Pages

Tuesday, October 28, 2014

Bermukun

Oleh Ahmad Sabu

SENJA itu cuacanya panas benar. Tuah masih bersandar malas pada pohon kelapa yang condong menghala ke Sungai Sadong. Bintik-bintik peluh jantan melekat di badannya. Sehari suntuk dia menebas huma bapanya di Lubuk Kemayo benar-benar melumpuh tenaga mudanya. Dia cuma mengamati arus Sungai Sadong mengalir tenang dan lesu, setenang fikirannya dan selesu badannya.

"Tuah. Malam ini kita menonton gendang di rumah Haji Badar." Tiba-tiba saja kedengaran orang menegurnya dari arah jalan kampung yang tidak jauh dari tebing sungai. Tuah menoleh ke arah suara itu. Kadir, rakan sekampungnya menghampirinya.

"Apa hal rumah Haji Badar tu?" Tuah bertanya acuh tidak acuh.

"Makan selamat cucunya." Kadir menjelas ringkas.

"Jadi nak adakan temasya bergendang juga?" Tuah sekadar inginkan kepastian.

"Yalah. Ayuh, kita menonton malam nanti. Dah lama tak bertandak." Kadir mengulangi hasratnya.

"Tak naklah. Letih sangat ni." Tuah nampak keberatan.

"Hey! Jangan lepas peluang, tau. Aku dengar Badar jemput syeh gendang dari Meran. Hebat ceritanya." Kadir cuba meyakinkan Tuah.

"Mana ada syeh gendang yang hebat lagi masa ni?" Tuah cuba meningkah pujian Kadir, tetapi apabila mendengar syeh atau mak gendang itu dari Meran dia ingin mempercayainya. Memang syehsyeh gendang dari Meran atau Samarahan itu terkenal hebat. Tuah ingin benar mempercayainya.

"Kau belum lihat lagi dah cakap banyak. Nanti bila dia cabar kau bermukun baru kautau." Kadir cuba memberangsangkan Tuah.

"Apakah ada orang lain yang sehebat aku bermukun di kampung ini?" Tanya Tuah sekadar untuk memperli rakannya.

"Yalah. Apa pun, kita menonton malam ni ya?" Kadir melembut, sengaja untuk mendapat persetujuan Tuah.

"Yalah. Yalah." Tuah meningkah tanda setuju. Lepas itu dia pun menuruni tangga tebing sungai untuk mandi. Kadir mengatur langkah dan beredar dari situ.

"Jangan lupa! Aku tunggu kau di rumah Badar malam ni." Kadir meninggikan suara sambil menghilang dalam kegelapan senja.

Malam itu ramai anak muda Kampung Serian berkumpul di rumah Badar. Rumah itu terang-benderang. Dari dalam ruang tamu rumah itu sesekali kedengaran pukulan gendang yang agak tidak menentu dan sumbang nadanya. Pasti anak- anak kecil sedang bermain dengan gendang atau rebana. Tuah dan Kadir cuma menjenguk-jenguk dari arah jalan, melihat dari jauh akan keadaan di ruang rumah itu. Apabila syeh atau mak gendang memukul gendang dengan hebat dan rancak barulah mereka mengorak langkah masuk bertandak. Langkah tandak mereka diatur mengikut alunan irama pukulan gendang.

Tabir yang setinggi bahu sudahpun direntang di ruang tamu. Tabir bawah pula yang setinggi duduk gadis direntang juga di bahagian bawah, sekadar sebagai pemisah antara anak-anak gadis yang menemani syeh gendang di belakang tabir dengan anak-anak muda yang akan bertandak. Gelanggang tandak itu nampaknya sudah bersedia untuk digunakan. Sayup-sayup kedengaran bunyi biola yang dicuba untuk mengiringi pantun yang akan didendangkan oleh syeh gendang nanti.

Dari ruang tengah sesekali kedengaran tepukan anak-anak muda yang sudahpun duduk-duduk lebih awal, mengikut rentak irama bisikan biola yang masih sumbang. Tuah dan Kadir cuma memasang pendengaran mereka, cuba membaca rentak-rentak yang masih agak sumbang itu.

Tiba-tiba pukulan gendang yang rancak kedengaran menghingar-bingarkan suasana. Ia bertambah hebat apabila diikuti dengan gesekan biola yang cukup teratur mengikut rentak gendang. Kadir dan Tuah bertikam pandang. Tuah cukup kagum mendengar pukulan yang begitu hebat. Sudah lama benar dia tidak terdengar pukulan gendang sehebat itu.

