PERTENGKARAN meletus sebaik saja selesai upacara pengkebumian mendiang Jilom, bekas penghulu Kampung Munggu Ruan. Beliau meninggal kerana diserang sakit jantung dalam usianya yang sudah menjangkau tujuh puluh tahun. Anak-anaknya semua dipanggil balik untuk menguruskan pengkembumian bapa mereka.
Yang menjadi punca pertengkaran ialah tanah peninggalan Jilom seluas tiga hektar. Masing-masing ingin menuntut hak ke atas tanah yang ditanami dengan getah, pokok buah-buahan serta lada hitam yang baru sekali mengeluarkan hasil.
Keadaan menjadi semakin hangat, suara semakin meninggi dan kata-kata semakin kasar dan kesat. Perasaan hormati-menghormati semakin tipis dan kemarahan mulai menular ke dalam benak masing-masing.
"Tanah itu, aku yang berhak! Aku anak sulung," tegas Juing dengan suara paraunya.
"Kau yang berhak? Tidak begitu mudah, Uing." Jawab Jimbat, anak yang kedua.
"Sudah kukatakan. Aku anak sulung, akulah yang berhak atas tanah itu," kata Juing lagi dengan nada yang tegas dan tajam. "Bukankah tradisi dan adat kita, harta ayah harus diserahkan kepada anak sulungnya?"
"Cuba beritahu, berapa kali abang pernah jejakkan kaki ke atas tanah itu? Berapa ringgit yang pernah abang hulurkan untuk membantu ayah dan ibu mengerjakan tanah itu? Cuba beritahu!" Kata Jimbat dengan suara yang meninggi juga. Hatinya menggelodak marah kerana sikap abangnya yang terlalu mementingkan diri. Memang dari dulu lagi dia tidak sebulu dengan Juing yang dianggapnya individualistik, bongkak dan tidak mengenang budi orang tua.
Juing diam. Kata-kata adiknya itu bagaikan tamparan yang hinggap di mukanya. Dia tidak tahu bagaimana untuk menjawab balik. Kata-kata Jimbat itu bagaikan sebutir bom, meledak lalu menghancurkan setiap tembok kubu hujah-hujahnya.
"Tanah itu tidak pernah mengecapi satu sen pun wang abang. Semuanya hasil titik peluh ayah dan ibu," kata Jimbat lagi apabila melihat Juing diam. "Aku dan Sendi ..."
"Jadi kau nak ambil tanah itu, begitu?" Bentak Juing, cuba menyembunyikan kelemahan dan kesalahannya. Dia tidak mahu menunjukkan kelemahannya kepada Jimbat. Dia sedar adiknya pintar dalam mematahkan kata-katanya.
"Tidak, aku bukan tamak seperti kau."
"Jadi kau nak serah tanah itu kepada Sendi?"
Jimbat tidak menjawab. Dia hanya memandang ke siling serambi rumah itu. Seekor cicak yang muncul dari celah tiang sedang mengejar seekor cicak yang lain. Kedua-duanya kemudian hilang ke arah bilik tamu.
Di satu sudut serambi seekor laba-laba sedang sibuk membuat sarang. Dinding yang dicat putih sudah mula berubah warna, menjadi sedikit kehitaman. Namun dinding itu masih elok dan kukuh. Begitu juga bahagian- bahagian rumah yang lain, masih kukuh, tidak reput atau dimakan anai-anai.
Mendiang Jilom orang yang bijak dan pakar memilih kayu keras ketika membina rumah itu lima belas tahun yang lalu. Pada masa itu dia baru berusia awal belasan tahun dan masih belajar di sekolah menengah rendah. Ayahnya yang rajin berusaha telah pindah ke tempat itu, membuka tanah baru bersama beberapa orang dari rumah panjang yang lain.
Manakala Juing pula pada masa itu, sedang menuntut dalam Tingkatan Enam Rendah di sebuah sekolah berasrama penuh. Dia jarang sekali balik ke kampung walaupun pada waktu cuti sekolah. Dia kononnya mahu mengulang kaji pelajaran. Kerana sangat mementingkan pelajaran dan masa depan anak-anak, ayahnya merelakan saja tanpa banyak soal siasat. Kalau pun ada masa untuk dia balik, Juing lebih suka memerap di rumah, mendengar radio.
Jimbat pula sering mengikuti ibunya ke huma, mencabut rumput atau membantu menuai ketika tiba musimnya. Dia sudah tahu pahit susah berladang, masam manis bertani dan susah senang mencari belanja menjual sayuran hutan. Dia sudah alami itu semua.
Sambil ayah mereka menyiapkan rumah itu, sambil itu juga dia meneroka kawasan tanah baru secara bergotong-royong bersama beberapa orang yang sejiwa dengannya. Mereka bekerja keras menebas, menebang kayu dan menghaluskan kawasan untuk tanaman padi bukit. Hujan panas dan ribut petir direntangi dengan penuh kesabaran. Beberapa tahun kemudian, mereka mula pula menanam pokok buah-buahan. Apabila kerajaan melancarkan projek subsidi menanam pokok getah, mereka tidak sia-siakan peluang itu.
Usaha demi usaha dibuat sehingga kawasan itu menjadi kawasan pertanian yang subur dan ladang getah yang berhasil. Apa lagi, apabila jalan raya dibina merentasi kawasan itu, banyak lagi projek lain yang dimulakan. Ayah mereka pun dilantik menjadi penghulu kawasan yang mereka namakan Kampung Munggu Ruan itu.
Dalam masa yang sama, Juing sudah lulus dengan cemerlang peperiksaan Higher School Certificate dan mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi di luar negara. Setelah tamat pengajian dia terus menyandang jawatan tinggi di sebuah jabatan kerajaan. Beberapa tahun kemudian, dia pun membuka syarikatnya sendiri. Semenjak itulah dia jarang menjenguk keluarga di kampung, apa lagi menghulurkan seringgit dua buat perbelanjaan adik-adik yang masih sekolah. Kononnya, syarikatnya belum ada keuntungan.
Ayah mereka tidak pernah mengeluh atau merungut. Bagaimanapun Jimbat tahu ayahnya tidak senang hati dengan tindak-tanduk Juing.
"Aku masih terdaya lagi untuk membelanjakan kalian," kata ayahnya apabila Jimbat menyuarakan kerisauannya mengenai perangai Juing.
"Tapi ayah, sekurang-kurangnya dia baliklah pada musim Gawai. Ini asyik memerapkan di bandar saja. Apa lagi nak kirimkan wang," rungut Jimbat dengan nada kecewa.
"Sekarang zaman inflasi, mungkin benar syarikatnya tak ada untung. Biarkanlah dia dengan urusannya. Kita masih boleh hidup tanpa bantuannya."
"Dia perempuan, Jimbat!" Kata Juing, menyentak Jimbat dari kenangannya.
"Apa salahnya adik perempuan mewarisi harta bapa?"
"Tapi itu bukan tradisi kita!"
"Ooo ...! Kau berpegang pada tradisi, ya? Yang kau tak pernah bantu ayah dan ibu, juga Sendi mengerjakan tanah itu, bagaimana? Apakah itu juga tradisi?"
Juing terpukul lagi. Hilang kata-kata. Lenyap hujah-hujahnya. "Celaka!" bentak hatinya. Jimbat sering mengalahkannya dalam setiap perdebatan walaupun pelajaran Jimbat hanya setakat tingkatan enam saja. Aku mesti dapatkan tanah itu walau dengan bagaimana cara sekalipun. Fikirannya berlegar-legar menganyam putaran peristiwa yang terjadi seminggu yang lalu.
"Bagaimana, mahu join tak?"
"Manalah aku ada duit sebanyak itu," jawabnya dengan selamba.
"Bukankah syarikat kau ini banyak keuntungan. Gunakanlah duit syarikat."
"Mana boleh. Lagipun keuntungan tahun ini jauh berkurangan. Pasaran tidak menentu. Tahu sajalah sekarang ini dunia tengah dilanda krisis perang di mana-mana."
"Gunakan sumber lainlah ..."
"Maksudmu?"
"Kamu ada tanah, tak?"
"Tanah? Manalah saya ini ada tanah, tapi bapa saya ada, dekat jalan raya di kampung kami."
"Very good," kata tauke yang hampir botak dan berperut buncit itu sambil tersenyum lebar. "Emm, begini sajalah, kau pujuk ayah kamu supaya menyerahkan tanah itu untuk dimajukan atas nama kamu. Apabila dia setuju, kau gunakan tanah itu sebagai cagaran pinjaman wang di bank."
"Itu menipu namanya. Lagipun bukan senang nak pujuk ayahku," jawabnya lagi tetapi dalam hatinya dia mengiakan juga cadangan itu. "Lagipun macam mana saya tahu projek ini akan berjaya dan menguntungkan?"
"Projek itu akan untung besar, Uing. Dalam enam bulan saja, kau boleh bayar balik semua wang pinjaman bank itu. Tak perlu bimbang," jelas tauke dengan nada yang amat meyakinkan. "Bukan kau tak tahu projek yang saya buat selama ini, semuanya berjaya dan menguntungkan."
Juing mengangguk. Dia tahu tauke itu memang seorang pengurus yang terkenal dan boleh dipercayai.
"Bagaimana, setuju?"
"Berilah aku masa untuk memikirkannya," kata Juing sambil mengelus-gelus janggutnya yang lebat.
Pengurus yang terkenal dengan kejayaan projek pembinaan itu tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepala. "Saya hanya mahu bekerjasama dengan bangsamu," katanya sambil bangkit berdiri lalu meminta diri. "Ini peluang kamu Juing, jangan kau lepaskan."
Juing menghantarnya ke depan pintu. Pengurus itu menepuk-nepuk bahu Juing sambil berkata: "Kau juga akan menjadi salah seorang ahli board of management. Tiga ratus ribu itu tak banyakkan? Saya rasa boleh kau usahakan."
Juing mengangguk. Hatinya kini sudah termakan umpan. Fikirannya sudah nekad untuk mendapatkan tanah itu.
"Tidak! Kau tak akan mendapatkannya!" Jawab Jimbat yang sedikit terkejut apabila Juing tiba-tiba membentak. "Jangan kau ingat kau dapat menuntut tanah yang tak pernah kau jenguk!"
"Itu bukan hak kau! Kau tak ada hak menghalang aku!" Teriak Juing sambil menghentakkan genggaman tangannya ke atas meja di depannya. Matanya semakin besar.
"Ya! Memang bukan hak aku. Tapi aku ada hak mempertahankan hak keluarga yang mahu dirampas oleh orang yang hanya mementingkan diri. Aku mahu melindungi keluarga yang kau lupai selama ini."
Jimbat merenung tajam ke dalam mata Juing. Mata bertentang mata. Air kemarahan dalam diri semakin menggelegak. Bisikan syaitan mulai menular dan menguasai fikiran masing-masing.
Beremas, isteri mendiang Penghulu Jilom duduk menupang dagu, mengadap cahaya empat batang lilin yang dipasang di tengah bilik, bekas tempat meletakkan mendiang suaminya ketika rabat dua hari yang lalu. Air matanya menitis perlahan-lahan menelusuri pipi. Setitik demi setitik. Entah berapa kali sudah dia menangis. Hatinya cukup sayu dan sepi ditinggalkan orang yang telah berkongsi hidup selama empat puluh tahun dengannya.
Dia merenung lilin yang memagari jenazah suaminya yang dibaringkan selama dua hari dua malam itu. Dia masih ingat suaminya seolah-olah tidak mati tetapi hanya tidur nyenyak. Tidak ada tanda-tanda penderitaan dan kesakitan yang terpapar di wajahnya. Sungguh tenang sekali. Malahan dia berasa seperti melihat suaminya tersenyum beberapa saat sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.
"Apakah kau dapat menjalankan hidupmu tanpa aku, Mas?" Tanya Penghulu Jilom kepada isterinya pada hari dia meninggal dunia. Soalan itu menyentuh hati Beremas. Dia masih ingat dia hanya menjawab dengan esakan saja.
"Hidup ini ibarat mentari. Ada waktu terbitnya dan waktu terbenamnya. Kini, usiaku menjangkau waktu terbenamnya. Tak dapat kita mengelaknya, seperti juga kita tidak dapat mengelak terpadamnya mentari di waktu senja. Kita hanya mampu menerima datangnya malam yang gelap dengan dada yang terbuka dan memanfaatkannya."
Beremas hanya diam saja. Sendi yang duduk di sebelah ibunya juga turut bersedih. Malahan sudah berkali-kali dia menangis mendengar kata-kata nasihat daripada ayah yang disayanginya.
Beremas memegang tangan suaminya dengan erat, kemudian memicit-micit bahu, kepala dan tangan suaminya perlahan-lahan dengan perasaan yang pilu dan sedih. Penyakit tua Jilom semakin menjadi. Kata doktor, akibat terlalu kuat bekerja, kurang rehat sehingga kini anggota tubuh badannya menjadi lemah. Tidak ada harapan lagi.
"Jangan bersedih," pujuk Penghulu Jilom lagi, apabila melihat isteri dan anak bongsunya menangis tidak henti-henti. "Kematian itu satu kemestian, jalan yang harus kita lalui. Yang perlu, bersedia saja."
Beremas akui itu. Kematian memang satu kemestian. Tetapi bagaimana dia dapat menerima kenyataan kehilangan orang yang telah hidup bersamanya sekian lama? Segala pahit manis, susah senang dikecapi dan direntangi bersama. Kini tiba-tiba dia tinggal keseorangan. Dia berasa dirinya terlontar ke lembah yang paling sunyi, kosong dan gelap.
Dapatkah dia melalui lembah yang begitu seorang diri? Apa lagi dengan kerenah anak-anak yang tidak tahu menghormati kematian ayah mereka. Pemergian Penghulu Jilom itu seolah-olah satu rahmat bagi mereka untuk merebut hartanya. Itukah balasan mereka terutamanya Juing terhadap pengorbanan orang tua? Beremas benar-benar pilu.
Kalaulah ayahnya masih hidup, Juing tidak akan bermaharajarela seperti itu. Dia tidak berani dengan ayahnya. Penghulu Jilom tegas dengan anak- anak walaupun tetap ada kelemahannya. Nasib baik juga Jimbat dapat menangkap pesanan ayahnya selama ini dan mempertahankan hak dan harta ayahnya.
"Mujurlah ada Jimbat, Lom," kata hati Beremas ketika berbicara dengan suaminya. "Dia yang mewarisi tingkah lakumu. Dialah anak yang mengenang budimu. Menghormati dirimu. Bukan seperti Juing. Kau tahu itu semua, bukan? Kau mengajar aku menjaga mereka. Aku tidak pasti. Aku bukan setegasmu. Aku tak secerdikmu mematahkan kata-kata mereka. Mereka terpelajar. Mereka lebih mengetahui erti dunia. Aku tidak. Aku seperti yang kau tahu, hanya mengenali dunia kecil kita ini. Aku tak tahu bagaimana nak meleraikan perdebatan mereka. Sekarang pun mereka bertengkar lagi. Aku malu, Lom. Malu kerana tak mampu melarang mereka. Aku malu pada jiran yang pasti menuduh aku kalah oleh anak-anak. Mereka pasti mengatakan kau tak berjaya mendidik anak-anak supaya menghormati dirimu. Aku mahu mengikutimu ..."
Air matanya gugur lagi. Wajahnya yang sedia pucat menjadi semakin pucat. Badannya terasa amat lemah. Sudah tiga hari dia tidak menyentuh nasi. Dia hanya minum susu saja, itu pun setelah dipujuk oleh Sendi dan isteri Jimbat. Rambutnya yang kusut, tidak terurus, menutupi sebahagian mukanya.
Beberapa minit kemudian dia pun terlena dan bermimpi bertemu dengan Penghulu Jilom di sebuah taman yang cukup indah.
Juing dan Jimbat bertentang pandangan. Mata bertemu mata. Suasana sepi Sepatutnya itulah yang dilakukan oleh ahli keluarga Penghulu Jilom, berdiam diri - senyap tanda kesedihan atas kehilangan ketua keluarga itu.
"Kau memang tak tahu adat, Juing!" Marah Jimbat sambil memandang Juing yang mengelus-gelus janggutnya yang lebat. "Kau tak menghormati ayah ..."
"Kau juga sama."
"Berbeza. Kau seorang yang tak tahu menghormati kematian ayah. Baru saja ayah dikebumikan, kau sudah mula nak merebut atau dengan perkataan yang lebih tepat, merampas hak orang tua."
"Hei! Aku bukan perampas harta. Aku hanya menuntut hak aku sebagai anak sulung," bentak Juing dengan suara yang nyaring.
"Atau dalam perkataan yang paling tepat, merampas hasil titik peluh orang lain? Mahu menghisap darah orang yang bersusah payah mengerjakan tanah itu?"
"Diam! Aku ini abang kau. Jaga sikit mulut kau."
"Kau lupa harta siapa yang kau nak rampas. Kau tak jaga nafsumu."
"Ciss! Kau ...," bentak Juing lalu berdiri sambil bercekak pinggang mengadap Jimbat yang masih duduk dengan tenang di atas bangku rotan.
"Awas sikit, Uing! Sedarlah dulu di rumah siapa kau menunjukkan keserakahan kau itu," kata Jimbat dengan nada sindiran.
Kata-kata itu seolah-olah satu jampi yang begitu mujarab. Juing terus duduk di atas kerusi dan kembali tenang. Dia seolah-olah menyedari perbuatannya. Dia diam sambil memerhatikan sekeliling ruang serambi itu. Tidak ada yang menarik baginya di situ. Semua merenungnya dengan muka masam.
Beberapa detik berlalu dengan senyap. Seekor cicak muncul dari bawah rumah, memanjat tiang naik ke serambi dan terus melompat ke atas meja di depan Juing. Juing tersentak dan membebel, memarahi cicak yang kini telah melarikan diri ke ruang tamu.
Juing memarahi dirinya kerana sering kehilangan helah. Dia sudah banyak kali terpukul oleh jawapan Jimbat. Hatinya membentak-bentak, menjerit- jerit kenapa harus adanya Jimbat dalam keluarga itu. Kenapa tidak ada Sendi saja, senanglah dia memujuk mereka menyerahkan tanah itu. Dapatlah dia join-venture dengan Pengurus Besar, Syarikat Daya Maju melaksanakan projek yang berjuta-juta ringgit.
"Celaka kau, Jimbat!"
"Kau yang celaka, Juing! Kau yang kurang ajar. Kau yang tak ada guna!"
Juing bergegas bangkit lalu menerpa Jimbat yang tidak bersedia menerima serangan. Satu sepakan hinggap di dada Jimbat. Jimbat mengerang kesakitan. Satu lagi tumbukan hinggap di pipinya. Sekali lagi dia mengaduh. Juing terus menyerangnya tetapi kini Jimbat sudah lebih bersedia. Dia dapat mengelak ke kiri, menyebabkan tumbukan Juing singgah di dinding rumah. Jimbat terus menghentak dahi Juing dengan siku kanannya. Juing terduduk. Jimbat memasang kuda-kudanya sambil berteriak: "Kau sudah betul-betul kurang ajar, Juing. Kalau kau nak cuba, mari, serang!"
Juing bangun terhoyong-hayang dan cuba menyerang lagi. Jimbat menepis. Juing tersungkur lalu terjelepok ke tepi dinding.
Tiba-tiba Jimbat terdengar bunyi sesuatu jatuh dekat pintu di ruang tamu. Dia memaling mukanya. Ibunya tersungkur di situ di atas lantai!
Juing panik dan menunggu, buat beberapa saat. Kemudian dia menerpa ke arah ibunya. Sendi dan isteri Jimbat yang sibuk di dapur juga meluru ke ruang tamu apabila mendengar Jimbat meraung memanggil ibunya.
Sendi terus meluru ke depan lalu memeluk ibunya sambil meraung. Jimbat mengarahkan isterinya mengambil kunci kereta. Juing juga sama-sama meluru untuk mengangkat ibunya ke serambi dan seterusnya ke halaman rumah. Jiran sebelah termasuk Tuai Rumah Bilun yang hanya berseluar pendek pun sama- sama keluar, ingin tahu apa yang terjadi. Mereka sama-sama menolong membawa Beremas ke kereta Proton Saga Jimbat.
Suasana yang sunyi menjadi sedikit ribut dengan suara manusia yang saling bantu-membantu mengelilingi mereka yang sedang membawa isteri mendiang Penghulu Jilom ke kereta. Ada yang masih turun dari rumah masing- masing dan ada yang berlari ke arah halaman rumah itu. Masing-masing ingin tahu apa yang terjadi. Bermacam-macam soalan diajukan kepada orang di depan atau di sebelah. Bermacam-macam komen juga yang didengar, memanaskan telinga Juing, terutamanya. Hatinya kini mulai diulit kekesalan.
Tiba-tiba saja Juing merasakan dirinya orang yang paling dibenci, paling tidak berguna dan paling tidak disukai oleh berpuluh-puluh pasang mata yang melihatnya memegang kaki ibunya. Desas-desus di sekeliling cukup untuk membuktikan jiran menuduhnya bersalah.
Dia memandang Jimbat dan Sendi yang sudah berada dalam kereta menyambut ibu mereka. Jimbat menjeling Juing tetapi tidak berkata apa-apa.
"Aku ikut dengan keretaku sendiri," kata Juing dengan nada kesal. Jimbat mengangguk.
Kereta meluncur laju keluar dari halaman rumah menuju ke jalan raya. Juing terus meluru ke kereta Honda Accordnya. Dia tidak menghiraukan orang ramai yang sedang memerhatikan gelagatnya. Dia sudah nekad untuk memohon maaf daripada ibu dan adik-adiknya.
"Keluarga lebih penting daripada sejuta kekayaan," kata hatinya.

No comments:
Post a Comment