuba nak gertak aku ya?" Tok Anjang mengetapkan bibirnya.
"Kalau kau nak cari geruh dengan aku, kau lepaskan dulu semangat anak cucuku!" Cabar Tok Anjang.
"Dupp...Burrr!"
"Ya, Allah!"
Tok Anjang terpelanting dari perahunya. Pada saat itu Tok Anjang terasa dirinya terbang seperti burung. Ngeri. Tiba-tiba belakangnya terasa berdenyut kerana terkena batang kayu yang tersadai di pantai. Tok Anjang cuba menahankan kesakitan dan cepat-cepat membuka bunga silatnya. Tubuh Tok Anjang terpalit dengan tanah pantai yang berladung. Perahu Tok Anjang tenggelam.
Buaya merangkak ke pantai perlahan-lahan, seolah-olah tahu buat apa bergopoh-gapah sedangkan daging di hadapannya sudah tersedia tanpa banyak halangan.
Tok Anjang bersedia menanti segala kemungkinan. Ternyata jampi manteranya tidak sebati lagi dengan dirinya. Namun di saat-saat genting itu sempat juga Tok Anjang mengingati kewujudan-Nya. Dia berharap semuga dia dilindungi dari geruh yang hanya beberapa depa saja. Suasana cukup menggentingkan.
"Hei! Kalau kau nak cari geruh dengan aku, lepaskan dulu semangat anak cucuku!" Jerit Tok Anjang.
Serentak dengan itu berlakulah satu pertarungan yang terlalu sukar dan ngeri untuk digambarkan. Tubuh setua Tok Anjang berlawan dengan sekujur tubuh yang besar dan kebal itu. Tok Anjang hanya sempat menetak beberapa kali tubuh buaya itu, sedangkan rusuknya sudah rabak oleh ragutan.
Namun di saat-saat segenting itu sempat juga Tok Anjang menghayunkan mata parangnya sekuat tenaga dengan tenaga yang penghabisan. Hayunannya sudah ke sasaran. Dupp! Dupp! Dupp! Sasarannya itu cukup tepat dan jitu. Pantas dan tuntas. Buaya itu menggelupur kesakitan. Apa tidaknya, kedua- dua bonjolan matanya ditakek.
Pandangan Tok Anjang terasa berpinar-pinar. Nafasnya tersekat-sekat. Gelap. Sedangkan buaya masih menggelupur di pantai.
"Burr!"
Di masjid azan Maghrib sudah lama berlalu. Angin mendesir sayu seolah- olah meratapi kesedihan. Di hilir sungai suara orang ramai riuh-rendah dalam bingitan enjin. Sekumpulan orang kampung sedang mencari Tok Anjang setelah kehilangannya diberitahu oleh Nek Sadah. Tok Anjang belum pulang sejak senja tadi.
"Di Tanjung Pansak, agaknya?"
"Harap-harap gitulah."
"Entah...entah..."
"Hiss!"
"Ke mana agaknya pergi Tok Anjang tu?"
"Seram juga menyusuri arus sungai malam-malam gini."
"Hah! Cuba lihat di pantai Tanjung Pansak tu. Macam tubuh orang."
Cahaya lampu suluh dihalakan menerangi kawasan pantai. Sekujur tubuh yang sudah kejang berlumuran darah dan lumpur tersadai di tepi pantai.
Malam itu orang kampung riuh dengan berita yang mengerikan dan sekaligus memilukan. Nek Sadah menerima berita itu dengan sabar dan takwa. Dinihari itu Nek Sadah mendirikan solat Subuhnya dengan lebih khusyuk dan luhur. Tetapi sendunya masih merambihi teratak hati tuanya.
"Sungai, ceritamu tidak mungkin selesai..." Nek Sadah melepaskan keluhan di hujung doanya.

No comments:
Post a Comment