"Apa macam?" Kadir meminta pandangan Tuah.

"Wah! Hebat, Dir." Tuah mengakui.

"Itulah. Tadi aku cakap, kau main-main aku." Kadir meningkah bangga.

"Belum dengar belum tau, Dir." Tuah mempertahankan dirinya.

"Ayuh! Mari kita bertandak," Kadir sudah tidak sabar-sabar lagi.

"Ayuhlah naik!" Seorang lelaki tua melaung dari atas, menjemput anak- anak muda yang masih di halaman supaya naik bertandak. Beberapa orang anak muda lalu bergegas naik, dan dengan agak segan terus duduk di ruang tengah.

"Ayuhlah! Kita naik bertandak," ajak Kadir sekali lagi.

"Tunggulah dulu, Dir. Mak gendang belum berpantun lagi. Kau ni tak sabarlah," Tuah cuba menenangkan rakannya itu. Dan seperti ada arahan pula, ketika itu juga syeh gendang mendendangkan pantunnya dengan suara lantang yang cukup merdu. Sekali lagi Kadir dan Tuah bertukar pandangan. Sudah lama benar mereka tidak mendengar nyanyian pantun syeh gendang semerdu dan selantang itu. Dan sudah lama benar mereka tidak mendengar pukulan gendang yang serancak dan sehebat itu.

"Hebat syeh gendang ni, Dir," Tuah mengakui.

"Memanglah. Tadi dah kukatakan," Kadir cukup bangga dengan pujiannya tadi.

"Kaucakap-cakap saja. Mana kautau syeh gendang tu hebat?" Tuah masih ingin hendak mematikan keghairahan rakannya.

"Badar sendiri yang bagi tau aku. Katanya, dia jemput syeh gendang yang hebat dari Kampung Samarahan," Kadir masih mahu mempertahankan kebenaran kata-katanya. "Kau dengar tu. Bagaimana?" Kadir minta pendapat Tuah.

"Memang hebat, Dir," Tuah mengakui. Dan Kadir tahu, apabila Tuah sudah memuji begitu, dia tidak perlu ragu-ragu lagi. Syeh gendang jemputan Badar itu tentu cukup hebat. Kadir mempercayainya sungguh-sungguh.

"Kalau gitu, mari kita naik bertandak," Kadir tidak dapat lagi menahan sabarnya. Dia terus menarik tangan Tuah sambil menjenguk-jenguk dari tangga ke pintu masuk.

"Dan kalau dia cabar kita bermukun, kau bermukun, ya?" Tuah cuma memperlikan rakannya.

"Hiss! Kau ni. Mana aku pandai bermukun. Aku bertandak saja. Kaulah yang bermukun," Kadir menolak sungguh-sungguh. Dalam pada itu sudah kedengaran syeh gendang mendendangkan pantunnya menjemput hormat Kadir dan Tuah yang terjenguk-jenguk di tangga.

"Apa dijeruk asam belimbin

abang berdua asam belimbin

kurang jualah masin, kuranglah masin ditambah garam

apalah dijenguk di luar dindin

abang berdua di luar dindin,

kalau jualah sudi, kalaulah sudi masuk ke dalam."

Nyanyian itu cukup mencabar dan menjemput, seperti biasa, sesiapa saja yang masih terjenguk-jenguk di halaman. Anak-anak muda yang berada di ruang tengah sudah terjenguk-jenguk pula untuk melihat siapa yang disindir-sindir sambil dijemput oleh mak gendang itu.

"Naiklah. Mak gendang dah jemput tu," lelaki tua separuh umur menjemput lagi. Kadir tidak dapat bertahan lagi. Dia pun naik dan menuju ke ruang tengah dan terus memulakan rentak langkah tandaknya. Tuah tiada pilihan lain. Dia terpaksa ikut. Sambil menjual senyum manja kepada syeh gendang yang bersembunyi di belakang tabir Tuah sudah mengikut rentak Kadir bertandak. Pukulan gendang semakin rancak dan hebat. Bisikan biola semakin mengancam. Sorakan anak-anak muda yang hingar-bingar menghidupkan lagi suasana yang semakin memuncak rancaknya.

Mak gendang terus mendendangkan pantunnya dengan cukup kemas.

"Kebun siapa berjambu batu

kebun pak Mail di kampung ulu.

Anak siapa tak dua itu,

rupa kenal nama sik tau."

Tuah tersenyum simpul mendengar sindiran mak gendang itu. Dalam pada itu dia sempat menjeling manja ke arah mak gendang yang masih leka memukul gendang dengan sungguh-sungguh. Senyuman mak gendang yang begitu manis seakan-akan mempelawa Tuah untuk berbicara. Tuah hanya sempat mengukir senyum tanda mengerti. Dia masih juga menghentak-hentak langkahnya yang cukup teratur mengikut rentak gendang dan gesekan biola. Kadir tersenyum melihat telatah rakannya itu. Dia sendiri asyik bertandak.

Mak gendang mengusik lagi, tetapi kali ini mencabar Tuah dan Kadir dengan pantunnya.

"Sungai Semeran jangan dituba,

kalau dituba ikan tak mati

gadis Semeran jangan dicuba,

kalau dicuba berani mati."

Anak muda yang duduk di ruang bersorak-sorak lagi dengan gembira dan nakalnya memberangsangkan Tuah supaya menyahut cabaran itu.

"Hai Tuah. Jawablah. Jangan buat kita malu," tempek mereka.

Tuah memandang tajam ke muka Kadir seolah-olah meminta pandangannya. Kadir tanpa ragu-ragu terus memberi isyarat supaya Tuah menjawab pantun mak gendang itu. Dalam pada itu sepasang lagi anak muda sudah masuk bertandak, sekadar untuk memeriahkan lagi suasana.

Tuah menarik nafas panjang. Dia cuba mengumpul kekuatannya dalam perasaan yang agak gementar untuk menyahut pantun mak gendang itu. Dia perlu berhati-hati memulakan pantunnya agar tidak mudah dipatahkan oleh mak gendang yang pada perhitungannya cukup petah dan fasih. Dia tidak mahu ditewaskan di tengah-tengah majlis. Terlalu aib kalau berlaku begitu. Kejaguhannya sebagai pemantun terhandal di kampung akan menjadi bahan ketawa anak-anak muda. Dia hendak menggunakan pengalamannya bermukun selama ini untuk menjinakkan anak gadis dan syeh gendang dari Kampung Samarahan itu.

Dalam dia asyik mengikut rentak biola dan langkah tandak yang kemas dia menyusun rangkap kalimat kemas untuk dipantunkan.

"Sungai Serian airnya keruh,

tempat nak dara mencari siput,

sayang cik adik janganlah gopoh,

supaya senang kita mengikut."

Belumpun sempat Tuah hendak mengulangi pantunnya itu, syeh gendang dengan cepat meningkah.

"Batu kinyang jauh ke darat,

jalan kereta setengah hari,

makin kukenang makin melarat

makin kuingat makin berahi."

Pantun itu terlalu mencuit hati Tuah. Dia sempat menjeling ke arah syeh gendang dengan senyuman manja yang penuh bererti. Sementara itu, anak-anak muda yang lain bersorak riang, menggalakkan lagi Tuah membalas pantun mak gendang. Tuah menarik nafas panjang sekali lagi lalu mendendangkan pantun jawapannya.

"Buah pauh delima batu,

anak sembilang di tapak tangan,

walaupun jauh negeri satu

hilang di mata di hati jangan."

Syeh gendang yang semakin galak memukul gendang dengan rancak lantas menjawab pantun Tuah.

"Api apa di teluk bandung,

api orang menyuluh ikan,

sikit lagi dilancar tedung,

punan oleh senyummu tuan."

Tuah merasa pantunnya menggalakkan lagi mak gendang. Itulah yang dia mahu sebenarnya. Dalam situasi sedemikian rupa dia perlu mengawal keadaan. Dia hendak mengenakan mak gendang itu dengan cara yang halus melalui pantun yang akan diluahkannya nanti. Biarlah sindirannya halus, tetapi tajam. Dia tidak mahu mak gendang mengawal majlis itu dengan pantun yang memerangkapnya untuk berbalas pantun mengikut rentak dan nada yang mungkin sudah dirancang lebih dulu. Tuah hendak berpantun mengikut rentak dan iramanya.

Malam semakin larut, tetapi rentak gendang semakin rancak. Syeh gendang semakin galak menjual pantunnya dan menjawab pantun Tuah. Anak-anak muda yang lain semakin melonjak riang dan bertandak bergilir-gilir. Kelarutan malam belum meletihkan anak-anak muda yang terlalu suka mendengar Tuah bermukun atau berbalas-balas pantun dan nyanyian dengan syeh gendang.

Tuah sudah nampak letih kerana sudah lama bertandak sambil berpantun dengan mak gendang. Namun Kadir belum menampakkan tanda-tanda hendak mengalah. Dia terlalu suka bertandak sambil mendengar rakannya Tuah berpantun. Dia ingin berkongsikan kejaguhan dan kehandalan Tuah dalam majlis itu. Dan dia terus juga leka bertandak, walaupun sekali-sekala agak sumbang rentaknya kerana terlalu lama terhenjit-henjit di tengah majlis.

Dalam pada itu Tuah cuba mendekati Kadir. Tujuan Tuah hendak membisikkan sesuatu kepadanya. Bagaimanapun syeh gendang itu terlalu sensitif dan cepat menukar nada pantunnya.

"Orang menjala di Sungai Lajem,

boleh seekor si ikan lumek,

kamek si rela kamek si izin,

berbisik-bisik mengano kamek."

Tuah menjadi serba salah, tetapi cepat mengawal dirinya. Dia lantas mendendangkan sebuah pantun yang tersurat secara spontan dalam kepalanya. Syeh gendang menampakkan muka yang agak masam. Tuah cuba memujuk hatinya kembali.

"Buah durian buah rambutan,

manis sekali si buah manggis,

senyum cik adik sangat menawan,

semakin senyum semakin manis."

Tuah menjeling ke arah syeh gendang. Nampaknya dia sangat senang mendengar pujian Tuah itu. Dia tersenyum simpul dengan manja sekali sambil menjeling mengerti ke arah Tuah. Tuah terlalu terpesona dengan senyuman dan jelingan yang pada hematnya begitu menawan.

Subuh sudah tiba. Kabus terasa mendinginkan suasana. Anak-anak muda sudah jarang-jarang bangun bertandak. Ada yang sudah letih benar dan seringkali menguap tanda mengantuk. Namun syeh gendang dan Tuah sama-sama masih serancak tadi. Suara syeh gendang masih lantang walaupun sudah serak-serak juga. Kadir sering meliuk keletihan, tetapi mungkin kerana terlalu asyik dengan pukulan rancak syeh gendang itu dia belum surut bertandak. Gesekan biola juga sudah agak melembut, tetapi menjadi rancak semula apabila mak gendang menguatkan pukulannya.

Dengan suara yang lantang dia masih juga berpantun.

"Malam ini merendam jagung

malam esok merendam serai

malam ini kita berkampung

malam esok kita bercerai."

Tuah menjawab pantun itu dengan cukup kemas juga. Baru saja dia hendak mengatur tarinya selepas berpantun tadi, syeh gendang dengan cepat menyampaikan sebuah pantun lagi.

"Manis benar buah rambutan,

dalam setangkai masak sebiji

manis benar rupamu tuan

dalam sekampung payah dicari."

Sudah lama Tuah menunggu pujian itu dan habis saja rangkap terakhir dinyanyikan oleh mak gendang, dia cepat-cepat meningkah dengan serangkap pantun yang benar-benar menggembirakan mak gendang. Sebagai seorang syeh gendang yang berpengalaman dia cepat pula mengungkap sebuah pantun.

"Kasut putih disesah putih

setengah putih sabun pun hilang

tuan kasih saya pun kasih

setengah kasih bencana datang."

Subuh semakin merangkak tua. Kokokan ayam sayup-sayup kedengaran. Sorakan dan teriakan anak-anak muda yang menggila tadi sudah berkurangan. Mereka sudah sandar-menyandar sesama sendiri untuk menumpang tenaga teman agaknya, supaya dapat berjaga sampai ke pagi, atau sekurang-kurangnya hingga majlis berakhir. Belum pernah majlis bergendang yang sebegini meriah diadakan di kampung itu akhir-akhir ini. Memang syeh gendang yang dijemput khas oleh Badar itu cukup hebat. Dan kehebatan itu tercabar dengan kehadiran Tuah yang dapat menandingi dan menjawab pantun yang dijual oleh syeh gendang.

Tuah masih belum mahu mengalah. Syeh gendang juga belum ada tanda-tanda hendak mengaku kalah. Masing-masing hendak menonjol kehandalan dan kehebatan diri. Tuah hendak mempertahankan maruah anak-anak muda kampungnya. Kalau dia menyerah kalah, mungkin akan menjadi buah mulut dan ejekan anak-anak muda dari Kampung Samarahan.

"Anak bujang Kampung Serian kalah bermukun!" Itu adalah perlian yang terlalu hina yang dia tidak mahu dengar. Anak-anak muda di kampungnya pula tentu akan mengejeknya sebagai orang yang tidak tahu menjaga maruah. Itulah sebabnya dia tidak akan menyerah kalah. Lagipun memang dia suka bermukun dengan syeh gendang yang agak istimewa itu. Belum pernah dia bermukun dengan syeh gendang yang tahan bergendang dan berpantun sekaligus sepanjang malam seperti malam ini. Lagipun peristiwa bertukar senyum itu cukup menghiburkan. Syeh gendang itu pun nampaknya menyukai keadaan yang begitu mesra walaupun mereka belum kenal.

Syeh gendang memukul gendangnya lebih rancak lagi. Pantun masih dijual dan dijawab. Di belakang tabir beberapa orang anak kecil sudah tidur nyenyak. Kebisingan yang memekakkan telinga itu tidak mengganggupun tidur mereka. Agaknya mereka terbuai oleh irama gendang dan pantun di antara syeh gendang dan Tuah. Atau mimpi malam membuai mereka dengan lenanya dan kebisingan gendang gagal mengganggu mimpi indah mereka.

Kedinginan memuncak. Kabus pagi sudah kelihatan berarak dibawa bayu pagi. Tuah masih mahu bertahan. Dan syeh gendang cuba menghidupkan suasana yang agak lembab itu dengan merancakkan lagi pukulan gendangnya. Antara mereka masih juga berjual-jawab pantun sambil usik-mengusik antara satu dengan yang lain. Dalam pada itu mereka masih berbalas senyuman, menandakan mereka sama-sama terlalu menyukai suasana yang begitu romantis. Kadir masih juga bertandak dan sekali-sekala meliuk seperti hendak rebah. Mungkin dia letih dan mengantuk.

Tiba-tiba kedengaran tabur berdentur-dentur kendur dari surau yang berhampiran. Waktu untuk solat Subuh sudah tiba. Tuah dan syeh gendang pandang-memandang antara satu sama lain.

"Maaf ya. Majlis bergendang hendaklah diberhentikan. Sudah masuk waktu Subuh," Badar muncul berdiri di tengah-tengah majlis. Tuah dan Kadir berdiri memperlahankan rentak tandak. Anak-anak muda yang lain bingkas keluar dari ruang tengah itu dan menyusun langkah untuk pulang.

"Saya tidak menyerah kalah," kata Tuah sambil merenung manja ke arah syeh gendang dengan senyuman lembut yang memikat.

"Saya jua tidak mengalah." Syeh gendang meningkah dengan senyuman mesra dan manja.

"Kau dua-dua sama-sama menang. Tak ada yang kalah," sampuk Badar. Mak gendang pun melepaskan gendang dan menghilang ke arah dapur. Tuah dan Kadir berhenti bertandak dan beredar perlahan-lahan menuju ke ambang pintu. Mereka menuruni tangga untuk beredar pulang. Dalam pada itu Tuah sempat melempar pandangan ke arah ruang dapur untuk memberi pandangan terakhir kepada syeh gendang yang cukup hebat dan handal tadi, tetapi perempuan itu tidak kelihatan. Tuah lantas menuruni tangga dengan malasnya mengekori Kadir yang sudahpun berada di halaman rumah.

Tiba-tiba muncul seseorang dari arah bawah rumah. Tuah kaget melihatnya.

"Namanya siapa ya?" Satu pertanyaan menangkap pendengaran Tuah.

"Tuah!" Kadir menjawab tanpa ragu-ragu seakan-akan dia tahu bahawa pertanyaan itu memang untuk Tuah.

"Bang Tuah, saya nak ikut Abang Tuah pulang," terlalu yakin dan beriya- iya suara itu. Tuah bertambah kaget dan tidak terkata apa-apa.

"Yati. Yati." Kedengaran panggilan sayup-sayup dari ruang tengah rumah. Badar sedang mencari anak saudaranya yang dijemput khas menjadi syeh gendang dalam majlis malam itu.

Tuah dan Kadir mengatur langkah mengikut jalan kampung. Yati tanpa ragu- ragu telah mengambil keputusan untuk mengikuti mereka pulang. Dan Tuah dalam keadaan yang agak panik menerima dengan senang hati.

Anak dara mengikut pemuda pulang selepas majlis bergendang adalah perkara biasa pada masa lampau. Tuah tidak menyangka perkara seperti itu boleh berlaku pada dirinya. Sudah lama benar orang kampung tidak mendengar lagi cerita yang lucu dan aneh tetapi benar. Tuah dan Yati telah mengulangi lagi lembaran sejarah silam yang hampir luput ditelan masa dan keadaan.

Pagi sudah menjelang dengan membawa lembaran baru dalam kehidupan seorang syeh gendang dan anak muda kampung kerana majlis bergendang yang baru berlalu itu.

No comments: