Pages

Sunday, October 26, 2014

Hijrah

Oleh Nazri Hussein

AKU tidak lagi mendengar gema yang dahsyat itu. Tidak juga ngauman kejam yang bertingkah dan merodak ke segenap urat saraf. Segala-galanya telah berlalu seperti debur angin berarak ke seluruh ruang angkasa jernih.

Sesungguhnya aku begitu rindu untuk mengecap suasana yang damai. Barangkali hampir berbulan lamanya, ketenangan dan keharmonian seperti ini telah hilang dan lenyap dari sejarah hidupku, juga sejarah tanah air yang tercinta.

Dan keceriaan inilah yang sekian lama menguntum dalam mimpiku, membuatkan seluruh perasaanku dilanda keharuan yang amat tidak tertahan.

Benarlah, aku bagaikan berada di daerah yang dibancuh seribu keheningan. Namun, ketenangan yang baru kunikmati itu gagal membendung emosiku daripada melupakan irama kejam yang bertingkah-tingkah memecah gegendang telinga pada setiap saat, apabila ingatan kembali menerpa.

Masih jelas di cupingku bunyi mortar dan keriuhan manusia terdera yang menagih simpati, setiap kali aku membuka mata menjelang Subuh. Deringan mesingan dan rifel yang sentiasa bergema masih menikam naluriku. Sayup- sayup irama yang ngeri dan kejam itu lenyap berganti desiran angin lembut yang kembali merimas tubuh kerdilku.

Ledakan sesekali memecah kesunyian pinggir pekan kecil di tebing Sungai Sava yang menyimpan sejuta rahsia kehidupan. Penghuninya masih terpahat kukuh di sanubari bersama gegaran hebat yang bertalu-talu menimpa sebahagian daerah kecil di pesisir tebing Tisa yang hampir runtuh.

Segala-galanya telah berlalu dalam hidupku. Samalah seperti tompok- tompok putih yang kujelah di langit yang terbuka.

Kini, aku tidak akan menatap pemandangan yang maha kejam itu. Juga tidak akan kedengaran gemersik peluru yang berhamburan meratah mangsanya. Seolah-olah tidak memahami langsung percaturan hidup ini.

Sungguh, abah sendiri yang merelakan pemergianku ini yang memisahkan aku daripada kehidupan yang serba menakutkan itu. Meskipun aku telah bertekad untuk bersama-sama abah meneruskan sisa perjuangan, namun abah, ah abah yang berwajah tenang itu, mahukan aku meneruskan kehidupan bagi menyambung warisan. Keluarga kami hanya tinggal kami berdua - aku dan abah.

"Sesungguhnya kau belum bersedia untuk menghadapi suasana yang serba menyeksakan ini. Perjuangan untuk hidup adalah sesuatu yang lebih penting, bagimu. Pergilah anakku. Abah akan tetap mendoakan keselamatanmu di negara asing itu. Apabila segala-galanya telah selesai, kembalilah. Abah akan menunggu kepulanganmu. Kita akan dirikan semula rumah kita yang telah musnah itu."

"Tapi, saya ingin bersama-sama abah. Bersama-sama mempertahankan kampung ini dari serangan pengganas yang kejam itu."

Demikian aku menatap mata bening abah. Seribu simpati yang tidak terungkap. Kalimah yang pejal itu seperti masih segar di cupingku.

"Meski semangat kau begitu tinggi, tetapi usiamu masih belum mengizinkan. Abah mahu kau terus menyambungkan warisan keluarga kita. Abah yakin kita akan bertemu semula nanti..."

Abah memeluk erat tubuhku dengan penuh mesra sewaktu aku bersama rakan- rakan yang seusia denganku. Kami kemudian di bawa menaiki sebuah trak panjang yang membawaku jauh dari perkampungan kecil yang hampir musnah itu ke sebuah daerah yang berhampiran. Selepas itu barulah aku dihantar ke sebuah negara asing yang aku sendiri tidak pasti tempatnya di mana.

Meskipun dalam keadaan yang amat berat, aku harus akur pada perpisahan. Aku tidak ketahui apakah aku akan bertemu kembali dengan abah yang tercinta. Namun, dari raut wajah abah yang bening itu seolah-olah aku dapat merasakan itulah pertemuan terakhirku dengan abah.

Barangkali yang ku bayangkan ketika itu ialah sekawan merpati putih yang mengibarkan sayapnya di ruang angkasa yang berjelaga dengan kabut hitam yang memenuhi sekitar taman yang terbakar itu. Tidak kuketahui bagaimana segalagalanya ini boleh bermula. Cuma kuingat pada suatu pagi yang cerah, pada bulan Mac yang hening itu aku sedang memancing di pinggir tebing sungai Sava yang mengalir tenang ke utara bersama-sama Sara dan Vinna, adik-adikku yang nakal.

Tiba-tiba telingaku menangkap bedilan kuat yang bertalu-talu menghujani perkampungan kecil itu. Serentak itu, api menjulang marak membakar seluruh kawasan tebing sungai Sava. Kepulan asap hitam meruap ke udara bersama lolongan dan teriakan nyaring dan pilu seiring deringan keras yang bertalu-talu muncul dari muncung kereta perisai bersama manusia angkuh bertopi besi yang entah dari mana datangnya melilau memburu mangsa.

Aku tertiarap dihempap seketul kerikil keras yang entah dari mana melayang. Bunyi dentuman bom yang bertingkah bersama tembakan yang bergema memecah corong pendengaranku. Naluriku mula diburu persoalan. Apakah bala yang tiba-tiba menimpa ini? Bencana apakah yang maha dahsyat ini? Tidak kuketahui bagaimana keadaan yang menimpa kedua-dua adik kecilku.

Oh Tuhan, selamatkanlah mereka dari malapetaka yang menakutkan ini. Demikian getus perasaan kecilku berbisik dalam keadaan separuh sedar. Untuk beberapa ketika kemudiannya, aku tidak mendengar apa-apa lagi. Apabila segalagalanya mula menyepi dan bunyi dentuman senapang sudah tidak kedengaran lagi, aku menemui kedua-dua tubuh adik-adikku yang tertiarap di bawah runtuhan batu-batu pejal.

Tompok-tompok darah pekat menembusi liang-liang tubuh kerdil yang kaku dan kejang. Barangkali tangisanlah yang mampu mengubat hati yang luluh dan seluruh perasaanku yang terbakar ketika itu.

Tidak berapa jauh dari runtuhan rumah kecilku kulihat abah memapah sekujur tubuh yang dibasahi darah merah. Anehnya, aku tidak menangis atau meratap hiba ketika jasad ibu dan kedua-dua adik kecilku dikuburkan dalam satu liang bersama beberapa jiranku yang turut menjadi mangsa kekejaman yang sungguh tidak aku mengerti.

Tetapi, dari getusan perasaan halusku, tiba-tiba muncul kebencian yang mendadak - ya, kesumat yang membara menjadi dendam yang tidak berkesudahan.

Beberapa lama ingatan kejam itu terus mengganggui emosi dan naluriku sehinggalah aku dihantar ke sebuah perkhemahan yang menempatkan mangsa peperangaan di tengah-tengah padang luas yang kontang itu. Sungguh, saat itu aku begitu merindui belaian manja ibu dan kemesraan adik-adikku yang tidak akan kutemui lagi di dunia ini.

Aku masih menatap garis awan di sekeliling sambil melemparkan pandangan jauh ke ruang angkasa. Aku melihat damai bersama deruan angin, maka meruntunlah emosi dan perasaanku. Merpati putih kubayangkan mengibarkan sayap emasnya dan terbang menjelahi kabus tebal dan garis langit ke segenap alam.

"Abah dan rakan-rakan akan terus berjuang mempertahankan tanah kelahiran dari keangkuhan manusia yang biadap. Demi ibu dan adik-adikmu, abah berjanji akan membebaskan tanah air ini, meskipun abah terpaksa mempertaruhkan nyawa sendiri."

Demikian bisik abah kepadaku sewaktu kali pertama abah melawatku di perkhemahan yang jaraknya beberapa kilometer dari medan peperangan di pinggir Sungai Sava itu sambil menggenggam erat rifel M16 yang menjadi teman akrabnya yang paling setia. Namun, selepas itu abah tidak munculmuncul lagi menjengukku di khemah pelarian yang jauh dari pekan kecil yang hampir ranap itu.

Berhari-hari aku menunggu kehadiran abah dengan perasaan resah bercampur bimbang. Apakah abah juga menurut jejak ibu dan kedua-dua adikku. Segala- galanya bersarang dalam fikiranku membuatkan aku diacah perasaan yang tidak menentu. Sesungguhnya dalam saat seperti ini aku masih memerlukan abah di sisiku.

Kadang-kadang berhari-hari aku menanti abah di tepi padang luas yang hangus itu. Aku lebih rela berdiri di tengah hangat mentari berjam-jam lamanya hanya kerana kerinduan terhadap abah. Ketika orang lain sedang berebut-rebut untuk mendapatkan sebuku roti yang dibawa oleh sebuah trak kecil yang berlambang warna merah itu aku terus setia menanti abah. Wajah abah terus menguasai sanubari ketika itu. Aku yakin abah akan datang melawatku di perkhemahan ini.

Namun, benarlah dugaanku akhirnya abah yang lengkap berpakaian tentera muncul di suatu pagi yang tenteram. Aku tidak dapat menggambarkan perasaan gembira dan haruku apabila bertemu abah. Tetapi, abah kelihatan lemah dan tidak berdaya. Beberapa lilitan kain putih membaluti dua lengannya yang sasa. Rifel besi yang bergerigis masih terlekat di bahu kirinya. Abah seperti cuba menyembunyikan kesakitan dan penderitaan yang dialaminya.

"Abah agak letih. Barangkali beberapa minggu ini abah kurang tidur..." kata abah sambil membelai rambutku. "Namun, abah gembira dapat bertemu dengan anak abah. Kamu tentu ingin tahu kain putih di lengan abah ini," sambung abah seolah-olah dia mengetahui apa yang tersirat di fikiranku ketika itu.

"Kampung kita diserang lagi. Kali ini lebih hebat dan dahsyat daripada serangan dulu yang telah membunuh ibu dan kedua-dua adikmu. Abah dan rakan-rakan abah cuba melawan dengan segala kelengkapan yang ada. Namun, serangan yang bertubi-tubi dari senjata mereka yang lebih canggih membuatkan pasukan abah terpaksa mengalah. Dalam satu serangan mengejut pasukan abah diserang dengan hebat. Ramai rakan abah yang terbunuh kerana belum bersedia. Abah bernasib baik, hanya cedera di lengan. Tetapi abah tetap yakin, mereka tidak akan dapat menakluki tanah air kita.

"Janganlah kamu bimbangkan keselamatan abah. Abah masih mampu berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Abah pasti kita akan menang. Dan abah dengar tidak lama lagi bantuan ketenteraan dari negara luar akan datang untuk membantu perjuangan kita," tegas abah bersungguh-sungguh.

Petang itu, sebelum berangkat untuk meneruskan perjuangan mempertahankan tanah air, abah sempat membawaku menziarahi kubur ibu dan adik-adikku, Sara dan Vinna yang bersemadi di kawasan pusara pinggir pekan Tisa yang sentiasa bertambah dari sehari ke sehari. Kami berteleku di batu nisan sambil membaca Fatihah seratus kali. Tidak disedari matahari sudah berlabuh di langit senja.

Genap sebulan aku mendiami khemah yang berceracak di tengah padang luas yang menempatkan mangsa pelarian perang yang kehilangan rumah tangga, keluarga, sanak-saudara dan tanah kelahiran. Dan genap sebulan jugalah aku berpisah dengan ibu dan adik-adikku. Barangkali airmatalah yang menjadi sahabat paling setia yang mampu menterjemahkan kesedihan dan penderitaanku. Yang pasti, angkara peranglah yang telah memusnahkan keharmonian hidup yang pernah dikecapi.

Apakah ini suatu malapetaka yang diturunkan Allah untuk menguji kesabaran manusia? Atau mungkinkah ini suatu bukti Allah begitu murka terhadap perlakuan hambatnya? Aku cuba memahami apa yang berlaku, namun setiap kali fikiranku mendesak, aku dihantui kebuntuan, maka gagallah aku mencari jawapan yang sebenar. Takdir, barangkali! Itulah yang aku temui dalam pencarianku selama ini. Mungkinkah ada rahmat dan hikmah yang tersembunyi? Aku memujuk perasaanku sendiri setelah puas memikirkan nasib yang menimpa warga di tanah air.

Aku masih berteleku di tepi khemah yang terletak di antara bukitbukit gersang sambil menghadap asap tebal yang tiba-tiba saja berkepul di sebelah utara, di kampungku di pinggir Sungai Sava.

"Bala!"

"Bencana!"

"Pembunuhan! Kekejaman! Kehancuran!"

Suara-suara keras itu tiba-tiba bergelodak, nyaring, memecah keheningan di kawasan perkhemahan. Seorang lelaki tua menerpa di tengah-tengah padang rumput yang kontang. Dia berdiri di depan khalayak pelarian perang yang masih terpaku melihat gumpalan asap hitam yang bercempera di udara.

"Bencana. Ya, bencana yang menimpa ialah amaran dan peringatan kepada bangsa kita yang ternoda ini. Kita telah lupa pada janji Allah. Ya, kita melupai sejarah dan tamadun bangsa sendiri. Inilah azab dan bencana dari Allah. Seperti umat Nabi Nuh ditimpa bencana banjir dahsyat yang memusnahkan segala-galanya! Seperti kaum Bani Israel yang mengingkari suruhan Tuhan. Memang selama ini kita menjadi bangsa yang pelupa dan mungkar.

"Kita melupakan segala perintah Allah, kita melanggar segala tegahan dan larangannya. Kita berlumba-lumba membina tempat ibadat yang tersergam indah, tetapi berapa ramaikah yang memakmurkannya dengan jamaah dan amal ibadah. Kita yang mengaku beriman kepada Allah, tetapi wahyu Tuhan dijadikan perhiasan yang tergantung di dinding rumah, atau sekadar memenuhi koleksi rak buku atau almari antik. Jauh sekali untuk menghiaskan minda dan sukma dengan surah Allah."

"Anak-anak gadis kita, kita biarkan mendedahkan tubuh badan dan aurat dengan leluasa. Malah, kita biarkan mereka bercampur bebas tanpa ada batasan hukum hingga berleluasanya perkara munkar dan keji. Berapa ramaikah anak-anak remaja kita yang memilih perkongsian hidup tanpa ikatan pernikahan yang sah di sisi agama?

"Lihatlah, lihatlah segala kemusnahan, kehancuran dan kematian yang menimpa bumi ini. Angkara siapa? Bukankah kita yang menentukannya. Kesilapan kitalah yang merelakan pembunuhan dan kematian saudara kita oleh manusia berwajah syaitan itu.

"Lihatlah, setelah bencana dahsyat ini menimpa tanah air, barulah kita tersedar dari mimpi buruk. Kita terbangun dari khayalan masa, keseronokan duniawi dan kemanisan hidup. Kini, kita mula kembali memenuhi ruang solat dan kembali mengalunkan Kalamullah yang sekian lama kita lupakan. Kita teguhkan jamiatul Islamiah dan ikhwanul Muslimin yang hampir roboh.

"Bukankah itu rahmat yang tersembunyi? Bukankah kemusnahan dan kehancuran ini telah mengembalikan kita kepada ad-din dan garis mustaqim? Apakah ini sebenarnya masih belum cukup, saudara-saudaraku..." teriak lelaki tua berjanggut itu mengakhiri khutbah panjangnya.

Beberapa penghuni khemah di tengah padang pasir yang berkerikil itu saling berpandang-pandangan, seolah-olah baru bangkit dari kesedaran yang panjang.

Benarlah, aku bagaikan menyetujui kata-kata lelaki berserban itu. Seingatku, pekan kecil ini sendiri memiliki dua buah masjid besar yang tersergam cantik dibina oleh pemerintah untuk tujuan beramal dan menunaikan tanggungjawab kepada khalik.

Tetapi walaupun suara azan sentiasa berkumandang setiap kali tiba waktu solat, amat sedikit penghuninya yang melangkah ke masjid menyahut senang mengunjungi pawagam, tempat hiburan dan kelab sosial yang bertaburan di pekan kecil di pinggir Sungai Sava.

Segala-galanya masih jelas di ingatanku. Aku seolah-olah telah menemui jawapan pada setiap persoalan yang kerap bergolak di tangkai perasaanku.

Beberapa bulan dari sekarang musim sejuk akan melanda kawasan padang luas yang kontang dan berjelaga itu. Sudah pasti penghuni khemah pelarian ini akan menghadapi satu lagi bencana yang lebih hebat - kekurangan bekalan makanan.

Kami tidak akan dapat mengharapkan lagi bantuan makanan yang dibawa oleh trak yang berlambang warna merah itu. Manusia bertopi merah itu tentu tidak dapat menghantar bantuan makanan yang dibawa oleh terak yang berlambang warna merah itu. Manusia bertopi merah itu tentu tidak dapat menghantar bantuan makanan dan ubatan ke khemah yang terletak antara dua banjaran gunung yang diliputi kabus ini.

Keadaan yang meresahkan ini segera mengingatkan aku kepada ibu. Betapa pada saat ini ibu pasti menghadiahkan baju sejuk yang diperbuat daripada bulu kambing. Barangkali yang kubayangkan adalah kegembiraan dan keriangan Sara dan Vinna setiap kali menanti kehadiran titisan salji yang berkepul di ruang udara. Sudah tentu titisan salji yang meluruh adalah derai air mataku yang kerap gugur apabila ingatan itu berulangkali datang.

"Peperangan tidak akan berakhir. Kemusnahan tidak akan berakhir. Kematian dan penderitaan akan terus berpanjangan. Peperangan tidak akan tamat di sini. Bumi ini akan sentiasa bermandikan darah. Kehidupan sudah tidak menjanjikan apa-apa kebahagiaan dan kemakmuran. Kita akan berhijrah meninggalkan tanah air. Kita akan berhijrah ke sebuah dunia baru yang lebih indah dan tenteram," jelas lelaki tua berserban dari luar khemah pelarian, sewaktu mereka menatap kepulan asap hitam yang berarak mengiringi awan biru.

Bunyi ledakan peluru bertimpatimpa memecah binggit kawasan kontang itu. Entah kerana apa beberapa hari yang berikutnya, aku mendapat tahu khemah yang menempatkan pelarian perang ini akan ditutup. Kami akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil untuk dihantar ke beberapa negara asing yang bakal menerima kami sebagai pelarian perang.

Tidak dapat aku pastikan di negara manakah aku akan ditempatkan untuk meneruskan kehidupan ini. Cuma yang aku tahu melalui beberapa helai risalah yang diedarkan kepadaku, aku akan dihantar ke sebuah negara di sebelah timur. Beberapa kali aku cuba menyebut nama negara tersebut: M-A- L-E-Z-I-A. Satu bunyi yang agak asing. Meskipun kurasakan sebutan lidahku tidak tepat namun aku yakin itulah tanah air yang bakal kudiami.

Kini aku meneruskan hidup di tanah air yang amat asing ini. Tetapi aku seharusnya bersyukur kerana dapat menjalani satu kehidupan yang lebih tenteram dan harmoni, jauh dari sengketa peperangan yang menakutkan. Yang nyata, negara `Malezia' ini mengamalkan cara hidup yang harmoni, saling bekerjasama dan faham-memahami antara satu sama lain, meski negara kecil ini mempunyai rakyat dan masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan adat kebudayaan yang amat berbeza. Inilah yang amat menakjubkan.

Malah, aku kini dapati rakyat `Malezia' sentiasa menikmati keharmonian dan keamanan, sudah beratus-ratus tahun lamanya.

Kini aku masih melihat dengan awan yang memutih di garisan langit yang cerah, mengembalikan aku semula ke saat aku mendengar ledakan nyaring dan ngauman yang bertingkah-tingkah seiring dengan teriakan pilu di pinggir Sungai Sava yang menikam-nikam ke seluruh emosi dan perasaan kecilku.

No comments: