Oleh Buang Umar
ADA hentakan kaki tua yang membelah Lembah Ringat, bergema
Ringat!
Aku peka dadamu telah terdera.
Ringat!
Aku tahu udaramu tidak suci.
Ringat! AKU faham wajahmu mula sayu dan lesu. Aku mengerti segala-galanya, ketenangan yang sekian lama kau kecapi, dengan siulan kuang dan teriakan orang, kini kian pudar dan hambar. Keindahan fenomena pagi, flora dan fauna mula lesap dan lenyap sedikit demi sedikit. Udara nyaman sudah bercampur dan berbaur bersama dedebu yang berhamburan dan bertebaran di mana-mana pun, yang hinggap di celah-celahan dedaun yang segarbugar, yang hinggap di reranting kering yang melenting. Air sungai yang jernih, pun berubah wajah, kekuningan. Tidak ada lagi kelibat ikan sepat, toman atau pun seluang. Sebut apa saja jenisnya; jaau. Tidak ada. Sama sekali tidak.
Segala-galanya kerana habuk dedebu dari kilang yang baru dibina oleh Tauke Lau itulah. Kehadiran kilang itu di Lembah Ringat, itulah, yang menyebabkan keberangan di hati Sulun. Sulun sudah menghidu keburukan kilang itu di Lembah Ringat. Lihatlah tanamannya; sayur-sayurannya berhabuk di manamana pun. Lihatlah, air perigi yang ternganga di belakang rumahnya sudah tergenang dengan habuk papan yang kecoklatan. Semuanya musnah dan punah. Tidak dapat diselamatkan sedikit pun. Tidak dapat. Waima dipasang jaring di seluruh tanam-tanaman, di kawasan air perigi dan di sekitar barangan jemuran, sedikit pun tidak dapat menghalang dan melarang jutaan habuk coklat yang berlegar-legar itu saban waktu, tentu tidak dapat menyelesaikan masalahnya. Tidak ada apa yang boleh dilakukan. Tidak ada apa. Tapi Sulun pasti, cuma satu!
Hati Sulun mula diamuk kemarahan. Lariannya semakin deras. Di matanya terperangkap wajah Tauke Lau, kilang papan, dan isterinya, Kunang. Mengapa isterinya? Bukankah isterinya sudah lama sakit dan uzur. Kalau Tauke Lau patutlah. Kalau kilang papan itu patutlah. Tapi isterinya itu, patutkah? Sulun mula berfikir. Isterinya menderita sekarang, sejak tercegatnya kilang papan itu. Isterinya uzur kini kerana terhidu habuk papan. Masakan Sulun harus mendiamkan diri. Radang paru-paru yang dihidapi oleh isterinya itu, serius benar! Sulun tidak harus membiarkan saja perkara tersebut; ditelan mentahmentah oleh penduduk kampung di Lembah Ringat.
Dahulu sejak leluhurnya menjadikan tempat Lembah Ringat dijadikan syurga kampung, tidak ada pun pencemaran. Tidak ada pun penyakit yang ganjil- ganjil datang menerjang. Langsung tidak ada. Tapi sekarang ini, semua penyakit yang pelik-pelik mudah datang, kerana terhidu dedebu papan itu.
Penghulu Banta sudah dirisiknya tentang masalah habuk papan itu. Tuai rumah panjang Jawat, Apai Mok sudah pun dikhabarkan pasal perkara itu. Tapi nampaknya mereka semua pekak telinga. Dan buta hati. Terang-terang habuk papan singgah di jungkar rumah panjang itu, tapi Apai Mok buat tak peduli, dan habuk itu ditepis-tepis dan dikuis-kuisnya, lari.
"Apai Mok...cuba Apai fikirkan. Lembah kita sekarang tak selamat. Tanaman sayur-sayuran kita bertukar warna. Bukan lagi hijau subur, tapi berhabuk dan berwarna coklat. Selamatkah itu, Apai?" Sulun memberitahu Apai Mok pagi kelmarin. Apai Mok tidak hirau dengusan Sulun. Dia asyik menyedut rokok apungnya. Mata bundarnya menikam muka Sulun seperti ada kebencian yang terpancut di mulut Sulun itu bagi Apai Mok.
"Kau nak buat apa lagi, ha? Nak bakar kilang tu? Nak bunuh Tauke Lau iu? Jangan jadi bodoh, Sulun. Tauke Lau itu orang kerajaan...kau tahu?" Sulun bungkam.
"Bukan itu maksud aku, Apai. Tauke Lau itu bukan orang kerajaan, tapi kita semua sebenarnya orang kerajaan. Kita ada hak!"
"Apa hak kau menghalang?" Tanya Apai Mok.
"Hak kita, Apai...kita harus mempertahankan Lembah ini dari dicemar oleh habuk kilang. Cuba Apai tengok isteriku...menderita sakit radang paru- paru. Bukankah itu berbahaya, Apai?" Apai menghamparkan pandangannya ke arah segerombolan kanak-kanak yang berbogel di tebing sungai. Mereka mandi-manda sambil berterjunan.
Puuussshhhh! Puummmm! Bunyi kocakan air itu tidak sedikit pun menggegar telinga Sulun. Sulun mula panas baran. Hatinya mula menggelodak, berkocak. Kalaulah Apai Mok tidak bertindak nanti, lambat-laun dia - Sulun - sendiri akan melakukannya.
Bagi diri Apai Mok, barangkali itu perkara kecil. Tetapi, tidak bagi Sulun. Sulun anggap perkara itu membabitkan nyawa seluruh animbiak rumah panjang. Biar berputih mata kali ini. Sulun sayang isterinya, tanamannya dan Lembah Ringat itu.
"Aku tahu...tapi macam mana kita nak halau Tauke Lau. Kilang papan itu...kilangnya. Nanti terbalik jadinya...kita pula masuk jel," terang Apai Mok.
"Apai memang tak berguna! Mata Apai sudah kabur kerana wang ringgit Tauke Lau itu. Kalau Apai tak bertindak...biar aku yang bertindak!" Sulun melepaskan kemarahannya. Muka Apai Mok berubah sedikit membuatkan Sulun begitu seperti dipalit-palit dengan benda busuk.
Sulun tahu Apai Mok sudah menerima sebahagian duit suap dari Tauke Lau itu. Sulun tahu benar. Jaung yang memberitahunya kelmarin. Jaung bukanlah tali barut Tauke Lau. Dia budak baik. Sulun tahu Jaung berpihak kepadanya.
Sulun rasa jiwanya kini tercabar. Angkara kilang itulah! Kalaulah roh Panglima Rentap masuk ke dalam jiwanya, sekarang juga dia ingin memenggal kepala Tauke Lau dengan ilang dan menghapuskan kilang dari bumi Ringat. Tetapi biarlah dia bersabar kali ini. Mindanya tertumpu kepada masalah itu.
Hayunan kaki yang meredah belukar yang engkar itu, ranap. Sulun berlari terus dan deras. Sampai di kepala tangga rumah panjang dua puluh empat pintu itu, Sulun tercungap-cungap. Bunyi batuk isterinya mereda sedikit kecungapan nafasnya.
"Nuan, dari mana?" Tegur isterinya, apabila melihat Sulun keletihan. Pergerakan isterinya sudah agak goyah dan lemah. Penyakit radang paru-paru yang dihidapi sedikit demi sedikit menyeksa batinnya.
"Tak ada."
"Bohong Nuan...aku tahu."
"Tak ada."
"Nuan dari kilang lagi, bukan?"
"Tak ada."
"Nuan jangan cari pasal, Sulun. Biarlah kita hidup begini saja...oohhookkkk!" Isteri Sulun menyelit batuk kering di penghujung percakapannya, sambil dia mengurut-urut dadanya.
Sulun naik. Dia kemudian memapah isterinya. Kunang masuk ke dalam rumah. Keringatnya mula mengalir kerana kesan bahang matahari yang begitu terik. Kedutan di dahi Sulun tidak dapat menyembunyikan bahawa usianya kini sudah menjangkau empat puluh lebih tahun. Otot-ototnya sudah mula kendur. Rambutnya yang kerinting keperang-perangan di hujung menandakan betapa susah hidupnya sejak akhir-akhir ini.
Tetapi, Sulun bersyukur! Kerana sebelum kilang papan itu wujud di bumi bertuah Lembah Ringat, dapat juga Sulun menjual hasil tanamannya di pekan berdekatan. Purata sebulan tidak lebih daripada seratus ringgit. Itu pun sudah memadai baginya.
Sekarang, jangan! Kepunan untuk dapat duit belanja sebanyak itu. Duit beli ikan bilis atau telur masin pun susah hendak dicari. Mana perginya keadilan? Kilang papan siang malam pungut untung. Rumah panjang Jawat pula siang malam disumbat dengan bunyi batuk kering yang pering, apabila terkeluar dari kahak. Semuanya kerana tertelan dan terhidu habuk papan.
Sialan!
Celaka!
Sulun meludah ke tanah. Sulun teringat kembali pertengkarannya dengan Tauke Lau sebentar tadi setelah menyandarkan isterinya. Kunang dekat pada dinding.
"Tauke! Aku minta tolong tauke pindahkan kilang ini ke tempat lain...kilang ini berbahaya!"
"Apa kuasa kau?"
"Aku memang tak ada kuasa...tapi habuk papan dari kilang ini membawa penyakit," dengus Sulun.
"Penyakit apa? Setahu aku belum pernah orang kamu masuk hospital," beritahu Tauke Lau. Matanya lingas melihat pekerja-pekerjanya yang bertutup mulut kerana takut termasuk habuk papan.
"Tauke mana tahu! Bini aku menderita sakit di rumah sana! Itu tauke kata tak ada penyakit?" Biji mata Sulun mula menyaga.
"Itu urusan kamu! Aku sudah beli tanah ini daripada Apai Mok."
Sulun bungkam. Memang benar kata Tauke Lau itu. Tanah tempat kilang papan itu dahulunya milik Apai Mok, tetapi sekarang bukan hak Apai Mok lagi. Tanah itu sudah dijual kepada Tauke Lau. Apakah begini sikap kita orang Bumiputera, asyik jual tanah? Ada tanah yang elok, jual. Ada harta sedikit, gadai. Penghujungnya, kita cari makan dengan mereka. Kita pula putih mata tengok mereka maju. Baguskah sikap itu?
"Tauke! Saya tahu tauke sudah beli tanah ini. Tapi saya minta lagi...tolong pindah ke tempat lain, kerana kilang ini dekat sangat dengan rumah panjang kami," rayu Sulun sekali lagi.
"Tidak! Apa penting aku turut kehendak kau?" Balas Tauke Lau, marah.
"Baiklah, kalau Tauke tak mahu pindah. Tapi Tauke harus ingat. Lembah Ringat lembah aku!"
Sulun berpatah balik bersama kebencian dan kemarahan yang membuncah di dadanya. Sulun harus melakukan sesuatu yang adil. Antara keselamatan animbiak rumah panjang Lembah Ringat dan sekeping hati lintah darat. Sulun teringat bidalan: Umpama menarik rambut dalam tepung. Tetapi, kalau cara damai tidak diterima, ilang makan juga.
"Indai...nak air!"
Kunang tidak mendengar panggilan anaknya, Tugun. Tugun yang berusia lima tahun berlari pula ke arah apainya, Sulun.
"Apai...nak air!"
Sulun juga tidak mempedulikan panggilan itu.
"Sulun! Anak kita minta air."
Barulah kedengaran suara Kunang.
"Sulun! Anak kita minta air!"
Sulun terkejut. Dia menoleh ke arah anaknya, Tugun. Di tangan Tugun terdapat buah pedada yang masak ranum. Barangkali Tugun kesendatan makan buah itu.
"Tugun...air itu tak selamat, nak!" Mata Sulun yang jernih itu memusat tajam ke dalam biji mata anaknya.
"Tugun nak air! Tugun nak air!" Tugun menghentak-hentak kakinya, sambil meragut-ragut tangan apainya.
"Tugun nak air, ya? Tugun minumlah air dalam tempayan. Air itu selamat. Aku ambil dekat lurah air terjun...jaaauuuh sana!"
Tugun mengangguk. Dia kemudian berlari ke arah tempayan yang tertutup rapat di tepi jungkar.
Sulun kemudian merapat isterinya, Kunang. Dia memegang erat tangan isterinya. Mula-mulanya Sulun tidak mahu mengganggu intuisi Kunang, tetapi apabila melihat Kunang tidak bermaya Sulun berasa kasihan.
"Kita harus pindah, Sulun," pohon Kunang kepada Sulun.
Sulun bungkam. Kebungkaman yang menerpa wajahnya membuat dia - Sulun - mengambil tindakan tegas.
"Pindah? Pindah ke mana?"
"Ke mana-mana...(diam seketika). Di sini sudah tidak selamat untuk kita," terang Kunang.
"Aku bukan tidak mahu pindah. Tapi mestikah di tempat lain itu terjamin masa depan kita?"
"Di sini pun tidak terjamin, Sulun. Apalah gunanya kita berkira sangat di tempat baru nanti."
Sulun bangkit.
"Bawalah aku pindah. Aku ingin hidup bahagia. Biarlah aku tinggal di hospital dan mati di sana saja...asalkan..." Suara isterinya, Kunang mula sebak. Sulun menoleh ke muka isterinya. Nafasnya pun terasa sebak, membuak. Sulun takut isterinya mati. Kelmarin, seorang lagi animbiak rumah panjang Jawat itu meninggal. Kerana batuk kering, kata doktor. Entah, selepas ini beberapa nyawa lagi? Rintihan isterinya meragut jantungnya untuk melakukan juga perkara itu. Harus.
Dia kemudian menghamparkan pandangannya ke arah seekor anak babi yang menyondol-nyondol tulang. Kemudian datang seekor lagi menanduk buntut anak babi tadi, lalu kedua-duanya berkejar-kejaran.
"Sulun...kau harus bertindak," kata Jaung dua hari lepas. Sulun yang meraut-raut ranting kayu, menoleh ke arah rakannya, Jaung.
"Sulun...kau harus bertindak," ulang Jaung semula, tegas.
"Bertindak?" Sulun mengangguk-angguk kepalanya perlahan-lahan.
"Ya, kau harus bertindak. Cuba kau fikirkan. Orang tua yang tinggal di rumah panjang kita itu kebanyakannya menghidap penyakit radang paru-paru, batuk kering dan gatal-gatal badan. Air sungai sudah tidak ada ikan. Sayur-sayuran kita berhabuk dan berdebu...langsung tak selamat!"
"Tapi...bagaimana?"
Jaung bungkam. Dia berfikir.
"Kita harus selamatkan mereka...nyawa mereka, Sulun. Bukan kilang papan itu," jelas Jaung.
"Ya, itu benar. Tapi aku tidak tahu apa yang harus aku buat. Kilang itu hak Tauke Lau. Tanah itu hak Tauke Lau juga," Sulun mendengus.
"Begini..." Jaung menarik tangan Sulun. Jaung berbisik ke telinga Sulun. Kemudian mereka ketawa berdekah-dekah sambil meninggalkan beranda itu dan berpeluk-peluk pinggang, riang.
"Sulun!"
"Sulun!" tegur isterinya, Kunang. Kunang datang sambil membawa air, walaupun badannya terasa tidak bermaya.
"Ya..ya..kita pindah!"
"Ya! Kita pindah!"
Isterinya berasa cukup gembira. Dia seolah-olah tidak percaya, tetapi itulah yang didengarnya tadi. Pindah.
Setelah Sulun menghirup air, dia melangkah menuju ke dapur. Sulun mencapai botol minyak tanah. Kemudian kembali semula.
"Aku keluar!"
"Keluar ke mana senja-senja begini?" Tanya isterinya.
"Jumpa Jaung."
"Bohong!" Sulun terus keluar tanpa menoleh lagi ke muka bininya. Baginya apa perlu orang perempuan tahu urusan orang lelaki.
Sulun melangkah dengan gagah. Angin kemarahan yang bertiup di dadanya, menggelodak dan membuak. Berpusar-pusar. Sulun harus menyelesaikan masalah itu, hari itu juga, antara isterinya, kilang papan dan Lembah Ringat.
Sulun melangkah terus. Sampai di kilang papan itu, Sulun menghendap. Di senjakala yang kebeningan itu, suasana sunyi. Tidak ada kelibat pekerja- pekerja yang terlihat. Kilang itu sunyi dan sepi, tanpa penghuni.
Sulun membuka penutup botol minyak tanah. Kemudian menjirus minyak tanah itu ke sekeliling kilang papan itu, dari depan sampai ke belakang kilang. Dikeluarkan mancis dari kocek sakunya, lalu dinyalakan. Dicampaknya ke dinding kilang itu. Api menyambar, lalu terbakar. Hatinya sudah jenuh sekarang.
Celaka!
Sialan!
Api semakin membesar. Menjulang. Lidah api kelihatan kemerahmerahan dan kekuning-kuningan menggerutup memakan dinding papan kilang - meletik-letik seolah-olah bersorak-sorak. Kepulan asap mula menerjah keluar. Naik tinggi. Dan pekat.
Sekelip mata kilang itu hangus. Dan asap hitam yang kelam, bercampur- baur bersama fajar merah yang menyingsing, bening.
Sulun ketawa terbahak-bahak, sejenuh hatinya. Baru padan muka Tauke Lau! Bisik hati kecilnya. Dengan tubuh yang tergigil, dia melangkah pulang.
Keesokan harinya, Sulun membawa pindah isteri dan anaknya ke tempat lain bagi memulakan penghidupan baru.

No comments:
Post a Comment