Pages

Wednesday, December 31, 2014

Kenangan terakhir

MASA berlalu begitu cepat, sehingga aku tidak menyedari matahari sudah mula terbenam. Alangkah kejamnya waktu ini, pada saat aku memerlukan kau sebagai teman, kau pergi meninggalkan aku...Dan aku tetap dengan janjiku, bahawa aku akan menunjukkan keputusan SPM yang terbaik untuk kau. Tatkala keseorangan, kenangan bersamamu silih berganti dalam fikiranku...

"Dalia, saya nak pergi jauh ni, mungkin kali ini saya akan pulang lambat," kata Darius kepada Dalia sambil tangannya begitu pantas mengemas barang-barangnya untuk diisi ke dalam kereta.

"Awak nak pergi mana lagi? Awak ni asyik merantau saja, saya risaulah Darius. Lagipun tak lama lagi saya ada peperiksaan SPM. Saya nak awak sokong saya. Awak pun tahu kan, saya anak yatim piatu, saya tiada sesiapa lagi. Awaklah satu-satunya teman saya," jawab Dalia sambil mencebikkan bibirnya tanda protes terhadap keputusan Darius.

Apabila mendengar kata-kata Dalia, perasaan bersalah menghimpit jiwa Darius. Kasihan akan nasib gadis tersebut. Ibu bapa dan adik-adiknya meninggal dunia dalam nahas jalan raya. Kebetulan waktu itu Darius berada di situ dan dia hanya mampu menyelamatkan Dalia. Dia bawa gadis itu tinggal bersama keluarganya dan dijadikan anak angkat.

"Dalia, janganlah kata macam tu lagi. Emak dan bapa saya akan jaga awak. Lagipun, sampai bila awak nak harapkan saya? Kalau saya mati pun nanti, saya akan pastikan ada orang yang menjaga awak..." jawab Darius tenang sambil melemparkan senyuman kepada Dalia. Dia menyambung katanya semula apabila melihat wajah Dalia muram.

"Oklah, kalau macam tu, saya janji akan balik cepat. Selesai saja urusan kerja itu, saya akan terus balik ke sini.

Tapi, rasanya saat itu awak...dah habis peperiksaan, awak tak kisahkan?" Darius kembali lega apabila melihat Dalia tersenyum.

"Saya tak kisah, asalkan awak janji akan balik cepat. Saya akan tunggu..."

"Tapi...dengan satu syarat. Kalau awak dapat kabulkannya. Insya-Allah saya akan balik lebih cepat ke sini dan buat kejutan untuk awak." Dalia begitu teruja dengan syarat tersebut.

"Apa dia?"

"Kalau awak janji dapat keputusan SPM yang cemerlang untuk saya. Saya takkan pergi mana-mana lagi. Semasa ketiadaan saya, saya nak awak jaga kesihatan, jangan campur dengan budak-budak nakal dan yang paling penting belajar rajin-rajin, bukan untuk saya tapi untuk masa depan awak." Mereka berdua tersenyum. Dalia hanya mampu tersenyum melihat kereta Darius berlalu meninggalkan perkarangan rumah mereka.

Sejak ketiadaan Darius, Dalia banyak menghabiskan waktu dengan mengulang kaji pelajaran. Keluarga angkatnya sering meluangkan masa dengan mengajar Dalia. Dalia beruntung kerana Ibu dan ayah Darius guru. Mereka sanggup menghabiskan wang untuk membeli barang persekolahan serta buku rujukan untuk Dalia belajar.

Pejam celik, pejam celik, keputusan SPM sudah keluar. Dia dipeluk dan dicium dengan penuh kasih sayang oleh ibu bapa angkatnya. Memang satu keputusan yang membanggakan apabila Dalia mendapat 17 A1 dalam SPM. Dia tersenyum riang.

Namun, jauh di sudut hatinya dia mencari bayangan seseorang dan menginginkan sesuatu yang lebih baik daripada semua ini. Dalia kembali ke alam realiti bukan lagi fantasi. Lima tahun sudah berlalu, tetapi kau belum muncul juga. Walaupun banyak cerita yang kudengar mengenai dirimu. Betulkah kau terbabit dalam kemalangan dan...? Tidak, bukan aku sahaja tidak percaya bahkan keluargamu juga menafikannya.

Aku telah tunaikan janjiku dan kini aku menunggu janjimu kepadaku... Tiba-tiba bahunya dipegang dari arah belakang, Dalia menoleh dan terukir senyuman di bibir lelaki itu. Adakah ini mimpi? Namun, dia tetap membalas senyuman itu...

"Awak..."

NOOR AIN NASIP
Kluang, Johor

Tuesday, December 30, 2014

Jalan pulang

AKU bukanlah seorang pencerita yang baik. Tapi aku rasa untuk kebaikan semua, tak salah sekiranya cerita yang menarik ini, dapat dikongsi bersama. Aku sebenarnya sudah bosan dengan cerita cinta yang sering diutarakan. Jadi aku berasa ini adalah masa yang sangat sesuai untuk aku menulis mengenai sebuah cerita benar berunsur ketuhanan.

Cerita ini bermula dengan seorang kakak ini yang sangat sedih dan merindui arwah ayahnya yang baru meninggal dunia. Tahap kerinduan kakak itu sangat kritikal sehinggakan dia berhasrat untuk mengikut ayahnya ke alam barzakh.

Pada suatu malam yang sederhana sejuk; ketika suaminya keluar kerana outstation, dia terlena selepas menunaikan solat isyak. Tidak lama selepas itu dia terasa dirinya dalam keadaan terapung-apung di awangan di sebuah tempat yang gelap gelita. Maka bermulalah episod seterusnya.

Dalam perjalanan yang gelap gelita itu, dia terdengar satu jeritan dan diekori oleh satu tangisan yang sangat menghibakan, mengerikan dan menakutkan pada sesiapa yang mendengarnya. Hidungnya pula ditusuk aroma yang sangat busuk dan hanyir hinggakan hendak termuntah dibuatnya. Tiba-tiba dia ternampak seorang wanita yang sedang memotong daging babi lalu dicecahnya ke dalam air darah babi itu tadi lalu dimakannya dengan lahap. Dia pun bertanya kenapa? Wanita itu menjawab yang dia selalu melakukan maksiat dan menggugurkan kandungan.

Selepas itu beliau meneruskan perjalanan yang gelap gelita itu sehingga beliau terjumpa seorang wanita yang sedang dipatuk kepalanya hingga berlubang. Apabila ditanya kenapa, jawapannya ialah dia tidak menutup kepala ketika hidupnya dulu. Kakak itu kemudiannya terpaku melihat satu lagi kejadian yang sangat mengerikan. Dia melihat seorang lelaki yang sedang menggunting lidahnya hingga putus kemudian disambung lagi dan disambung lagi dan begitulah seterusnya. Pada fikiran kakak itu, perbuatan itu mungkin kerana dosa mulutnya.

Kakak itu kemudian meneruskan lagi perjalanannya sehingga ke satu padang yang luas. Di situ ada ramai yang sedang berjalan di atas bara. Salah seorang daripada manusia itu ialah ayahnya sendiri. Dia berisytifar panjang dan merasa terlampau sebak. Apabila ditanya kenapa? Ayahnya menjawab ketika hidupnya dulu dia banyak melawat tempattempat yang menyeronokkan, tapi bukan ke surau atau masjid tetapi ke tempat-tempat maksiat.

Mungkin ke disko, kelab malam atau cakap mudahnya ke tempat-tempat yang malaikat tak masuk. Selepas mengalami peristiwa yang mengerikan tersebut, kakak itu pun memberitahu keluarganya akan keadaan ayahnya, dan pada tiap-tiap malam kakak itu pun menghadiahkan fatihah agar arwah ayahnya tidak diseksa dengan teruk lagi.

Sememangnya cerita-cerita sebegini bukanlah baru untuk kita kan? Dalam peristiwa Israk dan Mikraj pun, Rasulullah S.A.W. ada melihatnya. Aku percaya kejadian ini mungkin pernah berlaku kepada sesiapa, tapi mungkin mereka malu untuk menceritakan kejadian seperti ini bak kata pepatah, "bagai membuka pekung di dada." Sekarang kehidupan kakak itu dipenuhi dengan cahaya keislaman.

Setiap perkara yang dilarang oleh Allah tidak akan dilakukan dan perkara yang tidak mendatangkan dosa selalu dilaksanakan. Semua ini dilakukan kerana takut kehidupannya akan diakhiri dengan kejadian yang mengerikan seperti yang berlaku dalam mimpinya. Dia selalu berpesan kepada umat Islam yang lain supaya "bertaubatlah semasa pintu taubat masih terbuka."

Mujurlah Allah S.W.T memberikan petunjuk kepada kakak itu tetapi bagaimana pula dengan umat Islam yang tidak diberi petunjuk atau hidayah dan bagaimana pula sekiranya mereka mati sebelum bertaubat. Bak kata Nabil Raja Lawak, "lu fikirlah sendiri!"

Sesungguhnya ini adalah masa yang sangat sesuai untuk meluahkan perasaan marah aku terhadap umat Islam kini yang hanya bernamakan Islam tetapi melanggar pelbagai peraturan agama yang suci ini. Aku harap dengan catatan ringkas ini dapat membuka mata yang selama ini tertutup kerana kejahilan kita sendiri.

MOHD SAID MOHD RADZI
SMK Seri Ampangan

Monday, December 29, 2014

Bukit Pelindung

PAGI Sabtu yang dingin tidak menghalang kami untuk mendaki Bukit Pelindung. Aku, Wan, Azie dan Syakirah sampai lebih awal di tempat yang dijanjikan. Syakirah mengajak aku mengalas perut di kantin. Aku makan roti sardin yang dicelup tepung. Yak,.. tak sedap. Tapi rezeki makan je lah. Syakirah pula makan mi goreng saja. Selepas makan, aku, Wan dan Azie ke kelas 5D.

"Syakirah tunggu yang lain," kata Kak Fazilah, pengerusi Alam Sekitar.

"Dia orang tidak dapat ikut serta. Jadi kami terpaksa batalkan aktiviti alam sekitar ini."

Tidak lama kemudian, Leva Liyana, Farhana, Hidayah dan Nabila pun sampai. Kami sebulat suara meneruskan hajat untuk naik Bukit Pelindung atas kemahuan sendiri dan bukan di bawah aktiviti Alam Sekitar.

Selepas memanaskan badan, kami terus lari apabila melintas jalan. Maklumlah semangat tengah naik. Baru sampai kaki bukit, dah penat. Tapi semangat masih ada. Dalam perjalanan menuju ke puncak bukit, kami berborak, sekali sekala Leva buat lawak. Berderai kami ketawa.

Selepas itu, kami menyanyi lagu yang direka Leva. Berulang kali kami menyanyikan lagu itu. Suara unggas bersahut-sahutan seperti mengucapkan selamat datang. Empat puluh minit kemudian kami sampai di puncak bukit itu. Kami menemukan dua lorong. Kami mengikut lorong kanan. Dan kami sampai ke sebuah bangunan kuning yang sunyi sepi.

Seorang pengawal menyapa kami, "Adik nak ke mana?"

"Kami hendak ke TC, Teluk Cempedak. Boleh abang tunjukkan arahnya?" Liyana berpura-pura tanya.

"Eh! ini bukan jalan ke sana. Ini Bukit Pelindung... kalau adik nak ke TC, adik kena turun balik," kata pengawal itu.

"Dekat sini ada jalan ke TC. Kami pernah pergi tapi dah lama, tak ingat jalan," kata Hidayah.

"Abang baru dekat sini abang tak tahu. Adik sekolah dekat mana dan tingkatan berapa?" soal pengawal itu.

"Kita orang sekolah Afzan, dalam tingkatan lima," kata Farhana.

"Tak apalah bang, kami balik dulu. Terima kasih," kataku.

Syakirah dan Leva mengesyaki sesuatu yang tak kena dengan pengawal itu. Namun, kami meneruskan perjalanan memasuki lorong yang berikutnya.

Dalam perjalanan itu, kami terdengar seakan-akan bunyi ombak. Kami pun mempercepatkan langkah. Akhirnya kami menemui stesen telekom. Bunyi seakan ombak itu rupa-rupanya bunyi dari mesin di stesen telekom itu. Berderai kami ketawa.

Kami pun membuat keputusan untuk turun balik. Selepas beberapa minit berjalan, kami menemukan papan tanda laluan untuk ke TC. Dalam perjalanan itu, Hidayah asyik tergelincir saja, Syakirah pula jatuh terduduk. Beberapa minit kemudian kami menjumpai sebatang pokok tumbang. Ia menghalang laluan kami tetapi kami berjaya melepasinya, walaupun terkena duri.

Leva tak habis-habis membuat lawak. Aku mengingatkan mereka supaya jangan terlalu galak kerana tempat ini bukan tempat kita. Tapi tempat "orang". Aku tak putus-putus berdoa agar perjalanan kami tiada masalah.

Enam puluh minit kemudian, kami sampai di TC. Kami terus ke tandas. Selepas itu kami berpecah kepada dua kumpulan untuk mencari makan - kumpulan aku, terdiri daripada Leva, Farhana, Hidayah, Liyana dan Syakirah, manakala kumpulan lagi satu terdiri daripada Wan, Nabila dan Azie pergi ke kedai makan milik ayah Wan. Selepas makan, aku, Leva, Farhana, Hidayah, Liyana dan Syakirah pergi ke kedai makan milik ayah Wan mencari mereka. Tapi malangnya mereka tiada.

Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 12.00 tengah hari. Tanpa membuang masa, kami membuat keputusan untuk pulang ke sekolah dengan berjalan kaki. Apabila kami sampai di sekolah, mereka belum juga sampai.

Keadaan di sekolah pula kecoh dengan kehilangan kami. Puan Hasanah, guru kelas kami membawa kami ke bilik Puan Rohaida, pengetua sekolah. Mereka berang kerana kami pergi ke Bukit Pelindung tanpa memaklumkan kepada mereka. Apatah lagi pada ketika itu rakan kami, Wan, Nabila dan Azie sudah hilang.

"Awak sebagai pengawas, tak boleh buat macam ni. Awak kena tunjuk teladan yang baik. Bukan mengajak kawan keluar sesuka hati. Kenapa awak naik juga Bukit Pelindung, kalau dah tahu guru alam sekitar tak ikut? Lebih baik awak pergi perpustakaan daripada pergi naik ke Bukit Pelindung!" Bebel Puan Rohaida.

"Wan, Nabila dan Azie pula dah hilang! Siapa yang akan bertanggungjawab?" Marah Puan Rohaida.

Rupa-rupanya satu sekolah kecoh fasal kehilangan kami dari kelas. Apatah lagi puan pengetua mendapat panggilan telefon daripada pengawal yang kami temui di Bukit Pelindung itu. Malu kami dibuatnya. Apatah lagi pada ketika itu ketiga-tiga sahabat kami, iaitu Wan, Nabila dan Azie masih belum balik ke sekolah lagi. Puan pengetua khuatir ketiga-tiga hilang.

Namun kerungsingan itu akhirnya mati apabila ketiga-tiga mereka akhirnya muncul di muka pintu pagar sekolah dengan sebuah teksi. Melihat keadaan mereka, baru kegusaran dalam hati kami menjadi lega. Rupa-rupanya mereka juga mencari-cari kami di TC. Setelah berputus asa tak berjumpa kami, mereka pun balik ke sekolah.

Mereka kemudian turut dimarahi Puan Rohaida. Walaupun sakit telinga dan jiwa kami dimarahi Puan Pengetua, namun kami reda.

Memang salah kami pun. Kami serik dan tidak akan berbuat begitu lagi.

Siti Nurdeelaila Bt Mohd Rafzi
SMK Tengku Afzan Alor Akar, Kuantan, Pahang

Sunday, December 28, 2014

Mohon Secebis Kemaafan

CUACA mendung, semendung hatiku ini. Jam menunjukkan pukul 11 pagi. Bas Rajoo akan tiba tidak lama lagi. Namun hatiku berat untuk ke sekolah. Sejak Cikgu Zamri mengajar Geografi, aku memang tidak dapat menumpukan sepenuh perhatianku terhadap mata pelajaran tersebut. Walaupun begitu, aku sentiasa dapat "A" dalam Geografi. Aku tidak tahu kenapa aku tidak minat pada dia.

"Anis," Maisara memanggil namaku dari arah belakang semasa Cikgu Zamri sedang mengajar.

"Nak apa?" soalku.

"Betul ke Hanafi anak ketua kampung?" soal Maisara kepadaku.

"Betul," jawabku ringkas.

"Betul ke? Tapi Asiad kata bukan," kata Maisara dalam keadaan ragu-ragu sambil menggaru-garu kepalanya.

"Entahlah, kita tak tahu. Kita bukannya suka jaga tepi kain orang. Kenapa? Kau suka pada Hanafi ya," kataku sambil ketawa dengan kuat.

"HANISAH!" tengking Cikgu Zamri tiba-tiba.

Itulah kali pertama aku ditengking cikgu. Semua mata memandangku. Pada masa itu, mukaku yang ceria terus bertukar menjadi masam.

"ANIS!" kedengaran suara mak yang kuat memanggilku.

"Ya, mak," sahutku lalu turun ke bawah.

"Anis tak ke sekolah ke?" soal mak.

"Entahlah mak, kepala ni pening rasa macam nak demam," kataku memberi alasan tidak mahu ke sekolah.

"Nanti demam betul-betul baru tahu," sindir mak.

"Mak, bolehlah," pujukku.

"Baiklah, tapi ini yang terakhir dan mesti baca buku. Peperiksaan dah dekat. Jangan asyik nak berangan," kata mak memberi amaran.

"Ya, mak. Saya berjanji." janjiku dengan senang hati.

Jam menunjukkan pukul 11 malam dan aku terus menutup buku kerana mataku sudah tidak dapat menahan lagi rasa mengantuk. Ketika sedang enak dibuai mimpi, tiba-tiba muncul seorang lelaki tua.

"Cucu, nama tuk, Tun Dan. Tuk ingin menceritakan kisah tuk semasa di alam persekolahan. Tuk mempunyai seorang guru, Cikgu Rohana. Dia selalu menujukan soalan kepada tuk untuk dijawab. Tuk kadang-kadang tidak dapat menjawab soalan itu, jadi tuk sering menjadi bahan tertawa oleh rakan-rakan. Dari situlah tuk mula membenci Cikgu Rohana.

Suatu hari, ketika tuk menghadapi peperiksaan SPM tuk tidak dapat menjawab soalan. Tetapi apabila tuk teringatkan segala kata-kata Cikgu Rohana yang tuk anggap bebelan, tuk terus dapat menjawab soalan itu dengan mudah. Tuk amalkan sehingga hari terakhir peperiksaan.

Apabila keputusan diumumkan, tuk mendapat keputusan cemerlang. Apabila tuk fikirkan semula, barulah tuk sedar bahawa Cikgu Rohana banyak berjasa. Dalam diam tuk memasang niat untuk memohon maaf daripada Cikgu Rohana pada keesokkan harinya. Tetapi Allah S.W.T lebih berkuasa kerana Allah S.W.T telah mengambil nyawa tuk dahulu.

"Jadi di sini tuk harap cucu segera meminta maaf daripada Cikgu Zamri kerana tuk tidak mahu pisang berbuah dua kali," cerita Tuk Dan menasihatkanku sebelum menghilangkan diri.

"Kring....Kring...Kring...," tiba-tiba jam loceng mengejutkan aku daripada tidur. Aku terus mengucap panjang.

Mimpi itu terus menghantui fikiranku. Ia seperti ingin menyedarkan aku daripada kesilapan yang telah aku lakukan terhadap Cikgu Zamri.

"Anis, cepat bersiap dah pukul 11 pagi ni," kata mak dengan suara yang kuat dari arah bawah.

Aku terus meluru ke bilik air untuk mandi. Dalam diam aku memasang niat untuk memohon maaf daripada Cikgu Zamri kerana mimpi yang aku alami tadi membuatkan rasa insaf di sudut hati ini.

"Mak, Anis pergi dulu," kataku sambil mencium tangan mak.

"Baiklah, belajar rajin-rajin dan jalan tu elok-elok," kata mak sambil tersenyum.

Semasa hendak menyeberang jalan, aku terfikir, "Hendaklah cikgu maafkan aku?" soalku pada diri sendiri.

"Ah, belum cuba belum tahu, terpulanglah pada cikgu. Yang aku tahu aku ikhlas untuk memohon maaf," jawabku sendiri untuk menyedarkan hati.

Tiba-tiba tanpa aku sedari muncul sebuah lori ayam yang laju melanggar tubuhku ini. Aku tidak tahu apa yang terjadi selepas itu.

Apabila aku sedar kelihatan ramai orang di sisiku. Mak sedang menangis dan kakak aku sedang memujuknya. Seluruh badanku terasa sakit.

"Mak. . . . A. . .nis kat ma. . . .na ni?" soalku tersekat-sekat.

"Anis dah sedar. Anis berada di hospital," kata mak dalam nada gembira berbaur sedih.

"Mak, ayah, kakak, abang dan semua maafkan Anis ya."

"Baiklah," jawab semua serentak sambil tersenyum.

"Anis mesti segera sembuh. Lepas Anis sembuh kita sekeluarga boleh makan angin seperti selalu," kata ayah yang dari tadi mendiamkan diri.

Tiba-tiba Cikgu Zamri dan kawanku Nurul, Zura dan Mai muncul. Mereka tersenyum ke arah aku.

"Anis, kamu sihatkah?" soal Mai cemas melihat keadaan diriku.

"Sihat, kau jangan risau. Mai, Zura dan Nurul maafkan Anis. Tolong beritahu pada kawan-kawan lain Anis nak mohon maaf," kataku kepada mereka.

"Baiklah," jawab mereka serentak.

"Cikgu, maafkan saya. Saya banyak berbuat salah terhadap cikgu. Terima kasih juga atas segala ilmu yang cikgu curahkan kepada saya," kataku.

"Hanisah, tak perlu mohon maaf. Saya dah lama maafkan awak. Awak mesti segera sembuh, peperiksaan semakin hampir. Saya doakan awak semoga cepat sembuh," kata Cikgu Zamri kepadaku.

Aku tersenyum mendengar kata-kata itu. Aku juga berpuas hati kerana aku dapat memohon kemaafan daripada mereka. Tiba-tiba Tuk Dan muncul dan melambaikan tangan ke arah aku. Aku membalas lambaian itu dengan hati yang gembira.

SITI NOR HANISAH MOHD HURI
SMK Methodist, Ayer Tawar, Perak

Friday, December 26, 2014

Semurni kasih abah

LEWAT petang itu aku sampai di teratak usang yang menjadi tempat keluargaku berlindung dari hujan dan panas. Lantas, aku membuka kasut dan masuk ke dalam rumah. Sunyi saja ruang rumahku. Mungkin adik-adikku pergi menangkap anak-anak ikan kapi di sungai yang terletak di belakang rumahku.

"Assalamualaikum... Abah... Ibu... Jun dah balik ni, " laungku memanggil abah dan ibuku. Namun launganku tiada siapa pun yang menyahut.

Isy...pergi ke mana mereka? Aku membuka langkah menuju ke dapur. Ku lihat kelibat abah yang duduk bersandar penat pada tiang rumah. Matanya terpejam rapat dengan tangannya mengurut-urut dada. Ku lihat urat-urat hijau timbul dan jelas kelihatan pada lengannya. Ah! Tangan itulah yang menyara dan bertungkus lumus menyekolahkan kami adik-beradik. Dan tangan itu juga pernah singgah di pipiku suatu ketika dulu.

Melihat keadaan abah, aku menjadi sebak. Aku rasa perit dan pedih di dadaku... ibarat pisau yang menghiris-hiris tangkai hatiku. Mataku mulai kabur dan beberapa butir mutiara putih mengalir deras di pipiku. Ego seorang lelaki yang kupertahankan selama ini akhirnya tumpas...

Abah... seorang bapa yang sanggup melakukan apa saja untukku dan adik-adik. Cakap saja kerja kampung di sini, mengambil upah menabur padi dan baju, menoreh getah, semua abah dah buat. Menyesalku berfikir yang bukan-bukan mengenai abah selama ini.

* * * * * *

"Along!!!! Cepat tolong abah. Pergi ambil guni pasir dekat dangau belakang rumah. Hujan lebat ni, kejab lagi tak sempat nak tahan air masuk dalam petak sawah ni. Lepas tu, beritahu Bulat dan Cuien pergi bawa balik lembu dan kambing kat belakang rumah Usu Lebai!" laung abah.

Kalut benar kulihat abah bertungkus lumus membuat benteng menahan air supaya tidak masuk ke dalam petak sawah milik arwah nenekku yang luasnya hanyalah sekangkang kera.

Kalau air masuk dan menenggelamkan padi tersebut, alamatnya tiada rezeki untuk abah tahun ni. Maklumlah...sejak tiga bulan kebelakangan ini hujan kerap turun pada waktu petang. Musim sebeginilah yang merunsingkan abah. Tentu abah memikirkan cara untuk mendapatkan wang perbelanjaan persekolahan kami dan belanja untuk keperluan harian.

Ya Allah... Mahu saja aku menangis melihat abah, tapi sebagai anak sulung, aku harus tabah dan cekal, setabah dan secekal abah!

Aku berlari-lari anak menuju ke dangau di belakang rumah. Lantas, kucapai kereta sorong dan mengangkat guni pasir. Cepat-cepat aku menyorong kereta sorong menuju abah. Aku dan abah ligat menahan air yang sudah memenuhi ruang petak sawah.

* * * * * *

8 TAHUN KEMUDIAN...

Seorang wanita berskirt hitam paras lutut dan memakai baju cekak musang berwarna hijau muda mengetuk pintu bilikku yang tertera PENGURUS PEMASARAN sambil memegang sebuah buku cacatan di tangannya.

"Tina, ada apa-apa agenda untuk saya hari ini ke?"

"Hari ni takde apa-apa, cuma tuan ada mesyuarat pukul 2.00 petang nanti dengan Cik Julia, wakil dari Syarikat Sunwell di Hotel Singgahsana untuk berbincang mengenai hasil jualan bahan mentah yang syarikat kita eksport melalui syarikat mereka. Emm...satu lagi tuan, laporan yang tuan minta kelmarin dah saya letakkan atas meja tuan," ujarnya panjang lebar.

"Baiklah, Tina. Satu lagi, awak beritahu Encik Shahrul, suruh dia ganti tempat saya besok untuk melawat tapak projek di Putrajaya. Mulai esok, saya akan cuti 4 hari untuk pulang ke kampung. Kalau tak ada apa-apa lagi, awak boleh keluar sekarang", pesanku kepadanya.

"Baiklah, tuan," ujarnya seraya meninggalkan bilikku.

* * * * * *

PON!!PON!! Bunyi hon kereta milikku memecah kesunyian halaman rumah yang kutinggalkan kira-kira tujuh tahun lalu. Sunyi saja rumah ini. Abah langsung tidak menjenguk kepulanganku ini. Ibu... sudah lima tahun pergi menghadap Ilahi. Tinggallah abah keseorangan di rumah yang banyak kenangan kepadaku. Ya... kenangan yang menggigit perasaanku.

Aku mengelamun. Semuanya sudah banyak berubah. Dulu, jalan masuk menuju ke rumahku ini berlopak-lopak, sekarang ini sudah diturap dengan tar hitam. Takku sangka banyak pembaharuan yang berlaku di kampungku ini.

Aku memberi salam. Lama. Namun, tiada siapa yang menyambutnya. Aku terus menaiki anak-anak tangga. Ku tolak pintu yang tidak berkunci. "Pelik, abah tak kunci pintu ni ke," aku bermonolog dalam hati. Hatiku berdebar-debar. Abah pergi mana. Aku betul-betul rindu untuk menatap wajah tuanya. Melihat kolam-kolam derita pada matanya. Dan kalau diberi peluang, aku akan meringankan derita tersebut. Sungguh!!

Aku mencari abah, di dalam bilik, dapur, belakang rumah, semua ruang rumah usang itu ku geledah. Namun, kelibat abah tiada juga. Launganku juga tak disahut oleh abah. Otakku ligat berfikir dan hatiku berdegup kencang! Sekencang taufan Rita!!

Aku menjadi tidak tentu arah. Hanya satu manusia saja yang aku cari sekarang. Di mana abah?

AMIRAH BT ABDUL RAHMAN
Sek. Men. Teknik Jalan Stadium
Alor Star, Kedah

Thursday, December 25, 2014

Kegigihan membawa kejayaan

KRING...kring..... jam loceng berbunyi sejurus sahaja jarumnya menunjukkan pukul 11.00 malam. Azrul tersentak daripada lenanya. Dia bangun daripada tidurnya lalu terus ke dapur untuk membancuh secawan kopi walaupun matanya terasa mahu menyambung tidur.

Selepas itu, Azrul pergi ke meja di penjuru biliknya, lalu melabuhkan punggungnya ke kerusi, khusus untuk mengulang kaji pelajarannya. Dia duduk dengan kemas dan mengambil buku Sejarah untuk ditelaah.

Malam itu sungguh kusam. Semua ahli keluarganya sudah lena dibuai mimpi. Dia masih duduk di mejanya walaupun punggungnya berasa lenguh dan matanya amat berat untuk dibuka.

Dia terus ditemani cahaya lampu meja di hadapannya, walaupun hati kecilnya meronta-ronta berasa malas. Di luar rumahnya, angin bertiup sepoi-sepoi bahasa dan longlai. Suasananya dingin dan kedinginan itu memanggil-manggil Azrul ke katilnya.

Namun begitu, Azrul berusaha keras memujuk dirinya untuk terus mengulang kaji pelajarannya walaupun terpaksa berlawanan dengan kedinginan malam yang memanggil-manggilnya. Dia terus bersengkang mata menghadap buku itu.

Pada keesokan harinya, dia melangkah keluar dari rumahnya dengan sepotong doa agar ilmu yang dipelajarinya itu diberkati Allah. Di sekolah, dia belajar seperti biasa.

Dia pelajar Tingkatan 5 Kualiti iaitu kelas yang ketiga daripada enam kelas. Azrul seorang pelajar yang mempunyai prinsip, disiplin, berwawasan dan berintegriti dalam hidupnya.

Dia berharap suatu masa nanti dia akan berjaya dan mampu berdiri di atas telapak kakinya sendiri. Justeru, dia sentiasa berusaha lebih keras. Dia akan terus belajar dan belajar. Adakalanya, dia pergi menemui gurunya jikalau dia mempunyai masalah dalam pelajarannya. Maklumlah, dia mempunyai cita-cita yang tinggi dalam hidupnya.

Saban hari, dia meminta pertolongan gurunya untuk membawa dan membimbingnya ke arah kejayaan. Tunjuk ajar dan nasihat daripada gurunya tidak akan dilupakannya.

Pada waktu petang ketika di rumah, dia menolong ibu bapanya di kebun. Kerja sebegini sudah menjadi kebiasaan dalam dirinya. Hal sedemikian tidak menjejaskan prestasi pelajarannya kerana dia pandai mengagih-agihkan masa mengikut keutamaan dan keperluan.

Sudah menjadi kewajipan baginya sebagai anak sulung dalam keluarganya menunjukkan sikap yang baik agar menjadi teladan kepada adik-adiknya, dengan membantu ibu bapanya di kebun bagi meringankan beban mereka berdua.

Hari demi hari, masa berlalu dengan pantas. Azrul terus berusaha dan menjadikan gurunya sebagai tempat rujukannya. Begitulah rutin hariannya setiap hari tanpa berasa jemu dan mengeluh menghadap buku.

Semangatnya ingin berjaya dalam peperiksaan SPM semakin berkobar-kobar dalam dirinya. Ibu bapanya selalu memberikan semangat dan dorongan yang tidak putus-putus kepadanya. Ibu bapanya menaruh harapan yang tinggi terhadap Azrul. Dia terus berusaha dan berjuang berhabis-habisan dalam pelajarannya.

Masa yang dinanti-nantikan telah tiba. Degup jantungnya bergerak kencang bagai taufan yang melanda. Dia memujuk dirinya supaya tenang dan dia berdoa ke hadrat Illahi agar dia dapat mengharungi peperiksaan itu dengan baik.

Tiga bulan berlalu... saat yang dinanti-nantikan telah tiba. Dia pergi ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan SPM dengan bertemankan perasaan takut, gugup dan gementar. Suasana di sekolah gamat dengan tangisan dan kegembiraan.

Perasaannya ketika itu seperti tidak berpijak di bumi yang nyata. Pelbagai pertanyaan bermain di fikirannya. Keadaan ini menyebabkan dia bertambah runsing.

Dia memegang dan menatap sekeping kertas putih yang sangat tinggi nilainya. Dia menatap kertas itu sepuas-puasnya.

Dia bagai tidak percaya apa yang dibaca. Diulangnya berkali-kali. Sah dan nyata. Itulah keputusannya.

Azrul terkejut apabila mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM. Air matanya mula menitis jatuh ke bumi kerana terlalu gembira dan terkejut dengan kebolehan dan kemampuan dirinya.

Akhirnya usaha-usaha kerasnya selama ini menunjukkan hasilnya. Usaha kerasnya selama ini amat berbaloi dengan keputusan yang ada di tangannya.

MOHD RUDY HASMAIRA ERMAN MOHD AMIN
SMK Kandis, Bachok
Kelantan

Wednesday, December 24, 2014

Di pihakmu, Palestin

HATIKU berdegup kencang sejak tadi. Mungkin kerana bimbang untuk menghadapi hari pertama di universiti. Maklumlah, universiti ini bertaraf antarabangsa, dan sudah semestinya akan memilih pelajar yang berkualiti dan berkredibiliti dalam usaha untuk menjaga reputasi dan prestijnya di mata dunia. Universiti Teknologi Petronas sememangnya destinasiku sejak awal persekolahanku di peringkat menengah.

Mataku asyik memerhatikan gelagat pelajar baru di sini. Pelbagai kerenah aku perhatikan. Walau bagaimanapun, aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah memberi peluang kepadaku untuk melanjutkan pelajaran di sini.

"Syed Hassan Hasbullah!"

Aku terhenti dari lamunan. Terkejut aku, suara itu bergema dengan kuat dan menggegarkan gegendang telingaku. Aku berpaling.

"Syed Hassan Hasbullah! Maza tafa'al?Kaifa haluka ya sodiqi? Wa ana filkhair..." Terasa hangat tubuhku tatkala memeluk sahabatku itu. Terubat rasanya rinduku padanya. Kami sememangnya rapat sejak kecil.

Masih segar di kotak ingatanku kenangan ketika kami masih di tadika. Lazimnya, piala untuk tempat pertama akan digondol oleh Hamzah. Manakala aku, semestinya di tempat yang kedua. Walaupun demikian, kami tidak pernah iri hati terhadap pencapaian masing-masing, bahkan kami sating membantu untuk berjaya. Setelah hampir sepuluh tahun berpisah, akhirnya kami telah dipertemukan di Malaysia.

Kelas Kimia kami telahpun bermula. Begitu khusyuk nampaknya Hamzah menekuni pembelajaran Puan Alyssa Sharmila yang berdarah kacukan Inggeris-Belanda itu. Pada minggu ini, kami mempelajari tentang pelbagai bahan kimia yang digunakan dalam proses pembentukan senjata nuklear.

Aku dan Hamzah amat berminat untuk mendalami ilmu persenjataan sejak kecil lagi. Lebih-lebih lagi, sehingga kini tiada lagi negara Islam melainkan Iran yang telah memiliki senjata nuklear, kerana faktor kewangan dan kekurangan tenaga pakar. Sungguhpun demikian, aku masih menyimpan hasrat untuk mencipta senjata nuklear suatu hari kelak.

Sejak kebelakangan ini, Hamzah agak berbeza. Seringkali aku menghantar pesanan ringkas kepadanya, tetapi tidak dibalasnya. Aku berasa sungguh bimbang dengan perubahan yang mendadak itu. Lebih-lebih lagi, kami adalah antara sepuluh pelajar terbaik dari Mesir yang bertuah kerana berkesempatan melanjutkan pelajaran di sini. Perasaanku bercampur-baur. Bimbang dan pelik rasanya. Segala tanggapan negatif terhadapnya aku lontarkan sejauh yang mungkin.

Televisyen di ruang tamu aku hidupkan. Aku tergamam melihat kehancuran yang berlaku di Palestin. Bandar Gaza telahpun ditawan tentera Israel yang telah mengepung bumi Palestin itu dengan ketat.

Setitis demi setitis air mata mengalir di pipiku. Pilu, sedih dan benci mula menguasai diriku. Hujan lebat yang mencurah-curah mula bertukar warna. Tiada lagi titisan hujan yang jernih lagi menenangkan. Hanya kotoran dan bau hanyir yang menyesakkan hidung menggantikan hujan jernih itu. Dunia ini seolah-olah sudah hilang keamanan.

Tiada lagi kasih sayang di bumi Palestin. Sememangnya telah hancur musnah. Serangan pihak tentera Zionis ini telahpun dijangka sejak awal lagi, memandangkan Perdana Menteri Israel pernah membuat ancaman untuk menakluki bumi Palestin sehari sebelum serangan itu dilancarkan. Kulihat kanak-kanak dan wanita lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Walaupun bukan kampungku yang dihancurkan, bukan ahli keluargaku yang menanggung derita itu dan bukan aku yang merasai keperitan dan derita yang dilemparkan oleh tentera Zionis itu, aku sebagai saudara seagama turut merasai kesengsaraan tersebut. Bahkan, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, bahawa setiap umat Islam itu bersaudara dan apabila salah satu anggota itu berada dalam kesakitan maka seluruh tubuh akan merasai keperitannya.

Sesungguhnya, aku berada di pihakmu, Palestin... Ketahuilah, suatu hari nanti, kebenaran pasti terbongkar. Walaupun hampir seluruh dunia mengecam tindakan Israel yang tidak berperikemanusiaan, tetapi pihak tentera Zionis langsung tidak mempedulikannya.

Tanpa membuang masa, aku bergegas berlari ke bilik Hamzah. Aku cuba menghubunginya tetapi gagal. Sebaik sahaja kakiku melangkah masuk ke biliknya, "Helo, Hassan..." kami bersalaman.

"Anda mencari Hamzah ke?" seorang pelajar berkulit putih yang tinggal sebilik dengan Hamzah menyoalku.

Aku mengangguk perlahan. Katil Hamzah kosong.

"Dia telah mengemaskan semua barang-barangnya selepas menonton berita di TV tadi. Katanya, dia ingin kembali ke tanah air, dan surat ini untuk anda." Pemuda itu menghulurkan sepucuk surat kepadaku. Aku membuka sampul surat itu lantas terus membaca kandungannya.

Ke hadapan sahabatku Hassan Hasbullah,

Sebenarnya, telah lama kupendam perasaan ini. Tahukah kau sahabatku, tujuan kedatanganku di sini bukanlah atas kemahuanku. Hanya kerana desakan ibu bapaku, barulah aku bersetuju ke mafi. Sejak dahulu lagi, aku memang berminat untuk menyertai tentera, tetapi dihalang oleh ibu bapaku. Aku ingin menegakkan semula kekuatan tentera Islam seperti yang pernah berlaku semasa zaman Khalifah Umar dahulu. Dunia kita berbeza, sahabatku. Kejarlah cita-cita kau, dan realisasikanlah impianmu. Setelah kau tamat pengajian nanti, pulanglah dan berjuanglah bersama-samaku mempertahankan hak kita. Sekali lagi, aku mohon maaf. Percayalah, sahabatku bahawa diri ini terlalu menyayangimu.

Salam Sayang,

Hamzah Nasrullah

Aku mengesat air mata. Tergamak kau tinggalkanku, Hamzah. Sedangkan aku juga saudara Islam sepertimu. Namun, aku menyokong tindakannya. Aku tahu, Hamzah seorang yang degil. Dia tidak akan melepaskan apa yang dihajatinya dengan mudah.

Tetapi, bagaimana pula dengan aku? Aku masih di sini... Masih setia mendengar dan mempelajari ilmu-ilmu baru di sini demi mencapai matlamatku sebelum berjuang bersamamu. Percayalah, di sini aku akan lakukan yang terbaik dan aku yakin bahawa suatu hari nanti, cita-citaku untuk mencipta senjata nuklear yang cukup ditakuti pasti akan termakbul... Salam perjuangan, sahabatku!

NURASYIKIN BT MOHD NON
SMKA Sultan Azlan Shah, Bota, Perak

Tuesday, December 23, 2014

Hubungan kita

KEHANGATAN mentari pagi ditambahkan lagi dengan desiran air sungai menjadikan cuti hujung minggu itu ceria sungguh.

"Apakah yang awak buat dengan dia, Liya?" jerit Aidid kepada aku. Buat kali pertama Aidid terpaksa meninggikan suara sedemikian melawan bunyi desiran sungai kuat.

"Buat apa dan siapa yang awak maksudkan itu, Aidid?" tanya aku dengan nada yang kaget.

"Pura-pura tak tahu atau awak sengaja mencabar kesabaran saya? Awak fikir saya tak tahu apa yang dia dan awak buat semalam," kata amarah yang dilontarkan dari mulut Aidid kepada aku, tanpa menghiraukan orang di sekeliling yang sejak dari tadi memandang telatah Aidid dan aku.

"Aidid!...."

"Wah! Termenung jauh nampak," pintas Zana yang menyedarkan aku daripada lamunan kerana Aidid.

Zana, sahabat yang sentiasa menemani aku tidak kira dalam apa jua keadaan yang aku alami. Zanalah yang sentiasa menasihati aku agar terus bersabar dengan jejaka yang bernama Aidid... Aidid! Seorang jejaka yang berjaya menawan hati gadis lembut dan sopan yang kononnya diminati ramai orang.

"Teringatkan orang tersayang ya?" tegur Zana sambil mengukir senyuman, meneka hati kawan karibnya itu.

"Tak adalah Zana, ada-ada saja awak ni," jawab Liya membalas senyuman, kerana memahami telatah sahabatnya.

Aidid sudah berubah, adakah dia masih menyimpan perasaan sayang kepada aku lagi atau....Ah! Perasaan aku mulai tergugat dek kepercayaan yang Aidid berikan selama ini. Entah kenapa sejak dua bulan yang lalu Aidid mula bersikap dingin terhadap aku. Entah apa yang difikirkan sehingga menyebabkan kepercayaan aku ditaksirkan semula. Kami tidak semesra dulu, bagai ada tembok yang menghalang untuk aku dan Aidid terus bersama.

Aku rasa kecewa apabila berdepan dengan jejaka yang mulai sangsi akan kejujuran yang aku berikan. Rinduku pada saat pertama kali Aidid mencanangkan rasa cintanya kepada aku, disaksikan desiran air sungai, dua tahun yang lalu.

Jejaka yang sabar akan kerenah aku, sentiasa berjenaka semata-mata membuatkan aku mampu mengukir senyuman walaupun pada saat hiba. Di satu sudut bacaan perpustakaan sekolah.

"Assalamualaikum Liya?" sapa Zainal membuatkan aku tersedar. Buku biologi yang aku pegang tadi bagaikan terlucut dari tanganku.

"Awak sihat?"

"Sihat."

"Kenapa moody saja sejak akhir-akhir ini. Ada masalah peribadi?"

"Tak adalah, saya o.k."

"Saya sudi mendengar masalah awak, jika awak tidak kisah. Percayalah...."

Loceng tamat persekolahan berbunyi. Suasana sekolah menjadi gamat apabila pelajar berpusu-pusu keluar untuk pulang ke rumah. Bagaikan kambing keluar kandang. Dalam suasana keriuhan itu terdapat pandangan yang mencuit ramai pelajar. Satu sekolah tahu hubungan mereka, ada yang suka dan ada yang sebaliknya. Tapi hakikatnya, lebih ramai yang suka melihat mereka berpisah terutama sekali Sha, teman Liya dari kecil lagi. Pada awalnya Sha meminati Aidid, tapi sebaliknya Aidid lebih tertarik kepada Liya. Pandangan liar Sha terhadap Liya mengeruhkan lagi keadaan hubungan yang utuh terjalin selama ini. Sha sanggup bermusuhan dengan Liya, semata-mata Aidid.

"Zana tahu kenapa Aidid marah Liya tempoh hari."

"Kenapa?"

"Cemburu...."

"Cemburu! Dengan siapa?"

"Dengan Zainal. Bukankah Zainal menyimpan hati pada Liya selama ini. Tambahan pula Zainal sekelas dengan Liya, dan yang utama sekali Liya digandingkan dengan Zainal dalam teater sekolah. Jadi...ulat bulu naik daunlah," Zana cuba bersenda.

"Zainal simpan perasaan pada Liya!" aku menjadi terkedu. Rasa bagai nak ketawa, kelakar tu....

"Aidid ada bagi amaran pada Zainal jangan cuba dekat Liya tapi.... faham-faham sajalah bila hati dah suka."

"Tak logik langsung. Bukankah Zainal tu kawan kita? Lagipun Liya tak pernah rapat dengan Zainal kalau tidak kerana pelajaran. Tak lebih dari itu."

"Zana tahu, tapi Aidid tidak...."

"Dengar cerita Sha cuba rapat dengan Aidid sejak belakangan ini. Tak malu betul perempuan tu, yang kasihannya Aidid tak layan.... ha, ha, ha." tangkas Zana cuba untuk mengamatkan lagi keadaan.

"Liya rindu...." (suasana sepi)

"Zana, Aidid minta kami ambil haluan masing-masing. Kenapa? Kenapa? Kalau betul pun Aidid cemburu dengarlah dulu penjelasan Liya...Aidid seperti mahu Liya belayar sendirian di tengah lautan tanpa dia sebagai kemudinya."

"Mungkin Aidid tak mahu Liya tahu apa yang terjadi kepadanya," kata-kata Zana membuat Liya tersentak. Apakah yang terjadi kepada Aidid?

"Aidid tidak mahu Liya gagal dalam peperiksaan SPM nanti. Buat pengetahuan Liya, Aidid akan berpindah sekolah mulai minggu depan. Aidid mahu Liya kuat dan mampu untuk berdepan dengan cabaran tanpanya. Aidid beritahu dia tidak suka Liya rapat dengan Zainal sebab Aidid seorang lelaki. Aidid juga minta maaf kerana gelagatnya tempoh hari."

Sebulan berlalu tanpa berita setelah Aidid bertukar sekolah. Aku terasa bagai kehilangan permata yang disayangi. Sukar untuk aku melalui kehidupan ini bersendirian tanpa dia membantuku, baik dalam pelajaran mahupun dalam hal-hal lain. Namun aku akan berusaha untuk mengatasi semua kesukaran dan kesusahan ini. Barangkali, berjauhan dengannya adalah perkara terbaik untuk semua orang.

"Tahniah Liya, awak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan percubaan. Insya-Allah, SPM nanti awak pasti dapat keputusan yang lagi cemerlang," Zana memberi semangat.

Sebentar kemudian, aku mendapat sekeping kad entah daripada siapa. Di dalam kad itu tertulis....

Liya yang kuingati,

Hubungan kita tetap menjadi

kenangan untuk selamanya

Dan untuk sekian kalinya

saya percaya kita pasti akan

bersua....

SITI ROHAYAH NGALIMI
FELCRA Seberang Perak,
Teluk Intan, Perak.

Monday, December 22, 2014

Sayang Selasih

EMPAT belas tahun telah berlalu. Ayu kini boleh berbangga dengan kejayaan anak-anaknya. Puteri Noorlizshazlina atau nama manjanya Lin, pelajar tahun akhir jurusan perundangan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Puteri Norazliza, anak keduanya berada dalam tahun pertama Universiti Malaya (UM), Puteri Nur Shiha pula sedang belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Balik Pulau dan yang bongsu, Puteri Noor Shafina sedang belajar di Sekolah Menengah Raja Tun Azlan Shah di tingkatan dua.

Anak-anak Ayu boleh dikatakan berjaya di dalam pelajaran. Lin, tidak lama lagi bakal bergelar seorang peguam. Liza pula sedang mengejar cita-citanya sebagai seorang akauntan. Shiha pula pernah membuktikan kepintarannya di dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dengan mendapat 8A dan telah dianugerahkan Tokoh Pelajar Terbaik pada tahun itu. Tapi, yang amat merisaukan hatinya sekarang ialah Fina. Walaupun bersekolah di sekolah yang agak ternama, tetapi Fina masih tetap dengan perangai lamanya. Amat payah sekali untuk melihat Fina melekat di rumah apatah melihat dia membaca buku. Hati Ayu runsing. Kalau boleh, Ayu mahu melihat Fina seperti kakak-kakaknya yang mementingkan pelajaran daripada dunia luar. Tambahan status Ayu sebagai ibu tunggal yang sentiasa diperhatikan oleh masyarakat sekeliling. Ini kerana kejayaannya dalam membentuk sahsiah anak-anak akan menjadi perbualan buah mulut orang ramai.

Namun, ada perkara lain yang lebih merunsingkan Ayu. Azwan, bekas suaminya kini telah kembali menuntut keempat-empat permata hatinya. Ayu takut, takut kehilangan Lin, Liza, Shiha dan Fina. Kenangan lama terimbau kembali. Ayu dan Azwan merupakan pasangan kekasih yang paling ideal pada masa itu. Dicemburui oleh ramai kawan dan lawan. Ayu seorang perawan yang cantik paras rupa dapat dimiliki oleh Azwan yang menjadi kegilaan ramai gadis. Perkenalan daripada sebuah parti hari jadi Hannan, rakan mereka telah membuahkan bibit-bibit cinta. Namun, percintaan mereka telah dihalang oleh ibu bapa pihak lelaki dengan alasan, Azwan terlalu muda untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan paling memedihkan hati apabila mereka menyatakan Ayu tidak setaraf dengan Azwan, anak tunggal mereka!

Kerana cinta mereka turutkan, akhirnya Azwan dan Ayu nekad untuk berkahwin di sempadan Siam. Keluarga kedua-dua belah pihak menerima tamparan yang hebat akibat perbuatan mereka. Pak Rusdi, bapa Ayu telah meninggal dunia diserang sakit jantung dek kerana terkejut dan malu kepada orang kampung. Tinggallah Mak Kiah keseorangan.

Pada awal perkahwinan mereka semuanya indah belaka. Ayu ditatang bagai minyak yang penuh. Azwan memenuhi kriteria sebagai suami mithali. Tambahan pula kelahiran anak sulung mereka, Lin, menjadi penyeri. Hidup mereka bertambah bahagia.

Pada masa yang sama, mereka cuba menjernihkan kembali keadaan yang telah keruh. Ayu sedaya upaya cuba menawan hati Datuk Megat Syahil dan Datin Asma. Namun segalanya hampa. Layanan kedua-dua mentuanya terhadap Ayu dan anaknya hambar. Mereka hanya mahukan Ardiana, anak Datuk Aizat sebagai menantu. Walau bagaimanapun, mereka tetap menerima Azwan seperti biasa.

Ayu mengandung lagi. Azwan mengharapkan cahaya mata kali ini seorang anak lelaki. Azwan berangan-angan ingin memberi nama anaknya Megat Aznir. Selepas sembilan bulan sepuluh hari kemudiannya, Liza dilahirkan. Azwan hampa. Pada masa yang sama, Datuk Megat Syahil dan Datin Asma sedaya upaya cuba memisahkan mereka. Pelbagai fitnah ditabur, bermacam cara dilakukan. Tetapi cinta Azwan terhadap Ayu tetap utuh.

Selang tiga tahun kemudian, Shiha dilahirkan. Azwan mulai bosan. Tambahan pula dengan leteran ibunya yang inginkan cucu lelaki. Sebenarnya Datin Asma mahu Azwan bernikah dengan Ardiana dan menjadikan cucu lelaki sebagai alasan.

Keadaan semakin genting apabila Fina dilahirkan. Sikap buruk Azwan semakin terserlah. Tanpa menatap wajah anak kecil itu, Ayu diceraikan. Azwan menuduh Ayu berlaku curang kerana menurut ibunya Ayu sering pulang ke kampung sendirian semasa ketiadaannya walaupun Azwan sememangnya tahu Ayu hanya melawat mentuanya yang sedang sakit. Tambahan pula kulit Fina yang agak gelap mengukuhkan lagi dakwaan ibunya. Yang pastinya, berita penceraian mereka disambut baik oleh Datuk Megat Syahil dan Datin Asma. Akhirnya Azwan dan Ardiana disatukan di dalam majlis yang gilang-gemilang. Tinggallah Ayu terkontang-kanting bersendirian memelihara empat orang anaknya yang masih kecil.

Ayu menerima kenyataan itu dengan tabah dan mengambil keputusan membawa anak-anaknya tinggal bersama-sama ibunya, Mak Kiah, di Perak. Azwan pula bersenang-lenang dengan isteri barunya di rumah banglo besar yang dihadiahkan oleh Datuk Aizat sebagai hadiah perkahwinan.

Selama empat belas tahun Ayu keseorangan menyara ibu dan anak-anaknya. Azwan tidak pula mahu menjenguk muka melihat anak-anak yang kian membesar malah nafkah wajib bagi seorang bapa terhadap anak-anak pun tidak ditunaikan. Ayu mati akal apabila Fina selalu bertanyakan tentang bapanya. Fina cemburu melihat rakan-rakannya yang mempunyai bapa. Pernah sekali Fina menangis dan merajuk tidak mahu makan disebabkan guru memarahinya kerana tidak menyiapkan karangan yang bertajuk `Bapa Saya'. Kasihan Fina, sudahlah tidak pernah dibelai dengan kasih sayang daripada seorang bapa malah dianggap sebagai anak haram oleh masyarakat sekeliling khususnya rakan-rakannya. Disebabkan itulah Fina berubah sikap menjadi lebih agresif dan semakin membenci bapanya.

Kini lelaki yang tidak bertanggungjawab itu telah kembali, menuntut hak yang bukan sepatutnya menjadi miliknya. Azwan mahukan anak-anaknya kembali dan mengugut akan membawa kes ini ke mahkamah jikalau Ayu enggan menyerahkan keempat-empat permata hatinya. Ayu enggan berbuat demikian. Bukan niatnya untuk memisahkan Azwan dengan anak-anaknya tetapi Azwan sendiri yang membina jurang pemisah di antara mereka. Ayu berusaha sedaya upaya agar anak-anaknya tidak terlepas ke tangan bekas suaminya itu.

Azwan dan Ardiana telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang meragut nyawa anak tunggal mereka, Puteri Fatrika, tidak lama dahulu. Keadaan menjadi lebih buruk apabila Azwan disahkan mandul oleh doktor pakar. Dunianya bagaikan gelap gelita.

Rentetan daripada peristiwa itu, Azwan cuba mendapatkan kembali anak-anaknya hasil hubungannya dengan isteri pertama. Dia seakan-akan lupa tentang kesalahannya yang mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak suatu ketika dahulu.

Fina mengamuk Azwan mencarinya di sekolah pagi tadi. Habis merah padam mukanya menahan marah apabila Azwan memperkenalkan dirinya sebagai bapa Fina. Fina benci lelaki itu kerana cuba mengumpannya dengan wang ringgit. Kini, rakan-rakannya pastinya mempunyai cerita terbaru untuk mengumpatnya. Sebagai seorang ibu, Ayu cuba meredakan kemarahan anak bongsunya. Ayu mengerti, Fina mengalami kesukaran menerima hakikat bahawa bapanya telah kembali setelah menerima pelbagai tohmahan daripada masyarakat. Lin, Liza dan Shiha tetap menerima Azwan sebagai bapa mereka. Namun untuk tinggal bersamanya, tidak sama sekali!.

Sekali lagi Azwan mencarinya di rumah, kali ini bertemankan ibu tirinya. Ayu membenarkan mereka masuk ke rumah memandangkan mereka datang secara baik. Kali ini marahnya tidak dapat ditahan lagi. Fina terus keluar dari rumah tanpa mempedulikan jeritan ibunya. Fina gamam apabila sebuah lori memecut laju datang dari arah bertentangan dan.....

Hanya surah Yasin sahaja kedengaran diselangi dengan tangisan. Allahyarham Puteri Noor Shafina binti Megat Azwan selamat dikebumikan. Azwan menyesal dengan sikap tidak bertanggungjawabnya dahulu. Manakala Ayu ditenteramkan oleh anak-anaknya. Sukar baginya menerima dugaan yang maha hebat ini.

Ketika kakinya melangkah keluar dari tanah perkuburan, Ayu menoleh ke kubur anaknya. Sempat memandang ke arah yang Azwan berteluku di tepi nisan dengan sekilas pandang.

AIDA ZULIYANA HJ AHMAD ANUAR
SM Teknik Kerian, Jalan Siakap, 34000 Bagan Serai Perak.

Sunday, December 21, 2014

Wasiat Perlumbaan

AKU dapat melihat kesungguhan Hazwan untuk menamatkan lariannya. Hanya tinggal lebih kurang 25 meter sahaja untuk dia menjuarai acara 400 meter. Namun begitu dua orang pelari yang berada tidak jauh di belakangnya iaitu Firdaus dan Fairuz terus memecut dan merapatkan jarak mereka dengan Hazwan.

Hazwan semakin menguatkan lariannya dan dengan sokongan padu daripada ahli-ahli rumah Tariq Ibn Ziyad, kulihat Hazwan begitu sukar dikalahkan. Dia semakin dekat dengan garis penamat. Tetapi, kira-kira satu dua langkah lagi untuk tiba di garisan penamat dia tersungkur!

Aku lihat dia berguling-guling jatuh seperti nangka busuk. Aku berasa amat panik dan takut. Aku tahu sekarang keadaan masih genting dan memerlukan bantuan kecemasan daripada ahli PBSM dan St John.

Para penonton yang menyaksikan acara sukan itu seperti dirasuk hantu kerana terkejut dengan peristiwa itu. Mereka menjerit-jerit meminta Firdaus dan Fairuz menolong Hazwan. Firdaus dan Fairuz pula bagaikan terpukau dengan adegan tersebut, tapi mereka dengan bersungguh-sungguh dan ghairah terus berlari untuk merebut tempat johan dalam acara itu. Semasa mereka bersaing untuk merampas takhta itu daripada Hazwan, tiba-tiba kaki Fairuz bersilang dan jatuh menimpa Firdaus bagaikan nangka busuk.

Seluruh stadium menjadi gempar. Pihak atasan sekolah telah menangguhkan acara itu atas sebab ketiga-tiga atlit olahraga itu pengsan di atas balapan. Kemudian acara itu diganti dengan acara yang lain.

Aku lihat Hazwan, Fairuz dan Firdaus dirawat. Namun Hazwan kelihatan mengalami sakit yang teruk lalu dikejarkan ke hospiltal. Sebagai rakan karibnya, aku turut berkejar ke hospital. Setiba di hospital, aku lihat ramai orang lain turut datang untuk menziarahi Hazwan.

Ketika melangkah masuk ke bilik Hazwan, aku terdengar namaku dipanggil. Dengan perasaan berdebar-debar, aku segera mendapatkan kawanku yang sedang terlantar sakit itu. Aku lihat keadaan sekeliling Hazwan yang amat memilukan. Ada banyak alat pernafasan yang bergantungan ke mukanya.

Dalam hati terdetik persoalan mungkin ada sesuatu yang ingin disampaikan kepadaku. Semasa aku merapati tubuhnya, tiba-tiba Hazwan terbatuk kecil lantas mulutnya menyemburkan darah yang mengenai bajuku.

"Darah! Hazwan apakah penyakitmu? Beritahulah aku. Aku sanggup mendengarnya," tiba-tiba aku bersuara dalam keadaan panik.

Pada waktu itu, hanya aku dan Allah sahaja yang mengetahui betapa sedih dan pilunya perasaan aku terhadap kesihatan Hazwan. Kalau boleh, mahu rasanya aku menjerit sekuat-kuat hatiku pada ketika itu. Tetapi apakah dayaku. Aku masih lagi berfikiran waras. Cepat-cepat aku mengucap.

Aku lihat Hazwan dengan bersusah payah berusaha untuk memberikan sesuatu yang berwarna merah kepadaku. Apabila benda itu sampai di tanganku, baru aku tahu benda itu ialah surat yang berwarna merah. Aku pernah diberitahu oleh Hazwan jika dia memberikanku surat berwarna merah, itu tandanya ada berita sedih daripadanya. Dengan tidak semena-mena air mataku mengalir dengan deras. Aku meraung sekuat hati.

"Erwan, awak bacalah surat yang berwarna merah itu. Dengan membaca surat itu, awak boleh mengetahui wasiat saya kepada awak. Saya harap awak jangan bersedih," Hazwan berkata dengan suara yang tersekat-sekat. Selepas itu, Hazwan menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat penyakit jantung berlubang yang dihidapinya.

Wad yang menempatkan mayat Hazwan itu tiba-tiba gamat dengan tangisan ahli keluarganya.

"Hazwan sampai hati awak merahsiakan penyakit awak itu daripada saya. Tidakkah awak ketahui bahawa saya sanggup membantu awak dalam semua hal. Kalaulah diizinkan Tuhan ingin saya merasai segala keperitan yang dihadapi oleh mu. Oh kawan," kataku di dalam hati.

Dalam perjalananku kembali ke stadium, aku terkenang saat-saat indahku dengan Hazwan. Detik-detik yang bersejarah itu bergilir-gilir mengambil tempat dalam ingatanku. Tanpa kusedari destinasiku telahpun sampai. Aku tersenyum sendirian mengingatkan kenangan manis itu. Ini kerana kenangan itu memberikan kelucuan kepada diriku bersama Hazwan.

Tapi tanpa aku sedari, kedua-dua belah tanganku yang gatal itu telah mengoyakkan sampul surat kepunyaan Allahyarham Hazwan. Surat itu sekejap sahaja kubaca. Cuma aku begitu terkejut dengan permintaannya yang menyuruh aku menggantikannya dalam acara larian 400 meter itu.

Aku akur dengan permintaan itu. Lalu dengan segera aku mendaftarkan diriku kepada setiausaha sukan. Acara larian itu hanya tinggal lima minit lagi. Para peserta diingatkan supaya bersedia. Bagiku acara larian ini adalah acara kemuncak. Dadaku tiba-tiba berdebar-debar.

Dengan kekuatan kuasa kuda, aku memecut dengan lajunya meninggalkan peserta lain. Semua peserta itu terpinga-pinga. Mereka tidak lemah semangat malah semakin berusaha untuk memintasku.

Aku dengan segera menarik nafas dalam-dalam, dan segera menguatkan larianku. Aku semakin dekat dengan garisan penamat. Tetapi, kira-kira 2 meter kakiku kejang. Aku dengan segera melompat sejauh yang mungkin untuk melepasi garisan penamat. Akhirnya aku berjaya menjadi johan dalam acara larian itu.

Cikgu rumah sukanku tidak habis-habis memujiku. Aku akur kemenangan itu adalah milik Hazwan dan ia ketentuan daripada Allah untuk menguji hamba-Nya, sesuai dengan maksud hadis: Sesungguhnya amalan yang paling berat di atas timbangan ialah akhlak yang baik.

ARDI SHAH ERWAN ABDUL RAHIM
SMKA Kuala Selangor

Saturday, December 20, 2014

Seindah bintang bergemerlapan

"MAMA tak kisah tapi Fiera mesti ingat, Fiera tu masih lagi belajar. Mama tak mahu Feira abaikan pelajaran Fiera. Lagipun tahun ini Fiera akan menduduki peperiksaan SPM," katakata Mama masih lagi terngiang-ngiang di telingaku ...

Itulah kata-kata mamaku apabila dia mengetahui aku mula mencintai seseorang. Mamaku tidak menghalang dan tidak juga menggalakkan. Dia pasti faham kerana dia juga pernah menempuh usia remaja.

Hari Sabtu agak membosankan kerana aku asyik terperap dalam bilik dikelilingi buku-buku dan kerja sekolah. Mama dan papa telah pun keluar. Papa ada meeting dan mama pula hendak jumpa kawan lamanya, makcik Noreen.

Aku menghempaskan badan ke atas tilam empukku sambil mataku merenung siling rumah. Aku memandang jam di atas meja tulisku, baru pukul sembilan setengah ... tiba-tiba tekakku berasa haus. Aku bangun menuju ke dapur. Sebaik sahaja kakiku menuruni tangga terakhir, telefon berdering. Aku menghampirinya lalu mengangkat gagangnya.

"Hello, assalamualaikum ... boleh saya bercakap dengan Zafiera?" suara dari corong telefon. Lelaki ...

"Wa'alaikumussalam. Ya, Zafiera bercakap ... siapa ni?" tanyaku inginkan kepastian.

"Feira, hai apa khabar? Takkanlah tak cam suara ni ..." Aku teringatkan seseorang. Mungkinkan dia?

"Hei, takkan dah lupa, ini Azmanlah!!!"

Oh, baru aku ingat, rupanya dia.

"Man! sorrylah, Fiera lupa la... Bukan lupa tapi tak cam sangat. Man apa khabar? Sihat?" tanyaku.

Hatiku mula berdetik semula. Perasaan gembira mula menyelubungiku. Agak lama kami berbual. Mungkin kerana sudah lama kami tidak berhubung. Sebelum perbualan kami terhenti, dia menyatakan hasratnya untuk bertemu denganku.

Pastinya aku tak mungkin lepaskan peluang ini. Esok kami akan bertemu. Ah, lambatnya masa berlalu!

"Mama, esok Fiera nak keluar... jumpa kawan," beritahuku kepada mamaku. Papa yang asyik membelek surat khabar hari ini hanya menjeling.

"Kawan? lelaki ke perempuan ...," usik mamaku. Aku hanya diam sambil tersenyum.

"Takpe, mama faham ... Fiera nak jumpa dengan buah hati ye?" usik mama lagi.

Kemudian papa bersuara," Fiera dah besar, papa harap Fiera tak salah gunakan kebebasan yang papa dan mama berikan. Kami percayakan Fiera dan kami sayangkan Fiera. Kami tak mahu Fiera rasa terkongkong."

Aku mengangguk. Aku mencium pipi mama dan memeluknya. Inilah kemesraan yang dinanti-nantikan.

Malamnya, aku tidak dapat melelapkan mata. Wajah orang yang mengubah hidupku itu terbayang-bayang. Azman, nama itulah yang membuatkan perasaanku bergelora. Dulu aku seorang gadis yang agak liar, berkawan dengan budak nakal tetapi setelah mengenalinya, hidupku mula berubah. Dia banyak memberi perangsang dan nasihat kepadaku. Sesungguhnya aku mula berubah ... berubah menjadi perempuan solehah dan berjaya dalam pelajaran.

Aku membuka mata perlahan-lahan. Sudah pukul enam. Selimut kutolak ke hujung katil lantas bangun menuju ke bilik air. Selesai mencuci muka aku terus berwuduk untuk menunaikan solat Subuh. Selesai solat, aku mengemas bilikku kemudian pergi ke dapur untuk menyediakan sarapan.

"Hai, awal anak mama bangun hari ni ... siap masak lagi!", tegur mamaku apabila melihat aku sibuk menyediakan sarapan di atas meja. Aku hanya tersenyum.

"Pukul berapa Fiera nak keluar?" tanya papa ketika kami sedang bersarapan.

"Pukul sembilan, dan balik sebelum Asar ..." jawabku pantas.

"Lama juga ... nak ke mana?" tanya mamaku pula.

"Shopping ... dating ... opps!" aku cuba berseloroh. Mama mencubit pipiku. Sakit juga!

"Dah lama tunggu?" sapaku kepadanya dari belakang. Dia menoleh.

"Tak ... cuma sepuluh minit aje!" jawabnya. Matanya tak berkelip-kelip memandangku. Kenapa? Adakah tudungku senget atau kemeja-t aku koyak atau mukaku ada sesuatu yang tak kena!

"Kenapa pandang Fiera sampai begitu sekali!" usikku mengejutkannya.

Dia tersipu-sipu dan mengalihkan pandangannya. "Tak ada apa-apa. Tuan Puteri hendak ke mana ... biar patik bawa tuan puteri ke mana saja yang tuan puteri mahu .. ," dia cuba bergurau untuk menceriakan suasana.

Aku hanya tergelak kecil. Orang yang lalu lalang tidak kami hiraukan. Kami pergi membeli barang-barang yang telah mama kirimkan kepadaku. Sambil makan, kami berbual-bual tentang diri masing-masing.

"Bila Fiera nak ajak Man pergi ke rumah Fiera?" tanyanya. Hampir tersedak aku ketika mengunyah mi tomyam di dalam mulutku.

"Belum sampai masanya lagi ... nanti Man pasti akan bertemu dan mengenali keluarga Fiera juga," jawabku terus-terang.

"Fiera!" terkejut aku mendengar suara mamaku dari belakang. Mamaku bersama makcik Noreen.

"Eh, Man pun ada di sini?" tegur makcik Noreen. Aku terpinga-pinga apabila Man memanggil makcik Noreen dengan panggilan `mak'.

Alahai ... rupa-rupanya mamaku dan emak Azman adalah sahabat karib. Nampaknya pertemuan kami ini mengungkap segala perleraian. Mama dan makcik Noren begitu gembira. Mereka mula mengusik kami.

"Hai, nampaknya, berbesanlah kita Nor!" usik mamaku sambil menjeling kami. Tak sangka pula mereka berdua turut datang ke sini.

Aku dan Man hanya tersenyum di atas pertemuan yang tak diduga ini.

Hari ini hatiku sungguh gembira. Aku rasa segala keindahan mula berputik kembali. Aku tak akan menghampakan harapan keluargaku. Akan aku buktikan bahawa cinta bukan penghalang seseorang itu untuk berjaya. Kejayaan ... Itulah yang akan terusku buru. Sesungguhnya ia seindah bintang yang bergemerlapan.

SURIANA BT ABDUL RAHMAN
Sek. Men. Teknik Sultan Ahmad Shah
26800 Kuala Rompin
Pahang Darul Makmur

Friday, December 19, 2014

Erti Sebuah Kasih Sayang

MUKHRIZ nama yang unik, sedap dan indah didengari. Seorang anak tunggal kepada sepasang suami isteri yang bernama Johan dan Salmi. Malangnya, nama itu tidak seindah tuannya.

Dia seorang yang sombong dan bongkak. Anak kacukan Melayu dan Inggeris itu sering membantah cakap orang tuanya. Ibunya Salmi amat mengambil berat tentang dirinya, tapi tidak dihargai. Malah, dia selalu menengking ibunya.

"Iz, ke mana kamu hendak pergi, nak?" tanya ibunya.

"Saya nak keluarlah, mak," jawab Mukhriz kasar.

"Dah lewat malam ni," tegur ibunya.

"Suka hati sayalah. Mak sibuk apa hal. Mak jaga diri sendiri sudahlah. Tak payah sibuk hal orang lain," tengking Mukhriz.

Bercucuran air mata Salmi turun ke pipinya yang lembut dan licin itu. Apakah salahnya, apakah dosanya, sehingga diuji sedemikian rupa? Anak berusia 17 tahun itu memang tidak tahu mengenang budi. Itulah ungkapan yang selalu diucapkan ayahnya, Johan ketika marah atau apabila mata isterinya berkaca. Dia begitu kecewa dengan sikap anaknya.

Itulah akibat kalau terlalu memanjakan anak, dia naik lemak dan memijak kepala kita. Segala kehendak Mukhriz, ayahnya tunaikan. Kalau tidak, Mukhriz akan memberontak dan merajuk. Pernah sekali, Mukhriz merajuk tidak pulang ke rumah. Dia hanya pulang seminggu selepas itu. Betapa risau ibu bapanya hanya Allah saja yang tahu. Anak apakah begitu? Sering membuat orang tuanya risau dan bersedih.

Mereka telah mendidik Mukhriz dengan baik sekali dari segi fizikal dan rohani. Malah, bagaikan menatang minyak yang penuh. Segala kehendak Mukhriz ditunaikan dengan sekelip mata. Selain itu, Mukhriz juga belajar di sekolah kebangsaan dan sekolah agama bestari. Bukan itu sahaja, ibu bapa Mukhriz juga menghantar dia ke kelas muzik, fardu ain, mengaji, berenang, dan beberapa aktiviti sukan yang lain. Semua pakaian serta barang-barang Mukhriz semuanya berjenama dan bermutu tinggi.

Mukhriz bukan saja pandai ponteng sekolah dan melepak, tetapi juga sudah mula berjinak-jinak dengan rokok dan lumba haram. Anak derhaka itu sering berbangga dengan motosikalnya berjenama BMW.

Motosikalnya bukan saja menarik perhatian kawan-kawannya malah gadis-gadis jelita yang sering menjadi mangsa godaannya. Ke hulu ke hilir sering bersama-sama anak gadis yang muda dan jelita yang sentiasa berada di sisinya. Pasangannya kerap bertukar ganti.

Motosikal itu dihadiahkan oleh ayahnya semasa hari jadinya, tahun lepas. Hampir setiap malam, Mukhriz keluar berlumba haram dengan kawan-kawannya.

Pada malam yang indah dan sejuk, anak-anak muda mendesingkan motosikal masing-masing, bersedia untuk memulakan perlumbaan. Semuanya bersedia dengan motosikal mewah masing-masing di garisan permulaan lalu membelah malam yang sunyi sepi.

Semuanya berlumba-lumba untuk mendapat tempat pertama. Selalunya, Mukhriz yang menjadi juara. Ketika sedang memecut laju, motosikal yang ditunggangi Mukhriz tergelincir lalu terbabas. Tubuhnya terhempas ke jalan raya. Darah berlumuran ke seluruh anggota badannya. Mukhriz mengalami kecederaan yang teruk. Parah!.

Mukhriz terpaksa dibedah. Syukur Alhamdulilah, pembedahan itu berjaya. Keadaannya telah stabil. Berkat doa orang tuanya. Mukhriz mendapat peluang sekali lagi untuk menikmati kehidupan dan menebus segala kesalahan dan dosanya. Sesungguhnya, Allah itu Maha Kaya, Penyayang lagi Maha Mengasihi. Salmi dan Johan berasa sungguh bersyukur.

"Betapa berdosanya aku kepada orang tuaku. Anak apakah aku ni? Pada waktu begini baru hendak ingat. Aku memang tidak berguna! Tidak berguna!" bisik hati Mukhriz.

Lumrah hidup manusia sememangnya begitu. Pada waktu susah baru hendak ingat. Ketika senang lupa begitu sahaja.

"Mak, mak, maafkan Iz, mak, ampunkan Iz, Iz berdosa, ayah, mak, ampunkanlah Iz yang derhaka ini. ayah, ampunkanlah Iz, ayah. Mak, ayah, halalkan makan minum, pengajian, perbelanjaan, Iz. Iz berjanji, Iz tidak akan buat begini lagi. Ampunkanlah, Iz. Ampunkan Iz, mak, ayah!" rayu Mukhriz.

"Iz, mak dan ayah tidak pernah memarahi kamu, nak. Kami memang sudah lama mengampunkan dosa kamu dan menghalalkan segala-galanya," pujuk ibunya.

"Betul tu, Iz. Kami amat menyayangimu. Kuatkan semangat kamu, nak. Ingat Allah, Iz. Ingat Allah banyak-banyak," tambah ayahnya.

"Ampunkan, Iz. Ampunkan, Iz," rintih Mukhriz.

"Sudahlah tu, nak. Janganlah menangis lagi. Bertaubatlah. Ingat Allah banyak-banyak. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun," pujuk ibunya lagi.

Tragedi dan keinsafan. Itulah dua perkara yang dapat mengubah hidup seorang manusia. Mukhriz cuba sedaya upaya untuk bangun tetapi tidak berdaya. Dia menekan loceng. Kemudian, seorang doktor dan dua orang jururawat muncul di biliknya.

"Doktor, kenapa saya tidak dapat rasa kaki saya?" tanya Mukhriz kehairanan.

"Bertenang, Mukhriz. Awak kemalangan teruk dan keadaan awak parah. Syukurlah awak masih hidup tapi, tapi..." kata doktor terputus-putus.

"Tapi apa doktor?" soal Mukhriz.

"Apa dia doktor? Berterus terang sajalah doktor," kata Mukhriz lagi.

"Bertenang, Mukhriz. Maafkan kami, kami sudah cuba sedaya upaya untuk pulihkan awak, tetapi tidak berjaya. Awak lumpuh, Mukhriz. Bersabarlah ini semua takdir dan dugaan daripada Allah, Yang Maha Esa," terang doktor satu per satu.

"Ha! Tak mungkin! Tak mungkin! Tak mungkin saya cacat! Tidak! Oh, tidak..." jerit Mukhriz.

"Mohonlah doa kepada Allah. Allah akan makbulkan dan ampunkan segala dosa awak. Syukur Alhamdulillah awak telah sedar sebelum terlambat. Awak begitu beruntung Mukhriz. Walau apa pun yang terjadi, kedua-dua orang tua awak masih lagi berada di sisi awak dan tetap menyayangi awak seperti dahulu. Awak juga beruntung dilahirkan dalam kehidupan yang mewah. Jadi, wang bukan masalah kepada awak. Ramai yang pernah berada dalam situasi ini tetapi lambat sembuh kerana tidak mempunyai wang untuk membuat rawatan di luar negara mahupun di hospital swasta. Jikalau menjalankan rawatan di hospital kerajaan terpaksa menunggu giliran. Hal ini mengambil masa yang lama," kata doktor.

"Saya percaya awak akan sembuh. Terdapat banyak kes seperti ini yang pesakit sudah sembuh dan boleh berjalan semula. Awak hanya perlu tabah dan kuat semangat. Emosi juga ada kaitan dengan pemulihan awak. Awak kena kuat semangat dan jangan mudah putus asa. Itulah yang paling penting, ingat!" kata-kata doktor memberi semangat kepada Mukhriz.

"Terima kasih, doktor. Tidak beruntung juga dilahirkan dalam keluarga yang kaya-raya. Nanti jadi seperti saya dan ibu bapa begitu sibuk. Em, Doktor. Adakah ibu bapa saya sudah tahu akan hal ini?" tanya Mukhriz.

"Tidak semestinya, Mukhiz. Di situ awak telah tersilap dan salah anggap. Tidak semestinya kalau kaya lupa diri, kurang ajar, anak derhaka, berjoli sana sini. Ada juga anak orang miskin berperangai sedemikian rupa. Ada juga anak yang kaya tetapi baik. Itu semua bergantung kepada pegangan kita. Pegangan dan iman kita mesti kena kuat dan utuh. Walaupun telah diberi didikan yang secukupnya ada juga yang terpesong," Mukhriz diam serta tekun mendengar nasihat doktor.

"Itu yang selalu membuatkan ibu bapa bingung tetapi bukan semua menghadapinya. Kalau berlaku kepada kita, terima sahajalah qadak dan qadar Allah. Allah mungkin hendak menguji kita. Jikalau kita sentiasa ingatkan Allah, insya-Allah, mudah-mudahan Allah juga tidak lupakan kita. Mukhriz, ya, mereka sudah tahu sejak semalam lagi, selepas awak selamat dibedah," nasihat doktor panjang lebar. "Terima kasih, doktor. Terima kasih banyak-banyak untuk segala-galanya," ucap Mukhriz dengan ikhlas.

"Sama-sama. Itu sudah sememangnya tugas saya. Allah yang tentukan segala-galanya. Jodoh dan kematian di tangan Allah. Saya hanya perantaraan," kata doktor merendah diri.

Kata-kata doktor sering bermain difikiran Mukhriz. Air mata kerap menjadi temannya kini. Betapa orang tuaku amat menyayangiku. Betapa aku bersalah. Betapa aku berdosa kepada mereka. Walaupun aku telah banyak kali melukakan hati mereka, mereka masih sudi menjaga dan menerima aku. Betapa besarnya kasih sayang ibu bapa. Betapa bodohnya aku tidak reti hendak menghargainya selama ini. Jikalau tidak, sudah lama aku hidup bahagia di samping keluarga aku.

Siapa sangka inilah takdir suratan hidup Mukhriz. Tiada siapa yang dapat menjangkakannya. Siapa dapat menekanya. Hanya Allah sahaja yang mengetahui kerana Dialah yang Maha Kaya lagi Maha Mengetahui. Segalagalanya, telah ditetapkan oleh-Nya, Yang Maha Esa.

Oleh Wan Arina Wan Ibrahim
Shah Alam, Selangor

Thursday, December 18, 2014

Apa Ada Pada Dia?

MUHAMMAD Adib Mukhriz telah diumumkan sebagai Pembahas Terbaik Kebangsaan. Perasaan Aisyah ketika itu tidak dapat digambarkan. Betapa bencinya dia pada pemuda itu.

Adib berjalan melintasi Aisyah, kebetulan pada masa itu Aisyah membelakanginya. Tiba-tiba sahaja Aisyah berpaling lalu berlaku satu kejadian yang tidak disengajakan.

"Oops, maaf," ucap Adib.

"Apa maaf maaf," marah Aisyah tidak tentu pasal.

"Saya minta maaf dengan baik janganlah macam ni," balas Adib tenang.

Aisyah hanya mendiamkan diri. Dia masih tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

"Allah telah menetapkan rezeki untuk hamba-Nya. Kita sebagai hamba-Nya tak boleh nak pertikaikan soal rezeki ni. Itu urusan Allah. Anggaplah hari ini hari saya, dan awak perlu ada azam yang hari esok adalah milik awak pulak. Jangan layan sangat perasaan awak yang kecewa tu," nasihatnya tenang.

Aisyah masih seperti tadi, memikirkan kata-kata lelaki yang berada di hadapannya.

"Ini alamat emel saya, kalau ada apa-apa, boleh hantar emel kepada saya. Tak pun kita boleh bertukar-tukar info pasal dunia bahas ni," seraya itu dia menghulurkan secebis kertas yang tertulis alamat emelnya.

Aisyah mengambilnya dengan perasaan berbelah bagi. Tadi bergaduh, sekarang baik pula. Ajaib betul. Biar betul aku ni!

Malam itu juga Aisyah menghantar emel mem`belasah' Adib. Begitu pedas kritikan yang Aisyah tulis. Hatinya begitu puas.

"Tercapai jugak hasrat aku," ujar Aisyah perlahan di depan komputer.

Aisyah tidak sabar menunggu hari esok. Hari yang bakal merubah hidup baginya. Sebaik sahaja pulang dari sekolah, Aisyah terus menghadap komputer. Takut-takut ada emel daripada Adib.

"Dia balas," ucap Aisyah dalam hati. Aisyah membacanya dengan penuh debaran di hati.

Salam,

Alhamdulillah, sudi jugak awak hantar emel kepada saya. Terima kasih atas pujian yang berguna itu. Saya menghargainya. Cuma saya ingin mengatakan sesuatu tentang diri kita yang bergelar insan. Kita sama-sama hamba Allah. Saya tahu awak masih berdendam terhadap saya tapi apa gunanya? Kalaupun dendam awak terlunas, adakah awak akan berpuas hati? Kita sentiasa tidak puas selagi kita bernama manusia. Aisyah, satu nama yang begitu indah. Nama insan yang amat dicintai Rasulullah S.A.W. Perwatakannya yang lemah-lembut lagi sopan. Saya tahu, sedikit sebanyak ciri-ciri itu wujud dalam diri awak.

Hidup yang hanya memikirkan kecantikan diri, adalah falsafah hidup burung merak. Cantiknya lebih, manfaatnya tidak setara. Daging tidak dimakan, burung lain enggan berkawan. Terbang tak setinggi mana, lagaknya mendabik dada. Merak hanya ada kecantikan yang dimodal untuk dibanggakan.... jika harga diri merak adalah pada cantiknya sentiasa, apakah harga diri seorang insan juga bergantung kepada paras rupanya? Insan lebih mulia daripada itu..."

- Muhammad Adib Mukhriz

Setitis demi setitis air mata keluar dari tubir matanya. Teresak-esak Aisyah membaca emel tersebut. Aisyah benar-benar tidak menyangka yang Adib boleh menulis sehingga begitu. Dia terasa dirinya amat kerdil.

Bermula saat itu Aisyah banyak bertanya tentang soal agama, Adib pula sedaya-upaya membantu Aisyah. Adib juga membantu Aisyah dalam pembelajaran, terutamanya di dalam mata pelajaran Bahasa Arab Tinggi (BAT).

Selama ini Aisyah langsung tidak berminat dengan BAT tetapi sejak Adib memberi galakan, dia semakin berminat untuk mendalaminya.

"Seronok betul kat dalam tu," ujar Aisyah keriangan sambil keluar dari sebuah tempat bersama Ita.

Tiba-tiba matanya tertancap pada seseorang yang dia amat kenali. Lelaki itu menyedari dirinya diperhatikan terus berpaling. Mata mereka bertaut. Lelaki itu ternyata terkejut melihat Aisyah keluar dari tempat itu. Dia tidak menyangka yang Aisyah akan menjejakkan kaki ke situ.

"Adib," pantas mulut Aisyah menyebut nama itu.

Adib yang masih terkejut tersedar dengan panggilan itu. Adib merenung Aisyah. Aisyah yang menyedari tindakan Adib itu menjadi tidak keruan.

"Kenapa renung saya macam tu?" akhirnya Aisyah bersuara.

"Awak tahu itu tempat apa?" soal Adib tidak berpuas hati.

"Pub," jawab Aisyah selamba.

"Awak tahukan yang itu lubuk maksiat?"

Aisyah terkedu. Ita yang turut serta juga memandang Aisyah.

"Kenapa tak jawab?" soal Adib serius.

"Memang lubuk maksiat, tapi tidak semua yang ada di situ buat maksiat," Aisyah masih mahu mempertahankan dirinya.

"Tapi bila kita pergi ke tempat maksiat, dosa kita pun sama macam buat maksiat," terang Adib menahan sabar.

"Habis tu?" Aisyah menyoal seolah mencabar Adib.

"Suka hati awaklah. Saya nak balik. Assalamualaikum," balas Adib sambil berlalu pergi.

Aisyah tergamam. Niat dihati untuk berbahas dengan Adib terkubur begitu saja.

Aisyah termenung jauh di balkoni rumahnya. Hatinya tatkala ini gundah gulana memikirkan kata-kata Adib.

Sekali lagi kumpulan bahas yang diketuai Aisyah menyertai satu pertandingan. Aisyah dan pasukannya berdebar-debar menantikan giliran mereka.

Tiba-tiba Aisyah terpandang salah seorang peserta yang amat dia kenali. Baru sahaja dia hendak menegur Adib, tetapi Adib sudah berlalu pergi. Sikap Adib benar-benar membuatkan Aisyah terkilan.

Masa yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Hujah yang disampaikan Aisyah kadangkala sedikit terganggu jika dibandingkan dengan hujah-hujah Aisyah sebelum ini. Dia menyuarakannya dengan begitu lantang dan penuh keyakinan. Tetapi tidak pada kali ini, Aisyah kelihatan tidak yakin dan tidak bersemangat.

Akhirnya, kumpulan Aisyah tersingkir pada peringkat suku akhir lagi. Aisyah nampak begitu tenang dan menerima keputusan itu. Tetapi Aisyah sebenarnya teramat kecewa dengan dirinya sendiri.

Kesungguhan lelaki itu amat dia kagumi. Kematangan yang ada padanya membuatkan Aisyah benar-benar terpaut hati padanya. Nasihatnya yang tulus merubah diri Aisyah. Tetapi mengapa setelah kejadian tempoh hari dia berkelakuan dingin sekali? Tak dapat digambarkan bagaimana perasaan Aisyah sekarang.

"Aisyah," satu panggilan menyapa ke telinganya. Aisyah berpaling lemah. Adib kini berada di hadapannya. Mungkin baru sahaja selesai sesi perdebatan.

"Apa awak nak sebenarnya?" soal Aisyah.

"Saya nak tanya pasal hal tempoh hari," Adib bersuara.

"Pasal apa pulak?" Aisyah mula bengang.

"Selalu pergi tempat macam tu?" soal Adib tenang.

"Selalu jugak," balas Aisyah selamba. Adib terkejut.

"Saya hairan, macam mana awak boleh jejakkan kaki ke tempat macam tu?" Adib menyoal setelah lama mereka mendiamkan diri.

"Menari untuk panaskan badan," ujar Aisyah.

"Hentikanlah buat maksiat. Saya tak nak kawan saya terjerumus ke lembah maksiat," nasihat Adib.

"Kenapa? Saya punya pasallah," balas Aisyah sedikit geram. Mukanya kemerahan menahan marah. Sibuk betul mamat ni!"

"Tapi apa gunanya ada kawan hanya semata-mata nak rosakkan diri kita? Apa gunanya kawan kalau tak boleh nak bimbing kita ke jalan yang benar? Apa gunanya kawan yang hanya nak lihat kita lalai.... Alpa? Apa gunanya semua itu?" soal Adib bertalu-talu.

Terkasima Aisyah dibuatnya. Adib sudah mengangkat kaki menuju ke dewan utama semula. Aisyah keliru. Apa yang harus dia lakukan sekarang? Lalu Aisyah berlari anak mengejar Adib.

"Adib, I'm so sorry," Aisyah separuh menjerit. Langkahnya terhenti. Aisyah segera mendekati Adib.

"Hidup awak, awak yang tentukan," Adib bersuara tenang tanpa berpaling ke arah Aisyah.

"Kalau awak nak tahu, saya tak kuat untuk hadapi semua ini," Aisyah sudah teresak-esak menangis.

Adib memandang sayu ke arah sahabatnya itu. Dia tahu Aisyah hanya berlagak hebat di hadapan orang lain. Tetapi sebenarnya dia tidak seperti itu.

"Sebab itu pentingnya sahabat. Sahabat yang bisa membawa kita ke jalan yang benar. Sahabat yang boleh membetulkan kita tatkala kita salah. Sahabat yang setia bersama kita tatkala susah dan senang," nasihat Adib.

Kata-kata Adib itu menambah lagi esakan Aisyah. Aisyah sedar, Aisyah tahu yang dia serba kekurangan. Aisyah mahu berubah.

"Tak guna awak menangis. Keadaan tetap takkan berubah selagi awak tak berubah. Buatlah semuanya kerana Allah. Allah akan pelihara kita. Jangan putus asa memohon pada Dia," sambung Adib lagi.

"Adib, terima kasih kerana banyak menyedarkan saya. Terima kasih juga sebab sudi terima saya sebagai kawan awak. Saya harap persahabatan ini tidak berakhir di sini sahaja," ujar Aisyah bersungguh-sungguh.

"Sama-sama. Semua ini takkan terjadi jika Dia tidak mentakdirkannya. Segala yang baik datangnya dari Allah. Pencipta yang maha agung dan yang buruk itu adalah kelemahan saya sendiri," balasnya.

Dia memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana dipertemukan dengan sahabat yang jujur seperti Adib. Aisyah amat berharap hari-hari yang bakal dilalui diisi dengan ketenangan dan keberkatan dari-Nya. Itulah yang Aisyah inginkan sebenarnya.

SITI HANISAH ABDULLAH SANI
SMKA Naim Libanat, Kelantan

Wednesday, December 17, 2014

Pasrah hidup

HEMBUSAN bayu lembut membelai tubuh Nia yang sedang bersandar di tepi beranda. Namun kedinginan bayu malam ini tidak mampu membelai jiwanya yang sarat dengan kepiluan dan kesedihan. Mutiara putih mengalir perlahan. Tetapi, Nia tidak mengendahkan. Malam ini sekali lagi fikirannya terbang menghinggap dalam hitam yang tersirat kenangan pahit yang mengubah seluruh hidupnya. Nia berasakan seolah-olah dirinya lemas di lautan cabaran yang begitu memeritkan. Segala yang indah dirasakan berkubur di taman sepi.

"Nia, apa yang Nia buat di sini? Mari emak pimpin tangan Nia masuk ke bilik," kata Mak Temah.

Nia menurut tanpa membantah.

"Ya Allah ya Tuhanku, begitu besar dugaan-Mu untukku sehingga tak terdaya rasanya diri ini menanggungnya. Sinarilah hidupku dengan kebaikan dan berilah keyakinan dan kekuatan serta kesabaran supaya aku bisa keluar dari rimba cabaran yang berliku ini, amin ..." Ucapan inilah yang sering diungkapkan Nia sebelum dia melayari mimpi.

Keesokan harinya, Nia menerima kedatangan seorang tetamu yang amat melukai nuraninya iaitu Zul. Zul menghampiri Nia, memimpin tangannya.

"Tak perlu. Aku tidak memerlukan bantuanmu. Biar aku berusaha sendiri," ujar Nia.

"Nia, aku cuma ingin membantu kau. Tidak ada niat lain di hatiku," terang Zul.

"Kenapa kau datang cari aku? Kau gembira melihat keadaan aku sekarang? Melangkah dalam dunia yang gelap gelita disebabkan angkara kejam kau dan rakan-rakan kau," balas Nia.

"Nia, aku minta maaf. Aku bukan sengaja melakukannya dan aku benar-benar menyesal," rayu Zul.

"Kalau engkau menyesal, engkau boleh datang minta maaf tetapi kalau aku yang sudah buta ini bagaimana?" soal Nia.

"Maafkan aku. Pada malam itu, kami betul-betul tidak menyangka bahawa engkau berada di situ. Setelah mercun itu diletupkan, kami benar-benar terkejut apabila mendengar jeritan kau," terang Zul.

Air mata Nia mengalir laju. Peristiwa dua bulan lalu masih segar dalam ingatannya. Pada malam raya yang lalu, ketika dalam perjalanan ke rumah Azura, dia telah menjadi mangsa letupan mercun buluh buatan Zul dan rakan-rakannya. Ini menyebabkan Nia kehilangan deria penglihatan sekali gus meragut kelincahannya.

"Sudahlah, jangan engkau menambahkan kesengsaraan aku lagi," pinta Nia.

"Aku datang ke sini sebab ingin memujuk engkau supaya meneruskan pelajaran. Perjalanan engkau masih jauh. Engkau boleh belajar di sekolah khas. SPM tahun hadapan. Janganlah engkau memikirkan benda ini lagi," nasihat Zul.

Pagi yang cerah itu tidak mampu menerangi perjalanan Nia. Tusukan mentari membuatkan kedua-dua insan merasa kepedihan. Kicauan burung-burung tidak terdaya mengukir senyuman di wajah manis Nia.

"Belajar? Bagaimana aku hendak belajar? Aku buta, aku cacat, siapa yang mahu terima aku?" soal Nia.

"Zaman sekarang sudah moden, taraf pendidikan khas untuk orang istimewa sedang dipertingkatkan lagi dan aku pasti orang secerdik kau boleh membiasakan diri dengan cara pembelajaran yang baru," balas Zul.

"Engkau pasti?" soal Nia.

"Ya, aku pasti engkau boleh berjaya dalam SPM. Kecacatan engkau bukan halangannya tetapi usaha dan keyakinan itu yang penting," terang Zul.

"Sebenarnya, aku pun berhajat ingin belajar semula tetapi keadaan aku ini menyukarkan pergerakanku," kata Nia.

"Engkau takut diejek? Pedulikan itu sebab mereka itu tidak tahu menghargai diri sendiri. Dengan kejayaan, engkau dapat membuktikan bahawa walaupun cacat, engkau boleh berjaya," kata Zul.

"Betul kata engkau, aku akan beritahu ibu bapa aku tentang keputusanku untuk belajar semula. Tentu mereka gembira. Soal kemaafan yang engkau minta itu, aku rasa baik kau mohon kepada yang Maha Esa. Tentang diri aku ini, aku reda dan aku pasrah. Aku pasti ada hikmahnya," ujar Nia.

"Terima kasih, Nia. Aku akan sentiasa membantumu meneruskan perjalanan ini. Aku akan sinari hidupmu dengan dorongan dan katakata semangat. Aku akan meminta bapaku tolong uruskan persekolahan kau," kata Zul.

"Terima kasih, Zul," ucap Nia.

"Anggap sahaja ini sesuatu yang dapat membantu kau bangkit semula.

Bebaskan dirimu daripada kehidupan yang dipagari kesedihan," balas Zul.

NURUL HIDAYAH AHMAD RIDZWAN
Taman Jelutong, Kulim, Kedah

Tuesday, December 16, 2014

Pesanan

Oleh Mohamad Nordin Abdullah

JAMAL masih ingat segala-galanya. Cikgu Kamil amat baik ke atas dirinya selama ini.

"Cikgu harap kamu akan terus belajar dengan lebih rajin. Buktikan yang kamu boleh jadi pelajar yang terbaik dalam bidang akademik," ujar Cikgu Kamil, satu peringatan yang terus diingati oleh Jamal.

Hari ini Cikgu Kamil telah berpindah sekolah setelah sekian lama mengajar di sekolah tempat Jamal belajar hari ini.

Hubungan Jamal dengan Cikgu Kamil terjalin sejak dia menuntut dalam tingkatan 1 lagi. Satu jalinan kemesraan yang bagi dirinya teramat indah untuk dibayangkan. Baginya, Cikgu Kamil seorang guru yang baik hati nuraninya.

Yang pasti, selama Jamal berhubung mesra dengan Cikgu Kamil, dia selalu mendapat bantuan daripada Cikgu yang datang dari Semenanjung tanah air itu.

"Bantuan cikgu ini tak seberapa. Terimalah untuk meringankan kehidupan kamu," Cikgu Kamil melontarkan kata-kata sewaktu menghulurkan bantuan wang persekolahan pada awal tahun, tak berapa lama dulu.

"Cikgu tak mengharapkan apa-apa balasan daripada kamu. Sekadar cikgu harapkan kamu dapat meneruskan persekolahan dengan lebih tekun lagi untuk kejayaan hidup kamu pada masa depan," ujar Cikgu Kamil, menuturkan satu pengharapan buat Jamal.

Kebaikan yang dihulurkan oleh Cikgu Kamil memang Jamal tak mampu nafikan. Malah, dia amat bersyukur dengan pemberian sedemikian rupa. Yang pasti, dia akan melunasi amanah daripada cikgu yang mengajar pelajaran Bahasa Melayu ini.

"Cikgu, aku berjanji dalam diri ini untuk terus tekun belajar demi kelangsungan hidupku pada masa depan," detik hati kecil Jamal.

Sungguh, kebaikan Cikgu Kamil akan terus Jamal ingat hingga sampai bila sekali pun. Susah untuk dia melupakan kebaikan Cikgu Kamil.

Yang jelas, Cikgu Kamil seorang guru yang telah menunjukkan Jamal hakikat kehidupan yang sebenar.

"Kehidupan ini amanah Allah. Ekoran itu, kita perlu melunasi amanah ini untuk menjadi hamba-Nya yang mantap iman dan cekal semangat juang," ujar Cikgu Kamil, dalam satu pertemuan.

"Susah senang kehidupan adalah lumrah. Mahu tidak mahu, kita mesti terus menghadapinya dengan hati yang cekal dan penuh ketabahan," Cikgu Kamil memberi tip untuk Jamal ikuti.

Nyatanya begitulah Cikgu Kamil telah membuktikan segala yang diucapkan selama ini. Cikgu Kamil datang daripada keluarga susah. Ayahnya telah meninggal dunia sejak dia kecil lagi. Dengan situasi keluarga yang besar, Cikgu Kamil belajar untuk hidup dengan kehidupan yang lebih bermakna.

"Sejak mula menjejakkan kaki ke sekolah menengah lagi, cikgu telah belajar untuk hidup berdikari, tutur Cikgu Kamil memulakan cerita pengalaman hidupnya.

"Semuanya cikgu lakukan, untuk tidak menyusahkan ibu cikgu yang terpaksa menanggung kehidupan adik-beradik Cikgu masih kecil lagi," cerita Cikgu Kamil pada masa itu yang membuatkan Jamal cukup terharu.

Namun jelas sekali semangat juang yang telah ditunjukkan oleh Cikgu Kamil telah menghasilkan buah. Hari ini, Cikgu Kamil mengecapi kesenangan. Demikian juga adik-adik Cikgu Kamil. Cikgu Kamil bilang, semua adik-beradik telah berjaya dalam kerjaya mereka masing-masing.

"Kesusahan telah mengajar kami erti perjuangan sebenar," kata Cikgu Kamil "ibu cikgu merupakan seorang ibu yang cukup prihatin. Setiap hari, ibu cikgu akan pastikan kami tidak membuang masa. Buku-buku pelajaran mesti diberi perhatian," cerita Cikgu Kamil menjelaskan kedudukan yang sebenarnya.

Mengingati apa yang Cikgu Kamil ceritakan selama ini, membuatkan semangat Jamal untuk belajar dan membaiki kehidupannya kian membara. Yang pasti, dia akan ikut semangat juang yang telah ditunjukkan oleh Cikgu Kamil.

Jamal pun lahir daripada keluarga yang susah. Ayahnya sekadar buruh kampung dengan pendapatan yang tak seberapa. Ibunya pula tak bekerja kerana terpaksa melunasi tugasan di rumah, apatah lagi ada dua lagi adik kecil yang perlukan perhatian khusus daripada ibunya.

Oleh itu, Jamal bertekad untuk ikut perjuangan yang telah dirintis oleh Cikgu Kamil. Pengalaman cikgu Kamil akan dijadikan sandaran untuk dirinya meneruskan jejak kehidupan ini lebih bermakna lagi.

Kesusahan hidup yang diharungi kini, akan Jamal jadikan pendorong untuk dirinya lebih cekal hati dalam mengharungi segala-galanya. Baginya, dia mahu menjadi anak yang baik dan melunasi harapan ayah dan ibunya.

Sebagai anak sulung daripada lima orang adik-beradik, Jamal akan jadikan diri perintis dalam membuka pintu kejayaan di kehidupan yang akan datang. Kejayaan yang bakal ditempa, terutamanya dalam bidang akademik, supaya menjadi pendorong kepada adik-beradiknya untuk sama-sama belajar, menjadi manusia yang berjaya dan berguna kepada orang lain.

Jamal tahu, bukan senang untuk menempa kejayaan. Banyak halangan yang terpaksa dilalui. Selain kesusahan hidup, gangguan daripada seorang dua teman-teman sekelasnya, kadang-kadang membebankan. Namun, dia seboleh mungkin bersikap tenang dan tabah dalam melalui situasi yang sedemikian rupa.

Jamal tak menoleh ke belakang lagi. Jejak perjuangannya terus diperkemas. Tahun ini, dia akan menghadapi peperiksaan penting. Dia mahu menempa kejayaan dalam peperiksaan itu nanti.

Hari ini, Jamal mempersiapkan diri. Bermula dari awal, dikira paling bijaksana, sebelum benar-benar menduduki peperiksaan penting itu. Dia tak mahu mengambil sikap bertangguh. Dia takut, akan mengalami kesukaran kelak.

Segala-galanya dilakukan dengan tulus. Kelangsungan hidup mesti diteruskan. Ada usaha ada kejayaan. Itulah kata-kata hikmat yang pernah Cikgu Kamil tutur satu ketika dulu.

Petang tadi, Jamal terima surat daripada Cikgu Kamil. Selain menceritakan pengalaman mengajar di sekolah baru, Cikgu Kamil turut menitipkan pesanan.

Selain itu, yang membuatkan Jamal cukup terharu, dalam surat itu Cikgu Kamil turut mengirimkan wang pos.

"Untuk kegunaan kamu dalam pembelajaran. Cikgu harap kamu akan lebih bersemangat dalam menempa kejayaan dalam kehidupan," kata Cikgu Kamil dalam surat yang dikirimkan.

Surat yang Cikgu Kamil kirimkan, Jamal simpan baik-baik. Dia tak akan lupa kebaikan dan bakti Cikgu Kamil berikan ke atas dirinya selama ini. Apatah lagi kata-kata nasihat daripada Cikgu Kamil, akan dijadikan azimat untuk dia meneruskan kehidupan yang sememangnya mencabar ini.

Petang itu, selepas menghabiskan kerja-kerja sekolah Jamal turun ke halaman rumah. Dia bermain badminton bersama adiknya, Enal.

Jamal mahu menikmati segalanya. Suasana petang yang menyamankan. Pada waktu yang sama, dengan bermain badminton, dia akan dapat mengeluarkan peluh. Baik untuk kesihatan, itu yang dia pelajari daripada guru jasmani.

Menjelang Maghrib, Jamal mengemas diri untuk menunaikan solat. Selepas itu, dia akan mentelaah buku-buku pelajaran. Iltizamnya membara, demi kejayaan hidup pada hari muka.

Monday, December 15, 2014

Kalaulah kusedar

BIDIN terduduk di hujung sudut rumahnya sambil termenung mengenangkan kisah silam dan kesalahan-kesalahan yang telah dilakukannya. Dia seorang perokok yang aktif sejak berusia 15 tahun lagi kerana dipengaruhi rakan-rakan sekolahnya.

Keluarganya hanya tahu dia anak tunggal mereka yang baik dan bijak dalam pelajaran. Namun ketika berusia 17 tahun, Bidin telah ditangkap ketika merokok bersama rakan-rakannya di kawasan asrama sekolah.

Ibu bapanya amat marah dan kesal di atas sikapnya itu. Bidin menyesal dan berjanji untuk tidak merokok lagi. Akhirnya Bidin berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Selatan Malaysia dalam jurusan Pengurusan Perniagaan.

Di universiti, Bidin merokok semula di atas nasihat rakan-rakannya yang tidak berguna. Di sana juga dia telah berkenalan dan bercinta dengan seorang penuntut perempuan, Tipah yang sama jurusan dengannya. Sepanjang percintaan mereka tidak ada masalah yang berlaku. Ini kerana, pada mulanya Tipah tidak tahu Bidin seorang perokok.

Rupa-rupanya Tipah tertipu... Tambahan pula, perkara yang paling Tipah benci ialah rokok. Puas Bidin memujuk supaya Tipah kembali kepadanya malah dia juga berjanji tidak akan merokok lagi. Tipah akhirnya mempercayainya Bidin akan berubah dan menerimanya semula. Hubungan mereka juga bertambah intim.

Apabila mereka keluar universiti dan masing-masing telah bekerja, Bidin kembali kepada tabiat lamanya iaitu merokok. Tipah tertipu lagi dengan janji-janji manis Bidin. Tipah mengugut akan meninggalkan Bidin dan tidak mahu menjadi isterinya.

Bidin berjanji buat kali kedua di hadapan kekasihnya itu untuk tidak merokok lagi. Setelah mereka bernikah, mereka dikurniakan dua cahaya mata kembar. Seorang namanya Isnin, seorang lain namanya Khamis. Kehidupan mereka berempat bahagia sekali. Lebih-lebih lagi apabila Bidin telah berjaya membuka syarikat perniagaannya sendiri.

Lima tahun selepas itu, syarikat Bidin bankrap. Bidin termenung jauh. Banyak masalah bermain di kepalanya. Akhirnya dia kembali merokok untuk mencari ketenangan. Itulah yang akan dilakukannya jika ingin mencari ketenangan walaupun dia tahu merokok boleh membahayakan kesihatannya.

Bidin kemudian kembali bekerja di syarikat lamanya. Namun, tabiat merokoknya tidak dapat dihentikan biarpun banyak kali dinasihat oleh isterinya. Bahkan dalam sehari dia boleh menghabiskan sehingga seratus batang rokok.

Isnin dan Khamis sudah menjangkau ke alam dewasa. Mereka hanya bekerja di kilang. Mereka juga menjadi perokok yang aktif sama seperti Bidin. Bak kata pepatah, bapa borek anak rintik. Mereka mula merokok sejak remaja lagi. Tabiat mereka tidak pernah ditegah oleh Bidin. Bagi Bidin, biasalah, orang lelaki. Baru nampak macho dengan menghisap rokok. Yang menjadi mangsa ialah isterinya, Tipah.

Kini sudah hampir tiga puluh tahun Tipah hidup bersam-sama dengan Bidin. Tipah sering jatuh sakit. Doktor menyatakan bahawa Tipah menghidap penyakit paru-paru berair.

Rumah mereka yang kecil menjadi tidak terurus. Bidin dan anak-anak jantannya pula selalu merokok di ruang tamu sambil menonton televisyen. Walaupun sakit, Tipah terpaksa melayan kerenah mereka dengan menyediakan makan dan minum untuk mereka.

Asap rokok terus berkepul-kepul di ruang udara rumah kecil mereka. Bagi Bidin dan anak-anaknya, itulah udara yang nyaman sekali. Tapi bagi Tipah itulah gas beracun yang akan membunuhnya secara perlahan-lahan. Namun malang bagi Tipah, Bidin dan anak-anak jantannya tidak pernah ambil peduli tentang kesihatannya.

Dulu sebelum bernikah, Bidinlah yang membelikan panadol kalau Tipah sakit kepala. Bidin jugalah yang akan menghantar Tipah ke klinik setiap kali Tipah sakit. Lakonan semua tu! Tipah sering tertipu... Kasihan Tipah... Asyik dia je yang kena tipu...

Sudah beberapa kali Tipah memberitahu Bidin dan anak-anaknya bahawa doktor yang merawatnya telah berpesan agar tidak membenarkan ahli keluarganya menghisap rokok di dalam rumah. Doktor juga menasihatinya agar menjauhkan diri daripada asap rokok tapi Tipah terpaksa melayan suaminya.

"Kau degil ke ha! Kau nak jadi isteri derhaka ke! Aku penat-penat cari duit untuk bagi kau makan! Kau nak lawan cakap aku lagi!" Bidin akan berkata apabila Tipah cuba menasihatinya.

Anak-anaknya pula selalu merungut dan membantah setiap kali ibunya menasihati mereka tentang merokok. "Apa la mak ni! Tak sporting langsung! Orang penat la mak! Cuba mak jangan membebel! Diam sikit boleh tak!".

Kata-kata itu membuatkan Tipah tidak sampai hati untuk menjadikan suaminya seorang yang zalim dan juga menjadikan anak-anaknya sebagai anak yang derhaka. Kerana itulah Tipah sering terlantar sakit di atas katil.

Bukan semua suami yang merokok sikapnya macam Bidin dan juga bukan semua anak yang merokok, sama sikapnya macam anak-anak jantan Bidin. Inilah hakikatnya jika kita hanya mementingkan diri sendiri. Kalau nak mati! Matilah seorang-seorang! Jangan paksa orang lain ikut sekali! Ingatlah yang tersayang...

Kini, Tipah yang Bidin cintai sudah lama pergi kerana kesalahan yang Bidin lakukan. Segala memori manis yang mereke cipta ketika di alam percintaan terimbas kembali di kepala Bidin.

Bidin pula dilaporkan oleh doktor menghidap sakit jantung yang kronik. Hanya menunggu masa sahaja. Rumah kata pergi kubur kata mari. Dia telah kehilangan isteri yang sangat disayangi sewaktu muda dahulu. Dia juga telah kehilangan anak-anak yang telah pergi meninggalkannya setahun selepas isterinya pergi sekaligus menutup waris keturunannya. Anak-anaknya menjadi penagih dadah dan mati akibat HIV positif.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kepalanya dihantuk berkali-kali ke dinding rumahnya. Kalau lah aku sedar sebelum itu...

HUZAIFAH BIN ALI
ANJUNG BATU, MELAKA

Sunday, December 14, 2014

Alya

ALYA memandangkan sepi ke arah sekujur tubuh yang masih terbaring di atas tilam buruk itu. Ibunya kelihatan lemah sekali. Penyakit barah yang dihadapi ibunya memaksa dia menghabiskan sisa-sisa hidupnya di atas tilam itu. Alya tidak berkemampuan membiayai kos rawatan ibunya. Ayahnya hilang sejak dia belum lahir lagi, entah ke mana. Dia satu-satunya anak kepada ibunya.

"Mak, Alya dah tak sanggup tengok mak macam ni..." esak Alya perlahan tapi masih didengari oleh ibunya itu.

"Alya, umur mak dah tak panjang. Bila-bila masa sahaja mak akan pergi... Mak risau sekali tentang kau..." air mata jernih mengalir deras dari mata kuyu ibunya.

Alya tidak dapat lagi menahan sebaknya lagi. Didakap ibu seerat-eratnya. Dia tahu selepas ini mungkin dia tidak dapat merasai dakapan itu lagi.

Alya hairan melihat rumahnya dikelilingi ramai orang. Dia baru sahaja pulang dari kedai membeli keperluan rumah. Dia segera berlari masuk. Ayat-ayat suci al-Quran kedengaran.

"Alya...." Jerit Mak Som berlari ke arahnya dan segera mendakapnya. Alya kehairanan.

"Mengapa Mak Long? Apa dah jadi... Mak mana?" Alya masih lagi tidak mengerti.

"Alya... Mak kau dah dijemput oleh Ilahi..." jawab Mak Som dalam sedu.

Alya terduduk. Air mata jatuh dengan deras sekali. Alunan surah Yassin kedengaran kuat sekali di cuping telinganya. Dia meraung. Ibunya telah pergi meninggalkannya sendirian untuk menghadapi liku-liku hidup. Dia memandang semua jiran tetangga yang hadir. Semua dengan riak wajah yang simpati.

"Alya, Mak Long minta kau bersabar..." Alya didakapnya dengan erat sekali.

Majlis pengebumian ibunya berjalan dengan lancar. Alya masih lagi di kubur ibunya yang masih lagi merah.

"Mak.... Alya rindu pada mak... Alya takut nak hidup tanpa mak..." tangis Alya.

"Alya rindukan dakapan mak. Alya rindukan belaian mak. Alya nak mak dakap Alya lagi, tangisannya semakin deras. Dia seolah-olah tidak dapat menahan sebak lagi.

"Alya..." kedengaran satu suara memanggilnya dari belakang. Alya lantas menoleh. Ditatap tubuh yang berdiri megah di belakangnya.

`Alya... Pak cik minta Alya bersabar. Semua ni dugaan Allah."

Alya bingkas bangun dan mengelap air matanya dengan lengan bajunya.

"Pak cik siapa...?" tanya Alya kebingungan. Kenapa lelaki ini memberi semangat kepadanya pada hal dia tidak kenal lelaki ini sama sekali.

"Alya tak perlu tahu. Pak cik bersimpati pada Alya. Pak cik nak bawa Alya ke rumah pak cik. Alya boleh tinggal dengan pak cik. Pak cik akan jaga Alya..." lelaki separuh tua itu kelihatan beria-ria mengajaknya.

"Tapi... Alya tak kenal pak cik. Macam mana pak cik tahu nama Alya" Pak cik ni siapa?" perasaan ingin tahu semakin membuak-buak.

Lelaki itu tunduk. Dia seperti dalam dilema.

"Alya.. Pak cik ikhlas... Alya datang tinggal dengan pak cik. Isteri pak cik pun boleh jaga Alya..."

Alya bingung. Kenapa lelaki ini mahu mengajaknya tinggal bersama-samanya. Siapa lelaki ini sebenarnya?

"Alya, kau pergilah tinggal dengan dia. Dia kawan Pak Long. Dah lama dia tak ada anak, jadi dia nak ambil kau jadi anak angkat..." suara Pak Kamal kedengaran.

Alya kini mengerti. Dia tunduk. Air mata mengalir sekali lagi.

"Pak cik akan jaga Alya dengan baik. Pak cik janji..."

"Alya, kau pergilah Alya..." desak Pak Kamal.

"Pak Kamal, Alya bukan tak nak pergi, tapi Alya tak nak jauh dari kubur emak.." sebak suara Alya.

Pak Kamal dan lelaki itu saling berpandangan. Mereka kini mengerti gelora hati Alya.

"Alya, kau jangan risau. Pak cik akan pastikan setiap minggu kau akan melawat kubur mak kau... Pak cik janji"

Alya memandang biliknya yang 5 kali lebih besar dari biliknya di kampung. Semuanya lengkap dengan kelengkapan bilik tidur yang sempurna. Kini dia berada di Kuala Lumpur. Bandar yang maju dan pesat membangun.

"Alya, pak cik harap Alya suka..." tiba-tiba lelaki itu masuk.

Alya lantas menoleh dan tersenyum hambar.

"Ini dah cukup baik untuk Alya. Terima kasih kerana memberi kehidupan yang sempurna. Oh ya, pak cik belum perkenalkan diri pak cik lagi..." Alya bersuara.

Lelaki itu kelihatan berpeluh. Dia seolah-olah berat untuk mengungkap.

"Pak cik.."

"Oh, Alya panggil pak cik, ayah?"

Alya terkedu. Selama ini belum pernah dia memanggil nama ayah. Dia tidak pernah merasai belaian seorang ayah. Dia hidup tanpa kasih sayang seorang ayah selama ini. Tiba-tiba air matanya bercucuran.

"Megapa Alya..." tanya lelaki itu lagi.

"Alya tak pernah merasai belaian ayah selama ini. Alya sebak apabila pak cik menyuruh Alya memanggil pak cik ayah..." jawab Alya jujur. Air matanya segera dikesat dengan lengan baju.

"Kalau macam tu, panggil pak cik, Pak Din... Tak payah panggil ayah.." jawab Pak Din ramah.

"Terima kasih pak cik. Alya bersyukur pada Tuhan dan moga-moga pak cik dan keluarga dilimpahi berkat daripada-Nya..."

Tiba-tiba perempuan sebaya dengan Pak Din masuk. Dia menghadiahkan Alya seukir senyuman. Alya membalas dengan senyumannya.

"Alya, mak cik gembira Alya dapat tinggal di sini. Panggil mak cik, Mak Timah..."

"Terima kasih Mak Timah..."

Kini sudah sebulan Alya tinggal bersama dengan Pak Din dan Mak Timah. Hatinya semakin tenang. Semalam sahaja dia dibawa oleh Pak Din ke kubur ibunya. Dia menghadiahkan ibunya dengan surah Yassin. Alya menangis di kubur ibunya. Dia amat rindu pada ibunya. Pak Din juga telah menghantarnya ke sekolah yang berdekatan. Alya kini gembira dengan hidupnya yang semakin lengkap dan ada hala tuju.

Pak Din mengalir air mata. Dia menjadi bingung. Wajah Mak Timah ditatapnya.

"Abang macam mana kalau Alya keluar dari rumah kalau dia tahu kebenaran...?"

"Timah, abang pun bingung. Tapi Alya akan semakin membenci kita kalau semakin lama kita memendam rahsia ini.."

"Timah dah tak sanggup nak berpisah dengan Alya. Timah dah anggap dia macam anak yang Timah lahirkan sendiri walaupun Kak Yum yang lahirkan dia..."

Pak Din melepas keluhan yang besar. Dia tersepit antara dua insan. Di antara Alya dan isterinya sendiri. Dia takut jikalau Alya tidak terlalu kuat untuk menghadapi kebenaran ini.

"Timah... Abang dah buat keputusan! Tak lama lagi bang akan bagi tau kebenaran yang sebenarnya." Pak Din memberi kata putus.

Esakan Mak Timah semakin kuat.

"Timah! Nanti si Alya dengar. Kawal diri kamu.."

Alya mengorak langkah ke bilik Pak Din dan Mak Timah. Pak Din memintanya mengambil wang dari laci bilik mereka. Alya lantas membuka laci yang terdapat di sebelah katil. Dia meraba-raba isi dalam laci tersebut sebelum tangannya mencapai satu keping foto. Alya mengamati foto itu. Dia amat kenal dengan wanita yang sedang duduk berdua dengan Pak Din.

Mak!

Air matanya bercucuran melihat wajah ibunya. Dia mula merindui ibunya itu. Tapi dia bingung, kenapa Pak Din duduk bersebelahan ibunya. Apakah hubungan Pak Din dengan ibunya?

Alya membawa foto itu ke bawah. Dia lantas menuju ke arah Pak Din dan Mak Timah yang sedang rancak berbual.

"Pak Din..." panggil Alya.

Pak Din dan Mak Timah lantas menoleh.

"Macam mana Pak Din boleh kenal mak saya.." tanya Alya sambil menunjukkan gambar yang ditemuinya.

Pak Din terkejut!! Begitu juga dengan Mak Timah. Mereka saling berpandangan.

"Alya nak jawapan."

Mak Timah melepaskan satu keluhan. Biar dia sahaja yang menceritakan kebenaran kerana dalam hal ini dia yang bersalah.

"Alya, biar Mak Timah yang ceritakan. Mari duduk sini," ujar Mak Timah.

"Alya sebenarnya... Pak Din ni adalah..." Mak Timah terhenti. Dia berasa berat untuk mengungkapkan ayat.

"Siapa?!" Alya bertanya. Dia tidak suka suspens. Wajah Mak Timah ditatapnya. Wajah bersalah jelas terpancar pada wajahnya.

"Ayah kamu..." Pak Din menyambung.

Alya terkejut. Dia lantas bangun. Dia memandang tepat ke arah Pak Din. Air matanya jatuh dengan deras sekali. Ayah Alya? Ayah yang selama ini meninggalkan dirinya dan ibu hidup dalam serba kedaifan. Selama ini dia tidak pernah mempunyai seseorang yang bergelar ayah.

"Ayah, Mak Timah mohon sangat pada Alya" jangan salahkan Pak Din dalam hal ini. Dia tidak bersalah sama sekali. Yang bersalah adalah Mak Timah..."

Alya membisu. Dia bingung! Sekali lagi dugaan datang menimpa padanya.

"Alya..." Pak Din memanggil lembut. Dia menuju ke arah Alya.

"Maafkan ayah. Ayah tahu ayah bersalah tinggalkan Alya dan ibu. Tapi ayah tak tahu syaitan mana yang merasuk ayah untuk berbuat demikian.."

Alya terkesima... perkataan ayah!!!

"Alya tak sangka Pak Din dan Mak Timah sanggup buat begini pada Alya. Alya hidup dalam penipuan selama ini" ujar Alya dalam esakan.

"Alya, kami cuma ingin menebus kesalahan kami pada emak kamu. Mak Timah tahu yang bersalah Mak Timah. Mak Timah tak patut kahwin dengan ayah kamu biarpun tahu dia suami orang. Mak Timah pentingkan diri pada saat itu" jawab Mak Timah.

Mak Timah segera berlari dan mendakap Alya seerat-eratnya. Alya terkejut. Dia menjadi sebak yang teramat. Pak Din juga menyusul dan memeluknya.

"Maafkan kami!!"pinta Pak Din dan Mak Timah serentak. Alya cuba keluar dari pelukan erat Mak Timah dan Pak Din tapi gagal. Mereka memeluknya dengan erat sekali. Kini dia sedar yang Mak Timah dan Pak Din benar-benar ikhlas terhadap dirinya. Mungkin dulu mereka terlalu mengikut perasaan dan menghancurkan hidup ibunya. Tetapi kini mereka sudah insaf.

"Ayah..." tiba-tiba ayat itu terkeluar dari mulutnya.

Pak Din lantas meleraikan pelukan dan memandang tepat pada Alya.

"Alya,,, Kamu panggil ayah??" Alya lantas mengangguk kepala. Dia tersenyum dalam esakan.

"Alya sedar yang ayah dan Mak Timah benar-benar ikhlas pada Alya..." jawabnya.

"Jangan panggil Mak Timah lagi... Panggil ibu.... Boleh??"

"Boleh!!... Ayah dan ibu, Alya sayang kalian..." ujar Alya sambil memeluk mereka pula.

Mereka berpelukan antara satu sama lain dalam suasana yang syahdu.

Karya Hazlina Abdul Halik
SMT Tunku Abdul Rahman Putra
Pulau Pinang