Pages

Friday, October 31, 2014

Api di Tanjung

Oleh Abang Adeni Abang Jol

"SUSAH! Susah! Biul otakku. Dicubit paha kiri, paha kanan terasa sakit. Apa jadahnya Leman bertindak begitu? Dah tentu ada yang buat khianat. Leman banyak berjasa pada Kampung Tanjung. Kenapa Leman berubah laku? Adakah kerana duit? Atau adakah kerana ...?"

Pak Razak bersyarah seorang diri seperti orang berlatih supaya hujah yang disampaikan dapat meyakinkan pihak hakim pertandingan. Dia mundar- mandir di ruang tamu. Sesekali dia menjenguk ke luar jendela. Matanya galak melihat budak-budak yang asyik bermain jaka di gelanggang badminton di hadapan rumahnya.

"Eeeh! Aku ingat ada orang yang berbual dengan abang tadi. Abang nak masuk pertandingan syarahan juga ya? Baguslah kalau begitu. Tunjukkan bakat terpendam abang tu kepada penduduk kampung," Mak Cik Nurain mencelah, tidak tahu hujung pangkal masalah suaminya.

"Aaah! Ini bukan urusan orang perempuan. Merungsingkan fikiran aku saja. Ini tidak ada kena mengena dengan pertandingan syarahan minggu depan. Ini soal hak, maruah dan harga diri," balas Pak Razak dengan perasaan marah.

"Eeeh! Aku ni bini abang. Berlainan benar perangai abang petang ni! Ada yang tak kena di surau, tu?" Celah Mak Cik Nurain. Dia benar-benar ingin tahu masalah suaminya.

"Kampung Tanjung dah kacau, dalam huru-hara," jawap Pak Razak kasar membuatkan Mak Cik Nurain tersentak. Daun sirih yang telah dioles sedikit kapur, terjatuh dari jari Mak Cik Nurain. Dan, secepat kilat gulungan sirih itu dikutip balik.

"Astaghfirullah! Apa puncanya, bang? Kenapa tak cakap terus terang saja. Siapa dalangnya, bang?" Tanya Mak Cik Nurain bertalu-talu.

"Anak buah awak! Leman! Makan suap!" Jawab Pak Razak kasar. Walaupun usianya sudah menjangkau lima puluh tahun, namun dia masih bertenaga menghadapi masalah yang dihadapi oleh keluarganya.

"Leman! Eeeh! Aku tak percaya, bang. Ini semua dusta. Tentu ada orang iri hati, bang. Aku yang membesarkan dan menjaga makan minumnya siang dan petang. Aku tahu hati budinya," jelas Mak Cik Nurain berbaur hiba.

Mak Cik Nurain tetap berpihak kepada Leman. Sejak ibu Leman meninggal ketika Leman baru berusia tiga minggu Mak Cik Nurainlah yang menjaga Leman. Leman kini sudah berusia dua puluh empat tahun. Walaupun kelulusannya setakat pangkat C dalam Tingkatan Tiga, tetapi Leman sudah banyak berjasa kepada Kampung Tanjung. Sudah tiga tahun dia dipilih menjadi Ketua Pemuda PBB di kampung itu. Pimpinannya disenangi penduduk kampung. Pihak atasan juga berpuas hati dengan projek yang dikendalikannya.

"Dunia serba moden, Nur. Otak manusia pun turut moden juga. Tidak mustahil juga Leman mudah berubah hati. Duit, Nur. Duit." Pak Razak masih mencurigakan kejujuran Leman. Kata-kata Darus di surau tadi ada benarnya sungguhpun Leman menafikan tuduhan itu. Kalau Darus yang bohong, kenapa Qasim, Jebat, Bidin dan Kudus sependapat dengan Darus?

"Itu dia Leman balik, bang! Biar aku yang menyoal Leman. Abang tak payah menyampuk."

Pak Razak mula memilih duduk, tidak gelisah seperti cicak kena kapur. Dia memerhati Leman masuk dan duduk di kerusi. Mak Cik Nurain sekali lagi mengoleskan sedikit kapur ke sirih dan mencampurkan kepingan pinang yang telah dihirishiris, kemudian memasukkannya ke dalam mulut. Leman yang duduk di sudut dekat dengan pintu, berwajah murung. Matanya memerhati tajam ke arah lantai yang masih berkilat divarnis sebulan lalu.

"Kau haus, Leman? Ada air teh di bawah tudung tu," kata Mak Cik Nurain sebagai pembuka bicara.

"Sudah minum di rumah Ismail tadi, Mak Andak," jawab Leman ringkas. Ternyata Leman masih dirundung duka.

"Berapa usia kau sekarang, Leman?" Tanya Mak Cik Nurain lagi.

"Dua puluh empat. Kenapa tanya umur pula, Mak Andak?" Tanya Leman balik setelah memberitahu usianya.

"Dalam umur beginilah darah muda cepat bungkas. Pantang dicabar dan cepat bertindak kalau maruah diri diungkitkan." Belum habis perkara sebenar diterangkan Leman sudah faham akan maksud sindiran mak saudaranya.

"Leman faham apa yang dimaksudkan Mak Andak tu. Kalaulah di luar surau, Darus sudah pasti kena penumbuk sulung tadi, Mak Andak. Leman masih menganggapkan surau itu tempat yang suci, dan tidak mahu perkara remeh- temeh seperti itu memulakan pertengkaran," Leman dengan tertib mencelah percakapan Mak Cik Nurain.

"Jadi bagaimana dengan tuduhan Darus dan kawan-kawannya itu?" Tanya Mak Cik Nurain ringkas.

"Mak Andak seperti tak tahu taktik, Darus. Dia nak sangat jadi Ketua Pemuda PBB di kampung kita ini. Dia sering kalah teruk. Undi yang memihak kepada Darus tidak pernah sampai sepuluh," Leman meyakinkan lagi perasaan gundah-gulana emak dan bapa saudaranya yang duduk membisu saja.

Dari penerangan Leman, Darus dan kawan-kawannya menggunakan soal rasuah sebagai modal yang tidak berasas. Darus dan kawan-kawannya juga menggagalkan mesyuarat tergempar mengenai projek membuat jeti di Kampung Tanjung. Nasib baik pegawai yang mewakili pegawai daerah tidak datang. Tentu seluruh penduduk Kampung Tanjung akan mendapat malu atau berkemungkinan projek yang diperlukan itu ditarik balik.

"Maksud kau ... kau tidak terlibat dengan rasuah, Leman?" Tanya Mak Cik Nurain lagi. Raut mukanya seperti dirundung kesedihan.

"Buat apa Leman berbohong dengan Mak Andak dan Pak Andak? Kalau benar Leman melakukan perkara itu, takkanlah Leman sudi menunggang motosikal buruk tu, Mak Andak. Setidak-tidaknya Proton Saga Aerobek menjadi pilihan Leman," jelas Leman sambil berjenaka.

"Samsul! Pulang cepat! Jangan bermain di sini lagi. Nanti penyakit Pak Razak tu berjangkit ke tubuh badan kau pula."

Darus tiba-tiba memutuskan perbincangan Leman dengan mak saudaranya. Lima anak tangga rumah Pak Razak tidak dituruni oleh Leman. Sebaliknya dia terus melompat ke tanah dan menghampiri Darus di gelanggang badminton tempat anak muda Kampung Tanjung bermain waktu petang. Budak-budak lain tidak menghiraukan lolongan Darus. Cuma anaknya Samsul bergegas pulang.

"Darus! Jangan terlalu menghinakan keluarga kami. Apa kau yakin, aku dan Pak Andak telah melakukan semua benda yang kau tuduh tadi? Aku sengaja tidak mempedulikan tuduhan itu kerana aku masih menghormati surau. Surau itu tempat kita beribadat dan memohon restu daripada Yang Esa. Hati dan perasaanku tidak mudah terbakar oleh tipu muslihat kau, Darus. Terus terang saja, apa yang tersembunyi di lubuk hati busuk kau, Darus?" Leman seperti menghukum anak murid yang telah melakukan kesalahan.

Darus tidak menjawab sepatahpun kata-kata Leman. Dia berdiri kaku, kepalanya ditunduk ke bawah sambil memerhati simen gelanggang badminton. Budak-budak yang rancak dan seronok bermain tadi tiba-tiba berhenti untuk mendengar pertengkaran Leman dan Darus. Separuh penduduk Kampung Tanjung berpusu-pusu berlari berkejaran ke arah gelanggang badminton yang dibina secara gotong-royong itu. Sekejap saja kawasan itu sudah penuh sesak seperti ada pertandingan yang akan dijalankan.

"Darus. Benar, apa yang dikatakan oleh Leman. Kalau kita sendiri tidak menghormati surau itu, siapa lagi? Kalau ada perkara yang tidak memuaskan hati, kita boleh berunding. Kalau bapak kau ada di sini, dah tentu kau menerima padahnya. Sepatutnya kau mendoakan pemergian bapak kau ke tanah suci supaya dalam sihat walfiat." Pak Razak cuba menasihati Darus.

Penduduk kampung yang berkumpul di atas gelanggang badminton khusyuk mendengar Pak Razak bercakap. Niat Darus untuk membakar fikiran orang kampung terhalang.

"Pak Andak kamu tu, Darus, cuma sebagai wakil penghulu. Apabila bapak kamu sudah balik daripada mengerjakan rukun Islam ke lima nanti, tugas penghulu tu akan diserah balik kepadanya. Mak Andak tau, kau cemburu melihat Leman dipilih menjadi Ketua Pemuda PBB di kampung kita. Mak Andak dah berbincang dengan Leman tadi supaya dia meletak jawatan." Mak Cik Nurain turut mencelah percakapan mereka. Terasa juga Darus mendengar kata- kata Mak Cik Nurain yang lurus dan terus terang itu.

"Benar kata Mak Andak tu, Darus. Aku dah putuskan, tidak akan bertanding lagi dalam pemilihan jawatan itu nanti." Leman dengan nada tenang menjelaskan pengundurannya.

Sejak berlakunya tuduhan liar terhadapnya, Leman sudah merancangkan sesuatu. Leman cuba menukar angin ke bandar. Jadi buruh kasar sekalipun Leman sanggup. Bagaimanapun rancangannya itu belum diberitahu kepada keduadua penjaganya.

"Aku pun mengikut jejak Leman jugak. Sanggup mengundurkan diri daripada bergiat terus sebagai Pengerusi PBB. Tidak ada gunanya menanam padi, kalau lalang tinggi berdiri." Pak Razak juga hilang minat hendak meneruskan perjuangan sucinya untuk membawa Kampung Tanjung ke mercu kejayaan.

"Kami mahu Pak Razak jadi pemimpin di Kampung Tanjung!"

"Ya! Kami sokong!" Orang ramai menyokong tindakan Ismail. Riuh juga kawasan gelanggang petang itu. Selalunya budak-budak yang bermain di situ setiap petang tetap menikmati air oren hidangan Mak Cik Nurain. Petang itu mereka seperti menyaksikan pertandingan bahas. Mak Cik Nurain mungkin sudah lupa membancuh air oren kerana terbabit sama dalam perdebatan itu.

"Kalau orang dah tak sudi, buat apa dipaksa-paksa! Orang lain masih ramai yang pandai dan amanah daripada Pak Razak!" Tiba-tiba Kudus bersuara lantang, padan dengan badannya yang besar dan tegap. Pak Razak sudah hendak mencecahkan kaki kanannya ke anak tangga pertama, berpatah balik ke gelanggang. Dia kenal suara itu.

"Ya! Memang benar! Kita lantik saja Darus! Darus anak Tok Penghulu di Kampung Tanjung!" Qasim tampil menguatkan lagi keyakinan penduduk kampung supaya memilih Darus sebagai pengganti Pak Razak. Mereka yang berpihak kepada Pak Razak dan Leman tidak menghiraukan pendapat kawan-kawan Darus. Darus sendiri tidak berkata apa-apa, tidak seperti gelagatnya di surau tadi.

"Kudus! Apa buktinya kau menuduh aku tidak amanah?" Pak Razak tiba-tiba mencelah. Jaraknya dengan Kudus hanya semeter. Leman mendekati Pak Razak, takut orang tua itu tidak dapat mengawalkan perasaan marahnya.

"Pak Razak berpakat dengan Tauke Leong mengenai pembelian kayu belian! Aku sendiri yang melihat Pak Razak bercakap dengan Tauke Leong! Tak usah berdalih lagi, Pak Razak!" Kudus memberanikan dirinya bersuara lantang di hadapan Pak Razak dan penduduk kampung yang berkumpul di gelanggang. Suasana riuh tadi menjadi hambar seketika. Masing-masing membuat andaian. Ada yang mengeluh dan ada juga yang merasa terkilan sekiranya benar Pak Razak melakukan perkara itu.

"Cuma itu saja? Dan, tak ada yang lebih jelas dari itu? Kudus, Kudus. Sayang sekali kau mudah buruk sangka. Nama saja sekolah tinggi, tapi berprasangka buruk. Kan aku masih setakat berbincang? Lagipun aku dan ahli jawatankuasa lain masih mencari pembekal yang lebih murah daripada Tauke Leong di bandar tu. Itu saja modal kau, Darus, Qasim dan rakan kamu yang lain." Pak Razak dengan wajah yang riang menjelaskan perkara berkaitan dengan maruahnya. Penduduk Kampung Tanjung tidak tersalah pilih pemimpin kampung mereka.

"Aku tidak percaya lagi dengan kau, Kudus. Rupa-rupanya kau gunting dalam lipatan. Kau sengaja nak menghalang kemajuan di Kampung Tanjung. Maafkan kesalahan Darus, Pak Razak, Leman, kerana menuduh yang bukan- bukan." Darus tidak dapat menahan air matanya. Dia tidak segan silu mencium kedua-dua tangan Pak Razak. Ini menimbulkan lagi kemarahan kawan- kawannya terhadap Darus.

"Sia-sia saja kami nak tolong kau, Darus. Tak sangka kau, pengecut!" Kudus mengherdik Darus.

"Niat kamu tu jahat, tidak ikhlas, sebab itu aku tidak berpihak kepada kamu. Kamu perosak bangsa. Jangan hendak cuba membakar fikiran orang kampung. Lagipun orang kampung tahu menilai yang mana kaca dan yang mana intan." Darus pula mengambil alih tempat Leman.

Leman sudah tidak banyak bercakap. Dalam fikirannya, tergantung satu harapan dan impian. Leman tetap hendak berhijrah ke bandar. Tentu Rahman, anak Pak Razak dapat membantu mencari pekerjaan yang sesuai dengannya. Leman kepingin hendak merasakan cara hidup di bandar.

"Eeeh! Kenapa kau Leman? Sejak dari tadi diam, saja?" Tanya Mak Cik Nurain, bimbang dan hairan. Selalunya apabila Leman berkeadaan begitu, mak saudaranya dapat meramalkan ada sesuatu yang bermain dalam fikirannya.

"Tak ada apa-apa, Andak. Nantilah Leman ceritakan di rumah," balas Leman ringkas.

"Sebelum kamu pulang ke rumah masing-masing, aku nak bagi tau. Besok ... besok aku nak ke bandar, nak merasa angin bandar pula," Leman tidak lagi merahsiakan pemergiannya ke bandar. Dia tidak mahu ada lagi orang memutar- belitkan pemergiannya.

"Jadi, kau tidak mahu memaafkan kesalahan aku, Leman?" Sampuk Darus yang sudah berpihak kepada yang benar.

"Itu perkara kecil, Darus. Aku maafkan. Aku tak juga merajuk. Aku saja nak tukar angin." Leman tidak termakan pujuk lagi. Dia tetap juga hendak ke bandar.

Penduduk kampung berasa terkilan kerana tidak berjaya menyekatkan keinginan Leman. Sungguhpun belum ada lampu hijau daripada kedua-dua penjaganya, impian dan harapan Leman akan terlaksana juga. Mak Cik Nurain sudah tentu tidak membantah.

Begitulah juga Pak Razak yang namanya sudah tercemar. Dia sudah tentu tidak menolak kehendak Leman. Biar muka-muka baru mengambil tempat kedudukan dia dan Leman. Selagi dia dan Leman masih menduduki jawatan itu, selagi itulah kebencian Kudus dan kawan-kawannya terhadap keluarga mereka meluap-luap.

Pak Razak tidak mahu penduduk Kampung Tanjung terus berpuak-puak. Sebagai jalan yang paling selamat Pak Razak dengan rela hati mengundurkan diri. Dia bukan merajuk, malah tidak terniat di lubuk hatinya untuk mendendami sesiapapun. Pak Razak mahu perbalahan dan salah faham sesama sendiri dapat dibendung.

"Pak Razak, janganlah menghampakan harapan orang kampung. Pak Razak masih diperlukan. Kekecohan berpunca dari aku, Pak Razak. Aku sedar. Aku telah diperalatkan oleh kawan-kawanku sendiri. Aku telah insaf, Pak Razak. dikehendaki." Darus masih kuat menahan kemahuan Leman dan Pak Razak. Lagipun mereka berdua lebih dikenali oleh pihak kerajaan.

"Baiklah. Beri sikit masa lagi untuk aku membuat keputusan."

Kata-kata Pak Razak itu menyebabkan penduduk kampung masih berteka-teki. Masing-masing merungut di dalam hati. Adakah Pak Razak akan meneruskan niatnya? Mahukah Leman mengubah keinginannya? Dapatkah api yang sedang marak itu dipadamkan? Segala-galanya belum bernoktah.

Thursday, October 30, 2014

Senja di bumi luka

Oleh Tega Bilong

BOLA tembaga jingga hampir terperonyok di sebalik Gunung Backhacj di sebelah barat. Warna jingga itu yang masih berbaki di kaki gunung mulai merangkak perlahan-lahan seperti timbunan kabus ketika Subuh di permukaan Sungai Drina yang jernih. Bahang pijar meruap dari muka bumi, kesan sengatan cahaya bola tembaga itu sejak dari pagi, masih terasa mencengkam. Norajij bertambah lesu, bertambah lemah, tidak lagi bermaya. Dia benar- benar lesu, benar-benar lemah.

Sejak beberapa bulan lalu, minggu dan hari yang lalu, dia masih dalam pelarian yang tidak menemui noktah. Pelarian di buminya sendiri dan yang pasti tidak akan berhenti selagi hujan peluru berterusan dan ledakan bom puak Serbia mengoyak di sana sini!

"Ya Allah!" Norajij mundar-mandir seolah-olah berdiri di dalam bahtera dihempas gelombang. Dia melangkah menghampiri bangunan yang sudah runtuh. Dia menggapai tangan kanannya. Sambil terketar-ketar dia berpaut pada gril tingkap bangunan itu untuk menyokong tubuhnya agar tidak tersungkur.

Dia jenguk ke dalam bangunan dari celah timbunan batu-bata dan serpihan jubin. Tiba-tiba dadanya bagai dikelar apabila terlihat mayat seorang ibu dengan anaknya. Mayat itu sudah mulai mengembang. Lalat hijau terbang berlegarlegar di atas timbunan bata dan longgokan sampah-sarap di sekitar mayat itu.

"Ya Allah ... ya Tuhanku! Saksikanlah kedurjanaan, keganasan dan kekejaman manusia gila kuasa di bumiku ini ... hanya kepada-Mu saja aku berserah dan memohon kekuatan." Norajij mengusap pipinya dengan tikung baju yang sudah koyak dan berdebu.

Segugus angin kering berhembus, menyebabkan debu dan cebisan sampah berterbangan. Bau hanyir meruap dari permukaan bumi. Ke mana ayah, adik dan keluargaku?

Dia bagaikan terkejut daripada mimpi panjang apabila terbayangkan ayah, adik dan keluarganya yang hilang bagaikan debu yang berterbangan diragut angin kering itu. Hilang entah ke mana.

Kali terakhir dia bersama ayahnya Mohamed Sahijavic dan adiknya Mohamed Safariv ialah pada Jumaat lalu. Ketika itu mereka bersiap-siap untuk meninggalkan rumah di pinggir bandar Sarajevo.

Ibu ... ah! Ibunya telah seminggu terkorban ketika keluar ke bandar Sarajevo untuk membeli-belah.

"Semoga kita dilindungi Allah. Tabahkan hati ... kuatkan iman," pesan ayahnya Mohamed Sahijavic sambil membimbit sepucuk rifel M 16. Dia berpakaian hijau keabu-abuan. Kemudian dia terus melangkah ke hadapan.

Norajij memapah tangan adiknya Mohamed Safariv yang berumur tujuh tahun setengah. Mereka berjalan melalui lorong di celah runtuhan bangunan dan beberapa deretan rumah kedai yang sudah lengang menuju ke sebuah masjid di sebelah selatan. Sesekali ayahnya berhenti.

"Hati-hati. Hari Jumaat biasanya serangan ditujukan ke arah masjid."

Bandar Sarajevo nampak lengang. Orang ramai tiada lagi yang berani mendiaminya. Masing-masing mencari perlindungan. Beberapa ekor anjing liar dan burung gagak saja yang sekali-sekala kelihatan.

"Kita ke mana, ayah?" Mohamed Safariv terkinja-kinja dalam pegangan Norajij sambil mengutip serpihan batu-batu di lorong.

"Ke masjid untuk solat Zohor." Ayahnya menjawab sepatah.

Tidak jauh dari masjid itu, langkah mereka tiba-tiba terhenti.

"Apa tu ayah?" jerit Mohamed Safariv seraya mendongak ke langit, di sebelah utara. Sebuah pesawat seperti cendawan meluncur laju dari utara. Bunyinya keras. Cendawan yang memancar sinar dan bunga api kuning kebiru- biruan itu terus meluncur. Seperti petir di malam yang kelam, satu dentuman mengoyak alam dan menggegarkan bumi Bosnia. Beberapa bangunan pencakar langit ranap dirayapi api yang ganas!

"Mereka serang lagi!"

Jemaah yang berhimpun di masjid dan bersedia untuk solat Zohor, lari bertempiaran mencari perlindungan. Norajij cuma sempat merakam kalimat Allahuakhbar daripada ayahnya. Kemudian dia tidak tahu di mana orang tua itu.

Dua hari kemudian di khemah mereka, Mohamed Safariv menangis dan meminta kakaknya mencari ayah.

"Kak, kita cari ayah, kak!" Mohamed Safariv mengheret-heret tangan Norajij mengelilingi khemah. Norajij diam. Air matanya terus menitis. Dia tidak tahu untuk menceritakan di mana ayah mereka sekarang.

Perkhemahan di Gunung Tribinje semakin sesak setiap hari. Kebanyakan penghuninya perempuan dan kanak-kanak. Beberapa kanak-kanak menangis kelaparan. Ada juga yang menangis menahan sakit kerana cedera, sesetengahnya parah. Ada pula yang tidur di atas rumput kering seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Esoknya, penghuni khemah heboh mengenai kehilangan Mohamed Safariv! Pengawal khemah yang berjaga, bergilir-gilir sampai ke pagi, tidak sedar kehilangan Mohamed Safariv.

"Dari awal malam hingga pagi tadi, kami tidak nampak kanak-kanak keluar khemah," jelas Azajic, pengawal yang berbadan tegap. Sepucuk pistol jelas kelihatan di pinggangnya selain tangannya memegang kemas sepucuk rifel M 21. Pada topinya yang dililiti benang emas, tertulis perkataan Allahuakhbar. Tetopi itu tidak pernah lekang daripada kepalanya yang sedikit gondol.

"Allah melindungi dia!" Azajic memujuk Norajij yang tersedu-sedu di sudut khemah.

Udara panas yang meruap dari permukaan bumi menghembuskan bau hanyir yang menyumbat hidung. Bau hanyir itu ada di manamana. Dalam keadaan itulah Norajij melihat bahawa kematian sebenarnya sudah begitu dekat dengan sesiapa saja. Dia sendiri berasa harapan untuk hidup terlalu tipis - setipis sel darah beku di hujung rumput kering!

Dia pejamkan matanya. Dunia kelihatan seolah-olah sudah sampai pada garisan keusangan. Apabila membuka matanya kembali, mayat kelihatan bergelimpangan di celah-celah runtuhan bangunan, di bawah jambatan, di dalam longkang dan di lorong.

Ah! Betapa kejamnya manusia. Kejam!

Norajij bertempik. Suaranya sekadar mampu mengejutkan beberapa ekor anjing liar yang merayau-rayau di lorong sepi Sarajevo. Tiba-tiba seekor anjing liar itu keluar dari celah timbunan batu bata dan runtuhan bangunan sambil menggonggong sepotong tangan manusia yang sudah pucat! Secara spontan Norajij teringat betapa sukarnya untuk mendapat makanan sejak akhir-akhir ini. Dia pasti anjing itu sudah terlalu lapar sejak bandar itu dalam kepungan.

Perutnya sudah mulai terasa memulas. Dia sedar, sejak keluar dari khemah awal Subuh tadi untuk mencari Mohamed Safariv, dia belum menjamah sebuku rotipun. Di saat itulah Norajij terasa nikmatnya bulan Ramadan dan indahnya rukun Islam kelima itu. Kalau tidak, sudah pasti dia tidak berdaya menggerakkan tubuhnya yang terasa semakin lemah.

Sebelum Sarajevo ditimpia bencana seteruk sekarang, Norajij sudah menyarankan kepada rakannya Sahijaj yang bertugas di Kementerian Luar, agar masalah itu dikemukakan kepada PBB.

"Apakah yang dapat diharap pada PBB lagi? Ia hanya jembalang yang bertopengkan manusia. Menilai kemanusiaan itu jauh lebih rendah daripada wang, wang yang kemudian mereka gunakan untuk buat senjata. Semua senjata itu mereka hambur kepada anjing liar itu untuk mengisi kantung mereka, supaya mereka dapat berlagak macam syaitan!" Sahijaj menjuih bibir bawah, mimik kecewa.

"Tak patut PBB lambat-lambatkan bantuan kepada kita. Apakah PBB menyetujui keganasan, kekejaman dan kesengsaraan kita? Atau rakyat kita yang papa kedana ini tidak bernilai dan tak layak untuk ditolong?" Patavoz mencelah tiba-tiba dengan nada kesal.

Patavoz sebenarnya pernah bertugas di hospital Sarajevo dan terpaksa berhenti kerja kerana kaki kanannya tercedera apabila tentera Serbia melancar serangan ke atas hospital itu musim dingin lalu.

"Adakah PBB tidak mempedulikan kita kerana kita miskin?" Norajij menyoal semula seolah-olah terus kecewa. Wajahnya sugul. Dia kecewa dan putus asa dengan penjelasan mereka.

"Oh tidak ... konvoi PBB sudah tiba petang semalam, tetapi mereka telah dihancurkan oleh anjing liar itu di bandar Skelani, di timur laut Sarajevo."

Sadizack berdiri di belakang mereka. Dia baru saja keluar dari khemah pertahanan di Lembah Tribinje di sebelah utara. Tujuannya ialah untuk memberitahu pelarian yang berselerak di kawasan pergunungan Tribinje, tebing Sungai Drina dan lembah Backacj di barat.

Norajij memandang ke hadapan Sungai Drina yang menjadi pemisah di antara Bosnia dengan Serbia, tampak kelam dan suram dalam kilauan sore yang semakin menguning. Dia cuba hayati gerak arus yang mengalir di hadapannya. Rasa sayu, pilu dan tiba-tiba meresap, berpadu membentuk satu kelukaan yang terasa menyiat-nyiat tali jantungnya.

Nyatalah, kedamaian yang dibayangkannya selama ini, kini menjadi keganasan dan kekejaman! Tiba-tiba langkah Norajij terhenti. Ada erangan yang tenggelam-timbul dalam deru angin yang berbau hanyir dari bangunan di pinggir Sungai Drina. Jauh di bahagian utara, terdengar sayup-sayup ledakan dan letupan senjata. "Pertempuran masih berterusan," fikir Norajij. Dia terus melangkah. Wajah Mohamed Safariv terpampang dalam fikirannya.

"Ya Allah!" Norajij separuh menjerit apabila melihat mayat seorang tua dalam keadaan yang amat mengerikan di hadapannya. Kaki kirinya terputus. Darah beku memaliti muka dan seluruh tubuhnya yang kurus lengking. Beberapa ekor lalat hinggap di atas kaki dan mengerumuni bibirnya yang pucat.

Inikah mangsa kebakaran yang berlaku awal malam tadi?

Norajij membayangkan, tidak jauh dari perkhemahan mereka di Gunung Tribinje, di pinggir Sungai Drina, sebelah timur, sebuah bangunan kedai telah dibakar tentera Serbia yang mengganas.

"Mereka sungguh kejam! Kejam! Betul-betul binatang!"

Seorang mangsa kebakaran itu sempat menyelamatkan diri dan lari ke tempat perkhemahan mereka semalam. Dia tercungap-cungap seperti hendak terputus nafasnya.

"Bagaimana dengan ayah dan keluargamu?" Norajij beredar ke dalam khemah mengambil ubat. Dia kemudian dibantu oleh beberapa orang yang lain merawat luka-luka pada kaki mangsa itu.

"Ayahku ... kak, telah dipancung di hadapan kami setelah dia ditangkap semalam. Ibuku ... juga dibunuh dan kakakku ... dia diperkosakan sebelum ditumbuk dengan pisau."

Dia terus meraung.

"Sudahlah. Allah bersama kita," Azajic, pengawal khemah memujuk. Dia bimbang perkhemahan mereka akan diketahui tentera Serbia. Sejak berada dalam pelarian, tiada apa-apa yang mereka bayangkan, selain jerit-pekik kanak-kanak yang dilambung, disepak, dihentak pada dinding-dinding bangunan serta lolongan kaum wanita yang ditangkap dan diperkosakan!

Norajij tersentak apabila bahunya digoncang. Seorang pemuda berbadan sasa dan tegap serta bersenjatakan sepucuk rifel M 21 dengan pakaian hijau keabu-abuan, berdiri di belakangnya.

"Aku cari kau," jelas Azajic sambil menoleh di bawah runtuhan bangunan tempat Norajij bertimpuh.

"Orang tua ni apa yang boleh kita buat untuk menolongnya? Nafasnya masih ada." Norajij berasa lega. Dia menyelak baju labuh orang tua itu. Mata orang tua itu terpejam rapat. Buih-buih merah tersembur serentak dengan turun-naik nafasnya yang lambat-lambat.

"Kau di sini, kenapa?"

Azajic menggeleng-gelengkan kepala seolah-olah kesal dengan tindakan Norajij yang keluar dari khemah tanpa kebenaran pengawal.

"Aku cari adikku, Mohamed Safariv yang hilang semalam."

Norajij masih bertimpuh di sisi orang tua itu. Serentak dia terbayang akan wajah ayah dan ibunya yang mati dalam keadaan yang sama dengan orang tua itu.

"Alhamdulilah, Mohamed Safariv telah kami temui tidak jauh dari tempat pertempuran di Lembah Drina, bersetentangan dengan khemah kita semalam." Azajic cuba tersenyum untuk menangkis kegelisahan di wajah Norajij. "Kini mereka dikawal oleh tentera PBB yang baru tiba waktu Asar tadi."

"Bolehkah aku menjumpainya?" Norajij seperti hendak melonjak. Dia benar- benar tidak sabar untuk mendakap adiknya yang kini yatimpiatu.

Azajic menguis-nguis ketul-ketul batu dengan hujung butnya. Keningnya yang tebal terherot ke tengah dahi.

"Barangkali mereka dibawa ke lapangan Sarajevo. Mengikut berita dari PBB, dengan persetujuan Kementerian Luar kita seramai 264 orang kanak- kanak dan bayi kita akan dihantar ke Malaysia. Di sana mereka akan lebih selamat."

"Ma-la-sia?" Norajij tersentak.

Negara itu terlalu asing baginya. Selama ini dia tidak pernah mendengar nama Ma-la-sia selain negara Arab Saudi, Mesir, Yaman dan Iraq.

"Kenapa ke Ma-lay-sia? Mengapa tidak ke Arab Saudi, ke Mesir dan negara Islam yang lebih kaya dan berpengaruh?"

Entah kenapa perkataan itu tersembur dari lidahnya yang kelu. Dia khuatir, takut negara Malaysia itu bukan negara Islam. Dia bimbang nasib adiknya nanti akan sama seperti nasib mereka di bumi Bosnia juga.

"Malaysia juga negara Islam tetapi kemanusiaannya lebih tinggi daripada negara Islam yang besar dan kaya." Azajic tersenyum seperti mengejek Norajij.

Norajij tunduk. Fikirannya menjadi kalut, kacau dengan beberapa persoalan yang melingkari benaknya. Selamatkah Mohamed Safariv di sana nanti? Tapi, mampukah negara itu memberi perlindungan yang sewajarnya kepada mereka? Ah! Kalau di sini, di bumi yang luka ini, belum pasti mereka selamat.

"... Semoga Allah melindungi kau, adikku." Norajij mengucap doa

"Kita perlu lari dari tempat ini. Tentera Serbia sudah menawan jambatan Sungai Drina," Azajic menuding jari ke arah Sungai Drina yang bertambah kusam. "Kau dengar bunyi tu?"

Norajij mengangguk sambil menatap wajah Azajic. "Bagaimana dengan orang tua ni?" Katanya sambil merenung muka orang tua di hadapannya yang sudah kaku.

"Allah Maha Mengetahui keadaan kita," jawab Azajic, terus melangkah.

Norajij mengekori langkahnya dalam keadaan yang amat lemah. Dia sempat memalingkan muka orang tua itu menghadap kiblat, sebelum mengatur langkah meninggalkan tempat itu.

"Kita ke mana lagi? Ke perkhemahan di Gunung Tribinje?" Norajij tertinggal jauh ke belakang daripada Azajic. Soalan itu seolah-olah ditujukan kepada dirinya sendiri.

"Kita ke Tribinje?" Norajij kuatkan suara.

Azajic terhenti. "Khemah kita dibakar pagi tadi."

Dia berhenti lagi, seolah-olah mendengar sesuatu seperti kambing gurun mengesan musuh. Norajij turut cemas. "Ada apa?"

Azajic senyap. Dia mengusapusap laras M 21nya sebagai langkah berjaga- jaga.

"Orang kita?" Soal Norajij setelah Azajic mengatur langkah semula.

Pasti ramai yang jadi mangsa, fikir Norajij apabila membayangkan kebanyakan daripada penghuni khemah adalah kanak-kanak dan kaum wanita.

"Alhamdulilah, tak ada yang terkorban ... Norajij, kau pergi saja ke Lembah Backhacj di sebelah Barat. Di sana ada perkhemahan orang kita yang dikawal rapi PBB," kata Azajic sambil berdiri sebentar di atas sebonggol batu, memandang jauh ke Lembah Backhacj, di muara Sungai Drina. Api pengawal khemah nampak berkelip-kelip.

"Kau pergilah ke sana, Norajij ..." Azajic menunjuk ke arah api yang berkelip-kelip itu.

"Tapi, kau sendiri ke mana?" Norajij memotong cepat.

Norajij sebenarnya kesal kerana bantuan PBB sudah tidak bermakna lagi baginya. Ah, tidak guna sebut PBB lagi. Beribu-ribu jadi korban, mati kebuluran.

"Aku ke Lembah Tribinje, membantu pejuang kita di sana!"

Azajic mengatur langkah menuju ke Gunung Tribinje, diekori pula oleh Norajij tanpa rasa gentar dan takut. Azajic menoleh. Begitu kuat semangat jihad wanita ini, bisik hatinya.

Dentuman, letupan senapang dan ledakan bom semakin ganas, merabaki persekitaran Gunung Tribinje yang hanya dihiasi rumput kering dan serpihan batu yang keras dan tajam menggerigis. Warna senja yang kemerahan di puncak pergunungan itu, tampak hitam dicemari asap bom dan gas pemedih mata yang dilontar oleh kedua-dua pihak yang bertempur. Mereka terus melangkah.

Suasana semakin kalut, kacau dan hinggar-binggar. Lolongan dan jeritan mangsa peperangan menyayat hati. Norajij sedar jeritan dan lolongan itu adalah daripada orang Bosnia yang kebanyakannya hanya bersenjata pedang dan pisau. Bunyi ledakan bom berdentam-dentum dan diselang-seli oleh pekikan meriam dan peluru berpandu yang bergemelentam, merabak kawasan pergunungan Tribinje yang menjadi medan pertempuran sengit kedua-duanya belah pihak.

Norajij melangut. Nafasnya kencang, sekencang dentuman yang menggegarkan kawasan anak bukit tempat mereka berpijak itu.

"Perlukah kita ke tempat pertempuran?" Tiada jawapan. Suaranya dirampas angin kering berbau hanyir sebelum dapat dirakami oleh cuping telinga Azajic yang sudahpun berdiri beberapa meter di hadapannya.

Tekaknya semakin kering. Dia cuba menelan air liur tetapi terasa pahit, kelat dan liat. Dia menoleh ke kanan dan ke kiri, mencari kalau-kalau ada bekas tin yang menakung air. Hampa. Dia sedar bumi Bosnia sudah beberapa minggu tidak dirintiki hujan. Dia terpaksa sedut udara berdebu di sekitarnya untuk melegakan sedikit rasa panas tekaknya. Norajij terhidu bau hangit belerang letupan menyusuk hidung.

"Ayah ..!" Norajij tiba-tiba menjerit. Dia terbayangkan wajah ayahnya, Mohamed Sahijavic terbaring dengan darah berlumuran di seluruh badan. Mayat ayahnya disepak-terajang kemudian disiat-siat dengan benet seperti menyiat daging anjing laut di musim dingin di muara Sungai Drina.

Ketika itu dia seperti melihat peristiwa kejam dalam buku Mountain Wreath karya Peter Petrovic Njegos berulang lagi. Dia juga seperti melihat sang pembunuh kejam bangsa Montenegro Pavino Polje hidup semula dan membunuh lebih ramai lagi orang Islam Bosnia, lebih ramai daripada yang dilakukannya pada November 1924 di Sahovici.

Duuumm!!!

"Allahuakbar ...!" Norajij tersentak, terpinga-pinga bagaikan kuda liar ketakutan.

"Ya, Allah!" Norajij menjerit.

Azajic di hadapannya tergolekgolek di atas rumput kering berdebu dengan kakinya terkinja-kinja menujal tanah. Darah merah pekat berbusa-busa dari rongga dadanya.

Norajij cepat-cepat membuka skaf coklatnya, kerana berdebu, dan menampal liang di dada Azajic. Anak mata Azajic perlahan-lahan nampak layu dan kemudian tidak bergerak lagi.

Perlahan-lahan Norajij merapatkan kedua-dua belah tangan Azajic menyilang dada. Dengan sebaris alfatihah dia memalingkan muka pucat Azajic menghadap ke kiblat.

"Hanya ini yang mampu aku lakukan untukmu sebagai bukti ... kita adalah hamba Allah yang sama," bisiknya. Kemudian Norajij meninggalkan jenazah Azajic dan turun ke cerun anak bukit itu.

"Ayahku, ibuku, Azajic ... ya Tuhan betapa bumi ciptaan-Mu ini sudah tidak bermakna lagi ... sudah dipenuhi noda dan dosa, kekejaman dan keganasan daripada manusia yang Kaucipta. Ya Allah, masih adakah ruang untuk hamba-Mu berteduh?" Norajij berdoa sambil melangkah menghampiri secebis plastik hitam di celah-celah batu yang menakung sedikit air.

"Norajij!"

Norajij terhenti. Mata kuyunya melilau mencari arah dari mana datang suara yang bergema itu. Hatinya berdegup kencang, sekencang turun-naik anak tekaknya yang kekeringan. Tiada apa-apa yang dia nampak selain daripada batu dan rumput kering. Norajij melangkah lagi ke arah plastik itu.

"Norajij!"

Norajij tidak peduli. Dia terus menghampiri bekas plastik yang menakung air itu. Tekaknya sudah benar-benar kering!

"Kau Norajij?"

Norajij berpaling. Seorang tentera Serbia tercegat di belakangnya sambil menghentak buntut M 16nya ke tanah. Matanya tenang merenung Norajij yang terengsot-engsot menghampiri bekas plastik di hadapannya. Dia tahu Norajij kehausan.

"Minumlah!" Tentera itu menghulur tabung airnya kepada Norajij sambil tersenyum. Senyumnya dibuat-buat untuk menunjukkan simpati.

"Biar aku mati sekalipun, aku tidak akan mengemis bantuanmu, anjing!" Dengan biadab Norajij menjawab tanpa memikirkan akibat daripada perkataannya itu.

"Norajij, pertolonganku ikhlas, atas dasar persaudaraan. Bukankah kita tinggal berjiran di pinggir bandar Sarajevo beberapa tahun yang lalu?"

Norajij menatap mata askar yang berpakaian keperang-perangan itu dengan mata yang tidak berkelip. Dalam hatinya membeku segunung dendam.

"Buat apa kau sebut pasal persaudaraan dan jiran, kalau kau sendiri jadi pembunuh?" Suara Norajij parau kerana tekaknya kering. Air mata tergenang menahan marah. Rasa-rasa ingin diterkamnya askar itu.

Norajij kenal, askar Serbia itu adalah jirannya, rakan sepermainan di zaman kanak-kanak dahulu. Mereka pernah bermain dan belajar bersama di Sarajevo. Kini peperangan, keganasan dan kekejaman mengubahkan segala- galanya. Kekejaman tidak kenal jiran! Keganasan tidak kenal erti persahabatan!

"Aku terpaksa Norajij ... terpaksa ..." keluh tentera itu lagi dengan nada penuh simpati. Dia memandang sekeliling seperti orang yang curiga. Letupan, dentuman masih bergema di sebalik Gunung Tribinje.

"Kerana terpaksa kau sanggup jadi pembunuh? Sanggup jadi syaitan dan sanggup jadi anjing Serbia? Sampai hati kau Alijac, memutuskan tali silaturahim kita yang telah terjalin sejak zaman kanak-kanak dulu."

Askar yang bernama Alijac itu tunduk, seolah-olah kata-kata Norajij itu adalah pedang yang menusuk jantung. Dadanya sebak.

"Norajij, kau larilah ke tempat yang selamat, tu kau nampak ...?" Alijac memuncungkan bibirnya ke arah sekumpulan tentera Serbia yang sedang mara ke arah mereka.

"Norajij, larilah ..." Alijac memujuk terus, sambil menarik seluarnya yang terlondeh kerana ditindihi tabung air, peluru, pisau dan beberapa biji bom tangan.

"Larilah, mereka sedang mara ke sini."

"Tak mau!"

"Kau mau mati dibunuh oleh tentera tu?"

Norajij mengangguk. Dia menyeka pelupuk mata dengan hujung jarinya yang berdebu. Dalam fikirannya wajah ayah, ibunya dan Azajic terpampang jelas.

Alijac menggeleng-gelengkan kepala.

Beberapa orang askar Serbia sedang mara ke arah mereka dengan langkah yang cepat. Alijac sendiri tidak pasti apakah tentera itu tahu mereka berada di situ atau tidak.

"Larilah Norajij ..." pujuk Alijac lagi. Tentera Serbia itu sudah berada di kaki anak bukit itu.

Norajij geleng lagi. Air matanya semakin deras.

"Nah...ambillah. Aku faham perasaan kau." Alijac menghulur sesuatu kepada Norajij. Norajij menyambutnya dengan tangan terketar-ketar.

"Begini ..." Alijac mencabut kunci. Jarum meter bergerak.

"Satu .. dua .. tiga .. lontar..!" Alijac berteriak dan terus menyembam muka pada rumput kering.

Dengan sisa-sisa tenaganya, Norajij menghayunkan tangannya ke udara menghala kepada tentera Serbia yang sedang mara ke arah mereka dengan laungan: "Allahuakbar ..!"

Duuummm ...!

Beberapa saat saja, meledak satu dentuman yang amat keras menggegarkan cerun anak bukit itu, diikuti oleh dentuman yang bertubitubi seolah-olah di situlah kumpulan musuh yang paling ramai!

"Aduhh!"

Norajij menoleh pada Alijac. Alijac terguling-guling menuruni cerun anak bukit itu. Serentak ingatannya kembali kepada pemuda yang menghulurkan tabung airnya tadi. Norajij cuba membantu, berdiri, melangkah beberapa langkah ke arah Alijac.

Tiba-tiba dadanya terasa panas! Ada sesuatu yang menembusi rongga dadanya. Norajij tersungkur. Bunyi letupan semakin keras dan berdentam- dentum.

Perlahan-lahan Norajij berusaha memalingkan mukanya menghadap kiblat, menuju ke muara Sungai Drina. Bola tembaga sudah tenggelam di sebalik puncak Backhacj; warna itu terus mengusam menjadi kelam.

Sepi...

Wednesday, October 29, 2014

Untuk Muhana

Oleh Lee Hui Sen @ Nurlee Huisen

LUKA sungguh hati Bumidin apabila mengingat semula kata-kata teman sekelasnya. Di sepanjang perjalanan menaiki bas pulang pada hari itu, kata-kata kesat Rosdan, Yap Sing, Zaimah, Puspa dan lain-lainnya terdengar lagi di telinga Bumidin. Darahnya menyirap bagaikan berhadapan semula dengan teman-teman sekelasnya itu.

"Engkau diamlah," terdengar semula kata-kata Rosdan di telinga Bumidin. "Jangan kau memandai nak buat cadangan. Kalau kau pandai sangat buat duit, mengapa bukupun tak mampu beli?"

"Heh Rosdan," sahut Bumidin agak keras. "Memang betul aku tak cukup duit nak beli buku. Tapi itu soal lain. Sekarang Muhana sakit. Tak boleh ke aku buat cadangan untuk menolong?"

Muhana ialah pelajar yang cerdas, tingkah lakunya cukup sopan. Wajahnya yang menarik menjadikan dia amat popular, terutama di kalangan pelajar lelaki; bukan saja di kalangan Tingkatan Empat Biru, malah di seluruh sekolah. Tetapi agak malang, di sebalik kecerdasan dan perangai lemah- lembut itu, dia mengidap ketumbuhan dalam otak dan kini dirawat di hospital.

Guru Besar telah melancarkan Tabung Muhana bagi membantu pelajar kesayangan sekolah itu menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

"Ala, Bumi," sampuk Yap Sing. "Janganlah naik radang pulak. Kan apa yang Dan kata tu betul. Kalau engkau tak mampu, tak usahlah buat macam-macam cadangan. Diam sajalah."

"Sebenarnya Bumi tak mahu ketinggalan, Yap," tambah Puspa. "Maklum orang ada hati dengan Hana."

Mendengar kata-kata itu, Bumidin naik radang dan merenung tepat ke muka teman sekelasnya itu. Rasanya mahu dia menerkam dan mencekek leher Puspa kuat-kuat sampai terjelir lidahnya. Rasanya mahu dia menerpa dan melepaskan penampar kepada Yap Sing dan Rosdan. Tetapi belumpun sempat dia berbuat apa-apa, Cikgu Syukur muncul di pintu bilik darjah. Dengan segera Bumidin duduk.

"Hiruk-pikuk saja bunyinya tadi. Ada apa Rosdan?" Tanya Cikgu Syukur. Beliau tahu Rosdan memang kaki buat bising apabila guru tidak ada dalam kelas.

"Tak ada, Cikgu," jawab Rosdan bersahaja. "Bumi ni. Macam-macam pulak dia buat cadangan, kan Yap?" Tambahnya sambil menoleh ke arah Yap Sing, minta sokongan agaknya.

Harapan Rosdan supaya Yap Sing memberi sokongan berhasil. Dia bangun dan melaporkan kepada Cikgu Syukur bagaimana Bumidin membantah apabila teman- teman lain bercadang menetapkan jumlah pungutan untuk disumbang kepada Tabung Muhana. "Dahlah dia sendiri tak mampu; lepas itu dia larang pula orang lain beri derma," jelas Yap Sing menamatkan laporannya.

"Patutnya kalau tak mampu, diam sajalah, kan Cikgu!" Tambah Zaimah dengan suara manjanya. Dia memang suka mendapat perhatian guru, itulah maka dia buatbuat suara manja apabila bercakap. Dia sedar, kawan-kawan seperti Muhana bersuara manja mendapat perhatian Cikgu Syukur. Tetapi dia tidak sedar bahawa Muhana disayangi guru kerana pelajar itu rajin dan tekun belajar.

"Hmmm," seru Cikgu Syukur sambil menyelinap memerhatikan tingkah-laku seluruh kelasnya. Kemudian pandangan beliau terhenti pada Bumidin. Beliau sedar Bumidinpun pelajar yang tekun dan rajin, tetapi oleh kerana tinggal jauh di kampung dan ayah pula sudah meninggal, maka kemajuan pelajarannya tidak berapa baik.

"Ya, Bumi," seru Cikgu Syukur. "Betulkah kamu tak setuju dengan cadangan kawan-kawan nak buat pungutan untuk Muhana?"

"Bukan tak setuju, Cikgu," jawab Bumidin membela diri. "Saya, kalau diminta menderma, maka saya tak mampu. Tapi..."

"Kalau tak mampu, tak payahlah," potong Rosdan. "Itu kan derma. Tak ada paksaan."

"Nanti, nanti Rosdan," larang Cikgu Syukur. "Saya tanya Bumidin, ni. Kamu jangan masuk campur dulu."

Sejuk sedikit hati Bumidin mendengar Cikgu Syukur menegah Rosdan begitu. Setidak-tidaknya teman-teman yang membidasnya itu sedar bahawa dalam kelas mereka itu ada orang yang lebih berkuasa. Bumidin berharap dia diberi peluang menjelaskan cadangannya yang sebenar.

"Ya, Bumi," sambung Cikgu Syukur. "Teruskan apa yang hendak kamu cakapkan tadi."

"Cikgu," sambut Bumidin, "semasa berbincang-bincang tadi, saya cadangkan supaya semua orang dalam darjah ini buat kerja macam yang kita buat dalam Minggu Pengakap. Dengan upah yang kita dapat, kita dermakan untuk Tabung Muhana."

"Mmmm," seru Cikgu Syukur lagi setelah berfikir seketika. "Baik cadangan Bumidin ini. Cuma, kita tak ada masa agaknya nak buat cara itu kali ini."

Seterusnya Cikgu Syukur menerangkan bahawa Muhana terpaksa dibedah pada minggu hadapan, kalau tidak dia mungkin tidak boleh diselamatkan. Pembedahan itu akan memerlukan belanja sebanyak RM10,000. Sebagai seorang kerani, ayah Muhana tentu tidak dapat mencari wang sebanyak itu dalam waktu yang begitu singkat. Itulah maka pihak sekolah menubuhkan tabung untuk membantunya.

"Jadi," putus Cikgu Syukur. "Tak apalah Bumi. Kalau tak dapat menderma kali ini, lain kalipun boleh."

"Lain kali tak ada canlah dia nak menderma untuk Muhana, Cikgu," usik Puspa.

Malu juga Bumidin kerana selalu sangat diusik-usik begitu, walaupun hatinya tidak membantah. Untuk menyembunyikan minatnya terhadap Muhana, dia berdiri lalu bersuara: "Puspa, Puspa. Cakap baik-baik sikit, tauu!"

"Alaaa, mengaku sajalah Bumi," sambut Puspa sambil mencebik bibirnya.

"Puspa! Puspa!" Herdik Bumidin.

"Hei, hei Bumi," sergah kondaktor bas sambil menepuk bahu Bumidin. "Dah ada Puspa ke engkau ni. Kok ya pun, janganlah sampai mengigau siang!"

Bumidin tidak menjawab, tetapi menggeleng-gelengkan kepalanya. Melihat itu kondaktor bertanya apa sebenar yang difikir oleh pelajar yang dipanggilnya Bumi itu. Dari apa yang dilihatnya, Bumidin memang seorang pelajar yang baik.

"Hei Bumi. Abang tanya ni. Ceritalah," desak kondaktor apabila melihat Bumidin terus membisu.

Setelah berfikir seketika, Bumidin pun menceritakan apa sebenarnya yang difikirkan. Dia memberitahu kondaktor yang dipanggilnya abang itu apa sebenarnya yang berlaku di sekolah. Abang kondaktor mendengar dengan teliti. Akhirnya setelah berfikir seketika, dia mencadangkan sesuatu kepada Bumidin.

"Kalau setuju, lepas sekolah esok datang jumpa abang di setesen," janji kondaktor.

Muka Bumidin kelihatan cerah berseri-seri seperti wajah anak kecil dapat gula-gula. Dia meramas-ramas tangan kondaktor tanpa menghiraukan penumpang-penumpang lain. Sambil itu bertalu-talu dia berjanji akan berjumpa lagi esoknya di setesen.

Sampai di rumah petang itu, Bumidin tidak banyak cakap. Apabila emaknya bertanya, dia menjawab sepatah dua saja. Malah apabila disuruh makan, dia makan bagai mengalas perut saja. Dia tidak banyak cakap, dia tidak lalu makan kerana memikirkan rancangannya.

Esoknya di sekolah Bumidin mendiamkan diri saja walaupun kawan-kawan yang lain terus bercakap mengenai Tabung Muhana. Ada yang meninggi bersuara mengatakan mereka telah dijanjikan oleh ibu bapa, abang dan kakak masing-masing. Ada pula yang merancang tidak akan ke kantin selama seminggu untuk mengumpul wang bagi mengisi tabung itu. Macam-macam lagilah yang dicakapkan sehingga waktu guru mengajarpun fikiran mereka tertumpu pada Tabung Muhana.

Pada waktu rehat hari itu ramailah pelajar yang tidak ke kantin, bukan saja teman sekelas Bumidin, tetapi dari kelas-kelas lain juga. Mereka cuma berkumpul di bawah pokok ketapang dan di kawasan teduh berhampiran dewan sekolah. Kebanyakan mereka berbual mengenai penyakit Muhana dan tabung untuk membantunya.

"Tengok Bumi," ucap Yap Sing apabila pelajar semua masuk ke dalam kelas semula. "Kami sanggup tak ke kantin kerana hendak membantu kawan."

"Bumipun tak ke kantin nampaknya tadi. Bolehlah dia turut menderma, Yap," tambah Rosdan dengan nada menyindir.

"Patutnya waktu rehat tadi Bumi pergi cari kerja di rumah orang, kan," usik Zaimah meninggi dan tetap bersuara manja.

Macam-macam lagilah sindiran yang ditujukan kepada Bumidin. Nadinya berdenyut kencang kerana marah, tetapi dipaksanya bersabar. Apabila loceng akhir berbunyi hari itu, barulah haitnya lapang sedikit. Dia terus bergegas ke setesen bas untuk berjumpa kondaktor.

Demikianlah yang berlaku setiap hari selama seminggu. Sebaik saja loceng akhir berbunyi, Bumidin bergegas keluar kelas dan berjalan dengan lajunya menuju bandar. Tetapi teman-teman sekolah yang tinggal sekampung hairan, kerana walaupun keluar cepat, Bumidin tidak pulang dengan bas yang mereka biasa naik.

Di sekolah pula Bumidin terus mengasingkan diri. Dia tidak ambil tahu mengenai Tabung Muhana lagi. Tetapi teman-temannya, Rosdan, Yap Sing, Zaimah, Puspa dan lain-lainnya semakin rancak bercakap mengenai tabung itu.

"Hei Rosdan," seru Zaimah dua hari sebelum hari akhir untuk menderma. "Kita dengar pelajar-pelajar Tingkatan Lima Hijau dah berjaya kumpulkan RM200."

"Akupun tauuu," jawab Rosdan. "Dia orang boleh kumpul cepat sebab semua orang sanggup menderma. Kita tengoklah, berapa kerat saja ada." Dia sengaja bercakap kuat supaya didengar oleh Bumidin.

"Dahlah begitu. Mana yang menderma, tak sampai RM1 pun," tambah Puspa.

"Tak apa Puspa," celah Yap Sing. "Esok bila cikgu baca satu persatu nama kita, nah taulah kita siapa menderma siapa tidak dan banyak mana."

Sindiran teman-temannya itu didengar saja oleh Bumidin; sedikitpun dia tidak menjawab. Kebetulan pula selain dia, ada seorang dua pelajar lain yang tidak mampu menderma. Namun, dia tahu, kebanyakan sindiran itu ditujukan kepadanya.

"Tak apa," bisiknya dalam hati. "Hari ini giliran dia."

Tetapi hingga ke hari akhir menyerahkan derma, Rosdan dan kawan-kawannya terus menyindir Bumidin. Mereka cukup seronok apabila mendengar Cikgu Syukur akan membacakan nama penyumbang yang banyak menderma.

"Baik. Buat kali terakhirnya, siapa hendak menderma silakan," kata Cikgu Syukur sambil memegang senarai nama pelajarnya.

Sebelum itu mereka telah menyerahkan derma masing-masing, lepas seorang, seorang. Ada yang menderma seringgit dua, ada yang menderma sepuluh lima belas ringgit, malah ada yang menyumbang dua tiga puluh ringgit. Maka banyaklah wang yang terkumpul.

"Ya Rosdan," seru Cikgu Syukur semasa Rosdan muncul dengan dermanya. "Berapa awak nak derma?"

"Dua puluh lima, Cikgu," jawab Rosdan sambil menghulurkan sumbangannya kepada Cikgu Syukur.

"Dan kamu, Yap?"

"Tiga puluh, Cikgu," jawab Yap Sing sambil menghulurkan tiga keping wang kertas merah.

"Haaa. Kamu berapa pula, Zaimah?"

"Dua puluh, Cikgu," jawab Zaimah dengan manjanya. Sambil itu dia menghulur dermanya kepada Cikgu Syukur.

"Puspa berapa pula?"

"Dua puluh juga, Cikgu."

"Wah bagus nampaknya," puji Cikgu Syukur sambil membilang duit yang di atas mejanya. "Rosdan dan kawan-kawannya banyak menderma. Tak sia-sialah mereka heboh-heboh berkempen."

Mendengar pujian Cikgu Syukur itu, Rosdan dan kawan-kawannya tersengih ketawa. Dengan megahnya mereka menoleh ke kiri dan ke kanan. Mereka yakin akhirnya Muhana sendiri akan tahu sumbangan mereka itu.

"Cikgu, bacakanlah sekarang nama mereka yang menderma dan jumlahnya sekali," tiba-tiba Zaimah bersuara, mengingatkan Cikgu Syukur.

"Ya, biar semua orang tahu siapa banyak menderma dan siapa tidak," tambah Puspa.

"Tak payahlah semua," jawab Cikgu Syukur sambil tersenyum. "Cukup kalau saya beritahu siapa-siapa yang menderma agak banyak."

"Dua puluh ringgit ke atas, ya Cikgu," cadang Zaimah.

"Baiklah, dua puluh ke atas," Cikgu Syukur setuju. "Azmi, Yap Sing dan Huan Haa, tiga puluh; Rosdan, Badrul dan Chong Lee, dua puluh lima; Zaimah, Puspa dan Panadurai, dua puluh dan ramai juga yang menderma lima belas dan sepuluh."

Lagi sekali Rosdan dan kawan-kawannya tersenyum lebar. Cikgu Syukur turut tersenyum melihat telatah anak-anak muridnya. Mereka yang gagal menderma pun turut tersenyum, tetapi tidaklah selebar senyuman Rosdan dan Yap Sing.

"Semua sekali kita berjaya mengumpul RM534," beritahu Cikgu Syukur. "Ada siapa-siapa lagi hendak menyumbang sebelum saya serahkan wang ini kepada Guru Besar?"

Semua murid menoleh ke kiri dan ke kanan; lebih-lebih lagi Rosdan dan kawan-kawannya. Cikgu Syukur juga memerhatikan anak muridnya; lepas seorang, seorang. Setelah dirasanya tidak ada lagi sesiapa yang hendak menderma, beliau memasukkan wang ke dalam sampul surat dan menulis jumlahnya pada sampul itu.

"Tunggu sebentar, Cikgu," tiba-tiba seru Bumidin sambil berdiri. Pada ketika yang sama, dia berjalan menuju meja Cikgu Syukur. Guru dan murid- murid lain mengekori langkahnya dengan penuh tandatanya.

"Ya, Bumi?" Seru Cikgu Syukur apabila Bumidin sampai cukup dekat dengan mejanya. "Apakah kamu hendak menderma juga?"

"Ya, Cikgu," jawab Bumidin sambil menghulurkan wang sebanyak tiga puluh lima ringgit kepada Cikgu Syukur. "Inilah yang mampu saya kumpulkan, Cikgu."

"Terima kasih Bumi. Terima kasih," ucap Cikgu Syukur bagaikan tidak itu.

"Sekadar mampu, Cikgu," ucap Bumidin berulang kali.

Rosdan, Yap Sing, Zaimah, Puspa dan lain-lainnya yang selalu menyindir Bumidin bagaikan terpukau kerana tidak menyangka teman mereka yang miskin itu boleh turut menderma. Mereka juga rasa amat malu kerana Bumidin menderma lebih banyak daripada mereka. Di antaranya, ada yang terpegun dan malu. Rosdan tertanyatanya dari manakah Bumidin dapat wang sebanyak itu?

"Ya Bumi," seru Cikgu Syukur. "Nak beritahu kawan-kawan tak macam mana Bumi dapat duit ini?"

Bumidin menggetap bibirnya sambil menoleh ke kiri dan ke kanan. Kemudian pandangannya tertumpu pada Rosdan dan kawan-kawannya. Mereka tertunduk, tidak berani mengangkat muka. Melihat mereka tertunduk itu, Bumidin terus menceritakan bagaimana dia bekerja untuk mendapatkan wang itu.

"Tolong kuat sikit, Bumi," suruh Cikgu Syukur apabila menyedari murid- muridnya yang di belakang tidak dapat mendengar Bumidin.

Bumidinpun bercakap dengan lebih kuat dan lancar. Tanpa segan silu dia menceritakan bagaimana kondaktor memperkenalkannya kepada pengurus syarikat bas. Dengan simpati tuan pengurus itulah Bumidin dibenarkan mengambil upah mencuci bas setiap petang.

"Bumi," seru Cikgu Syukur lagi, menepuk-nepuk bahu Bumidin. "Saya cukup bangga dengan kamu. Saya yakin Muhana sendiri akan bangga dengan sumbangan kamu."

Bumidin cuma tersengih sementara ingatannya bersama Muhana di ketika itu. Tetapi dengan spontan murid-murid yang lain memberi tepukan, termasuk Rosdan dan kawan-kawannya.

Seperti Cikgu Syukur, mereka bangga juga dengan sumbangan Bumidin.

‘Giveaway Cuti Sekolah By JiwarOsak‘

Sesambil melayan cerpen setiap hari, sesekali meh layan giveaway pula... ternyata hadiah sangat menarik yang ditaja oleh penganjur². Jom sertai!!!

Giveaway Cuti Sekolah by JiwarOsak.Com
Mari Sertai Giveaway Cuti Sekolah By JiwarOsak.Com


Hadiah Terkumpul
Cash : RM 390
Topup : RM 195
Barangan : Tudung Pashmina x 1, Shawl x 2, Novel Sanctuaria x 1, Tudung Aidijuma x 1, Bantal Handmade x 2

Terima Kasih kepada Sponser

AbgferOz | MahaMahu | Yanty Lee | Afzal Sukasuki | Mawar Biru | Cik Pjaz | Ieta Mat Sa’ad | Mohamad Nasir | Yan Saflina | UmmiMama |Mohd Noor Shawal | Dila KazUha | Doktor Pemasaran | Helmi Julia | Nadia Johari | Suzlin Azreena Nordin| Nurul Syarafina II | Khaty Aiman| KyLe Kesha | Cik Yaya | Putery Memory | Edo Hayra | Delima Zamrud | Karen Nisa 

Untuk menyertai Giveaway Cuti Sekolah anda boleh klik Banner atau SILA LIHAT SINI

Tuesday, October 28, 2014

Bermukun

Oleh Ahmad Sabu

SENJA itu cuacanya panas benar. Tuah masih bersandar malas pada pohon kelapa yang condong menghala ke Sungai Sadong. Bintik-bintik peluh jantan melekat di badannya. Sehari suntuk dia menebas huma bapanya di Lubuk Kemayo benar-benar melumpuh tenaga mudanya. Dia cuma mengamati arus Sungai Sadong mengalir tenang dan lesu, setenang fikirannya dan selesu badannya.

"Tuah. Malam ini kita menonton gendang di rumah Haji Badar." Tiba-tiba saja kedengaran orang menegurnya dari arah jalan kampung yang tidak jauh dari tebing sungai. Tuah menoleh ke arah suara itu. Kadir, rakan sekampungnya menghampirinya.

"Apa hal rumah Haji Badar tu?" Tuah bertanya acuh tidak acuh.

"Makan selamat cucunya." Kadir menjelas ringkas.

"Jadi nak adakan temasya bergendang juga?" Tuah sekadar inginkan kepastian.

"Yalah. Ayuh, kita menonton malam nanti. Dah lama tak bertandak." Kadir mengulangi hasratnya.

"Tak naklah. Letih sangat ni." Tuah nampak keberatan.

"Hey! Jangan lepas peluang, tau. Aku dengar Badar jemput syeh gendang dari Meran. Hebat ceritanya." Kadir cuba meyakinkan Tuah.

"Mana ada syeh gendang yang hebat lagi masa ni?" Tuah cuba meningkah pujian Kadir, tetapi apabila mendengar syeh atau mak gendang itu dari Meran dia ingin mempercayainya. Memang syehsyeh gendang dari Meran atau Samarahan itu terkenal hebat. Tuah ingin benar mempercayainya.

"Kau belum lihat lagi dah cakap banyak. Nanti bila dia cabar kau bermukun baru kautau." Kadir cuba memberangsangkan Tuah.

"Apakah ada orang lain yang sehebat aku bermukun di kampung ini?" Tanya Tuah sekadar untuk memperli rakannya.

"Yalah. Apa pun, kita menonton malam ni ya?" Kadir melembut, sengaja untuk mendapat persetujuan Tuah.

"Yalah. Yalah." Tuah meningkah tanda setuju. Lepas itu dia pun menuruni tangga tebing sungai untuk mandi. Kadir mengatur langkah dan beredar dari situ.

"Jangan lupa! Aku tunggu kau di rumah Badar malam ni." Kadir meninggikan suara sambil menghilang dalam kegelapan senja.

Malam itu ramai anak muda Kampung Serian berkumpul di rumah Badar. Rumah itu terang-benderang. Dari dalam ruang tamu rumah itu sesekali kedengaran pukulan gendang yang agak tidak menentu dan sumbang nadanya. Pasti anak- anak kecil sedang bermain dengan gendang atau rebana. Tuah dan Kadir cuma menjenguk-jenguk dari arah jalan, melihat dari jauh akan keadaan di ruang rumah itu. Apabila syeh atau mak gendang memukul gendang dengan hebat dan rancak barulah mereka mengorak langkah masuk bertandak. Langkah tandak mereka diatur mengikut alunan irama pukulan gendang.

Tabir yang setinggi bahu sudahpun direntang di ruang tamu. Tabir bawah pula yang setinggi duduk gadis direntang juga di bahagian bawah, sekadar sebagai pemisah antara anak-anak gadis yang menemani syeh gendang di belakang tabir dengan anak-anak muda yang akan bertandak. Gelanggang tandak itu nampaknya sudah bersedia untuk digunakan. Sayup-sayup kedengaran bunyi biola yang dicuba untuk mengiringi pantun yang akan didendangkan oleh syeh gendang nanti.

Dari ruang tengah sesekali kedengaran tepukan anak-anak muda yang sudahpun duduk-duduk lebih awal, mengikut rentak irama bisikan biola yang masih sumbang. Tuah dan Kadir cuma memasang pendengaran mereka, cuba membaca rentak-rentak yang masih agak sumbang itu.

Tiba-tiba pukulan gendang yang rancak kedengaran menghingar-bingarkan suasana. Ia bertambah hebat apabila diikuti dengan gesekan biola yang cukup teratur mengikut rentak gendang. Kadir dan Tuah bertikam pandang. Tuah cukup kagum mendengar pukulan yang begitu hebat. Sudah lama benar dia tidak terdengar pukulan gendang sehebat itu.

"Apa macam?" Kadir meminta pandangan Tuah.

"Wah! Hebat, Dir." Tuah mengakui.

"Itulah. Tadi aku cakap, kau main-main aku." Kadir meningkah bangga.

"Belum dengar belum tau, Dir." Tuah mempertahankan dirinya.

"Ayuh! Mari kita bertandak," Kadir sudah tidak sabar-sabar lagi.

"Ayuhlah naik!" Seorang lelaki tua melaung dari atas, menjemput anak- anak muda yang masih di halaman supaya naik bertandak. Beberapa orang anak muda lalu bergegas naik, dan dengan agak segan terus duduk di ruang tengah.

"Ayuhlah! Kita naik bertandak," ajak Kadir sekali lagi.

"Tunggulah dulu, Dir. Mak gendang belum berpantun lagi. Kau ni tak sabarlah," Tuah cuba menenangkan rakannya itu. Dan seperti ada arahan pula, ketika itu juga syeh gendang mendendangkan pantunnya dengan suara lantang yang cukup merdu. Sekali lagi Kadir dan Tuah bertukar pandangan. Sudah lama benar mereka tidak mendengar nyanyian pantun syeh gendang semerdu dan selantang itu. Dan sudah lama benar mereka tidak mendengar pukulan gendang yang serancak dan sehebat itu.

"Hebat syeh gendang ni, Dir," Tuah mengakui.

"Memanglah. Tadi dah kukatakan," Kadir cukup bangga dengan pujiannya tadi.

"Kaucakap-cakap saja. Mana kautau syeh gendang tu hebat?" Tuah masih ingin hendak mematikan keghairahan rakannya.

"Badar sendiri yang bagi tau aku. Katanya, dia jemput syeh gendang yang hebat dari Kampung Samarahan," Kadir masih mahu mempertahankan kebenaran kata-katanya. "Kau dengar tu. Bagaimana?" Kadir minta pendapat Tuah.

"Memang hebat, Dir," Tuah mengakui. Dan Kadir tahu, apabila Tuah sudah memuji begitu, dia tidak perlu ragu-ragu lagi. Syeh gendang jemputan Badar itu tentu cukup hebat. Kadir mempercayainya sungguh-sungguh.

"Kalau gitu, mari kita naik bertandak," Kadir tidak dapat lagi menahan sabarnya. Dia terus menarik tangan Tuah sambil menjenguk-jenguk dari tangga ke pintu masuk.

"Dan kalau dia cabar kita bermukun, kau bermukun, ya?" Tuah cuma memperlikan rakannya.

"Hiss! Kau ni. Mana aku pandai bermukun. Aku bertandak saja. Kaulah yang bermukun," Kadir menolak sungguh-sungguh. Dalam pada itu sudah kedengaran syeh gendang mendendangkan pantunnya menjemput hormat Kadir dan Tuah yang terjenguk-jenguk di tangga.

"Apa dijeruk asam belimbin

abang berdua asam belimbin

kurang jualah masin, kuranglah masin ditambah garam

apalah dijenguk di luar dindin

abang berdua di luar dindin,

kalau jualah sudi, kalaulah sudi masuk ke dalam."

Nyanyian itu cukup mencabar dan menjemput, seperti biasa, sesiapa saja yang masih terjenguk-jenguk di halaman. Anak-anak muda yang berada di ruang tengah sudah terjenguk-jenguk pula untuk melihat siapa yang disindir-sindir sambil dijemput oleh mak gendang itu.

"Naiklah. Mak gendang dah jemput tu," lelaki tua separuh umur menjemput lagi. Kadir tidak dapat bertahan lagi. Dia pun naik dan menuju ke ruang tengah dan terus memulakan rentak langkah tandaknya. Tuah tiada pilihan lain. Dia terpaksa ikut. Sambil menjual senyum manja kepada syeh gendang yang bersembunyi di belakang tabir Tuah sudah mengikut rentak Kadir bertandak. Pukulan gendang semakin rancak dan hebat. Bisikan biola semakin mengancam. Sorakan anak-anak muda yang hingar-bingar menghidupkan lagi suasana yang semakin memuncak rancaknya.

Mak gendang terus mendendangkan pantunnya dengan cukup kemas.

"Kebun siapa berjambu batu

kebun pak Mail di kampung ulu.

Anak siapa tak dua itu,

rupa kenal nama sik tau."

Tuah tersenyum simpul mendengar sindiran mak gendang itu. Dalam pada itu dia sempat menjeling manja ke arah mak gendang yang masih leka memukul gendang dengan sungguh-sungguh. Senyuman mak gendang yang begitu manis seakan-akan mempelawa Tuah untuk berbicara. Tuah hanya sempat mengukir senyum tanda mengerti. Dia masih juga menghentak-hentak langkahnya yang cukup teratur mengikut rentak gendang dan gesekan biola. Kadir tersenyum melihat telatah rakannya itu. Dia sendiri asyik bertandak.

Mak gendang mengusik lagi, tetapi kali ini mencabar Tuah dan Kadir dengan pantunnya.

"Sungai Semeran jangan dituba,

kalau dituba ikan tak mati

gadis Semeran jangan dicuba,

kalau dicuba berani mati."

Anak muda yang duduk di ruang bersorak-sorak lagi dengan gembira dan nakalnya memberangsangkan Tuah supaya menyahut cabaran itu.

"Hai Tuah. Jawablah. Jangan buat kita malu," tempek mereka.

Tuah memandang tajam ke muka Kadir seolah-olah meminta pandangannya. Kadir tanpa ragu-ragu terus memberi isyarat supaya Tuah menjawab pantun mak gendang itu. Dalam pada itu sepasang lagi anak muda sudah masuk bertandak, sekadar untuk memeriahkan lagi suasana.

Tuah menarik nafas panjang. Dia cuba mengumpul kekuatannya dalam perasaan yang agak gementar untuk menyahut pantun mak gendang itu. Dia perlu berhati-hati memulakan pantunnya agar tidak mudah dipatahkan oleh mak gendang yang pada perhitungannya cukup petah dan fasih. Dia tidak mahu ditewaskan di tengah-tengah majlis. Terlalu aib kalau berlaku begitu. Kejaguhannya sebagai pemantun terhandal di kampung akan menjadi bahan ketawa anak-anak muda. Dia hendak menggunakan pengalamannya bermukun selama ini untuk menjinakkan anak gadis dan syeh gendang dari Kampung Samarahan itu.

Dalam dia asyik mengikut rentak biola dan langkah tandak yang kemas dia menyusun rangkap kalimat kemas untuk dipantunkan.

"Sungai Serian airnya keruh,

tempat nak dara mencari siput,

sayang cik adik janganlah gopoh,

supaya senang kita mengikut."

Belumpun sempat Tuah hendak mengulangi pantunnya itu, syeh gendang dengan cepat meningkah.

"Batu kinyang jauh ke darat,

jalan kereta setengah hari,

makin kukenang makin melarat

makin kuingat makin berahi."

Pantun itu terlalu mencuit hati Tuah. Dia sempat menjeling ke arah syeh gendang dengan senyuman manja yang penuh bererti. Sementara itu, anak-anak muda yang lain bersorak riang, menggalakkan lagi Tuah membalas pantun mak gendang. Tuah menarik nafas panjang sekali lagi lalu mendendangkan pantun jawapannya.

"Buah pauh delima batu,

anak sembilang di tapak tangan,

walaupun jauh negeri satu

hilang di mata di hati jangan."

Syeh gendang yang semakin galak memukul gendang dengan rancak lantas menjawab pantun Tuah.

"Api apa di teluk bandung,

api orang menyuluh ikan,

sikit lagi dilancar tedung,

punan oleh senyummu tuan."

Tuah merasa pantunnya menggalakkan lagi mak gendang. Itulah yang dia mahu sebenarnya. Dalam situasi sedemikian rupa dia perlu mengawal keadaan. Dia hendak mengenakan mak gendang itu dengan cara yang halus melalui pantun yang akan diluahkannya nanti. Biarlah sindirannya halus, tetapi tajam. Dia tidak mahu mak gendang mengawal majlis itu dengan pantun yang memerangkapnya untuk berbalas pantun mengikut rentak dan nada yang mungkin sudah dirancang lebih dulu. Tuah hendak berpantun mengikut rentak dan iramanya.

Malam semakin larut, tetapi rentak gendang semakin rancak. Syeh gendang semakin galak menjual pantunnya dan menjawab pantun Tuah. Anak-anak muda yang lain semakin melonjak riang dan bertandak bergilir-gilir. Kelarutan malam belum meletihkan anak-anak muda yang terlalu suka mendengar Tuah bermukun atau berbalas-balas pantun dan nyanyian dengan syeh gendang.

Tuah sudah nampak letih kerana sudah lama bertandak sambil berpantun dengan mak gendang. Namun Kadir belum menampakkan tanda-tanda hendak mengalah. Dia terlalu suka bertandak sambil mendengar rakannya Tuah berpantun. Dia ingin berkongsikan kejaguhan dan kehandalan Tuah dalam majlis itu. Dan dia terus juga leka bertandak, walaupun sekali-sekala agak sumbang rentaknya kerana terlalu lama terhenjit-henjit di tengah majlis.

Dalam pada itu Tuah cuba mendekati Kadir. Tujuan Tuah hendak membisikkan sesuatu kepadanya. Bagaimanapun syeh gendang itu terlalu sensitif dan cepat menukar nada pantunnya.

"Orang menjala di Sungai Lajem,

boleh seekor si ikan lumek,

kamek si rela kamek si izin,

berbisik-bisik mengano kamek."

Tuah menjadi serba salah, tetapi cepat mengawal dirinya. Dia lantas mendendangkan sebuah pantun yang tersurat secara spontan dalam kepalanya. Syeh gendang menampakkan muka yang agak masam. Tuah cuba memujuk hatinya kembali.

"Buah durian buah rambutan,

manis sekali si buah manggis,

senyum cik adik sangat menawan,

semakin senyum semakin manis."

Tuah menjeling ke arah syeh gendang. Nampaknya dia sangat senang mendengar pujian Tuah itu. Dia tersenyum simpul dengan manja sekali sambil menjeling mengerti ke arah Tuah. Tuah terlalu terpesona dengan senyuman dan jelingan yang pada hematnya begitu menawan.

Subuh sudah tiba. Kabus terasa mendinginkan suasana. Anak-anak muda sudah jarang-jarang bangun bertandak. Ada yang sudah letih benar dan seringkali menguap tanda mengantuk. Namun syeh gendang dan Tuah sama-sama masih serancak tadi. Suara syeh gendang masih lantang walaupun sudah serak-serak juga. Kadir sering meliuk keletihan, tetapi mungkin kerana terlalu asyik dengan pukulan rancak syeh gendang itu dia belum surut bertandak. Gesekan biola juga sudah agak melembut, tetapi menjadi rancak semula apabila mak gendang menguatkan pukulannya.

Dengan suara yang lantang dia masih juga berpantun.

"Malam ini merendam jagung

malam esok merendam serai

malam ini kita berkampung

malam esok kita bercerai."

Tuah menjawab pantun itu dengan cukup kemas juga. Baru saja dia hendak mengatur tarinya selepas berpantun tadi, syeh gendang dengan cepat menyampaikan sebuah pantun lagi.

"Manis benar buah rambutan,

dalam setangkai masak sebiji

manis benar rupamu tuan

dalam sekampung payah dicari."

Sudah lama Tuah menunggu pujian itu dan habis saja rangkap terakhir dinyanyikan oleh mak gendang, dia cepat-cepat meningkah dengan serangkap pantun yang benar-benar menggembirakan mak gendang. Sebagai seorang syeh gendang yang berpengalaman dia cepat pula mengungkap sebuah pantun.

"Kasut putih disesah putih

setengah putih sabun pun hilang

tuan kasih saya pun kasih

setengah kasih bencana datang."

Subuh semakin merangkak tua. Kokokan ayam sayup-sayup kedengaran. Sorakan dan teriakan anak-anak muda yang menggila tadi sudah berkurangan. Mereka sudah sandar-menyandar sesama sendiri untuk menumpang tenaga teman agaknya, supaya dapat berjaga sampai ke pagi, atau sekurang-kurangnya hingga majlis berakhir. Belum pernah majlis bergendang yang sebegini meriah diadakan di kampung itu akhir-akhir ini. Memang syeh gendang yang dijemput khas oleh Badar itu cukup hebat. Dan kehebatan itu tercabar dengan kehadiran Tuah yang dapat menandingi dan menjawab pantun yang dijual oleh syeh gendang.

Tuah masih belum mahu mengalah. Syeh gendang juga belum ada tanda-tanda hendak mengaku kalah. Masing-masing hendak menonjol kehandalan dan kehebatan diri. Tuah hendak mempertahankan maruah anak-anak muda kampungnya. Kalau dia menyerah kalah, mungkin akan menjadi buah mulut dan ejekan anak-anak muda dari Kampung Samarahan.

"Anak bujang Kampung Serian kalah bermukun!" Itu adalah perlian yang terlalu hina yang dia tidak mahu dengar. Anak-anak muda di kampungnya pula tentu akan mengejeknya sebagai orang yang tidak tahu menjaga maruah. Itulah sebabnya dia tidak akan menyerah kalah. Lagipun memang dia suka bermukun dengan syeh gendang yang agak istimewa itu. Belum pernah dia bermukun dengan syeh gendang yang tahan bergendang dan berpantun sekaligus sepanjang malam seperti malam ini. Lagipun peristiwa bertukar senyum itu cukup menghiburkan. Syeh gendang itu pun nampaknya menyukai keadaan yang begitu mesra walaupun mereka belum kenal.

Syeh gendang memukul gendangnya lebih rancak lagi. Pantun masih dijual dan dijawab. Di belakang tabir beberapa orang anak kecil sudah tidur nyenyak. Kebisingan yang memekakkan telinga itu tidak mengganggupun tidur mereka. Agaknya mereka terbuai oleh irama gendang dan pantun di antara syeh gendang dan Tuah. Atau mimpi malam membuai mereka dengan lenanya dan kebisingan gendang gagal mengganggu mimpi indah mereka.

Kedinginan memuncak. Kabus pagi sudah kelihatan berarak dibawa bayu pagi. Tuah masih mahu bertahan. Dan syeh gendang cuba menghidupkan suasana yang agak lembab itu dengan merancakkan lagi pukulan gendangnya. Antara mereka masih juga berjual-jawab pantun sambil usik-mengusik antara satu dengan yang lain. Dalam pada itu mereka masih berbalas senyuman, menandakan mereka sama-sama terlalu menyukai suasana yang begitu romantis. Kadir masih juga bertandak dan sekali-sekala meliuk seperti hendak rebah. Mungkin dia letih dan mengantuk.

Tiba-tiba kedengaran tabur berdentur-dentur kendur dari surau yang berhampiran. Waktu untuk solat Subuh sudah tiba. Tuah dan syeh gendang pandang-memandang antara satu sama lain.

"Maaf ya. Majlis bergendang hendaklah diberhentikan. Sudah masuk waktu Subuh," Badar muncul berdiri di tengah-tengah majlis. Tuah dan Kadir berdiri memperlahankan rentak tandak. Anak-anak muda yang lain bingkas keluar dari ruang tengah itu dan menyusun langkah untuk pulang.

"Saya tidak menyerah kalah," kata Tuah sambil merenung manja ke arah syeh gendang dengan senyuman lembut yang memikat.

"Saya jua tidak mengalah." Syeh gendang meningkah dengan senyuman mesra dan manja.

"Kau dua-dua sama-sama menang. Tak ada yang kalah," sampuk Badar. Mak gendang pun melepaskan gendang dan menghilang ke arah dapur. Tuah dan Kadir berhenti bertandak dan beredar perlahan-lahan menuju ke ambang pintu. Mereka menuruni tangga untuk beredar pulang. Dalam pada itu Tuah sempat melempar pandangan ke arah ruang dapur untuk memberi pandangan terakhir kepada syeh gendang yang cukup hebat dan handal tadi, tetapi perempuan itu tidak kelihatan. Tuah lantas menuruni tangga dengan malasnya mengekori Kadir yang sudahpun berada di halaman rumah.

Tiba-tiba muncul seseorang dari arah bawah rumah. Tuah kaget melihatnya.

"Namanya siapa ya?" Satu pertanyaan menangkap pendengaran Tuah.

"Tuah!" Kadir menjawab tanpa ragu-ragu seakan-akan dia tahu bahawa pertanyaan itu memang untuk Tuah.

"Bang Tuah, saya nak ikut Abang Tuah pulang," terlalu yakin dan beriya- iya suara itu. Tuah bertambah kaget dan tidak terkata apa-apa.

"Yati. Yati." Kedengaran panggilan sayup-sayup dari ruang tengah rumah. Badar sedang mencari anak saudaranya yang dijemput khas menjadi syeh gendang dalam majlis malam itu.

Tuah dan Kadir mengatur langkah mengikut jalan kampung. Yati tanpa ragu- ragu telah mengambil keputusan untuk mengikuti mereka pulang. Dan Tuah dalam keadaan yang agak panik menerima dengan senang hati.

Anak dara mengikut pemuda pulang selepas majlis bergendang adalah perkara biasa pada masa lampau. Tuah tidak menyangka perkara seperti itu boleh berlaku pada dirinya. Sudah lama benar orang kampung tidak mendengar lagi cerita yang lucu dan aneh tetapi benar. Tuah dan Yati telah mengulangi lagi lembaran sejarah silam yang hampir luput ditelan masa dan keadaan.

Pagi sudah menjelang dengan membawa lembaran baru dalam kehidupan seorang syeh gendang dan anak muda kampung kerana majlis bergendang yang baru berlalu itu.

Monday, October 27, 2014

Tangan yang menggapai

Oleh Buang Umar

KETIKA berita itu berlabuh di cuping telinganya Aman naik marah. Terasa benar hatinya dibungkusi kebuncahan yang mencengkam dan mengancam. Matanya terbelalak. Dahinya seluas tampang nyiur; cingkat, berkeresot dan berkedut. Dia seperti dikejut litar letrik. Godaan kata-kata teman sebiliknya bukanlah godaan memfitnah, bukan luahan mengikut hawa nafsu. Dia semuanya itu benar, tetapi dia sendiri masih kurang yakin kerana tiada bukti.

Berita sekejap tadi membingungkan Aman. Dia menggelengkan kepala. Mengapa terjadi begini akhirnya? Haruskah dia membunuh diri kerana perkara itu? Mustahil! Dia orang Islam.

Aman berfikir panjang. Ada jalan lain dicarinya. Pelik!

Mengapa Hakim yang diberitahu, bukan langsung kepada dirinya? Hakim orang lain. Pak Wan Kri? Ah! Sial. Aman tahu Hakim tidak berbohong. Sudah dua tahun dia tinggal satu apartmen dengannya. Dia sudah dapat mengenali hati budi rakannya itu.

Mustahil!

Berkali-kali Aman menyebut perkataan itu. Mustahil, kerana dunia sekarang sudah maju, sudah moden dan sudah canggih. Soal kasta sepatutnya sudah tidak wujud lagi.

Aman tambah bingung. Bagaimana harus dia selesaikan masalah itu yang terapung di tengkorak fikirannya? Hakim tidak dapat bantu. Mansor juga begitu. Mereka tidak mahu campur tangan dalam masalah peribadi, meskipun hati mereka bukan sekejam itu. Mereka berkunjung juga dalam fikirannya kini. Bezanya, masalah sekarang inilah masalah dia dengan anak gadis Pak Wan Kri. Cerita anak muda. Biarlah Aman dia cari jalan keluar sendiri. Biarlah dia sendiri yang cari penyelesaian. Baik baginya baik juga bagi mereka berdua.

Soalnya sekarang, bukan anak gadis itu yang menjadi pokok masalah tetapi Pak Wan Kri sendiri. Orang tua itu tidak merestui hasratnya. Itu Aman tahu.

Egois!

Sombong!

(Diam seketika)

Tuuukkkk! Tuuuukkkkkk!

Aman terkejut dari khayalan. Ketukan pintu seakan-akan memecah suasana ruang pejabat. Dia membiarkan ketukan itu sebentar sebelum dia melangkah ke depan dan menguak daun pintu.

"Tuan, ada surat!"

"Dari siapa?"

"Tak tahu tuan ... tak periksa isinya."

"Terima kasih." Aman kembali ke tempatnya. "Bodoh juga aku tanya soalan itu," bisiknya. Budak pejabat berpatah meninggalkan ketuanya.

Aman budak permatang, bermata keranjang, bekerja sebagai Pegawai Pemasaran di sebuah syarikat swasta. Usianya sekarang baru dua puluh enam tahun. Selepas menamatkan pengajiannya di universiti dia telah mendapat tawaran untuk bekerja di syarikat tersebut.

Aman membuka sampul surat itu. Surat dari temannya, Saudi. Saudi belajar dalam jurusan International Business di Wartburg College, USA. Tidak ada cerita lain, pasal dia dengan perempuan mat salleh itulah. Enjoy katanya!

Aman meletak isi surat di atas meja.

"Lantak kau, Saudi! Sekarang dunia kau ... dunia aku sudah hampir padam dengan cerita itu!" Aman berdengus seorang diri.

Hampir padam. Mengapa hubungannya dengan Syarifah Naquiah, anak Pak Wan Kri itu hampir padam? Semuanya kerana Pak Wan Kri. Dialah pemegang kata pemutus. Ya atau tidak, Pak Wan Krilah yang akan bagi tahu.

Syarifah Naquiah!

Syarifah Naquiah!

Ada kepelikan pada nama itu. Peliknya terletak pada gelaran Syarifah. Pelik bunyinya, tetapi itulah hakikatnya. Pak Wan Kri lebih pentingkan pangkat dan darjat.

(Diam seketika)

Tiba-tiba telefon yang berada di depannya berbunyi. Kriiiinnnnng! Kriiiiiiinggggggg!

"Hello ... Aman di sini ... siapa tu?" jawabnya sopan. "Apa? Salah nombor!" Dia meletakkan telefon dengan dengusan marah. Dia begitu gelisah menanti panggilan daripada Syarifah. Aman terasa diperbodohkan oleh keluarga Pak Wan Kri.

Aman melangut. Kesepian hati Aman pagi itu mengingatkan dia akan falsafah Tagore. "Kalau alam yang sunyi, masih kedengaran bunyi ketak- ketuk jam di tengah malam, tapi kalau hati yang sunyi, segala-galanya diam, sepi." Benarkah hatinya sesepi itu?

Aman menggelengkan kepala. Harus adakah di dunia ini tingkat, kelas dan kasta-kasta atau apa-apa saja yang dapat membezakan sesama manusia? Harus adakah?

Mengikut sejarah kejadian manusia, Adam, manusia pertama yang dijadikan oleh Tuhan, tidak ada darjat atau pangkat Wan, Syed dan sebagainya. Yang berbeza, cuma iman. Menggunung tinggi, merendah bukit, keimanan itulah yang diukur.

Subahanallah!

Subahanallah!

Pintu pejabatnya berdegap, ditiup angin. Aman terkejut lagi. Aman teringat dia perlu menghubungi Syarifah mengenai keputusannya. Aman mencapai semula gagang telefon tetapi talian masih engaged. Masih bertunang dengan talian lain! Aman naik geram. Hatinya semakin resah. Semakin dipaksanya, semakin berlegar wajah Syarifah di matanya.

"Awak ni cantiklah," tegur Aman suatu pagi.

"Terima kasih ... encik pun handsome," balas gadis yang tinggi lampai itu.

"Masih ada vacancy?"

"Maksud encik ... seatnya?" Bebola mata gadis itu merenung, menembusi hati Aman. Aman tersedik.

"Iya ... iya ... kalau boleh, kedua-duanya sekali?" jawab Aman rakus.

"Kalau seat, ada satu lagi. Encik mahu?"

"Boleh saya petik?"

"Maksud encik?"

"Ah, saya bergurau ... berikan saya tiket ke Kuching," kata Aman, memutuskan tanda teka gadis itu tentang gurau sendanya.

Gadis ayu itu kemudian menghulur tiket bas ekpres ke Kuching sambil tersenyum. Aman membalas senyumannya. Bagi Aman, kenakalan gadis itu tidak dapat dilupakan begitu saja. Kedua-dua ulas bibirnya yang merekah merah kebasahan, memerangkapnya untuk terus menyelidiki latar belakang gadis ayu itu.

Pertemuan itu seterusnya membawa Aman dan Syarifah ke alam percintaan yang cukup indah. Buah cempedak di bawah batang, siapa yang hendak dialah yang datang. Ikatan pertunangan akan disempurnakan di hadapan orang tua kedua-dua pihak. Bersetuju atau tidak orang tua masing-masing, cincin berlian tetap akan terinai di jari manis gadis itu. Dari pihak keluarga Aman, tidak ada apa-apa masalah. Mereka berpendapat sudah sewajarnya Aman segera kahwin. Ibunya sudah tua dan uzur, takut tidak kesempatan melihat cucu.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini perhubungan mereka mulai menghadapi benteng keras. Akar benteng itu berpunca daripada Pak Wan Kri, bapa Syarifah, bukan daripada orang lain.

"Kenapa Pah? Setiap kali aku ingin berbicara, sering kau berdalih. Mengapa?" Pertengkaran menjadi tegang sewaktu Aman menunggu Syarifah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Pada mulanya Syarifah sudah menolak tawaran Aman untuk menjemputnya, membebel dengan alasan yang tidak konkrit.

"Ah! Kau sendiri yang perasaan begitu," balas Syarifah.

Aman dapat merasakan ada perubahan pada diri Syarifah sejak kebelakangan ini. Aman juga tahu Syarifah berbohong.

"Setiap kali pasti kau katakan takut pada ayahmu. Dulu soal orang tuamu tidak pernah timbul," marah Aman.

Syarifah tunduk. Dia tahu bukan salah Aman tetapi ayahnya begitu tegas. Apa yang harus dibuat, kecuali pasrah? Menderhaka, bukankah berdosa?

"Kau harus mengerti, Man. Aku masih punya orang tua, mahu letak ke mana mereka itu? Kita umpama pipit dan enggang pada mereka," jelas Syarifah.

"Ah! Persetankan ayahmu. Pah, aku mahu kaupilih antara dua, ayahmu atau aku?"

Syarifah bungkam. Antara cintakan kekasih dan sayangkan ayah. Dia harus memilih antara satu.

"Kaulupakan saja jantan itu, Pah," cabar emaknya tiga hari yang lalu. Bebola mata Syarifah menancap ke arah emaknya.

"Kenapa emak? Apa salah dia sehingga emak menyeksanya begitu?"

"Salah itu tidak, Pah ... tetapi kau harus ikut perintah ayahmu itu!" Suara emaknya meninggi sedikit. Menggelodak juga jantungnya apabila anak sulungnya berkeras hati.

"Emak dan ayah sama saja. Mementingkan diri sendiri!"

"Kau jangan jadi tulah, menderhaka kepada orang tua, Pah!"

"Emak ... bukannya Pah menderhaka kepada emak atau ayah, tapi emak dan ayah harus mengerti hati Pah. Pah menyintainya sebagaimana Pah menyintai emak ... ayah." Dua baris air mata mengalir perlahan di celah pipinya. Emak Syarifah berasa sedih juga mendengar kata-kata anaknya itu. Diusap- usapnya rambut anak gadis sulungnya itu, lembut.

"Pah, ikut saja kata ayahmu ..."

Syarifah bungkam.

"Ah! Persetan semua itu. Kita yang nak bertunang, bukan orang tuamu." Herdik Aman, kasar.

Krrrrrrriiiiiiigggggg! Kkkkkrrriiiiiigggggg!

Aman sekali lagi terkejut dari lamunan. Khayalannya mati. Dia mencapai gaggang telefon dengan rakus.

"Hello ... Aman bercakap ..."

"Encik Aman, ya?" kata suara garau dari dalam telefon.

"Ya .. ya .. Aman di sini. Aman bin Haji Dol Samat. Ada apa, encik?" jawab Aman pendek.

"Begini Encik Aman ... saya tidak mahu encik menghubungi anak saya lagi, Syarifah Naquiah. Awak tak perlu tanya kenapa?"

"Encik siapa?"

"Saya ayahnya!"

"Uh .. pak cik, tapi pak cik harus faham. Saya cintakan Syarifah, pak cik tentu sudah maklum hubungan kami bukan?"

"Saya tahu ... tapi awak harus sedar dulu siapa diri awak. Awak cerminkan diri dahulu!"

(Diam seketika)

Mengapa harus mencerminkan diri? Apa kurang wajahnya. Hodoh benarkah mukanya? Aman mendengus. Bertele-tele.

"Apa salah muka saya, pak cik?"

"Muka awak tidak salah ... tapi pertunangan awak dengan anak saya ... dibatalkan! Faham?"

"Dibatalkan? Mengapa?"

"Kenapa? Kecuali awak ada gelaran, faham?"

Gelaran? Gelaran apa yang harus dicari? Tidak ada langsung kesignifikan pada tanda nama Wan. Menurut sejarahpun, Wan bukanlah berasal dari orang Nusantara, tetapi datang dari tanah Arab, sewaktu pedagang Arab menjelajah ke Nusantara. Sheikh itulah Syed. Tidak ada sesuatu yang jelas dalam etimologi, dari mana nama itu timbul.

"Apa pentingnya gelaran Wan itu, pak cik? Sedangkan saya benar-benar mahukan Syarifah Naquiah." Aman segera meningkah.

"Kau harus faham. Ini wasiat! Wasiat harus dijaga. Saya hanya menyampaikan wasiat neneknya, Syarifah Naquiah," jelas Pak Wan Kri.

Wasiat nenek? Penting sangatkah wasiat itu? Benarlah di Kampung Hashim Jaffar itu hanya keluarga Pak Wan Kri saja bergelaran Wan, tetapi adakah orang yang tidak bergelaran Wan itu hina-dina sangat?

"Saya tak faham. Saya tidak faham dengan sikap pak cik, membunuh perasaan anak sendiri kerana wasiat. Dan saya percaya hidup Syarifah tidak akan aman," tegas Aman.

"Terpulang kepada awak. Awak masih punya hak untuk mempertahankan diri. Tapi hak saya tetap hak saya!"

"Tapi ... tapi ... hello ... helo .." Geram hati Aman mendengar Pak Wan Kri meletak gagang telefon. Dia melongo. Kemudian meletak gagang telefon ke bawah, perlahan. Dia menarik nafas panjang. Mengapa orang tua itu terlalu drastik dalam tindakannya?

Di ruang matanya berlegar-legar barang-barang pertunangan; sebentuk cincin, baju kurung labuh, al-Quran, sejadah dan kasut. Tiba-tiba dua baris air mata mengalir di pipinya, sedih. Hendak dibawa ke mana semua barang itu?

Sunday, October 26, 2014

Hijrah

Oleh Nazri Hussein

AKU tidak lagi mendengar gema yang dahsyat itu. Tidak juga ngauman kejam yang bertingkah dan merodak ke segenap urat saraf. Segala-galanya telah berlalu seperti debur angin berarak ke seluruh ruang angkasa jernih.

Sesungguhnya aku begitu rindu untuk mengecap suasana yang damai. Barangkali hampir berbulan lamanya, ketenangan dan keharmonian seperti ini telah hilang dan lenyap dari sejarah hidupku, juga sejarah tanah air yang tercinta.

Dan keceriaan inilah yang sekian lama menguntum dalam mimpiku, membuatkan seluruh perasaanku dilanda keharuan yang amat tidak tertahan.

Benarlah, aku bagaikan berada di daerah yang dibancuh seribu keheningan. Namun, ketenangan yang baru kunikmati itu gagal membendung emosiku daripada melupakan irama kejam yang bertingkah-tingkah memecah gegendang telinga pada setiap saat, apabila ingatan kembali menerpa.

Masih jelas di cupingku bunyi mortar dan keriuhan manusia terdera yang menagih simpati, setiap kali aku membuka mata menjelang Subuh. Deringan mesingan dan rifel yang sentiasa bergema masih menikam naluriku. Sayup- sayup irama yang ngeri dan kejam itu lenyap berganti desiran angin lembut yang kembali merimas tubuh kerdilku.

Ledakan sesekali memecah kesunyian pinggir pekan kecil di tebing Sungai Sava yang menyimpan sejuta rahsia kehidupan. Penghuninya masih terpahat kukuh di sanubari bersama gegaran hebat yang bertalu-talu menimpa sebahagian daerah kecil di pesisir tebing Tisa yang hampir runtuh.

Segala-galanya telah berlalu dalam hidupku. Samalah seperti tompok- tompok putih yang kujelah di langit yang terbuka.

Kini, aku tidak akan menatap pemandangan yang maha kejam itu. Juga tidak akan kedengaran gemersik peluru yang berhamburan meratah mangsanya. Seolah-olah tidak memahami langsung percaturan hidup ini.

Sungguh, abah sendiri yang merelakan pemergianku ini yang memisahkan aku daripada kehidupan yang serba menakutkan itu. Meskipun aku telah bertekad untuk bersama-sama abah meneruskan sisa perjuangan, namun abah, ah abah yang berwajah tenang itu, mahukan aku meneruskan kehidupan bagi menyambung warisan. Keluarga kami hanya tinggal kami berdua - aku dan abah.

"Sesungguhnya kau belum bersedia untuk menghadapi suasana yang serba menyeksakan ini. Perjuangan untuk hidup adalah sesuatu yang lebih penting, bagimu. Pergilah anakku. Abah akan tetap mendoakan keselamatanmu di negara asing itu. Apabila segala-galanya telah selesai, kembalilah. Abah akan menunggu kepulanganmu. Kita akan dirikan semula rumah kita yang telah musnah itu."

"Tapi, saya ingin bersama-sama abah. Bersama-sama mempertahankan kampung ini dari serangan pengganas yang kejam itu."

Demikian aku menatap mata bening abah. Seribu simpati yang tidak terungkap. Kalimah yang pejal itu seperti masih segar di cupingku.

"Meski semangat kau begitu tinggi, tetapi usiamu masih belum mengizinkan. Abah mahu kau terus menyambungkan warisan keluarga kita. Abah yakin kita akan bertemu semula nanti..."

Abah memeluk erat tubuhku dengan penuh mesra sewaktu aku bersama rakan- rakan yang seusia denganku. Kami kemudian di bawa menaiki sebuah trak panjang yang membawaku jauh dari perkampungan kecil yang hampir musnah itu ke sebuah daerah yang berhampiran. Selepas itu barulah aku dihantar ke sebuah negara asing yang aku sendiri tidak pasti tempatnya di mana.

Meskipun dalam keadaan yang amat berat, aku harus akur pada perpisahan. Aku tidak ketahui apakah aku akan bertemu kembali dengan abah yang tercinta. Namun, dari raut wajah abah yang bening itu seolah-olah aku dapat merasakan itulah pertemuan terakhirku dengan abah.

Barangkali yang ku bayangkan ketika itu ialah sekawan merpati putih yang mengibarkan sayapnya di ruang angkasa yang berjelaga dengan kabut hitam yang memenuhi sekitar taman yang terbakar itu. Tidak kuketahui bagaimana segalagalanya ini boleh bermula. Cuma kuingat pada suatu pagi yang cerah, pada bulan Mac yang hening itu aku sedang memancing di pinggir tebing sungai Sava yang mengalir tenang ke utara bersama-sama Sara dan Vinna, adik-adikku yang nakal.

Tiba-tiba telingaku menangkap bedilan kuat yang bertalu-talu menghujani perkampungan kecil itu. Serentak itu, api menjulang marak membakar seluruh kawasan tebing sungai Sava. Kepulan asap hitam meruap ke udara bersama lolongan dan teriakan nyaring dan pilu seiring deringan keras yang bertalu-talu muncul dari muncung kereta perisai bersama manusia angkuh bertopi besi yang entah dari mana datangnya melilau memburu mangsa.

Aku tertiarap dihempap seketul kerikil keras yang entah dari mana melayang. Bunyi dentuman bom yang bertingkah bersama tembakan yang bergema memecah corong pendengaranku. Naluriku mula diburu persoalan. Apakah bala yang tiba-tiba menimpa ini? Bencana apakah yang maha dahsyat ini? Tidak kuketahui bagaimana keadaan yang menimpa kedua-dua adik kecilku.

Oh Tuhan, selamatkanlah mereka dari malapetaka yang menakutkan ini. Demikian getus perasaan kecilku berbisik dalam keadaan separuh sedar. Untuk beberapa ketika kemudiannya, aku tidak mendengar apa-apa lagi. Apabila segalagalanya mula menyepi dan bunyi dentuman senapang sudah tidak kedengaran lagi, aku menemui kedua-dua tubuh adik-adikku yang tertiarap di bawah runtuhan batu-batu pejal.

Tompok-tompok darah pekat menembusi liang-liang tubuh kerdil yang kaku dan kejang. Barangkali tangisanlah yang mampu mengubat hati yang luluh dan seluruh perasaanku yang terbakar ketika itu.

Tidak berapa jauh dari runtuhan rumah kecilku kulihat abah memapah sekujur tubuh yang dibasahi darah merah. Anehnya, aku tidak menangis atau meratap hiba ketika jasad ibu dan kedua-dua adik kecilku dikuburkan dalam satu liang bersama beberapa jiranku yang turut menjadi mangsa kekejaman yang sungguh tidak aku mengerti.

Tetapi, dari getusan perasaan halusku, tiba-tiba muncul kebencian yang mendadak - ya, kesumat yang membara menjadi dendam yang tidak berkesudahan.

Beberapa lama ingatan kejam itu terus mengganggui emosi dan naluriku sehinggalah aku dihantar ke sebuah perkhemahan yang menempatkan mangsa peperangaan di tengah-tengah padang luas yang kontang itu. Sungguh, saat itu aku begitu merindui belaian manja ibu dan kemesraan adik-adikku yang tidak akan kutemui lagi di dunia ini.

Aku masih menatap garis awan di sekeliling sambil melemparkan pandangan jauh ke ruang angkasa. Aku melihat damai bersama deruan angin, maka meruntunlah emosi dan perasaanku. Merpati putih kubayangkan mengibarkan sayap emasnya dan terbang menjelahi kabus tebal dan garis langit ke segenap alam.

"Abah dan rakan-rakan akan terus berjuang mempertahankan tanah kelahiran dari keangkuhan manusia yang biadap. Demi ibu dan adik-adikmu, abah berjanji akan membebaskan tanah air ini, meskipun abah terpaksa mempertaruhkan nyawa sendiri."

Demikian bisik abah kepadaku sewaktu kali pertama abah melawatku di perkhemahan yang jaraknya beberapa kilometer dari medan peperangan di pinggir Sungai Sava itu sambil menggenggam erat rifel M16 yang menjadi teman akrabnya yang paling setia. Namun, selepas itu abah tidak munculmuncul lagi menjengukku di khemah pelarian yang jauh dari pekan kecil yang hampir ranap itu.

Berhari-hari aku menunggu kehadiran abah dengan perasaan resah bercampur bimbang. Apakah abah juga menurut jejak ibu dan kedua-dua adikku. Segala- galanya bersarang dalam fikiranku membuatkan aku diacah perasaan yang tidak menentu. Sesungguhnya dalam saat seperti ini aku masih memerlukan abah di sisiku.

Kadang-kadang berhari-hari aku menanti abah di tepi padang luas yang hangus itu. Aku lebih rela berdiri di tengah hangat mentari berjam-jam lamanya hanya kerana kerinduan terhadap abah. Ketika orang lain sedang berebut-rebut untuk mendapatkan sebuku roti yang dibawa oleh sebuah trak kecil yang berlambang warna merah itu aku terus setia menanti abah. Wajah abah terus menguasai sanubari ketika itu. Aku yakin abah akan datang melawatku di perkhemahan ini.

Namun, benarlah dugaanku akhirnya abah yang lengkap berpakaian tentera muncul di suatu pagi yang tenteram. Aku tidak dapat menggambarkan perasaan gembira dan haruku apabila bertemu abah. Tetapi, abah kelihatan lemah dan tidak berdaya. Beberapa lilitan kain putih membaluti dua lengannya yang sasa. Rifel besi yang bergerigis masih terlekat di bahu kirinya. Abah seperti cuba menyembunyikan kesakitan dan penderitaan yang dialaminya.

"Abah agak letih. Barangkali beberapa minggu ini abah kurang tidur..." kata abah sambil membelai rambutku. "Namun, abah gembira dapat bertemu dengan anak abah. Kamu tentu ingin tahu kain putih di lengan abah ini," sambung abah seolah-olah dia mengetahui apa yang tersirat di fikiranku ketika itu.

"Kampung kita diserang lagi. Kali ini lebih hebat dan dahsyat daripada serangan dulu yang telah membunuh ibu dan kedua-dua adikmu. Abah dan rakan-rakan abah cuba melawan dengan segala kelengkapan yang ada. Namun, serangan yang bertubi-tubi dari senjata mereka yang lebih canggih membuatkan pasukan abah terpaksa mengalah. Dalam satu serangan mengejut pasukan abah diserang dengan hebat. Ramai rakan abah yang terbunuh kerana belum bersedia. Abah bernasib baik, hanya cedera di lengan. Tetapi abah tetap yakin, mereka tidak akan dapat menakluki tanah air kita.

"Janganlah kamu bimbangkan keselamatan abah. Abah masih mampu berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Abah pasti kita akan menang. Dan abah dengar tidak lama lagi bantuan ketenteraan dari negara luar akan datang untuk membantu perjuangan kita," tegas abah bersungguh-sungguh.

Petang itu, sebelum berangkat untuk meneruskan perjuangan mempertahankan tanah air, abah sempat membawaku menziarahi kubur ibu dan adik-adikku, Sara dan Vinna yang bersemadi di kawasan pusara pinggir pekan Tisa yang sentiasa bertambah dari sehari ke sehari. Kami berteleku di batu nisan sambil membaca Fatihah seratus kali. Tidak disedari matahari sudah berlabuh di langit senja.

Genap sebulan aku mendiami khemah yang berceracak di tengah padang luas yang menempatkan mangsa pelarian perang yang kehilangan rumah tangga, keluarga, sanak-saudara dan tanah kelahiran. Dan genap sebulan jugalah aku berpisah dengan ibu dan adik-adikku. Barangkali airmatalah yang menjadi sahabat paling setia yang mampu menterjemahkan kesedihan dan penderitaanku. Yang pasti, angkara peranglah yang telah memusnahkan keharmonian hidup yang pernah dikecapi.

Apakah ini suatu malapetaka yang diturunkan Allah untuk menguji kesabaran manusia? Atau mungkinkah ini suatu bukti Allah begitu murka terhadap perlakuan hambatnya? Aku cuba memahami apa yang berlaku, namun setiap kali fikiranku mendesak, aku dihantui kebuntuan, maka gagallah aku mencari jawapan yang sebenar. Takdir, barangkali! Itulah yang aku temui dalam pencarianku selama ini. Mungkinkah ada rahmat dan hikmah yang tersembunyi? Aku memujuk perasaanku sendiri setelah puas memikirkan nasib yang menimpa warga di tanah air.

Aku masih berteleku di tepi khemah yang terletak di antara bukitbukit gersang sambil menghadap asap tebal yang tiba-tiba saja berkepul di sebelah utara, di kampungku di pinggir Sungai Sava.

"Bala!"

"Bencana!"

"Pembunuhan! Kekejaman! Kehancuran!"

Suara-suara keras itu tiba-tiba bergelodak, nyaring, memecah keheningan di kawasan perkhemahan. Seorang lelaki tua menerpa di tengah-tengah padang rumput yang kontang. Dia berdiri di depan khalayak pelarian perang yang masih terpaku melihat gumpalan asap hitam yang bercempera di udara.

"Bencana. Ya, bencana yang menimpa ialah amaran dan peringatan kepada bangsa kita yang ternoda ini. Kita telah lupa pada janji Allah. Ya, kita melupai sejarah dan tamadun bangsa sendiri. Inilah azab dan bencana dari Allah. Seperti umat Nabi Nuh ditimpa bencana banjir dahsyat yang memusnahkan segala-galanya! Seperti kaum Bani Israel yang mengingkari suruhan Tuhan. Memang selama ini kita menjadi bangsa yang pelupa dan mungkar.

"Kita melupakan segala perintah Allah, kita melanggar segala tegahan dan larangannya. Kita berlumba-lumba membina tempat ibadat yang tersergam indah, tetapi berapa ramaikah yang memakmurkannya dengan jamaah dan amal ibadah. Kita yang mengaku beriman kepada Allah, tetapi wahyu Tuhan dijadikan perhiasan yang tergantung di dinding rumah, atau sekadar memenuhi koleksi rak buku atau almari antik. Jauh sekali untuk menghiaskan minda dan sukma dengan surah Allah."

"Anak-anak gadis kita, kita biarkan mendedahkan tubuh badan dan aurat dengan leluasa. Malah, kita biarkan mereka bercampur bebas tanpa ada batasan hukum hingga berleluasanya perkara munkar dan keji. Berapa ramaikah anak-anak remaja kita yang memilih perkongsian hidup tanpa ikatan pernikahan yang sah di sisi agama?

"Lihatlah, lihatlah segala kemusnahan, kehancuran dan kematian yang menimpa bumi ini. Angkara siapa? Bukankah kita yang menentukannya. Kesilapan kitalah yang merelakan pembunuhan dan kematian saudara kita oleh manusia berwajah syaitan itu.

"Lihatlah, setelah bencana dahsyat ini menimpa tanah air, barulah kita tersedar dari mimpi buruk. Kita terbangun dari khayalan masa, keseronokan duniawi dan kemanisan hidup. Kini, kita mula kembali memenuhi ruang solat dan kembali mengalunkan Kalamullah yang sekian lama kita lupakan. Kita teguhkan jamiatul Islamiah dan ikhwanul Muslimin yang hampir roboh.

"Bukankah itu rahmat yang tersembunyi? Bukankah kemusnahan dan kehancuran ini telah mengembalikan kita kepada ad-din dan garis mustaqim? Apakah ini sebenarnya masih belum cukup, saudara-saudaraku..." teriak lelaki tua berjanggut itu mengakhiri khutbah panjangnya.

Beberapa penghuni khemah di tengah padang pasir yang berkerikil itu saling berpandang-pandangan, seolah-olah baru bangkit dari kesedaran yang panjang.

Benarlah, aku bagaikan menyetujui kata-kata lelaki berserban itu. Seingatku, pekan kecil ini sendiri memiliki dua buah masjid besar yang tersergam cantik dibina oleh pemerintah untuk tujuan beramal dan menunaikan tanggungjawab kepada khalik.

Tetapi walaupun suara azan sentiasa berkumandang setiap kali tiba waktu solat, amat sedikit penghuninya yang melangkah ke masjid menyahut senang mengunjungi pawagam, tempat hiburan dan kelab sosial yang bertaburan di pekan kecil di pinggir Sungai Sava.

Segala-galanya masih jelas di ingatanku. Aku seolah-olah telah menemui jawapan pada setiap persoalan yang kerap bergolak di tangkai perasaanku.

Beberapa bulan dari sekarang musim sejuk akan melanda kawasan padang luas yang kontang dan berjelaga itu. Sudah pasti penghuni khemah pelarian ini akan menghadapi satu lagi bencana yang lebih hebat - kekurangan bekalan makanan.

Kami tidak akan dapat mengharapkan lagi bantuan makanan yang dibawa oleh trak yang berlambang warna merah itu. Manusia bertopi merah itu tentu tidak dapat menghantar bantuan makanan yang dibawa oleh terak yang berlambang warna merah itu. Manusia bertopi merah itu tentu tidak dapat menghantar bantuan makanan dan ubatan ke khemah yang terletak antara dua banjaran gunung yang diliputi kabus ini.

Keadaan yang meresahkan ini segera mengingatkan aku kepada ibu. Betapa pada saat ini ibu pasti menghadiahkan baju sejuk yang diperbuat daripada bulu kambing. Barangkali yang kubayangkan adalah kegembiraan dan keriangan Sara dan Vinna setiap kali menanti kehadiran titisan salji yang berkepul di ruang udara. Sudah tentu titisan salji yang meluruh adalah derai air mataku yang kerap gugur apabila ingatan itu berulangkali datang.

"Peperangan tidak akan berakhir. Kemusnahan tidak akan berakhir. Kematian dan penderitaan akan terus berpanjangan. Peperangan tidak akan tamat di sini. Bumi ini akan sentiasa bermandikan darah. Kehidupan sudah tidak menjanjikan apa-apa kebahagiaan dan kemakmuran. Kita akan berhijrah meninggalkan tanah air. Kita akan berhijrah ke sebuah dunia baru yang lebih indah dan tenteram," jelas lelaki tua berserban dari luar khemah pelarian, sewaktu mereka menatap kepulan asap hitam yang berarak mengiringi awan biru.

Bunyi ledakan peluru bertimpatimpa memecah binggit kawasan kontang itu. Entah kerana apa beberapa hari yang berikutnya, aku mendapat tahu khemah yang menempatkan pelarian perang ini akan ditutup. Kami akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil untuk dihantar ke beberapa negara asing yang bakal menerima kami sebagai pelarian perang.

Tidak dapat aku pastikan di negara manakah aku akan ditempatkan untuk meneruskan kehidupan ini. Cuma yang aku tahu melalui beberapa helai risalah yang diedarkan kepadaku, aku akan dihantar ke sebuah negara di sebelah timur. Beberapa kali aku cuba menyebut nama negara tersebut: M-A- L-E-Z-I-A. Satu bunyi yang agak asing. Meskipun kurasakan sebutan lidahku tidak tepat namun aku yakin itulah tanah air yang bakal kudiami.

Kini aku meneruskan hidup di tanah air yang amat asing ini. Tetapi aku seharusnya bersyukur kerana dapat menjalani satu kehidupan yang lebih tenteram dan harmoni, jauh dari sengketa peperangan yang menakutkan. Yang nyata, negara `Malezia' ini mengamalkan cara hidup yang harmoni, saling bekerjasama dan faham-memahami antara satu sama lain, meski negara kecil ini mempunyai rakyat dan masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan adat kebudayaan yang amat berbeza. Inilah yang amat menakjubkan.

Malah, aku kini dapati rakyat `Malezia' sentiasa menikmati keharmonian dan keamanan, sudah beratus-ratus tahun lamanya.

Kini aku masih melihat dengan awan yang memutih di garisan langit yang cerah, mengembalikan aku semula ke saat aku mendengar ledakan nyaring dan ngauman yang bertingkah-tingkah seiring dengan teriakan pilu di pinggir Sungai Sava yang menikam-nikam ke seluruh emosi dan perasaan kecilku.