Pages

Tuesday, October 14, 2014

Caturangga

Oleh Amir Hamzah Kadir

DI ruang istana yang adem itu, dia berdiri keseorangan, tanpa seorangpun yang akan mengerti sesuatu yang ada dalam fikirannya. Fikirannya yang menjadi semakin bolak-balik menambah beban yang sedia ditanggung. Lalu dia bergerak di ruang istana yang semakin adem dan sunyi sepi menuju singgahsana yang amat dibanggakan. Singgahsana yang diperbuat daripada gading gajah itu diusap berulang kali dengan lembut. Kadang-kadang terlintas dalam fikirannya mengapa gajah dibunuh. Adakah kerana kulitnya yang agak hitam, iaitu warna yang diharamkan di negaranya? Semakin perkara itu bermain dalam fikirannya, semakin berat kepalanya memikirkan perkara yang tidak akan selesai.

Lalu dia berdiri mengadap jendela kaca. Dengan kasar tangannya menguak langsir yang menghalang pandangan matanya. Dilepaskan pandangan matanya ke tengah lautan dan dia sedaya-upaya mencari ketenangan. Air laut yang begitu ganas gagal sama sekali untuk membalikkan sinaran bulan purnama. Sesekali camar malam melintas di bawah sinaran bulan. Dirinya benar-benar bingung mengapa setiap kali berlakunya yuda, dia ditinggalkan keseorangan tanpa mengetahui apa yang berlaku.

Seperti biasa, isterinya yang akan mengepalai bala tentera. Isterinya sudah pasti menggunakan pertahanan Petroff yang sering dibangga-banggakan dan seingatnya belum pernah isterinya mengalami kekalahan. Setiap kali dia mengajukan soalan mengapa dia diketepikan setiap kali berlaku yuda, Ketua Agama I akan mengatakan itu adalah tradisi yang tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapapun, termasuk dirinya sendiri.

"Aah...bacul!" Itu yang sering terkeluar dari mulutnya. Sering dia bermimpi rakyatnya beramai-ramai menjeritkan kata-kata itu. Setiap kali berita gembira datang daripada isterinya, semakin kuat suara rakyatnya menjerit.

Bacul!! Bacul!! Bacul!!

Kini ruang istana itu semakin sepi kerana Maharani Putih Kembangan sudah berminggu di medan yuda. Tiada sebarang berita yang diterima. Setiap kali dia menghantar utusan, orang itu akan hilang bagai ditelan bumi ataupun mungkin dijadikan makanan Nantaboga. Bagai ada satu rahsia yang menjadi tembok pemisah di antara dirinya dengan maharani. Rahsia itu menjadikan dirinya semakin bacul.

(Pergerakan e4e5, Nf3Nf6, d4Ne4,Bd3d5)

Kesunyian ruang istana itu diganggu oleh bunyi derapan sepatu. Gangguan itu menyedarkan dirinya dari lamunan yang terlalu kerap datangnya. Derapan sepatu itu perlahan-lahan dan satu-satu. Bunyi derapan itu dapat menggambarkan perwatakan tuannya. Sudah pasti tenang dan berhati-hati. Bunyi derapan itu terhenti dan sesaat kemudian terdengar ketukan pintu. Tanpa dipelawa orang itu terus masuk ke ruang istana yang besar.

"Ampun tuanku! Patik mengadap membawa khabar gembira. Maharani baru berangkat dari medan yuda. Negara kita memperolehi kemenangan lagi dan maharani membawa..."

"Cukup! Di mana maharani sekarang?"

"Di Kota Hijau, tuanku."

"Menang..."

Suara itu bagai tidak terdengar oleh telinganya sendiri. Dia hairan mengapa maharani perlu ke Kota Hijau dan tidak mengadapnya terlebih dahulu. Mengapa isterinya tidak menyampaikan berita itu sendiri? Dia mula teringat akan perkataan bacul. Fikirannya kembali orak-arik.

Memang benar, setiap kali maharani pulang dari medan yuda, dia akan bawa bersama hadiah yang bukan-bukan tetapi hebat. Seingat-ingatnya kali terakhir maharani menang dalam yuda, dibawanya pulang sebutir mutiara hitam. Mutiara itu disimpannya ke dalam kotak berbaldu putih. Terlalu istimewa. Yang pasti, setiap kali bulan purnama, mutiara itu akan bersinar. Maharani pula akan bertambah rakus dalam pelukannya. Namun tanda tanya tetap ada, mengapa keluasan negaranya tidak juga berubah?

"Siapkan kelengkapan sekarang. Beta hendak berangkat ke Kota Hijau!"

"Ampun tuanku."

Ketua Agama I sudah memahami tugasnya. Sudah tiga maharaja berganti tetapi dia masih bertugas sebagai ketua agama. Dia tahu apa kehendak mereka. Tetapi kali ini orang yang dihadapinya bukan seperti yang dulu- dulu. Ada kelainan, ada sifat memberontak. Tidak tenang dalam menghadapi sesuatu keadaan dan yang pasti orang yang sedang dihadapinya ingin memecah satu tradisi.

(Pergerakan Ne5Nd7, Nd7Bd7, OOQh4, c4Nf6, Qe2+Be7)

Setelah sampai di kaki tangga Kota Hijau, Maharaja Seri Senandi mengatur langkah menuju ke bilik peraduan utama. Ingin benar dia bertemu dengan isterinya. Ada sesuatu yang ingin dia ketahui, hadiah ataupun jawapan yang belum terjawab hingga sekarang. Langkahnya jarang yang tergesa. Namun dalam fikirannya tetap ada tanda tanya walaupun dia berbangga dengan kejayaan itu. Kadang-kadang timbul juga perasaan cemburu. Bacul? Perkataan itu menjadi langkahnya semakin tergesa.

(Pergerakan cdNd5, Be4Bc6, Nc3OOO)

Semenjak berabad lagi permusuhan itu berlanjutan. Segalanya bermula apabila maharaja negara itu memperolehi sepasang anak kembar yang berlainan warna kulit dan berlainan sifat. Seorang berkulit putih yang terlalu ego dan angkuh sementara seorang lagi berkulit hitam legam, tetapi terlalu berterus terang. Sudah menjadi lumrah alam, yang hitam akan dihina dan ditindas. Ini menyebabkan putera kembar berkulit hitam mula mencari jalan keluar dengan memberontak dan dari perjuangan itu berjaya merebut separuh dari tanah jajahan dan menubuhkan kerajaan sendiri di utara.

Pergeseran terus memuncak apabila semakin ramai pejuang kemanusiaan melarikan diri ke utara. Ahli-ahli politik yang merasakan diri tidak selamat dan tidak diperlukan turut mengambil langkah yang sama. Malah pergeseran ini semakin mendapat perhatian dunia dan dunia mula mengakui perjuangan negara di utara.

"Adinda!" Jerit Maharaja Seri Senandi ketika memasuki kamar utama. Dayang-dayang yang baru menyedari kehadiran maharaja mereka mengangkat sembah.

Maharani yang sedang begitu asyik bersiram dalam kolam kasturi bercampur madu terkejut dengan kehadiran suaminya. Maharani bingkas naik dari kolam dan memberi sembah. Sejurus kemudian datang dayang-dayang membalut tubuh maharani dengan sutera putih berkilat. Namun mata maharani tidak berupaya menentang mata suaminya. Dia dapat merasakan dirinya bersalah. Maharaja dapat merasakan tubuh isterinya amat letih, tetapi dari sinar matanya tadi ada tanda kegembiraan. Dia bagai biasa melihat tanda kegembiraan itu, terutamanya setiap kali bersama Dang Warti.

Tanpa menghiraukan reaksi isterinya, maharaja terus memeluk erat untuk melepaskan perasaan rindunya yang selama ini membaluti dirinya. Dalam pada itu maharaja dapat menghidu sejenis bauan yang pernah dihidunya sebelum ini. Jelas bau itu datang dari tubuh isterinya sendiri. Mungkin juga campuran kasturi dan madu tadi tidak tepat dan melahirkan bau itu. Seperti selalunya dia akan mencari hadiah yang dibawa pulang oleh isterinya. Hatinya terlalu ingin untuk mengetahui hadiah itu. Tetapi kali ini kelakuan isterinya berbeza sekali. Isterinya langsung tidak menunjukkan minat untuk bercerita mengenai hadiah yang diperolehi dari medan yuda.

"Ampun tuanku. Maafkan adinda kerana kali ini walaupun negara kita telah menang tetapi hakikatnya adinda telah tewas. Adinda telah kehilangan hadiah pemberian kekanda yang paling bermakna dalam yuda kali ini," jelas maharani sambil matanya merenung ke arah suaminya. Ternyata sekarang maharani baru mendapat keyakinan untuk merenung mata suaminya. Mata itulah yang membuatkan suaminya gila bayang dulu dan mata itulah juga yang telah berjaya menyimpan segala rahsia yang selama ini berlaku di medan yuda.

"Si Janggi Kerana sudah mati. Kuda itu tewas dalam yuda. Ampunkan adinda, kekanda." Maharani tidak tahu sama ada matanya kali ini dapat menipu. Dia terpaksa tunduk!

(Pergerakan Qf3Nc3, Bc6Ne2, Qe2bc, Be3Rd6)

Maharaja Seri Senandi berasa begitu pelik melihat isterinya menitis air mata. Seorang yang mendapat penghormatan mengepalai bala tentera menangis kerana seekor kuda! Namun hatinya tetap tersentuh kerana Si Janggi begitu bermakna dan kematian kuda itu adalah kematian lambang cintanya. Kuda jantan itulah hadiah pada hari perkahwinan mereka. Walaupun masih banyak lagi kuda putih di ladang cuma tinggal seekor lagi kuda tunggangan diraja - itupun kuda betina.

Di satu sudut, kedua-dua tokoh agama mendengar perbualan itu. Ketua Agama I dapat merasakan bahawa Ketua Agama II tidak begitu memberi perhatian terhadap lakonan yang sedang berlaku di hadapan mata mereka itu. Ketua Agama I masih tidak percaya bagaimana anak muridnya yang paling ahmak dan nakal dipilih menjadi pembantunya. Malah, sikapnya yang kejemawaan juga menyakitkan hatinya. Tetapi anak murid itu juga penyimpan rahsia yang terbaik yang pernah dijumpainya. Namun dia tidak dapat membantah walaupun dia mempunyai ramai lagi calon yang lebih sesuai kerana itu adalah pilihan maharani.

Maharani semakin galak menangis, tetapi Maharaja Seri Senandi dapat merasakan isterinya melahirkan tangisan pura-pura. Dia bagai dapat merasakan kepura-puraan itu. Siapa yang percaya dengan tangisan seorang perempuan terutamanya apabila perempuan itu mula menimbulkan keraguan. Semua itu bermain dalam fikirannya.

"Jadi adinda pulang dengan kuda orang dungu itu?" Katanya sambil menunding ke arah Ketua Agama II. Ketua Agama I terasa ingin ketawa sekuat-kuat hatinya, tetapi memandangkan maharaja dan maharani ada di depan mata, dia tidak melangsungkan hajat itu. Ketua Agama II tertunduk bagai menahan sesuatu. Mukanya merah.

"Adinda pulang dengan kuda Samarkand. Hasil rampasan perang. Jinak dan bertenaga!" Bagi maharani kuda itu amat bermakna dan hanya Ketua Agama II yang mengetahui.

"Baiklah, beta mahu esok pagi kuda itu disembelih dan berikan dagingnya kepada anjing pengawal. Beta mahu si dungu itu melakukan tugas ini."

Reaksi suaminya itu dirasakan bagai satu ledakan gunung berapi dalam jiwanya. Maharani tidak dapat menahan perasaan dan terus berlari ke peraduan. Baju sutera yang lembut dan membaluti tubuh maharani perlahan- lahan jatuh berterbangan ke lantai. Hati maharani benar-benar hancur. Ketua Agama I hanya mampu menjatuhkan pandangan matanya dari memandang tubuh maharani yang tidak berbalut dan Ketua Agama II pula dapat merasakan dirinya sudah dijatuhkan beban yang amat berat. Ketua Agama II tidak pasti adakah sudah sampai waktunya dia menjadi seorang agitator.

Maharaja dapat merasakan dirinya telah membuat satu keputusan yang amat bijak. Satu keputusan yang dapat mempertahankan maruahnya. Biar kuda hitam itu menjadi saksi bahawa dirinya benar-benar ingin memberontak. Dia ingin melepaskan dirinya dari tembok kota yang mengepungnya dan berhadapan dengan keturunan si kembar hitam. Dia ingin membuktikan kepada dunia bahawa dirinya seorang yang agung dan bukan bacul seperti yang diteriakkan oleh rakyatnya atau mungkin oleh isterinya. Selama ini dia terlalu mengikut arahan daripada Ketua Agama I yang amat dihormati. Kadang-kadang dia berasa khuatir untuk melanggar wasiat orang tuanya. Namun begitu, untuk melepaskan seorang isteri menyelesaikan masalah negara adalah perkara yang melibatkan soal maruah. Maruahnya sebagai seorang lelaki.

Apabila dia memikirkan perkara itu terlalu lama, dia seolah-olah dapat merasakan dirinya diketawakan oleh rakyat jelata. Lalu dia menaruh syak wasangka terhadap bapanya. Adakah bapanya juga bacul seperti dirinya?

(Pergerakan Qa6Kd7, Rac1Rg6, g3Qe4)

"Kekanda juga mesti menyembelih Dang Warti! Dia juga hitam, malah seorang hamba. Hitam dan hamba seperti kuda Samarkand." Isterinya terus menjerit dalam tangisan dari atas katil.

Dang Warti? Hamba yang dibawa pulang oleh isterinya. Semestinya tidak boleh! Dang Wartilah tempat dia melepaskan perasaan rindu selama ini setiap kali isterinya keluar ke medan yuda. Walaupun dia hitam dan dari keturunan hamba, dia seorang yang lembut dan terlalu sopan. Kini dia memuji Dang Warti seperti isterinya memuji kuda Samarkand. Baru terlintas di dalam fikirannya bahawa sebentar tadi dia telah memuji bangsa yang paling dibenci.

Fikirannya terus melayang kepada peristiwa-peristiwa lampau. Dia ingin benar membebaskan peristiwa itu dari otaknya tetapi semakin kuat dia mencuba semakin terang peristiwa itu terbayang dalam fikirannya.

Maharaja Seri Senandi melangkah ke arah utara dan matanya merenung di dalam kegelapan malam melalui kaca jendela. Kini terlalu banyak rahsia antara dia dan isterinya. Fikirannya kembali mengingati bau dari badan isterinya, si Janggi yang malang, Samarkand yang akan disembelih dan Dang Warti yang penyayang. Perlahan-lahan dia menjatuhkan tubuhnya ke ranjang yang lembut dan berseri.

Maharaja Seri Senandi terjaga dari tidurnya apabila merasakan tubuhnya disentuh oleh tangan yang kasar. Ketua Agama I dengan wajah yang pucat menyatakan sesuatu.

"Apa kita diserang? Bangunkan maharani!"

"Maharani tiada, tuanku. Begitu juga si dungu itu."

Belum sempat dia bergerak, berdiri di hadapannya tiga tubuh. Dua daripadanya amat biasa dilihat walaupun tubuh-tubuh itu dilindungi oleh tiang besar di tengah-tengah kamar tidurnya. Tubuh isterinya dan si dungu, tetapi siapa pula seorang lagi. Susuk badannya begitu asing bagi diri maharaja.

"Si kembar hitam!"

Serta-merta dia menghidu bau yang pernah dihidu dari tubuh isterinya. Baunya terlalu kuat, malah memenuhi setiap inci kamar tidurnya. Isterinya tersenyum puas, sementara si dungu hanya memerhati Ketua Agama I dengan

(Pergerakan d5cd, Qb5+Kc8, Ba7Bd6)

"Kau tahu kedatanganku adalah untuk menyempurnakan kemusnahanmu. Sebelum ini aku telah memusnahkan cintamu. Kemudian si Janggi dan sekarang giliranmu. Aku puas kerana kemusnahanmu berdasarkan kecurangan orang yang paling kau sayangi dan kehormatanku terbalas atas sifat-sifatmu yang terlalu angkuh dan bacul!" Si kembar hitam benar-benar puas dan ketawa semahu-mahunya.

"Kau curang! Perempuan sundal..!" Dia tidak sempat menghabiskan kata- katanya apabila dia merasakan tubuhnya terangkat melepasi atap istana, melepasi pucuk-pucuk cemara. Lalu terlontar di sebuah kolong yang lembab dan berbau hanyir. Bersamanya Ketua Agama I hanya mengulangkan kata-kata - zindik.

(Pergerakan Qb8+Kd7)

Kini baru dia sedar mengapa selama ini isterinya sering keluar mengepalai tentera ke medan yuda. Mengapa negaranya tidak pernah mempunyai tanah jajahan walaupun isterinya menang. Selama ini isterinya telah mengaturkan pertemuan dengan si kembar hitam dan berasmara di medan yuda yang dicipta sendiri. Kata-kata bacul itu kini memang terbukti. Peranan si dungu memang tepat, seorang yang terlalu setia dan perahsia. Rahsia yang menjadi tembok pemisah sudah runtuh tetapi ia berlaku sewaktu dia sudah tidak punya apa-apa lagi.

Di istana ketika itu maharani kelihatan beriringan dengan si kembar hitam memasuki kamar peraduan utama.

"Adinda mahu dia hidup dalam kehinaan dan kalau boleh sembelih saja dan dagingnya khas untuk anjing pengawal diraja. Dang Warti, berikan kepada Ketua Agama yang baru semoga akan lahir satu generasi yang lebih setia dan pintar."

Malam itu, bulan purnama. Dalam kotak baldu, mutiara hitam bersinar seri. Di kandang tunggangan diraja, Samarkand bertambah galak!

Mereka benar-benar puas. Pertandingan kini sudah berakhir. Putih tewas lagi. Namun kekalahan ini kekalahan yang penuh kecurangan, penghinaan dan kemarahan. Terlalu sukar ditafsirkan. Kelihatan salah seorang peminat catur mengutip King dan Bishop yang terjatuh dalam longkang hanyir!

(Pergerakan Qh8)

No comments: