Pages

Thursday, October 09, 2014

Warkah Kasturi, Sebilah Taming Sari

Oleh MF Kencana

TUNAK mata Dang Suria masih lagi digenangi air mata yang seperti tidak lagi mahu kering. Semalaman, dia puas berendam air mata dan berwalang hati merawat perasaan duka nan lara.

"Demi keadilan dan kedaulatan Melaka yang bertuah ini, biarlah kekanda membawa diri menyelongkar kedamaian. Datuk Bendahara akan tiba di tebing ini sebentar saja lagi seperti yang kanda pesankan kepadanya. Pandaipandailah adinda menjaga maruah dan kehormatan diri sepanjang ketiadaan kanda. Dan terimalah warkah ini buat dipanjangkan kepada Baginda Sultan dan kanda amanahkan kepada dinda untuk menyampaikan warkah ini kepada Datuk Bendahara. Ia tidak dikanji, maka adinda bacalah jika mahu. Tetapi ingat. Warkah ini rahsia antara kita. Rahsia Melaka. Namun, kanda pinta adinda khabarkanlah kepada Datuk Bendahara, tentang kepergian kanda ke Hilir Perak."

Ada rintik sangsi di hati Dang Suria mengenangkan bicara Hang Kasturi, si arjuna yang bertakhta di hati. Sebaik bayang Hang Kasturi hilang dibawa kolek yang membelah gelora kecil Sungai Melaka, Dang Suria lantas membuka gulungan warkah bertulisan Jawi itu.

Tuanku,

Ampun beribu-ribu ampun andai warkah derhaka yang patik utuskan. Adapun, warkah ini sengaja patik biarkan dalam simpanan patik selama ini kerana patik menunggu masa yang sesuai untuk patik utuskan ia ke bawah Duli Tuanku. Patik mengerti, andai patik mengutuskan warkah ini kepada Tuanku ketika keadaan patik yang masih bernyawa sebegini, pastinya seribu persoalan yang akan Tuanku hujankan kepada patik dengan semaha murka.

Andai benar dugaan patik, pasti Tuanku akan membaca warkah ini ketika patik sudah meninggalkan bumi Melaka ini kerana patik telah membawa diri ke Hilir Perak dan mengamanahkan kepada Dang Suria untuk menyampaikan warkah ini kepada Tuanku melalui perantaraan Datuk Bendahara.

Daulat Tuanku,

Mengertilah bahawa erti warkah ini sangat mendalam. Tidak hanya bait pujangga dan aksara sebaliknya warkah ini menyimpan sesulit rahsia di bawah garhayu Duli Tuanku penaung kemakmuran negeri Melaka. Jika diketahui para jelata semua, maka berdukalah seluruh bumi Melaka lantaran kekhilafan sejarah yang menjadi borak bicara. Bukanlah niat patik mahu mencemarkan kepahlawanan hulubalang Hang Tuah, namun patik sedar meski dalam gundah bahawa bangsa yang lemah adalah bangsa yang memilih untuk memalsukan sejarah.

Tuanku,

Adapun kewafatan Hang Jebat seperti yang dikisahkan oleh rakyat jelata kerana dibunuh oleh Hang Tuah adalah dusta semata-mata. Bukankah Hang Tuah dan Hang Jebat itu bersahabat karib yang tidak dapat dipisahkan? Masakan mereka mampu menjaring jala permusuhan sedang rantaian persahabatan telah lama mereka simpulkan? Bukankah mereka sama-sama menuntut dengan Adi Putra di Gunung Ledang dan sama-sama mengusir lanun Melaka yang mampir tanpa diundang? Bukankah mereka berdua sudah bersumpah menjadi saudara seadik dan seabang walau apa juga dugaan berbondong mendatang?

Ingatkah Tuanku, bahawa Tuankulah yang telah melantik Hang Jebat menjadi laksamana Melaka menggantikan Hang Tuah dan keris Taming Sari itu telah dianugerahkan dalam satu keramaian dan pertabalan? Bukankah ketika Tuanku melarikan diri dan berlindung di rumah Datuk Bendahara, pernah sekali Tuanku menyatakan keluh sesal kerana membunuh Hang Tuah yang tidak bersalah? Ketahuikah Tuanku bahawa sebelum Hang Jebat memporak-perandakan istana? Patik telah bertemu dengan Hang Jebat di dalam istana? Ketika itu, tidak ada sesiapa yang melihat pertemuan sulit kami di dalam istana. Jebat telah bersuara, sesiapa yang menghalangnya akan dibunuh. Sebenarnya, patik telah mengerti bahawasanya Hang Tuah tidak mati dan Bendahara telah menyembunyikan Hang Tuah di hujung rimba sana. Namun, Hang Jebat tidak percaya. Ketika itu, muncul Patih Karma Wijaya. Rupa-rupanya, Patih Karma Vijaya telah mengintai perbualan kami dari atas bumbung istana. Patih Karma Vijaya telah mempengaruhi fikiran Hang Jebat dan mendustakan apa yang disampaikan oleh patik. Tahukah Tuanku, sebelum Hang Tuah dipanggil oleh Tuanku untuk membunuh Hang Jebat, sebenarnya Hang Jebat telah terlebih dulu mengetahui bahawa Hang Tuah masih hidup.

Ada pun petualang yang menjadi dalang sebenar pertelingkahan ini tidak lain dan tidak bukan ialah Patih Karma Wijaya, pembesar Majapahit yang selalu mencipta onar yang sulit. Ketahuikah Tuanku, tatkala Tuah dan Jebat bertarung, Patih Karma Wijayalah yang telah mengarahkan jelata Melaka menujah lembing ke lantai Istana Melaka walaupun apa saja yang berlaku di balairung istana ketika itu tiada siapa yang dapat menerka?

Tuanku,

Arakian, ketika itu bahawasanya ketika sebelum berlangsungnya pertelingkahan antara Hang Tuah dan Hang Jebat, patik turut berada di balairung istana. Patik telah menemui empat mata dengan Hang Jebat yang dikatakan mengamuk dan bermukah dengan dayang-dayang istana. Sebagai abang tengah lima bersaudara ini, patik berhak menenangkan jiwa jebat yang kacau dan bergelora. Namun, kehadiran Patih Karma Wijaya yang membakar baran si Jebat selayaknya menambah kedurhakaannya. Maka, amuklah Jebat lantaran sudah lama dendam kesumat di dadanya membuak-buak untuk menamatkan riwayat Patih Karma Wijaya yang sememangnya gemar mencipta onar dan angkara.

Tuanku Yang Mulia,

Hakikatnya, perbuatan Bendahara menyembunyikan Hang Tuah telah diketahui oleh Hang Jebat sedari awal lagi. Hang Jebat hakikatnya sudah sedia maklum bahawa Hang Tuah masih hidup, namun sengaja dibisukan berita itu daripada pengetahuan semua termasuk Dang Baru, isteri yang dicintainya. Kerana Hang Jebat percaya, jika Hang Tuah tiada, maka keris keramat Taming Sari itu sudah pastilah diserahkan kepadanya lantaran beliaulah pahlawan yang paling layak menunjangi soldadu kepahlawanan Melaka. Maka, kesempatan inilah yang digunakan oleh Hang Jebat untuk menegakkan keadilan di negeri Melaka dan menjadikan dirinya `berakyat di mata, berjelata di hati'. Seperti luka yang dititis limau, begitulah hati Hang Jebat sebaik saja mengetahui Hang Tuah telah diutuskan oleh Baginda Tuanku untuk membunuhnya. Maka, di balairung inilah menjadi saksi pertemuan mereka lalu menyelongkar segala musabab dan rahsia.

Tuanku,

Syahadan, sebaik sahaja Hang Tuah mengetahui akan niat sebenar Hang Jebat mengamuk dan mencipta angkara, maka Hang Tuah keberatan untuk membunuh Hang Jebat. Tahulah Hang Tuah bahawa Hang Jebat melakukan semua ini hanya semata-mata mahu menegakkan kebenaran yang telah dipesongkan oleh Patih Karma Vijaya semata-mata, bukanlah kerana mahu menuntut bela di atas kematian palsunya.

Namun, tahukah Tuanku bahawa Hang Jebat telah menyerahkan keris keramat Taming Sari milik Hang Tuah yang telah bertukar menjadi kepunyaannya kepada Hang Tuah dan meminta Hang Tuah menikamnya? Adapun, ini adalah pengorbanan terbesar Hang Jebat kerana beliau sedia maklum, seandainya Hang Tuah mengingkari titah Duli Tuanku untuk membunuh Hang Jebat, maka celakalah bahananya. Adapun, Hang Tuah keberatan untuk menikam Hang Jebat Tuanku. Lalu, dengan tidak semena-mena, Hang Jebat telah menikam dirinya sendiri dengan menggunakan keris keramat kurniaan Maharaja Gusti Adipati itu.

Tuanku Yang Menggarhayui Bumi Melaka,

Tahukah Tuanku bahawa sebaik sahaja Hang Jebat menikam dirinya sendiri, Hang Tuah telah menyerahkan keris Taming Sari itu kepada hamba? Lalu, dengan gigil dan dedar, hamba menyambut keris yang masih menitis darah Hang Jebat dengan penuh kesima dan debar.

Lalu, pintalah Hang Tuah kepada patik agar menyimpan keris Taming Sari itu kerana baginya keris bertuah itu sudah tidak memberikan apa-apa makna lagi kepada dirinya. Maka, patik telah mencipta keris pendua yang sangat mirip dengan keris Taming Sari lalu telah hamba persembahkan kepada Datuk Bendahara untuk dipersembahkan pula kepada Duli Tuanku.

Biarlah hamba larikan keris yang bertuah ini andai adanya ia hanyalah mencipta segaris luka yang lara. Biarlah hamba peramkan kurnian agung ini, andai ia menjadi racun jiwa buat seluruh peradaban kita. Biarlah hamba cuci keji sejarahnya agar suci merah darah Jebat yang pernah menitis di tujuh loknya.

Kerana keadilan tidak akan pernah ditegakkan andai tiada pesuruh yang cuba mencabar kepalsuannya. Seperti kata bijak pandai kita, andai roboh kota Melaka, papan di Jawa hamba dirikan, andai sungguh bagai dikata, usah bacul keadilan dijulangkan.

Menjunjung titah, daripada patik pacal yang hina, Hang Kasturi.

Dang Suria menggulung semula warkah yang dinukilankan oleh Hang Kasturi itu semolek-moleknya. Jiwanya masih gusar dan gundah laksana diberati dacing pertimbangan yang payah. Lewat pesanan Hang Kasturi sebelum pergi tadi, bagaikan terngiang-ngiang di indera dengarnya.

"Adinda, jagalah warkah ini sebaik mungkin kerana ia membabitkan maruah dan harga bangsa kita. Andai ajal kanda sudah diseru usianya, kepingin sekali kanda berharap agar warkah ini hanyalah menjadi rahsia kanda, adinda, Datuk Bendahara dan Baginda Sultan sahaja."

Dang Suria melipat surat itu dan menyimpannya dalam kotak berwarna kuning keemasan. Demi kasih, warkah ini sesungguhnya begitu berharga. Jika pecah di mulut, sudah pasti yang menanti adalah padah dan kemelut.

Ketika ini, alur Sungai Melaka kelihatan perlahan mengalir. Kematian Hang Jebat seperti mengiringi kesuraman suasana di bumi Melaka. Bumi Melaka seperti tidak merelakan pahlawan pejuang bangsa itu pergi. Sejurus itu, datang Datuk Bendahara menghampirinya. Sebaik menyerahkan warkah itu dan Datuk Bendahara lantas membacanya, suasana disihir hening sejeda.

Datuk Bendahara memegang keris Taming Sari yang kemas di bekungnya dengan erat seperti menahan geram. Lalu, dengan sekali perintah, dikerah para hulubalangnya untuk menyiapkan pinisi di tebing Sungai Melaka.

"Ke mana kita, Datuk?" Tanya pemudik pinisi itu.

"Ke Hilir Perak. Kita perlu lekas mudik ke sana!" ujar Datuk Bendahara sambil mendakap keris Taming Sari palsu yang tersisip di bekungnya.

Info

MF KENCANA nama pena bagi Mohd Fairuz Mohd Padoli terbabit dalam genre penulisan cerpen, skrip drama TV dan novel. Anak didik Sasterawan, Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Faisal Tehrani. Peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2006 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang juga ahli Persatuan Penulis Johor (PPJ) yang memegang Ijazah Penulisan Kreatif, Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sudah menghasilkan novel Gerhana, Harta Harun dan Ghaib Ke Kemboja. Bekerja sebagai penulis skrip drama TV sepenuh masa dan antara skrip drama yang dihasilkan ialah Renjis (Astro Ria), Cuci Cuci Service (RTM 2), Penggali (TV 3). Boleh dihubungi di www.mfkencana.com atau e-mel fairuz@mfkencana.com.

No comments: