Pages

Wednesday, October 08, 2014

Patung

Oleh Jamilah Morshidi

TIDAK pasti di mana letaknya. Puas sudah dicari, di luar, di dalam, di kiri, di kanan, di atas dan di bawah. Hatinya tetap dilingkari oleh bunga kehampaan. Kalaulah hilangnya tidak terkesan, hilang jugalah irama nyanyian yang seperti angin. Jika hilangnya tiada berganti, sunyi sepi hidupnya. Andai kata dia seorang yang akan mengalunkan lagu London Bridge Is Falling  Down, terasa hambar dan kaku irama itu, akan pincanglah lagunya.

Puas sudah diselak, dibuka, ditarik dan ditutup kembali setiap tempat di setiap sudut di ruang rumahnya. Tidak cukup dengan itu, dia mencari di kawasan luar rumah. Namun yang hilang tetap hilang juga. Hasil yang dicari tidak mendatangkan apa-apa. Menghampakan, mengecewakan.

Ukuran badannya ramping dengan ketinggian dua kaki. Kulitnya halus seperti kulit `baby' dengan dibaluti oleh gaun putih dari kain lace. Pipi montoknya bagaikan buah delima, merah, sesegar warna itu. Begitu jugalah bibirnya diwarnakan. Matanya galak, biru, dilingkari bulu mata yang lebat. Warnanya keperangan. Rambutnya bersinar-sinar keemasan, mengurai melepasi bahu. Kadang-kadang rambut itu disanggul atau diikat rapi.

"Selalunya di sinilah tempat duduk patung itu. Di atas kerusi rotan bulat dalam kamar ini." Ayu cuba memastikan ingatannya. "Atau apakah mungkin aku letakkan di tempat lain? Tapi, di mana lagi hendak kucari?" Keluhan yang bergema di ruang sudut kamar Ayu, panjang dan lesu. Ia kemudian perlahan-lahan menerjah keluar melalui jendela yang terbuka luas.

Wajah gadis kecil itu tidak lagi seriang dulu. Dia duduk berwajah masam dengan menongkat dagu. Pandangannya dilemparkan keseluruh sudut di ruang kamar. Fikirannya melayang terlalu jauh, hingga kelihatan ada garis halus, memanjang di antara kedua-dua keningnya. Otaknya sudah sendat memikirkan di pelosok dan ceruk manakah patungnya terdampar.

Gelisah, rungsing dan bingung berbaur di dalam hatinya sehingga cukup menyeksakan. Malam yang selalunya sunyi sepi telah diisi oleh igauan semenjak kehilangan patung itu. Makanan kegemarannya sudah dua hari tidak dijamah. Patung hadiah ibu semasa mereka di London telah menjadi teman setianya saban waktu. Hilang patungnya, hilang jugalah seri wajahnya. Semenjak kehadiran patung itu di dalam hidupnya telah dapat menghindarkan dirinya dari kesepian. Perjalanan hidupnya seharian menjadi lebih bermakna. Dia belajar bersama patung itu. Dia menyanyi bersama patung itu. Makan dan minum pun serupa. Pendek kata, apa saja yang Ayu lakukan akan ditemani oleh patung itu.

Dua hari berlalu telah menampakkan perubahan pada sikap dan wajah Ayu. Dia lebih banyak menyendiri daripada bertandang ke rumah Ida yang terletak di sebelah rumahnya. Ayu tidak lagi berminat untuk ke mana-mana apatah lagi bermain bersama Ida, anak jiran yang dikenali dua bulan itu.

"Cubalah kau lihat patung Ayu ni. Ia pandai menari sambil menyanyi." Dia bangga memiliki patung yang berambut keemasan, berikal mayang mengurai melepasi bahu. Patung bergaun putih itu memiliki sepasang mata biru yang cantik. Apabila dilepaskan kunci di belakang, patung itu akan menari meliuk-lentuk sambil menyanyikan lagu London bridge is falling down, falling down, falling down; London  bridge is falling down, my fair lady, dengan nyaring. Itulah pertama kali dia memperlihatkan patungnya kepada Ida sebaik jirannya itu tinggal berdekatan dengan mereka. Ekoran dari peristiwa itu, mereka sering bermain bersama.

Walaupun begitu, Ayu selalu mencuri-curi bermain bersama Ida di rumah mereka, kerana khuatir diketahui ibunya. Seringkali ibunya melarang Ayu membawa patung itu keluar dari rumah, apatah lagi ke rumah Ida.

Nyanyian dari patung itu terasa terngiang-ngiang di telinganya. Dia segera menoleh ke belakang. Nyanyian itu terhenti di situ saja. Sejurus itu dia terdengar ada kesan kaki yang menapak. Langkahnya perlahan serta lembut. Langkah itu terhenti seketika. Agak lama juga. Ayu memasang telinganya dengan teliti untuk mengesan langkah kaki itu. Tiba-tiba bunyi itu kedengaran lagi. Kali ini langkah itu menjadi pasti dan kian mendekati. Dia cuba mengamati serta meneliti siapakah yang datang tanpa terlebih dulu memberi salam.

"Kaukah patung yang menjelma itu?" Ayu hairan. Dia melangkah perlahan serta memastikan tiada langkahnya didengari. Dia segera membongkokkan badan serta mengintip di celah tiang.

"Apakah kau yang datang Ida?" Bisik Ayu setelah gagal menemui sesiapa. Untuk memastikan pendengarannya, dia turun ke tingkat bawah. Tiada seorang pun yang ditemui. Ibunya juga tiada kerana masih terlalu awal untuk ibu pulang dari mengajar. Ayah pula baru keluar bersukan dan takkanlah ayah pulang seawal itu. Katanya tadi dia akan terus menjemput ibu di sekolah.

Langkah singkat dan lembut itu masih kedengaran lagi. Terasa naik bulu tengkok Ayu apabila cuba memikirkan sesuatu. Untuk segera mententeramkan hatinya agar terus tidak dihantui oleh kesan langkah kaki itu, dia menyanyikan lagu yang sering dinyanyikan oleh patungnya. Lagi dan lagi. Kuat dan nyaring suaranya. Biar suaranya sumbang, dia sudah tidak kisahkan itu semua. Asalkan kesan langkah kaki itu hilang dari pendengarannya. Dia menyanyi lagi. Berulang-ulang kali hingga tekaknya terasa pedih.

Dia memasang telinga. Mencari-cari derap-derap langkah itu. Bunyi itu sudah hilang. Dicubanya lagi untuk mengesan bunyi itu. Dia berlari ke luar rumah. Tiada sesiapa yang ditemuinya. Dengan langkah yang sarat dan longlai dia kembali ke kamarnya.

Belumpun sempat dia melabuhkan punggungnya ke kerusi rotan, dia tersentak lagi. Jantungnya seperti dikejutkan oleh bunyi derap kaki tadi. Mukanya segera bertukar menjadi putih melepak. Pucat lesi seperti tiada berdarah. Bahunya terasa disentuh oleh seseorang. Dia berpaling ke arah datangnya sentuhan itu. Ayu ingin segera memastikan pandangannya dengan mengosok kedua-dua kelopak matanya.

"Ayu, bukankah patung kita sama? Ayah telah menghadiahkannya kelmarin. Kelmarin ialah hari jadiku." Ida bersuara sayup-sayup dan terlalu perlahan. Terlukis keriangan di wajah Ida.

"Mana patung kamu?"

Ayu tidak segera menjawab. Dia seperti hendak menangis. Patung kesayangannya kini dalam pelukan Ida. Dalam hati kecilnya menyangka itulah patung yang dicarinya berhari-hari. Sejak kelmarin nyanyian dari patungnya seperti hilang disambar angin. Patungnya sendiri pun tidak ditemui sejak kelmarin juga. Tetapi, mengapa kini Ida datang membawa patung seperti miliknya dan mengaku kepunyaannya?

Ingin rasanya Ayu hendak mengadukan perkara itu kepada ibu. Tetapi apabila teringat akan larangan keras ibunya tempoh hari, Ayu cepat-cepat membuang jauh-jauh akan cadangannya itu. Untuk mengadu kepada ayah? Ayah tiada di sisinya pada saat itu. Dia kebingungan. Dadanya bengkak oleh keharuan yang memuncak.

"Ida...Ida...kau telah mengambil hak aku! Patung itu kepunyaanku. Kembalikan segera." Ayu mengharap sungguh-sungguh kali ini. Suaranya mengandungi getar yang memilukan.

"Ayah telah menghadiahkannya kepadaku kelmarin. Mana boleh aku serahkan kepada kau. Kau ada patung kau sendiri," beritahu Ida lalu segera menghilangkan diri.

"Ida...kau tak boleh mengambil hak orang. Ibu kata berdosa, tau." Ayu tersedu. Sedih hatinya diperlakukan oleh Ida sedemikian rupa. Perlahan- lahan air jernih membasahi kelopak matanya lalu menitis ke pipi montok itu.

Dia kembali ke katilnya. Membaringkan badannya yang terlalu lesu akibat memikirkan patungnya.

"Betulkah apa yang dikatakan oleh Ida tadi?" Ayu tidak pasti di mana dia meletakkan patungnya selepas bermain dengan Ida dua hari lalu.

London bridge is falling down, falling down, falling down; London bridge is falling down, my fair lady...

Ayu melompat dari katilnya. Patungku telah kembali, desisnya riang. Dia tercari-cari arah datangnya nyanyian dari patungnya. Nyanyian itu semakin jelas kedengaran. Seperti tidak sabar-sabar lagi dia ingin memeluk kembali patung kesayangannya itu.

Dia segera membuka pintu kamarnya.

"Ayu...aku di sini..." Seperti ada suara yang tercetus dari mulut patung itu.

Ayu berpaling ke belakang, arah datangnya suara itu. Apa yang dilihatnya patung itu tetap tidak wujud di situ. Dia berpusing ke depan. Memang nyata patung itu tiada di depannya. Ditoleh ke kiri dan ke kanan. Apa yang terpandang olehnya ialah kamar yang cukup lengkap dengan segala perhiasan bilik tanpa diserikan oleh patung seperti selalu. Di atas kerusi rotan bulat dalam kamarnya tempat dia biasa meletakkan patungnya itu juga kosong.

Ahhh...bencinya aku!

Agaknya itulah kesan suara dari hatiku, desis Ayu setelah mulai menyedari apa yang telah berlaku. Akibat terlalu memikirkan akan patungnya, Ayu tidak memberi kesempatan untuk ruang fikirnya memikirkan hal-hal lain. Ke mana lagi hendak kucari patung itu? Soalan itu melingkari di segenap otak fikirnya.

"Aku di sini. Kau yang telah mencampakkan aku di sini." Ayu tergamam.

"Di mana kau?"

"Kau selalu begitu. Selepas kita bermain, kau sering lupakan aku. Aku kau tinggalkan seorang diri di sini. Aku sekarang tiada berteman seperti juga kau."

Dia berfikir sejurus itu, sedaya upaya untuk mengingatkan harihari terakhir dia dan Ida bermain dengan patungnya. Ketika itu Ayu tidak mampu lagi untuk mengingatkan kisah lampau. Fikiran menjadi buntu. Otaknya telah beku seperti seketul ais di dalam peti sejuk.

"Percayalah, kali ini aku takkan tinggalkan kau seorang diri." Ayu menyematkan janji itu betul-betul di hatinya agar kehilangan patungnya tidak akan berulang lagi.

"Kau carilah gantinya. Kalau penggantinya tidak boleh menyanyikan lagu kesukaan kau, lupakanlah saja aku."

"Janganlah menghukum aku sedemikian rupa. Tolonglah!" Ayu merayu dan mengharap.

"Lupakanlah saja aku. Kau dah tak sayangkan aku lagi. Kau pasti ada teman baru."

"Aku tak boleh lupakan kau...Aku tak boleh lupakan kau...!"

Ada hembusan dingin dan lembut singgah di muka Ayu. Pelukan pada bantal peluknya semakin erat. Hembusan itu datang lagi. Kali ini agak deras. Dalam keadaan begitu dia terasa amat payah untuk membukakan kelopak mata. Rasanya belum bersedia lagi untuk keluar dari selimut tebal itu. Malam terlalu sejuk dan indah. Hembusan dingin itu masih terasa di mukanya. Perlahan bahunya disentuh lembut. Ayu segera menarik selimut hingga ke paras lehernya.

"Kau mainlah jauh-jauh Ida. Tapi kembalikan patungku itu. Kembalikan Ida...!"

Goncangan di bahunya terasa semakin kuat. Tiada lagi hembusan dingin dan lembut di mukanya. Dengan agak payah dan terpaksa Ayu membuka juga kelopak matanya. Pandangan kabur wajah ibunya kelihatan samar-samar.

"Sebelum masuk tidur, cuci dulu kaki. Itu agaknya mengigau tak tentu pasal." Ibunya sudah sedia duduk di birai katil sambil memerhati tajam ke wajahnya.

Kedua-dua pasang mata itu terkebil-kebil umpama cicak tertelan kapur sambil memerhati wajah si ibu.

"Dalam tidur tadi, Ayu menyebut nama Ida dan patung." Pandangan ibu terus menyelinap di setiap sudut ruang kamar Ayu.

Ayu diam membisu. Dia masih terbaring di atas katil. Di celah-celah langsir yang terbuka itu, semacam ada sinar memancar masuk ke dalam kamarnya. Sinar itu jatuh ke lantai. Ada jalur yang agak lebar hinggap di dinding. Sinaran itu semacam membawa rahmat dan erti yang cukup luas kepada alam semesta. Matahari sudah mulai muncul di celahan awam yang memutih.

"Ibu tak nampak pun patung Ayu di dalam kamar ni?"

Ayu tersentak mendengar suara ibunya yang mendadak itu. Dia tertelan air liur. Kemudian terbatuk-batuk.

"Dah hilang."

Ibu segera bangkit dari tempat duduk dengan matanya seperti tersembul keluar laksana mata ikan temakul, tajam memandang ke arah Ayu. Kelihatan dia mengigit bibir.

"Apa Ayu kata tadi?" Tanyanya lagi seperti tidak percaya. "Patung tu dah hilang!"

Ayu mengangguk kepala. Lemah seperti tiada bersemangat. Dia bimbang akan dimarahi oleh ibunya kerana kecuaiannya sendiri. Patung itu banyak menyimpan kenangan terhadap keluarganya. Lagipun patung itu sukar ditemui di tempat mereka. Patung itu jugalah menjadi kebanggaan Ayu kerana dibeli di luar negara. Semasa itu ayahnya sedang belajar undang-undang di salah sebuah pusat pengajian tinggi. Menurut ibu, mereka tinggal di negeri orang putih itu selama enam tahun kerana selepas tamat pengajian, ayah bekerja di pejabat guaman di sana.

"Macam mana boleh jadi hilang?" Tanya ibu tidak puas hati dengan jawapan daripada anak tunggalnya.

Ayu mengangkat kedua-dua bahunya. Pandangannya sejak tadi tertunduk seperti daun semalu apabila disentuh. Terkulai layu tiada bermaya.

"Hari tu Ayu dan Ida bermain sama-sama dengan patung tu di sini."

"Di sini, di dalam kamar ni?" Suara itu tegas dan seperti memaksa Ayu untuk memberitahu lagi.

"Bukankah ibu dah beritahu sejak dulu lagi agar jangan bermain dengan Ida?" Suara ibu keras dan tegas. Kecut hati Ayu mendengarnya.

"Kalau Ayu saja bermain di sini, dah tentu patung itu ada di sini. Atau Ayu bagi kat Ida tak?"

Anak kecil itu menggelengkan kepala. Wajahnya moyok kerana diajukan dengan pelbagai soalan. Dia cukup tidak senang dengan soalan yang bertubi- tubi daripada ibunya. Lemas rasanya. Suara Ayu perlahan dan tergetar-getar.

"Mereka hanya baik semasa Ayu ada patung itu. Ayu faham!"

Ayu mengangguk tetapi wajahnya tetap tunduk. Muka itu seperti daun semalu yang sudah hilang serinya.

"Lepas sarapan ni, Ayu pergi cari patung tu!" Arahan itu bernada tegas dan seperti tidak dapat diubahubah lagi. Arahan daripada ibunya seperti paksaan. Sebelum bingkas dari katilnya, Ayu sudah tahu apa yang patut dilakukan.

Ayu cuba menyingkap kembali mimpinya semalam. Dia cuba mengaitkan kejadian pada hari sebelum patungnya hilang dengan mimpinya. Pertemuannya dengan Ida dan patung mesti ada cerita yang berlainan. Ayu membuat andaiannya sendiri. Dia menarik keluar segala kotak yang berisi permainannya di bawah katil. Dikeluarnya satu demi...

"Hss...dah puas dicari, tak juga berjumpa."

Rasa kecewa dan takut yang amat sangat segera menghantui dirinya. Wajah serta suara keras dan tegas ibu seperti sembilu menghiris ke ulu jantungnya.

Kotak kedua dibukanya dengan agak kasar. Pada mulanya dikeluarnya satu persatu alat-alat permainannya. Rasa tidak sabar semakin memuncak lalu ditonggengnya kotak itu. Semua permainannya meluncur keluar.

"Macam mana ni? Tak ada juga," cetusnya dengan suara tersendu-sendu.

"Mudah-mudahan ada di dalam kotak ketiga ni."

Ayu melakukan seperti pada kotak kedua terhadap kotak ketiga itu. Kelopak matanya kini tergenang oleh air jernih dan terasa panas di pipinya.

"Apakah benar kata-kata ibu tadi? Ida...Ida..." fikir Ayu ligat. "Eh...jangan-jangan Ida yang mengambil patung aku tu."

Ayu tunduk. Lemah semangatnya kini apabila mengenangkan kehilangan patung itu. Suara ibu terngiang-ngiang di telinganya menyatakan Ida yang telah mengambil patungnya.

"Tak mungkin. Ida terlalu baik orangnya."

Pada waktu yang sama ketika ibu menyiram bunga di halaman rumah, terdengar sayup-sayup nyanyian dari patung Ayu yang hilang itu. Dia terhenti dari menyiram, mencari arah nyanyian patung itu.

"Sudah tentu Ayu tertinggal patungnya di rumah Ida. Atau apakah Ida yang mengambilnya?" Keluh ibu. "Cuai betul Si Ayu ni."

Nyanyian patung itu kini jelas kedengaran. Lepas itu disambung lagi. Nyanyian itu tingkah-meningkah. Ibu Ayu tiba-tiba merasa hairan lalu segera mencari anaknya yang pada ingatannya sedang berada di kamarnya.

Di dalam kamar, ada air jernih yang menitis di pipi. Bibir Ayu mengukirkan senyum.

No comments: